Muga-muga Allah, Tuhan kami, sejahterakanlah cahaya yang nyata,
Ahmad yang terpilih, penghulu sekelian pesuruh-pesuruh Allah,
Dan sejahterakanlah juga keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Sifat yang wajib bagi Allah
wujud, sedia, kekal, berlainan dari segala yang lain,
cukup dengan sendirinya, tunggal, berkuasa,
berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar,
melihat, berkata-kata,
Dan keadaan NYA berkuasa, berkehendak,
dan keadaan NYA mengetahui, hidup, mendengar,
dan juga keadaan NYA melihat, berkata-kata.
Lawan kepada sifat tadi dua puluh jua,
Iaitu sifat-sifat kekurangan yang mustahil bagi Allah
Tiada, ada permulaan, lenyap atau hapus,
menyamai makhluk NYA ( Maha Suci Allah)
Tidak cukup dengan sendirinya, berbilangan,
Serta pula DIA lemah membuat makhluk-makhluk
Dan musthail juga DIA kena paksa, bodoh, tuli
Ataupun DIA mati, buta dan bisu
Sifat-sifat lawan NYA yang lain juga nyata
Tidak perlu diterangkan disini
Nabi-nabi pula wajib ada sifat amanah
Bercakap benar, menyampaikan dan bijaksana
Mustahil pula Nabi-nabi itu
Khianat, dusta, menyembunyikan dan bebal
Maka demikianlah sifat-sifat yang tersebut itu
Terhadap Allah dan Rasul-rasul NYA yang mulia
Nama 25 Rasul yang wajib dikenali oleh setiap muslim
Mereka itu adalah
Adam, Idris, Nuh, Hud
dan juga termasuk Saleh, Ibrahim
dan Lut, Ismail, Ishak
seterusnya Yaakub, Yusuf dan Ayub
Syua'ib, Harun, Musa dan Ilyasa'
dan juga Zulkifli, Daud dan Sulaiman
dan Ilyas, Yunus, Zakaria, Yahya dan Isa
dan akhir sekali Taha iaitu Muhammad penutup kerasulan
Muga-muga bagi mereka kesejahteraan dan keselamatan
dan bagi keluarga mereka selagi ada siang dan malam
Dan Malaikat-malaikat pula tiada ibu bapa
serta tiada ia makan atau minum atau tidur
Nama-nama sepuluh dari mereka ialah
Jibril, Mikail, Israfil, Izrail
Mungkar serta Nagkir
Raqib serta Atid
Malik dan Ridwan
Dan empat kitab-kitab dari Allah
Taurat kepada Musa
Zabur kepada Daud
Injil kepada Isa
Dan Furqan (Al Quran) kepada sebaik-baik makhluk
Muhammad Khatamun Mursalin
Selain itu ada kitab-kitab kepada lain-lain Nabi
Di dalamnya kalam Allah yang adil dan mengetahui
Begitulah antara terjemahan nazam ke dalam bahasa melayu yang sering dikumandangkan setiap kali kuliah tauhid akan bermula di pondok arwah datuk ku. Nazam inilah juga yang sering disenandungkan setiap malam Isnin & malam Jumaat setelah selesai membaca mawlidur rasul buat penyubur jiwa dalam perjuangan. Dan inilah juga nazam yang selalu dilafazkan oleh ibu ku sewaktu mendodoikan anak-anaknya di dalam buaian.
Aku masih ingat, kata-kata arwah datuk ku kepada ibu ku, sewaktu berhadapan musibah, ayah ku yang tidak pulang-pulang ke rumah sejak pergi ke laut.
" Kalau Allah tidak menimpakan musibah, tentu kau tak ada peluang nak dapat pahala sabar dan redha. Jangan sampai Tauhid kita dengan Allah cacat disebabkan musibah yang menjanjikan pahala sabar dan redha "
Dan nazam inilah yang dilafazkan ibu dengan nada yang sayu sewaktu mendodoi adik ku sambil menerima ketentuan Allah dengan sabar dan redha bersama linangan air mata. Mungkin harapan ibu sewaktu mendodoikan anaknya sambil bernazam, muga-muga anak-anaknya akan memiliki kekuatan tauhid yang lebih hebat darinya bagi berhadapan cabaran dan rintangan hari muka.
Adapun sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh setiap muslim beserta dalil-dalilnya ialah 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah.
20 Sifat yang wajib bagi Allah ialah :
1-Wujud = ada
2-Qidam = sedia
3-Baqa = kekal
4-Mukhalafatuhu Lil Hawadith = bersalahan Allah daripada yang baharu
5-Qiyamuhu Binafsihi = berdiri Allah Taa'la dengan sendirinya
6-Wahdaniyyah = Esa
7-Kudrah = berkuasa
8-Iradah = berkehendak
9-Ilmu = mengetahui
10-Hayat = hidup
11-Sama' = mendengar
12-Basar = melihat
13-Kalam = berkata-kata
14-Kaunuhu Qadiran = keadaan Allah Taa'la yang berkuasa
15-Kaunuhu Muridan = keadaan Allah Taa'la yang berkehendak
16-Kaunuhu A'liman = keadaan Allah Taa'la yang mengetahui
17-Kaunuhu Hayyan = keadaan Allah Taa'la yang Hidup
18-Kaunuhu Sami'an = keadaan Allah Taa'la yang mendengar
19-Kaunuhu Basiran = keadaan Allah Taa'la yang melihat
20-Kaunuhu Mutakalliman = keadaan Allah Taa'la yang berkata-kata
Sifat yang mustahil bagi Allah ialah sifat yang berlawanan dengan sifat yang wajib bagi Allah :
20 Sifat yang mustahil bagi Allah pula ialah :
1-'Adam (tiada)
2-Huduts (ada yang mendahului)
3-Fana (berakhir)
4-Mumatsalatu lil hawaditsi (ada yang menyamai)
5-Ihtiyaju lighairihi (memerlukan yang lain)
6-Ta'adud (berbilang)
7-'Ajzun (lemah)
8-Karahah (terpaksa)
9-Jahlun (bodoh)
10-Mautun (mati)
11-Shamamun (tuli)
12-'Ama (buta)
13-Bakamun (bisu)
14-Kaunuhu 'ajiyan (zat yang lemah)
15-Kaunuhu karihan (zat yang terpaksa)
16-Kaunuhu jahilan (zat yang sangat bodoh)
17-Mayyitan (zat yang mati)
18-Kaunuhu ashamma (zat yang tuli)
19-Kaunuhu 'ama (zat yang buta)
20-Kaunuhu abkama (zat yang bisu)
Sifat yang harus bagi Allah SWT hanyalah satu iaitu membuat tiap-tiap yang mumkin/mumkinat atau tidak membuatnya.
Apa makna mumkin dan mumkinat di sini ? Ertinya tiap-tiap sesuatu yang dilakukan oleh Allah SWT atau tidak mahu dilakukan oleh Allah SWT.
Untuk senang difahami saya berikan beberapa contoh :
Cth 1 : Syafie di Afrika Selatan seorang yang bijak, tetapi Ahmad Nafsu di England seorang yang jumud. Siapa yang jadikan Syafie bijak ? Jawapannya Allah SWT. Siapa pula yang jadikan Ahmad Nafsu jumud ? Jawapannya Allah SWT juga. Jadi harus bagi Allah mencipta sesuatu bijak dan tidak mencipta sesuatu menjadi bijak ( jumud ) . Terpulang kepada Allah SWT.
Cth 2 : Mat Kilau hidup sehingga berumur 120 tahun. JWW Birch hidup sehingga umur 42 tahun. HARUS bagi Allah memanjangkan umur Mat Kilau, dan harus bagi Allah memendekkan umur JWW Birch. Harus bagi Allah SWT mencipta sesuatu dan tidak mencipta sesuatu.
Keseluruhan 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah WAJIB atas setiap muslim yang berakal mempelajari dan memahami serta meyakini secara tafsil.
Apa erti tafsil ? Ertinya ialah secara detail secara satu persatu beserta huraiannya dan dalil-dalilnya satu persatu, agar benar-benar faham dan yakin.
Walaubagaimanapun, mendatangkan dalil aqli dan naqli cukup secara ijmal.
Apa erti ijmal ? Iaitu secara ringkas, dengan syarat wajiblah ianya beriman dengan sesungguh hati.
Untuk mendatangkan dalil secara ijmal, cukup mudah. Tetapi untuk memahami hendaklah secara tafsil kerana tanpa huraian yang jelas dan teliti, sifat-sifat tersebut boleh disalah ertikan. Akibat dari penyalahertian, maka lahirlah fahaman mujassimah yang menyamakan Allah dengan makhluk.
InsyaAllah, kita akan cuba mengupas sedikit demi sedikit sifat-sifat tersebut satu persatu.
Dengan Ihsan : drmatgig (Mat Besut in Melbourne)
No comments:
Post a Comment