Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Tuesday, September 28, 2010

Lima Musuh Orang Beriman Part 3


Musuh orang beriman yang kelima ialah nafsu. Islam menganggap nafsu itu sebagai musuh. Allah SWT telah menegaskan yang maksudnya :

"Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan" [Yusuf:53]

Nafsu adalah musuh dalam diri. Bahkan ia sebahagian daripada diri manusia. Ia adalah jismullatif (jisim yang tidak dapat dilihat). Ia sebahagian daripada badan tetapi ia perlu dibuang.Jika tidak dibuang ia musuh, hendak dibuang ia sebahagian daripada diri. Oleh kerana itu sangat sulit untuk melawan hawa nafsu. Nafsu adalah jalan atau high way bagi syaitan. Ini diterangkan oleh hadis Rasulullah SAW SAW yang maksudnya :



"Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikuti aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan melalui lapar dan dahaga"



Ini menunjukkan syaitan dapat dilawan dengan melawan hawa nafsu secara mengurangi makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan adalah besar. Sedangkan syaitanitu juga adalah musuh. Firman Allah yang maksudnya :



"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata" [Yusuf:5]



Penegasan tentang syaitan sebagai musuh hanya sekali berbanding dengan tiga kali pada nafsu. Ini menunjukkan nafsu lebih jahat daripada syaitan. Syaitan dapat lorong (peluang)yang amat luas untuk merosak manusia jika nafsu tidak terdidik.Menghalau (mengalahkan) syaitan tidak dapat ditiup atau dijampi-jampi. Tetapi didiklah hawa nafsu, nescaya syaitan akan sukar untuk mempengaruhi diri. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus. Yang boleh dijampi dengan ayat-ayat Quran ini ialah bila syaitan merosak jasad lahir manusia. Jika ini terjadi, syaitan boleh dilawan dengan ayat Kursi, surah An Naas atau lain-lain. Memang ada nas yang menyatakan demikian. Tetapi jika syaitan merosak hati,jampi-jampi itu tidak dapat digunakan lagi tetapi hendaknya didiklah hawa nafsu.



Sedangkan bila hati rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, pada syaitan tidak usah ambil pusing sangat tetapi didiklah nafsu, bermujahadahlah. Jika nafsu tidak terdidik maka mudahlah jalan syaitan mempengaruhi kita. Oleh kerana itu perangilah nafsu nescaya secara otomatik akan terperanglah syaitan.



Nafsu diperlukan untuk manusia. Dengan nafsu manusia boleh menjadi kecewa, celaka dan dapat masuk Neraka. Tetapi nafsu juga boleh menjadi alat untuk sampai kepada kebahagiaandi dunia sebelum sampai ke Akhirat. Ketika Allah menciptakan akal, Allah bertanya kepada akal, "Siapakah kamu, siapakah Aku ?" Jawab akal, "Saya hamba, Engkau Tuhan". Kemudian Allah arahkan akal agar maju ke depan dan mundur ke belakang. Akal turut perintah Allah, ini menunjukkan akal begitu taat.Kemudian Allah iringkan dengan mencipta nafsu, ketika Allah tanya nafsu "Hai nafsu, siapa engkau, siapa Aku ?" jawab nafsu dengan sikap membantah, "Engkau-Engkau, aku-aku" Allah murka dengan nafsu. Allah berikan didikan supaya insaf pada nafsu. Allah masukkan ke Neraka selama 100 tahun, dipukul, dibakar hingga tinggal arang dan hangus. Bila diangkat Allah tanya lagi "Siapa engkau, siapa Aku ?" baru dia kenal Tuhan, "Engkau Tuhan, aku hamba"



Bila Allah ciptakan Nabi Adam as, Allah masukkan akal dan nafsu dalam tubuhnya. Ketika Adam datang ke bumi, zuriat manusia bertambah, maka nafsu dan akal tidak dapat dipisahkan. Kemungkaran yang terjadi di atas muka bumi ini adalah dari nafsu, bukan dari akal.



Bila akal dan nafsu ada dalam tubuh manusia, maka terjadilah pertentangan di antara satu sama lain. Peperangan nafsu dan akal tidak pernah henti-henti, kadang-kadang menang nafsu, kadang-kadang menang akal. Buktinya bila berhadapan dengan kebaikan, nafsu ajak kepada kejahatan, akal ajak kepada kebaikan. Kalau kita ikut nafsu, kita kalah, ikut akal kita menang. Namun bagaimana pun nafsu perlu untuk manusia. Bila nafsu tiada, manusia akan pupus. Contohnya nafsu seks, kalau tidak ada, maka zuriat manusia tidak akan berkembang.Begitu juga dengan nafsu makan, tidak akan habis ia merupakan semula jadi. Kalau nafsu makan tidak ada, orang itu akan mati. Tentang nafsu kelamin ini pernah datang seorang sahabat kepada Rasulullah SAW SAW dan memberitahu untuk membunuh nafsu kelaminnya agar ia dapat berjuang sungguh-sungguh, tetapi Rasulullah SAW SAW melarang, sebab Rasulullah SAW SAW juga berumahtangga dan suka dengan zuriat ramai.



Pernah suatu masa ada seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW untuk berpuasa terus menerus, agar dapat lebih berbakti kepada Allah. Itupun Rasulullah SAW larang kerana Bagindajuga berpuasa dan juga berbuka. Rasulullah SAW juga bermasyarakat dan berjuang untuk menegakkan dunia dan Akhirat. Jadi Rasulullah SAW memberi jalan tengah, bahwa nafsu ini adalah perlu untuk manusia. Cuma jangan tersalah langkah, kerana jika tersalah langkah, ianya akan menjerumus kita ke Neraka. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya "Ada dua lubang yang dapat menyebabkan seseorang masuk Neraka, Iaitu lubang faraj dan lubang mulut, dua lubang ini juga dapat menyebabkan seseorang masuk Syurga". Nafsu ini dapat kita jadikan kuda untuk ke Syurga.



Ada setengah orang bila dengar nafsu,terbayang perkara-perkara jahat saja. Nafsu itu adakalanya jahat, adakalanya baik. Nafsu akan jadi baik bila dilatih. Al Imam Al Ghazali mengibaratkan nafsu itu sebagai anjing, bila dilatih dia akan dapat jadi baik.





Ulamak-ulamak Islam telah membagikan nafsu kepada 7 peringkat :



1. Ammarah

2. Lauwamah

3. Mulhamah

4. Muthmainnah

5. Radhiah

6. Mardhiah

7. Kamilah



Huraiannya ada pada notes RAHSIA NAFSU di link ( http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/rahsia-nafsu.html )



Cara mendidik nafsu ialah :



MUJAHADATUNNAFSI



Bagi berhadapan dengan nafsu yang buruk iaitu Ammarah, Lauwamah dan mulhamah serta mempertingkatkan quality nafsu ke tingkatan yang lebih tinggi, maka seseorang itu hendaklah bermujahadatunnafsi melalui proses mujahadatunnafsi. Proses mujahadatunnafsi ini melibatkan 3 perkara.



Yang pertama takhalli, iaitu mengikis/membuang sifat mazmumah(sifat terkeji) dalam diri.



Kedua ialah tahalli, iaitu mengisi/menggantikan sifat mazmumah dengan sifat mahmudah (sifat terpuji).



Dan yang ketiga tajalli, setelah seseorang telah berusaha mengungkai sifat mazmumah dan bersabar mengisi hatinya dengan sifat mahmudah, maka kemanisan dalam beribadah akan hadir, inilah yang dinamakan tajalli.



Contohnya ; tatkala nafsu hendak menzahirkan rasa bangga diri, maka bertakhallilah. Iaitu lawan perasaan tersebut, jangan sampai sifat bangga diri terzahir. Masa yang sama kita bertahalli iaitu kita gantikan sifat bangga diri dengan sifat tawaddhuk, rendah diri. Paksa hati untuk menjadi tawadduk/rendah diri. Ingatkan tentang siksaan neraka ke atas orang yang bangga diri. Ingatkan kisah Azazil yang terlaknat kerana rasa bangga diri kerana dicipta oleh api. Amalkan dan latih hati.Lama-kelamaan, akan lahir tajalli iaitu rasa indah kerana bersifat rendah diri.



Untuk melalui ketiga-tiga proses mujahadatunnafsi ini, maka seseorang itu hendaklah :

1. Melengkapkan dengan ilmu Fardhu Ain dan beramal dengannya

2. Mengekang sifat mazmumah dan memaksa diri menerima sifat-sifat mahmudah dengan sabar.

3. Kekang bisikan hati, tindakan perbuatan dan percakapan dengan sifat taqwa.

4. Berdoa kepada Allah.





Orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham bagaimana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia.



Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah ulama mana sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam bidang pelajaran. Ayat Al Quran dan Hadis yang dibaca dan dipelajari di sekolah pun tidak ada ayat-ayat yang berkaitan dengan nafsu dan kejahatannya. Usaha memerangi nafsu tidak diaplikasikan dalam tindakan. Bila sebut musuh, yang mula-mula nampak ialah Yahudi dan Amerika saja. Sedangkan Yahudi dan Amerika itu budak mainan nafsu. Orang jahat itu hanyalah hamba mainan nafsu. Bertambah aneh lagi, manusia hendak membaiki buah yang pahit, dia potong buahnya. Sedangkan buah datang dari pokok. Buah pahit itu ibarat perangai jahat. Pokok itu nafsu. Jalan paling mujarab hendak menyelesaikan buah yang pahit ialah dengan memotong atau menebang pokoknya. Ulama pun sudah tidak faham bagaimana hendak menebang pokok nafsu. Ulama yang hafaz Al Quran dan Hadis pun tidak mampu memahaminya.



Contoh lain, polis yang menjaga keamanan apabila hendak menyelesaikan masalah perompak dan pencuri, cara yang lazim dilakukan ialah menangkap dan mengurungkan mereka dalam penjara. Tetapi sebenarnya, yang paling berkesan untuk jangka waktu panjang ialah dengan menukar sistem pendidikan. Itulah cara terbaik memerangi dan membendung kejahatan merompak dan mencuri. Nafsu itu dididik. Bila ini berlaku, nafsu menjadi jinak. Nafsu yang jahat menjadi baik. Nafsu kalau dididik akan jadi pemurah, akan membesarkan Tuhan, tawaduk, tawakal, redha, berkasih sayang dan boleh berlapang dada. Maka lahirlah buah-buah yang manis walaupun di atas pokok yang pahit. Allah berfirman:



Maksudnya: “Adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggalnya.” (An Naziyat: 40-41)



END



USIM, Nilai

28 September 2010

5.22 pm

Lima Musuh Orang Beriman Part 2


Musuh orang beriman keempat ialah SYAITAN.

Firman Allah dalam Surah Fathir : ayat 6 :

إِنَّ ٱلشَّيۡطَـٰنَ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدۡعُواْ حِزۡبَهُ ۥ لِيَكُونُواْ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ (٦

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka.



Syaitan adalah musuh kita yang paling utama. Dialah punca segala bentuk kerusakan dan kejahatan diatas muka bumi ini. Oleh itu kita wajib membentengi hati kita denqan Iman atau Akidah yanq kukuh lagi mantap berdasarkan Al Quran dan Hadis Nabi yanq sahih. Dan selain itu kerana syaitan sangat pakar dalam menipu, maka kita juga perlu mengetahui bagaimana cara syaitan menyesatkan umat manusia. Semoga dengan banyak mengetahui bagaimana cara dia menyesatkan manusia maka kita akan selalu waspada terhadap tipu muslihatnya.



Allah berfirman dala Al- Qur’an:



وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نِبِيٍّ عَدُوّاً شَيَاطِينَ الإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوراً وَلَوْ شَاء رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ



“Dan demikianlah Aku jadikan bagi setiap Nabi itu (pasti) ada musuhnya berupa Syaitan manusia dan Jin. Mereka saling memberi inspirasi sebahagian kepada sebahagiannya dengan reka- reka rayuan yang mengandung tipu daya” (Al An'am : 112)



قَالً رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِى مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ. (رَوَاهُ الْبُخَارِى وَمُسْلِمٌ



Sabda Nabi SAW.: Sesungguhnya syaitan berjalan dalam tubuh manusia sebagaimana perjalanan darah. (HR. Bukhari dan Muslim)



قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ فِى الْجَسَدِ مُضْغَةٌ ، إِذَا صََلُحَتْ صَلُحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ الْقَلْبُ. (رَوَاهُ الْبُخَارِى وَمُسْلِمٌ)



Sabda Nabi SAW.: Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuhnya, dan jika dia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahawa dialah HATI. (HR. Bukhari dan Muslim)



Al Hafisz Ibnu Hajar Al 'Asqalaany berkata: Hadis diatas (no.1) boleh diertikan bahawa syaitan berjalan di dalam tubuh manusia secara zahir kerana Allah mampu berbuat demikian. Dan boleh juga jika diertikan secara kiasan kerana syaitan senantiasa ingin berdampingan dengan manusia. Mereka tidak mahu berpisah dari manusia sebagaimana kedudukan dan peranan darah. Jadi syaitan disamakan dengan darah kerana hubungan kedua-duanya yang sangat rapat dengan manusia. Ibnu Abbas berkata: Syaitan akan menyelinap ke dalam hati manusia jika dia sedang lupa, lalai dan was-was. Tetapi jika ia ingat kepada Allah maka syaitan pun akan pergi.



Dari keterangan diatas jelaslah bahawa syaitan dapat menyelinap kedalam tubuh manusia. Oleh itu, dia pilih "hati" sebagai markasnya kerana peranan hati sangat menentukan pergerakan manusia. Segala gerak-gerik anggota manusia adalah atas arahan hatinya. Jika "iman" seseorang menguasai hatinya maka ia akan menjadi manusia yang baik. Tetapi jika sebaliknya "syaitan" yang menguasainya maka ia akan menjadi manusia yang jahat. Atas sebab itulah maka Rasul bersabda: Sesungguhnya dalam tubuh manusia ada seketul daging. Jika dia baik maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Dan jika dia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah bahawa dialah hati.



Imam Ghazali dalam salah satu kitabnya berjudul “Minhaajul Aabidiin” mengungkapkan tentang adanya 7 (tujuh) jurus pukulan maut Syaitan bin Iblis laknatullah dalam menggoda anak manusia tanpa kecuali bahkan juga para cerdik pandai dan para ulamanya tak lepas dari rayuan manja dan serangan jurus pukulan maut syaitan sehingga banyak diantara mereka terlena dan tergelincir terkena godaannya.



Tujuh jurus pukulan maut itu dilancarkan Syaitan susul menyusul tanpa henti dan bergelombang secara bersepadu bak air bah menggempur benteng pertahanan hati manusia, dan siapapun yang lemah akan benteng pertahanannya, tak peduli dia seorang jahil atau ulamak, terkecuali orang- orang yang berlindung dan mendapat perlindungan Yang Maha Perkasa, Allah SWT.



Oleh kerana bahaya dan licik serta halusnya rayuan dan godaan itu, sangat perlu bagi kita untuk memahami dan mengidentifikasi cara- cara mereka agar kita waspada bila serangan itu datang sambil memohon perlindungan kepada Allah SWT.



Pada kesempatan ini penulis insya Allah akan menuturkannya dengan gaya bebas namun tetap bersumber dan mengacu pada kitab- kitab tersebut diatas.



1. Bentuk jurus pukulan maut pertama: Apa untungnya beribadah?



Syaitan akan membisikkan ke jiwa manusia agar ia tak perlu bersusah payah berbakti dan beribadah kepada Allah. Bukankah banyak orang yang tak beribadah pun dapat hidup senang dengan kekayaan melimpah, sebaliknya banyak para ahli ibadah namun hidup mereka tetap saja susah?



Maka banyaklah manusia goyah imannya mendapat serangan seperti ini, kecuali orang- orang yang telah mendapatkan hidayah Allah, ia akan menjawab dalam hati demikian :



“Memang, ibadah itu bukan untuk tujuan duniawi. Ibadah itu adalah syarat untuk meraih redha Allah dan kebaikan diakhirat, bukan untuk meraih hasil- hasil keuntungan material didunia ini. Sebagai makhluk yang telah diberikan hidup dengan segala kelengkapannya, sudah sepatutnya berterimakasih dan bersyukur kepada yang telah memberikan kehidupan bagi kita dengan cara beribadah. Bukankah Allah sudah memberikan cara bagaimana untuk meraih kebahagian duniawi dengan kerja keras, dan pantang menyerah?. Nah untuk kebaikan akhirat dan redha Allah, kita lakukanlah amal ibadah”.



Maka syaitan pun mempersiapkan jurus pukulan maut keduanya yang lebih hebat.



2. Bentuk jurus pukulan maut kedua: Menunda amalan.



Setelah gagal menyesatkan manusia dalam serangan pertama, Syaitan akan menyerang dengan jurus pukulan maut kedua, Syaitan berkata: “nak buat apa beribadah sekarang ? Nak buat apa nak bertaubat sekarang ? Engkau masih muda lagi. Nanti bila sudah tua barulah beribadah, barulah bertaubat. Hidup sekarang enjoy dulu puas-puas …”.



Maka ramailah manusia khususnya remaja yang hanya bercita-cita hendak beribadah dan bertaubat, namun sekadar semangat dan cita-cita. Tidak terzahir dalam bentuk amalan. Ramai yang tertipu kerana di sangkanya waktu itu boleh terhenti, sedangkan waktu terus berjalan dengan amat pantas, sehingga tiba- tiba ia sakit, ada halangan atau ajalpun menjemput sebelum sempat berbuat sebarang amalan.



Namun seorang yang mendapat pimpinan dari Allah akan segera menyanggah rayuan manja syaitan ini dan dengan tegas ia menjawab:



“ Umurku tidak berada ditanganku. Siapa yang tahu dan dapat menjamin bahawa esok aku masih dapat menghirup udara kehidupan? Maka bila aku tunda ibadahku hari ini siapa yang dapat menjamin bahawa aku mampu melakukannya esok hari? Bukankah tiap saat dan tiap waktu dapat bernilai ibadah? Jika aku tunda amalan ibadahku hari ini maka bererti aku akan rugi hari ini kerana esok ada nilai ibadah tersendiri yang telah disediakan Allah kepada para hamba NYA yang ingin meraih kasih sayang dari NYA”.



Syaitanpun undur selangkah untuk maju ke jurus pukulan maut ketiga.



3. Jurus pukulan maut ketiga: Lakukan amalan secepat mungkin tanpa mempelajari ilmunya.



“Oh begitu”. Kata Iblis. “Engkau hendak beribadah sekarang, O.K!. Silakan, silhkan… Jom kita kerjakan secepat mungkin, tanpa perlu tahu kaifiyat dan tata caranya yang benar. Lakukan saja sebanyak- banyaknya. Soal ilmu dan kaifiyatnya, itu soal nanti…”



Maka ramailah manusia beribadah dalam kejahilan. Solat sebanyak-banyaknya, tetapi tidak tahu arah qiblat, tidak tahu rukun dan sayarat sah batal. Solat sebanyak-banyak rakaat, tetapi tiada thuma’ninah.



Sewaktu membaca Al- Quran pun, bacaannya tidak tartil, tidak bertajwid, tidak bermakhraj, sedangkan Rasulullah SAW pernah menegur para sahabat sewaktu membaca Al Quran, agar bacaannya mengikuti bacaan Jibrail yang tartil. Bila di anjurkan agar belajar mereka menjawab bahawa Allah tidak mempersulit hambanya untuk beribadah kepadanya.



Kecuali hamba- hamba Allah yang mendapat Taufiq Nya ia akan berkata: “ Bukankah Rasulullah pernah bersabda bawa: Amal ibadah yang sedikit namun sempurna adalah lebih baik daripada banyak amal dengan banyak kekurangan?”



Bagaikan kita membuat kerja tetapi cuai, tenaga yang digunakannya banyak tetapi imbuhan gajinya tak seberapa malah mendapat murka dari majikan. Begitulah bidalan bagi orang yang melakukan ibadah banyak tetapi jahil tentang ilmu ibadah, bukan sahaja ibadahnya tidak sempurna, tidak mendatangkan pahala, malah mendapat kemurkaan Allah.



4. Jurus pukulan maut keempat: Mempamerkan kehebatan amal ibadahnya.



Pada langkah keempat syaitan pun merasuki jiwa manusia BERILMU YANG SEDANG MELAKUKAN IBADAH itu, dan membisikkan di hati mereka dengan pujian: “ Lihat, lihat semua orang memperhatikan engkau. Engkau sungguh hebat dan berilmu dalam beribadah. Tunjukkan kepada mereka ibadah engkau itu….”



Orang- orang yang tergelincir terkena godaan syaitan segera timbul RIYA’ nya. Buktinya sewaktu solat di rumah dia buat ala kadar secara cincai-cincai bahkan zikir dan wirid selepas solat pun tak dilakukannya. Tetapi, apabila solat di masjid sangat kelihatan khusyu’nya dan zikir wiridnya pun sangat panjang dan kuat agar didengar orang. Padahal khusyu’ dan zikirnya itu sekadar mempamer, agar ia dipuji sebagai orang yang khusyu’ dalam solat……



Namun manusia yang beruntung akan menolaknya dengan mengatakan: “ Penglihatan Allah sudah cukup bagiku, kerana DIA lah yang akan membayarkan pahala NYA kepadaku, bukan yang lain. Manusia adalah makhluk tak berdaya, aku tak perlukan penghargaan mereka…”



Syaitan gagal lagi dan syaitan pun mundur satu langkah dan maju kembali dengan serangan berikutnya.



5. Jurus pukulan maut kelima: Merasa dirinya hebat dan paling layak masuk syurga.



Dengan berbisik Iblis berkata kedalam hati si Abid: “ Kau memang hebat… Kamu memang ahli ibadah terbaik di negeri ini, ikhlas pula. Ya..ya.. kaulah yang terbaik di negeri ini, yang paling ikhlas dan paling alim, yang paling layak masuk syurga. Yang lain tak setanding dengan kamu…”



Maka muncullah orang- orang yang UJUB, yang merasa dirinya paling hebat, paling alim, paling benar, paling suci, paling unggul dibanding orang lain, paling layak masuk syurga….Dia pun tak segan untuk mengecilkan dan merendahkan bahkan menghina orang lain. Dalam bahasa psychology mereka disebut mengalami MEGALOMANIA complex, suatu penyakit jiwa yang pernah dialami oleh Fir’aun, Namrud, Hitler, Mussolini, Ummu Jah dan lainnya.



Pada tahap ini mulai banyak para ustaz, pendakwah, ahli ibadah dan ulama terjebak dalam rayuan syaitan berupa ibadah RIYA’ dan UJUB tanpa di sedari, bahkan mereka terjerumus ke dalam kancah maksiat yang lebih dahsyat iaitu HASAD dan DENGKI. Tatkala ia melihat pendakwah yang lain lebih berhasil, ustaz yang lain lebih banyak muridnya dan melihat ulamak lain lebih berjaya mengendalikan madrasahnya sebagai tanda betapa berjayanya dakwah Islam oleh sauadara seIslamnya. Tetapi disebabkan godaan syaitan, dia menjadi penghasut dan pemfitnah memburuk-burukkan orang atau jemaah yang sudah berjaya menzahirkan cra hidup Islam sebagai model ikutan. Kalau boleh dia hendak perubahan dan model tersebut terzahir dari dirinya.



Kecuali orang- orang yang mendapat perlindungan Allah, dia akan sanggup menolaknya dan berkata: Cukuplah Allah yang menggerakkan hatiku dan membalas amalku. DIA pula yang menyebabkan aku tergerak hati untuk melangkahkan kaki beribadah. Tanpa petunjuk NYA mana mungkin aku mampu melakukan segala kebaikan in? Maka apakah hebatnya aku, kerana aku hanyalah digerakkan oleh kekuatan NYA, kerana tiada daya melakukan perbuatan baik dan tidak ada kekuatan untuk menjauhi keburukan kecuali hanya dengan pertolongan Allah Yang Maha Agung.



Setelah Syaitan gagal dengan senjata kelima, segera mereka menyerbu dengan serangan dan jurus pukulan maut keenam yang lebih dahsyat.



6. Jurus pukulan maut ke- enam: Seorang wali tak perlu lagi beribadah!



Serangan ini sudah begitu banyak menelan korban dan menggelincirkan para ulama besar. Mereka tanpa disedari termakan oleh tipu daya Syaitan. Syaitan berbisik: “ ooo…kamu seorang ahli ibadah yang berilmu. Kini anda telah sampai ketingkat ikhlas dalam beribadah. Riya’ dan ujub sudah berhasil kau jauhi, maka kini engkau telah begitu dekat dengan Tuhanmu. Engkau kini seorang MUQORROBIIN, seorang AULIA’ ALLAAH, seseorang yang pasti dicintai Allah. Maka kini engkau telah memasuki alam malakut dan DUNIA WALI yang tak perlu lagi bersentuhan dengan amalan-amalan lahir. Engkau kini bagaikan lautan yang dapat menyerap segala kotoran dari sungai sekotor apapun. Maka kini maksiat tak akan mempengaruhi samudera kebersihan hatimu. Hukum syariat itu hanya berlaku bagi orang AWAM, bukan untuk orang ROH seperti kamu, hukum syariat sudah tidak diperlukan lagi untuk orang setaraf kamu kerana tujuan syariat adalah agar manusia MENGINGAT TUHAN, dan kau kini sudah selalu mengingati NYA, jadi buat apa syariat bagimu?……”.



Pada tahap ini, ramailah para orang alim, ahli ibadah, ahli zikir, ahli tariqat, yang akhirnya menjadi SESAT. Syaitan membisikkan MALAMAT PALSU yang sesat menyesatkan, yang akhirnya memisahkan antara SYARIAT- TARIQAT DAN HAQIQAT, yang seharusnya seiring sejalan, berjalin dan berkelindan yang merupakan sebuah kesatuan tak terpisahkan, sebagai perwujudan dan pelaksanaan Iman, Islam dan Ehsan.

Namun orang- orang yang mendapatkan petunjuk Allah dapat selamat dari jurus pukulan maut berbahaya ini dan mampu menjawab demikian: “ Bukankah Nabi Muhammad SAW adalah makhluk yang paling mulia dan paling Allah kasihi. Itu pun Rasulullah SAW beribadah sampai pecah-pecah kakinya. Bukankah para sahabat Rasulullah SAW adalah manusia- manusia terbaik yang dididik oleh Rasulullah SAW, namun mereka juga berjuang menegakkan dan menjalankan syariat dengan mempertaruhkan harta bahkan jiwa dan nyawanya? Bukankah Allah telah berfirman: “ Sesungguhnya para Wali Allah itu mereka tak pernah merasa takut dan khawatir. Yakni mereka orang- orang ber IMAN dan mereka semuanya ber TAQWA. (Surah Yunus 62- 63). Maka apalah aku ini jika dibanding dengan mereka ?”



Maka Syaitan pun tertewas lagi , namun selepas surut sejenak, syaitan menyerang semula dengan jurus pukulan maut terakhir.



7. Jurus pukulan maut ke 7: Serahkan pada takdir, tak ada gunanya berikhtiar.



Kata Syaitan: “ Kau adalah orang berilmu, pasti tahu sabda Nabi tentang TAKDIR. Betapapun engkau rajin beribadah sehingga jarakmu dengan syurga tinggal sejengkal, kalau takdirmu ke neraka maka tetaplah kamu akan masuk neraka. Sebaliknya jika kau buat maksiat sampai jarakmu dengan neraka tinggal sejengkal, namun bila takdirmu kesyurga, pastilah kau akan masuk ke syurga. Bukan begitu? Jadi buat apa kalian bersusah-susah beribadah kepada Allah?”.



Orang yang mendapat taufik dari Allah akan berkata untuk menjawab rayuan godaan Syaitan tersebut: “Takdir itu adalah URUSAN ALLAH dan hak mutlak Allah semata, bukan urusan makhluk seperti aku ini. Tugasku sebagai seorang hamba yang baik adalah BERIKHTIAR dan melakukan usaha dengan sungguh- sungguh. Lagi pula aku ingin mendapat REDHA Tuhan ku yang menciptakan aku. Maka seandainya aku harus masuk neraka dalam keadaan aku berbakti kepada Nya, itu lebih aku sukai dari aku harus masuk kedalamnya dalam keadaan menderhakai Tuhanku….”.



Dalam ikhtiar kita berhadapan dengan serangan maut syaitan ini, maka hendaklah kita :

1. Melengkapkan diri dengan ilmu Fardhu Ain.

2. Gunakan ilmu Tauhid dan Feqah untuk mengenal halal dan haram.

3. Gunakanlah ilmu tasauf untuk menyuluh sifat mazmumah yang terkandung di dalam diri kita dan kikislah sifat tersebut dengan menggantinya dengan sifat mahmudah.

4. Sentiasa berlapar

5. Memohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam





Semoga kita selalu dapat menangkis serangan dan rayuan Syaitan laknat, tentunya hanya dengan pertolongan Allah, Sang Pencipta alam semesta dan Pencipta Malaikat, Iblis, Syaitan, dan Pencipta kita semua.



To Be Continue



USIM, Nilai

28 September 2010

2.25pm

Lima Musuh Orang Beriman Part 1


Sedar atau tidak sedar, apabila seorang muslim mengucapkan dua kalimah syahadah, telah terpikul dibahunya akan satu tanggungjawab yang besar. Iaitu untuk memperjuangkan kalimah Allah di mukabumi sebagai khalifah Allah. Dalam memperjuangkan kalimah Allah ini, maka para pejuang kebenaran akan berhadapan dengan 1001 macam mehnah yang dilahirkan oleh musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan untuk menjauhkan seorang muslim dari mendekati Allah SWT.


Apabila persoalan musuh diketengahkan, terlalu ramai umat Islam menyangkakan musuh Islam hanyalah Yahudi dan Nasrani. Lebih-lebih lagi, akhir-akhir ini slogan membebaskan Gaza dari cengkaman Yahudi disemarakkan oleh mereka-mereka yang mengaku pejuang Islam walau rokok Marlboro dari Amerika masih menjadi hiasan bibir mereka dan ayam goreng KFC menjadi santapan hidangan mereka. Maka berkumpullah mereka berdemonstrasi dan membakar bendera Israel, memaki hamun dan beremosi.



Hakikatnya, mereka terlupa bahawa musuh Islam itu bukan hanya Yahudi dan Nasrani. Malah ada lagi empat musuh yang lebih bahaya dari itu. Antaranya yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan lebih bahaya dan lebih licik. Andainya seorang muslim, gugur di medan perang ditembak Yahudi dek mempertahankan kalimah Allah, syahid baginya. Namun andainya seorang muslim gugur dan kecundang dengan musuh yang satu lagi ini iaitu musuh yang lebih merbahaya dari Yahudi dan Nasrani, amat malanglah nasibnya di dunia dan di akhirat.



Sipakah musuh bagi orang mukmin ?



Sabda Rasulullah SAW



“Seorang mukmin selalu dikelilingi lima musuh yang membahayakan, iaitu seorang mukmin yang hasad, orang munafiq yang membenci, orang kafir yang memerangi, syaitan yang menyesatkan dan hawa nafsu yang menyeretmu. (Termidzi)





Pertama : Golongan mukmin yang hasad iaitu dari kalangan umat Islam tetapi mereka melakukan berbagai maksiat dan mungkar. Umat Islam yang bergelumang dengan mungkar dan maksiat ini akan menyimpan perasaan dengki sesama muslim. Mereka iri hati dan susah hati jika ada seorang muslim yang lain mampu membuat sesuatu amal kebajikan yang dia tidak mampu lakukan. Bila dia lihat ada saudara seIslamnya mampu beribadah, dia dengki dan dia benci. Jika ada saudara seIslamnya yang kuat berjihad sedangkan dia tidak mampu berjihad, dia tabor fitnah dan mengadu domba memburuk-burukkan sahabatnya itu. Hakikatnya, mereka inilah yang menjadi punca perpecahan umat Islam. Andainya dia tidak ubah sifatnya, tak mustahil statusnya berubah dari mukmin yang hasad dengki kepada golongan munafik.



Tak kurang juga golongan ini terdiri dari orang muslim yang a’si, yang fasiq yang memperolehi nikmat dunia bersumberkan maksiat dan mungkar. Bagi mereka kebaikan dan amal soleh hanya menghalang mereka dari mengecapi nikmat yang diperolehi dari maksiat yang dikerjakan. Mereka benci jika ada orang berdakwah dan ajak orang kea rah kebaikan, kerana jika semua orang baik, dia sudah tidak boleh zina, tidak boleh minum arak, tidak boleh hisap dadah. Maka timbullah kebencian dalam diri mereka. Jika disuluh peribadi tingakatan iman, golongan mukmin yang hasad ini memiliki nafsu ammarah dan berada di tingkatan iman taqlid atau iman ilmu.



Firman Allah SWT :



“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan kepadamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkanmu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” (Ali-Imran: 118)



Bagaimana hendak berhadapan dengan musuh dari kalangan mukmin yang hasad ini ?



Cara untuk berhadapan dengan kejahatan yang dilahirkan oleh manusia muslim yang hasad dengki ialah dengan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita. Dalam kitab dibahaskan empat cara iaitu :



1. Membalas kejahatan dengan kejahatan. Cara ini lebih baik ditinggalkan kerana ia akan menyebabkan perpecahan. Seorang mumin yang hasad, sikap hasad itu menyemai benih perpecahan, dan perpecahan melemahkan kekuatan lantas menghancurkan dasar keimanan kerana Rasulullah SAW ada memberi peringatan : “Hasad akan memakan kebaikan seperti api memakan sekam” . Andainya cara pertama ini yang kita pilih untuk memerangi mukmin yang hasad, hakikatnya kita sendiri saling tidak tumpah, sama sahaja dengan mukmin yang hasad tersebut.
2. Berlaku diam, iaitu tidak membalas kejahatannya. Ini susah dilaksanakan kerana ia memerlukan mujahadatunnafsi dan sifat sabar. Dan ingatlah, sabar adalah sifat yang dimiliki oleh golongan bighairi hisab di yaumil mahsyar nanti.
3. Kejahatannya dibalas dengan kebaikan. Pelaksanaannya amat sukar sekali diibaratkan seperti mencabut nyawa dari badan. Tahap kesabaran yang lebih tinggi dari kaedah kedua di atas. Cuba bayangkan, orang mendatangkan kepayahan kepada kita, tetapi kita balas dengan senyuman kepadanya. Mampukah kita lakukan ? Dan dalam pendekatan perjuangan Islam, dalam memberi kebaikan dalam membalas kejahatan yang dilakukan, seorang Muslim hendaklah menyampaikan seruan dakwah secara berhikmah dan berakhlak kepada mereka yang berbuat jahat. Seru mereka, didik mereka, dakwah mereka, ke arah iman dan akhlak Islamiah. Dan inilah sebaik-baik cara kerana tingatannya lebih tinggi dari kaedah kedua.
4. Mendoakan mereka agar dipimpin Allah ke arah keinsafan dan iman.



Antara keempat-empat cara memerangi orang mukmin yang hasad, hindarilah kaedah yang pertama. Dan sebaik-baik cara berhadapan dengan mereka ialah kaedah ketiga dan keempat. Kita balas kejahatan yang mereka lakukan dengan kebaikan. Antara kebaikan yang boleh ita lakukan ialah dengan memberi nasihat kepada mereka. Dengan memberi ilmu kepada mereka. Dengan membantu mereka beramal dengan ilmu mereka.Dan lainlain kebajikan yang mampu kita berikan sebagai khidmat kita kepada mereka atas jalan iman dan taqwa. Lantas, kita berdoa kepada Allah agar mereka dan diri kita serta seluruh umat Islam diberikan ampunan dan kekuatan dalam beribadah kepada NYA.



Musuh mukmin yang kedua ialah orang munafik. Golongan Munafik adalah golongan yang menzahirkan diri sebagai Muslim sambil menyembunyikan kekafiran mereka. Mereka boleh memperkatakan tentang Islam, mereka alim dan arif tentang ilmu-ilmu Islam, mereka petah dan lancar membicarakan dan membahaskan hal ehwal Islam, tetapi disebalik penzahiran Islam mereka, terkandung agenda untuk merosakkan dan menyesatkan umat Islam. Kaum munafik ini diibaratkan bagai "musang berbulu ayam" atau "musuh dalam selimu". Mereka menzahirkan keislaman mereka, lantas kita sukar untuk mengenali mereka melainkan perkhabaran yang datangnya dari Rasulullah SAW serta tanda-tanda yang disebut di dalam Al Quran. Firman Allah dalam Surah Al Munafiqun ayat 1 hingga 6 :



إِذَا جَآءَكَ ٱلۡمُنَـٰفِقُونَ قَالُواْ نَشۡہَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ ٱللَّهِ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ ۥ وَٱللَّهُ يَشۡہَدُ إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِينَ لَكَـٰذِبُونَ (١) ٱتَّخَذُوٓاْ أَيۡمَـٰنَہُمۡ جُنَّةً۬ فَصَدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّہُمۡ سَآءَ مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (٢) ذَٲلِكَ بِأَنَّہُمۡ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ فَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِہِمۡ فَهُمۡ لَا يَفۡقَهُونَ (٣) ۞ وَإِذَا رَأَيۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡ‌ۖ وَإِن يَقُولُواْ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡ‌ۖ كَأَنَّہُمۡ خُشُبٌ۬ مُّسَنَّدَةٌ۬‌ۖ يَحۡسَبُونَ كُلَّ صَيۡحَةٍ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡ‌ۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ أَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ (٤) وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ يَسۡتَغۡفِرۡ لَكُمۡ رَسُولُ ٱللَّهِ لَوَّوۡاْ رُءُوسَهُمۡ وَرَأَيۡتَهُمۡ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسۡتَكۡبِرُونَ (٥) سَوَآءٌ عَلَيۡهِمۡ أَسۡتَغۡفَرۡتَ لَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تَسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ لَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَهُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَہۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَـٰسِقِينَ (٦)



Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (1) Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (2) (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah). (3) Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)? (4) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. (5) (Tidak ada faedahnya) kepada mereka, samada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang fasik. (6)



Golongan ketiga ialah golongan kafir harbi, iaitu kafir yang memusuhi dan memerangi.





Golongan kafir. Mereka terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu:

a. Kafir Harbi – iaitu mereka yang menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam samada seperti menyerang, membunuh, menyiksa, menekan, dan sebagainya. Sebagai contoh, golongan Yahudi Zionis yang menyerang umat Islam di Palestin.

b. Kafir dzimmi – iaitu golongan kafir yang tidak menzahirkan permusuhan dengan umat Islam samada yang tinggal bersama umat Islam ataupun yang mendiami Negara yang berasingan dan tidak memusuhi umat Islam secara jelas. Mereka ini mengamalkan sikap perdamaian dan toleransi sesama umat Islam. Maka umat Islam disaran untuk menjalinkan hubungan baik, saling hormat menghormati, bantu-membantu disamping menyampaikan seruan dakwah kepada mereka. Andainya dalam sesebuah negara Islam, maka kebajikan dan keselamatan kafir dzimmi ini hendaklah dijaga dan pertahankan oleh pemerintah Islam dari dicabul haq mereka.



Bagi kafir harbi, mereka akan memerangi bukan sahaja umat Islam, malah mereka juga memerangi kafir dzimmi. Cara mereka memerangi tak semestinya melalui senjata api.Tetapi melalui pelabagai sudut dan elemen cara hidup. Mereka memerangi kita melalui pendidikan. Sekolah-sekolah mereka menafikan kebenaran Islam. Mereka memerangi kita melalui kebudayaan, mereka galakkan pergaulan bebas. Mereka perangi kita melalui kesihatan, anak-anak umat Islam yang dilahirkan didendangkan dengan lagu-lagu gereja. Mereka perangi kita dengan ekonomi berlandaskan riba'. Mereka perangi kita dengan media cetak dan media elektronik yang dengan majalah-majalah lucah dan merosakkan akhlak remaja. Mereka perangi kita dengan pelbagai cara dan elemen.Yang penting umat Islam hancur binasa. Lantaran itu maka rosaklah akhlak umat Islam.



Bagaimana hendak menghadapi golongan kedua (munafik) dan golongan ketiga (kafir harbi) ini ?



Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah : 190 - 193 :



وَقَـٰتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ (١٩٠)وَٱقۡتُلُوهُمۡ حَيۡثُ ثَقِفۡتُمُوهُمۡ وَأَخۡرِجُوهُم مِّنۡ حَيۡثُ أَخۡرَجُوكُمۡ‌ۚ وَٱلۡفِتۡنَةُ أَشَدُّ مِنَ ٱلۡقَتۡلِ‌ۚ وَلَا تُقَـٰتِلُوهُمۡ عِندَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ حَتَّىٰ يُقَـٰتِلُوكُمۡ فِيهِ‌ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُمۡ فَٱقۡتُلُوهُمۡ‌ۗ كَذَٲلِكَ جَزَآءُ ٱلۡكَـٰفِرِينَ (١٩١) فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٩٢) وَقَـٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةٌ۬ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِ‌ۖ فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَلَا عُدۡوَٲنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ (١٩٣)





Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.(190) Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjidilharam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir. (191) Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (192) Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim. (193) (Al Baqarah : 190-193)



Setiap serangan dari golongan kafir harbi dan munafik ini, kita balas serangan mereka berdasarkan syariat dan kita jangan melampaui batas. Orang yang melampaui batas adalah orang yang zalim. Berlaku zalim bukan dari ajaran Islam.



Andainya kita diserang dengan pendidikan musuh yang meruntuhkan akhlak umat Islam khususnya remaja. Maka serang semula dengan mewujudkan pendidikan Islam yang mengajar umat Islam untuk rasa bertauhid dan beribadah. Andainya kita diserang dengan ekonomi riba’ oleh musuh, maka serang semula dengan mewujudkan ekonomi Islam yang mampu menyebarkan kekayaan Negara kepada seluruh masyarakat dan menjadi tunjang kea rah pembangunan Negara. Andainya kita diserang dengan kebudayaan kuning musuh yang beterasakan pergaulan bebas tanpa batasan, arak dan maksiat, maka kita serang semula dengan kebudayaan Islam dengan menzahirkan syariat dalam berhibur, berpakaian, bermasyarakat dan sebagainya. Andainya kita diserang dengan makanan yang haram, maka kita serang semula dengan mewujudkan industry dan kilang makanan halal.Andainya kita diserang dengan sistem perubatan kafir yang menyebabkan maruah aurat kita terdedah, maka kita wujudkan sistem perubatan Islam yang bukan saja menjaga maruah pesakit, malah memberikan rawatan dengan caj yang setimpal. Dan begitulah seterusnya. Jangan sesekali kita melampaui batas dalam membalas serangan musuh dari golongan kedua dan ketiga.



Di sini letaknya peranan membangun hablumminannas. Hablumminannas adalah hubungan sesama manusia. Di dalamnya terangkum tuntutan fardhu kifayah dalam membina hubungan dan menjaga hal ehwal sesama manusia, tak kira sama ada manusia itu beragama Islam, mahu pun bukan Islam. Andainya tuntutan hablumminannas ini tertunai, hakikatnya terjagalah kebajikan umat Islam. Terlindung dan terselamatlah kepentingan dan maruah umat Islam. Kerana umat Islam sudah tidak bergantung lagi kepada kaum munafik dan kafir harbi yang sentiasa memusuhi Islam. Cuba bayangkan andainya tuntutan hablumminannas terlaksana. Masyarakat kita ada sistem pendidikan Islam dari peringkat tadika sehingga universiti. Masyarakat kita ada rangkaian jaringan ekonomi dari peringkat gerai kecil-kecilan atau kiosk, membawa kepada mini market, kepada supermarket, kepada hypermarket, kepada import & export. Masyarakat Islam kita punyai industri kecil, sederhana, dan besar dalam menghasilkan produk-produk keperluan harian umat Islam yang dijamin halalan toyyiban. Masyarakat Islam punyai hospital Islam menyediakan kemudahan rawatan dan perubatan bersyariat. Masyarakat Islam punyai stesen penyiaran sendiri dalam menyalurkan informasi Islam dan dakwah. Masyarakat Islam punyai sistem kebudayaan Islam yang memperomosi hiburan cara Islam, berpakaian cara Islam, berakhlak dan berinteraksi secara Islam. Dan lain-lain lagi. Alangkah indahnya. Waktu itu bukan sahaja umat Islam mendapat manfaat atas kedamaian dan ketenangan yang terzahir, malah masyarakat bukan Islam juga dapat menumpang keamanan dan perkhidmatan yang ada.



Tetapi



Andainya umat Islam gagal membangunkan hablumminannas, maka terhinalah mereka kerana terpaksa bergantung hidup dengan hasil dan produk keluaran musuh-musuh Islam.



Firman Allah SWT dalam Al Imran : 112 :



ضُرِبَتۡ عَلَيۡہِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيۡنَ مَا ثُقِفُوٓاْ إِلَّا بِحَبۡلٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبۡلٍ۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتۡ عَلَيۡہِمُ ٱلۡمَسۡكَنَةُ‌ۚ ذَٲلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلۡأَنۢبِيَآءَ بِغَيۡرِ حَقٍّ۬‌ۚ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ (١١٢)



Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).



To Be Continue ..........



Library USIM

28 September 2010

11.52am

Pembahagian Manusia Di Akhirat


Firman Allah SWT dalam Surah Al Waqi’ah

[1] Apabila berlaku hari kiamat itu,

[2] Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.

[3] Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).

[4] (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan.

[5] Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,

[6] Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,



[7] Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);

[8] Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?

[9] Dan puak pihak kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?

[10] Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), – yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);

[11] Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),

[12] (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.

[13] (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;

[14] Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.

[15] (Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;

[16] Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.

[17] Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, -

[18] Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.

[19] Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.

[20] Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,

[21] Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.

[22] Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,

[23] Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

[24] (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.

[25] Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -

[26] Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).

[27] Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?

[28] Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.

[29] Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,

[30] Dan naungan yang tetap terbentang,

[31] Dan air yang sentiasa mengalir,

[32] Serta buah-buahan yang banyak,

[33] Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,

[34] Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.

[35] Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

[36] Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),

[37] Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.

[38] (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;

[39] Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,

[40] Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.

[41] Dan puak kiri, – alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?

[42] Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak

[43] Serta naungan dari asap hitam,

[44] Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.

[45] Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).

[46] Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,

[47] Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?

[48] “Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? ”

[49] Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,

[50] “Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan – pada hari kiamat yang termaklum.

[51] “Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),

[52] Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,

[53] “Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,

[54] “Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,

[55] “Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”.

[56] Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.



Setiap kali membaca surah Al Waqi’ah, setiap kali juga hati ku bergetar. Apakah untung nasib kita menjadi puak kanan ? Atau apakah untung nasib kita menjadi puak kiri ? Andainya kita tergolong dalam golongan puak kanan, maka berbahagialah diri kita. Tetapi andainya kita tergolong dalam golongan puak kiri, maka amat malanglah nasib kita. Kerana pembalasan di akhirat adalah pembalasan yang kekal abadi.



Saat Israfil meniup sangkakala, maka berakhirlah usia dunia ini. Berlakulah kiamat. Segala makhluk akan mati. Dan saat ditiup sangkakala yang kedua, maka bangkitlah setiap yang bernama manusia di hari pembalasan untuk diperhitung amal perbuatan selama hidup di dunia. Andainya berat timbangan amal kebajikan, maka berbahagialah diri insan. Suratan diterima di tangan kanan dan syurga yang indah dan lazat menjadi imbuhan. Sebaliknya andai berat pula timbangan amal kemungkaran, maka celakalah hidup insan. Suratan di terima di tangan kiri dan neraka yang azab dan derita menanti untuk member pembalasan.



Saat di bangkitkan di Padang Mahsyar, tidak seorang pun yang tertinggal. Dari Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir bernafas di dunia di saat sangkakala bergema, akan dihimpunkan. Setiap amal perbuatan di dunia akan dinilai. Insan yang hidupnya dan matinya bersama iman walau sebesar zarah akan diasingkan. Sementara yang tidak beriman akan dihalau terus ke neraka.

Kelompok yang membawa iman ini terbahagi pula kepada empat kelompok.

1. Bighairi hisab (Golongan muqarrabin)
2. Ashabul Yamin
3. Ashabus Syimal
4. Ashabul A’raf

Golongan Bighairi Hisab adalah golongan muqarrabin. Golongan bighairi hisab, mereka memasuki syurga tanpa hisab. Golongan ini terdiri dari :

1. golongan para Nabi dan Rasul-rasul
2. para sahabat Rasulullah SAW
3. para syuhada
4. wali Allah
5. mereka yang terlalu sabar.Sabar ini dibahagikan pula kepada tiga. PERTAMA : Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Hakikatnya, bukan senang sebenarnya hendak taat kepada Allah, lebih-lebih lagi dengan adanya godaan syaitan, nafsu, dunia yang menggoda serta hasad dengki oleh manusia yang memusuhi kebenaran. Cuba tanya diri kita, senangkah hendak tutup aurat ? Senangkah hendak bersedeqah ? Senangkah hendak puasa ? Susah, melainkan mereka yang benar-benar ingin kembali kepada Allah dalam keadaan sejahtera. Mereka sabar melakukan ketaatan. KEDUA : Sabar dalam meninggalkan tegahan Allah. Bagi mereka yang sudah lama berkecimpung dengan maksiat, bukan senang hendak meninggalkan dadah, bukan senang hendak meninggalkan zina, bukan senang hendak meninggalkan riba'. Jadi kesabaran dalam mengorbankan nikmat dunia yang sementara demi meraih kasih sayang Allah, akan dinilai oleh Allah dan diberikan ganjaran yang amat bermakna. KETIGA : Sabar tatkala menerima ujian musibah, kerana Allah mendatangkan ujian musibah kepada kita semata-mata untuk menaikkan darjat kita disisi-NYA. Maka hendaklah kita sabar dan redha dengan ujian musibah tersebut. Kerana Allah tidak akan mendatangkan ujian musibah yang di luar kemampuan kita.
6. mereka yang tidak terpaut dan cinta dengan kenikmatan dunia.
7. mereka yang berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada mereka.



Golongan Ashabul Yamin adalah golongan kanan iaitu golongan yang menerima suratan amal di tangan kanan. Saat kebangkitan di Yaumil Mahsyar, amalan mereka akan dihisab. Timbangan amal kebajikan mereka lebih berat dari amal kemungkaran. Lalu mereka menerima suratan amal di tangan kanan dan mereka akan melalui titian Sirat ke syurga. Ciri-ciri golongan Ashabul Yamin ini ialah mereka memiliki iman tingkatan IYYAN (Sila rujuk notes Rahsia Iman di link http://www.facebook.com/note.php?note_id=44049379076 ) dan memiliki tingkatan nafsu MUTMAINNAH (Sila rujuk notes Rahsia Nafsu di link : http://www.facebook.com/note.php?note_id=440741090768 ). Golongan ini juga dipanggil golongan Al Faaizun, Al Muflihun, Al Abrar dan As Solihin.



Golongan Ashabus Syimal ialah golongan kiri. Golongan ini adalah golongan orang muslim dan mukin yang a’si (yang hidupnya di dunia derhaka kepada Allah dan melakukan banyak dosa kemungkaran). Saat dibangkitkan di Mahsyar, golongan ini menerima suratan amal di tangan kiri. Saat mereka di hisab di mizan, timbangan amal kemungkaran mereka lebih berat dari amal kebajikan. Mereka akan melintas titian Sirat dan mereka jatuh ke neraka. Mereka akan diazab di neraka terlebih dahulu dalam tempoh masa berdasarkan sejauh mana teruk dan banyaknya dosa kemungkaran yang dilakukan sewaktu di dunia. Setelah menjalani tempoh hukuman, barulah mereka di keluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.



Golongan Ashabul A’raf ialah golongan yang timbangan dosa dan pahalanya sama banyak. 50 – 50. Mereka ini adalah golongan yang ketiga iaitu yang tidak mendapat suratan amal di tangan kanan mahu pun di tangan kiri. Pahalanya tidak cukup untuk melayakkannya masuk syurga dan dosanya tidak melebihi pahalanya untuk masuk neraka. Allah hukum mereka berjalan ulang alik antara syurga dan neraka. Oleh itu, terhegeh-hegehlah ia di atas titi Sirath sambil meminta-minta pahala dari ahli syurga.Tatkala mereka melihat syurga, tergiur hati ingin ke sana kerana keindahan dan nikmat kemanisannya, namun dirinya tidak dibenar untuk memasukinya. Tatkala dia melihat neraka, bergetar jantung akan kegerunan azab dan penderitaan di dalamnya. Allah menghukumnya, sehinggalah ada yang mengirimkan amal kebajikan untuk memberatkan sedikit timbangan amal kebajikan. Lalu barulah Allah memasukkan dia ke dalam syurga NYA. Akhirnya dapatlah ia satu pahala dan iapun dimasukkanlah ke dalam syurga. Orang yang menghadiahkannya satu pahala tadi diberi tempat tertinggi di dalam syurga walaaupun pahala 'ibadahnya tidak layak baginya untuk mendapat darjat yang begitu tinggi. .



Ayuh kita bermuhasabah. Apakah amal kebajkan kita lebih memberati timbangan amal kita atau amal kemungkaran kita yang lebih banyak ?



Apakah tingkatan iman kita di peringkat iman Iyyan ?

Apakah tingkatan nafsu kita di peringkat mutmainnah ?

Walau pun memasukkan seseorang itu ke syurga atau ke neraka adalah milik Allah, namun secara ilmiah kita sudah mampu menilai, sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah diri kita berdasarkan amal perbuatan kita.



Semoga kita terus berusaha dan berdoa agar Allah meningkatkan keimanan kita, di pimpin kita untuk terus istiqamah bersama iman dan Islam. Semoga Allah memberi kita keampunan dan kasih sayang NYA.



Madrasah Darus Syifa

18 September 2010

9.15pm

Bagaimana Rasulullah SAW Mengubat Penyakit Masyarakat


Sudah menjadi fitrah manusia itu ia ingin hidup aman damai. Begitu juga fitrah manusia itu, dia tidak mahu berlakunya krisis, kemungkaran, pemerkosaan dan segala penyakit masyarakat. Andaikata kalau dia seorang pemimpin, dia mahu orang yang dipimpin itu meletakkan ketaatan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang yang dipimpin, dia mahu pemimpinnya meletakkan keadilan kepadanya. Andaikata kalau dia seorang ayah, dia mahu anak-anaknya memberikan ketaatan dan kepatuhan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang anak, dia mahu ibu dan ayahnya meletakkan kasih sayang kepadanya. Begitu jugalah suami kepada isterinya, dan isteri kepada suami. Andaikata seorang pemimpin, ibu, ayah, guru, suami, isteri dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing. Begitu juga seorang rakyat, anak murid, dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing, maka tidak akan terjadi pergaduhan, pertengkaran diatas muka bumi ini. Tapi kalau kita lihat, apa yang terjadi adalah sebaliknya.


Firman Allah:

"Telah berlaku kerosakan di daratan dan di lautan akibat dari tangan-tangan manusia" [Q.S Ar-Rum : 41]



Hal ini terjadi bila pemimpin tidak dapat memberi keadilan, terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Begitu juga orang yang dipimpinnya tidak dapat memberikan ketaatan kepadanya. Ibu ayah juga tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya, begitu juga anakanak tidak dapat memberikan ketaatan terhadap ibu dan ayahnya. Begitu juga guru terhadap murid dan murid terhadap gurunya, suami terhadap isterinya dan isteri kepada suaminya. Sebab itu dapat kita lihat berbagai-bagai masalah timbul dari sekecil-kecil masalah hinggalah ke sebesar-besar masalah. Dari rumahtangga, hinggalah ke negara-negara yang hebat pemimpinnya.



Telah berbagai cara dan jalan dicari untuk menyelesaikan masalah.



Ada yang mengatakan :



1. Kekayaan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya, tetapi tidak juga dapat menyelesaikan masalah ini. Krisis sentiasa berlaku. Masalah social semakin subur. Jun 2010, The Boston Consulting Group, melaporkan melalui Global Wealth Report, pada hujung tahun 2009, seluruh dunia mempunyai 11.2 juta individu bergelar jutawan. Angka ini meningkat sebanyak 14 % dari tahun 2008. TETAPI, The Boston Consulting Group juga melaporkan, walau mereka bergelar jutawan, mereka dilanda krisis jiwa sehingga ada yang mengambil dadah serta membunuh diri. Sebagai contoh, pasangan jutawan dari Britain, Peter Duff dan isterinya Penelope Duff, membunuh diri di sebuah klinik di Zurich pada tahun 2009. Hubert Boumeester, multi-jutawan yang pernah memegang jawatan Chief Finance Officer ABN-AMRO, menembak kepalanya sendiri setelah gagal untuk mengambil alih Royal Bank of Scotland. Dan saya boleh membentangkan banyak lagi kisah jutawan yang dilanda krisis jiwa walaupun mereka kaya. Ini sebagai bukti, kekayaan BUKAN jalan penyelesaian kepada segala gejala dan penyakit masyarakat yang melanda.



2. Ada pula yang mengatakan kepandaian dan ilmu pengetahuan akan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, tetapi juga tidak berhasil untuk menyelesaikan masalah ini, bahkan bertambah rumit lagi. Alan Turing merupakan seorang saintis Inggeris dan pernah dinobatkan sebagai Saintis British Terhebat abad ke 20 kerana kepakarannya. Tetapi Alan Turing sendiri terlibat dengan gejala homoseksual. Dan akhirnya dia membunuh diri dengan mengambil racun cyanide. Seorang lagi golongan cerdik pandai ialah David Christopher Kelly, seorang penjawat di Kementerin Pertahanan United Kingdom. Beliau seorang pakar peralatan perang biologi dan pernah menjadi inspector UN di Iraq. Akhirnya dia membunuh diri dengan mengambil 29 jenis ubat tahan sakit sambil mengelar tangannya dengan pisau. Ternyata kepandaian dan ilmu pengetahuan juga belum menjamin mampu menyelesaikan masalah masyarakat yang sedia ada.



3. Ada juga yang mengatakan pangkat dan darjat dapat menyelesaikan masalah ini, tetapi ini juga tidak berhasil menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, bahkan bertambah parah dan rumit lagi.Perdana Menteri Jamaica, Bruce Golding, terlibat dengan ketua sindiket pengedaran dadah terbesar Christopher ‘Dudus’ Coke yang mengakibatkan ramai penduduk awam menjadi korban. Achmad Sujudi, Menteri Kesihatan Indonesia dipenjarakan kerana terlibat dengan rasuah. Pada Januari 2010, Matt Baker berusia 38 tahun, seorang Menteri di Texas dihukum 65 tahun penjara kerana membunuh isterinya sendiri.



4. Ada yang mencadangkan hukuman dan undang-undang sebagai jalan keluar, tetap tidak berkesan, terbukti semakin ramai yang sedang menunggu hukuman gantung, semakin ramai jadi penghuni penjara dan pusat serenti. Masalah tetap tidak selesai malah makin bertambah. Lihat saja di Malaysia, walau hukuman semakin berat dilaksanakan, malah penagih dadah semakin bertambah. Statistik Agensi Dadah Kebangsaan pada tahun 2008 melaporkan, 17 orang penagih dadah baru dilahirkan setiap hari. Dari tahun 2000 hingga 2006, adalah dilaporkan peningkatan sebanyak 27.7% kes pembuangan bayi di Malaysia dan angka ini semakin meningkat dari tahun 2006 hingga 2010 walaupun undang-undang dan hukuman semakin diperketatkan.



Jadi bagaimana ?



Apabila kita membeli sebuah television Panasonic Vuera VT25 Full HD3D, kilang Panasonic akan membekalkan MANUAL PENGGUNA. Kilang Panasonic lebih arif akan produk dan model yang dikilangkannya berbanding kilang jenama lain. Televison Panasonic Viera VT25 Full HD3D tidak boleh menggunakan manual pengguna television jenama Sony Bravia LCDTV. Oleh itu, kita sebagai makhluk yang diciptakan Allah, Allah telah bekalkan kita dengan “manual pengguna” iaitu Al Quran dan diberi panduan oleh Rasulullah SAW melalui sunnah baginda SAW. Maka apabila timbul masalah, termasuklah masalah gejala social, janganlah kita menggunakan akal fikiran kita sendiri untuk mencari jalan penyelesaiannya. Sebaliknya kembalilah kepada “manual pengguna” yang telah Allah bekalkan. Pendekata, jalan yang paling mudah untuk kita selesaikan masalah ini haruslah kita kembalikan kepada Al Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW. Al Qur'an dan Sunnah dapat memberikan jawapan yang tepat, dari manakah akar dari masalah-masalah tersebut.



Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, sehingga mereka mengubah yang ada di dalam diri mereka (hatinya)" [Q.S Ar-Rad : 11]



Hadith Rasulullah SAW:



"Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah jasadnya. Jika rosak daging itu, maka rosaklah jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati." (riwayat al- Bukhari dan Muslim)



Abu Hurairah melaporkan dalam sebuah hadis "Hati adalah umpama raja dan anggota badan adalah sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, maka pengawalnya tentu bertugas dengan baik. apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, maka sudah tentu pengawalnya pun begitu juga"



Dapat kita lihat dari Al Qur'an dan Hadith tadi setiap penyakit yang timbul pada diri manusia itu, adalah berawal dari hati. Hati yang sakit (jahat) akan mendorong mata, kaki, tangan berbuat jahat. Maka lahirlah masyarakat yang jahat, seperti merompak, membunuh, memfitnah, mengumpat dan sebagainya.



Penyakit masyarakat (rosak aqidah, tak solat, bergaul bebas, dedah aurat, zina, anak luar nikah, buang anak........terlalu panjang senarainya...) boleh diibaratkan sebagai sebatang pokok yang mengeluarkan buah yang beracun. Buah yang beracun itu disebabkan pokok yang beracun. Jadi untuk menghilangkan buah yang beracun itu hendaklah ditebang pokok itu terlebih dahulu. Bukan buang buah atau cantas dahan saja. Sebab kalau yang dibuang buahnya atau cantas dahan saja, sepuluh buah yang kita buang akan tumbuh pula sepuluh pokok/ dahan yang beracun. Begitulah seterusnya.



Oleh itu untuk panduan yang lebih jelas lagi, kita lihat bagaimana Rasulullah dapat mengubat penyakit masyarakat ketika itu hingga menjadikan orang miskin sabar dan redha dalam kemiskinan dan orang kaya pemurah. Seperti Abu Hurairah yang menjadi ketua dari puluhan fakir miskin yang tinggal di Serambi Masjid Madinah. Sayidatina Fatimah, seorang wanita miskin walaupun anak Rasulullah dan menikah pula dengan Sayidina Ali yang begitu miskin lagi pejuang pula. Kemudian perpecahan diantara satu golongan dapat disatukan seperti Muhajirin dan Ansar. Baginda Rasulullah SAW dapat mendidik masyarakat jahiliah kepada kenal dan cinta kepada Allah SWT. Rasulullah SAW saat itu diutus sebagai Pembawa Rahmat kepada sekalian alam.



Firman Allah:



"Dan tidak diutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat pada sekalian alam" [Q.S. Al Anbiya : 107]



Dengan keberkatan dan ketabahan Rasulullah SAW itu, Baginda dapat mengembalikan masyarakat kepada kebenaran.



Krisis Masyarakat di Zaman sebelum Rasulullah



Sebelum dibahas tentang bagaimanakah Rasulullah mengubati penyakit masyarakat jahiliah di zamannya, terlebih dahulu kita mengetahui akan apakah penyakit masyarakat yang kritikal ketika itu. Sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, masyarakat tertimpa berbagai macam krisis dan penyakit jiwa.



Di antara penyakit yang menimpa masyarakat :



1. Sangat memuja berhala. Hati masyarakat begitu melekat kepada berhala.
2. Terlalu ketagihan dengan arak/alkohol.
3. Terlalu suka dengan riba. Bunga tinggi, tak sanggup bayar, jadi hamba.
4. Wujudnya dua empayar besar yaitu Rome dan Parsi yang menindas negara-negara lemah.
5. Pelacuran amat leluasa merebak di tengah masyarakat.
6. Akhlak kaum wanita ketika itu amat rendah.
7. Manusia terlalu bakhil, terlalu gila harta sehingga harta orang hendak dijadikan harta dia.
8. Perpecahan menjadi-jadi. Terjadi peperangan. Kadang peperangan besar hanya disebabkan hal kecil.



Cara Rasulullah Menyelesaikan Krisis



Rasulullah hanya menggunakan tiga jenis ubat sahaja pada diri masyarakat Jahiliah ketika itu.



Pertama, Rasulullah menanam kembali rasa tauhid ke dalam hati masyarakat sehingga manusia terasa akan kebesaran Tuhan, kasih sayang, kehebatan dan keperkasaan Tuhan. Hingga wujud rasa berTuhan dan rasa kehambaan dalam jiwa masyarakat.



Kedua, Rasulullah menanamkan kembali cinta kepada Akhirat. Beliau memperkatakan tentang Syurga dan Neraka.



"Akhirat itu adalah lebih utama, lebih baik daripada dunia." (Q.S. Ad Dhuha : 4)



"Akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal" (Q.S. Al A'la : 17)



Lahirlah manusia yang jiwanya terpaut dengan Akhirat. Akhirnya bukan saja harta dihabiskan untuk Akhirat bahkan nyawa sendiri dikorbankan. Mereka mahu cepat-cepat kembali ke Akhirat. Mereka mahu mati syahid menjadi para syuhada.



Ketiga, Rasulullah menanam semangat dan perasaan cinta akan sesama manusia terutamanya umat Islam untuk mengikis penyakit terlalu cinta diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan sendiri. Lahirlah perpaduan dan ukhwah. Hiduplah mereka dalam berkasih sayang, bertolong bantu antara satu sama lain.



"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai diri saudara-saudaranya

seperti dia mencintai dirinya sendiri"



"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak berkhidmat kepada manusia yang lain"



"Barang siapa yang menunaikan hajat saudara lain, Tuhan akan tunaikan padanya 70 hajat"



Terjalin perasaan ghairah apabila menolong orang lain. Lahir perasaan kasih sayang pada orang lain. Mereka dapat merasakan nasib orang lain seperti nasib mereka sendiri, kesenangan orang lain seperti kesenangan sendiri, kesusahan orang lain seperti kesusahan sendiri, darah orang lain seperti darah sendiri, nyawa orang lain seperti nyawa sendiri.



Dengan tiga ubat inilah Rasulullah dapat mendidik manusia-manusia Jahiliyah ketika itu hinggakan Allah telah memuji Rasulullah dan generasi ketika itu.



Firman Allah: ertinya : "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia yang mengajak kepada Ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah" [Q.S. Ali Imran : 110]



Hadith Rasulullah SAW: ertinya : "Sahabat-sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Jika diikuti diantara mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk"



Penyelesaian untuk zaman ini



Contoh telah terbentang di hadapan mata. Jika benar beriman kepada Allah dan Rasul, ikutilah cara Al Qur'an dan Sunnah, yang telah ditunjukkan Baginda Rasulullah SAW. Kita kini terlalu banyak berteori dalam mengatasi gejala sosial dan penyakit masyarakat yang semakin meruncing saban hari.



Dalam Islam, HUKUMAN adalah perkara terakhir, setelah semua perkara-perkara asas dilaksanakan. Maka tidak wajar HUKUMAN didahulukan jika kita belum menempuh disiplin dakwah yang ditunjukkan Nabi SAW.



Hari ini bukan tidak banyak ulama, pendakwah, guru, pakar motivasi dan sewaktu dengannya, tetapi usaha menanamkan iman ke dalam jiwa manusia amat kurang dilaksanakan. Yang amat diperlukan ialah membawa manusia kembali merasa kehambaan dan rasa berTuhan, menerima Allah sebagai Tuhannya, lantas mahu menyembahnya. Menanam iman tidak semudah menanam pokok. Sedangkan menanam pokok perlu dijaga, dibaja, dipagar, diracun musuh-musuhnya, inikan pula iman. Tetapi jika memandang pada payahnya, tanpa memulakan usaha, pasti tidak berjaya. Kena lihat kembali bagaimana Rasululllah SAW membaiki masyarakat di zamannya dengan iman, hingga lahir masyarakat yang agung akhlaknya.



Berdasarkan tiga jenis ubat yang disuntik oleh Rasulullah SAW ke dalam hati jiwa nurani para sahabat, maka lahirlah manusia-manusia berperibadi taqwa.



Andainya para sahabat kaya, maka kekayaan itu digunakan untuk membantu kebajikan masyarakat yang susah, fakir miskin dan membangunkan negara. Orang kayanya tidak sombong dan angkuh. Sebaliknya menjadi "BANK" kepada masyarakat dan negara khususnya untuk perjuangan Islam. Kekayaan yang dimiliki tidak disimpan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya untuk menegakkan hablumminallah dan hablumminannas. Maka tidak hairanlah, Saidina Abdul Rahman Bin Auf ra, yang menjadi multi-billionaire di zaman Rasulullah SAW, hidupnya amat zuhud. Andainya dia berdiri di kalangan ahlus suffah yang hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidak nampak sebarang perbezaan pun dengan dirinya lantaran kehidupannya yang zuhud. Tetapi, dari kekayaan Abdul Rahman Bin Auf ra banyak hartanya dikorbankan demi membangunkan syiar Islam.



Andainya para sahabat mempunyai ilmu, ilmunya digunakan untuk mendidik masyarakat untuk menegakkan hablumminallah dan hablumminannas. Ibnu Abbas ra, salah seorang sahabat yang mempunyai lautan ilmu. Dia mendidik masyarakat untuk menegakkan dan menzahirkan syiar Islam. Ilmu yang dimiliki, tidak digunakan untuk menyesatkan masyarakat dari jalan kebenaran.



Andainya para sahabat memegang jawatan tinggi dan pangkat, mereka anggap jawatan itu adalah amanah Allah yang haram untuk mereka khianati. Mereka anggap jawatan dan pangkat itu adalah tiket untuk mereka masuk ke syurga andainya mereka amanah atau tiket ke neraka andainya mereka khianat.Tak seperti zaman kita sekarang. Jawatan tinggi menjadi rebutan di kalangan ahli politik. Setelah jawatan diperolehi, maka kekayaan peribadi dibina atas jerih payah rakyat atau pengikut. Para sahabat Nabi SAW, mereka berusaha menjauhi dari memikul amanah yang amat berat ini. Bila mereka dilantik menjadi pemimpin, mereka merasakan diri mereka berada dijurang neraka. Lantas mereka akan menunaikan kewajipan sebagai seorang pemimpin. Maka tersebarlah keadilan. Rakyat mendapat manfaat. Jadilah sebuah negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah.



Begitulah hati-hati yang telah terdidik dengan iman. Hatinya cinta kepada Allah dan rindu untuk kembali ke akhirat. Dunia dijadikan tempat pelaburan. Yang mana hasilnya akan dituai di akhirat.



Sejauh mana kita sudah bersedia untuk merawat penyakit masyarakat dengan ketiga-tiga ubat peninggalan Rasulullah SAW ?



Mutiara Damansara

15 September 2010

4.15am

Saturday, September 11, 2010

Rahsia Tiga Kekuatan


Aku telah pun mencoretkan rahsia iman.

Aku juga telah mencoretkan rahsia nafsu.

Kini sampailah masanya untuk aku mencoretkan rahsia tiga kekuatan dalam diri manusia.

Sifat, watak dan bakat seseorang bergantung kepada kekuatan yang ada dalam diri seseorang. Dalam diri setiap manusia terhimpun tiga kekuatan. Tiga kekuatan itu adalah :



1.Kekuatan jiwa
2.Kekuatan akal
3.Kekuatan perasaan

Dalam diri manusia biasa, antara ketiga-tiga kekuatan ini hanya akan ada satu kekuatan sahaja yang akan dorminan yang akan menyerlahkan sifat, watak dan bakat yang empunya diri. Maksudnya, jika kekuatan jiwa dorminan, maka kekuatan akal dan kekuatan perasaan akan lemah. Jika kekuatan akal dorminan, maka kekuatan jiwa dan kekuatan perasaan akan lemah. Jika kekuatan perasaan dorminan, maka kekuatan jiwa dan kekuatan akal akan lemah. Di sinilah punca utama terdapat perbezaan ketara dalam sifat, watak dan bakat manusia berbeza dan mencorakkan warna-warna kehidupan masyarakat.

Al Quran sejak diturunkan dari awal hingga akhir mempunyai kemampuan untuk mendidik semua bentuk sifat, watak dan bakat manusia yang berbeza-beza. Oleh sebab itulah ayat Al Quran akan beralun antara tiga bentuk perbezaan manusia berdasarkan perbezaan kekuatan yang dimiliki mereka.

Untuk mereka yang mempunyai kekuatan akal, Al Quran menyarankan mereka berfikir.

Untuk mereka yang mempunyai kekuatan jiwa, Al Quran mengugut dan menyampaikan khabar ancaman tentang kekuatan dan keagungan Allah serta dahsyatnya hari kiamat dan seksaan neraka.

Untuk mereka yang mempunyai kekuatan perasaan, Al Quran menyampaikan khabar gembira yang memujuk dengan alunan yang lemah lembut, kenikmatan syurga, betapa Maha Pengasih dan Pengampunnya Allah dan lain-lain lagi.

Demikianlah halus dan berhikmahnya Allah mendidik hamba-hamba NYA yang ingin menghampirkan diri kepada NYA.

Dan setiap kekuatan tersebut, ada baik dan ada buruknya. Andainya iman dijadikan tumang yang mengawal kekuatan, maka akan terhasillah natijah yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat.Andainya nafsu yang dijadikan tumang yang mengawal kekuatan, akan lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan hasil perbuatan manusia itu sendiri.

Oleh itu ketiga-tiga kekuatan ini harus dididik ke arah iman dan taqwa. Agar natijah yang lahir memberi manfaat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi manfaat di akhirat.

Kekuatan Akal :

1.Ciri-cirinya : Orang yang mempunyai kekuatan akal akan mempunyai sifat suka berfikir dan mengkaji. Hasil fikirannya menghasilkan buah-buah fikiran yang bernas yang tidak terjangkau oleh fikiran manusia kebanyakan. Buah fikiran yang tehasil dari usaha tafakurnya menjadi asbab kepada terjawabnya kepada pelabagai persoalan dan permasalahan di kalangan masyarakat. Disebabkan kekuatan akal, dia mampu menguasai banyak ilmu. Bahkan mampu mencungkil ilmu-ilmu yang tersirat. Dia juga seorang yang amat berhati-hati terutama dalam membuat keputusan agar keputusan yang dibuat tidak salah percaturan. Kurang bercakap, bercakap sekadar perlu. Berani memecah tradisi dan membuat perubahan selama mana tidak bercanggah dengan syariat yang lahir.

2.Kebaikan : Penyelesai masalah, gudang ilmu dan pemimpin yang berwibawa.

3.Keburukan : Lalai melaksanakan perintah Allah akibat terlalu banyak berfikir. Andainya ilmunya tidak lengkap, kajian yang dilakukannya terseleweng, maka lahirlah ajaran sesat. Diri tidak terurus (selekeh). Rasa ujub dan riyak mudah lahir dalam diri.


Kekuatan Jiwa :

1.Ciri-cirinya : Orang yang tahan lasak, tak mudah mengalah.
2.Kebaikan : Optimis, berani, tahan di uji, pandai memotivasi diri dan masyarakat.
3.Keburukan : Zalim, pemarah, kasar, pendendam, gopoh, ujub, "tasteless" (tidak ada perasaan).


Kekuatan Perasaan :

1.Ciri-cirinya : Seorang yang sensitif, selalu emosi, bersifat sastera (kaki jiwang), pandai berpuisi dan ayat berbunga, gila dipuji, gila glamour, kaki nostalgia, suka akan hal-hal kerohanian dan kebatinan.
2.Kebaikan : Bertimbang rasa, lemah lembut, bersifat empathy dan simpati.
3.Keburukan : Mudah merajuk, kuat berangan, sukar menerima kelemahan atau kesalahan diri, mudah kecewa, tidak tahan uji, penakut, buruk sangka, tidak tetap pendirian, jumud.

Antara ketiga-tiga kekuatan, orang yang mempunyai kekuatan akal amat sedikit di kalangan masyarakat. Orang yang mempunyai kekuatan perasaan pula yang paling ramai di kalangan masyarakat. Orang yang mempunyai kekuatan jiwa, bilangannya lebih ramai dari bilangan orang yang mempunyai kekuatan akal, tetapi sedikit dari orang yang mempunyai kekuatan perasaan.

Kekuatan akal dilayan dengan memberikan ilmu-ilmu baru yang bernas yang boleh menyelesaikan masalah masyarakat.

Kekuatan jiwa dilayan dengan memberikan khabar ancaman dan seksaan dari neraka Allah yang menjurus kearah pembinaan iman.

Kekuatan perasaan dilayan dengan memberikan khabar gembira tentang kemanisan syurga, balasan atas perbuatan amal soleh.

Ketiga-tiga kekuatan ini hendaklah dikawal dan dididik dengan iman dan syariat Islam agar ianya dapat disuburkan dan digunakan demi kepentingan Islam. Contohnya :

1.Orang yang mempunyai kekuatan akal yang dikawal oleh iman dan syariat, akan menyalurkan kekuatan akalnya dalam memikirkan jalan penyelesaian ke atas segala permasalahan umat Islam. Tetapi jika tidak dikawal oleh iman dan syariat, kekuatan akal akan digunakan untuk menghasilkan aktiviti-aktiviti yang merosakkan iman.

