Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, November 7, 2009

Part 1 Tujuh Pertempuran Merebut Cinta : Introduction


Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
Surah Adz Dzariyat : Ayat 56



Alhamdulillah, mari kita panjatkan syukur ke hadrat Allah. Semoga dengan mengucapkan syukur ke hadrat Allah, Allah akan tambahkan nikmat yang ada pada kita dengan nikmat-nikmat yang lain. Dan nikmat yang terbesar Allah kurniakan kepada kita ialah nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. semoga dengan mengucapkan selawat ke atas baginda, akan menambahkan rasa kecintaan kita kepada baginda.

Aku tergerak untuk menulis satu siri artikel yang aku namakan The Seven Battle For Love (Tujuh Pertempuran Merebut Cinta) berdasarkan sebuah kitab yang pernah aku tadah dari arwah atok ku, kitab berjudul Minhajul Abidin oleh Imam Al Ghazali rahmatullah a'laih. Ianya mengupas kepada peringkat-peringkat yang perlu dilalui oleh seorang muslim dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenar iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah Allah yang mukmin lagi muttaqin. Seandainya ada manfaat ilmu dari artikel yang ditulis ini, serta ada manfaat ilmu dari tazkirah bersiri ini, semoga ianya menjadi amal jariah buat Allahyarham datuk ku, ibu ku,ayah ku dan juga guru-guru ku, Sheikh Hafiz Suhaimi, Almarhum Sheikh Muhammad Taha Suhaimi, Almarhum Sheikh Muhammad Khairullah Suhaimi, Almarhum Sheikh Muhammad Fadlullah Suhaimi, Almarhum Sheikh Umar Abd Rahim As Syaibani dan khusus kepada Sheikh Muhammad Abdullah As Suhaimi.

Dinamakan The Seven Battle For Love (Tujuh Pertempuran Merebut Cinta), yang bermaksud tujuh pertempuran. Pertempuran kerana dinisbahkan kepada kesukaran, kepayahan dan penderitaan yang terpaksa ditempuh untuk mencapai matlamat yang hakiki iaitu kecintaan kepada ALLAH SWT. Ia merupakan suatu proses yang dilalui oleh seorang muslim dalam permusafirannya di dunia menuju ke negara akhirat yang kekal abadi. Apabila kita membicarakan persoalan pertempuran, maka kita tidak akan lepas lari dalam memperkatakan tentang jihad. Dan setiap yang mebabitkan jihad, pastinya menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan yang dilakukan di jalan Allah, pastinya akan menghampirkan diri kepada Allah SWT.

The Seven Battle juga dinisbahkan kepada tujuh pertempuran, kerana itulah tujuh peringkat yang dinyatakan di dalam kitab Minhajul Abidin untuk setiap muslim bagi menghampirkan diri kepada Allah. Dinisbahkan dengan pertempuran, kerana setiap peringkat tersebut bukanlah sesuatu yang boleh diperolehi tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan Allah demi menghampirkan diri kepada Nya sebagai seorang hamba Nya. Dan sebagai khalifah Nya untuk mentadbir duni ini dengan hukum-hakam Nya.

Firman Allah dalam Surah Adz Dzariyat : 56

Tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.

Mengabdikan diri kepada Allah SWT merupakan matlamat Allah jadikan manusia di dunia. Hujjah dan dalil manusia menjadi hamba Allah kuat. Bukan setakat ayat ke 56 dari Surah Adz Dzariyat menegaskannya, tapi dalil akal dan fitrah pun bersetuju bahawa memang wajar manusia menjadi hamba Allah.

Seandainya ada yang melabelkan kita sebagai "hamba Allah” . Secara langsung hati nurani dan akal kita merasa senang dan bahagia apabila kita dilabelkan dengan gelaran hamba Allah. Tetapi, seandainya ada yang datang kepada kita dan melabelkan kita sebagai "hamba Syaitan","hamba Nafsu", "hamba manusia", "hamba dunia"Secara langsung hati nurani dan akal kita merasa marah dan benci. Fitrah kita tidak boleh menerima kita menjadi hamba selain kepada Allah SWT. Inilah bukti dan dalil, bukan sahaja Allah menegaskan didalam surah Adz Dzariyat ayat ke 56, malah akal dan fitrah kejadian manusia itu sendiri tidak boleh menerima untuk menjadi hamba kepada yang lain kecuali Allah.

Ibadah mencakup seluruh aspek kehidupan manusia sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Itulah yang kita amalkan dalam hidup kita sehari-hari asalkan tidak bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah. Bagi memperjelaskan uslub atau kaedah bagaimana ingin menjadikan setiap aspek kita menjadi ibadah, maka konsep ibadah ini dapat diuraikan kepada tiga juzuk yang mencakup seluruh aspek kehidupan manusia, yaitu :

A. Ibadah asas ( yang mencakup persoalan rukun iman dan rukun Islam yang kedudukan hukumnya Fardhu Ain)
B. Ibadah yang menjadi cabang kepada ibadah yang asas ( amalan fardhu kifayah dan amalan sunat)
C. Ibadah umum. ( segala perbuatan, perkataan, amalan seharian manusia dalam kategori mubah atau harus seperti makan, berjalan, tidur etc. Seandainya bersesuaian dengan 5 syarat, maka perkara yng harus itu beroleh pahala dan menjadi ibadah. 5 syarat tersebut ialah :

1. Niat yang benar ( hanya kerana Allah)
2. Pelaksanaannya benar, (tidak melanggar syariat Allah)
3. Perkara kegiatan tersebut dibenarkan oleh syariat dan mendapat keredhaan ALLAH
4. Natijah (Hasil) mesti baik dan tidak menzalimi diri dan makhluk Allah.
5. Tidak meninggalkan atau melalaikan ibadah-ibadah asas.

Manusia juga dicipta Allah untuk menjadi khalifah Nya di muka bumi. Bersesuaian dengan firman Allah SWT , Surah AL Baqarah ayat ke 30

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya

Menjadi khalifah untuk mentadbir alam ini dengan hukum-hakam Allah dengan peraturan yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang layak menentukan peraturan bagi setiap ciptaan NYA. Ibarat sebuah televisyen jenama SONY, adalah mustahil manual pengguna dari jenama SAMSUNG digunapakai oleh pengguna untuk mengoperasikan peralatan tersebut. Begitu jugalah dunia dan alam ini, ianya ciptaan Allah, maka Allah sahajalah yang selayak menentukan peraturan yang wajib dipatuhi oleh makhluk ciptaan NYA. Hukum-hakam Allah inilah dipanggil syariat. Hukum syariat ada lima iaitu :

1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri tempoh 5 syarat ibadah , beroleh pahala. Lima syarat tersebut yang kita sebutkan di atas tadi.

Secara ringkasnya, peringkat-peringkat yang perlu kita tempohi atau pertempuran-pertempuran yang perlu kita hadapi adalah seperti berikut :

1. Pertempuran di medan Ilmu – untuk mendapatkan ilmu
2. Pertempuran di medan Taubat – untuk menyucikan diri dari dosa
3. Pertempuran di medan ‘Awa’iq (Penghalang Ibadah) – mengahalang sama sekali untuk kita beribadah
4. Pertempuran di medan A’warid (Pemesong Ibadah) – secara halus melalaikan kita untuk beribadah
5. Pertempuran di medan Bawai’th ( Pendorong Ibadah) – menyeimbangkan rasa khauf (takut) dan rasa raja’ (harap)
6. Pertempuran di medan Qawadih (Perosak Ibadah) – mengatasi rasa riya’ dan ujub
7. Pertempuran di medan Hamdi Wa Syukri (Pujian dan kesyukuran) – mentajallikan (menzahirkan) kepujian dan kesyukuran kepada Allah

Oleh itu marilah kita renung sejenak, mudah-mudahan ilmu yang bakal dihidangkan nanti dapat memandu kita untuk merenung ke dalam diri kita dan menghisab diri kita. Sejauh mana kita telah melaksanakan tuntutan titah perintah Allah serta meninggalkan larangan Nya.

InsyaAllah jika diberi kekuatan oleh ALLAH SWT kepada insan kerdil lagi lemah ini akan ku kupas dengan lebih lanjut kesemua pertempuran yang bakal kita hadapi dan tentera musuh yang bakal kita tentang satu persatu. Semoga ianya dapat kita jadikan panduan untuk menjadi hamba Allah dan khalifah Allah.

To be continue ...........


No comments:

Post a Comment