Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, October 17, 2009

Berjiwa Besar & Bercita-cita Besar : Tribute to My Students

(Sultan Muhammad Al Fatih Bin Sultan Murad II)


Ya Rasulallah, Ya Habeeballah, Ya Nabi Allah, Ya Syafiallah...
Rasulallah, Ya Habeeballah

Demi risalah suci mu
Menerangi kegelapan
Aku kembali terarah
Punyai hala dan maksud

Berpaut pada sabda mu
Menggenggam pada talinya
Walau gelora melanda
Dihati hembusan tenang

Wahai Rasul yang mulia
Rinduku makin mendalam
Mendamba saat bertemu
Menatap indah santun mu

Resahnya aku mengandai
Akan kah aku kau terima
Cukupkah apa ku laku
Sebagai umat mu ya Rasul

Ya Rasulallah, Ya Habeeballah, Ya Nabi Allah, Ya Syafiallah....




HIKAYAT

Aku bukanlah dari sebuah keluarga yang kaya yang malamnya disajikan dengan program-program hiburan di kaca TV ... Aku tidak juga anak dari keluarga mewah yang saban malam berhibur di bawah cahaya neon di kelab malam atau pun disko. Apatah lagi mahu meleret bola bowling menjatuhkan pin-pin di ruang gelap.


Aku hanyalah seorang anak dari keluarga yang daif serba kekurangan. Sewaktu kecil ku, siangnya ke sekolah, tengaharinya bekerja membantu keluarga mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung, sehingga lewat senja. Tatkala malam melabuhkan tirainya, hanya zikir sang cengkerik menjadi halwa telinga.

Seminggu sekali, atok akan mengumpulkan kami adik-beradik sebelum tidur ... dan seperti biasa dia akan bercerita dalam kegelapan malam sambil ditemani lampu karbaid.

Aku teringat akan sebuah kisah yang pernah diceritakan oleh arwah datuk ku kepada kami adik-beradik tatkala kecil dahulu. Arwah tok, akan membuka cerita. Kebanyakkan cerita atok digarap dari kitab Hayatus Sahabah (Kisah Para Sahabat Nabi SAW) ...

Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Ahmad, ada menceritakan sebuah kisah ketika Peperangan Khandak ... Rasulullah SAW beserta tentera muslimin menggali parit sekeliling Kota Madinah bagi menghadapi serangan bala tentera Quraisy Mekah.

Walaupun umat Islam dalam keadaan serba kekurangan dan daif, demi mempertahankan maruah, mereka sanggup membanting tulang empat kerat menggali parit walau dalam kelaparan. Pernahseorang sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW ketika sedang menggali parit ... Ya Rasulullah SAW, aku lapar ... Rasulullah SAW melihat sahabat tadi dengan pandangan kasih sayang. Lalu Rasulullah SAW menyingkap bajunya, maka nampaklah ketulan-ketulan batu yang diikat di perut Rasulullah SAW bertujuan untuk menahan lapar. Barulah para sahabat sedari bahawa Rasulullah SAW sudah 3 hari tidak menjamah makanan.

Dalam satu peristiwa, sewaktu sedang menggali parit. Para sahabat menemui sebuah batu yang besar dan tidak dapat dipecahkan. Para sahabat pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW sendiri menggengam beliung dan berusaha memecahkan batu tersebut. Sambil diperhatikan oleh para sahabat, Rasulullah SAW menghentakkan beliung ke batu tersebut, keluarlah percikan api ditempat hentaman. Rasulullah SAW bertakbir. Kali kedua Rasulullah SAW menghentakan beliung ke batu tersebut, sekali lagi percikan api terhasil. Rasulullah SAW bertakbir buat kali kedua. Kali ketiga Rasulullah SAW menghentakkan beliung ke batu tersebut, sekali lagi percikan api terhasil dan Rasulullah SAW bertakbir buat kali ketiga. Batu tersebut akhirnya pecah.

Lantas Rasulullah SAW berkata, ketika berlaku percikan api kali pertama, aku melihat kaum muslimin menawan istana putih di negeri Yaman. Ketika berlaku percikan api kedua, aku melihat kaum muslimin menawan Iwan Kisra di Tanah Parsi. Kali ketiga percikan api berlaku, aku melihat mahligai Raja di Konstantinopel ditawan oleh kaum muslimin.

Rasulullah SAW bersabda lagi, Konstantinopel akan ditawan oleh tentera yang sebaik-baik tentera yang dipimpin oleh seorang raja sebaik-baik raja.

Sejak dari ucapan sabdaan Rasulullah SAW, maka berlumba-lumbalah para sahabat dan para tabiin, berusaha bagi merealisasikan sabdaan Rasulullah SAW. Di waktu pemerintahan Saidina Omar Al Khattab, Istana Putih di Yaman dan Iwan Kisra di Parsi telah berjaya di tawan. Hanya tinggal Kota Konstantinopel yang masih belum di tawan. Setelah kewafatan khulafar ar rasyidin, tidak putus-putus usaha dibuat oleh para sahabat dan tabiin untuk menawan Kota Konstantinopel.

Sehinggalah satu bala tentera muslimin, di bawah pimpinan Abu Ayub Al Ansari, yang merupakan sahabat Rasulullah SAW terakhir yang masih hidup. Abu Ayub merasakan, tanggungjawab membuktikan kebenaran sabdaan Rasulullah SAW bagi menawan kota Konstantinopel berada di atas bahunya. Maka berjuanglah habis-habisan Abu Ayub dan bala tenteranya bagi menawan Kota Pertahanan milik kerajaan Rom. Namun Abu Ayub Al Ansari gugur syahid. Sebelum beliau menghembuskan nafasnya, dia berpesan .... Tanamlah aku di bawah dinding Kota Konstantinopel. Agar aku dapat mendengar derapan langkah tentera yang sebaik tentera pimpinan seorang raja yang sebaik raja menawan kota ini bagi membuktikan kebenaran sabdaan Rasulullah SAW.

Gugurnya Abu Ayub Al Ansari sebagai sahabat Rasulullah SAW yang terakhir hidup di muka bumi ini TIDAK memadamkan semangat juang umat Islam bagi membuktikan kebenaran sabdaan Rasulullah SAW. Bermula di zaman Muawaiyah, di sambung pula di zaman Abbasiah dan zaman ke khalifahan yang lain. Tidak putus-putus usaha dilakukan bagi menakluk Kota Konstantinopel.

Setelah 800 tahun berlalu dari sabdaan Rasulullah SAW, Sultan Murad II, pemerintah Empayar Osmaniah yang soleh dan warak dengan bantuan Sheikh Muhammad bin Ismail Al Kurani telah mendidik anak Sultan Murad II, iaitu Muhammad Al Fatih dengan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Setelah Muhammad Al Fatih dapat menguasai ilmu yang diajar, Sultan Murad II menyerahkan Muhammad Al Fatih berguru dengan Syeikh Shamsuddin Al Waliy. Sheikh Shamsuddin inilah yang menanam semangat dan meyakinkan Muhammad Al Fatih bahawa dialah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdaan baginda. Muhammad Al Fatih lah pemimpin yang dibayangkan akan menawan Kota Konstantinopel.

Pada usia 20 tahun, Muhammad Al Fatih menaiki takhta dan menjadi Sultan bagi Empayar Osmaniah. Lantas dia terus menemui Syeikh Shamsuddin dan menyatakan hasratnya untuk menakluk Kota Konstantinopel. Bersama 250 ribu tentera muslimin, Sultan Muhammad Al Fatih bergerak menuju Kota Konstantinopel.

Akhirnya pasukan Sultan Muhammad Al-Fatih tiba di kota Konstantinopel pada hari Kamis 26 Rabiul Awal 857 H atau 6 April 1453 M. Pertempuran demi pertempuran berlaku sambil gema takbir ALLAHU AKBAR dilaungkan. Hingga tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jumadil Awal 857 H atau bertepatan dengan tanggal 29 Mei 1453 M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Tentara Osmaniah akhirnya berhasil menembus kota Konstantinopel melalui Pintu Edirne dan mereka mengibarkan bendera Daulah Osmaniah di puncak kota. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentara Al-Fatih, akhirnya berjaya mengantarkan cita-cita mereka.

Inilah sebuah kisah akan kesungguhan yang berasaskan keyakinan dalam mencapai cita-cita. Perjuangan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW penuh kepayahan dan penderitaan, namun dengan jiwa yang besar dan bercita-cita besar, kaum muslimin akhirnya berjaya menundukkan kuasa-kuasa besar dunia. Hanya orang yang berjiwa besar yang mampu mempunyai cita-cita besar. Kerana dalam mencapai cita-cita besar, pelbagai rintangan dan halangan yang akan dihadapi. Rintangan dan halangan ini hanya dapat ditempuh dengan jaya oleh orang yang berjiwa besar. Orang yang berjiwa besar adalah orang yang hampir dirinya dengan ALLAH dan bertaut hatinya dengan Rasulullah SAW.

Tiap kali sebelum atok menutup cerita ... atok akan berkata ... Atok ingin zuriat tok berjiwa besar dan mempunyai cita-cita besar. Agar mereka akan menjadi mujahid dan mujtahid. Agar zuriat tok, hidup mulia, mati syahid ......

Maka aku menyeru kepada diri ku dan student ku, punyailah cita-cita besar dan usahakanlah mencapai cita-cita mu dengan berjiwa besar. Dekatilah ALLAH dan cintailah Rasulullah SAW ... agar .....

Hidup mu mulia, mati mu syahid ....

Madrasah Darus Syifa
Tampin
18 Oct 2009
00:12 midnite


3 comments:

  1. Dan jangan lupa bagaimana tergadai sebuah negara Islam dan terbungkamnya ia selama-lama...

    ReplyDelete
  2. thank u sir..jasa baek sir akan di kenang smpai akhir hayat...moga ALLAH m'berkati sir skluarga..aamiien!!
    insyaallah kami akan cube sadaye upaya...selagi nyawa d kandung bdn!!

    ReplyDelete