Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, September 11, 2010

Rahsia Tiga Kekuatan


Aku telah pun mencoretkan rahsia iman.

Aku juga telah mencoretkan rahsia nafsu.

Kini sampailah masanya untuk aku mencoretkan rahsia tiga kekuatan dalam diri manusia.

Sifat, watak dan bakat seseorang bergantung kepada kekuatan yang ada dalam diri seseorang. Dalam diri setiap manusia terhimpun tiga kekuatan. Tiga kekuatan itu adalah :



1.Kekuatan jiwa
2.Kekuatan akal
3.Kekuatan perasaan

Dalam diri manusia biasa, antara ketiga-tiga kekuatan ini hanya akan ada satu kekuatan sahaja yang akan dorminan yang akan menyerlahkan sifat, watak dan bakat yang empunya diri. Maksudnya, jika kekuatan jiwa dorminan, maka kekuatan akal dan kekuatan perasaan akan lemah. Jika kekuatan akal dorminan, maka kekuatan jiwa dan kekuatan perasaan akan lemah. Jika kekuatan perasaan dorminan, maka kekuatan jiwa dan kekuatan akal akan lemah. Di sinilah punca utama terdapat perbezaan ketara dalam sifat, watak dan bakat manusia berbeza dan mencorakkan warna-warna kehidupan masyarakat.

Al Quran sejak diturunkan dari awal hingga akhir mempunyai kemampuan untuk mendidik semua bentuk sifat, watak dan bakat manusia yang berbeza-beza. Oleh sebab itulah ayat Al Quran akan beralun antara tiga bentuk perbezaan manusia berdasarkan perbezaan kekuatan yang dimiliki mereka.

Untuk mereka yang mempunyai kekuatan akal, Al Quran menyarankan mereka berfikir.

Untuk mereka yang mempunyai kekuatan jiwa, Al Quran mengugut dan menyampaikan khabar ancaman tentang kekuatan dan keagungan Allah serta dahsyatnya hari kiamat dan seksaan neraka.

Untuk mereka yang mempunyai kekuatan perasaan, Al Quran menyampaikan khabar gembira yang memujuk dengan alunan yang lemah lembut, kenikmatan syurga, betapa Maha Pengasih dan Pengampunnya Allah dan lain-lain lagi.

Demikianlah halus dan berhikmahnya Allah mendidik hamba-hamba NYA yang ingin menghampirkan diri kepada NYA.

Dan setiap kekuatan tersebut, ada baik dan ada buruknya. Andainya iman dijadikan tumang yang mengawal kekuatan, maka akan terhasillah natijah yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat.Andainya nafsu yang dijadikan tumang yang mengawal kekuatan, akan lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan hasil perbuatan manusia itu sendiri.

Oleh itu ketiga-tiga kekuatan ini harus dididik ke arah iman dan taqwa. Agar natijah yang lahir memberi manfaat kepada masyarakat, lebih-lebih lagi manfaat di akhirat.

Kekuatan Akal :

1.Ciri-cirinya : Orang yang mempunyai kekuatan akal akan mempunyai sifat suka berfikir dan mengkaji. Hasil fikirannya menghasilkan buah-buah fikiran yang bernas yang tidak terjangkau oleh fikiran manusia kebanyakan. Buah fikiran yang tehasil dari usaha tafakurnya menjadi asbab kepada terjawabnya kepada pelabagai persoalan dan permasalahan di kalangan masyarakat. Disebabkan kekuatan akal, dia mampu menguasai banyak ilmu. Bahkan mampu mencungkil ilmu-ilmu yang tersirat. Dia juga seorang yang amat berhati-hati terutama dalam membuat keputusan agar keputusan yang dibuat tidak salah percaturan. Kurang bercakap, bercakap sekadar perlu. Berani memecah tradisi dan membuat perubahan selama mana tidak bercanggah dengan syariat yang lahir.

2.Kebaikan : Penyelesai masalah, gudang ilmu dan pemimpin yang berwibawa.

3.Keburukan : Lalai melaksanakan perintah Allah akibat terlalu banyak berfikir. Andainya ilmunya tidak lengkap, kajian yang dilakukannya terseleweng, maka lahirlah ajaran sesat. Diri tidak terurus (selekeh). Rasa ujub dan riyak mudah lahir dalam diri.


Kekuatan Jiwa :

1.Ciri-cirinya : Orang yang tahan lasak, tak mudah mengalah.
2.Kebaikan : Optimis, berani, tahan di uji, pandai memotivasi diri dan masyarakat.
3.Keburukan : Zalim, pemarah, kasar, pendendam, gopoh, ujub, "tasteless" (tidak ada perasaan).


Kekuatan Perasaan :

1.Ciri-cirinya : Seorang yang sensitif, selalu emosi, bersifat sastera (kaki jiwang), pandai berpuisi dan ayat berbunga, gila dipuji, gila glamour, kaki nostalgia, suka akan hal-hal kerohanian dan kebatinan.
2.Kebaikan : Bertimbang rasa, lemah lembut, bersifat empathy dan simpati.
3.Keburukan : Mudah merajuk, kuat berangan, sukar menerima kelemahan atau kesalahan diri, mudah kecewa, tidak tahan uji, penakut, buruk sangka, tidak tetap pendirian, jumud.

Antara ketiga-tiga kekuatan, orang yang mempunyai kekuatan akal amat sedikit di kalangan masyarakat. Orang yang mempunyai kekuatan perasaan pula yang paling ramai di kalangan masyarakat. Orang yang mempunyai kekuatan jiwa, bilangannya lebih ramai dari bilangan orang yang mempunyai kekuatan akal, tetapi sedikit dari orang yang mempunyai kekuatan perasaan.

Kekuatan akal dilayan dengan memberikan ilmu-ilmu baru yang bernas yang boleh menyelesaikan masalah masyarakat.

Kekuatan jiwa dilayan dengan memberikan khabar ancaman dan seksaan dari neraka Allah yang menjurus kearah pembinaan iman.

Kekuatan perasaan dilayan dengan memberikan khabar gembira tentang kemanisan syurga, balasan atas perbuatan amal soleh.

Ketiga-tiga kekuatan ini hendaklah dikawal dan dididik dengan iman dan syariat Islam agar ianya dapat disuburkan dan digunakan demi kepentingan Islam. Contohnya :

1.Orang yang mempunyai kekuatan akal yang dikawal oleh iman dan syariat, akan menyalurkan kekuatan akalnya dalam memikirkan jalan penyelesaian ke atas segala permasalahan umat Islam. Tetapi jika tidak dikawal oleh iman dan syariat, kekuatan akal akan digunakan untuk menghasilkan aktiviti-aktiviti yang merosakkan iman.

2.Orang yang mempunyai kekuatan jiwa jika dididik dengan iman dan dikawal dengan syariat, akan menghancurkan sifat sombong dan zalim. Jadilah dirinya seorang yang merendah diri dan penyayang. Tetapi andainya tidak berpandukan syariat dan iman, akan terhasillah manusia bersifat pemarah dan zalim.

3.Orang yang mempunyai kekuatan perasaan pula, jikda dididik dengan iman dan dikawal dengan syariat, akan menghapuskan rasa putus asa kecewa dan menjadikan dirinya seorang yang optimis dengan masa depan.

Iman dan syariat hendaklah dijadikan tumang dalam memimpin dan mendidik manusia untuk membuang segala sifat mazmumah yang ada pada diri dan menggantikannya dengan sifat-sifat mahmudah. Iman dan syariat juga mendorong manusia untuk berusaha melatih diri memperolehi sifat baik dan kekuatan yang tidak ada padanya.

Para Rasul dan Nabi-nabi, mereka dilahirkan bersama ketiga-tiga kekuatan mereka yang dorminan. Lantas mereka pandai meletakkan orang kena pada tempatnya.

Orang yang mempunyai kekuatan akal dilantik menjadi pemimpin/mujtahid. Orang yang mempunyai kekuatan jiwa dilantik menjadi ahli teknokrat/mujahid. Orang yang mempunyai kekuatan perasaan dilantik menjadi pengikut yang taat.

Malah ada juga ibu bapa yang melihat ketiga-tiga kekuatan ini dalam memilih jodoh dan pasangan untuk anak-anak mereka.

Andainya anak perempuan mereka seorang yang kuat jiwa, ibu bapa akan mengelak untuk menerima pinangan seorang lelaki yang kuat perasaan. Kerana dikhuatiri akan berlaku insiden Queen Control. Sebaliknya ibu bapa akan mencari seorang lelaki yang kuat akal untuk anak suntinya.

Dan begitulah peranan tiga kekuatan dalam menzahirkan sifat, watak dan bakat seseorang dalam masyarakat.

Dalam melahirkan tokoh-tokoh di kalangan masyarakat, pemimpin paling atasan akan mempertimbangkan watak, sifat dan bakat orang bawahan berdasarkan ketiga-tiga kekuatan yang orang bawahannya miliki.

Golongan pemimpin dilahirkan dari orang yang kuat akal. Kerana mereka akan lebih berperanan dalam melahirkan idea-idea bernas dan memikirkan persoalan strategi yang berlandaskan syariat dalam memimpin dan menyelesaikan permaslahan masyarakat.


Di awal perjuangan Rasulullah SAW dalam menyeru manusia untuk mentauhidkan Allah, orang-orang yang mula menerima seruan Rasulullah SAW adalah orang yang mempunyai kekuatan akal yang kuat dan dominan. Lihatlah sahaja Siti Khadijah Binti Khuwailid, beliau seorang usahawan yang amat berjaya kerana kepintarannya. Lantas dia menerima seruan Rasulullah SAW tanpa banyak soal.

Begitu juga Saidina Abu Bakar ra, beliau juga mempunyai kekuatan akal yang amat luar biasa. Bila kafir Quraisy cuba menggoyahkan keimanan Abu Bakar dengan menyampaikan berita tentang Israk Mikraj, tanpa banyak kata, Abu Bakar ra berkata ... "Andainya yang berkata itu Rasulullah SAW, maka benarlah Rasululah SAW telah Israk & Mikraj ..." .

Saidina Othman bin Affan, seorang ahli perniagaan yang menggunakan keuntungan perniagaan untuk membantu dan membela kebajikan orang-orang yang memerlukan, juga merupakan orang awal yang beriman dan mentauhidkan Allah. Saidina Othman juga menerima Islam tanpa banyak soal. Lantas diikuti oleh Saidina Ali, Saidina Abdur Rahman Bin Auf, Saad Bin Abi Waqqas dan lain-lain lagi.

Kesemua sahabat yang menerima seruan awal dari Rasulullah SAW, bukan kerana taksub buta, tetapi mereka sudah mengkaji peribadi Rasulullah SAW sebelum Rasulullah SAW dilantik menjadi Rasul lagi. Pendekata mereka menuruti dan menerima seruan iman kerana mereka mempunyai dalil. Dan dalil yang mereka miliki bukan berdasarkan perkara-perkara pelik dan aneh yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sebaliknya adalah berdasarkan dalil yang membuktikan kebenaran kewujudan dan keagungan Allah.

Siti Khadijah, sebelum beliau menyunting seorang pemuda bernama Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib, Siti Khadijah sudah mempelajari sifat dan watak baginda Rasulullah SAW melalui Waraqah Bin Naufail. Dari situ Siti Khadijah sentias ternanti-nanti, saat bilakah pemuda yang menjadi suaminya akan mula menyampaikan seruan untuk mentauhidkan Allah.

Begitu juga dengan Saidina Abu Bakar, Othman, Ali, Abdur Rahman Bin Auf dan lain-lain lagi. Mereka sudah setia kepada Rasulullah SAW sewaktu Rasulullah SAW masih kecil lagi. Mereka membesar bersama sejak zaman anak-anak dan mereka mengkaji peribadi Rasulullah SAW, dan melihat sendiri bagaimana Rasulullah SAW membesar dari anak kecil menjadi seorang Rasul. Inilah kebenaran yang mereka saksikan dengan mata kepala dan mata hati mereka. Maka tidak hairanlah mereka ini dilantik menjadi pemimpin dikalangan umat Islam.

Watak-watak para sahabat yang paling awal beriman, tidak sama dengan watak-watak Arab Badwi padang pasir, atau pun watak kaum-kaum Pagan yang menyembah pokok, busut, berhala dan roh-roh nenek moyang. Watak-watak Arab Badwi padang pasir dan kaum Pagan, mereka tidak mempunyai kekuatan akal. Yang ada cuma kekuatan perasaan, lantas untuk mengIslamkan mereka, cukup sekadar menunjukkan mukjizat-mukijizat yang pelik-pelik dan aneh. Mereka akan beriman, namun sumbangan mereka hanya sekadar menjadi pengikut yang taat. Untuk membentuk peribadi mereka menjadi pemimpin yang memperjuangkan iman dan syariat, adalah hampir mustahil.

Dari Kitab Hiyat Al Qulub tulisan A'llamah Muhammad Baqir Al Majlisi, di halaman 132 hingga 168, cetakan Ansariah Publications, ada menukilkan dua kisah pengIslaman dua manusia di tangan Rasulullah SAW. Kisahnya seperti berikut :



HIKAYAT 1 :


Seorang Yahudi datang dan berkata kepada Rasululah SAW :

Yahudi :“Dimana Tuhanmu?”

Rasulullah SAW : “Kebijakan dan KekuatanNya ada di mana-mana, tapi dia sendiri tidak ada pada suatu tempat tertentu.”

Yahudi : “Bagaimanakah Ia?”

Rasulullah SAW : “Bagaimana mungkin aku menjelaskan bagaimana Ia, sedangkan Ia tidak memiliki sifat-sifat makhluk?”

Orang Yahudi tersebut mengakhiri dengan meminta bukti Muhammad adalah nabi. Seketika itu juga batu-batu dan semua benda lain menyatakan bahwa Muhammad adalah Nabi Allah, lalu orang Yahudi tersebut menjadi seorang muslim.

Ulasan saya : Yahudi tersebut memeluk Islam kerana batu-batu yang ada sekeliling yahudi itu membenarkan kerasulan baginda Rasulullah SAW. (Kejadian pelik, anih) bukan kerana Yahudi itu mengkaji dan berfikir tentang kebesaran Allah dan kebenaran Rasulullah SAW.



HIKAYAT 2


Suatu hari seorang Arab Badwi berkata,

Arab Badwi : Siapa ini?

Rasulullah SAW : Aku utusan Allah.

Arab Badwi : Demi Latta dan ‘Uzza, Kau adalah musuh terbesarku, dan agar kaumku tidak menyebutku dayus, akan ku bunuh kau.

Rasulullah SAW : Berimanlah


Arab Badwi tersebut melempar cicak berwarna hijau dari lengan bajunya, dan berkata :


Arab Badwi : Aku tidak akan beriman sehingga cicak ini beriman.


Tiba-tiba cicak hijau itu dalam bahasa Arab yang elok, berseru, “Wahai hiasan dari semua yang akan dikumpulkan pada hari pembalasan, kau akan memimpin orang-orang yang ikhlas ke syurga.”

Rasulullah SAW : Kepada siapa kamu menyembah?

Cicak tersebut menjawab, "kepada Tuhan yang menguasai melebihi segala, Yang Maha Tahu, dan telah menjadikan api sebagai alat penghukumnya.”


Rasulullah SAW : Siapa aku?

Cicak tersebut menjawab, “Engkau adalah utusan Tuhan semesta alam, dan penutup para nabi. Bahagialah orang yang mengenalmu, dan tiada harapan orang yang mengingkarimu.


Arab Badwi : Tidak ada bukti yang lebih jelas daripada ini, dan walaupun aku datang ke sini menganggapmu musuh terbesarku, aku sekarang mencintaimu lebih dari hidupku, ayahku, atau ibu.


Kemudian Arab Badwi itu mengulangi syahadatnya, menjadi Muslim, dan kembali ke Bani Salim, asalnya, kemudian lebih membawa seribu orang lebih untuk memeluk Islam.


Ulasan saya : Orang yang berfahaman Pagan, mereka tidak mempunyai kekuatan akal. Yang ada cuma kekuatan perasaan. untuk membawa mereka kepada iman dan Islam, tidak memerlukan hujjah dan kajian. Cukup sekadar membawakan sesuatu yang pelik dan aneh. Malah pengalaman saya berdakwah di pedalaman Sabah, Sarawak dan Borneo, cukup membawa sesuatu yang dianggap "ajaib" sudah mampu mengIslamkan koloni penyembah-penyembah anamisme Pagan. Sejarah juga membuktikan, gugusan kepulauan nusantara pernah dikuasai Hindu melalui sihir, sebagai bukti bahawa orang yang mempunyai fahaman Pagan cukup mudah untuk diubah pegangan mereka.


Begitu jugalah peranan sebagai seorang pendakwah dan pejuang. Pendakwah dan pejuang wajib memiliki kekuatan akal dan jiwa serta harus mengenali sasaran dakwah mereka. Kenal kekuatan yang mana di miliki oleh sasaran dakwah mereka.


Andainya sasaran dakwah mereka mempunyai kekuatan akal, maka bersedialah dengan hujjah-hujjah ilmiah dengan sokongan kajian-kajian bagi membuktikan kebenaran iman dan Islam. Untuk mengIslamkan mereka dan membawa mereka ke jalan iman adalah sukar dan payah. Banyak masa akan digunakan untuk mendekati mereka, dan para pendakwah kena banyak bersabar, TETAPI andainya mereka memeluk Islam dan beriman, mereka akan memberi keuntungan besar kepada perjuangan fi sabilillah. Mereka bakal menjadi pemimpin yang menyambung perjuangan untuk generasi yang akan datang.

Andainya sasaran dakwah mempunyai kekuatan jiwa, maka bersedialah untuk berkeras dan memberi ancaman tentang neraka Allah kepada mereka. Tak mustahil dalam mendekati mereka, kita akan mengalami kesukaran dan kecederaan fizikal serta caci maki dan penghinaan dari mereka. Tetapi andainya mereka memeluk Islam dan iman, merekalah yang akan menjadi benteng pertahanan terhadap sebarang ancaman ke atas Islam dan iman.

Andainya sasaran dakwah mempunyai kekuatan perasaan, cukup sekadar memujuk dan kadang-kadang menunjukan "kekeramatan" untuk mengajak ke arah iman dan Islam. Andainya mereka berjaya memeluk Islam dan iman, mereka akan menjadi pengikut yang taat.


Kepada para pendakwah dan pejuang .... kekuatan apakah yang engkau miliki ?


Kepada para pemimpin ... apakah telah engkau letak pengikut mu di tempat yang betul berdasarkan kekuatan yang ada pada mereka ?


Masyarakat yang gemilang ialah masyarakat yang mampu menjadikan iman dan syariat sebagai pakaian dan mencatur ketiga-tiga kekuatan dalam dirinya ke arah kegemilangan Islam.


Inilah tiga kekuatan yang ada dalam diri kita.


Antara tiganya, kekuatan yang manakah lebih dorminan dalam diri anda ?


Syawal 1431H / 11 September 2010

7.15 am


No comments:

Post a Comment