2.Orang yang mempunyai kekuatan jiwa jika dididik dengan iman dan dikawal dengan syariat, akan menghancurkan sifat sombong dan zalim. Jadilah dirinya seorang yang merendah diri dan penyayang. Tetapi andainya tidak berpandukan syariat dan iman, akan terhasillah manusia bersifat pemarah dan zalim.

3.Orang yang mempunyai kekuatan perasaan pula, jikda dididik dengan iman dan dikawal dengan syariat, akan menghapuskan rasa putus asa kecewa dan menjadikan dirinya seorang yang optimis dengan masa depan.

Iman dan syariat hendaklah dijadikan tumang dalam memimpin dan mendidik manusia untuk membuang segala sifat mazmumah yang ada pada diri dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah. Iman dan syariat juga mendorong manusia untuk berusaha melatih diri memperolehi sifat baik dan kekuatan yang tidak ada padanya.

Para Rasul dan Nabi-nabi, mereka dilahirkan bersama ketiga-tiga kekuatan mereka yang dorminan. Lantas mereka pandai meletakkan orang kena pada tempatnya.

Orang yang mempunyai kekuatan akal dilantik menjadi pemimpin/mujtahid. Orang yang mempunyai kekuatan jiwa dilantik menjadi ahli teknokrat/mujahid. Orang yang mempunyai kekuatan perasaan dilantik menjadi pengikut yang taat.

Malah ada juga ibu bapa yang melihat ketiga-tiga kekuatan ini dalam memilih jodoh dan pasangan untuk anak-anak mereka.

Andainya anak perempuan mereka seorang yang kuat jiwa, ibu bapa akan mengelak untuk menerima pinangan seorang lelaki yang kuat perasaan. Kerana dikhuatiri akan berlaku insiden Queen Control. Sebaliknya ibu bapa akan mencari seorang lelaki yang kuat akal untuk anak suntinya.

Dan begitulah peranan tiga kekuatan dalam menzahirkan sifat, watak dan bakat seseorang dalam masyarakat.

Dalam melahirkan tokoh-tokoh di kalangan masyarakat, pemimpin paling atasan akan mempertimbangkan watak, sifat dan bakat orang bawahan berdasarkan ketiga-tiga kekuatan yang orang bawahannya miliki.

Golongan pemimpin dilahirkan dari orang yang kuat akal. Kerana mereka akan lebih berperanan dalam melahirkan idea-idea bernas dan memikirkan persoalan strategi yang berlandaskan syariat dalam memimpin dan menyelesaikan permaslahan masyarakat.


Di awal perjuangan Rasulullah SAW dalam menyeru manusia untuk mentauhidkan Allah, orang-orang yang mula menerima seruan Rasulullah SAW adalah orang yang mempunyai kekuatan akal yang kuat dan dominan. Lihatlah sahaja Siti Khadijah Binti Khuwailid, beliau seorang usahawan yang amat berjaya kerana kepintarannya. Lantas dia menerima seruan Rasulullah SAW tanpa banyak soal.

Begitu juga Saidina Abu Bakar ra, beliau juga mempunyai kekuatan akal yang amat luar biasa. Bila kafir Quraisy cuba menggoyahkan keimanan Abu Bakar dengan menyampaikan berita tentang Israk Mikraj, tanpa banyak kata, Abu Bakar ra berkata ... "Andainya yang berkata itu Rasulullah SAW, maka benarlah Rasululah SAW telah Israk & Mikraj ..." .

Saidina Othman bin Affan, seorang ahli perniagaan yang menggunakan keuntungan perniagaan untuk membantu dan membela kebajikan orang-orang yang memerlukan, juga merupakan orang awal yang beriman dan mentauhidkan Allah. Saidina Othman juga menerima Islam tanpa banyak soal. Lantas diikuti oleh Saidina Ali, Saidina Abdur Rahman Bin Auf, Saad Bin Abi Waqqas dan lain-lain lagi.

Kesemua sahabat yang menerima seruan awal dari Rasulullah SAW, bukan kerana taksub buta, tetapi mereka sudah mengkaji peribadi Rasulullah SAW sebelum Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul lagi. Pendekata mereka menuruti dan menerima seruan iman kerana mereka mempunyai dalil. Dan dalil yang mereka miliki bukan berdasarkan perkara-perkara pelik dan aneh yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sebaliknya adalah berdasarkan dalil yang membuktikan kebenaran kewujudan dan keagungan Allah.

Siti Khadijah, sebelum beliau menyunting seorang pemuda bernama Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib, Siti Khadijah sudah mempelajari sifat dan watak baginda Rasulullah SAW melalui Waraqah Bin Naufail. Dari situ Siti Khadijah sentias ternanti-nanti, saat bilakah pemuda yang menjadi suaminya akan mula menyampaikan seruan untuk mentauhidkan Allah.

Begitu juga dengan Saidina Abu Bakar, Othman, Ali, Abdur Rahman Bin Auf dan lain-lain lagi. Mereka sudah setia kepada Rasulullah SAW sewaktu Rasulullah SAW masih kecil lagi. Mereka membesar bersama sejak zaman anak-anak dan mereka mengkaji peribadi Rasulullah SAW, dan melihat sendiri bagaimana Rasulullah SAW membesar dari anak kecil menjadi seorang Rasul. Inilah kebenaran yang mereka saksikan dengan mata kepala dan mata hati mereka. Maka tidak hairanlah mereka ini dilantik menjadi pemimpin dikalangan umat Islam.

Watak-watak para sahabat yang paling awal beriman, tidak sama dengan watak-watak Arab Badwi padang pasir, atau pun watak kaum-kaum Pagan yang menyembah pokok, busut, berhala dan roh-roh nenek moyang. Watak-watak Arab Badwi padang pasir dan kaum Pagan, mereka tidak mempunyai kekuatan akal. Yang ada cuma kekuatan perasaan, lantas untuk mengIslamkan mereka, cukup sekadar menunjukkan mukjizat-mukijizat yang pelik-pelik dan aneh. Mereka akan beriman, namun sumbangan mereka hanya sekadar menjadi pengikut yang taat. Untuk membentuk peribadi mereka menjadi pemimpin yang memperjuangkan iman dan syariat, adalah hampir mustahil.

Dari Kitab Hiyat Al Qulub tulisan A'llamah Muhammad Baqir Al Majlisi, di halaman 132 hingga 168, cetakan Ansariah Publications, ada menukilkan dua kisah pengIslaman dua manusia di tangan Rasulullah SAW. Kisahnya seperti berikut :



HIKAYAT 1 :


Seorang Yahudi datang dan berkata kepada Rasululah SAW :

Yahudi :“Dimana Tuhanmu?”

Rasulullah SAW : “Kebijakan dan KekuatanNya ada di mana-mana, tapi dia sendiri tidak ada pada suatu tempat tertentu.”

Yahudi : “Bagaimanakah Ia?”

Rasulullah SAW : “Bagaimana mungkin aku menjelaskan bagaimana Ia, sedangkan Ia tidak memiliki sifat-sifat makhluk?”

Orang Yahudi tersebut mengakhiri dengan meminta bukti Muhammad adalah nabi. Seketika itu juga batu-batu dan semua benda lain menyatakan bahwa Muhammad adalah Nabi Allah, lalu orang Yahudi tersebut menjadi seorang muslim.

Ulasan saya : Yahudi tersebut memeluk Islam kerana batu-batu yang ada sekeliling yahudi itu membenarkan kerasulan baginda Rasulullah SAW. (Kejadian pelik, anih) bukan kerana Yahudi itu mengkaji dan berfikir tentang kebesaran Allah dan kebenaran Rasulullah SAW.



HIKAYAT 2


Suatu hari seorang Arab Badwi berkata,

Arab Badwi : Siapa ini?

Rasulullah SAW : Aku utusan Allah.

Arab Badwi : Demi Latta dan ‘Uzza, Kau adalah musuh terbesarku, dan agar kaumku tidak menyebutku dayus, akan ku bunuh kau.

Rasulullah SAW : Berimanlah


Arab Badwi tersebut melempar cicak berwarna hijau dari lengan bajunya, dan berkata :


Arab Badwi : Aku tidak akan beriman sehingga cicak ini beriman.


Tiba-tiba cicak hijau itu dalam bahasa Arab yang elok, berseru, “Wahai hiasan dari semua yang akan dikumpulkan pada hari pembalasan, kau akan memimpin orang-orang yang ikhlas ke syurga.”

Rasulullah SAW : Kepada siapa kamu menyembah?

Cicak tersebut menjawab, "kepada Tuhan yang menguasai melebihi segala, Yang Maha Tahu, dan telah menjadikan api sebagai alat penghukumnya.”


Rasulullah SAW : Siapa aku?

Cicak tersebut menjawab, “Engkau adalah utusan Tuhan semesta alam, dan penutup para nabi. Bahagialah orang yang mengenalmu, dan tiada harapan orang yang mengingkarimu.


Arab Badwi : Tidak ada bukti yang lebih jelas daripada ini, dan walaupun aku datang ke sini menganggapmu musuh terbesarku, aku sekarang mencintaimu lebih dari hidupku, ayahku, atau ibu.


Kemudian Arab Badwi itu mengulangi syahadatnya, menjadi Muslim, dan kembali ke Bani Salim, asalnya, kemudian lebih membawa seribu orang lebih untuk memeluk Islam.


Ulasan saya : Orang yang berfahaman Pagan, mereka tidak mempunyai kekuatan akal. Yang ada cuma kekuatan perasaan. untuk membawa mereka kepada iman dan Islam, tidak memerlukan hujjah dan kajian. Cukup sekadar membawakan sesuatu yang pelik dan aneh. Malah pengalaman saya berdakwah di pedalaman Sabah, Sarawak dan Borneo, cukup membawa sesuatu yang dianggap "ajaib" sudah mampu mengIslamkan koloni penyembah-penyembah anamisme Pagan. Sejarah juga membuktikan, gugusan kepulauan nusantara pernah dikuasai Hindu melalui sihir, sebagai bukti bahawa orang yang mempunyai fahaman Pagan cukup mudah untuk diubah pegangan mereka.


Begitu jugalah peranan sebagai seorang pendakwah dan pejuang. Pendakwah dan pejuang wajib memiliki kekuatan akal dan jiwa serta harus mengenali sasaran dakwah mereka. Kenal kekuatan yang mana di miliki oleh sasaran dakwah mereka.


Andainya sasaran dakwah mereka mempunyai kekuatan akal, maka bersedialah dengan hujjah-hujjah ilmiah dengan sokongan kajian-kajian bagi membuktikan kebenaran iman dan Islam. Untuk mengIslamkan mereka dan membawa mereka ke jalan iman adalah sukar dan payah. Banyak masa akan digunakan untuk mendekati mereka, dan para pendakwah kena banyak bersabar, TETAPI andainya mereka memeluk Islam dan beriman, mereka akan memberi keuntungan besar kepada perjuangan fi sabilillah. Mereka bakal menjadi pemimpin yang menyambung perjuangan untuk generasi yang akan datang.

Andainya sasaran dakwah mempunyai kekuatan jiwa, maka bersedialah untuk berkeras dan memberi ancaman tentang neraka Allah kepada mereka. Tak mustahil dalam mendekati mereka, kita akan mengalami kesukaran dan kecederaan fizikal serta caci maki dan penghinaan dari mereka. Tetapi andainya mereka memeluk Islam dan iman, merekalah yang akan menjadi benteng pertahanan terhadap sebarang ancaman ke atas Islam dan iman.

Andainya sasaran dakwah mempunyai kekuatan perasaan, cukup sekadar memujuk dan kadang-kadang menunjukan "kekeramatan" untuk mengajak ke arah iman dan Islam. Andainya mereka berjaya memeluk Islam dan iman, mereka akan menjadi pengikut yang taat.


Kepada para pendakwah dan pejuang .... kekuatan apakah yang engkau miliki ?


Kepada para pemimpin ... apakah telah engkau letak pengikut mu di tempat yang betul berdasarkan kekuatan yang ada pada mereka ?


Masyarakat yang gemilang ialah masyarakat yang mampu menjadikan iman dan syariat sebagai pakaian dan mencatur ketiga-tiga kekuatan dalam dirinya ke arah kegemilangan Islam.


Inilah tiga kekuatan yang ada dalam diri kita.


Antara tiganya, kekuatan yang manakah lebih dorminan dalam diri anda ?


Syawal 1431H / 11 September 2010

7.15 am


Friday, September 10, 2010

Mencari Kebahagiaan


Mencari kebahagiaan adalah fitrah murni setiap manusia. Tidak melihat apakah itu lelaki atau perempuan, tua atau muda, orang kaya atau orang miskin, orang besar atau orang kecil. Semua menginginkan kebahagiaan. Segala tindak tanduk manusia dapat kita lihat tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mencari kebahagiaan.



Kebahagiaan itu bukan terletak pada tangan, mata, kaki, telinga, atau yang lainnya. Tetapi kebahagiaan itu terletak pada hati (jiwa). Orang yang mendapat kebahagiaan akan merasa ketenangan hati, ketenangan jiwa dan keindahan ruh. Kalau kita lihat berbagai cara dan jalan telah ditempuh manusia untuk mendapatkan kebahagiaan. Ada yang mencari kebahagiaan melalui kekayaan, pangkat, nama, kemasyhuran atau isteri yang cantik. Tetapi yang menjadi permasalahan sekarang adalah, benarkah semua itu dapat memuaskan hati manusia dengan mutlak.



Kalau mencari kebahagiaan itu diusahakan dengan kebendaan, percayalah…manusia akan gagal mencari kebahagiaan, manusia akan mencapai kekecewaan, manusia akan merasa malang setiap hari, jiwa tidak tenang, tidak tenteram sepanjang masa. Inilah yang dikatakan Neraka sementara sebelum merasakan Neraka yang hakiki dan dahsyat lagi mengerikan di Akhirat nanti.



Buktinya dapat kita lihat, orang-orang yang mencari kebahagiaan melalui :




1. Kekayaan


Setelah manusia itu mencari kekayaan, ia tidak akan dapat terhindar dari masalah-masalah yang tidak menyenangkan. Yaitu ujian-ujian. Ujian-ujian itu merupakan sunnatullah yang sengaja Allah datangkan kepada setiap manusia. Contohnya, ia tidak dapat terhindar dari sakit yang Allah datangkan kepadanya. Jika sudah ditimpakan kesakitan maka diwaktu itu kekayaan tidak berguna lagi. Atau dalam waktu-waktu yang lain terjadi pencurian, kebakaran, diancam dan sebagainya. Kalau semua itu terjadi, walau sekaya apapun ia, tidak dapat memberi kebahagiaan kepada manusia. Lihat saja Saya datangkan beberapa celebrity yang kaya raya tetapi tidak bahagia :



1.Tiger Woods ; pemain golf professional yang kaya raya. Tetapi rumahtangga runtuh sebagai tanda tiada kebahagiaan.
2.Paris Hilton ; anak yang dilahirkan bersama “golden spoon in her mouth”. Sayangnya tubuhnya bersilih ganti ditiduri oleh pelbagai lelaki. Inikah tanda kebahagiaan ? Tentunya tidak.
3.Nicole Kidman ; super model terkenal. Berapa kali rumahtangganya hancur kerana tiada kebahagiaan walau dirinya cantik, dia kaya, dia glamour, dia juga terpelajar. Yang dia tiada ialah IMAN. Lantas hilanglah kebahagiaan.
4.Lindsay Lohan ; sejak usianya masih anak-anak, dia sudah glamour, sudah kaya, sudah cantik, namun kerja sekarang keluar masuk penjara. Ini bukti tiada kebahagiaan.
5.Dan ramai dikalangan orang Melayu kita, bercita-cita menjadi kaya, glamour, cantik, terkenal dan lain-lain lagi. Tidak ramai yang ingin menjadi kekasih Allah sebagai kaedah untuk beroleh kebahagiaan yang kekal abadi lagi hakiki, lantas mengenepikan factor IMAN.



2. Pangkat


Dalam keadaan mencari kebahagiaan melalui pangkat, ia juga tidak dapat terhindar daripada dihina oleh orang yang diatasnya. Ia tidak dapat terhindar dari hasad dengki dari orang lain yang berada di atasnya, semua orang akan benci sebab untuk mendapatkan pangkat ia selalu mengumpat orang, memfitnah, menjatuhkan orang lain agar orang memeri perhatian kepadanya. Apabila sudah mendapatkan pangkat apakah ia dapat terhindar dari ujian-ujian yang Allah datangkan kepadanya ? apakah ia dapat terhindar dari kematian anak, isteri, keluarga atau orang yang dicintai ? Apakah pangkat tersebut dapat memberi kebahagiaan dan ketenangan jiwa pada seseorang ??



Begitu juga kalau seseorang itu mencari kebahagiaan dengan nama kemasyhuran dan isteri cantik, ia tidak akan dapat merasakan kebahagiaan dan ketenangan. Orang yang mencari kebahagiaan dengan dunia atau material semata-mata tidak akan menemui kebahagiaan selama-lamanya. Kebahagiaan yang diharapkan tetapi kecelakaan yang datang, yaitu kesengsaraan dan penderitaan di dunia lagi. Kita lihat beberapa contoh :



Bintang film terkenal yang dipuja orang yaitu Marilyn Monroe dan Elvis Presley mati bunuh diri, sedangkan mereka pada lahiriahnya seolah-olah sudah mendapatkan kebahagiaan, mengapa terjadi demikian ?



Ada juga di kalangan mereka yang mencuba bunuh diri, tetapi dapat diselamatkan. Ada yang tidak berani bunuh diri, tetapi terlibat dengan ganja, dadah, minuman keras, dan bermacam-macam kejahatan yang mengerikan dan merusakkan masyarakat. Ada juga yang sebelum dapat dunia, mereka berusaha sungguh-sungguh agar dapat memberi kebahagiaan, kepuasan jiwa dan ketenangan hati. Dengan itu mereka membenci dunia, mereka tinggal segala-galanya membawa diri mengikut rasa hati, kesana kemari tidak tentu arah. Ada yang membiarkan pakaiannya compang-camping, seolah-olah ingin hidup seperti rumput rampai. Malah penyakit-penyakit beginilah yang menjadi masalah pada masyarakat sekarang ini. Benarlah firman Allah SWT yang ertinya :




"Tidak ada hidup di dunia ini, melainkan mata benda yang menipu daya" [Q.S. Al Hadid : 20]




Di dunia lagi sudah terasa menipu dan mengecewakan, buktinya mereka yakin pangkat, kekayaan, nama dan kemasyhuran, serta isteri cantik dapat memberikan kebahagiaan, tetapi semua itu telah menipu mereka. Di Akhirat nanti baru dia sadar bahwa dunia ini menipunya, hingga menjadikan dia lupa perintah Allah. Kerana dunialah yang menyebabkan dia terjun ke Neraka.



Firman Allah SWT yang ertinya :




"Rasakan azab dan siksa yang pedih"





Kalau begitu dimanakah kebahagiaan yang hakiki, di dunia atau Akhirat …?




Kebahagiaan yang hakiki lagi sejati adalah setelah kita beriman kepada Allah dan Rasul serta melaksanakan apa yang diwajibkan dan meninggalkan apa yang dilarang dengan sepenuh hati dan ikhlas.




Allah berfirman yang ertinya :





"Ketahuilah bahwa dengan mengingati Allah itu hati akan tenang (jiwa akan tenang)" [Q. S. Ar-Raad : 28]




Dimana di Akhirat nanti tidak berguna lagi harta kekayaan, pangkat, pujian dari orang dan isteri yang cantik. Semua tidak akan dapat memberi manfaat lagi di hari Akhirat.



Firman Allah yang ertinya :




"Di hari itu tidak berguna lagi harta dan anak-anak, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang selamat sejahtera" [Q.S. Asy-Syuaraa : 88 – 89]






Dalam berjuang dan berjihad untuk mencapai kebahagiaan abadi, kita akan tempuhi dan temui banyak perkara-perkara yang kita tidak sukai dan gemari. Perkara tersebut akan datang kepada kita untuk menguji kesabaran kita dan keikhlasan kita.



Bila perkara-perkara ini berlaku, sebenarnya inilah keuntungan kepada kita kerana kita akan beroleh pahala sabar dan redha. Kita akan rasa kita sebagai hamba yang lemah, maka terhindarlah kita dari sifat sombong, riyak dan ujub.



Mengapa Allah timpakan perkara yang kita tak suka ? Ianya bukan suatu penzaliman, sebaliknya tarbiah didikan dari Allah kepada kita secara langsung.



Di dunia kita perlu menerima dua jenis didikan :



1.Didikan berguru melalui kuliah , dakwah etc
2.Didikan dari Allah secara langsung seperti masalah, kesusahan, kesedihan, difitnah, dan lain-lain lagi.


Apa yang tidak disukai oleh kita adalah tarbiah dari Allah, kerana di situ letaknya kasih sayang Allah kepada kita kerana ingin diberi pahala sabar dan redha. Dan dalam usaha kita mencari kebahagiaan abadi, pastinya kita akan berhadapan dengan pelabagai rintangan dan halangan dari musuh-musuh Allah yang ingin menjauhkan kita dari Allah.



4 musuh yang menyebabkan kita tak berjaya mencapai kebahagiaan ialah :



1.Syaitan
2.Nafsu
3.Dunia
4.Manusia [orang yang fasiq (hasad dengki), kafir harbi dan munafik]



Maka bersabarlah kita dalam berhadapan dengan musuh-musuh Allah dengan segala persiapan. Persiapan yang perlu kita sediakan ialah taqwa dan untuk beroleh taqwa tiada lain ialah dengan menghampirkan diri kita melalui JALAN IMAN. ( di link


http://www.facebook.com/photo.php?pid=431079&id=100000509472159&comments&alert&ref=notif¬if_t=photo_comment_tagged#!/note.php?note_id=440884180768 )



Hendaklah kita persiapkan diri dengan ilmu. Lantas kita tanam cita-cita dan azam untuk melawan musuh-musuh kita dengan ikhlas dan sungguh-sungguh. Setelah azam disemai, maka bermujahadahlah dan tempohi jalan iman bagi beroleh taqwa. Di sampan menadah tangan, bermunajat dan berdoa kepada Allah agar Allah merezkikan kita untuk menjadi para kekasih-NYA.



Orang yg benar2 ikhlas ingin menghampirkan diri kepada Allah, akan Allah bantu dan permudahkan




Tetapi orang-orang yang berjuang untuk Kami, sungguh, Kami akan memberi petunjuk kepada mereka pada jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang-orang yang berbuat baik. (Al Ankabut : 69)



Kena usaha utk dapat kebahagiaan yang kekal abadi yang hakiki yang kebahagiannya itu tidak dapat ditandingi oleh kebahagiaan dunia yang sementara. Namun untuk memperolehi kebahagiaan



Dalam berjuang dan berjihad kena ada garis panduan khusus yang terancang agar matlamat yang kita kehendaki iaitu kebahagiaan yang abadi di akhirat boleh dicapai. Antara panduannya ialah



1.Untuk beroleh kekuatan dan kebahagiaan abadi ; hendaklah kuatkan iman
2.Untuk beroleh perpaduan dan persaudaraan ; hendaklah ditingkatkan kasih sayang dan kemesraan.
3.Untuk beroleh kelancaran dan kemajuan ; hendaklah berjihad dan berkorban sungguh-sungguh
4.Untuk beroleh keselarasan; hendaklah disatukan fahaman dan pandangan.
5.Untuk beroleh kejayaan; hendaklah bijaksana mengatur strategi dan menyampaikan risalah dakwah dengan hikmah.
6.Untuk mengelakkan salah faham; hendaklah ikuti program perjuangan yang rasmi serta bertolak ansur dalam masalah-masalah khilafiah.
7.Untuk beroleh pimpinan dan petunjuk; hendaklah mentaati Allah dan Rasul .
8.Untuk menghindarkan maksiat dan mendapat pertolongan Allah; hendaklah bersifat taqwa.
9.Untuk mendapat pahala besar tanpa hisab; hendaklah bersabar dengan ujian-ujian hidup.
10.Untuk mendapat jaminan dari Allah; hendaklah kita bertawakal.
11.Untuk mendapat keampunan dari Allah; hendaklah sentiasa bertaubat.




Cara mendekatkan diri kepada Allah ( JALAN IMAN ) di link http://www.facebook.com/photo.php?pid=431079&id=100000509472159&comments&alert&ref=notif¬if_t=photo_comment_tagged#!/note.php?note_id=440884180768



Cara menguatkan iman (RAHSIA IMAN) di link http://www.facebook.com/note.php?note_id=440493790768



Cara mujahadatunnafsi ( JALAN IMAN ) di link

http://www.facebook.com/photo.php?pid=431079&id=100000509472159&comments&alert&ref=notif¬if_t=photo_comment_tagged#!/note.php?note_id=440884180768





Wahai para mujahid dan mujahidah Ramadhan 1431H.



Perginya Ramadhan 1431H, bermakna tamatlah tarbiah yang kita perolehi di Ramadhan 1431H ini. Ayuhlah kita terjuan ke tengah masyarakat dan membantu mereka untuk bersama-sama dengan kita menghampirkan diri kepada Allah. Sama-samalah kita usahakan mendidik diri kita dan masyarakat untuk taat kepada perintah Allah serta menjauhi larangan Allah. Semoga kekuatan yang kita usahakan di Ramadhan menjadikan kita lebih bersifat kehambaan dalam mendidik diri, keluarga dan masyarakat.



Ingatlah .... Kebahagiaan Abadi Lagi Hakiki hanyalah di syurga Allah ... Syurga Allah hanya untuk para kekasih-NYA .... kekasih Allah adalah orang yang bertaqwa ..... DAN .... orang yang bertaqwa ialah orang yang memiliki IMAN yang mantap ....



Maka usahakanlah agar tingkatan iman kita menjadi mantap ...........



30 Ramadhan 1431H / 8 September 2010

11.45pm