Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Friday, September 10, 2010

Hidup Menurut Pandangan Islam Part 3


Setelah seseorang mempelajari syariat, serta mengamalkan hukum syariat bersungguh-sungguh dalam setiap aspek kehidupan ( atau dalam erti kata lain dia telah bersyariat dan bertarikat ). Maka Allah akan campakkan ke dalam dirinya rasa kehambaan dan rasa kesyukuran ke dalam dirinya.Mereka rasa lazat dalam beribadah dan merasa azab dalam melakukan dosa dan kemungkaran



Firman Allah : Hanyasanya orang mukmin yang sebenar itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Tuhan mereka (Allah) sahajalah mereka menyerah diri.” Al Anfal : 2.


Inilah yang dinamakan HAKIKAT. Hakikat ialah gerak rasa hati yang Allah campakkan ke dalam hati hambanya yang bersungguh-sungguh bersyariat dan mengamalkan syariat ( bertarikat ). Allah akan hapuskan sifat mazmumah (sifat hati yang terkeji) dalam hatinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah (sifat hati yang terpuji ). Hakikat ini bukan ilmu yang boleh dipelajari, tetapi ianya anugerah Allah ke atas hamba NYA yang bersungguh-sungguh mempelajari, memahami, meyakini ilmu syariat secara ilmiah.serta melaksanakan hukum-hakam NYA (bersyariat dan bertarikat).


Bersesuaian dengan firman Allah : “Orang-orang yang bermujahadah pada jalan KAMI, KAMI tunjukkan jalan KAMI, Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang baik” Al Ankabut : 69.


Maka akan lahirlah manusia yang hatinya terpaut kecintaan kepada Allah. Manusia yang apabila disebut nama Allah, maka akan gementarlah seluruh jasad dan rohaninya. Akan lahirlah manusia yang memenuhi tuntutan konsep ibadah secara global yang mampu melaksanakan konsep ibadah menurut Islam yang merangkumi ibadah Asas, ibadah fadailul a’mal ( yang terkandung didalamnya amalan fardhu kifayah ) dan ibadah yang umum. Akan lahirlah manusia yang cantik dan anggun akhlaknya sebagaimana memenuhi tuntutan perutusan Rasul ke mukabumi untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.


Ingin diulangi bahawa hakikat adalah perasaan rasa hati yang telah Allah campakkan kepada hamba NYA yang berusaha gigih untuk mendekatkan diri kepada NYA.Allah hapuskan sifat mazmumah dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah. Maka lahirlah dan hiduplah manusia itu dengan keadaan yang tenang dan berkhlak mulia, Inilah buah kepada pengamalan syariat. Inilah buah kepada iman & dan ibadah kepada Allah. Akhlak terpuji seperti sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”.


Dalam ertikata lain, hakikat adalah buah dari syariat dan tarikat. Atau lebih tepat, hakikat adalah buah kepada pengabdian diri kepada Allah. Allah hapuskan sifat mazmumah dalam dirinya dan Allah gantikan dengan sifat mahmudah. Agar seseorang itu merindui saat beribadah bersama Allah. Dalam erti kata lain, hakikat adalah buah kepada ibadah. Hakikat adalah hasil seseorang beribadah kepada Allah dengan kesungguhan hati. Ianya adalah anugerah Allah SWT. Maka akan lahir rasa takut kepada Allah, rasa tawakal dengan Allah, rasa harap kepada Allah, dan setiap amal perbuatan, perkataan dan gerak hati mereka sentiasa di pautkan kepada Allah. Setiap kejadian dan penciptaan alam dihubungkaitkan dengan kekuasaan dan keagungan Allah bagi menambah keimanan kepada Allah. Setiap kejadian musibah dan bala juga dihubungkaitkan dengan kekuasaan Allah dan kelemahan manusia sebagai makhluk bagi menyuburkan sifat sabar dan redha kepada Allah. Setiap kejadian nikmat dihubungkaitkan juga dengan kekuasaan Allah dan kelemahan manusia sebagai makhluk bagi menyuburkan rasa kesyukuran dan kehambaan.


Orang yang telah mencapai tingkatan hakikat , Allah ilhamkan jalan yang mampu membawanya ke arah kecemerlangan agar dia dapat menempuhnya dengan mudah. Dia juga akan Allah ilhamkan kepadanya jalan yang membawa kemusnahan agar dapat dia hindari sebagaimana firman Allah :


“Maka Allah ilhamkan kepada jiwa itu, jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang –orang yang mensucikan jiwa (nafsu) nya itu . Dan sesungguhnya merugilah ( celakalah ) orang yang mengotorinya.” As Syams : 8 - 10..


Disinilah tahap keimanan seseorang telah terserlah. Dia bukan sahaja mengenal Allah dengan akal fikiran melalui ilmu tauhid, tetapi juga secara keyakinan hati. Inilah yang diistilahkan sebagai makrifat. Makrifat ialah keyakinan yang memperkuatkan keimanan kepada Allah setelah menempuh syariat dan tarikat, serta mencapai rasa hakikat. Orang yang memiliki makrifat inilah yang dinyatakan sebagai orang yang mengenal Allah dengan mata hati, ainul yakin. Orang yang sebeginilah yang diisyaratkan sebagai memiliki sifat yang disebut dalam Al Quran :


Al Anfal : Ayat 2-3 :Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka.


Apabila seseorang telah menempuh syariat dan beramal dengan ilmu syariat ( bertarikat ) serta diberi hakikat, maka lahirlah sifat makrifat. Sifat makrifat kepada Allah Taala yang akan memancarkan berbagai perasaan yang baik dan dasar semangat untuk menuju ke arah perbaikan. Makrifat ini dapat pula mendidik hati untuk senantiasa menyelidiki dan meneliti mana yang salah dan tercela, malah dapat menumbuhkan kemauan untuk mencari keluhuran, kemuliaan dan ketinggian budi dan akhlak dan sebaliknya juga menyuruh seseorang supaya menghindarkan dirinya dari amal perbuatan yang hina, rendah dan tidak berharga sedikit pun.


Orang yang telah sampai ke tingkat makrifat dikatakan orang-orang yang Al 'Arifbillah atau golongan 'Arifin. Mereka ini kenal Allah dengan mata hati dan mereka telah mencapai taraf bertaqwa. Mereka benar-benar dapat melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah yang haram dan makruh.


Orang yang mendapat hakikat dan makrifat, dia akan merasa dirinya sebagai hamba Allah yang hina. Tidak akan terlafaz dari lidahnya bahawa dialah yang paling bertaqwa. Tidak akan terlafaz dari perbuatannya tanda-tanda riak. Tidak terlintas di hatinya bahawa dialah yang paling kuat iman dikalangan manusia dan yang paling banyak amal ibadah dia antara makhluk Allah yang hidup di dunia. Seandainya ada di kalangan manusia yang memuji akan keupayaannya beribadah kepada Allah SWT, pujian itu dianggap suatu ancaman yang bakal merosakkan hubungan antara dia dan Allah. Dia akan segera menghentikan puji-pujian tersebut demi menjaga hatinya dengan Allah. Inilah sifat orang yang benar-benar memiliki hakikat dan makrifat. Seandainya dia merasa senang dan selesa dengan pujian tersebut , serta tidak menghentikannnya, nyatalah apa yang alami bukanlah hakikat mahupun makrifat, sebaliknya adalah tipu daya syaitan dan nafsu dalam amalannya. Hancur dan binasalah amalan itu kerana ujub. Orang yang telah beroleh hakikat dan makrifat, tidak sama sekali menceritakan keseronokan bersama Allah kerana ianya adalah rahsia antra orang yang merasa kasih sayang Allah. Ianya juga disebabkan orang yang "sedang asyik bercinta" tidak ada masa untuk menceritakan rasa cinta yang dirasai kepada orang lain. Inilah cara membezakan sama ada seseorang yang pada zahirnya cantik akhlaknya, benar-benar telah memiliki hakikat dan makrifat, atau sebenarnya sedang berlakon memiliki hakikat dan makrifat. Atau dalam istilah lain, sedang ujub, atau istilah melayunya syok sendiri. Malanglah bagi mereka yang telah menempuh syariat dan tarikat, tetapi merasa ujub dan menyangka diri telah mencapai hakikat dan makrifat. Tertipu dalam beribadah.


Kalau ada orang yang melaksanakan syariat Islam sungguh-sungguh, faham sungguh-sungguh kelima hukum Islam tetapi tidak tenang, tidak redha, tidak sabar dan lain-lain haruslah periksa diri, muhasabah diri kembali. Kalau bukan kesalahan di bidang Tauhid, mungkin salah di bidang feqah atau di bidang tasawuf.


Kesimpulannya ajaran Islam bukanlah bentuk percakapan saja, tapi perlu diamalkan lahir dan batin agar menjadi hamba Allah yang soleh atau disebut Al 'Arifbillah yang akan mendapat kemenangan di dunia dan Akhirat.


Mudah-mudahan penerangan ilmiah ini akan mendorong kita untuk terus mempertingkatkan amalan kita ke arah ketaqwaan.



Hasil yang diperolehi setelah syariat, tarikat diamalkan serta hakikat dan makrifat diperolehi dan dirasai lahirlah manusia yang bersungguh-sungguh melaksanakan titah perintah Allah serta menjauhi segala larangan Allah. Antar contoh yang kita boleh ikuti dan nampak kesannya adalah :



1. Sebagaimana kentalnya aqidah Saidina Bilal Bin Rabah ra. Walau diseksa di tengah padang pasir, namun keyakinannya kepada Allah dan Rasulullah SAW tidak sedikit pun berubah. Ini kerana keyakinan dan cinta yang mendalam kepada Allah sudah subur di hati.



2. Saidina Abdul Rahman Bin Auf ra, beliau adalah haratawan di zaman Rasulullah SAW. Atas rasa tanggungjawab untuk membangunkan ekonomi Islam, beliau mengeluarkan dana dan mencetus jaringan ekonomi sesama umat Islam hingga tertumpas ekonomi Yahudi. Namun segala harta yang dimilikinya yang diperolehi dari keuntungan perniagaan, dibelanjakan di jalan Allah. Hatinya tidak sedikit pun terpaut kepada kilauan emas dan permata, kerana hatinya hanya terpaut kepada kilauan senyuman bidadari syurga yang Allah telah janjikan.



3. Abdullah Ibnu Jarrah ra, beliau pernah dilantik menjadi Gabenor di zaman Khalifah Umar Al Khattab. Namun jawatan dan pangkat yang tinggi tidka pernah menjadikan hatinya tertarik kepada nikmat kemewahan dunia. Harta miliknya hanyalah sebilah pedang dan sebuah bekas untuk beliau makan serta minum dengannya.



4. Saad Bin Abi Waqqas ra, beliau rela mengorbankan tanah tumpah kelahirannya dan berdakwah hingga ke negeri China demi menyampaikan risalah Tauhid kepada bangsa di Timur jauh. Beliau tidak ragu-ragu untuk meninggalkan harta, kesenangan, dan sebagainya demi menyampaikan dakwah kerana dirinya tahu bahawa imbuhan di akhirat adalah kasih sayang Allah buat nya.



5. Saidina Umar Al Khattab, sewaktu menjadi Amirul Mukminin, tidurnya tidak pernah lena. Siang dia menguruskan hal ehwal negara. Malam dia berjalan sendirian di jalan-jalan lengang di Kota Madinah untuk melihat rakyatnya. Pernah Saidina Umar Al Khattab berlari sambil menangis menuju ke Baitul Mal di tengah kesunyian malam untuk mendapatkan seguni gandum. Kerana dia temui seorang ibu tua bersama-sama anak-anaknya yang sedang kelaparan. Pernah juga Saidina Umar Al Khattab menangis kerana menemui bangkai seekor kambing di tebing sungai, dia takut Allah akan mempersoalkannya di akhirat kelak kerana dia tidak tahu kambing itu mati sebab apa. Raja yang berwatak hamba. Walau berada di kemuncak kemahsyuran dan kekuasaa, namun hatinya tetap tunduk dan merintih mengharap kasih sayang dan ampunan Allah. Di manakah hendak kita cari pemimpin sebegini di hari ini ?



6. Tidak lupa juga, seorang remaja bernama Tsaklabah yang terpandang betis seorang wanita yang bukan muhrim. Lantas dia berlari ke tengah padang pasir sambil menangis dan bertaubat. Takut "dosa" yang tak disengajakan itu mengundang murka Allah. Setelah sekian lama merintih, akhirnya Tsaklabah ditemui oleh Saidina Umar dan Rasulullah SAW dalam keadaan lemah tidak bermaya. Sewaktu Rasulullah SAW bertanya kepada Tsaklabah, apakah yang diinginkannya ? Hanya satu saja, iaitu keampunan Allah. Lalu Rasulullah SAW mendoakan keampunan untuk Tsaklabah. Seusai berdoa, Tsaklabah terus meninggal dunia di atas ribaan Rasulullah SAW. Alangkah indahnya andainya remaja-remaja kita bersifat seperti Tsaklabah. Pasti tiada gejala sosial dan tiada kes pembuangan bayi.



7. Tidak ketinggalan Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib ra. Setelah Islam tiada yang lebih dicinta melainkan syahid. Lantas Allah anugerahkan kepadanya anugerah syuhada dalam usahanya menegakkan hukum-hakam Allah di muka bumi. Gugur dirinya di medan Uhud ditombak oleh Wahsyi. Saidina Hamzah sanggup mengorbankan nyawanya kerana yakin dengan janji Allah.



8. Seorang lagi anak muda di zaman Rasulullah SAW, Umair Bin Abi Waqqas, yang menjadi Ahli Badar ke 313. Sewaktu semboyan jihad untuk ke medan Badar, Umair dihalang untuk turut serta kerana usianya yang masih muda. Ada pendapat mengtakan bahawa usianya masih belum baligh. Namun kecintaan untuk bersama-sama Rasulullah SAW mempertahankan kesucian Islam telah menjadikan anak kecil ini, terjengket-jengket mengheret pedang dan mengikuti barisan Ahli Badar secara sembunyi-sembunyi. Namun kehadirannya disedari oleh Rasulullah SAW. Tatkala dia diarah kembali ke Madinah, Umair menangis dan meratap, kerana ingin turut seta. Kerana keikhlasannya, Rasulullah SAW akhirnya mengizinkan dia turut sama. Gugur Umair di medan Badar. Saad Bin Abi Waqqas ra, terharu dan senyuman. Kerana adiknya terlebih dahulu mendapat syahid dari dirinya. Inilah kesan dari madrasah Rasulullah SAW. Andainya remaja kita berwatak seperti Umair, pastinya gemilang Islam di bumi Malaysia.


Lantas ... Untuk Apa Manusia Dihidupkan ?

( http://www.facebook.com/note.php?note_id=449002205768&comments&ref=notif¬if_t=note_comment#!/note.php?note_id=368220125768 )



6 September 2010 / 27 Ramdhan 1431H

4.15 am


No comments:

Post a Comment