Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Tuesday, September 28, 2010
Pembahagian Manusia Di Akhirat
Firman Allah SWT dalam Surah Al Waqi’ah
[1] Apabila berlaku hari kiamat itu,
[2] Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya.
[3] Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat).
[4] (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan.
[5] Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya,
[6] Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran,
[7] Dan kamu pula menjadi tiga puak (yang berlainan keadaannya);
[8] Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu?
[9] Dan puak pihak kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu?
[10] Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), – yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak);
[11] Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah),
[12] (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[13] (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;
[14] Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
[15] (Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata;
[16] Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan.
[17] Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, -
[18] Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
[19] Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya.
[20] Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih,
[21] Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini.
[22] Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,
[23] Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
[24] (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.
[25] Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
[26] Mereka hanya mendengar ucapan: ” Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).
[27] Dan puak kanan, – alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu?
[28] Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri.
[29] Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya,
[30] Dan naungan yang tetap terbentang,
[31] Dan air yang sentiasa mengalir,
[32] Serta buah-buahan yang banyak,
[33] Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya,
[34] Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya.
[35] Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,
[36] Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),
[37] Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.
[38] (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan;
[39] Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu,
[40] Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian.
[41] Dan puak kiri, – alangkah seksanya keadaan puak kiri itu?
[42] Mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang menggelegak
[43] Serta naungan dari asap hitam,
[44] Yang tidak sejuk, dan tidak pula memberi kesenangan.
[45] Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan (dunia, dari mengingati hukum Tuhan).
[46] Dan mereka pula sentiasa melakukan dosa yang besar,
[47] Dan juga mereka selalu berkata: “Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang, betulkah kita akan dibangkitkan hidup semula?
[48] “Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu, (akan dibangkitkan hidup semula)? ”
[49] Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang yang telah lalu dan orang-orang yang terkemudian,
[50] “Tetap akan dihimpunkan pada masa yang ditentukan – pada hari kiamat yang termaklum.
[51] “Kemudian, sesungguhnya kamu wahai orang-orang yang sesat yang mendustakan (kedatangan hari kiamat),
[52] Tetap akan memakan (pada hari itu) dari sebatang pokok, iaitu pokok zaqqum,
[53] “Maka kamu akan memenuhi perut kamu dari pokok (yang pahit buahnya) itu,
[54] “Selepas itu kamu akan meminum pula dari air panas yang menggelegak,
[55] “Iaitu kamu akan minum seperti unta yang berpenyakit sentiasa dahaga dan tidak puas-puas”.
[56] Inilah (jenis-jenis azab) yang disediakan untuk menyambut mereka pada hari Pembalasan itu.
Setiap kali membaca surah Al Waqi’ah, setiap kali juga hati ku bergetar. Apakah untung nasib kita menjadi puak kanan ? Atau apakah untung nasib kita menjadi puak kiri ? Andainya kita tergolong dalam golongan puak kanan, maka berbahagialah diri kita. Tetapi andainya kita tergolong dalam golongan puak kiri, maka amat malanglah nasib kita. Kerana pembalasan di akhirat adalah pembalasan yang kekal abadi.
Saat Israfil meniup sangkakala, maka berakhirlah usia dunia ini. Berlakulah kiamat. Segala makhluk akan mati. Dan saat ditiup sangkakala yang kedua, maka bangkitlah setiap yang bernama manusia di hari pembalasan untuk diperhitung amal perbuatan selama hidup di dunia. Andainya berat timbangan amal kebajikan, maka berbahagialah diri insan. Suratan diterima di tangan kanan dan syurga yang indah dan lazat menjadi imbuhan. Sebaliknya andai berat pula timbangan amal kemungkaran, maka celakalah hidup insan. Suratan di terima di tangan kiri dan neraka yang azab dan derita menanti untuk member pembalasan.
Saat di bangkitkan di Padang Mahsyar, tidak seorang pun yang tertinggal. Dari Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir bernafas di dunia di saat sangkakala bergema, akan dihimpunkan. Setiap amal perbuatan di dunia akan dinilai. Insan yang hidupnya dan matinya bersama iman walau sebesar zarah akan diasingkan. Sementara yang tidak beriman akan dihalau terus ke neraka.
Kelompok yang membawa iman ini terbahagi pula kepada empat kelompok.
1. Bighairi hisab (Golongan muqarrabin)
2. Ashabul Yamin
3. Ashabus Syimal
4. Ashabul A’raf
Golongan Bighairi Hisab adalah golongan muqarrabin. Golongan bighairi hisab, mereka memasuki syurga tanpa hisab. Golongan ini terdiri dari :
1. golongan para Nabi dan Rasul-rasul
2. para sahabat Rasulullah SAW
3. para syuhada
4. wali Allah
5. mereka yang terlalu sabar.Sabar ini dibahagikan pula kepada tiga. PERTAMA : Sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Hakikatnya, bukan senang sebenarnya hendak taat kepada Allah, lebih-lebih lagi dengan adanya godaan syaitan, nafsu, dunia yang menggoda serta hasad dengki oleh manusia yang memusuhi kebenaran. Cuba tanya diri kita, senangkah hendak tutup aurat ? Senangkah hendak bersedeqah ? Senangkah hendak puasa ? Susah, melainkan mereka yang benar-benar ingin kembali kepada Allah dalam keadaan sejahtera. Mereka sabar melakukan ketaatan. KEDUA : Sabar dalam meninggalkan tegahan Allah. Bagi mereka yang sudah lama berkecimpung dengan maksiat, bukan senang hendak meninggalkan dadah, bukan senang hendak meninggalkan zina, bukan senang hendak meninggalkan riba'. Jadi kesabaran dalam mengorbankan nikmat dunia yang sementara demi meraih kasih sayang Allah, akan dinilai oleh Allah dan diberikan ganjaran yang amat bermakna. KETIGA : Sabar tatkala menerima ujian musibah, kerana Allah mendatangkan ujian musibah kepada kita semata-mata untuk menaikkan darjat kita disisi-NYA. Maka hendaklah kita sabar dan redha dengan ujian musibah tersebut. Kerana Allah tidak akan mendatangkan ujian musibah yang di luar kemampuan kita.
6. mereka yang tidak terpaut dan cinta dengan kenikmatan dunia.
7. mereka yang berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada mereka.
Golongan Ashabul Yamin adalah golongan kanan iaitu golongan yang menerima suratan amal di tangan kanan. Saat kebangkitan di Yaumil Mahsyar, amalan mereka akan dihisab. Timbangan amal kebajikan mereka lebih berat dari amal kemungkaran. Lalu mereka menerima suratan amal di tangan kanan dan mereka akan melalui titian Sirat ke syurga. Ciri-ciri golongan Ashabul Yamin ini ialah mereka memiliki iman tingkatan IYYAN (Sila rujuk notes Rahsia Iman di link http://www.facebook.com/note.php?note_id=44049379076 ) dan memiliki tingkatan nafsu MUTMAINNAH (Sila rujuk notes Rahsia Nafsu di link : http://www.facebook.com/note.php?note_id=440741090768 ). Golongan ini juga dipanggil golongan Al Faaizun, Al Muflihun, Al Abrar dan As Solihin.
Golongan Ashabus Syimal ialah golongan kiri. Golongan ini adalah golongan orang muslim dan mukin yang a’si (yang hidupnya di dunia derhaka kepada Allah dan melakukan banyak dosa kemungkaran). Saat dibangkitkan di Mahsyar, golongan ini menerima suratan amal di tangan kiri. Saat mereka di hisab di mizan, timbangan amal kemungkaran mereka lebih berat dari amal kebajikan. Mereka akan melintas titian Sirat dan mereka jatuh ke neraka. Mereka akan diazab di neraka terlebih dahulu dalam tempoh masa berdasarkan sejauh mana teruk dan banyaknya dosa kemungkaran yang dilakukan sewaktu di dunia. Setelah menjalani tempoh hukuman, barulah mereka di keluarkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga.
Golongan Ashabul A’raf ialah golongan yang timbangan dosa dan pahalanya sama banyak. 50 – 50. Mereka ini adalah golongan yang ketiga iaitu yang tidak mendapat suratan amal di tangan kanan mahu pun di tangan kiri. Pahalanya tidak cukup untuk melayakkannya masuk syurga dan dosanya tidak melebihi pahalanya untuk masuk neraka. Allah hukum mereka berjalan ulang alik antara syurga dan neraka. Oleh itu, terhegeh-hegehlah ia di atas titi Sirath sambil meminta-minta pahala dari ahli syurga.Tatkala mereka melihat syurga, tergiur hati ingin ke sana kerana keindahan dan nikmat kemanisannya, namun dirinya tidak dibenar untuk memasukinya. Tatkala dia melihat neraka, bergetar jantung akan kegerunan azab dan penderitaan di dalamnya. Allah menghukumnya, sehinggalah ada yang mengirimkan amal kebajikan untuk memberatkan sedikit timbangan amal kebajikan. Lalu barulah Allah memasukkan dia ke dalam syurga NYA. Akhirnya dapatlah ia satu pahala dan iapun dimasukkanlah ke dalam syurga. Orang yang menghadiahkannya satu pahala tadi diberi tempat tertinggi di dalam syurga walaaupun pahala 'ibadahnya tidak layak baginya untuk mendapat darjat yang begitu tinggi. .
Ayuh kita bermuhasabah. Apakah amal kebajkan kita lebih memberati timbangan amal kita atau amal kemungkaran kita yang lebih banyak ?
Apakah tingkatan iman kita di peringkat iman Iyyan ?
Apakah tingkatan nafsu kita di peringkat mutmainnah ?
Walau pun memasukkan seseorang itu ke syurga atau ke neraka adalah milik Allah, namun secara ilmiah kita sudah mampu menilai, sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah diri kita berdasarkan amal perbuatan kita.
Semoga kita terus berusaha dan berdoa agar Allah meningkatkan keimanan kita, di pimpin kita untuk terus istiqamah bersama iman dan Islam. Semoga Allah memberi kita keampunan dan kasih sayang NYA.
Madrasah Darus Syifa
18 September 2010
9.15pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment