Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Monday, October 25, 2010
Kemiskinan Itu Hiburan Ku
December 2004 …. Aku membawa keluarga ku berpindah dari Kota Tinggi ke suatu daerah asing buat kami. Bersempadan dengan Melaka dan Negeri Sembilan. Tiada sanak saudara. Tiada handai taulan.
Dua bulan sebelum kami berpindah, aku sudah mula merisik-risik kawasan di daerah tersebut. Pada 9 November 2004, aku bertolak dari Nilai jam 6.00 pm menuju ke Kota Tinggi. Dalam perjalanan aku singgah ke daerah tersebut untuk mendapatkan alamat rumah yang bakal aku dan keluarga ku duduki.
Kehidupan di sebuah daerah yang lengang … terpencil …. sunyi …. Tak ramai golongan remaja dan belia. Malah di kawasan rumah yang kami beli, keluarga ku dikelilingi oleh cikgu pencen, DO pencen, doctor pencen, magistrate pencen, Ketua Polis pencen, Pegawai Kerajaan pencen, pegawai tentera pencen dan segala-galanya adalah orang yang sudah pencen.
Kehadiran ku di daerah ini perlu dimaklumkan masyarakat setempat. Kena ada ada lokasi yang sesuai. Tempat sasaran ku …. Masjid … tapi amat kurang orang ke masjid. Yang ada cuma … orang-orang yang pencen yang sudah uzur. Itu pun boleh dikira dengan jari. Hari pertama kami mendiami kawasan itu, aku bersama dua orang anak lelaki yang berumur 5 dan 7 tahun ke masjid untuk bersolat Maghrib. Seusai solat maghrib, para jemaah yang boleh di kira dengan jari bertebaran pulang. Mungkin mereka mengejar Berita Jam 8 … itulah bisik hati ku. Yang tinggal dua atau tiga orang warga emas yang sibuk bersolat sunat dan membaca Al Quran. Tidak sempat aku hendak berkenalan dan bermesra dengan mereka. Lalu aku duduk sendirian di ruang solat membaca wirid aurad sambil ditemani dua anak-anak di kiri dan kanan ku, menanti solat Isya menjelang.
Hari kedua …. Rutin yang sama aku ke masjid. Dan juga rutin yang sama oleh ahli jemaah masjid. Dan rutin yang sama juga aku membaca wirid aurad sambil ditemani anak-anak ku. Hari ketiga rutin yang sama. Begitulah di hari-hari seterusnya.
Hari keenam … sedang aku membaca wirid aurad, tiba-tiba aku di sapa seorang tua berjanggut putih yang kemas di trim. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Cikgu Ahmad. Dia duduk hampir dengan ku. Lantas di peluk dan dicium anak-anak ku sambil memuji ketampanan dan kekemasan anak-anak ku berserban.Hati nakal ku berkata "Mengapa situa ini hanya memuji anak2 ku tampan berserban dan tidak memuji si ayah yng juga tampan berserban ? hehehehe" ..... Dia bertanya aku, wirid apa yang aku baca ? Aku menjawab Aurad Muhammadiah. Dia tersenyum. “Saya amal tareqat Ahmadiah, ijazah dari Sheikh Mustaza” ujarnya. Dari situ kami mula berkenalan dan bermesra. Saling bertukar-tukar pandangan. Malah terlalu banyak persoalan yang ditimbulkan berkenaan Aurad Muhammadiah, yaqazah, Imam Mahdi, Arqam dan aku bersyukur jawapan yang aku berikan boleh di terimanya.
Biodata Cikgu Ahmad adalah bekas pengetua sebuah sekolah berasrama penuh. Sudah pencen sejak 8 tahun yang lalu. Anak-anaknya semua sudah berjaya dan menjawat jawatan tingi kerajaan. Sejak perkenalan dengan Cikgu Ahmad, rutin hidup ku berubah. Andainya dulu seusai solat Isya, aku akan menghabiskan wirid di atas sejadah. Kini aku terpaksa melayan sahabat-sahabat baru dari kelompok warga emas. Restoran mamak berhampiran masjid itulah menjadi port kami berkumpul dan melepak selepas solat Isya. Secara tak langsung, tertubuh kelab warga emas di kawasan kediaman ku yang di taiko-kan oleh diri ku hehehe. Yang paling aku kagum, ahli-ahli kelab itu semua "berisi". Ada yang berisi Naqsyabandiah, Samaniah, Rifai'ah, Ahmadiah Idrisiah dan lain-lain. Dan kami sering berbual dan berbincang akan peranan ahli-ahli zikir dalam mendidik masyarakat dan memperbaiki mutu keimanan sambil membendung gejala sosial.
Sehingga suatu masa Cikgu Ahmad bersuara. Dia mempunyai sebidang tanah dan ingin di waqafkan untuk buat projek amal jariah, buat tanah kubur atau pusat jagaan warga tua. Secara spontan aku menjawab sambil membuat usul, “BOLEH ! Dan kalau hendak lebih berbaloi pahala, kita buat sekolah tahfiz untuk anak yatim piatu dan fakir miskin. ” Ujar ku.Terkebil-kebil mata ahli kelab warga emas mendengar saranan ku ....
Pak Bad bertanya : Apasal nak buat untuk anak yatim piatu ? Susah nak cari anak yatim piatu.
Aku menjawab : Kita buka sekolah untuk anak yatim piatu, nanti kalau kita dera mereka sampai ada yang patah tangan dan kaki, mak bapak dia orang tak leh nak marah sebab dah mati. (Jawab ku dalam mode merapu)
HAHAHAHAHAHAHA …. Suara ahli kelab warga emas tergelak dengan jawapan merapu ku.
Kemudian aku bilas jawapan merapu ku dengan jawapan yang lebih serius.
Aku : Anak yatim ini, mereka sudah tak ada ibu dan ayah. Mereka sudah tidak ada tempat hendak bergantung dan berkasih sayang. Mereka dah tak ada siapa untuk mereka mengadu. Maka tempat mereka bergantung dan berkasih sayang hanyalah pada ALLAH. Mereka mengadu juga kepada ALLAH. Jadi bila kita buka sekolah tahfiz anak yatim piatu, mereka bukan menumpang berteduh di tanah dan bangunan kita. TETAPI kita yang menumpang berteduh atas rahmat dan kasih sayang ALLAH pada mereka. Dan mereka akan mengadu kepada ALLAH akan kebajikan yang kita lakukan ke atas mereka. Mana tahu di akhirat nanti ALLAH akan menjaga kebajikan kita di akhirat berkat usaha murni kita menjaga kebajikan mereka.
Terhangguk-hangguk kepala ahli kelab warga emas mendengar jawapan ku.
Pak Syaiful : Dah tu fakir miskin lak, apa kelebihannya ?
Aku menjawab dengan mode merapu : Cikgu Ahmad waqafkan tanah saja. Duit, wang ringgit dia tak waqaf. Kita kena cari sendiri. Kalau kita ambil anak-anak fakir miskin, mereka dah biasa hidup susah. Nanti kalau kita tak ada duit nak bagi mereka makan, mereka tak banyak songel komplen sana-komplen sini. Panggil Karam Singh Walia berpantun depan sekolah tahfiz. Tak macam budak sekolah MRSM atau budak sekolah Sains.
HAHAHAHAHAHAHA …. Sekali lagi ahli kelab warga emas tergelak sambil menepuk-nepuk meja.
Aku bilas semula jawapan ku dengan jawapan yang lebih serius.
Aku : Rasulullah SAW pernah berdoa, agar dihidupkan dalam keadaan miskin, dimatikan dalam keadaan miskin, dibangkitkan di akhirat bersama-sama orang miskin. Begitulah darjat orang miskin di kaca mata Rasulullah SAW. Inilah jejak langkah Rasulullah SAW. Maka sekolah tahfiz yang bakal dibangunkan ini adalah untuk kita didik fakir miskin untuk sabar dan redha dengan kemiskinan mereka malah berhibur dengan kemiskinan. Dan kita menuruti sunnah Rasulullah SAW kerana menjaga dan mencintai fakir miskin.
Terhangguk-hangguk lagi kepala ahli kelab warga emas.
Masyuarat tidak rasmi malam itu menjadi titik tolak tertubuhnya madrasah tahfiz yang menjadi tempat menumpang kasih anak-anak yatim dan fakir miskin. Sejak dibangunkan, tidak sedikit air mata kami yang tumpah. Bukan dek kerana kepayahan dan kesukaran mebangunkannya, tetapi kerana hancur luluh bila berhadapan dengan anak-anak yang tidak punya ibu dan ayah bagi menumpang kasih.
Aku masih teringat, kumpulan pertama seramai 14 orang. Kami bersama-sama mereka tidur di dalam bangunan separa batu simen separa papan. Bertilamkan lantai simen yang dihampar dengan permaidani lama masjid yang disedekahkan oleh pihak masjid. Dalam kedinginan malam kerana hujan lebat. Sekitar jam 3 am, salah seorang anak tersebut mengigau, memanggil-manggil nama ayahnya sambil memeluk tubuh ku yang berbaring di sebelahnya. Hancur luluh hati ku berdepan dengan anak yang kerinduan ibu bapa yang tersayang.
Pernah suatau ketika setelah selesai solat Maghrib, aku didatangi seorang anak yatim sambil menangis dan bertanya kepada ku, bagaimana dia hendak tebus dosa ibu dan ayahnya yang sudah kembali ke rahmat ALLAH ? Agar ibu dan ayahnya dapat jaminan syurga.
Dan kalau hendak ku sebut satu persatu, ada 1001 kisah yang pastinya mengundang linangan dan deraian air mata.
Alhamdulillah, madrasah itu telah berjaya menghantar para pelajarnya ke Yaman, Mesir, Jordan dan Afrika Selatan untuk menimba lebih banyak ilmu dan menyebarkan dakwah.
Pernah juga aku dan ahli kelab warga emas ditanya oleh penduduk setempat dalam satu majlis di masjid, mengapa dibangunkan madrasah tahfiz untuk anak-anak yatim dan fakir miskin bukannya bangunan komersil yang menjanjikan pulangan lumayan ?
Lalu aku menjawab : Setiap dari kita adalah pendosa dan ahli maksiat. Setiap dari kita akan masuk ke neraka melainkan mendapat ampunan ALLAH.Lantaran istighfar yang kita lafazkan terlalu sedikit berbanding dosa dan mungkar yang kita lakukan, maka kita amat mengharap kepada ampunan ALLAH atas setiap dosa-dosa yang kita lakukan. Kita tidak tahu sama ada amal ibadah kita dan istighfar kita serta taubat kita diterima ALLAH. Namun Rasulullah SAW ada mengajar kita untuk mempunyai rasa khauf dan raja'. Rasa takut dan rasa harap. Maka kami bina sekolah tahfiz untuk anak-anak yatim ini bagi meringankan seksaan kami di akhirat sebagai tanda kami tidak berputus asa dari rahmat ALLAH dan mengharapkan ampunan dan kasih sayang NYA. Andainya mereka berjaya menjadi hafiz Al Quran, di akhirat nanti dapat kami menumpang syafaat mereka. Mudah-mudahan kami selamat menjadi bahan bakaran api neraka.
Jawpan ku tidak mengundang gelak ketawa hadirin seperti biasa. Sebaliknya ramai yang menangis di majlis masjid berkenaan.
#############
Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub Al Muqarrabu Ilaa Allamul Ghuyub ada memuatkan hadis-hadis berikut :
Sabda Rasulullah SAW : Anak yatim apabila dipukul maka asrasy Ar Rahman bergoncang kerana tangisan mereka. Allah SWT berkata kepada para malaikat “Wahai malaikat ku, siapa yang membuat anak yang sudah kematian ayah ini menangis?”
Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa menanggung makan dan minum anak yatim, Allah menjamin dirinya masuk syurga.
Rasulullah SAW bersabda : Segala sesuatu ada kuncinya. Kunci syurga, salah satunya ialah mencintai kaum miskin dan fakir lantaran kesabaran mereka. Mereka itulah orang-orang yang dekat dengan Allah pada hari kiamat.
Semua orang takut miskin kerana kemiskinan hanya menjanjikan penderitaan dan mungkin juga ia sesuatu yang memalukan. Lantaran itu, berlumba-lumbalah orang mengejar harta dan kekayaan di dunia. Tidak kurang juga yang mengejar kekayaan duniawi golongan ulamak, para ustaz dam ilmuan Islam.
Hampir semua manusia, termasuk para ulamak yang ada kini, mendefinisikan kemiskinan sebagai kekurangan harta benda, rumah yang kecil dan sempit, pendapatan yang rendah dan keperluan fizikal yang tidak mencukupi. Lantas berlumba-lumbalah manusia membina kekayaan duniawi. Paling malang batasan syariat halal dan haram dilangkau dan diketepikan. Rasuah, pecah amanah, menipu dan pelbagai perkara yang nyata bertentangan dengan syariat dilakukan demi memenuhkan kocek dan akaun bank dengan wang ringgit dan harta benda. Seolah-olah syurga dan kemanisan nikmatnya boleh dibeli dengan wang ringgit.
Tetapi dari kaca mata Islam, kemiskinan bukanlah didefinisikan sebagai kekurangan harta dan wang ringgit, tetapi didefinisikan sebagai rasa hati yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kerana manusia yang tidak merasa puas dengan apa yang ada, akan sentiasa merasai tidak pernah cukup. Ingin lebih banyak lagi, dan lagi dan lagi dan lagi. Walaupun dia sudah punya banglo mewah, sudah punya kereta mewah berderet, sudah punya wang berjuta. Jiwa dna hatinya menderita dan tidak tenang kerana tidak merasa puas dengan apa yang sudah di miliki dan takut pula kehilangan barang yang sudah dimiliki.
Sheikh Ali bin Abdul Rahman Al Kelantani dalam kitabnya Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat AL Qulub menukilkan sebuah kisah .....
Rasulullah SAW berkata di dalam doanya :
Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadan miskin, dan matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan himpunkanlah aku di mahsyar bersama-sama orang yang miskin.
Lantas Aisyah rha bertanya : Mengapa engkau meminta begitu ya Rasulullah SAW ?
Rasulullah SAW menjawab : Kerana mereka itu masuk ke syurga 40 tahun lebih dahulu dari orang yang kaya. Wahai Aisyah, jangan engkau nafikan dan tolak permintaan orang yang miskin. Bersedekahlah kepda mereka walau dengan sebelah tamar sekalipun. Wahai Aisyah, kasihlah oleh mu akan segala orang miskin dan hampirkanlah diri mu akan mereka, nescaya ALLAH akan hampir dengan mu di hari qiamat.
Islam tidak menghalang umatnya menjadi kaya. Tetapi tanggung jawab umat yang kaya tidak terhenti disitu sahaja, sebaliknya dalam kekayaan ada tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Firman ALLAH SWT :
Rebutlah dari apa yang Allah untukkan sebagai habuan mu di akhirat tapi jangan lupa nasib mu di dunia. ( Al Qasas : 77)
ALLAH suruh umat Islam berusaha mencari bekalan di akhirat tetapi tidak menafikan usaha untuk mendapat kesenangan di dunia. Tak salah menjadi kaya, tetapi tunaikanlah tanggung jawab sebagai seorang muslim dalam memenuhi hablumminallah dan hablumminannas. Jangan sampai kekayaan dan keglamouran yang diperolehi di muka bumi ALLAH ini menjadikan kita lalai dalam menunaikan perintah ALLAH sebagaimana firman ALLAH :
Bermegah-megah (dengan harta dan anak) telah menjadikan kamu lalai hingga kamu masuk kubur. (At Takasur : 1- 2)
Kemewahan inilah yang membelenggu hidup seseorang sehingga mereka menjadi buta akan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Islam sama sekali tidak menghalang umatnya untuk hidup mewah dan menjadi kaya. Tetapi Islam mengajar umatnya bahawa ramai orang yang tertewas dan menjadi lalai dengan ujian ALLAH dalam bentuk nikmat berbanding ujian ALLAH dalam bentuk kesusahan. Telah ramai orang-orang yang awalnya di dalam kesusahan, bermunajat dan merintih kepada ALLAh memohon keringanan dalam menghadapi musibah dan kepayahan, lalu ALLAh angkat kepayahan dan kesusahan dari mereka dan ALLAH uji mereka dengan nikmat kemewahan dan kekayaan. Akhirnya mereka tersungkur dek kelalaian kerana merasai kelazatan nikmat dunia yang sementara. Lupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Lupa untuk berjuang dan berkorban. Lupa untuk mendidik anak, isteri, masyarakat. Lupa untuk berdakwah. Hati semakin mencintai dunia. Akhirnya sifat mazmumah yang lama terpendam menjadi subur di hati. Matlamat hati berubah qiblatnya. Dan apabila cinta dunia menguasai hati, ALLAh jauhkan dunia dari dirnya kerana ALLAH tidak mahu dunia ditadbir oleh manusia-manusia yang tidak mencintai ALLAH. Makin dikejar dunia, makin jauh dunia lari darinya. Makin di kejar dunia, makin jauh. Lantas hati menjadi semakin haus, dahaga, rakus dan tamakkan dunia. Hilang kedamaian dan ketenangan jiwa. Andainya tidak dibendung, bukan sahaja memusnahkan diri, malah akan memusnahkan hubungan kekeluargaan, hubungan persahabatan dan perpecahan masyarakat.
ALLAH akan hanya menganugerahkan dunia kepada hamba-hamba NYA yang bersifat zuhud dengan dunia dan hatinya bebas dari mencintai dunia. Kerana dengan itu sahaja dunia ini akan ditadbir oleh hamba ALLAH bertaraf khalifah. Dunia akan ditadbir berdasarkan hukum-hakam syariat yang telah ALLAH firmankan di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Islam juga tidak menghina orang yang kemiskinan harta sekalipun ianya bukan priority untuk hidup sebagai seorang muslim. Tetapi Islam sama sekali menolak dan menghalang umatnya dari mengalami kemiskinan jiwa. Miskin jiwa kerana iman yang lemah. Miskin jiwa kerana nafsu tidak terdidik. Kedua-duanya berlaku kerana tiada bimbingan ilmu dan tiada bimbingan untuk beramal dengan ilmu yang disalurkan. Oleh itu perlulah ada sahabat dan jemaah yang sama-sama ingin mendidik jiwa dan hati. Didiklah jiwa dengan menguatkan iman dan mujahadah melawan nafsu. Tuntutlah ilmu dan amalkannya seikhlas hati. InsyaAllah akan lahir jiwa-jiwa yang kaya dengan iman. Bersifat cukup dengan apa yang ada, berasa sabar dan redha dengan kekurangan harta, malah rasa terhibur dengan janji Allah di akhirat sana.
Kemuliaan hidup ini bukan terletak kepada sebanyak mana harta yang telah engkau himpunkan. Juga bukan terletak kepada sejauh mana nama mu di sanjung dan di puja dalam dunia yang penuh glamour. Tidak juga kepada tinggi dan besarnya jawatan yang engkau sandang. Tetapi kemuliaan hidup mu di dunia terletak sejauh mana engkau berjuang dalam melaksanakan titah perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan ALLAH.
Semoga Tuan-tuan dan puan-puan, dan saya dipimpin ALLAH untuk menjadi kaya jiwa walau dalam kemiskinan harta.
Madrasah Darus Syifa
23 October 2010
6.45pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
alhamdulillah..sedap hati sy membaca blog saudara ni..
ReplyDeletean eye-opener, tx bro
ReplyDelete..masyaAllah..sangat tersentuh...thanks sir..
ReplyDelete