Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, November 11, 2009

Part 2 Pertempuran Merebut Cinta : Pertempuran Pertama : ILMU


Aqobatul Ilm - Pertempuran Pertama : Pertempuran ILMU

Sabda Rasulullah SAW :"Barangsiapa yang Allah kehendaki ia akan kebaikan, maka Allah berikan dia faham di dalam agamanya" Riwayah Bukhari & Muslim



Pertempuran pertama yang perlu ditempohi dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim ialah pertempuran untuk mendapatkan ilmu Islam. Tanpa ilmu, ibarat seseorang itu berjalan di dalam kegelapan. Tidak nampak jalan yang hendak dituju. Dan tidak tahu matlamat arah tujuan. Orang yang dipimpin Allah, yang telah direzkikan Allah untuk menjadi hamba-hamba Nya, akan diberikan Allah perasaan mencintai ilmu. Lantas dirinya juga amat mudah faham akan ilmu yang pelajari.

Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."(Al-Bazzar)

Ilmu merupakan perkara asas, atas setiap amal perbuatan. Untuk menjadi seorang yang mentaati Allah memerlukan ilmu. Untuk menjadi seorang menderhakai Allah juga perlukan ilmu. Inilah kepentingan ilmu. Dan ilmu yang dituntut untuk kita pelajari, fahami, yakini, amalkan dan perjuangkan ialah ilmu Fardhu Ain. Tanpa ilmu, ibadah yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat dihayati dan dilakukan secara semborono. Tanpa ilmu, maka cacatlah ibadah. Justeru itu, cacatlah juga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Maka terhinalah kita seperti diisyaratkan Allah dalam

Surah Al Imran ayat 112 :"Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah). "

Dalam pertempuran untuk menimba Ilmu, seseorang itu perlu menguasai tiga senjata bagi menjamin kemenangan dalam pertempuran untuk menimba ilmu. Seandainya ketiga-tiga senjata tersebut dapat dikuasai, pertempuran pertama ini pasti dapat dimenangi. Ketiga-tiga senjata itu ialah :

1. Ilmu Tauhid
2. Ilmu Fekah
3. Ilmu Tasauf

A. Ilmu Tauhid :

Ilmu yang paling pertama dan utama dalam agama adalah ilmu tauhid. Tauhid ertinya mengesakan Tuhan serta mengiktiqadkan dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan alam ini beserta dengan bukti-bukti yang jelas. Jadi ilmu Tauhid ialah ilmu untuk mengenal Allah dengan sifat-sifat Nya yang wajib, mustahil dan harus. Begiru juga ilmu Tauhid ilmu yang mengenalkan kita dengan Rasul dan Nabi melalui sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan harus.

Ilmu Tauhid juga merupakan ilmu yang membahaskan rukun-rukun iman yang enam, yang menjadi keyakinan seluruh umat Islam. Antara kepentingan ilmu Tauhid ialah :

a. Memperbetulkan keyakinan terhadap Zat Pencipta.
b. Menjauhkan sebarang keyakinan selain dari Allah SWT
c. Menjauhkan sebarang penyembahan selain dari Allah SWT
d. Memberi panduan bagaimana untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Setiap orang wajib mempelajari ilmu tahuhid dan aqidah agar mengetahui Tuhan yang dia sembah, mengetahui nama-nama-Nya, sifat-sifat- Nya dan perbuatan-Nya, mengetahui tentang hukum-hukum kauniyah-Nya (ketentuan-Nya tehadap alam) dan hukum-hukum syari'ah-Nya, mengetahui kebijakan-Nya dan rahasia syari'ah dan ciptaan-Nya, sehingga dia tidak tersesat dan menyesatkan orang lain.Ilmu ini membicarakan secara mendalam akan persoalan rukun iman yang enam. Iaitu :

1. Beriman Kepada Allah : Dengan Iman, kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati kita hanya kepada-Nya.Secara positifnya kita menuju Tauhid yang semurni-murninya dan secara negatif kita menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.

2. Beriman Kepada Malaikat-Malaikat : Dengan Iman kita mempercayai bahawa adanya makhluk ghaib yang bernama Malaikat yang menjalankan tugasnya mengikut perintah Allah.Secara positif kita percaya kepada alam ghaib yang ditegaskan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk ghaib yang tidak dinyatakan Allah

3. Beriman Kepada Rasul-Rasul : Dengan beriman kepada Rasul-Rasul, kita mempercayai adanya pesuruh-pesuruh Allah di muka bumi ini untuk dijadikan petunjuk dan teladan.

4. Beriman Kepada Kitab-Kitab : Dengan beriman kepada kitab-kitab suci, kita mempercayai adanya kitab-kitab Allah yang memimpin manusia, yang di akhiri oleh Kitab Al-Quran

5. Beriman Kepada Hari Kiamat : Dengan Iman, kita mempercayai bahawa di sebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.

6. Beriman Kepada Qada' dan Qadar : Dengan beriman kepada qada’ dan qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaan-Nya.

Ilmu Tauhid yang dituntut untuk dipelajari adalah sekadar untuk mengesahkan iktiqad seseorang Muslim. Oleh itu seorang muslim dituntut untuk mengenal Allah dan Rasul-Nya.

Untuk mengenal Allah yang Maha Esa lagi Maha Kaya adalah melalui sifat Nya, nama Nya dan penciptaan Nya. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah dari segala sifat kecelaan. Maka wajiblah seseorang muslim mempelajari, memahami, meyakini dan mengamalkan sekurang-kurangnya 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah beserta hujjah/dalil naqli dan hujjah/dalil aqli walaupun secara ijmali.

Begitu juga seorang muslim dituntut untuk mempelajari 4 sifat yang wajib bagi Rasul & Nabi, 4 sifat yang mustahil bagi Rasul dan Nabi, serta satu sifat yang harus bagi Rasul & Nabi beserta hujjah/dalil naqli dan hujjah/dalil aqli walaupun secara ijmali. Kesemua sifat-sifat yang disebut tadi wajiblah dipelajari, difahami, diyakini beserta dalil-dalilnya walaupun secara ijmal (ringkas). Kesemua sifat-sifat yang disebut tadi merupakan senjata-senjata ampuh buat setiap pejuang yang ingin bertempur di medan perjuangan menimba ilmu.Barangsiapa yang tidak mempelajari ilmu Tauhid, atau mengenal Allah dan Rasul secara tafsili ( detail ) atau ijmali ( ringkas), iqtiqadnya tidak sah dan amalannya tertolak.

Ringkasan Akidah Ahlusunnah Wal Jamaah

Perkara-perkara yang wajib diyakini berkaitan dengan Iman dikenal sebagai Rukun Iman, yang meliputi:

1.Keyakinan kita dengan ALLAH dan sifat-sifatNya baik sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat
yang mustahil dan juga sifat-sifat yang boleh.
2.Keyakinan kita dengan para rasul dan sifat-sifatnya.
3.Keyakinan dengan kitab-kitab yang pernah diturunkan oleh Allah seperti Al Quran, Zabur, Injil dan Taurat.
4.Keyakinan kepada para malaikat.
5.Yakin kepada akhirat yang meliputi Syurga dan Neraka serta perkara-perkara lain yang merangkumi perkara di alam ghaib.
6.Keyakinan pada Qadha dan Qadar ALLAH.

Huraian tentang iman dalam Ahlusunnah Wal Jamaah telah disusun oleh Imam Abu Hasan Al-Asyari.

Keyakinan Dengan Allah
Huraian tentang ketuhanan ini telah disusun oleh Imam Abu Hasan Al-Asyari dan dikenal sebagai "Tauhid Sifat 20". Dari sifat-sifat Allah yang sempurna dan tak berhingga itu yang wajib diketahui secara terperinci oleh setiap orang Islam yang sudah baligh dan berakal adalah :

20 sifat yang wajib bagi Allah
20 sifat yang mustahil bagi Allah
1 sifat yang harus (boleh ada-boleh tidak) bagi Allah
Adapun sifat yang 20 yang mesti ada dan yang 20 mustahil bagi Allah itu adalah :

1.Wujud : Tuhan itu ada, mustahil Tuhan tidak ada.
2.Qidam : Tuhan tidak berpermulaan ada-Nya. Mustahil Ia berpermulaan ada-Nya.
3.Baqa : Tuhan kekal selama-lamanya, mustahil Ia akan lenyap (habis)
4.Mukhalafatuhu Lil Hawaditsi : Tuhan berlainan dengan sekalian makhluk, mustahil Ia serupa dengan makhluk yang Ia ciptakan.
5.Qiyamuhu Binafsihi : Tuhan berdiri sendiri dan tidak memerlukan pertolongan orang lain, mustahil memerlukan pertolongan orang lain.
6.Wahdaniah : Tuhan Allah Maha Esa, mustahil Ia banyak (berbilang).
7.Qudrat : Tuhan berkuasa, mustahil Ia lemah (dhaif)
8.Iradah : Allah menetapkan sesuatu menurut kehendak-Nya dan mustahil Ia dipaksa oleh kekuatan lain untuk melakukan sesuatu
9.Ilmu : Allah tahu seluruhnya, tahu yang telah dijadikan-Nya dan tahu yang akan dijadikan-Nya, mustahil Ia tidak tahu.
10.Hayat : ALlah hidup, mustahil ia mati.
11.Sama' : Allah mempunyai sifat sama, iaitu mendengar, mustahil Ia tuli.
12.Basyar : Allah melihat, mustahil Ia buta
13.Kalam : Allah berkata, mustahil Ia bisu.
14.Kaunuhu Qadiran : Allah tetap selalu dalam keadaan berkuasa, mustahil Ia dalam keadaan lemah.
15.Kaunuhu Muridan : Allah tetap selalu dalam keadaan menghendaki, mustahil Ia dalam keadaan tidak menghendaki
16.Kaunuhu 'Aliman : Allah tetap selalu dalam keadaan tahu, mustahil Ia dalam keadaan tidak mengetahui
17.Kaunuhu Hayyan : Allah tetap sealu keadaan hidup, mustahil Ia dalam keadaan mati.
18.Kaunuhu Sami'an : Allah tetap dalam keadaan mendengar, mustahil Ia dalam keadaan tuli.
19.Kaunuhu Basyiran : Allah dalam keadaan melihat, mustahil Ia dalam keadaan buta.
20.Kaunuhu Mutakalliman : Allah tetap dalam keadaan berkata, mustahil Ia bisu.
Sifat yang harus bagi Allah adalah boleh membuat dan boleh pula tidak memperbuat sekalian pekerjaan. Tidak wajib bagi Allah untuk menjadikan segala makhluk, dan tidak wajib pula untuk mentiadakan segala makhluk.

Keyakinan Dengan Para Rasul
Nabi dan rasul jumlahnya banyak sekali sampai 124,000 orang, dan rasul-rasul itu ada 313 atau 315 orang. Nabi yang pertama sekaligus merupakan manusia yang pertama yang Allah utus ke muka bumi adalah Nabi Adam. Nabi penutup, penghulu sekalian nabi dan para rasul adalah Baginda Rasulullah Muhammad SAW. Sesudah Baginda, tidak ada lagi nabi dan rasul. Baginda adalah rasul bungsu untuk ummat akhir zaman. Nabi-nabi dan rasul-rasul yang wajib diketahui adalah 25 orang, yaitu seperti yang tersebut di dalam Al Quran sebagai berikut:

1.Nabi Adam Alaihissalam
2.Nabi Idris Alaihissalam
3.Nabi Nuh Alaihissalam
4.Nabi Hud Alaihissalam
5.Nabi Shaleh Alaihissalam
6.Nabi Ibrahim Alaihissalam
7.Nabi Luth Alaihissalam
8.Nabi Ismail Alaihissalam
9.Nabi Ishaq Alaihissalam
10.Nabi Yaqub Alaihissalam
11.Nabi Yusuf Alaihissalam
12.Nabi Ayub Alaihissalam
13.Nabi Syuaib Alaihissalam
14.Nabi Musa Alaihissalam
15.Nabi Harun Alaihissalam
16.Nabi Zulkifli Alaihissalam
17.Nabi Daud Alaihissalam
18.Nabi Sulaiman Alaihissalam
19.Nabi Ilyas Alaihissalam
20.Nabi Ilyasa Alaihissalam
21.Nabi Yunus Alaihissalam
22.Nabi Zakaria Alaihissalam
23.Nabi Yahya Alaihissalam
24.Nabi Isa Alaihissalam
25.Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam.
Diantara mereka dipililih 5 rasul Ulul Azmi, karena kesabaran mereka yang luar biasa yaitu:

1.Rasulullah Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
2.Rasulullah Ibarahim Alaihissalam
3.Rasulullah Musa Alaihissalam
4.Rasulullah Isa Alaihissalam
5.Rasulullah Nuh Alaihissalam

Rasul-rasul itu adalah manusia pilihan Tuhan. Mereka manusia seperti kita yang menerima wahyu dari Tuhan dan memiliki sifat-sifat kerasulan. Ini yang membedakan para rasul dengan manusia biasa. Mereka memiliki sifat-sifat yang wajib bagi mereka yang wajib kita ketahui dan kita yakini. Selain itu ada sifat-sifat yang mustahil bagi mereka dan ada satu sifat yang harus (jaiz).
Sifat-sifat yang wajib bagi para rasul adalah sebagai berikut:

1.Siddiq (benar), mustahil pendusta.
2.Amanah (dipercaya), mustahil khianat.
3.Tabligh (menyampaikan), mustahil menyembunyikan
4.Fathanah (bijak) mustahil dungu.

Kitab-kitab Suci
Kitab suci yang wajib diketahui dan diyakini ada 4, yaitu:

1.Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa Alaihissalam.
2.Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud Alaihissalam.
3.Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa Alaihissalam
4.Kitab Al Quran yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah saw.

Semua kitab suci itu dari Tuhan dan isinya semuanya benar, tidak boleh ada sedikitpun keraguan terhadapnya. Hanya kitab Taurat dan Injil yang ada ditangan penganut-penganutnya sekarang ini yang tidak lagi menurut yang aslinya, sudah banyak diubah oleh pendeta-pendetanya dulu, sehingga tidak dapat lagi dipercaya isinya, demikian keyakinan ummat Islam.

Tuhan menerangkan hal ini di dalam Al-Quran dengan firmanNya yang bermaksud:

Sebahagian orang-orang Yahudi mengubah-ubah kitab sucinya dari keadaan yang asli. (Annisa : 46).

Mengenal Malaikat
Wajib bagi setiap mukallaf mengenal malaikat-malaikat Allah secara tepat, mengenal nama-namanya yang wajib diketahui, mengenal sifat-sifatnya serta mengenal tugas-tugasnya. Pengenalan kita mesti dilandasi dengan ilmu yang memadai, dihayati, hingga terasa di hati kita betapa Maha Kuasa Allah serta betapa maha sempurna dan maha hebat pemerintahan Tuhan terhadap manusia dan alam semesta ciptaanNya.

Malaikat adalah makhluk halus, tidak berwujud fizikal seperti manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda fizikal. Dijadikan dari nur atau cahaya. Hakikat jasadnya, Tuhan Maha Tahu. Dengan izin Tuhan mereka dapat merupakan dirinya seperti manusia dan lain-lain.

Malaikat tidak berjenis kelamin, tidak makan dan minum seperti kita, tidak tidur, tidak pernah istirahat dari melaksanakan tugas-tugasnya, melainkan senantiasa taat setia kepada Allah, tidak pernah berbuat dosa dan kesalahan walaupun sekecil-kecilnya.

Malaikat-malaikat yang wajib kita kenali ada 10, mereka itu adalah sebagai berikut:

1.Malaikat Jibril , tugasnya adalah menyampaikan wahyu kepada nabi-nabi dan para rasul. Terutama kepada Baginda Rasulullah SAW. Kadang-kadang Malaikat Jibril itu datang menyerupai laki-laki yang gagah dan tampan dan ada kalanya para sahabatpun mendengar dan menyaksikan ia berdialog dengan Baginda.
2.Malaikat Mikail , tugasnya dalam soal kesejahteraan manusia seperti mengantar hujan, mengantar angin, soal kesuburan tanah dan kesuburan-kesuburan lainnya.
3.Malaikat Israfil , tugasnya dalam soal-soal yang berhubung kait dengan qiamat, seperti meniup sangkakala tanda qiamat, meniup sangkakala tanda manusia dibangkitkan di padang mahsyar dan lain-lain.
4.Malaikat Izrail , tugasnya adalah mencabut nyawa dan membawa nyawa itu kemana mestinya. 5.Malaikat Munkar dan
6.Nakir , tugas kedua-duanya adalah menyoal manusia yang sudah mati di alam kubur. Datang dengan wajah yang seram dan menakutkan bagi orang-orang yang mati membawa dosa dan hati yang tidak selamat. Dan sebaliknya wajah yang mereka tampilkan akan sangat indah dan menyejukkan pada mereka yang matinya husnul khatimah
7.Malaikat Rakib , tugasnya adalah menuliskan amalan baik manusia.
8.Malaikat Atid , tugasnya adalah mencatat amalan jahat manusia. Kedua-dua malaikat rakib atid itu sentiasa mengiringi manusia dimana saja mereka berada dan kemana sana mereka pergi. Malaikat rakib atid itu merupakan sekelompok malaikat yang jumlahnya sebanding dengan jumlah manusia sepanjang zaman.
9.Malaikat Malik , tugasnya adalah menjaga Neraka dengan penampilan yang sangat menakutkan dan mengerikan bagi para penghuni Neraka.
10.Malaikat Ridwan , tugasnya adalah menjaga Syurga dengan penampilan yang sangat menyenangkan para penghuni Syurga.
Mengenal Akhirat
Berkaitan dengan hari Akhirat, ada beberapa perkara yang wajib kita ketahui dan yakin, sebagai berikut:

1.Tentang Kematian : Setiap makhluk yang bernyawa pasti mati (Ali Imran : 185). Umur manusia sudah ada jangka waktunya yang telah Allah tetapkan. Apabila waktu yang sudah ditetapkan (ajal) bagi seseorang itu tiba maka pasti ia mati. Tidak ada seorangpun yang dapat melambatkan atau menyegerakan. Setiap manusia pasti mati sesuai dengan ajal yang telah Allah tetapkan.
2.Alam Barzah : Diantara alam dunia dengan akhirat, adalah satu alam yang disebut alam barzah atau alam kubur. Ia adalah satu alam yang memisahkan antara alam dunia dengan alam akhirat. Di sini manusia yang sudah mati diberi ruh kembali, sehingga sadar dengan segala peristiwa yang berlaku di dalamnya.
3.Yaumul Baats : Setelah hari akhirat tiba, ketika tidak ada lagi seorang manusia pun yang hidup, maka waktu itu manusia dibangkitkan kembali (Alhaj : 6-7), kemudian dikumpulkan di padang mahsyar.
4.Yaumul Hisab : Setelah itu ditimbang amal bakti manusia yang baik dan yang buruknya. Hari itu disebut hari hisab (yaumul hisab).
5.Titian Siratul Mustaqim : Setiap manusia akan melalui titian siratul mustaqim yang dibentangkan di atas Neraka, kecuali segolongan orang-orang betaqwa yang dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.
6.Menerima Catatan Amal Baik dan Buruk : Orang-orang soleh, setelah ditimbang amalnya, mereka menerima buku catatan amal dari sebelah kanan, diberi gelar ashabul yamin, kemudian dimasukkan ke dalam Syurga. Adapun orang-orang yang berdosa, yang timbangan amal jahatnya lebih berat daripada amal baiknya, mereka menerima kitab catatan amal dari sebelah kiri, diberi gelar ashabussyimal, kemudian dimasukkan ke dalam Neraka.
7.Tentang Neraka : Orang-orang mukmin yang berdosa, yang menerima catatan amal dari sebelah kiri, dimasukkan ke dalam Neraka, setelah itu diangkat, kemudian dimasukkan ke Syurga. Tetapi orang-orang kafir dan munafik, yang matinya tidak membawa iman, mereka kekal di dalam Neraka selama-lamanya.
8.Tentang Syurga: Orang-orang bertakwa, tempat peristirahatannya di sana adalah Syurga, sesuatu yang terlalu hebat tiada tandingnya. Masya Allah, patah lidah untuk mengungkapnya. Tiada bahasa yang dapat menggambarkannya.Tiada mampu mata pena untuk menuliskannya.
Bagi orang bertaqwa, hadiahnya bidadari-bidadari yang cantik jelita. Bukan seorang tapi berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus orang. Nikmatnya tiada tolok ukurnya di dunia. Selain itu semua, orang-orang bertaqwa, dengan rahmat dan kasih sayang Allah mereka dapat melihat Tuhan (Al Qiyamah : 23). Inilah nikmat yang maha besar dan tiada bandingnya di akhirat sana. Bukan Allah ada di sana, tapi waktu itu kita dapat merasakan indah dan nikmatnya pertemuan agung itu. Maha Besar dan Maha Suci Allah dari menyerupai makhluk.

Qadha & Qadar
Qadha ialah perlaksanaan atas ketentuan ketentuan atau hukum yang telah Allah tetapkan sejak azali bagi setiap mahkluk atau sesuatu perkara, seperti sakit, sihat, miskin, kaya dan lain-lain. Segala kejadian mulai dari yang sekecil-kecilnya sampai yang sebesar-besarnya sudah Allah tetapkan sejak azali. Adapun qadar adalah rincian dan batasan-batasan ketentuan yang telah Allah tetapkan sejak azali lagi.

Link ke artikel berhubung Ilmu Tauhid / Aqidah /Usuluddin

1. Nazam Usuluddin
2. Muqaddimah Ilmu Tauhid Part 1
3. Muqaddimah Ilmu Tauhid Part 2
4. Rukun Iman Pertama : Percaya Kepada Allah


B. Ilmu Feqah :


Ilmu Feqah ialah ilmu untuk seseorang Muslim mengenal hukum-hukum syarak berhubung dengan amalan dan perbuatan Mukallaf yang diambil dari sumber-sumber Al Quran dan Hadis secara terperinci serta sumber dari ijmak ulamak dan ijtihad.Melalui Ilmu Feqah maka kita tahu dalam amal perbuatan, perkataan yang mana satukah tergolong dalam salah satu dari lima hukum yang kita perjelaskan di bahagian muqaddimah yang lalu iaitu hukum wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Melalui Ilmu Feqah juga kita dapat tahu dan kenal akan syarat sah dan batal sesuatu amalan. Iaitu sama ada sesuatu amalan atau ibadah itu dilakukan dengan cukup rukun dan syaratnya seperti diperjelaskan oleh Allah di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Seandainya tidak cukup syarat dan rukun, maka amalan tersebut adalah batal.

Apa itu syarat ? Syarat ialah sesuatu hal yang terletak di luar ibadah (muamalah), tetapi wajib dipenuhi. Contohnya : Syarat wajib sembahyang ialah : Islam, Baligh, berakal (Mukallaf).

Apa itu rukun ? Rukun ialah sesuatu perkara yang wajib dipenuhi dan terletak di dalam Ibadah (Muamalah). Contohnya : Rukun sembahyang adalah niat.

Sekurang-kurang Ilmu Feqah yang wajib setiap muslim pelajari ialah sekadar Fardhu Ain. Iaitu mengetahui syarat dan rukun untuk menentukan sah dan batalnya sesuatu ibadah terutama yang melibatkan persoalan rukun Islam iaitu sembahyang, puasa, zakat, menunaikan haji serta melaksanakan tuntutan kalimah syahadah.

Ilmu feqah terbahagi pula kepada 4 juzuk ilmu yang lain iaitu :


1. Ibadah
2. Muamalah
3. Munakahah
4. Jenayah

Ibadah : memperjelaskan sah atau batalnya sesuatu amal ibadah kepada Allah SWT. Ianya melibatkan penyaluran ilmu dan kefahaman terhadap rukun dan syarat-syarat yang perlu ditempohi untuk mengesahkan amalan tersebut seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dimulai dengan menyalurkan ilmu Taharah (bersuci) , Solat, Zakat, Puasa dan Haji serta sub-juzuk sub-juzuk yang terkandung dalam setiap tajuk.

Muamalah : ianya memperjelaskan akan hal ehwal yang bersangkut-paut dengan jual beli, urusniaga, transaksi dan ekonomi. Di dalamnya juga terkandung syarat dan rukun yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim.

Munakahah : memperjelaskan hal ehwal kekeluargaan. Ia bersangkut-paut dalam menjalin hubungan sesama manusia dalam erti kata kekeluargaan. Bermula dari niat untuk berkehendak kepada pasangan hidup sehinggalah mengedarkan harta wasiat setelah seseorang Muslim kembali bertemu Allah SWT. Juga tidak terlepas untuk kita membicarakan tentang rukun dan syarat sah tatkala kita membahaskan ilmu ini.

Jenayah : memperjelaskan undang-undang hidup manusia di dunia apabila batas kemanusiaan dan kemasyarakatn dinodai. Di dalamnya juga terkandung rukun dan syarat untuk mengesahkan atau terbatalnya sesuatu perkara.

Link ke artikel berhubung ilmu Feqah

1. Rahsia Air Mutlak
2. Taharah & Pembahagiannya
3. Taharah : Hadas & Najis
4. Taharah : Istinjak
5. Taharah : Qada Hajat
6. Wuduk : Menyucikan Diri Dari Hadas Kecil
7. Tayammum
8. Mandi Hadas
9. Solat A.K.A. Sembahyang
10. Rukun Solat Part 1
11. Rukun Solat Part 2
12. Amalan Sunat Dalam Solat


C. Ilmu Tasawuf ialah senjata ketiga yang diperlukan oleh seseorang Muslim untuk mempastikan kemenangan dalam pertempuran untuk menuntut ilmu. Tasawuf bermakna menyucikan. Ianya adalah bertujuan agar seseorang Muslim tahu, kenal dan dapat membezakan antara sifat mahmudah dan sifat mazmumah. Ia juga bertujuan agar seseorang muslim itu tahu bagaimana menyingkirkan sifat mazmumah dari dalam diri mereka serta menunjukkan jalan bagaimana ingin mendapatkan sifat mahmudah. Setiap muslim diwajibkan mempelajari dan memahami sekurang-kurangnya 10 sifat mahmudah dan sekurang-kurangnya 10 sifat mazmumah. Agar mereka dapat berusaha menjauhi dari memiliki sifat mazmumah yang terkeji. Serta mereka berusaha untuk mendapatkan sifat mahmudah yang terpuji.

Peranan Tasawuf

1. Membersihkan hati dan jawarih (anggota) daripada dosa, kesalahan dan kesilapan.
2. Menghidupkan rasa kehambaan.
3. Menanamkan rasa keikhlasan.
4. Menghidupkan rasa bertuhan.

Menghidupkan rasa kehambaan

Ilmu tasawuf dapat menghidupkan rasa kehambaan. Untuk kita terasa hamba. Menghidupkan rasa takut pada Allah yang mesti ada di mana-mana. Rasa malu mesti dihidupkan kerana Allah melihat, Allah memerhati. Menghidupkan rasa hina diri di hadapan Tuhan. Rasa kehambaan ini bila dihidupkan, mazmumah akan hilang dengan sendiri. Orang yang terlalu sombong, ego, ujub itu adalah disebabkan tidak ada rasa kehambaan.

Menghidupkan rasa bertuhan

Hati sentiasa sedar Allah melihat, mengetahui dan Allah sentiasa ada bersama kita. Inilah kunci kita tidak melakukan dosa.

Contohnya dalam majlis raja, kita tidak akan buat salah sekalipun menguap. Kita amat jaga tingkah laku kerana kita sedar raja yang berkuasa sedang melihat kita. Maka di hadapan Raja segala raja sepatutnya lebih-lebih lagilah kita malu hendak buat dosa. Rasa bertuhan mesti bertapak di hati, barulah rasa kehambaan itu diperolehi.

Ilmu tasawuf adalah ilmu tentang rohaniah. Ilmu rohaniah ertinya ilmu yang berkait rapat dengan roh (hati nurani manusia). Al Quran menganjurkan ilmu ini yaitu:

Maksudnya: “Beruntunglah orang yang mensucikan hatinya dan rugilah orang-orang yang mengotorinya.” (Asy Syam: 9 - 10)

Ilmu tasawuf adalah salah satu ilmu dasar dalam Islam, selain dari Aqidah dan Syariat.

Ilmu tasawuf/rohani adalah ilmu yang mempelajari perilaku tabiat roh atau hati baik yang baik (mahmudahnya ) maupun buruk (mazmumah). Bukan untuk mengetahui hakikat zat roh itu sendiri. Hakikat roh itu sendiri tidak akan dapat dijangkau oleh mata kepala atau tidak akan dapat dibahaskan. Tetapi apa yang hendak dibahaskan adalah sifat-sifatnya sahaja supaya kita dapat mengenal sifat-sifat roh atau hati kita yang semula jadi itu. Mana-mana yang mahmudahnya (positif) hendak dipersuburkan dan dipertajamkan. Kita pertahankannya kerana itu adalah diperintah oleh syariat, diperintah oleh Allah dan Rasul dan digemari oleh manusia. Mana-mana yang mazmumahnya (negatif) hendaklah ditumpaskan kerana sifat-sifat negatif itu dimurkai oleh Allah dan Rasul serta juga dibenci oleh manusia.


Link ke artikel berhubung Ilmu Tasauf

Setelah ketiga-tiga senjata yang ampuh ini (Ilmu Tauhid, Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf) ini dimiliki dan berjaya difahami, diyakini dan diamalkan seterusnya diperjuangkan dalam kehidupan sehari-hari, maka secara tidak langsung telah berjayalah seseorang muslim itu menempah kemenangannya yang pertama dalam salah satu dari tujuh pertempuran.

InsyaAllah, kita akan berusaha untuk memperkemaskan lagi ketiga-tiga cabang ilmu ini. Agar kita dapat memperjelaskan satu persatu apa yang terkandung di dalam ketiga-tiga cabang ilmu ini dalam satu lagi program yang akan menyusul tidak lama lagi iaitu slot program Fardhu Ain.


Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid.

Dibuang dia berkelana
dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
membara demi Allah dan Rasul-Nya.

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Senang susah silih berganti
Inilah sunah orang berjuang.

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Diiring serta air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga.

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih.

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerana kebenaran
Antara dua pasti terjadi
Tunggulah syahid atau menang.

To be continue .....

Saturday, November 7, 2009

Part 1 Tujuh Pertempuran Merebut Cinta : Introduction


Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
Surah Adz Dzariyat : Ayat 56



Alhamdulillah, mari kita panjatkan syukur ke hadrat Allah. Semoga dengan mengucapkan syukur ke hadrat Allah, Allah akan tambahkan nikmat yang ada pada kita dengan nikmat-nikmat yang lain. Dan nikmat yang terbesar Allah kurniakan kepada kita ialah nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. semoga dengan mengucapkan selawat ke atas baginda, akan menambahkan rasa kecintaan kita kepada baginda.

Aku tergerak untuk menulis satu siri artikel yang aku namakan The Seven Battle For Love (Tujuh Pertempuran Merebut Cinta) berdasarkan sebuah kitab yang pernah aku tadah dari arwah atok ku, kitab berjudul Minhajul Abidin oleh Imam Al Ghazali rahmatullah a'laih. Ianya mengupas kepada peringkat-peringkat yang perlu dilalui oleh seorang muslim dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenar iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah Allah yang mukmin lagi muttaqin. Seandainya ada manfaat ilmu dari artikel yang ditulis ini, serta ada manfaat ilmu dari tazkirah bersiri ini, semoga ianya menjadi amal jariah buat Allahyarham datuk ku, ibu ku,ayah ku dan juga guru-guru ku, Sheikh Hafiz Suhaimi, Almarhum Sheikh Muhammad Taha Suhaimi, Almarhum Sheikh Muhammad Khairullah Suhaimi, Almarhum Sheikh Muhammad Fadlullah Suhaimi, Almarhum Sheikh Umar Abd Rahim As Syaibani dan khusus kepada Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi.

Dinamakan The Seven Battle For Love (Tujuh Pertempuran Merebut Cinta), yang bermaksud tujuh pertempuran. Pertempuran kerana dinisbahkan kepada kesukaran, kepayahan dan penderitaan yang terpaksa ditempuh untuk mencapai matlamat yang hakiki iaitu kecintaan kepada ALLAH SWT. Ia merupakan suatu proses yang dilalui oleh seorang muslim dalam permusafirannya di dunia menuju ke negara akhirat yang kekal abadi. Apabila kita membicarakan persoalan pertempuran, maka kita tidak akan lepas lari dalam memperkatakan tentang jihad. Dan setiap yang mebabitkan jihad, pastinya menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan yang dilakukan di jalan Allah, pastinya akan menghampirkan diri kepada Allah SWT.

The Seven Battle juga dinisbahkan kepada tujuh pertempuran, kerana itulah tujuh peringkat yang dinyatakan di dalam kitab Minhajul Abidin untuk setiap muslim bagi menghampirkan diri kepada Allah. Dinisbahkan dengan pertempuran, kerana setiap peringkat tersebut bukanlah sesuatu yang boleh diperolehi tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan Allah demi menghampirkan diri kepada Nya sebagai seorang hamba Nya. Dan sebagai khalifah Nya untuk mentadbir duni ini dengan hukum-hakam Nya.

Firman Allah dalam Surah Adz Dzariyat : 56

Tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.

Mengabdikan diri kepada Allah SWT merupakan matlamat Allah jadikan manusia di dunia. Hujjah dan dalil manusia menjadi hamba Allah kuat. Bukan setakat ayat ke 56 dari Surah Adz Dzariyat menegaskannya, tapi dalil akal dan fitrah pun bersetuju bahawa memang wajar manusia menjadi hamba Allah.

Seandainya ada yang melabelkan kita sebagai "hamba Allah” . Secara langsung hati nurani dan akal kita merasa senang dan bahagia apabila kita dilabelkan dengan gelaran hamba Allah. Tetapi, seandainya ada yang datang kepada kita dan melabelkan kita sebagai "hamba Syaitan","hamba Nafsu", "hamba manusia", "hamba dunia"Secara langsung hati nurani dan akal kita merasa marah dan benci. Fitrah kita tidak boleh menerima kita menjadi hamba selain kepada Allah SWT. Inilah bukti dan dalil, bukan sahaja Allah menegaskan didalam surah Adz Dzariyat ayat ke 56, malah akal dan fitrah kejadian manusia itu sendiri tidak boleh menerima untuk menjadi hamba kepada yang lain kecuali Allah.

Ibadah mencakup seluruh aspek kehidupan manusia sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Itulah yang kita amalkan dalam hidup kita sehari-hari asalkan tidak bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah. Bagi memperjelaskan uslub atau kaedah bagaimana ingin menjadikan setiap aspek kita menjadi ibadah, maka konsep ibadah ini dapat diuraikan kepada tiga juzuk yang mencakup seluruh aspek kehidupan manusia, yaitu :

A. Ibadah asas ( yang mencakup persoalan rukun iman dan rukun Islam yang kedudukan hukumnya Fardhu Ain)
B. Ibadah yang menjadi cabang kepada ibadah yang asas ( amalan fardhu kifayah dan amalan sunat)
C. Ibadah umum. ( segala perbuatan, perkataan, amalan seharian manusia dalam kategori mubah atau harus seperti makan, berjalan, tidur etc. Seandainya bersesuaian dengan 5 syarat, maka perkara yng harus itu beroleh pahala dan menjadi ibadah. 5 syarat tersebut ialah :

1. Niat yang benar ( hanya kerana Allah)
2. Pelaksanaannya benar, (tidak melanggar syariat Allah)
3. Perkara kegiatan tersebut dibenarkan oleh syariat dan mendapat keredhaan ALLAH
4. Natijah (Hasil) mesti baik dan tidak menzalimi diri dan makhluk Allah.
5. Tidak meninggalkan atau melalaikan ibadah-ibadah asas.

