Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Saturday, August 13, 2011
Di Ambang Ramadhan 1432H Part 2
ALLAH telah memberikan kelebihan yang banyak kepada bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyeru pun menyeru: “Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah!, dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah!, dan (yang ikhlas) kerana ALLAH, akan dibebaskan dari api neraka, dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam (Ramadhan). (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Hadis ini menerangkan beberapa keistimewaan bulan Ramadhan, antaranya akan dibuka semua pintu syurga untuk menerima amalan-amalan soleh yang begitu banyak yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Begitu juga akan ditutup semua pintu neraka kerana sedikitnya bilangan maksiat yang dilakukan oleh orang mukmin pada bulan ini. Syaitan-syaitan pula akan diikat apabila tiba bulan Ramadhan. Kelebihan bulan Ramadhan juga ialah difardhukan puasa di dalamnya. Puasa merupakan setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. dan puasa juga penghapus dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan.
Dalam sebuah hadis, dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan2, akan diampun segala dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Antara keistimewaan puasa juga, ALLAH SWT. akan menggandakan pahala orang-orang yang berpuasa melebihi amalan-amalan lain di mana kadarnya hanya diketahui oleh ALLAH. Sabda Rasulullah SAW:
“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, ALLAH Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-KU dan AKU sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua ke-gembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi ALLAH daripada bau Musk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ganjaran di akhirat bagi orang yang berpuasa tentunya lebihbesar, kerana nikmat dunia walau sebesar mana sekalipun tidak mungkin menyamai sekecil-kecil nikmat akhirat. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dipanggil ‘Al-Rayyan’, masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat, tidak boleh masuk melaluinya seseorangpun selain mereka, diseru: “Mana orang-orang yang berpuasa?” maka merekapun bangun, tidak akan masuk melaluinya seorang pun selain mereka, maka apabila mereka (orang berpuasa) masuk, pintu itu akan ditutup, maka tidak boleh masuk melaluinya seorang pun.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Imam Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumiddin’ menyebut : “Puasa ada tiga kedudukan: puasa al-umum, puasa al-khusus dan puasa khusus al-khusus.
Puasa al-umum ialah menahan perut dan kemaluan dari memenuhi kehendak syahwat.
Puasa al-khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan dari melakukan dosa.
Manakala puasa khusus al-khusus ialah menahan hati dari keinginan yang buruk dan dari memikirkan sesuatu selain dari ALLAH secara total. Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara-perkara selain dari ALLAH dan hari akhirat. Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk dalam bekalan akhirat dan bukan urusan dunia. Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata:
Sesiapa yang pada siang Ramadhan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, maka ditulis satu kesalahan, kerana ianya lahir dari sikap kurang percaya kepada pemberian ALLAH dan kurang yakin terhadap rezekinya yang telah dijanjikan.
Tahap puasa seperti ini ialah tahap para Rasulullah, al-Siddiqin dan al-Muqarrabin. Puasa seperti ini ialah tahap para Rasulullah, al-Siddiqin dan al-Muqarrabin. Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.”
Menurut Imam al-Ghazali juga bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh maka perlu menyempurnakan 6 perkara iaitu :
1. Menundukkan pandangan dan menahan dari melihat perkara yang tercela dan dibenci oleh syariat serta dari segala perkara yang boleh menggangu dan melalaikan hati dari mengingati ALLAH SWT..
2. Memelihara lidah dari menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, memperbanyakkan zikir dan membaca al-Quran.
3. Menahan dari mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang diharamkan dituturkan maka haram juga didengar. Justeru, ALLAH menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya:
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah al-Maidah: 42)
4. Menahan anggota tubuh badan dari melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki dari perkara yang dilarang dan menahan perut dari perkara-perkara syubhat ketika berbuka. Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahannya dari makanan halal tetapi berbuka dengan makanan haram.
5. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan tersebut. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh ALLAH dari perut yang penuh dengan makanan halal. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu mematahkan keingginan syahwatnya dan mengalahkan musuhnya sedangkan ketika berbuka ia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika ia berpuasa pada siang harinya. Hingga sesetengah mereka memakan makanan yang tidak biasa dimakannya ketika hari tidak diwajibkan berpuasa.
6. Hendaklah timbul dalam hatinya rasa takut dan penghargaan kepada ALLAH, kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima oleh ALLAH dan termasuk di kalangan orang yang berjaya, ataupun puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang yang celaka.
Justeru itu, apakah tingkatan puasa yang ingin kita laksanakan nanti ? Puasa khusus al-khusus ? Puasa al-khusus ? Atau sekadar puasa al-umum sahaja ?
Terakhirnya, ayuh kita sambung mengulangkaji lagi akan bab Puasa sebagai persiapan kita di ambang Ramadhan ini.
Puasa ertinya: Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan. Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.
Dalil perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:
Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.
Syarat Wajib Puasa:
1) Islam
2) Mukallaf
3) Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4) Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.
Syarat Sah Puasa :
1) Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2) Suci dari haid dan nifas.
3) Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4) Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Syaaban).
Rukun Puasa:
1) Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.
2) Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnyamfajar sampai terbenamnya matahari.
Perkara Yang Membatalkan Puasa:
1) Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.
2) Muntah dengan sengaja.
3) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
4) Haid atau nifas.
5) Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hokum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).
6) Murtad (keluar dari Islam).
7) Gila (hilang akal).
Orang Yang Diizinkan Berbuka dan Tidak Berpuasa
1. Orang yang sakit
2. Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 2 marhalah atau 91km
3. Orang tua yang sudah lemah
4. Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak.
Kita stop dulu, dah time boarding. InsyaALLAH kita sambung lagi nanti dengan soal jawab Frequently Asked Questions tentang bab puasa.
Sebar-sebarkanlah info ini jika ada manfaat.
KLIA
13 Julai 2011
7.27 am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment