Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Sunday, July 1, 2012

Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah part 3



Ayuh kita ulang semula apa yang pernah kita bahaskan dalam notes beberapa tahun yang lalu sebelum kita bahas lebih mendalam akan satu persatu sifat yang wajib bagi ALLAH dan juga kita bahas satu persatu sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi dan juga kita akan bahas satu per satu akan rukun iman yang enam.




Dalam bahasa Arab, TAUHID diertikan "mengesakan". Maka dalam ilmu Tauhid, ianya memberi erti mempercayai Tuhan itu esa. Oleh itu Ilmu Tauhid ialah ilmu yang menerangkan segala kepercayaan-kepercayaan dan hukum-hukumnya di dalam Islam termasuk hukum mempercayakan Tuhan itu esa.

Seandainya terdapat orang yang tidak mempercayai perkara-perkara yang menjadi asas Ilmu Tauhid, nescaya orang itu bukanlah seorang Islam bahkan gelaran kafir adalah yang selayak bagi dirinya. Begitu juga halnya, sekiranya seorang Islam menukar kepercayaan dari mempercayai perkara-perkara yang asas, kedudukannya juga adalah kafir.

Perkara yang asasi yang wajib dipercayai dalam ilmu Tauhid ialah perkara yang dalilnya atau buktinya cukup terang dan kuat yang terdapat di dalam Al Quran atau Hadis yang sahih. Perkara yang dipercayai ini tidak boleh dita'wil (ditukar) maknanya yang asli dengan makna yang lain.

Perkara-perkara dan hukum-hukum yang dinyatakan di dalam Ilmu Tauhid itu terkandung di dalam Rukun Iman. Sebelum kita membahaskan lebih lanjut tentang rukun iman, marilah kita pelajari tentang pengertian hukum dalam ilmu Tauhid. Kerana setiap undang-undang ada hukum.

Apa itu hukum ? Hukum ialah menentukan sesuatu sifat atau rupa kepada sesuatu benda atau perbuatan atau lainnya.

Untuk lebih jelas, mari kita lihat contoh ini.

Cth 1. : Pisau ini tajam. Maka "pisau" adalah benda atau zat, dan hukum kepada benda (pisau) adalah "tajam".

Cth 2. : Berlari dengan laju. Maka "berlari" adalah perbuatan, dan hukum kepada berlari adalah "laju".

Cth 3. : Bodoh macam lembu. Maka "lembu" adalah zat, dan hukum kepada lembu adalah "bodoh"

Ada berapa hukum di dalam Ilmu Tauhid ? Dalam ilmu Tauhid, hukum terbahagi kepada tiga :

1. Wajib
2. Mustahil
3. Mumkin

Apa erti WAJIB dalam ilmu Tauhid ? Wajib dalam ilmu Tauhid bererti, akal menentukan dan menghukumkan bahawa sesuatu itu tidak boleh tidak, mestilah begitu. Hukum wajib dalam Ilmu Tauhid ini ditentukan oleh akal dengan serta merta tanpa memerlukan penyelidikan dan dalil. Contohnya :

Cth 1 : RM 100 adalah lebih banyak dari RM 50. (Ertinya akal atau logik kita dapat mengetahui dan menentukan atau menghukumkan, RM 100 adalah lebih banyak dari RM 50. Tidak boleh tidak.)

Cth 2 : Seorang ayah lebih tua dari dari anaknya. (Ertinya akal tahu sememangnya seorang ayah wajib lebih tua dari si anak)


Dan ada pula hukum wajib yang dapat ditentukan dengan memerlukan penyelidikan yang rapi dan cukup kuat. Contohnya :

Cth 1 : Bumi ini bulat. sebelum akal dapat menentukan bumi ini bulat, dan menghukumkannya (mennetukannya) bulat, penyelidikan dan bukti perlu ada.

Cth 2 : Demikian juga jika akal kita menghukum "Tuhan wajib ada" hukum itu adalah hasil penyelidikan yang rapi yang menunjukkan kewujudan Tuhan adalah wajib ada. Di sokong dengan dalil-dalil bersumber Al Quran.



Apa erti MUSTAHIL dalam Ilmu Tauhid ? Erti MUSTAHIL dalam ilmu Tauhid adalah pengertian yang sebaliknya kepada pengertian WAJIB dalam ilmu Tauhid. MUSTAHIL dalam ilmu Tauhid bererti, akal tidak boleh menentukan dan tidak boleh menghukumkan bahawa sesuatu itu begitu. Hukum mustahil dalam Ilmu Tauhid ini ditentukan oleh akal dengan serta merta tanpa memerlukan penyelidikan dan dalil. Contohnya :

Cth 1 : Mustahil RM 50 lebih dari RM 100.

Cth 2 : Mustahil si ayah lebih muda dari si anak.

Akal tidak boleh menerima dan tidak boleh bersetuju RM 50 lebih banyak dari RM 100. Juga akal tidak boleh menerima dan tidak boleh bersetuju serta menghukumkan , si ayah lebih muda dari si anak.

Sebagaimana hukum WAJIB dalam Ilmu Tauhid, hukum MUSTAHIL juga ada yang ditentukan dengan memerlukan penyelidikan yang rapi dan cukup kuat. Contohnya :

Cth 1 : Mustahil bumi ini tiga segi. Sebelum akal dapat menghukum bahawa mustahil bumi ini segi tiga, perkara tersebut hendaklah diselidik dengan rapi dan berhajatkan dalil.

Cth 2 : Mustahil Tuhan boleh mati. Sebelum akal dapat menghukum bahawa mustahil Tuhan boleh mati dan dibunuh sebagaimana kepercayaan Kristian terhadap Jesus, maka perkara tersebut hendaklah diselidik dan berhajatkan dalil.

Apa erti MUMKIN PADA AKAL dalam ilmu Tauhid ? Mumkin Pada Akal dalam ilmu Tauhid ertinya ialah akal kita dapat menentukan atau menghukumkan bahawa sesuatu benda atau sesuatu zat itu boleh berkeadaan tertentu atau boleh pula berkeadaan tidak begitu. CONTOHNYA :

Cth 1 : Penyakit Si Polan, mumkin sembuh dan mumkin tidak sembuh. Si Polan adalah zat. Sembuh atau tidak adalah hukum mumkin. Hukum Mumkin disini, tidak memerlukan kajian atau berkehendakkan hujjah atau dalil.

Cth 2 : Bila langit mendung, mumkin hujan turun lebat mumkin hujan turun renyai-renyai, mumkin tidak turun hujan. Langit mendung dan hujan adalah zat, sementara lebat, renyai atau tidak turun hujan adalah hukum mumkin.

Seperti hukum Wajib dan Mustahil, MUMKIN juga adakalanya memerlukan bukti atau dalil. Contohnya :

Cth 1 : Manusia mumkin hidup beratus tahun tanpa makan dan minum. Seperti kisah Ashabul Kahfi yang dipaparkan dalam surah Al Kahfi. Ianya adalah MUMKIN yang memerlukan dalil.

Cth 2 : Singgahsana Istana dan takhta mumkin dipindahkan dengan sekelip mata ke jarak ribuan kilometer. Seperti kisah Wazir Nabi Sulaiman AS memindahkan istana Ratu Balqis dari Yaman ke negara Palestine. Kisah ini memerlukan dalil dalam AL Quran Surah An Naml ayat ke 40.

Dalam ilmu Tauhid disebut MUMKIN, tetapi diubah kepada istilah MUNGKIN oleh orang Melayu kita.

Kemudian , setiap bahagian hukum aqal di bahagi lagi kepada dua iaitu Dharuri dan Nazhari.


Bahagian Wajib ‘Aqli :

Adalah wajib ‘aqli terbahagi dua :

1) Wajib ‘aqli Dharuri – Iaitu menghukumkan sesuatu itu tetap adanya dengan tiada berkehendak kepada bahasan dan kenyataan seperti menghukumkan satu itu tetap separuh daripada dua .

2) Wajib ‘aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan suatu itu tetap adanya dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatang- kan dalil-dalil atas ketetapan hukumnya itu seperti menghukumkan wajib adanya Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini berserta dengan bahasan dan dalil-dalilnya.

Bahagian Mustahil ‘Aqli :

Adalah Mustahil ‘Aqli terbahagi dua :

1) Mustahil ‘Aqli Dharuri – Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Berkehendak kepada bahasan dan mendirikan dalil seperti contoh menghukumkan tiada terima ;aqal satu itu separuh daripada tiga.

2) Mustahil ‘Aqli Nazhari – Iaitu menghukumkan suatu itu tetap tiada Dengan berkehendak kepada fikiran dan bahasan serta mendatangkan dalil-dalil atas ketetapan hukumannya itu seperti menghukumkan tiada terima ‘aqal ada yang mensyirik bagi Allah s.w.t. maka dengan itu ‘aqal menghukumkan mustahil ada syirik bagi Allah s.w.t itu melainkan dengan diadakan bahasan dengan mendatangkan dalil.

Bahagian Harus ‘Aqli :

Adalah Harus A’qli itu terbahagi dua :

1) Harus ‘Aqli Dharuri – Iaitu menghukumkan sesuatu boleh terima ada dan tiada dengan tidak berkehendakkan bahasan dan mendatangkan dalil seperti menghukumkan keadaan seseorang itu adakalanya ia bergerak atau diam .

2) Harus ‘Aqli Nazhari - Iaitu menghukumkan sesuatu boleh dijadikan atau tiada boleh dengan berkehendak kepada bahasan dan mendatangkan dalil-dalil seperti contoh memberikan ganjaran pahala kepada orang yang tidak beramal , maka ‘aqal menghukumkan hal itu adalah harus melainkan dengan diadakan bahasan dan dalil-dalil yang menunjukkan harus pada Allah s.w.t. memberikan seperti itu .


..........BERSAMBUNG.........

No comments:

Post a Comment