Manusia juga dicipta Allah untuk menjadi khalifah Nya di muka bumi. Bersesuaian dengan firman Allah SWT , Surah AL Baqarah ayat ke 30

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya

Menjadi khalifah untuk mentadbir alam ini dengan hukum-hakam Allah dengan peraturan yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang layak menentukan peraturan bagi setiap ciptaan NYA. Ibarat sebuah televisyen jenama SONY, adalah mustahil manual pengguna dari jenama SAMSUNG digunapakai oleh pengguna untuk mengoperasikan peralatan tersebut. Begitu jugalah dunia dan alam ini, ianya ciptaan Allah, maka Allah sahajalah yang selayak menentukan peraturan yang wajib dipatuhi oleh makhluk ciptaan NYA. Hukum-hakam Allah inilah dipanggil syariat. Hukum syariat ada lima iaitu :

1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri tempoh 5 syarat ibadah , beroleh pahala. Lima syarat tersebut yang kita sebutkan di atas tadi.

Secara ringkasnya, peringkat-peringkat yang perlu kita tempohi atau pertempuran-pertempuran yang perlu kita hadapi adalah seperti berikut :

1. Pertempuran di medan Ilmu – untuk mendapatkan ilmu
2. Pertempuran di medan Taubat – untuk menyucikan diri dari dosa
3. Pertempuran di medan ‘Awa’iq (Penghalang Ibadah) – mengahalang sama sekali untuk kita beribadah
4. Pertempuran di medan A’warid (Pemesong Ibadah) – secara halus melalaikan kita untuk beribadah
5. Pertempuran di medan Bawai’th ( Pendorong Ibadah) – menyeimbangkan rasa khauf (takut) dan rasa raja’ (harap)
6. Pertempuran di medan Qawadih (Perosak Ibadah) – mengatasi rasa riya’ dan ujub
7. Pertempuran di medan Hamdi Wa Syukri (Pujian dan kesyukuran) – mentajallikan (menzahirkan) kepujian dan kesyukuran kepada Allah

Oleh itu marilah kita renung sejenak, mudah-mudahan ilmu yang bakal dihidangkan nanti dapat memandu kita untuk merenung ke dalam diri kita dan menghisab diri kita. Sejauh mana kita telah melaksanakan tuntutan titah perintah Allah serta meninggalkan larangan Nya.

InsyaAllah jika diberi kekuatan oleh ALLAH SWT kepada insan kerdil lagi lemah ini akan ku kupas dengan lebih lanjut kesemua pertempuran yang bakal kita hadapi dan tentera musuh yang bakal kita tentang satu persatu. Semoga ianya dapat kita jadikan panduan untuk menjadi hamba Allah dan khalifah Allah.

To be continue ...........


Friday, October 30, 2009

Raja Bersifat Hamba


Tinggallah ayah tinggallah ibu
Izinkan kami pergi berjuang
Kami meninggalkan kemewahan
Untuk maju terus berjuang

Andainya masa telah berlalu
Khabar berita tidak kunjung tiba
Anggaplah diri ku telah gugur
Di medan juang sebagai syahid

Jangan kembali pulang
Kalau sebelum menang
Biar jasad ku terdampar di medan juang
Tak mungkin ku menyerah kalah

Mengapa ku harus putus asa
Dunia hanya sementara
Esok lusa kita kan kembali
Bertemu ALLAH Rabbul Izzati



Begitulah antara bait-bait puisi atau nasyid yang pernah diajarkan oleh arwah datuk ku kepada cucu-cucunya. Hasrat datuk ku, ialah untuk melihat zuriatnya terus berjuang dan menjadi manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain. Pernah datuk ku berpesan kepada kami adik beradik pada malam terakhir kami bersama. Katanya ....

Atok ingin zuriat tok berjiwa besar dan mempunyai cita-cita besar. Agar mereka akan menjadi mujahid dan mujtahid. Agar zuriat tok, hidup mulia, mati syahid. Mujahid orang yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan memusnahkan kemungkaran. Mujtahid, orang yang melahirkan buah fikiran bernas untuk membangun dan memperbaiki kerosakan masyarakat.

Masih basah diingatan ku saat kami adik beradik bersama-sama atok buat kali terakhir. Malam itu, pondok tok dipenuhi dengan murid-muridnya yang hampir kesemuanya adalah anak yatim yang menumpang hidup di pondok madrasah atok. Tiada wajah ceria yang dapat ku lihat. Kesemuanya sugul. Seorang demi seorang murid tok menziarahi tok yang terbaring lesu di atas tilam usang. Malam itu tiada lagi cerita yang dilafazkan oleh tok buat halwa telinga kami sebagai teman tidur.

Sepertiga malam berlalu, dengan bantuan ibu ku, atok menunaikan solat malam dalam keadaan berbaring. Dan di subuhnya, atok telah pergi kembali ke rahmat ALLAH meninggalkan kami .... Al Fatihah buat Almarhum Haji Ehsan Bin Haji Harun ... ( di kenali sebagai Tuan Guru Haji Omar di Besut, dan dikenali sebagai Embah Kassan oleh muridnya, Kiai Shamsuddin di Muar, Johor)

Berkat puisi nasyid yang di ajar oleh arwah tok, kami adik beradik berani meninggalkan kampung laman semata-mata untuk menuntut ilmu. Kami merantau nun jauh ke negara orang. Aku sendiri pernah bekerja di Zuellig Pharma yang beribupejabat di Switzerland, merantau dari satu negara ke satu negara atas urusan kerja sambil menimba ilmu dan pengalaman.

Saudara seperjuangan sekelian,

Hari ini 28 hb October 2009, merupakan hari terakhir aku di KPJIC. Insya-Allah, suatu hari nanti kita akan ketemu kembali jika diizinkan Allah. Yang pasti, kita akan berkumpul jua di satu hari yang telah ditetapkan Allah. Di hari itu, manusia pertama yang wujud di mukabumi juga akan bersama-sama berkumpul dengan kita. Dan manusia terakhir yang hidup di muka bumi tatkala Israfil meniup Sangkakala juga akan bersama-sama dengan kita. Di hari itu juga, kita sudah tidak punya masa untuk memikirkan apakah yang sedang dan bakal terjadi kepada saudara-mara kita. Yang hanya terlintas di kotak fikiran kita hanyalah satu persoalan, "Apakah untung nasib ku di mahkamah Allah ini ?". Itulah perkumpulan yang akbar, perhimpunan di Padang Mahsyar. Di mana segala amal kebajikan dan amal kemungkaran mendapat perhitungan dan dinilai di mizan. Di situlah nanti akan terbukti sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah tempat perhentian kita di negara yang kekal abadi.

Sahabat seperjuangan yang dikasihi sekelian.

Aku ingin mengambil kesempatan di hari terakhir kita bersama kali ini di KPJIC, untuk berkongsi sebuah lagi kisah yang pernah di ceritakan oleh arwah datuk ku sewaktu kami kecil.

HIKAYAT

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Rasulullah SAW telah meyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW juga telah melantik Usamah Bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim. Antara para sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun ketentuan Allah mendahului segalanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan bala tentera tersebut, Allah telah menjemput kekasih-Nya untuk kembali ke sisi-Nya. Kewafatan baginda Rasulullah SAW, meninggalkan jutaan kenanangan buat umat baginda. Perginya Rasulullah SAW dalam linangan air mata sambil melafazkan "Umat Ku, Umat Ku, Umat Ku" sebagai tanda kecintaan baginda buat umatnya. Begitulah pengorbanan seorang pemimpin.

Setelah jasad Rasulullah SAW diuruskan, maka berhimpunlah ahlul hilli wal aqdi untuk melantik pemimpin bagi umat Islam. Berikutan syura yang dijalankan, keputusan diambil dan Saidina Abu Bakar As Siddiq telah dilantik oleh ahlul hilli wal aqdi sebagai khalifah. Setelah perlantikan dirasmikan, maka berucaplah Saidina Abu Bakar As Siddiq. Setelah tamat ucapannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah didatangi oleh Saidina Omar Al Khattab. Maka berlakulah dialog antara kedua orang sahabat sejati Rasulullah SAW yang diredhai Allah itu.

Omar : Wahai Abu Bakar, Rasulullah SAW baru saja meninggalkan kita. Sebelum kewafatan baginda, telah disusun satu angkatan tentera bagi berhadapan dengan tentera Rom. Memandangkan tarikh keberangkatan angkatan tentera kita agak hampir, apakah pandangan mu, andainya kita tangguhkan dulu keberangkatan tentera kita ke suatu tarikh yang lain ?

Dengan nada yang tegas, Saidina Abu Bakar As Siddiq menjawab usulan yang dimajukan oleh Saidina Omar Al Khattab.

Abu Bakar : Wahai sahabat ku Omar. Belum berubah pusara Rasulullah(SAW), maka engkau sudah mahu mengubah arahan Rasulullah SAW ? Demi Allah dan Rasul-Nya. Aku akan tetap menghantar tentera muslimin untuk berhadapan dengan tentera musyrikin.

Jawapan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang tegas telah menamatkan dialog tersebut. Saidina Omar Al Khattab akur dengan keputusan sahabatnya.

Setelah tarikh keberangkatan tiba, maka berbarislah para tentera muslimin. Antara yang turut berbaris ialah Saidina Omar Al Khattab. Setelah khutbah dan nasihat dibacakan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq selaku khalifah. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah turun dari mimbar Masjid Nabi dan berjalan menuju barisan tentera yang bakal bertolak ke medan jihad. Maka berjalanlah Saidina Abu Bakar As Siddiq menemui ketua tentera muslim, Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Lalu berkatalah Saidina Abu Bakar As Siddiq dalam nada perlahan, tawaddhuk dan penuh rasa kehambaan kepada Saidina Usamah bin Zaid.

Abu Bakar : Sahabatku Usamah. Kau dilantik oleh Rasulullah SAW untuk mengepalai bala tentera ini, maka kekalkanlah diri mu disana. Tidak akan ku ubah apa yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW atas mu. Namun aku hanyalah seorang manusia yang lemah. Dan jawatan khalifah yang baru ku sandang ini, amat berat dan merupakan suatu ancaman buat diri ku. Ianya suatu amanah yang haram untuk aku khianati. Tiada daya ku atas usaha ku, melainkan dengan izin Allah. Maka ku harap belas ihsan mu, agar Omar Al Khattab diberi kelonggaran untuk tidak turut serta dalam angkatan perang ini. Agar dapat aku berbincang dengannya tentang hal ehwal pengurusan negara kita.

Kata-kata Abu Bakar As Siddiq itu mengundang linangan air mata keseluruhan umat Islam di Madinah. Manakah dapat dicari, seorang khalifah berjawatan tinggi, tetapi masih mengekalkan sifat tawadduk dan menjaga adab sesama pengikut ? Berkatalah Usamah :

Usamah : Wahai Abu Bakar Amirul Mukminin, jika begitu kehendak mu, Demi Allah dan Rasul-Nya, ku izinkan Saidina Omar untuk tinggal bersama mu di kota Madinah agar dapat dia menjadi pembantu mu, sebagaimana engkau pernah menjadi pembantu kepada Rasul kecintaan ku suatu masa dulu.

Maka tinggallah Sadina Omar Al Khattab di kota Madinah membantu Saidina Abu Bakar menjalankan urusan pentadbiran negara.

Sahabat seperjuangan sekelian.

Walaupun kisah ini amat singkat. Namun disebalik kisah ini terdapat banyak suri teladan yang mampu kita pelajari. Antara teladan yang mampu kita pelajari ialah :

1. Peranan jemaah Ahlul Hilli Wal Aqdi dalam menentukan kepimpinan.
2. Sifat seorang pemimpin dan hamba Allah yang tawadduk dan dengan rasa kehambaan sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq kepada umat Islam di kala itu, juga Saidina Omar Al Khattab yang menjadi sahabat utama Rasulullah SAW, bersedia menjadi tentera biasa dibawah pimpinan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.
3. Ketegasan dan kelembutan dalam melaksanakan titah perintah dari Rasulullah SAW sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq.
4. Pentingnya syura dalam mencari sesuatu keputusan sebagaimana ditunjukkan oleh Ahlul Hilli Wal Aqdi, Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.
5. Pentingnya sahabat yang sejati dalam melaksanakan sesuatu mekanisme menuju matlamat.
6. Jawatan pemimpin bukanlah tiket untuk memperhambakan rakyat, tetapi merupakan suatu amanah yang HARAM untuk dikhianati.
7. Pentingnya mempunyai sahabat-sahabat yang sama-sama bersatu dari segi aqidah, ibadah, akhlak, hal khilafiah dan penentuan kawan/lawan dalam pentadbiran sebagai mana di tunjukkan oleh Saidina Abu Bakar AsSiddiq, Sasidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid.

Dalam kisah tersebut juga, didedahkan kepada kita betapa sistematiknya sistem yang telah dijadikan blueprint oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh para sahabat.

Dinyatakan dengan jelas, Rasulullah SAW telah memilih sahabat-sahabatnya untuk pergi ke medan jihad, diketuai oleh Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Antara tentera yang bakal ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun Saidina Abu Bakar As Siddiq, tidak menggunakan kuasa mutlaknya sebagai khalifah untuk menjadikan Saidina Omar Al Khattab sebagai pembantunya dalam mentadbir negara. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menemui Saidina Usamah Bin Zaid, dan mereka bermesyuarat, agar kesefahaman dicapai antara mereka. Ini sebagai tanda kepada kita yang lemah iman ini, Sedangkan orang yang telah dijamin syurga dan sahabat uatama Rasulullah SAW pun bermesyuarat dalam menentukan sesuatu keputusan, apatah lagi orang yang macam muka kita ini, memang patut kita semua bermesyuarat.

Kisah ini juga menunjukkan jalan kepada kita, kaedah untuk over-ride sesuatu arahan dengan cara yang berakhlak. Rasulullah SAW telah menamakan Saidina Usamah bin Zaid sebagai ketua tentera dan Saidina Omar Al Khattab sebagai salah seorang tentera. Saidina Abu Bakar As Siddiq, mengekalkan perintah dasar iaitu Usamah Bin Zaid sebagai ketua tentera. Untuk mendapatkan khidmat Saidina Omar Al Khattab dalam pentadbirannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menemui ketua tentera untuk "meminjam" Saidina Omar Al Khattab dalam menjalankan pentadbiran negara.


Dalam kisah tersebut banyak pengajaran yang dapat kita perolehi. Aku hanya menyebut sebahagian dari pengajaran yang tersurat. Namun disebalik kisah tadi, masih ada banyak pengajaran yang tersurat dan yang tersirat boleh kita ambil darinya. Sama-samalah kita jadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan. Tidak lupa, bahawa sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah bagaikan bintang-bintang dilangit. Pilihlah salah satu antara mereka, nescaya kita beroleh petunjuk.
Aku tamatkan qalam ku dengan satu lagi pesanan dari arwah atok ku :

" Bila hamba berlagak hamba, Raja akan sayang kepadanya. Tetapi bila Raja berlagak hamba, Raja kepada segala Raja (ALLAH Yang Maha Berkuasa) akan sayang kepadanya. Waktu itu segala urusannya adalah didalam pimpinan dan perlindungan ALLAH SWT."

Madrasah Darussyifa
28 October 2009
3.18 am


Saturday, October 17, 2009

Berjiwa Besar & Bercita-cita Besar : Tribute to My Students

(Sultan Muhammad Al Fatih Bin Sultan Murad II)


Ya Rasulallah, Ya Habeeballah, Ya Nabi Allah, Ya Syafiallah...
Rasulallah, Ya Habeeballah

Demi risalah suci mu
Menerangi kegelapan
Aku kembali terarah
Punyai hala dan maksud

Berpaut pada sabda mu
Menggenggam pada talinya
Walau gelora melanda
Dihati hembusan tenang

Wahai Rasul yang mulia
Rinduku makin mendalam
Mendamba saat bertemu
Menatap indah santun mu

Resahnya aku mengandai
Akan kah aku kau terima
Cukupkah apa ku laku
Sebagai umat mu ya Rasul

Ya Rasulallah, Ya Habeeballah, Ya Nabi Allah, Ya Syafiallah....




HIKAYAT

Aku bukanlah dari sebuah keluarga yang kaya yang malamnya disajikan dengan program-program hiburan di kaca TV ... Aku tidak juga anak dari keluarga mewah yang saban malam berhibur di bawah cahaya neon di kelab malam atau pun disko. Apatah lagi mahu meleret bola bowling menjatuhkan pin-pin di ruang gelap.


Aku hanyalah seorang anak dari keluarga yang daif serba kekurangan. Sewaktu kecil ku, siangnya ke sekolah, tengaharinya bekerja membantu keluarga mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung, sehingga lewat senja. Tatkala malam melabuhkan tirainya, hanya zikir sang cengkerik menjadi halwa telinga.

Seminggu sekali, atok akan mengumpulkan kami adik-beradik sebelum tidur ... dan seperti biasa dia akan bercerita dalam kegelapan malam sambil ditemani lampu karbaid.

Aku teringat akan sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh arwah datuk ku kepada kami adik-beradik tatkala kecil dahulu. Arwah tok, akan membuka cerita. Kebanyakkan cerita atok digarap dari kitab Hayatus Sahabah (Kisah Para Sahabat Nabi SAW) ...

Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Ahmad, ada menceritakan sebuah kisah ketika Peperangan Khandak ... Rasulullah SAW beserta tentera muslimin menggali parit sekeliling Kota Madinah bagi menghadapi serangan bala tentera Quraisy Mekah.

Walaupun umat Islam dalam keadaan serba kekurangan dan daif, demi mempertahankan maruah, mereka sanggup membanting tulang empat kerat menggali parit walau dalam kelaparan. Pernahseorang sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW ketika sedang menggali parit ... Ya Rasulullah SAW, aku lapar ... Rasulullah SAW melihat sahabat tadi dengan pandangan kasih sayang. Lalu Rasulullah SAW menyingkap bajunya, maka nampaklah ketulan-ketulan batu yang diikat di perut Rasulullah SAW bertujuan untuk menahan lapar. Barulah para sahabat sedari bahawa Rasulullah SAW sudah 3 hari tidak menjamah makanan.

Dalam satu peristiwa, sewaktu sedang menggali parit. Para sahabat menemui sebuah batu yang besar dan tidak dapat dipecahkan. Para sahabat pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW sendiri menggengam beliung dan berusaha memecahkan batu tersebut. Sambil diperhatikan oleh para sahabat, Rasulullah SAW menghentakkan beliung ke batu tersebut, keluarlah percikan api ditempat hentaman. Rasulullah SAW bertakbir. Kali kedua Rasulullah SAW menghentakan beliung ke batu tersebut, sekali lagi percikan api terhasil. Rasulullah SAW bertakbir buat kali kedua. Kali ketiga Rasulullah SAW menghentakkan beliung ke batu tersebut, sekali lagi percikan api terhasil dan Rasulullah SAW bertakbir buat kali ketiga. Batu tersebut akhirnya pecah.

Lantas Rasulullah SAW berkata, ketika berlaku percikan api kali pertama, aku melihat kaum muslimin menawan istana putih di negeri Yaman. Ketika berlaku percikan api kedua, aku melihat kaum muslimin menawan Iwan Kisra di Tanah Parsi. Kali ketiga percikan api berlaku, aku melihat mahligai Raja di Konstantinopel ditawan oleh kaum muslimin.

Rasulullah SAW bersabda lagi, Konstantinopel akan ditawan oleh tentera yang sebaik-baik tentera yang dipimpin oleh seorang raja sebaik-baik raja.

Sejak dari ucapan sabdaan Rasulullah SAW, maka berlumba-lumbalah para sahabat dan para tabiin, berusaha bagi merealisasikan sabdaan Rasulullah SAW. Di waktu pemerintahan Saidina Omar Al Khattab, Istana Putih di Yaman dan Iwan Kisra di Parsi telah berjaya di tawan. Hanya tinggal Kota Konstantinopel yang masih belum di tawan. Setelah kewafatan khulafar ar rasyidin, tidak putus-putus usaha dibuat oleh para sahabat dan tabiin untuk menawan Kota Konstantinopel.

Sehinggalah satu bala tentera muslimin, di bawah pimpinan Abu Ayub Al Ansari, yang merupakan sahabat Rasulullah SAW terakhir yang masih hidup. Abu Ayub merasakan, tanggungjawab membuktikan kebenaran sabdaan Rasulullah SAW bagi menawan kota Konstantinopel berada di atas bahunya. Maka berjuanglah habis-habisan Abu Ayub dan bala tenteranya bagi menawan Kota Pertahanan milik kerajaan Rom. Namun Abu Ayub Al Ansari gugur syahid. Sebelum beliau menghembuskan nafasnya, dia berpesan .... Tanamlah aku di bawah dinding Kota Konstantinopel. Agar aku dapat mendengar derapan langkah tentera yang sebaik tentera pimpinan seorang raja yang sebaik raja menawan kota ini bagi membuktikan kebenaran sabdaan Rasulullah SAW.

Gugurnya Abu Ayub Al Ansari sebagai sahabat Rasulullah SAW yang terakhir hidup di muka bumi ini TIDAK memadamkan semangat juang umat Islam bagi membuktikan kebenaran sabdaan Rasulullah SAW. Bermula di zaman Muawaiyah, di sambung pula di zaman Abbasiah dan zaman ke khalifahan yang lain. Tidak putus-putus usaha dilakukan bagi menakluk Kota Konstantinopel.

Setelah 800 tahun berlalu dari sabdaan Rasulullah SAW, Sultan Murad II, pemerintah Empayar Osmaniah yang soleh dan warak dengan bantuan Sheikh Muhammad bin Ismail Al Kurani telah mendidik anak Sultan Murad II, iaitu Muhammad Al Fatih dengan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Setelah Muhammad Al Fatih dapat menguasai ilmu yang diajar, Sultan Murad II menyerahkan Muhammad Al Fatih berguru dengan Syeikh Shamsuddin Al Waliy. Sheikh Shamsuddin inilah yang menanam semangat dan meyakinkan Muhammad Al Fatih bahawa dialah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdaan baginda. Muhammad Al Fatih lah pemimpin yang dibayangkan akan menawan Kota Konstantinopel.

Pada usia 20 tahun, Muhammad Al Fatih menaiki takhta dan menjadi Sultan bagi Empayar Osmaniah. Lantas dia terus menemui Syeikh Shamsuddin dan menyatakan hasratnya untuk menakluk Kota Konstantinopel. Bersama 250 ribu tentera muslimin, Sultan Muhammad Al Fatih bergerak menuju Kota Konstantinopel.

Akhirnya pasukan Sultan Muhammad Al-Fatih tiba di kota Konstantinopel pada hari Kamis 26 Rabiul Awal 857 H atau 6 April 1453 M. Pertempuran demi pertempuran berlaku sambil gema takbir ALLAHU AKBAR dilaungkan. Hingga tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jumadil Awal 857 H atau bertepatan dengan tanggal 29 Mei 1453 M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Tentara Osmaniah akhirnya berhasil menembus kota Konstantinopel melalui Pintu Edirne dan mereka mengibarkan bendera Daulah Osmaniah di puncak kota. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentara Al-Fatih, akhirnya berjaya mengantarkan cita-cita mereka.

Inilah sebuah kisah akan kesungguhan yang berasaskan keyakinan dalam mencapai cita-cita. Perjuangan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW penuh kepayahan dan penderitaan, namun dengan jiwa yang besar dan bercita-cita besar, kaum muslimin akhirnya berjaya menundukkan kuasa-kuasa besar dunia. Hanya orang yang berjiwa besar yang mampu mempunyai cita-cita besar. Kerana dalam mencapai cita-cita besar, pelbagai rintangan dan halangan yang akan dihadapi. Rintangan dan halangan ini hanya dapat ditempuh dengan jaya oleh orang yang berjiwa besar. Orang yang berjiwa besar adalah orang yang hampir dirinya dengan ALLAH dan bertaut hatinya dengan Rasulullah SAW.

Tiap kali sebelum atok menutup cerita ... atok akan berkata ... Atok ingin zuriat tok berjiwa besar dan mempunyai cita-cita besar. Agar mereka akan menjadi mujahid dan mujtahid. Agar zuriat tok, hidup mulia, mati syahid ......

Maka aku menyeru kepada diri ku dan student ku, punyailah cita-cita besar dan usahakanlah mencapai cita-cita mu dengan berjiwa besar. Dekatilah ALLAH dan cintailah Rasulullah SAW ... agar .....

Hidup mu mulia, mati mu syahid ....

Madrasah Darus Syifa
Tampin
18 Oct 2009
00:12 midnite


Monday, September 28, 2009

Mengimbas Malam Raya 2007


Sewaktu aku kecil, aku pernah menadah kitab Faridatul Faraid dengan arwah atok. Aku teringat satu lagi pesanan atok aku sewaktu membahaskan persoalan Qadha & Qadar, katanya :

Kita beruntung menjadi orang Islam yang beriman, sebab bila kita menerima nikmat kita akan bersyukur. Bersyukur itu menghampirkan diri kita kepada Allah. Sebagai orang Islam yang beriman kita juga beruntung kerana apabila kita ditimpa musibah, kita sabar dan redha. Sabar dan redha itu juga menghampirkan diri kepada Allah.



Pernah orang tanya aku : Apasal kau ni lorat sangat nak buka sekolah & asrama untuk anak yatim ?

Dan aku menjawab : Sebab aku orang jahat. Aku tak ada jaminan masuk syurga macam Saidina Abu Bakar, Khadijah, Saidina Abdul Rahman bin Auf. Jadi aku buka sekolah anak yatim, dengan harapan dia orang jadi orang baik-baik lagi soleh, dia orang akan doakan aku, insyaAllah ringan sikit siksaan aku kat alam barzakh dan akhirat nanti ..... he he he

Pernah juga aku ditanya sewaktu peringkat awal perancangan nak buka Madrasah anak yatim : Kau nak cari budak-budak untuk madrasah ni yang macam mana? Apa qualification dia ?

Dan aku menjawab : Aku nak cari budak yang miskin, papa kedana & yatim..... SEBAB ..... dia orang dah biasa susah .... kalau syoru miss .... dia orang tak komplen ... tak macam budak sekolah MRSM atau Sekolah Teknik ..... kuang kuang kuang

Sempena Syawal 1430H, aku ingin mengimbas kembali, satu pengalaman di malam Hari Raya Idilfitri yang aku lalui bersama-sama anak yatim ..........

Hikayat ….

Pada petang terakhir Ramadhan 2007 ...

Selepas Isyak ... aku dan sahabat2 yang lain bersama 18 anak-anak yatim dah berkumpul di masjid berhampiran madrasah tu. Secara tak langsung .. aku dapatlah tau ... antara 84 pelajar anak yatim & piatu ... 18 orang darinya MEMANG TAK ADA SEDARA MARA yang lain ....Semoga Allah merahmati mereka .... dan semoga Allah merahmati anak-anak yatim ini ... AMIEEN

Selepas solat Isyak .... kami pun start round satu kampung untuk bertakbir dari rumah ke rumah .... murah juga rezeki anak-anak yatim tu ... hampir setiap rumah yang kami pergi ... ada saja buah tangan untuk mereka ... ada yang bagi envelope ijau ... ada yang bagi baju raya ... ada yang bagi kopiah ... ada yang bagi kuih raya di bungkus cantik2 ... ada yang bagi ketupat & lemang ... dan lain-lain lagi

SEHINGGALAH .... jemaah takbir kami tiba di sebuah rumah yang besar ... cantik ... terang benderang .... milik seorang businessman yang selalu menziarahi rumah anak yatim ... TAPI ... Tuan Rumah yang menunggu kami di pintu pagar tu nampak tak ceria ... gerak hati aku dapat merasakan ... senyuman yang dibuat oleh Tuan Rumah tu adalah senyuman yang dibuat-buat .... aku memberikan salam ... kami bersalaman ... dan Tuan Rumah terus menjemput kami masuk ... setelah semua ahli jemaah duduk ... kami mula bertakbir ... selesai takbir ... doa dibacakan .... seterusnya Tuan Rumah menjemput anak-anak yatim menjamu makanan .... Tuan Rumah hanya melayan tanpa banyak kata ... sewaktu anak2 yatim mengambil tempat untuk makan ... aku menghampiri Tuan Rumah dan ajak dia bersembang berdua di luar rumah ...

Aku : bila balik beraya ke kampung ?

Tuan Rumah : insyaAllah esok lepas solat raya ustaz ............... (*** nota kaki : aku bukan ustaz ya ... tapi dia orang ni asyik panggil aku ustaz .... elok jangan ... sebab aku tak layak)

Aku : maaf kalau saya tanya .... abang ni nampak tak cerialah ... nak kata abang sedih sebab Ramadhan dah berakhir ... gerak hati saya kata ... abang ada masalah .... ada apa2 yang saya boleh bantu ?

Tuan Rumah tunduk .... senyap aje .... riak muka dia dah berubah menampakkan kesedihannya .... Aku menepuk belakangnya perlahan-lahan bagi meredakan kesedihannya

Aku : Sabarlah bang ... kita dah lama kenal .... sejak saya hijrah ke pekan ni tahun 2004 ... kalau ada apa2 masalah ceritalah ... insyaAllah kalau saya boleh bantu, saya bantu ...

Tuan Rumah : Ustaz ... (dia mulakan ayatnya dengan nada perlahan) .... tahun 2004 ... business saya mula nak idup balik .... pada Ramadhan 2004 .... saya tukar duit RM 300 sebagai duit raya untuk disedeqahkan kat budak2 waktu malam takbir ... TAPI ... entah camana ... Allah gerakkan hati saya untuk simpan RM 100 dari RM 300 dalam bag buruk saya ... jadi pada malam takbir 2004.... saya hanya bersedeqah RM 200 saja pada budak2 ... rupa-rupanya .... Allah nak suruh saya bersedeqah baki RM 100 tu pada malam raya 2007 .... ( air mata dia mengalir )

Aku : Apa maksud abang ?

Tuan Rumah : Business saya taklah sebaik yang saya jangka ... banyak hutang ... terus terang saya kata .... tahun 2007 .... saya tak ada apa nak diberikan pada budak2 terutamanya anak yatim .... jadi saya ada tanya kepada isteri saya ... "ADA TAK DUIT RAYA UTK DIBERIKAN SEDEQAH KEPADA ANAK YATIM ? " ... ustaz tahu apa isteri saya jawab ?

Aku : apa dia jawab ?

Tuan Rumah : isteri saya jawab dengan nada menghina ... "DUIT RAYA PUN NAK MINTAK KAT AKU ?" .... (dia terus menangis)

Tuan Rumah : sudah 30 hari kita berpuasa .... nampak sangat puasa ramadhan tu tak datangkan kesan sedikit pun pada isteri saya ... sia-sia saja dia berpuasa ... sia-sia saja dia berterawikh ... sia-sia saja dia sembahyang tahajud... Tak sampai seminggu .... Pada malam raya, ibadah Ramadhan dia dah hancur musnah ... dia tak hormat kat saya sebagai suami .... dia tak rasai masalah dan beban yang saya tanggung ..... paling saya sedih, dia tak rasa yang duit raya yang diberikan pada anak yatim itu adalah SEDEQAH ... itulah yang saya sedih ..

Dia terus menangis ... dan aku memeluk dia bagi menenangkan hatinya yang sedih ....

Tuan Rumah : Mujur saya teringat duit RM 100 yang saya simpan pada tahun 2004 .... saya pergi ke bilik store ... saya cari bag tersebut .. Alhamdulillah saya jumpa ... dan duit RM 100 tulah saya gunakan untuk memberi sedeqah kepada anak2 yatim malam ni...

*** Nota : isteri abang tu seorang pegawai atasan kerajaan

************************ END *************************

Begitulah sedikit coretan yang mampu ku tulis dalam blog merapu ku kali ini.

Dan begitu jugalah hebatnya nafsu.

Hebatnya nafsu sehingga mampu memusnahkan amal ibadah di bulan Ramadhan. Hebatnya nafsu sehingga si isteri sanggup memilih jalan ke neraka dengan menghina suaminya semata-mata kerana ada kelebihan wang ringgit. Hebatnya nafsu sehingga hiburan duniawi dan makanan enak dan lazat di hotel tampak lebih manis dan lebih nikmat berbanding imbuhan syurga. Maka tidak hairanlah ALLAH SWT menjanjikan neraka kepada manusia yang menuruti nafsu amarah dalam dirinya.

Muhasabahlah diri kita.

Andainya kita masih merasai kelazatan dalam beribadah di bulan Ramadhan WALAUPUN Ramadhan telah berlalu, bersyukurlah. Sujudlah kepada Allah tanda kesyukuran .... KERANA .... ada dikalangan kita yang ibadah mereka telah hancur dan musnah bersama perginya Ramadhan.

Insiden tersebut di malam raya menginsafkan aku .... sebaik saja selesai round dari rumah ke rumah bertakbir .... aku balik ke rumah ku ... aku pergi ke store rumah ku dan aku cari baju yang selalu aku gunakan sewaktu tahun 1992 ... dan baju itulah yang aku gunakan sewaktu solat Idilfitri 1 Syawal 1428H hinggalah 1430H.... kerana baju itu mengingatkan aku bahawa suatu ketika dulu aku pernah susah .............

Kepada isteri-isteri dan bakal isteri serta suami dan bakal suami .... ingatlah .... apabila kau orang semua SAH diijabkabulkan ... maka bermulalah perkongsian hidup kau orang bersama suami/isteri kau orang ... kalau susah ... maka sama2lah menanggung kesusahan ... kalau senang ... maka sama2lah menanggung kesusahan ... Berlakunya krisis dalam rumahtangga sehingga berlaku perceraian adalah disebabkan TIDAK MENJADIKAN Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan .... Kalau menjadikan Rasulullah & keluarga baginda sebagai contoh ikutan .... insyaAllah keluarga akan kekal harmoni ... isteri akan menghormati suami .... suami akan melindungi isteri ..... suami mendidik isteri .... isteri taat pada suami ... TETAPI ... jika faktor iman diabaikan ... godaaan nafsu dan hasutan syaitan dijadikan ikutan ... maka hilanglah rasa hormat isteri pada suami ... LEBIH-LEBIH LAGI ketika suami ditimpa masalah .... isteri yang tidak bermasalah akan menghina suami WALAU dia tahu bahawa suami itu patut dihormati ....

Kepada diri ku dan anda semua .... pesanan ku ...

Apakah Ramadhan yang pergi benar-benar berjaya mendidik kita untuk menjadi lebih baik dari hari-hari yang telah berlalu ?

Atau apakah puasa Ramadhan hanyalah routine tahunan yang dilaksanakan atas dasar terpaksa, lantas amalan tersebut dimuntahkan semula tatkala berakhirnya Ramadhan ?

Jawablah tatkala anda sedang sendirian ........



Madrasah

29 September 2009
01.03 am

Link Info :
Isteri Derhaka
Isteri Derhaka 2
Isteri Derhaka 3
Balasan Isteri Derhaka