Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Monday, August 15, 2011
Di Ambang Ramadhan Part 3 : Apakah Ramadhan Tahun Ini Ramadhan Terakhir Bagi Ku ?
Ramadhan bakal menjelang. Namun kita belum pasti dipertemukan dengan Ramadhan yang hanya beberapa hari sahaja lagi. Namun hendaklah kita memanjatkan doa agar direzkikan bertemu dengan Ramadhan yang penuh berkat. Lantas hendaklah kita perkemaskan diri agar Ramadhan yang bakal kita tempohi ini tidak dipersia-siakan. Anggaplah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita. Kerana kita belum tentu bertemu di Ramadhan yang akan dating. Maka hendaklah kita jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang paling bermutu, paling berkualiti dalam hidup kita.
Marilah kita mengulangkaji bersama-sama beberapa adab dalam berpuasa semoga puasa kita itu nanti menjadi penanda aras kepada mutu Ramadhan yang kita tempohi.
ADAB-ADAB SUNAT PUASA
1. Bersahur dan mengakhirkan sahur : Bersahur merupakan amalan sunat berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Anas r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sahur adalah berkat kerana ia membantu menguatkan orang yang berpuasa. Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan mengakhirkan waktu bersahur. Diriwayatkan daripada Zaid bin Thabit bahawa beliau berkata:
“Kami telah bersahur bersama Rasulullah s.a.w., kemudian kami bangkit untuk solat (subuh). Dan kadar antara azan (subuh) dan sahur ialah sekadar (bacaan) lima puluh ayat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Seseorang itu sudah dikira bersahur walaupun dengan minum seteguk air. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sahur itu berkat, maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seorang antara kamu (hanya) meneguk seteguk air.” (Riwayat Ahmad)
2. Mempercepatkan berbuka puasa apabila terbenamnya matahari. Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Kekallah umatku dengan kebaikan selagimana mereka mempercepatkan berbuka puasa.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitu juga disunatkan berbuka puasa dengan tamar. Sekiranya tiada tamar maka sunat dengan air. Sunat juga berdoa ketika berbuka.
3. Sunat beriktikaf sepanjang bulan Ramadhan khususnya pada sepuluh hari terakhir Ramadhan.
4. Tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan tujuan puasa. Puasa bukanlah sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah sama ada berupa iktikad, perbuatan atau pertuturan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengamalkannya maka Allah tidak berhajat pada apa yang ia tinggalkan dari makanan dan minumannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah s.a.w. juga memerintahkan kepada orang yang berpuasa sekiranya berhadapan dengan celaan atau permusuhan maka hendaklah ia sabar dan berkata: “Aku berpuasa.”
5. Tadarus Al-Quran. Jibrail a.s. bertadarus Al-Quran dengan Rasulullah s.a.w. pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan.
PERKARA YANG HARUS KETIKA BERPUASA
1. Menjirus kepala: Ini kerana terdapat hadith yang mengharuskan orang yang berpuasa berbuat demikian. Antaranya hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Abdul Rahman di mana sesetengah sahabat Nabi s.a.w. menceritakan kepadanya bahawa mereka berkata:
“Sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah s.a.w. menjirus air ke atas kepalanya dan baginda berpuasa, (demikian itu) kerana dahaga atau kerana kepanasan.” (Riwayat Ahmad, Malik dan Abu Daud)
2. Menitikkan sesuatu ke dalam mata sama ada rasanya boleh dirasai di halkum atau tidak. Ini kerana mata bukanlah lubang rongga yang berhubung dengan halkum. Pendapat inilah yang dipegang di dalam Mazhab Syafie dan Ibn Munzir menghikayatkan pendapat yang sama dari Abu Hanifah, Ata’, Hassan, Al-Nakhaie serta Al-Auzai’e Inilah juga pendapat Daud Al-Zaahiri.
3. Makan, minum dan berjimak di malam hari sehingga terbit fajar. Harus juga kepada orang yang berpuasa mengakhirkan mandi junub sehingga selepas terbit fajar. Begitu juga kepada wanita yang datang haid dan nifas, adalah harus melewatkan mandi wajib sehingga selepas terbit fajar walaupun darahnya berhenti pada malam hari.
4. Merasai makanan tanpa menelannya. Ulama-ulama Mazhab Syafie berpendapat bahawa sekiranya seseorang berhajat untuk merasai makanan seperti untuk diberikan kepada anaknya yang kecil, maka harus dilakukan kerana dharuriah. Kata Imam Ahmad bin Hanbal: “Aku lebih suka jika dapat dihindari dari merasai makanan, tetapi sekiranya dilakukan maka tidaklah mengapa.”
PERKARA YANG MAKRUH KETIKA BERPUASA
1. Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudu’ secara berlebih-lebihan. Imam Syafie dan sahabat-sahabat dalam Mazhab telah sepakat bahawa disunatkan kepada orang yang berpuasa berkumur-kumur dan membasuh hidung ketika berwudu’ tetapi makruh berlebih-lebihan. Pendapat yang paling sahih dalam Mazhab Syafie ialah sekiranya berlebih-lebihan ketika melakukannya hingga menyebabkan air masuk ke dalam rongga maka batal puasa berdasarkan hadith:
“Apabila engkau membasuh hidung (ketika berwudu’) maka buatlah bersungguh-sungguh kecuali ketika engkau berpuasa.”
2. Menyambung puasa seperti tidak berbuka selama dua hari berturut-turut. Hukumnya adalah makruh menurut Jumhur Ulama’. Manakala pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie pula ialah hukumnya haram.
3. Bagi suami isteri yang berada pada peringkat usia muda, adalah makruh mencium isteri kerana ditakuti akan merangsang naluri dan membawa kepada perkara yang membatalkan puasa.
4. Makruh bersiwak (berus gigi) selepas gelincir matahari menurut Imam Syafie dan Ahmad.
Semoga kita memperbaiki mutu puasa kita di ramadhan yang bakal menjelang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment