Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, June 30, 2012

Ilmu Tauhid AHlus Sunnah Wal Jamaah Part 5




Jom kita kenal ALLAH ................





Muga-muga Allah, Tuhan kami, sejahterakanlah cahaya yang nyata,

Ahmad yang terpilih, penghulu sekelian pesuruh-pesuruh Allah,
Dan sejahterakanlah juga keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Sifat yang wajib bagi Allah
wujud, sedia, kekal, berlainan dari segala yang lain,
cukup dengan sendirinya, tunggal, berkuasa,
berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar,
melihat, berkata-kata,

Dan keadaan NYA berkuasa, berkehendak,
dan keadaan NYA mengetahui, hidup, mendengar,
dan juga keadaan NYA melihat, berkata-kata.
Lawan kepada sifat tadi dua puluh jua,
Iaitu sifat-sifat kekurangan yang mustahil bagi Allah

Tiada, ada permulaan, lenyap atau hapus,
menyamai makhluk NYA ( Maha Suci Allah)
Tidak cukup dengan sendirinya, berbilangan,
Serta pula DIA lemah membuat makhluk-makhluk
Dan musthail juga DIA kena paksa, bodoh, tuli
Ataupun DIA mati, buta dan bisu

Sifat-sifat lawan NYA yang lain juga nyata
Tidak perlu diterangkan disini

Nabi-nabi pula wajib ada sifat amanah
Bercakap benar, menyampaikan dan bijaksana

Mustahil pula Nabi-nabi itu
Khianat, dusta, menyembunyikan dan bebal

Maka demikianlah sifat-sifat yang tersebut itu
Terhadap Allah dan Rasul-rasul NYA yang mulia

Nama 25 Rasul yang wajib dikenali oleh setiap muslim
Mereka itu adalah
Adam, Idris, Nuh, Hud
dan juga termasuk Saleh, Ibrahim
dan Lut, Ismail, Ishak
seterusnya Yaakub, Yusuf dan Ayub
Syua'ib, Harun, Musa dan Ilyasa'
dan juga Zulkifli, Daud dan Sulaiman
dan Ilyas, Yunus, Zakaria, Yahya dan Isa
dan akhir sekali Taha iaitu Muhammad penutup kerasulan

Muga-muga bagi mereka kesejahteraan dan keselamatan
dan bagi keluarga mereka selagi ada siang dan malam

Dan Malaikat-malaikat pula tiada ibu bapa
serta tiada ia makan atau minum atau tidur

Nama-nama sepuluh dari mereka ialah
Jibril, Mikail, Israfil, Izrail
Mungkar serta Nagkir
Raqib serta Atid
Malik dan Ridwan

Dan empat kitab-kitab dari Allah
Taurat kepada Musa
Zabur kepada Daud
Injil kepada Isa
Dan Furqan (Al Quran) kepada sebaik-baik makhluk
Muhammad Khatamun Mursalin

Selain itu ada kitab-kitab kepada lain-lain Nabi
Di dalamnya kalam Allah yang adil dan mengetahui


Begitulah antara terjemahan nazam ke dalam bahasa melayu yang sering dikumandangkan setiap kali kuliah tauhid akan bermula di pondok arwah datuk ku. Nazam inilah juga yang sering disenandungkan setiap malam Isnin & malam Jumaat setelah selesai membaca mawlidur rasul buat penyubur jiwa dalam perjuangan.

Sesungguhnya apabila seseorang itu berfikir dan meneliti kejadian alam ini maka ia dapat petunjuk bahawa Allah s.w.t yang telah menjadikannya.

1. Melihat sesuatu kejadian yang ada disekeliling kita seperti kerusi atau meja dan sebagainya maka kita dapati kerusi atau meja tersebut tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang membuatnya dan yang mengadakannya.

Maka dengan itu kita beri’tiqad dan percaya alam ini tidak boleh ada dengan sendirinya melainkan ada yang menjadikan dan menciptakannya tentulah Allah s.w.t yang Maha Pencipta.

2. Kita meneliti dan mengkaji dengan lebih jauh lagi akan perbuatan-perbuatan orang yang membuat kerusi atau meja ada yang berbagai bentuk dan rupa, yang mana mereka sentiasa membuat dan mengukir kerusi atau meja tadi dengan lebih baik dan lebih halus lagi ukirannya tetapi tidak pernah lengkap dan sempurna.

Maka itu kelemahan dan kekurangan manusia yang mengikut kadar dan ilmu serta kekuatan yang dianugerahkan oleh Allah Ta’ala. Maka kita menyedari bahawa Allah Ta’ala adalah Maha Sempurna di dalam mencipta kejadian alam ini.

3. Kita melihat akan kejadian langit dan bumi ini dan alam cekerawala ini daripada manusia, bulan, matahari, haiwan, tumbuh-tumbuhan yang mana setiap jenis dijadikan dengan cukup lengkap dan sempurna. Contohnya manusia yang dijadikan adalah sebaik-baik kejadian iaitu: berakal, bertutur, mendengar dan lain-lain sifat lagi.

Dan apabila kita perhatikan alam cekerawala seperti bumi, langit, bulan, matahari dan lain-lain yang mana semuanya dicipta untuk manafaat dan keperluan semua makhluk yang mana semua itu melemahkan akal para cerdik pandai memikirkan segala kejadian tersebut yang tiada tolok bandingnya. Maka nyatalah di sini bahawa penciptanya mempunyai kuasa yang Maha Sempurna, Ilmu yang Maha luas dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan.

Sesungguhnya dari Kaedah Syar’iyyah dan berita para Nabi bahawa yang menjadikan alam ini ialah Allah s.w.t kerana segala perbuatanNya menunjukkan bekas bagi segala sifat yang Maha Suci dan tidaklah makhluk dapat mengetahui hakikatnya kerana segala makhluk ciptaanNya sentiasa bersifat lemah dan mempunyai segala kekurangan.


Jadi BAGAIMANA HENDAK MENGENAL ALLAH ?


1. Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui nama-NYA dan sifat-sifat-NYA yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.

2. Nama-nama Allah s.w.t (Al-Asma ‘ul-Husna) dan sifat-sifat yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.


3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-


1) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.

2) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan sifatyang wajib tersebut.

4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-

a) Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak dinamakan mengenal Allah s.w.t.

b) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) seperti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.

c) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan taqlid.

5. Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir. Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).

6. Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.

7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-

a) Taqlid Jazam (putus)
- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).

b) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)
- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau waham(tiada putus).

8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang diikutinya seperti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.

9. Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida’ah.

10. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.

Jom kita mengenal sifat-sifat ALLAH ....

Adapun sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh setiap muslim beserta dalil-dalilnya ialah 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah.

20 Sifat yang wajib bagi Allah ialah :

1-Wujud = ada
2-Qidam = sedia
3-Baqa = kekal
4-Mukhalafatuhu Lil Hawadith = bersalahan Allah daripada yang baharu
5-Qiyamuhu Binafsihi = berdiri Allah Taa'la dengan sendirinya
6-Wahdaniyyah = Esa
7-Kudrah = berkuasa
8-Iradah = berkehendak
9-Ilmu = mengetahui
10-Hayat = hidup
11-Sama' = mendengar
12-Basar = melihat
13-Kalam = berkata-kata
14-Kaunuhu Qadiran = keadaan Allah Taa'la yang berkuasa
15-Kaunuhu Muridan = keadaan Allah Taa'la yang berkehendak
16-Kaunuhu A'liman = keadaan Allah Taa'la yang mengetahui
17-Kaunuhu Hayyan = keadaan Allah Taa'la yang Hidup
18-Kaunuhu Sami'an = keadaan Allah Taa'la yang mendengar
19-Kaunuhu Basiran = keadaan Allah Taa'la yang melihat
20-Kaunuhu Mutakalliman = keadaan Allah Taa'la yang berkata-kata

Sifat yang mustahil bagi Allah ialah sifat yang berlawanan dengan sifat yang wajib bagi Allah :

20 Sifat yang mustahil bagi Allah pula ialah :

1-'Adam (tiada)
2-Huduts (ada yang mendahului)
3-Fana (berakhir)
4-Mumatsalatu lil hawaditsi (ada yang menyamai)
5-Ihtiyaju lighairihi (memerlukan yang lain)
6-Ta'adud (berbilang)
7-'Ajzun (lemah)
8-Karahah (terpaksa)
9-Jahlun (bodoh)
10-Mautun (mati)
11-Shamamun (tuli)
12-'Ama (buta)
13-Bakamun (bisu)
14-Kaunuhu 'ajiyan (zat yang lemah)
15-Kaunuhu karihan (zat yang terpaksa)
16-Kaunuhu jahilan (zat yang sangat bodoh)
17-Mayyitan (zat yang mati)
18-Kaunuhu ashamma (zat yang tuli)
19-Kaunuhu 'ama (zat yang buta)
20-Kaunuhu abkama (zat yang bisu)

Sifat yang harus bagi Allah SWT hanyalah satu iaitu membuat tiap-tiap yang mumkin/mumkinat atau tidak membuatnya.

Apa makna mumkin dan mumkinat di sini ? Ertinya tiap-tiap sesuatu yang dilakukan oleh Allah SWT atau tidak mahu dilakukan oleh Allah SWT.

Untuk senang difahami saya berikan beberapa contoh :

Cth 1 : Syafie di Afrika Selatan seorang yang bijak, tetapi Ahmad Nafsu di England seorang yang jumud. Siapa yang jadikan Syafie bijak ? Jawapannya Allah SWT. Siapa pula yang jadikan Ahmad Nafsu jumud ? Jawapannya Allah SWT juga. Jadi harus bagi Allah mencipta sesuatu bijak dan tidak mencipta sesuatu menjadi bijak ( jumud ) . Terpulang kepada Allah SWT.

Cth 2 : Mat Kilau hidup sehingga berumur 120 tahun. JWW Birch hidup sehingga umur 42 tahun. HARUS bagi Allah memanjangkan umur Mat Kilau, dan harus bagi Allah memendekkan umur JWW Birch. Harus bagi Allah SWT mencipta sesuatu dan tidak mencipta sesuatu.

Keseluruhan 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah WAJIB atas setiap muslim yang berakal mempelajari dan memahami serta meyakini secara tafsil.

Apa erti tafsil ? Ertinya ialah secara detail secara satu persatu beserta huraiannya dan dalil-dalilnya satu persatu, agar benar-benar faham dan yakin.

Walaubagaimanapun, mendatangkan dalil aqli dan naqli cukup secara ijmal.

Apa erti ijmal ? Iaitu secara ringkas, dengan syarat wajiblah ianya beriman dengan sesungguh hati.

Untuk mendatangkan dalil secara ijmal, cukup mudah. Tetapi untuk memahami hendaklah secara tafsil kerana tanpa huraian yang jelas dan teliti, sifat-sifat tersebut boleh disalah ertikan. Akibat dari penyalahertian, maka lahirlah fahaman mujassimah yang menyamakan Allah dengan makhluk.

InsyaAllah, kita akan cuba mengupas sedikit demi sedikit sifat-sifat tersebut satu persatu. Sewaktu kita membahaskan tentang Rukun Iman.

To be continue .....

No comments:

Post a Comment