Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Friday, June 19, 2009

Taharah : Mandi Hadas ( Menyucikan diri dari hadas besar)


Dari Ibn ‘Abbas RA, beliau berkata: Maimunah RA berkata: Aku meletakkan air untuk Rasulullah SAW mandi wajib. Baginda SAW menyiram kedua tangannya dan membasuh kedua tangannya dua atau tiga kali. Seterusnya Baginda SAW menyiram air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya dan membasuh kemaluannya (dengan menggunakan tangan kiri). Selepas itu, Baginda SAW menyapu tangannya ke tanah, kemudian Baginda SAW memasukkaan air ke dalam hidung dan mulut kemudian mengeluarkannya. Seterusnya Baginda SAW membasuh mukanya dan kedua tangannya dan membasuh kepalanya tiga kali. Selepas itu Baginda SAW menyiram air ke atas tubuhnya, kemudian baginda saw berpindah dari tempat tersebut dan mencuci kedua kakinya. (al-Bukhari)

Menyuci badan daripada hadas besar.
Orang yang berjunub atau berhadas besar hendaklah membersihkan dirinya dengan mandi.Orang yang berhadas besar diharamkan mengerjakan solat, mengerjakan haji, duduk di dalam masjid, menyentuh dan membaca Al-quran.



Mandi Wajib & Sunat
Mandi wajib adalah mandi untuk bersuci bagi seseorang yang menanggung hadas besar atau sedang junub.

Firman Allah SWT. : "Apabila kamu junub, maka mandilah/bersuci." (Al-Maidah: 6)

Perkara-perkara Yang Membawa Kepada Mandi Wajib
Seorang Muslim perlu mengerjakan mandi wajib dalam keadaan berikut :
1. melakukan persetubuhan (bertemu dua khitan) apabila zakar dimasukkan ke dalam faraj walaupun tidak keluar air mani.
2. jika keluar air mani walaupun zakar tidak dimasukkan ke dalam faraj.
3. Keluar air mani kerana bermimpi (wet dream)
4. Mati
5. Masuk Islam orang yang sebelumnya kafir.
a. Dari Qais bin Ashim, ia menceritakan bahawa ketika ia masuk Islam, Nabi SAW menyuruhnya mandi dengan air dan bidara (HR. At Tirmidzi no. 602 dan Abu Dawud no. 351, disahihkan oleh Syeikh Albani dalam Irwaa’ul Ghalil no. 128)
6. Keluar darah haid
a. “Jika datang haid, maka tinggalkan solat. Dan jika telah lewat, maka mandi dan Solatlah” (HR. Al Bukhari no. 320, Muslim no. 333, Abu Daud no. 279, At Tirmizi no. 125 dan An Nasa’i I/186)”
7. Nifas
8. Melahirkan anak (Wiladah)

Rukun Mandi ada 3:
1. Niat.
2. Menghilangkan kotoran dan najis pada badan.
3. Membasuh seluruh tubuh.

Sunat Mandi ialah:

* Diawali membaca bismillah dalam hati
* Menggosok seluruh tubuh dengan tangan
* Mendahulukan bahagian yang kanan dari yang kiri
* Berwuduk sebelum mandi
* Tertib atau berturut-turut.

Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil ialah:


Mandi wajib hendaklah dikerjakan menggunakan menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan, dan tidak sah jika menggunakan air yang bukannya air mutlak.
1) Niat. Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.
2) Membaca ‘Bismillah’.
3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali.
4) Mencuci kemaluan untuk membasuh najis dengan tangan kiri
5) Menggosokkan tangan kiri ke tanah lalu lalu mencucinya. Boleh juga mencuci tangan kiri itu dengan sabun.
6) Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sohih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7) Membasuh dan menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih al-Bukhari:
ثم يدخل أصابعه في الماء، فيخلل بها أصول شعره، ثم يصب على رأسه ثلاث غرف بيديه
“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyela-nyela rambutnya, kemudia menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

8) Membasuh kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali menimba air. Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah RA di dalam sahih Muslim (318):
. بدأ بشق رأسه الأيمن. ثم الأيسر
Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudia bahagian kiri.

• Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.
• Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, diblehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah RA.

عن أم سلمة، قالت: قلت: يا رسول الله! إني امرأة أشد ضفر رأسي. فأنقضه لغسل الجنابة؟ قال “لا. إنما يكفيك أن تحثي على رأسك ثلاث حثيات. ثم تفيضين عليك الماء فتطهرين

Dari Ummu Salamah RA, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah SAW: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian:

دعي عمرتك، وانقضي رأسك، وامتشطي

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

عن عائشة؛ قالت: إن كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يحب التيمن في شأنه كله. في نعليه، وترجله، وطهوره

Dari ‘Aisyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasutr, ketika bersikat dan ketika bersuci. (Sahih Muslim:268)

9) Meratakan air ke seluruh tubuh. Kita mestilah semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah (Sunan Abi Daud:243,)
10) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Najis Di Badan
Jika ada najis dibadan, najis itu boleh dibasuh serentak dgn mandi wajib iaitu membasuh najis dgn mandi wajib itu boleh disekalikan (Imam Nawawi) untuk memenuhi rukun kedua mandi wajib.

Keperluan Mengambil Wuduk
Seseorang yang telah mengerjakan mandi wajib tidak perlu mengambil wuduk semula untuk mengerjakan solat dengan syarat dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk selepas dia mengerjakan mandi wajib. Jika terbatal, dia perlu hanya mengambil semula wuduknya sahaja.

Melewatkan Mandi Wajib
Mandi wajib boleh ditunda dari malam sehingga siang. Dengan itu, pasangan yang berjimak boleh melewatkan untuk mandi wajib sehingga pagi dan mengerjakan mandi wajib sejurus sebelum mengerjakan solat subuh, tetapi pasangan itu disunatkan berwuduk sebelum tidur jika ingin melewatkan mandi wajib mereka hingga ke pagi.
Orang yang melewatkan mandi wajibnya juga tidak membatalkan puasa dan boleh terus berpuasa, dan puasanya tetap sah selagi mana dia tidak membatalkan puasanya.
Seseorang itu boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat. Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum boleh menunaikan solat.

Ragu-ragu
Jika seorang yang mengerjakan solat tetapi ragu-ragu apakah sama ada ia sudah mandi wajib atau belum, maka seluruh solat yang telah dikerjakannya (selama itu) adalah sah, dan untuk solat-solat berikutnya ia harus mandi wajib dahulu.

Dan Jika Tiada Air (Atau Mudarat Tidak Boleh Terkena Air)

Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rh. (Majmu' Fatawa, 21/396) jika terdapat sebab untuk melakukan tayammum, seperti ketiadaan air, atau tidak dapat menggunakannya akibat sakit, maka tayammum akan menggantikan wuduk dan mandi wajib. Maka seseorang yang junub hendaklah bertayammum lalu bersolat, kemudian apabila ada air (diperbolehkan menggunakan air untuk yang mduarat), maka hendaklah mandi menghilangkan janabahnya tersebut.

Dariapda Imraan ibn Hussain ra. "bahawa Rasulullah saw melihat seorang lelaki yang menjauhkan diri dan tidak bersolat dengan kaumnya, maka baginda berkata : Ya siFulan, apa yang menghalang kamu dari tidak bersolat dengan kaummu? Dia menjawab : Ya Rasulullah, saya dalam keadaan junub, dan tiada air. Baginda berkata : Kamu hendaklah menggunakan tanah yang bersih, kerana ia mencukupi untukmu..... di dalam riwayat lain Nabi saw menjumpai air dan memberinya kepada orang yang telah menjadi junub tersebut, dan berkata : pergilah siram ini keatas dirimu." [Hadith riwayat al-Bukhari #344 dan #348].

Selain mandi wajib, ada juga mandi-mandi sunat, iaitu:
Mandi bagi orang yang akan melaksanakan solat Jumaat
Mandi pada hari raya Aidil-Fitri dan Aidil-Adha
Mandi bagi orang yang baru sembuh dari gila
Mandi menjelang Ihram haji dan Umrah
Mandi sehabis memandikan mayat
Mandi bagi orang kafir yang baru masuk Islam


No comments:

Post a Comment