Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Monday, October 25, 2010

Khas Untuk Tetamu Baitullah : Mencari Cinta


Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)



Iman adalah membenarkan secara putus (jazam) tanpa ragu sedikitpun dengan apa yang datang daripada Rasulullah SAW. yang diikuti dengan ketundukan hati dan ketenteraman jiwa menerima ketentuannya tanpa perasaan degil dan takabbur.



Terkadang-kadang terdapat iman yang jazam pada seseorang dan tidak ada keraguan sedikitpun terhadap kebenaran yang datang daripada Rasulullah SAW. tetapi sayangnya terkadang kadang iman tersebut diikuti oleh rasa sombong dan enggan serta tidak mahu melaksanakan apa yang diyakininya itu. Maka dalam keadaan seumpama ini, dia belum digolongkan sebagai orang yang beriman.



Juga terdapat orang yang memiliki iman yang jazam tanpa sedikitpun ada perasaan ragu, malahan dia tidak mempunyai sifat degil dan takabbur terhadap apa diyakininya. Tetapi sayangnya kita lihat orang tersebut tenggelam ke dalam dunia kelalaian, dia tidak pandai menilai kadar iman sebagaimana semestinya, dia lalai untuk menunaikan kewajiban mensyukuri nikmat tersebut. Manusia seperti inilah yang dikatakan orang yang beriman atau " mukmin " yanq belum mendapatkan " kemanisan iman ".



Hadis sahih yang termaktub diatas menjelaskan kepada kita beberapa tanda orang-orang yang akan dapat merasakan kemanisan iman. Marilah kita berusaha menghiasi diri kita masing-masing untuk memiliki kesemua tanda-tanda tersebut semoga kita boleh hidup bahagia di dunia dan di akhirat.



Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman.



Hadis ini mengandunqi asas-asas utama bagi semua pintu kebaikan. Kemanisan iman adalah sesuatu yang dapat dirasakan oleh mukmin yang tenteram jiwanya terhadap nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.



Dengan kemanisan iman seseorang dapat menghadapi hidup dengan penuh ceria. Keimanannya dapat membimbing dirinya untuk menghadapi kehidupan ini walau bagaimanapun keadaan yang menimpanya. Jika sedang ditimpa kesusahan dia boleh bersabar, dan dia dapat merasakan nikmat kesabaran. Dan jika dia mendapat nikmat kesenangan maka ia pandai bersyukur, dan dia dapat merasakan nikmat kesyukuran. Dia meyakini bahawa segala yang menimpanya apakah baik atau buruk adalah telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu ia dengan jiwa tenang dapat menghadapi semua keadaan dengan rasa redha.



Kalaulah begitu besar nikmat yang dia dapat rasakan ketika di dunia lantaran kemanisan iman yang dimilikinya, sudah pasti lebih besar lagi nikmat yang bakal dia terima di sisi Allah kelak di akhirat.



Syarat pertama dalam usaha meraih kemanisan iman adalah : Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya.



Cinta ialah kecenderongan jiwa seseorang kepada sesuatu yang boleh memberinya kelazatan, manfaat atau pun sesuatu yang mampu memenuhi rasa fitrah dalam hati seseorang. Ada beberapa sebab yang boleh menimbulkan rasa cinta seseorang. Menurut Imam Al Ghazali bahawa ada 5 sebab yang mendorong terbit perasaan cinta seseorang:



■Cinta manusia kepada dirinya, kewujudannya, keberkekalan dan kesempurnaannya.
■Cinta manusia kepada orang yang berbuat ihsan kepadanya dan orang yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya.
■Cinta manusia kepada orang yang suka berbuat ihsan semata-mata kerana ihsan yang pernah dilakukan terhadapnya. Walaupun dia sendiri tidak berhajat kepada ihsan orang tersebut.
■Cinta manusia kepada kecantikan dan keindahan. Keindahan yang memikat ada yang hissy (fizikal) seperti keindahan warna warni bunga dan binatang, dan ada pula yang maknawy (abstrak) seperti akhlak yang luhur dan sifat mulia dari seseorang umpamanya: berilmu, cerdik, berani, adil, sabar, cekal dan lain lain.
■Cinta manusia kepada seseorang disebabkan kerana orang yang dicintainya itu memiliki persamaan sifat dengannya, walaupun semua sebab terdahulu atau sebahagiannya tidak wujud pada orang tersebut. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW.: Roh-roh adalah tentera tentera yang dipersenjatakan, maka apa yang sesuai dengannya dia akan mesra dan apa yang bercanggah dengannya dia akan berbeza.


Dan jika kita amat amati sebab sebab cinta diatas dengan teliti nescaya kita dapati kesemua sebab itu mewajibkan seorang beriman yang benar-benar mengenali Tuhannya untuk mencintai Allah dengan kadar cinta yang tidak ada tolok bandingannya. Kerana di situ terserlah keagungan dan kekuasaan Allah yang menciptakan keindahan dan kecintaann dalam diri makhluk-Nya.


Buah atau kesan cinta seseorang kepada Allah akan menimbulkan ketaatannya kepada Allah yakni melaksanakan suruhan Nya dan menjauhi laranqan-Nya. Tetapi perlu diingat bahawa terdapat perbezaan antara taat kerana cinta (mahabbah) dengan taat kerana mengharap dan takut (rakhbah dan Rahbah).





Diriwayatkan bahawa Nabi Isa AS. pernah melalui suatu kaum yang sedang beribadah kerana takut kepada Allah atau kerana mengharap syurga, lalu Nabi Isa AS berkata: Sesungguhnya kamu takut kepada makhluk dan mengharap kepada makhluk. Kemudian Isa meneruskan perjalanannya dan lalu pada suatu kaum yang sedang beribadah. Mereka berkata: Kami beribadah kepada Allah kerana kami cinta kepada-Nya dan kerana ta'zim (mengagungkan)-Nya. Nabi Isa AS berkata: Kamu semua adalah wali-wali Allah, dan aku diperintahkan agar duduk bersama kamu.



Ini tidak bererti jika kita beribadah lalu kita tidak boleh mengharap syurga dan takut kepada kepada neraka. Itu adalah diantara sifat orang yang beriman. Ini sebagaimana firman Allah:



Lambung mereka jauh dari tempat tidur tidurnya (sering beribadah malam) sedang mereka berdoa pada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka. ( Al Sajadah : 16 )



Ayat di atas menegaskan bahawa di antara sifat orang orang yang beriman ialah mereka selalu mendirikan ibadah malam dengan beribadah sambil mengharap akan keredaan Allah dan syurga Allah dan didorong oleh rasa takut kepada murka Allah dan siksaan neraka-Nya. Hanya saja jika " rasa cinta " yang mendorong kita untuk taat kepada Allah, maka nilai ibadah itu adalah lebih tinggi kalau dibandingkan hanya sekadar kerana takut dan harap.



Adapun cinta kepada Rasulullah SAW. adalah sebahagian daripada cinta kepada Allah. Kerana bagi kita tidak ada seorangpun yang lebih kita percayai selain orang telah dipilih oleh Allah sebagai utusan-Nya. Beliau telah diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan hidayah-Nya kepada umat manusia agar kita mendapat rahmat-Nya. Bagindalah orang yang paling berjasa menyelamatkan kita daripada kegelapan (kekufuran dan syirik) kepada cahaya terang benderang (Islam dan hidayah). Bagindalah yang telah membimbing kita untuk menuju kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat.



Abdullah Bin Al Mubarak berkata:



Para ‘ulama lebih utama daripada ibu bapa kamu. Mereka bertanya: Mengapa demikian (wahai tuan) ? Beliau menjawab: Ibu bapa kamu memelihara kamu dari api (kesusahan) dunia, sedangkan para ‘ulama pula memelihara kamu dari api (kesusahan) akhirat.



Demikianlah peranan dan jasa para ‘ulama yang ikhlas yang telah membimbing manusia agar memiliki akidah yang betul agar terhindar dari syirik dan khurafat, yang telah mengajar mereka cara ibadah yang betul sehingga terhindar dari perbuatan bid’ah, yang telah mengajar mereka budi pekerti yang mulia sehingga dengan demikian, mereka bukan saja terhindar daripada kesusahan di dunia tetapi juga akan terhindar daripada azab Allah yang amat pedih di akhirat. Dan kalaulah demikian peranan para ‘ulama, sudah tentu peranan Rasulullah SAW jauh lebih besar dari itu kerana semua ajaran para ‘ulama bersumber daripada ajaran Rasulullah SAW.



Jadi mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada mencintai yang lain, maksudnya ialah kita mestilah mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kita kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, saudara mara, hatta terhadap diri kita sendiri. Dan selanjutnya kecintaan kita yang mendalam itulah yang mendorong kita untuk berbakti kepada Allah dan Rasul-Nya



Syarat kedua dalam merasai kemanisan iman ialah dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah





Cinta jenis ini juga adalah cabang dari kecintaan seseorang terhadap Allah. Seseorang jika benar-benar cinta kepada Allah, maka kesan cintanya itu akan mendorong dia untuk suka jika orang tersebut taat kepada Allah, dan sebaliknya dia akan bersedih dan berusaha menegurnya jika rakannya itu melakukan dosa.



Ini tidak bererti jika ia mencintai seseorang kerana tujuan selain itu lalu ia terkeluar daripada iman. Hanya saja sebagai bukti kemanisan iman seseorang ialah jika dia cinta kepada seseorang semata-mata kerana Allah, dan jika ia benci kepada seseorang juga adalah semata-mata kerana Allah.



Syarat ketiga untuk merasai kemanisan iman ialah dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan kedalam api.



Mukmin yang hakiki adalah orang yang tidak ragu lagi bahawa sekiranya dia kembali melakukan amal-amal kufur (dosa) setelah ia insaf dan mendapat petunjuk Allah (taufiq) maka tidak mustahil dia akan dilemparkan kedalam api neraka di akhirat nanti. Oleh sebab itu imannya yang mendalam mencegah dia daripada mengulangi lagi dosa-dosa lampau sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api di dunia ini. Dan sebagaimana kebenciannya kalau dirinya akan dihumban ke dalam api yang bernyala-nyala, begitu jugalah darjat kebenciannya jika anaknya, ibu bapanya, isterinya dan saudara maranya akan dilemparkan kedalam api.



Orang yang berperikemanusiaan, tatkala melihat seseorang jatuh ke dalam api, pastinya akan berusaha membantu mengeluarkan insan malang tersebut dari menjadi bahan bakaran apa sama ada mangsa yang malang itu di kenali atau tidak. Demi perasaan kemanusiaan, biasanya manusia segera akan menolongnya. Lebih-lebih lagi andainya sifat kemanusiaan itu bertunjangkan keimanan, pastinya usaha menolong dan menabur kasih sayang sesama insan tak kira warna kulit, rupa paras,bangsa, pasti akan melahirkan 1001 makrufat ke arah kebaikan demi menyelamatkan umat manusia terjerumus ke lembah neraka.



Jadi mukmin yang hakiki bukan saja benci kalau dirinya mengulangi dosa dosa silam, malahan dia juga merasa benci kalau orang lain melakukan dosa, lebih lebih lagi terhadap mereka yang mempunyai hubungan kerabat dengannya.



Ayuh kita muhasabah diri ......



Apakah Allah dan Rasulullah SAW lebih kita cintai lantas mendorong kita berlaku taat terhadap titah perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya ? Justeru itu kita turun ke gelanggang masyarakat untuk memperbaiki diri, keluarga, sahabat handai taulan, masyarakat agar kita semua beroleh kemanisan iman. Atau apakah kita masih hanya tahu Allah itu ada, namun tidak timbul walau sepicing rasa kegentaran kepada Nya ?



Apakah kita mencintai seseorang insan kerana insan tersebut amat mencintai Allah ? Atau kerana berlandaskan nafsu, lantas kita mencintainya kerana rupa paras, kerana wang dan harta, kerana keajaiban-keajaiban yang terbit darinya dan lain-lain faktor duniawi ? Andainya kita mencintai seseorang kerana cintanya dia kepada Allah dan Rasulullah SAW, pastinya kita akan turut sama berjuang dan berkorban demi menegakkan kalimah Allah di muka bumi, sebagaimana perjuangan dan pengorbanan para sahabat bersama Rasulullah SAW.



Apakah kita benci untuk kembali kepada kekufuran yang kita pernah lalui sebelum hidayah Allah menggamit hati kita ? Atau apakah hati kita masih berlakon, menzahirkan kesolehan sedangkan secara diam kita masih berlazat-lazatan dengan dosa dan kemungkaran ?



Tanyailah soalan ini tatkala kita bersendirian. Simpanlah jawapannya di hati kita buat menilai sejauh mana kita sudah mencintai Allah dan Rasul-Nya. Kerana sejauh mana rasa cinta yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya, semanis itulah yang kita rasai nikmat menjadi orang beriman.



Saudara dan saudari khususnya bakal jemaah Haji. Rebutlah peluang sewaktu di Tanah Suci untuk berusaha sesungguh hati agar kita temui cinta sejati lagi hakiki iaitu kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Jangan dipersiakan masa yang ada sewaktu disana. Kuatkan pautan hati dengan Allah. Bersabar dengan kepayahan dan kesukaran melaksanakan ibadah Haji. Redha dengan setiap ketentuan. Ikhlaskan hati dan tawadduk dalam mengerjakan amal ibadah. Ingatlah bahwa kita ini sebenarnya adalah HAMBA yang hina. Tiada daya upaya melainkan dengan kudrah dan iradah Allah SWT. Semoga saudara, saya dan umat Islam yang lain yang bertamu di Tanah Suci mendapat keampunan Ilahi. Amin Ya Rabbal Alamin.





Library USIM

19 Oktober 2010

12:45 pm


No comments:

Post a Comment