Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Monday, June 8, 2009
Rahsia Kasih Sayang Seorang Ibu
Hari ini genaplah 150 hari ibu susuan ku yang aku panggil UMMI kembali ke rahmat ALLAH setelah bertarung nyawa di CCU Hospital Kuala Terengganu. Siang tadi aku berada di Pameran Buku Antarabangsa di PWTC. Banyak peristiwa silam yang bermain di fikiran ku ketika di PWTC. Kebanyakannya menyentuh hati ku. Sayu jadinya walau aku boleh lihat ramai kanak2 riang gembira dihiburkan oleh gimik2 peniaga yang turut serta membuka gerai pameran. Lantas aku beritahu kepada staff ku, aku nak balik ke Tampin. Agak lama aku tak balik ke sana. Lagi pun aku perlu menghantar beras yang disedekahkan orang ramai ke madrasah. Aku takut nanti kampit beras tersebut bocor atau pecah dan beras tersebut tercicir, nanti aku dipersoalkan lak kat akhirat. Lalu aku bertolak balik.
Sesampai saja aku di madrasah, aku disambut oleh Ustaz warden dan anak2 yang menumpang kasih di madrasah buruk tersebut. Namun perasaan sayu aku sejak di PWTC masih lagi mengganggu hati ku. Aku lihat ke arah bangunan Madrasah yang tertegak di kaki Gunung Tampin serta dikelilingi hutan. Tak sangka dari 14 anak yatim yang tumpang berteduh, kini telah ada 112 orang. Malam ini anak2 akan berriadah pencak sambil di awasi oleh ustaz. Setelah selesai riadah, anak2 akan bersama-sama dengan aku di dewan solat madrasah untuk mendengar kisah nabi atau orang salafussoleh sebelum mereka melelapkan mata di malam hari. Begitulah rutin yang aku lakukan setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Dulu, arwah atok aku, setiap malam sebelum kami adik beradik tidur, arwah atok akan menceritakan kisah2 Nabi, kisah para sahabat, kisah wali-wali, kisah orang2 soleh. Ada kalanya kisah2 yang diceritakan arwah atok, mengundang lelehan air mata kami adik beradik kerana tersentuh hati bila arwah atok bercerita. Aku tak mampu untuk bercerita kepada mereka setiap malam. Tapi aku jadikan Sabtu pertama setiap bulan sebagai aktiviti bercerita kepada mereka.
Malam itu sesudah habis sessi bercerita, anak2 sudah kembali ke dorm masing2.
Ustaz2 dan petugas madrasah juga sudah kembali ke rumah masing2. Hanya tinggal aku sendirian sambil ditemani laptop. Dan di ruang solat itulah nanti akan menjadi tempat tidur ku, bertilamkan lantai, berbantalkan lengan sehinggalah dini hari.
Aku masih ingat, sewaktu madrasah tersebut mula beroperasi. Ia hanya sebuah bangunan separa kayu, separa bata simen. Waktu itu tak ada lagi katil2, tak ada lagi tilam empuk dan bantal untuk anak2 yatim. Batch pertama anak2 yatim seramai 14 orang tidur bersama ustaz, petugas dan aku di atas lantai simen beralaskan carpet lama yang disedekahkan oleh pihak masjid. Aku masih ingat salah seorang anak malang itu, mengigau memanggil2 nama ibunya yang telah kembali ke rahmat ALLAH dalam suatu nahas jalanraya yang mengorbankan kedua orang tuanya beberapa minggu sebelum anak itu tumpang berteduh di madrasah tersebut.
Masih basah diingatan ku, waktu aku tidur bersama mereka, ada seorang anak yatim tersebut mengigau dalam tidurnya, memeluk tubuh ku dan menangis sambil berkata dalam tidurnya " ... Ayah, jangan tinggalkan Amin. Amin janji tak akan jahat lagi. Ayah jangan mati ...."
Pernah juga berlaku, seorang penghuni baru yang kematian ibunya akibat kanser payudara, datang kepada ku sebaik sahaja aku habis mengimami solat Maghrib, lalu dia memeluk aku dan menangis sambil bertanya .... "Pakcik ... saya ada banyak dosa dengan ibu saya. Saya tak sempat minta ampun dengan ibu. Bagaimana saya nak minta ampun dengan ibu, sebab saya banyak dosa dengan ibu? "
Dan kalau hendak aku senaraikan .... rasanya lebih 1000 insiden dan scenario yang boleh aku tulis yang kesemuanya akan menyentuh perasaan dan mengundang linangan air mata sama ada disedari atau tidak.Kebanyakannya berlaku dan dapat dilihat apabila ada kehadiran penghuni baru di madrasah tersebut.
Arwah atok aku pernah berpesan : Bila hati keras, lunakkanlah hati mu dengan penderitaan yang dialami oleh insan lain agar terbuka pintu hati mu untuk merasai keinsafan dan kekerdilan keupayaan mu dalam berhadapan dengan takdir ILAHI.
Ayah ku sudah kembali ke rahmat ALLAH. Namun aku masih punya ibu. Tapi aku macam dapat merasai kesedihan dan kerinduan anak2 tersebut. Lebih2 lagi, akhir2 ini aku banyak kehilangan orang2 yang aku kasihi sama ada ahli keluarga mahu pun sahabat rapat. Penderitaan dan kerinduan anak2 ini, memang amat2 aku rasai
Sebagaimana aku bercerita kepada anak2 di Madrasah, aku nak ulang cerita yang sama dalam emel merapu ini. Mudah2an kita boleh mengambil iktibar dalam kehidupan kita.
Dulu aku pernah menulis dalam emel merapu aku akan seorang hamba ALLAH yang tak glamer di dunia TETAPI amat glamer di akhirat. Namanya Uwwais AL Qarni. Aku banyak bercerita kisah hidup Uwwais AL Qarni kepada anak2 di madrasah, sebab Uwwais adalah anak yatim. Uwwais juga seorang yang fakir miskin. Uwwais juga seorang yang TIDAK hensem, tidak macho pada pandangan manusia.
TETAPI ....
Uwwais walaupun bukan celebrity di dunia, sejak Rasulullah SAW hidup lagi baginda sudah memaklumkan kepada para sahabat bahawa Uwwis adalah seorang celebrity di akhirat. Dia tidak terkenal di bumi tetapi amat terkenal oleh penduduk di langit serta disegani oleh SELURUH PARA MALAIKAT.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar dan Saidina Ali , dua orang sahabat Nabi bertaraf Al mubasyirun bil jannah ( mereka yang dijamin syurga) .... "Akan lahir di kalangan Tabiin seorang hamba ALLAH yang doanya sangat makbul bernama Uwwais Al Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu berdua. Kamu carilah dia. Dia dilahirkan di Yaman dan akan datang kepada kamu dari arah Yaman.Dia pernah sakit sopak tetapi penyakitnya sudah sembuh hanya meninggalkan bekas sopak sebesar dua dinar. Dia tak terkenal di bumi TETAPI amat terkenal di kalangan penduduk langit. Bila kamu bertemu dengannya, mintalah dia mendoakan keampunan untuk mu" ..... begitulah isyarat dari Rasulullah SAW akan kelahiran seorang insan mulia yang tak pernah ditemui.
Sejak dari peristiwa itu, Saidina Umar dan Saidina Ali tidak jemu2 menunggu kabilah yang datang dari arah Yaman ke Madinah dan terintai2 andainya ada dikalangan yang datang itu Uwwais Al Qarni
Siapakah Uwwais Al Qarni ?
Uwwais dilahirkan dalam keluarga miskin. Menjadi yatim ketika masih kecil. Ibunyalah yang bertindak menjadi ibu dan ayah membesarkan Uwwais. Dalam susah payah, dalam penderitaan hidup dalam kemiskinan, si ibu membesarkan Uwwais, seorang anak yang dilahirkan dengan penyakit sopak. Walau dicemuh oleh masyarakat kerana kemiskinan dan keadaan anak yang berpenyakit, ketabahan si ibu memberikan pendidikan agama dan doa, agar anak yang dilahirkan menjadi anak yang soleh dan diredhai ALLAH.
Penderitaan ibu Uwwais menyebabkan aku terkenang arwah UMMI. Sejak kematian pakcik ku, dialah yang membesarkan sepupu2 ku . Arwah UMMI lah yang menjadi tempat susuan ku bila ibu dan ayah aku menunaikan Haji di Mekah ketika usia ku belum pun satu tahun. Namun cara arwah UMMI mendidik anaknya agar menjadi insan berguna, saling tak tumpah penderitaan ibu Uwwais.
Uwwais berpenyakit sopak sejak dari dilahirkan ke dunia. Seluruh badannya putih. Sopak sejenis penyakit yang amat tak digemari oleh masyarakat waktu itu bagaikan penyakit kusta. Maka tidak hairanlah Uwwais sentiasa menjadi cemuhan masyarakat. TETAPI, walaupun dia sopak, Uwwais adalah seorang yang soleh berkat didikan agama dan doa si ibu. Dia terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya.
Satu hari, ibunya menyatakan hasrat kepada Uwwais untuk mengerjakan Haji di Mekah. Si Ibu berharap agar Uwwais berusaha dan mengikhtiarkan agar dirinya dapat menunaikan rukun Islam kelima. Walaupun Uwwais sedar yang dirinya miskin dan untuk menyediakan perbelanjaan bagi ibunya menunaikan Haji amat berat baginya, NAMUN Uwwais TIDAK PERNAH mengeluh dan gusar dengan permintaan ibunya yang lumpuh. Uwwais sedar perjalanan dari Yaman ke Mekah mengambil masa yang lama dan perlukan unta yang sihat dan kuat sebagai kenderaan serta bekalan makanan yang mencukupi. Dan Uwwais tidak mampu menyediakan unta sebagai kenderaan dari Yaman ke Mekah.
Aku masih ingat, tahun 1969 arwah atok aku ke Mekah menunaikan Haji dengan kapal laut. Arwah atok aku kata, dari Mekah ke Madinah dengan unta memakan masa hampir 3 minggu. Jadi aku bayangkan dari Yaman ke Mekah mungkin memakan masa berbulan-bulan.Jadi aku tak dapat bayangkan, bagaimana susah agaknya Uwwais & ibunya bertolak dari Yaman ke Mekah.
Bagi Uwwais, demi melaksanakan hajat ibunya yang uzur dan lumpuh, kesukaran, kemiskinan tidak dijadikan alasan dan halangan untuk menunaikan hajat ibu. lebih2 lagi pabila si ibu berkata : Anakku mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji
Demi menunaikan hasrat ibu, dalam kedaifan Uwwais telah membeli seekor anak lembu yang baru dilahirkan dan habis menyusu. Uwwais membuat kandang lembunya di atas bukit berhampiran rumahnya. Setiap pagi Uwwais akan mendokong anak lembu tersebut turun ke tanah rendah untuk meragut rumput. Setiap petang Uwwais akan mendokong anak lembu tersebut naik ke kandangnya. Begitulah rutin Uwwais. Hal sedemikian menyebabkan masyarakat lebih menganggap Uwwais seorang yang tidak waras. Namun Uwwais memekakkan telinga terhadap kata2 gossip dari masyarakat..... Biarlah apa orang nak kata tentang diri ku. Yang penting aku dapat menunaikan hasrat ibu ku .... begitulah bisikan hati Uwwais.
Masa berlalu ....... Usia lembu semakin meningkat 6 bulan, begitu juga berat lembu tersebut bertambah dengan usianya, dan bertambah juga bebanan yang Uwwais hadapi ketika mendokong lembu tersebut pagi dan petang. Secara tak langsung otot-otot tangan Uwwais semakin kuat dan terbentuk. Masuk bulan kelapan, musim Haji bermula. Dengan kudrat kekuatan otot kedua-dua tangannya itulah Uwwais mendokong ibunya yang lumpuh, berjalan dari Yaman menuju ke Mekah. Bekalan makanan dikendongnya di belakang.Dengan kudrat itu jugalah Uwwais mendokong ibunya melakukan ibadah tawaf, saie, wukuf dan lain2 ibadah Haji di Mekah. Begitulah pengorbanannya demi ibu yang mengandung dan melahirkannya ke dunia ini. Biar susah dan derita, namun untuk mengguris hati ibu TIDAK SESEKALI.
Musim Haji pun tamat. Uwwais dan ibunya selamat kembali ke kampung halaman di Yaman. Mak berkatalah ibu kepada Uwwais :
Ibu : Wahai anakku, apakah yang engkau doakan sepanjang kita di berada di Mekah ?
Uwwais menjawab : Aku berdoa dan minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu.
Ibunya bertanya lagi : Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais menjawab : Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan diri ku maka aku juga akan masuk syurga.
Ibunya berkata lagi : Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit sopak kamu ini
Uwais kata : Aku keberatan untuk berdoa kerana penyakit ku ini adalah anugerah Allah. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam aku tidak bersyukur dengan anugerah Allah.
Ibunya menanbah : Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, Ibu perintahkan engkau berdoa.
Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang diminta oleh ibunya, dia minta supaya ALLAH sembuhkan putih yang luar biasa yang dihidapinya itu. Tetapi kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa
Tolonglah Ya Allah kerana ibu aku suruh aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit agar aku ingat bahawa ENGKAU pernah menganugerahkan penyakit ini dalam hidup ku.
ALLAH sembuhkan serta merta, hilang putih sopak diseluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling ditengkuknya.
Tidak lama Uwwais berdoa yang demikian, ibunya pun kembali ke rahmat ALLAH dalam keadaan tenang dan redha ke atas anaknya. Dalam keadaan daif dan kesukaran, Uwwais telah menunaikan kesemua permintaan ibunya.
Ketika Uwwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata : Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah. Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Begitulah serba sedikit kisah Uwwais Al Qarni.
Seorang yang tidak terkenal di bumi tetapi terkenal di langit sehingga para malaikat pun malu kepadanya.
Andainya ibu dan ayah ko orang masih ada, berilah khidmat kepada mereka sebaik mungkin. Hiburkanlah hati mereka. Jangan diguris hati dan perasaan mereka. Andainya ada kesalahan mereka, gunalah hikmah dalam memberi teguran.
Andainya ibu mu atau ayah mu sudah kembali ke rahmat ILAHI, perbanyakkanlah doa dan kirimkanlah pahala amal jariah buat mereka sebagai tanda diri mu pernah dilahirkan kedunia oleh mereka, sebagai tanda bahawa air susu mereka pernah kau teguk untuk meneruskan kehidupan mu di dunia ini.
Andainya ibu atau ayah mu sudah lama bersemadi di pusara. Ziarahilah pusaranya dan kirimlah sekalung doa agar rohnya aman tenteram serta ditempatkan di sisi roh orang yang muqarrabin.
Kami mengunjungi pusara bonda
sunyi pagi disinari suria
wangi berseri puspa kemboja
menyambut kami mewakili bonda
Tegak kami di makam sepi
lalang-lalang tinggi berdiri
dua nisan terkapar mati
hanya papan dimakan bumi
Dalam kenangan kami melihat
mesra kasih bonda menatap
sedang lena dalam rahap
dua tangan kaku berdakap
Bibir bonda bersih lesu
pernah dulu mengucupi dahiku
kini kurasakan kasihnya lagi
meski jauh dibatasi bumi
Nisan batu kami tegakkan
tiada lagi lalang memanjang
ada doa kami pohonkan
air mawar kami siramkan
Senyum kemboja mengantar kami
meninggalkan makam sepi sendiri
damailah bonda dalam pengabadian
insan kerdil mengadap Tuhan
Begitu bakti kami berikan
tiada sama bonda melahirkan
kasih bonda tiada sempadan
kemuncak murni kemuliaan insan
Madrasah
7 Apr 2008
00.52 am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment