Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Friday, September 10, 2010
Hidup Menurut Pandangan Islam Part 2
Bagi mereka yang berusaha bersungguh-sungguh mengamalkan dan melaksanakan hukum syariat, inilah yang dinamakan TARIKAT atau disebut dalam bahasa arab ialah TAREKAH. Tarikat dari segi bahasa ialah jalan. Ingin diulang lagi agar lebih jelas. Apabila seseorang telah mempelajari, memahami dan meyakini ilmu syariat, lalu dia meLAKSANAKAN atau BERAMAL dengan ilmu syariat tersebut, maka itulah yang diertikan dengan TARIKAT. Melaksanakan atau beramal dengan syariat. Oleh itu apabila seseorang menjalankan atau melaksanakan hukum syariat dengan bersungguh-sungguh, setiap suruhan Allah sama ada yang wajib dan yang sunat dilaksanakan sungguh-sungguh. Setiap larangan Allah sama ada yang haram atau yang makruh ditinggalkan sungguh-sungguh. Maka mereka telah dikatakan telah BERTARIKAT.
Contohnya ; Abu telah ke madrasah dan mempelajari cara sembahyang. Dia telah mempelajari rukun sembahyang, syarat wajib sembahyang, perkara yang sunat dilakukan dalam sembahyang, syarat sah sembahyang dan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Setelah dia mempelajarai dan memahami ilmu tersebut, dia pun beramal dengan ilmunya untuk menunaikan sembahyang. Maka Abu telah dikatakan telah berTARIKAT di bidang sembahyang.
Tarikat pada erti kata yang pertama ini hukumnya adalah WAJIB. Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta tabiin dan orang dizaman salafussoleh. Jalan inilah juga yang patut kita lalui, iaitu jalan yang menjadikan kita melaksanakan segala perintah yang disuruh Allah dan meninggalkan perintah yang dilarang oleh Allah. Inilah perkara yang wajib kita lakukan sebagai makhluk yang dicipta Allah dan mahu menjadi hamba kepada Allah Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.
Adapun Tarikat dari istilah yang kedua, ialah apabila seseorang menyusun ayat-ayat Al Quran tertentu, zikir-zikir tertentu, salawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan diamalkan secara berjadual dalam kehidupan sehari-harian. Tarikat yang diertikan disini hukum asalnya hanyalah SUNAT. Dari sinilah lahir jemaah-jemaah zikir atau dipanggil orang sebagai jemaah tarikat. Antara jemaah zikir atau jemaah tarekat yang kita sering dengar ialah Tarikat Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah, Tarikat Samaniah, Tarikat Syazaliah, Tarikat Kadiriah, Aurad Muhammadiah dan lain-lain lagi. Jadi termasuk jugalah di dalam kategori ini ialah pengamalan Al Ma'thurat. Tujuan mereka menghimpun dan beramal secara berdisiplin zikir-zikir dan wirid-wirid tersebut adalah untuk mendidik diri untuk berdisiplin dalam beramal dengan ketiga-tiga juzuk ilmu Islam iaitu Tauhid, Feqah & Tasauf.
Secara tak langsung amalan ini memberi kekuatan jiwa tambahan untuk beramal dengan hukum syariat secara keseluruhan, dalam kehidupan sehari-hari. Sama ada dalam diri, dalam keluarga, dalam masyarakat hingga ke peringkat negara. Sebab itu jika disingkap lembaran sejarah, tunggak perjuangan sesuatu gerakan Islam adalah disokong oleh jemaah zikir atau tarekat. Sultan Muhammad Al Fateh, sultan yang berjaya menawan Kota Konstantinopel dan pengasas Kekhalifahan Osmaniah adalah ahli zikir ( ahli tarikat ) , Begitu juga As Syahid Omar Mokhtar pejuang terakhir Gerakan Sanusi yang merupakan benteng pertahanan terakhir khalifah Osmaniah dalam berhadapan penjajah Itali di Libya adalah pengamal Tarekat As Sanussiah. Imam Bonjol di Aceh yang menentang penjajahn Belanda adalah ahli tarekat Naqsyabandiah. Tok Janggut, Tok Gajah, Mat Kilau dan Datok Bahaman yang berguru dengan Tokku Paloh adalah pengamal tarekat Naqsyabandiah. Malah As Syahid Hassan Al Banna dari Ikhwan Muslimin adalah ahli tarekat aliran Al Ma’thurat.
Tidak lupa disebut Almarhum Tok Kenali yang berguru dengan Sheikh Ahmad Al Fathani dari aliran Tarekat Syattariah dan Al Marhum Tokku Paloh dari aliran Tarekat Naqsyabandiah. Tokku Paloh yang melindungi Mat Kilau dan Datok Bahaman sewaktu diburu British. Tokku Paloh yang melarikan kedua-dua anak muridnya dan disembunyikan di Hulu Besut. Mereka ini bukan sekadar menyumbang di dalam perjuangan Islam menentang penjajah, malah mereka juga membangunkan pendidikan Islam serta menghasilkan kitab-kitab ilmu Tauhid, Feqah dan Tasauf yang menjadi sumber rujukan kepada umat Islam di nusantara. Antaranya ialah :
a. Sheikh Daud bin Abdullah Al Fathani menghasilkan kitab Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid yang membicarakan ilmu tauhid dari aliran tarekat Syatariah.
b. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang menulis kitab Risalah Tauhid dan Hidayatus Salikin Fisuluki Maslakil Muttaqin, Siiras Salikin, kitab ilmu Tauhid dan Tasauf; adalah dari aliran tarekat Samaniah.
c. Sheikh Ahmad Al Fathani yang menulis kitab Faridatul Faraid yang juga kitab ilmu tauhid yang memperjelaskan aqidah ahlus sunnah wal jamaah, adalah ahli tarekat
d. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin
Pendekata, tokoh-tokoh pejuang agama, mempunyai latar belakang mengamalkan zikir-zikir dari jemaah tarikat. Inilah kekuatan disebalik berhadapan dalam apa jua permasalahan. Bila zikir diamalkan, kita mengingati Allah secara berdisiplin, maka hati sentiasa mengingati Allah setiap detik dan ketika. Justeru itu, ketenangan diperolehi, dalam apa jua situasi.
Malangnya, kita dizaman moden ini, telah dijauhkan dengan istilah tarekat oleh orientalis.Kerana orientalis tahu, disebalik kekuatan umat Islam, jemaah tarikat yang mendidik ahli jemaahnya untuk berzikir dan mengingati Allah, terbina kekuatan dalaman rohani yang jitu. Maka orientalis barat yang sememangnya memushi Islam, cba menjauhkan umat Islam dari mengingati Allah. Lalu pelbagai fitnah dan propaganda yang dilakukan untuk memburuk-burukkan jemaah tarikat. Lalu pihak orientalis mendidik, manusia yang berfahaman liberal dan berpandukan akal fikiran semata untuk menjadi musang berbulu ayam untuk memburuk-burukkan jemaah taikat. Apatah lagi wujud fahaman Islam yang menyeleweng, yang mempelopori ajaran yang sesat dan menyesatkan, lalu musuh-musuh Islam menghubungkaitkan ajaran sesat ini kononnya terhasil dari jemaah tarikat.
Pihak orientalis sudah pun berjaya mengubah presepsi masyarakat, kononnya Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lain adalah pejuang kemerdekaan nasionalis bukannya pejuang Islam. Maka langkah berikut pihak orientalis adalah untuk menjauhkan umat Islam dari mengingati Allah dengan menjauhi jemaah zikir disamping menaburkan phobia akan jemaah zikir (tarikat). Sejarah telah JELAS membuktikan fahaman orientalis tersebut lahir untuk membantu negara kuffar menjatuhkan empayar Osmaniah yang merupakan sistem kekhalifahan Islam terakhir serta menghalang segala usaha gerakan-gerakan Islam yang cuba membangunkan semula system khalifah Islam. Fahaman inilah yang sering memomok-momokkan umat Islam, bahawa jemaah tarekat adalah bidaah dan menyesatkan, kerana disebalik amalan zikir yang membawa ketenangan hati, disitulah lahirnya rasa kehambaan dan cinta kepada Allah Yang Maha Agung. Lantas terciptalah manusia-manusia yang cintakan syahid dan merindui pertemuan dengan Allah Yang Amat Dicintai, yang mampu berjuang dan berkorban demi keagungan Islam terserlah kembali. Inilah yang amat ditakuti oleh fahaman terseleweng tersebut kerana akan hilang imbuhan menjadi boneka negara kuffar.
Tidak kurang juga, orang yang belajar sedikit-sedikit tentang ilmu tarikat, dan sedar kelebihan ilmu tarikat ini. Mereka mengambil kesempatan dengan memperbodohkan para pengikutnya yang sedia jahil. Bab dan persoalan ilmu syariat yang menjadi asas kepada perlaksanaan dan pengamalan Fardhu Ain dia abaikan dalam mendidik murid dan pengikutnya, agar dia boleh terus mempunyai para pengikut yang taksub buta yang jahil tentang syariat. Ini bagi memudahkan dia mempunyai kuasa dan menghimpunkan kepentingan duniawi termasuk mengaku dirinya wali Allah yang dijanjikan. Seandainya para pengikutnya arif dibidang agama khususnya ilmu asas Fardhu Ain, pastinya dia akan kehilangan pengikut. Jadi dia akan berusaha untuk menjauhkan para pengikutnya dari ilmu asas Fardhu Ain, sebaliknya dia sibuk menceritakan hal-hal kerohanian ciptaannya yang kononnya diterima dari Rasulullah dan secara langsung dari Allah. Manusia-manusia durjana sebeginilah yang mendatangkan fitnah ke atas jemaah tarikat yang haq.
Ingin ditegaskan sekali lagi bahawa antara kedua pengertian tarikat yang dibentang tadi, antara keduanya, pengertian tarikat yang pertama ( mengamalkan syariat secara keseluruhan ) adalah WAJIB, sementara tarikat dari pengertian kedua ( himpunan ayat Al Quran tertentu, zikir-zikir tertentu, selawat dan diamalkan secara berjadual dalam kehidupan harian) adalah SUNAT. Antara hukum yang WAJIB dan hukum yang SUNAT, tuntutan hukum yang WAJIB adalah lebih utama. Jangan sampai kerana hendak bertarikat dengan pengertian kedua yang kedudukannya SUNAT, lantas kita mengabaikan tarikat dalam pengertian yang pertama yang kedudukannya WAJIB. Kiasannya, perlaksanaan hukum yang wajib adalah KERJA FULLTIME, sementara pengamalan hukum yang sunat adalah OVER-TIME. Kalau kerja FULL-TIME tak dibuat, layakkah pekerja buat tuntutan kerja OVER-TIME ? Pastinya tidak layak, malah pekerja tersebut layak untuk diambil tindakan tatatertib. Kerana pengabaian untuk beramal dengan syariat menurut pengertian pertama tadilah maka munculnya fitnah ke atas jemaah-jemaah tarikat yang menurut pengertian kedua. Tetapi ingin ditegaskan juga, seandainya tarekat dari pengertian pertama dan dari pengertian kedua itu dilaksanakan atau diGABUNGkan, maka akan lahirlah manusia yang ingin sentiasa bertaqarrub kepada Allah. Akan lahirlah manusia yang akan menunaikan titah perintah Allah, dalam dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan seterusnya di dalam ummahnya.
To be continue ...........
5 September 2010 / 26 Ramadhan 1431H
3.10 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment