Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Sunday, June 24, 2012

Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah Part 2



Kitab Risalah Tauhid oleh Syeikh Abdul Ghani Yahya dan Syeikh Omar Bin Yusof

Memahami Konsep Tauhid

Dalam bahasa Arab, TAUHID diertikan "mengesakan". Maka dalam ilmu Tauhid, ianya memberi erti mempercayai Tuhan itu esa. Oleh itu Ilmu Tauhid ialah ilmu yang menerangkan segala kepercayaan-kepercayaan dan hukum-hukumnya di dalam Islam termasuk hukum mempercayakan Tuhan itu esa.



Seandainya terdapat orang yang tidak mempercayai perkara-perkara yang menjadi asas Ilmu Tauhid, nescaya orang itu bukanlah seorang Islam bahkan gelaran kafir adalah yang selayak bagi dirinya. Begitu juga halnya, sekiranya seorang Islam menukar kepercayaan dari mempercayai perkara-perkara yang asas, kedudukannya juga adalah kafir.

Perkara yang asasi yang wajib dipercayai dalam ilmu Tauhid ialah perkara yang dalilnya atau buktinya cukup terang dan kuat yang terdapat di dalam Al Quran atau Hadis yang sahih. Perkara yang dipercayai ini tidak boleh dita'wil (ditukar) maknanya yang asli dengan makna yang lain.

Perkara-perkara dan hukum-hukum yang dinyatakan di dalam Ilmu Tauhid itu terkandung di dalam Rukun Iman.
Rukun Iman dan Pengertiannya : Rukun iman adalah akar tunjang kepada keimanan dan kepercayaan seseorang. Sejauh mana kuatnya iman, sejauh itulah keyakinan dalam hidupnya. Sebagai seorang Islam, kita wajib beriman dengan rukun iman yang enam. Keenam-enam rukun inilah yang wajib dijadikan akar tunjang dalam beraqidah.

Rukun Iman adalah :
Percaya kepada Allah
Percaya kepada Malaikat
Percaya kepada Kitab
Percaya kepada Rasul
Percaya kepada Hari Akhirat
Percaya kepada Qadha’ dan Qadar

Muqaddimah Ilmu Tauhid

Mabadi ( Permulaan ) Ilmu Tauhid : Perkataan ‘ Mabadi ‘ itu bahasa Arab jama’ daripada perkataan mabda’ Bererti : Punca , mula terbit . Maksudnya keterangan yang ringkas atau tujuan sesuatu ilmu sebelum membaca atau belajar ilmu itu. Disebut juga Pembukaan sesuatu ilmu. Adalah Mabadi ilmu tauhid itu sepuluh perkara :

1) Nama ilmu ini : Iaitu dinamakan Ilmu Tauhid , Ilmu Kalam , Ilmu Usuluddin, Ilmu ‘Aqaid, Ilmu sifat dan Al-Iman.

2) Tempat ambilannya : Iaitu diterbitkan daripada Al-Quraan dan Al-Hadis.

3) Kandungannya : Iaitu mengandungi pengetahuan dari hal membahaskan ketetapan pegangan, kepercayaan kepada Allahdan kepada rasul-rasulnya daripada beberapa simpulan atau ikatan kepercayaan dengan segala dalil-dalil supaya diperolehi I’ktikad yang yakin, kepercayaan yang putus yang mana ia akan menaikkan perasaan bekerja dan beramal menurut bagaimana kepercayaan tersebut.

4) Tempat bahasannya ( Maudhu’nya )kepada empat tempat :

Pertama : Pada zat Allah Ta’ala dari segi sifat-sifat yang wajib bagi-Nya, Sifat-sifat yang mustahil atas-Nya dan sifat yang harus pada-Nya.

Kedua : Pada zat Rasul-rasul dari segi sifat-sifat yang wajib baginya, Sifat-sifat yang mustahil atasnya dan sifat yang harus padanya.

Ketiga : Pada segala kejadian dari segi jirim-jirim dan aradh-aradh yang mana menjadi dalil dan bukti atas wujud yang menjadikannya.

Keempat : Pada segala pegangan dan kepercayaan dengan kenyataan yang didengar daripada perkhabaran Rasulullah seperti hal-hal perkara ghaib contohnya arash , syurga , mahsyar ,neraka dan lain-lain tentang hari Qiamat.

5) Faedah Ilmu Tauhid : Iaitu dapat mengenal Allah s.w.t. dan percayakan rasul serta mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat yang kekal.

6) Nisbah ilmu Tauhid dengan ilmu-ilmu yang lain : Ilmu yang merangkumi ilmu asas di dalam ajaran Islam dan yang paling utama sekali.

7) Yang menghantarkan : Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Dan orang yang pertama menerima ilmu Tauhid daripada Allah Ta’ala ialah nabi Adam a.s. dan yang akhir sekali ialah Saidina Muhammad s.a.w.

Hukumnya : Iaitu fardhu A’in atas tiap-tiap orang mukallaf lelaki atau perempuan mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t. dengan cara ijmal ( ringkas ) dan dengan cara tafsil ( huraian atau satu persatu ) berserta dengan dalil ijmal . Adapun mengetahui dalil tafsil itu fardhu kifayah .

9) Kelebihannya : Iaitu semulia-mulia dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain kerana menurut hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud :

” Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada mengEsakan Allah dan ada sesuatu itu terlebih afdhal daripadanya ,nescaya tetaplah telah difardhukan ke atas MalaikatNya padahal setengah daripada Malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya.”
( Riwayat Hakim )

10) Kesudahan ilmu ini : Iaitu dapat membezakan di antara ‘aqaid dan kepercayaan yang sah dengan yang batil.


Dengan ilmu tauhid kita mampu menyuluh, sejauh mana aqidah kita selaras dengan aqidah milik Rasulullah SAW dan para sahabat seperti yang dikehendaki oleh ALLAH.

Bukti kejahilan atas ilmu Tauhid amat berleluasa bila hukum yang termaktub dalam Al Quran diubah sesuka hati. Bila ALLAH dan Rasul-NYA menetapkan hukum, haram, terbatal syahadah dan rosak aqidah jika meredhai makhluk sujud kepada selain ALLAH. Tetapi ada segelintir manusia yang mengaku ingin memperjuangkan tuhan mengatakan dia berasa bangga jika ada manusia sujud ke kubur tok gurunya. Nyata sekali, TELAH TERBATAL SYAHADAH orang tersebut. Nyata sekali TELAH ROSAK AQIDAH orang tersebut. Nyata sekali tuhan yang diperjuangkan BUKANLAH Tuhan yang selayaknya disembah iaitu ALLAH Rabbul Jalil.

Begitu juga bukti rosaknya aqidah umat ini bila sesuatu yang telah jelas qat'ie hukum dari Al Quran dan Sunnah, tetapi diubah dan ditafsirkan tanpa menurut disiplin ilmu syarie. Menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh ALLAH dan Rasul-NYA. Sebagai contoh, Al Quran dan Sunnah telah menetapkan bahawa takrifan bagi anak yatim ialah anak yang sudah kematian ayahnya. Itulah tafsiran anak yatim berdasarkan syarak. Tetapi ada pihak yang mengubah makna tafsiran anak yatim kepada "anak yang tidak berbapa kerana bapanya jarang ada di rumah" semata-mata menghalalkan perbuatan mereka memakan harta anak yatim.

Malah lahir juga ajaran yang menolak akal atas dasar ingin menjadi "orang roh". Sedangkan antara syarat wajib solat dan puasa ialah BERAKAL. Apakah menafikan akal merupakan suatu usaha awal untuk memansuhkan ibadah solat dan puasa oleh golongan yang sesat lagi menyesatkan ?

Usaha menafikan dalil akal atas alasan yang datang dari akal adalah palsu kesemuanya, secara tidak langsung menafikan HUKUM AKAL dalam ilmu Tauhid. ALLAH itu wajib wujud. Sedangkan ALLAH yang wajib wujud, dituntut bagi setiap mukallaf WAJIB mendatangkan dalil Naqli dan Dalil AKAL bagi mengesahkan aqaidul iman. APAKAH ALASAN PEMBAWA AJARAN YANG SESART LAGI MENYESATKAN SERTA ROSAK AQIDAH INI INGINKAN ? Apakah usaha menolak dalil akal oleh golongan yang sesat, menyesatkan, rosak aqidah dan terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah merupakan langkah awal untuk terus merosakkan aqidah remaja-remaja di Malaysia ?

Gersk, Muar
23 Julai 2011
2.45pm

No comments:

Post a Comment