Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Friday, October 29, 2010
Bicara Cinta 3
MENCINTAI ALLAH YANG MAHA PENGASIH
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬
Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al Imran :31)
Sabda Rasulullah SAW : Di antara doa Nabi Daud AS ialah: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menghantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” Dan bila Rasulullah SAW mengingat Nabi Daud AS beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” (HR Tirmidzi 3412
Sabda Rasulullah SAW : Bila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah berseru kepada Jibril: “Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia.” Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru kepada penghuni langit: ”Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka kalian cintailah dia.” Penghuni langitpun mencintainya. Kemudian ditanamkanlah cinta penghuni bumi kepadanya.” (HR Bukhari 5580)
Cinta kepada ALLAH tidak menjanjikan kekecewaan dan kesengsaraan. Sebaliknya cinta kepada ALLAH membawa kepada ketenangan dan kedamaian, kerana cinta mu pastikan berbalas. Di balas oleh Sang Pencipta Cinta iaitu ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG. Dengan cinta-NYA kepada diri mu, maka cinta mu berbalas dengan nikmat dan pengampunan oleh NYA.
Dan ingatlah, bahawa cinta hakiki hanya tercapai setelah cinta ALLAH bertakhta di hati. Tatkala, cinta ALLAH bertakhta di hati, hilanglah kecintaan kepada dunia dan nafsu. Maka tidak hairanlah Zulaikha mengabaikan Yusof yang segak dan tampan kerana hatinya telah meraih cinta ILAHI. Tidak hairan juga mengapa Handzalah bin Abu Umair meninggalkan Jamilah binti Abdullah bin Ubai di ranjang kamar semata-mata memburu syahid agar tertunai cintanya kepada ALLAH Yang Maha Indah. Tidak hairan juga mengapa Saidina Abu Bakar As Siddiq ra mengorbankan seluruh hartanya demi perjuangan Islam sebagai mahar cintanya kepada ALLAH Yang Maha Kaya.
Demi cinta, segala-galanya dikorbankan agar apa yang dingini dan disenangi Yang Di Cinta terlaksana oleh yang mencintai.
Cinta seorang hamba kepada Raja adalah berbentuk kesetiaan dan ketaatan. Sejauh mana cinta dan kasih seorang hamba kepada Rajanya, maka di situ juga imbuhan yang bakal di terima seorang hamba daripada Raja sebagai membalas jasa-jasanya
Maka kecintaan seorang makhluk kepada Al Khaliq, lebih tulus dan mulus kerana kecintaan seorang hamba ALLAH kepada ALLAH menuntut, ketaatan dan kesetiaannya dibenarkan oleh hati, dilafazkan dengan lisan dan dizahirkan dengan amal perbuatan. Hati membenarkan dengan iman. Lisan melafazkan kata-kata yang mendapat keredhaan ALLAH dan amal peruatan dizahirkan dengan melaksanakan segala titah perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan ALLAH. Inilah bukti kecintaan seorang hamba kepada ALLAH. Itulah penjabaran cinta, di dasarkan kepada ketaatan dan kepatuhan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW
Buktikanlah kecintaan mu kepada ALLAH Yang Maha Pencinta dengan melaksanakan segala suruhan-NYA sama ada yang wajib dan sunat. Perkara yang sunat walau pun tampak remeh, tetapi di situ letaknya perhatian dan kasih sayang ALLAH Yang Maha Agung. Buktikanlah kecintaan mu kepada ALLAH Yang Maha Kuasa dengan meninggalkan segala larangan-NYA sama ada yang haram mahu pun yang makruh. Perkara makruh walau tidak mengundang dosa, tetapi di situ titik tolak lahirnya kebencian ALLAH Yang Maha Suci. Lantas berkorbanlah segala jiwa dan raga mu demi mencintai ALLAH. Tunaikanlah haq-haq beragama dalam menegakkan hablumminallah dan hablumminannas sebagai tanda engkau mencintai-NYA.
Sahl Ibnu Abdullah, seorang sufi besar berkata : Di antara tanda-tanda cinta kepada ALLAH ialah cinta kepada Al Quran. Tanda cinta kepada ALLAH dan cinta kepada Al Quran ialah cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Tanda cinta keapda Nabi Muhammad SAW ialah mencintai sunnah baginda. Tanda cinta kepada sunnah ialah mencintai akhirat. Tanda mencintai akhirat ialah membenci dunia. Tanda membenci dunia ialah tidak mengambil bahagian dunia sedikit pun kecuali untuk keperluan hidup dan saraan untuk mencapai akhirat.
Al Quran adalah warkah cinta dari KEKASIH buat kekasih. Melihatnya adalah sumber hidayah. Membacanya mendamaikan jiwa. Menghayatinya mengobarkan semarak cinta. Mengamalkan isi kandungannya adalah keselamatan dunia dan akhirat. Justeru itu perbanyakkanlah membaca, menghayati maknanya serta mengamalkan kandungan Al Quran agar usaha mu meraih cinta ALLAH di permudahkan. Dan kemuncak dalam mencintai ALLAH ialah memperjuangkan isi kandungan AL Quran ke tengah masyarakat agar masyarakat terdidik dan beroleh cinta ALLAH. Kerana cinta ALLAh tak mungkin habis dan cinta ALLAH bukan milik kita seorang. Sejauh mananya cinta ALLAh di hati, segigih itulah kita memperjuangkan warkah cinta ALLAH ke tengah masyarakat, agar masyarakat terdidik dengan titah perintah ALLAH. Tatkala cinta ALLAH bertakhta di hati masyarakat, di situlah nikmat dan pengampunan ALLAH datang bertamu. Maka wujudlah negeri yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.
Wahai diri,
Ingatlah ......
Dalam mencari cinta ... perlu berjuang ..... dan perjuangan menagih pengorbanan .... pastinya akan ada yang terkorban.
Wahai diri,
Sudahkah engkau bersedia mengorbankan nafsu dan dunia mu demi meraih cinta ALLAH ?
Pastinya hati dan nafsu mu tersiksa kerana kelazatan nafsu akan terhapus .... walau tampak perit dan menderita .... kerana nafsu dan dunia itu hanya nikmat fatamorgana yang sementara kerana disebaliknya hanya menjanjikan kekecewaan yang menyiksa ... sedangkan andainya nafsu dan dunia dikorbankan .... deritanya di dunia hanya sementara tetapi nikmat kemanisan berkekalan di syurga .....
Ayuh kita tanya diri kita, apakah aku mencintai ALLAH ? Andainya jawapan mu YA, mengapa engkau masih bermaksiat kepada ALLAH ? ...
Wahai para mujahid maralah ke hadapan
Kerahkanlah tenagamu dan jua fikiran
Korbankanlah harta mu sekalipun jiwa raga
Teguhkan keyakinan teruskanlah perjuangan
Wahai para mujahid janganlah terpengaruh
Ujian nikmat hidup duniawi
Biarpun ianya begitu indah
Namun hanya sementara
Memang berjuang itu terkorban
Kerana kita berjuang untuk berkorban
Itulah asam garam perjuangan
Syarat mendapat cinta ALLAH
Wahai para pejuang kebenaran
Suburkanlah semangat juangmu
Setiap masa sepanjang hayatmu
Dengan irama hiburan ini
Tempuhilah penderitaan
Di dalam perjuangan
Kerana itu adalah penghapus dosamu
Berjuang kerana ILAHI
Walaupun sedikit tetap kan dinilai
Sebagai amalanmu yang soleh
Madrasah Darus Syifa
30 Oktober 2010
4.45am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment