Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, October 6, 2010

TAQWA ; Nilai Manusia Di Sisi ALLAH



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬ (١٣)



Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13).



ٱلۡحَجُّ أَشۡهُرٌ۬ مَّعۡلُومَـٰتٌ۬‌ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ ٱلۡحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِى ٱلۡحَجِّ‌ۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ يَعۡلَمۡهُ ٱللَّهُ‌ۗ وَتَزَوَّدُواْ فَإِنَّ خَيۡرَ ٱلزَّادِ ٱلتَّقۡوَىٰ‌ۚ وَٱتَّقُونِ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ (١٩٧)



Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al Baqarah : 197)





۞ يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَهِلَّةِ‌ۖ قُلۡ هِىَ مَوَٲقِيتُ لِلنَّاسِ وَٱلۡحَجِّ‌ۗ وَلَيۡسَ ٱلۡبِرُّ بِأَن تَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَـٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ‌ۗ وَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِنۡ أَبۡوَٲبِهَا‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّڪُمۡ تُفۡلِحُونَ (١٨٩)





Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji dan bukanlah perkara kebajikan: Kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertakwa dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya. (Al Baqarah : 189)



Ayat yang pertama jelas dan nyata Allah menjadikan TAQWA sebagai kayu ukuran dalam menilai manusia ciptaan-NYA.



Ayat yang kedua menyatakan taqwa adalah sebaik-baik bekalan di dunia dan di akhirat. Ayat yang ketiga pula menyatakan orang yang bertaqwa adalah orang yang melakukan kebajikan.



Pokoknya di sini, apakah taqwa ?



Ada orang kata, taqwa adalah apabila seseorang itu mampu membelanjakan wang ringgit dan harta demi Islam. Pantang dia dengar ada rumah anak yatim atau madrasah yang perlukan bantuan dana, pasti dialah orang pertama yang menghulurkan sumbangan. Kalau ada di kalangan golongan muallaf yang perlukan bantuan kewangan, dialah orang pertama member sedekah. Pendekata, tersohorlah hamba Allah ini kerana sifat pemurahnya. Sifat pemurah membelanjakan wang dan bersedekah untuk Islam ini dikatakan taqwa ? Bila kita lihat orang di sekeliling kita dan gaya hidup masyarakat kita, baru kita sedar. Sifat pemurah suka bersedekah dan menderma ini, belum lagi dikatakan taqwa. Masih tidak sempurna. Sebab ramai orang yang menderma dan bersedekah, tetapi hanya untuk lari dari membayar cukai. Ramai yang menderma dan bersedkah, tetapi tidak ikhlas. Ramai yang menderma dan bersedkah, tetapi punya agenda dan kepentingan dunia. Hakikatnya, anugerah yang layak diberi ialah munfiq (dermawan). Tarafnya belum lagi menjamin kedudukan orang bertaqwa (muttaqin).



Ada orang kata, taqwa adalah apabila seseorang itu mampu berjuang dan berjihad. Mereka tidak gentar berhadapan dengan musuh. Mereka berjuang bermati-matian demi menegakkan agama Allah walau teruk tercedera. Adakah dia layak digelar orang muttaqin ? Ramai orang berjuang. Ramai orang berjihad. Tapi ada di kalangan mereka yang masih lalai melaksanakan tuntutan Fardhu Ain. Ramai orang mengaku pejuang Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka membantu ekonomi musuh Islam dengan membeli jenama-jenama barangan yang jelas dari kilang milik musuh Islam. Ramai yang mengaku pejuang, tetapi masih merasa nikmat menghirup asap rokok Marlboro dari Amerika. Ramai yang mengaku pejuang, tetapi masih dedah aurat, keluarga tidak terdidik mentaati perintah Allah dan sebagainya. Gelaran yang layak bagi orang yang sebegini ialah mujahid. Gelaran taqwa masih jauh dari layak.



Ada orang kata, taqwa ialah bila boleh buat solat sunat minima 100 rakaat sehari. Boleh zikir dan berwirid 10,000 kali sehari semalam. Boleh baca Al Quran satu juz sehari. Boleh puasa ala-ala Nabi Daud AS, sehari berpuasa, sehari berbuka. Adakah ini juga taqwa ? Ini pun belum menjamin kedudukan taqwa di sisi Allah. Sebab ramai orang kuat sembahyang sunat, kuat berpuasa sunat, kuat berwirid zikir tetapi anak-anak dididik oleh musuh Islam di sekolah milik missionary musuh Islam. Isteri sakit di rawat oleh doctor lelaki yang bukan muhrim. Gelaran yang selayak baginya adalah abid (ahli ibadah). Gelaran muttaqin masih jauh dari layak.



Ada orang kata, taqwa ialah bila boleh berdakwah ke tengah masyarakat. Boleh memberi ceramah motivasi sampai pendengar atau penonton boleh menangis dan insaf. Berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan risalah Islam sehingga ke ceruk-ceruk kampong dan pendalaman hutan belantara. Tidak ada tempat dan manusia yang tidak dia temui dalam menyampaikan risalah dakwah. Adakah ini juga taqwa ? sebenarnya, ini juga belum cukup memenuhi syarat menjadi orang bertaqwa. Sebab ramai orang berdakwah, tetapi mereka umpama burung kakaktua yang hanya pandai mengajuk kata-kata tuannya. Mereka hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai beramal. Mereka berdakwah menemui masyarakat dan menjaga kebajikan masyarakat, tetapi kebajikan nafkah anak isteri terabai.Malah tidak kurang juga ada yang meletakkan HARGA untuk mereka berdakwah. Gelaran yang selayak baginya adalah da’ie (pendakwah). Masih banyak proses yang perlu ditempuh untuk mencapai taqwa.



Ada orang kata, taqwa ialah bila boleh menulis artikel, buku, majalah bercorak Islam. Bahan media itu bersirkulasi di tengah masyarakat. Masyarakat mendapat manfaat dari tulisannya. Adakah itu taqwa ? Hakikatnya dia hanya layak mendapat gelaran karyawan. Kerana ramai orang menulis, tetapi tulisannya hanya dari teori yang ada di minda. Untuk dia mengimplementasi dan beramal dengannya terlalu sukar. Masih banyak proses dan peringkat yang perlu di lalui untuk mencapai taraf taqwa.



Jadi apakah taqwa ?



Suatu hari, seorang sahabat bertanya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib k.w. tentang apa itu taqwa. Beliau menjelaskan bahwa taqwa itu adalah :

1. Takut (kepada Allah) yang diiringi rasa cinta, bukan takut karena adanya neraka.

2. Beramal dengan Al Quran iaitu bagaimana Al Quran menjadi pedoman dalam kehidupan sehari-hari seorang manusia.

3. Redha dengan yang sedikit, ini berkaitan dengan rezki. Bila mendapat rezki yang banyak, siapa pun akan ridho tapi bagaimana bila sedikit? Yang perlu disedari adalah bahwa rezki tidak semata-mata yang berbentuk wang atau material.

4. Orang yg menyiapkan diri untuk "perjalanan panjang", maksudnya adalah hidup sesudah mati.



Sabda Rasulullah SAW :



Seorang hamba tidak dapat mencapai derajat taqwa (muttaqin) sehingga meninggalkan apa yang tidak berdosa , semata-mata karena khawatir terjerumus dalam dosa (H.R. At-Tirmidzi, Ibnu Majah)



Pendekata, taqwa ialah kita lakukan apa yang Allah perintah sama ada yang wajib mahu pun sunat, dan kita tinggalkan apa yang Allah larang sama ada yang haram mahu pun makruh, serta kita jadikan perkara yang harus ibadah setelah menempuh syarat-syarat tertentu.

Mengapa sifat taqwa ini perlu ? Kerana hanya taqwa yang diniliai di sisi Allah. Dengan adanya taqwa maka layaklah kita untuk mendapat cinta dan kasih sayang Allah.



Antara kelebihan orang bertaqwa ialah :



1. Mendapat ilmu yang bermanfaat. Firman Allah, Surah Al Baqarah : 282

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu berjual beli dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.





2. Lepas dari masalah kehidupan ; Firman Allah, Surah At Thalaq ayat 2



Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)





3. Mendapat rezeki dari sumber-sumber yang luarbiasa, Firman Allah, Surah At Thalaq ayat 3



Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.



4. Urusannya dipermudahkan. Firman Allah, Surah At Thalaq ayat 4 :

Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.



5. Mendapat pembelaan dari Allah. Surah Al Jatsiyah : 19



Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah) dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertakwa (yang engkaulah pemimpinnya)



6. Amal ibadah diterima. Al Maaidah : 27



Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa



7. Mendapat berkat dari langit dan bumi



Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan



8. Mendapat bekalan dunia dan bekalan akhirat



(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah) dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).



9. Mewarisi bumi (kekayaan, kekuasaan, kehormatan) , Al Anbiya : 105



Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.



10. Mendapat bantuan Allah. Surah Ar Rum : 47



Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.







Bagaimana hendak mendapat sifat taqwa ?



Untuk mendapat sifat taqwa, hanya dengan menempuh jalan iman. Jalan iman ini saya ada menulis dalam notes di link berikut ( http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/jalan-iman.html). Saya ringkaskan :



1. Menimba ilmu, bermula dengan ilmu fardhu ain seterusnya ilmu fardhu kifayah dan beramal dengannya.

2. Bertaubat, sama ada taubat atas dosa kepada Allah, mahu pun dosa sesama manusia.

3. Bersifat zuhud dan bermujahadah ke atas perkara-perakara yang menghalang untuk beribadah iaitu dunia, manusia, syaian dan nafsu.

4. Bersabar dan bertawakal ke atas perkara yang memesongkan ibadah iaitu kerisauan ke atas rezki, kekhuatiran masa depan, musibah yang melanda dan qadha & qadar dari Allah.

5. Mengimbangi sifat khauf dan raja' dalam mendorong diri dalam beribadah.

6. Bersifat tawadduk rendah diri dengan nikmat yang diperolehi agar terhindar dari rasa ujub dan riya'.

7. Mengucapkan puji dan syukur kep hadrat Allah atas nikmat yang diberi-NYA, dan nikmat yang terbesar anugerah-NYA ialah nikmat iman dan Islam.





Dalam menempuh jalan iman, kita harus berhadapan dan berlawan dengan lima musuh orang beriman ( Musuh Orang Beriman Part 1 , Musuh Orang Beriman Part 2. , Musuh Orang Beriman Part 3 )



Maka berjuang dan berjihadlah kita agar kita berjaya melaksanakan yang wajib dan sunat, dan mampu meninggalkan yang haram dan makruh, serta mengikis sifat-sifat mazmumah dalam diri kita untuk digantikan denagn sifat mahmudah. Kita mampu melaksanakan perintah fardhu ain dan fardhu kifayah. Kita mampu memperindahkan amal ibadah kita dengan ibadah sunat. Dan kita memperelokkan dengan meninggalkan yang haram dan makruh. Agar setelah kita Islam dan beriman, maka gearan muttaqin pula kita raih dalam mengejar cinta Allah dan Rasulullah SAW.



Madrasah Darus Syifa

2 October 2010

6.45pm


No comments:

Post a Comment