Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Friday, July 20, 2012
Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah Part 14
Tahun : 2005
Lokasi : Masjid Bandar Baru Nilai
Masa : Selepas Solat Zohor
Bekas Cikgu yang sekarang jadi tukang jual kek berkata ….
Cikgu : Abuya Sohibul Zaman. Abuya mujaddid kurun ini. Dia Imam Ashaari At Tamimi. Dia Pemuda Bani Tamim yang dijanjikan.
Pendakwah : Kalau abuya awak tu mati macam mana ?
Cikgu : Tak mungkin. Abuya tak kan mati. ALLAH akan panjangkan umur abuya. Abuya tetap akan jadi Pemuda Bani Tamim.
Pendakwah : Hadis menyebut nama Pemuda Bani Tamim ialah Syuaib Bin Saleh At Tamimi.
Cikgu : Itu nama untuk menipu Yahudi. Abuya adalah Pemuda Bani Tamim yang dijanjikan.
Pendakwah : Hadis tu menipu ??? Maknanya, awak kata Rasulullah SAW menipulah ya ? Jelas sangat aqidah awak dah rosak. Ada ke dalil yang membuktikan abuya tu Pemuda Bani Tamim ?
Cikgu : Abuya Pemuda Bani Tamim ada dalam jadual ALLAH. Sebelum Imam Mahdi zahir, kena ada daulah yang dipimpin oleh Pemuda Bani Tamim. Pemuda Bani Tamim itulah abuya. Ini semua ada dalam jadual ALLAH. ALLAH wajib ikuti jadual-NYA.
Pendakwah : Astaghfirullahal azim. Bawa mengucap. ALLAH itu siapa pada kamu ? Awak tak belajar ilmu tauhidkah ? Ilmu tauhid menyatakan bahawa wajib ALLAH bersifat IRADAH. Ilmu tauhid juga menyatakan harus bagi ALLAH menjadikan alam ini.
Jadi jika menjadikan alam ini pun hanyalah HARUS BAGI ALLAH. Lebih-lebih lagi menjadikan abuya itu Pemuda Bani Tamim. Bila awak mengatakan bahawa ALLAH wajib jadikan abuya Pemuda Bani Tamim, ALLAH wajib mengikut jadual-NYA. Awak sudah pun menafikan sifat IRADAH bagi ALLAH. Aqidah awak sudah rosak. Awak sudah sesat lagi menyesatkan. Awak sudah terkeluar dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah …………..
@@@@@@@@@@@
Adapun sifat yang ke 8 yang wajib bagi zat ALLAH Taala ialah IRADAH. Iradah ertinya berkehendak ALLAH Taala bagi menentukan segala yang harus yakni alam. Maka berkehendak ALLAH Taala bagi menentukan samada alam yang harus ini dijadikan atau tidak, atau setelah dijadikan hendak dikekalkan ujud atau tidak, atau tidak hendak dijadikanNya alam ini.
Dalam lain-lain perkataan, kita katakan ALLAH SWT yang bersifat Al Iradah itulah yang menentukan segala yang mumkin iaitu sama ada mengadakan yang mumkin itu ataupun mentiadakannya.
Apabila kita sebut segala yang mumkin, ertinya ialah segala makhluk atau segala yang baharu yakni perkara-perkara yang selain ALLAH SWT. Ia juga kita sebut sebagai sekalian alam.
Sehubungan dengan ini, ALLAH yang bersifat Iradah itulah yang menentukan perkara yang mumkin itu sama ada hendak mengadakannya ataupun mentiadakannya. Ertinya, adanya perkara yang mumkin itu, ALLAH yang menentukan. Dan tiadanya perkara yang mumkin itu, juga ALLAH yang menentukan. Tiada siapa pun selain ALLAH boleh menentukannya.
Adapun takluk Iradah itu kepada yang baharu yakni yang harus. Yang baharu itu jirim, jisim dan aradh. Dan ia tertakluk ketiga-tiganya kepada empat iaitu, pertama ujud ia pada masa ini, kedua ujud pada masa yang telah lalu, ketiga ujud ia akan datang dan keempat ujud kekafiran yang diketahui ALLAH Taala sejak azali mereka mahu kafir. Maknanya ... takluk sifat Iradah bagi ALLAH adalah ke atas segala makhluk dna alam ini. Alam ini terdiri dan dibina dari jirim, jisim dan aradh.
Dan pekerjaan Iradah ini adalah berkait dengan sifat Ilmu dan Qudrah. Dengan Ilmu ALLAH Taala mengetahui sesuatu itu samada mahu dijadikan atau tidak. Kemudian dengan Iradah ditentukan samada sesuatu itu samada mahu dijadikan atau tidak. Dan apabila sudah ditentukan maka Qudrah mencipta sesuatu itu atau meniadakannya.
Iradah ALLAH Taala juga menentukan perkara mustahil pada adat seperti contohnya unta tidak boleh masuk ke lubang sebesar jarum. Dan Iradah juga menentukan berlakunya air memancar keluar dari jari Nabi Muhammd atas jalan mukjizat. Dan Iradah ALLAH Taala juga yang menentukan aulia’ALLAH berjalan di atas air yang bersalahan dengan adat atas jalan karomah. Dan IradahNya jugalah menentukan orang dilanggar lori tidak mati walaupun atas adatnya harus dia mati atas jalan ma’unah.
Dalil akal bersifat Iradah ALLAH Taala, jika ALLAH Taala tidak bersifat Iradah maka jadilah Ia lemah dan jadi nafi sifat Qudrah, dan nafilah sifat ilmu. Jika ternafilah ketiga maka tidak layaklah ALLAH Taala disebut Tuhan dan tiadalah jadi alam ini, maka mustahil.
Dalil naqli adalah berdasarkan surah Al Qasas ayat ke 68 :
Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan);
Adapun hakikat Iradah itu satu sifat yang Qadim lagi azali yang sabit berdiri pada zat ALLAH Ta’ala maka dengan Dia menentukan sekalian mumkin adanya atau tiadanya,muafakat dengan Ilmu-Nya. Maknanya sifat Iradah ALLAH adalah zifat yang tiada permulaan yang bersandar kepada zat ALLAH Taala. Maka terpulang kepada ALLAH untuk menentukan segala yang ada di ala mini, apa yang ALLAH hendak. ALLAH tidak dipaksa.
Adapun Iradah ALLAH Ta’ala menentukan enam perkara:
a. Menentukan mumkin itu Ada atau tiadanya
b. Menentukan Tempat mumkin itu
c. Menentukan Jihat mumkin itu
d. Menentukan Sifat mumkin itu
e. Menentukan Qadar mumkin itu
f. Menentukan Masa mumkin itu
Adapun dalilnya firman-Nya dalam Al Qur’an: fa’allu limaa yuriy d’, artinya berbuat ALLAH Ta’ala dengan barang yang ditentukan-Nya.
Adapun Iradah dengan amar dan nahi itu tiada berlazim karena:
Ada kalanya disuruh tetapi tiada dikehendaki seperti Abu jahal, Abu lahab dan segala pengikutnya.
Ada kalanya disuruh dan dikehendaki seperti Abu Baqa’r dan segala sahabat yang lain.
Ada kalanya tiada disuruh dan tiada dikehendaki seperti kafir yang banyak.
Adakalanya tiada disuruh tetapi dikehendaki seperti mengerjakan yang haram dan makruh seperti Nabi Adam as dan Hawa.
Tetaplah dalam Hakikat Iradah itu difahami dengan memahami sifat Salbiyah terlebih dahulu untuk menafikan apa-apa yang tiada patut dan tiada layak pada dzat, pada sifat dan pada af’al ALLAH Ta’ala.
* Iradah ALLAH Ta’ala Qadim atau sedia, tiada diawali dengan Karahah.
* Iradah ALLAH Ta’ala Baqa’ atau Kekal, tiada diakhiri dengan Karahah.
* Iradah ALLAH Ta’ala itu Mukhalafatuhu lil hawadits, atau bersalahan dengan yang baharu, maha suci dari sekalian misal.
* Iradah ALLAH Ta’ala itu Qo’imumbizzatihi atau berdiri pada zat ALLAH Ta’ala, tiada meminta tolong pada sesuatu, dan tiada mengambil faedah.
* Iradah ALLAH Ta’ala itu Wahdaniyah, atau Esa, tiada kamuttassil (Berhubung/bersusun) dan tiada kamumfasil (tiada bercerai dengan sifat yang lain).
Perbezaan Iradah dan Amar
Adapun Iradah yakni menentukan dan amar yakni suruh itu berbeza. Kadang-kadang menghendaki ALLAH Taala menjadikan tetapi tiada disuruhnya seperti kejadian maksiat itu dijadikan ALLAH Taala tetapi diharamkannya dari dilakukan. Dan kadang-kadang dikehendaki ALLAH Taala menjadikan dan disuruhnya melakukan seperti ALLAH Taala mencipta amal dan kelakuan taat dan diwajibkannya. Dan kadang kadang tiada dikehendakiNya menjadikan dan tiada juga disuruhNya seperti tiada ALLAH Taala menjadikan Sayyidina Abu Bakar itu kafir maksiat dan tiada disuruhnya Abu Bakar melakukannya.
Lawan iradat itu karahah ertinya terpaksa. Karahah ertinya terpaksa dengan ertikata ALLAH Taala menjadikan alam ini bukan dengan kehendak-NYA. Maknanya, karahah ini adalah satu sifat yang tiada menentukan atau tiada berkehendak, iaitu mustahil tiada diterima oleh aqal sekali-kali dikatakan ALLAH Ta’ala itu tiada menentukan atau tiada berkehendak, kerana jikalau tiada ALLAH menentukan atau tiada ALLAH berkehendak mengadakan alam ini atau meniadakan alam ini nescaya tiadalah baharu (Berubah) alam ini maka sekarang alam ini telah nyata adanya perubahan, ada siang ada malam, ada yang datang ada yang pergi, seperti yang telah kita lihat dengan mata kepala kita sendiri, maka menerimalah aqal kita wajib bagi ALLAH Ta’ala bersifat Iradah dan mustahil lawannya Karahah.
Termasuk di dalam erti menjadikan alam ini bukan dengan kehendaknya itu empat perkara iaitu :-
Zuhul ertinya lalai iaitu ALLAH menjadikan alam ini di dalam keadaan lalai.Mustahil ALLAH menjadikan alam ini di dalam keadaan lalai wajib kita percaya ALLAH menjadikan alam ini dengan kehendak-NYA.
Ghaflah ertinya lupa iaitu ALLAH menjadikan alam ini di dalam keadaan lupa. Mustahil ALLAH menjadikan alam dalam keadaan lupa wajib kita percaya ALLAH menjadikan alam dengan kehendak-NYA.
Ta’lil iaitu sebab - musabab. Iaitu ALLAH menjadikan sebahagian alam ini dengan memakai asbab.Contohnya tercampak batu dari tangan yang melontar. Maka perbuatan melontar itu dinamakan ‘mubasyarah’ sementara tercampaknya batu itu dinamakan ‘tawallud’ iaitu yang terhasil dari sebab perbuatan mubasyarah. Maka wajib kita percaya bahawa perbuatan mubasyarah itu dijadikan oleh ALLAH dengan kehendak-NYA dan tawallud pun dijadikan oleh ALLAH dengan kehendak-NYA dan sesekali tidak dapat dikatakan mubasyarah itu menjadi ta’lil (sebab yang melazimkan) akan tawallud. Adapun yang kita pandang tercampaknya batu dari tangan yang melontar oleh sebab perbuatan melontar itu hanyalah semata – mata zahir hukum adat sahaja dan bukannya hakikat kerana pada hakikatnya ALLAH menjadikan sesuatu tidak dengan ta’lil.
Tabiat iaitu kebiasaan. Iaitu ALLAH menjadikan sebahagian alam ini dengan asbab tabiat setengah makhluknya. Contohnya tabiat api itu menghanguskan.Maka wajib kita percaya bahawa ALLAHlah yang menjadikan api dengan kehendaknya dan ALLAH jugalah yang menjadikan hangus pun dengan kehendaknya bukan dengan sebab api. Hanya sanya tabiat api yang menghanguskan itu juga hanyalah sebab yang diadatkan oleh ALLAH iaitu apabila ada api maka diadatkan oleh ALLAH ada hangus tetapi bukan api itu yang menghanguskan pada hakikatnya.
Keempat – empat perkara tersebut wajib dinafikan daripada ALLAH iaitu ALLAH menjadikan sesuatu itu tidak dengan zuhul , tidak dengan ghaflah , tidak dengan ta’lil perbuatan makhluk dan tidak dengan tabiat sesetengah makhluknya.Tetapi semuanya berlaku hanya dengan kehendak-NYA semata – mata.
Jabatan Imigresen Negeri Melaka
12 September 2011
1.10pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment