Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, March 11, 2009

Rukun Iman Kedua : Percaya Kepada Nabi & Rasul

Rukun iman yang kedua ialah mempercayakan Rasul-rasul dan Nabi-nabi..

Wajib atas setiap muslim mempercayai bahawa Allah AWT telah mengutuskan kepada manusia banyak Rasul-rasul dan Nabi-nabi di masa yang lalu sejak manusia tercipta iaitu Adam ( dan ia juga Rasul yang pertama) hinggalah Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada kenabian. Selepas Nabi Muhammad SAW, tidak akan ada lagi Nabi atau pun Rasul walaupun ada sesetengah orang yang mempunyai pengikut yang ramai, yang berjaya menjadikan Islam sebagai topeng menyembunyikan kemungkaran yang mereka lakukan bercita-cita menjadi Rasul.

Apa erti Rasul ?



Rasul dalam pengertian ilmu Tauhid ialah seorang lelaki ( BUKAN wanita) yang dipilih oleh Allah untuk menerima arahan, ajaran, berita dan amaran yang dinamakan WAHYU dari Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Rasul ini juga diperintahkan untuk menyampaikan wahyu kepada kaumnya dan kepada umat manusia sebagaimana di firmankan Allah dalam surah Saba' ayat 28 :
"Kami (ALLAH) telah mengutuskan engkau, hai Muhammad, kepada sekelian manusia..."

Apa erti Nabi ?

Nabi ialah seorang lelaki yang dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu melalui Jibrail, tetapi Nabi TIDAK diperintahkan untuk untuk menyampaikan wahyu kepada manusia. Kewajipan nabi itu ialah untuk menerangkan dan menyokong wahyu-wahyu yang telah didatangkan kepada Rasul-rasul yang terdahulu dari Nabi tersebut atau semasa Nabi tersebut.

Rasul dan Nabi adalah manusia. Maka harus Rasul & Nabi bersifat dengan sifat manusia. Tetapi pangkat Rasul & Nabi bukanlah diperolehi dengan hasil usaha manusia itu. Sebaliknya ianya adalah pilihan Allah.

Sebab itu selepas penutup kenabian oleh baginda Rasulullah SAW. Tokoh-tokoh ajaran sesat akan menggunakan istilah-istilah yang menunjukkan dirinya sebagai orang pilihan Allah. Agar para pengikutnya menjadi taksub kepadanya dan mengengkari ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW. Ini jelas apabila ada jemaah di Malaya, tok gurunya mengatakan dia adalah orang pilihan Allah untuk umat akhir zaman. Di tolaknya Al Quran dan hadis atas alasan kedua-duanya tidak relevan dengan masa sekarang. Sebaliknya "minda" yang diperolehi adalah direct dari Allah dan sepatutnya digunapakai sebagai sumber hukum dalam kehidupan. Semoga Allah melaknat Nabi Palsu akhir zaman yang menjadi dajjal kepada umat ini.

Apakah hikmah atau faedah diadakan Rasul & Nabi ?

Antara faedahnya ialah Allah mahu diri NYA dikenali. Rasul & Nabi diutus kepada umat manusia agar umat manusia kenal Allah sebagai Tuhan yang menciptakan alam ini. Dengan adanya Rasul & Nabi, manusia akan kenal dengan tepat dan siapa Tuhan yang sebenar, serta faham pula kewajipan-kewajipan yang perlu ditunaikan sebagai seorang makhluk yang diciptakan Allah SWT. Jika seseorang yang diptakan Allah tidak kenal siapa Tuhannya yang sebenar dan tidak mengakui keagungannya dengan jalan yang sebenar, nescaya sesatlah dirinya dan segala amal kebajikan yang dilaksanakannya tiada nilai disisi Allah.

Bagaikan seorang pekerja yang tidak kenal siapa BOSSnya. Dia buat kerja, disangkakan kerja yang dibuat untuk BOSSnya, sebaliknya dia membuat kerja untuk orang lain. BOSSnya tak nampak hasil usaha pekerja tersebut sebab apa yang BOSS suruh buat, dia tak buat. Sebab tu gak zaman sekarang, kita boleh lihat, orang buat sesuatu sebab Tok Guru yang sesat lagi menyesatkan yang suruh bukan Allah yang suruh. Ada gak orang buat atas dasar member-member sehidup semati seneraka atau pemimpin group atau jemaah punya pengaruh, bukan pengaruh keimanan kepada Allah. Kenapa jadi cenggini ? Sebab tak kenal Allah. Kenapa tak kenal Allah ? Sebab tak ikut ajaran Rasul/Nabi. Hakikatnya keimanan kepada rukun iman percaya kepada Nabi & Rasul telah cacat. Maka sebab itulah diutuskan Rasul & Nabi agar umat manusia KENAL siapa Tuhan yang patut disembah.

Hikmat kedua diutus Rasul & Nabi ialah agar manusia dapat membezakan antara kebenaran dan kebathilan. Walaupun manusia mempunyai akal, namun kebergantungan kepada akal semata tidak mampu menilai sejauhmana kebenaran sesuatu perkara dan sejauhmana kebathilan sesuatu perkara. Kerana akal semata bukanlah alat piawai dalam menimbang kebenaran. Sebab ramai kita lihat di zaman ini, mengaku berakal, mengaku pandai, mengaku professional dan mengaku high profile, namun menggunakan kepala otak sendiri dalam mentafsir kebenaran. Hasilnya kebenaran yang ditafsir dengan akalnya, bercanggah dengan syariat Islam yang disampaikan oleh Rasul & Nabi. Lebih malang tafsiran yang dibuat menjurus kepada pembatalan syahadah.

Akal semata belum tentu menjamin nilaian yang dibuat selaras dengan syariat. Akal tempat pertempuran antara iman dan nafsu. Andainya akal dikuasai nafsu, mana mungkin nilaian yang dibuat tanpa panduan dari seruan Rasul & Nabi merupakan kebenaran ? Sebab itu kita boleh lihat di dunia sekarang, manusia yang mengaku pandai dan professional suka-suka buat fatwa sendiri. Suka-suka buat ajaran sendiri, demi menghalalkan perkara haram yang bersesuaian dengan nafsu serakah mereka. Sebab itu kita boleh lihat, ramai orng terang-terangan membuat maksiat disokong sementara orang yang menegur perlakuan maksiat disanggah dan dihina.

Inilah dunia akhir zaman.

Sifat-sifat Rasul & Nabi

Ada 4 sifat yang Wajib bagi Rasul/Nabi. Ada 4 sifat yang Mustahil bagi Rasul/Nabi. Ada satu sifat yang Harus bagi Rasul/Nabi.

1. Siddiq maknanya Benar. Apa yang disabdakan oleh Rasul/Nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Siddiq dan sadiqul masduq. Rasul/Nabi tidak berkata-kata melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KIZZIB (Dusta ). Mustahil Rasul/Nabi mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui dan tidak diwahyukan Allah kepadanya. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia (Rasulullah SAW) mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Jadi jika ada orang yang mendakwa "Rasulullah berjanji saya akan menjadi Perdana Menteri lagi 3 bulan".tetapi setelah lebih 3 bulan dia masih tak jadi PM, hakikatnya dia telah pun mengatakan Rasul/Nabi seorang pendusta dan menafikan bahawa Rasul/Nabi itu bukan seorang yang sadiq dan bukan sadiqul masduq (kata-katanya adalah palsu dan tidak diwahyukan ). Fahaman begini adalah sesat lagi menyesatkan serta merosakkan aqidah. Tidak ada alasan yang boleh menafikan sifat Siddiq dan sifat sadiqul masduq Rasul/Nabi walaupun menggunakan alasan “pengikut belum bersedia”.

2. Sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi adalah AMANAH. Amanah ialah Rasul/Nabi akan melakukan sesuatu serta melaksanakan hukum-hukum Allah dengan benar dan tepat sebagaimana yang diwahyukan Allah SWT. Dan juga Rasul/Nabi tidak memungkiri janji. Maknanya, kalau Rasul/Nabi berjanji “lagi 3 bulan Ashaari akan jadi Perdana Menteri”, maka WAJIB Ashaari akan jadi Perdana Menteri. Jika tidak berlaku juga, maka Ashaari telah pun berdusta atas nama Rasul/Nabi.

“Barangsiapa yang berdusta atas nama ku, siapkanlah tempatnya di dalam api neraka “ (Bukhari, Muslim )

Maka mustahil Rasul/Nabi bersifat KHIANAT iaitu tidak amanah dan mungkir janji.


3. Wajib bagi Rasul/Nabi bersifat dengan sifat TABLIGH iaitu menyampaikan. Rasul/Nabi menyampaikan kepada umatnya apa yang Allah wahyukan kepadanya. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KITMAN iaitu menyembunyikan.

4. Wajib bagi Rasul/Nabi bersifat dengan sifat FATANAH iaitu bijaksana. Rasul/Nabi mampu memahami perintah-perintah Allah dengan betul & tepat. Mampu pula berhadapan dengan penentang-penentangnya dengan bijaksana dengan bukti-bukti yang kukuh . Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat Jahlun iaitu bebal.

Dan satu sifat yang jaiz atau sifat yang harus bagi Rasul/Nabi ialah Aradhul Basyariyah iatu untuk bersifat dengan sifat-sifat yang dipunyai oleh manusia-manusia biasa. Seperti ingin makan, berkahwin, mempunyai zuriat dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment