Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Monday, October 25, 2010
Thousand Faces One Faith
1993 ... Tahun itulah aku pertama kali menjejakkan kaki ke bumi kelahiran dan bumi kewafatan baginda Rasulullah SAW. Setelah bergelumang dengan daki dosa dan maksiat, maka di depan Kaabah aku duduk bersimpuh. Sambil membaca wirid aurad dengan satu niat. Agar aku mati sebagai seorang pejuang yang taat, setia jujur lagi ikhlas kepada ALLAH dan Rasulullah SAW. Tatkala berada di Arafah, ku lihat jutaan wajah berbeza, tetapi menganut satu agama yang sama iaitu ISLAM. Dan tika itu aku tertanya-tanya, apakah setelah kembalinya kami ke tanah air dan ke perkampungan masing-masing, maka kesatuan seperti yang ditunjukkan di bumi Arfah akan terus istiqamah ?
Yang pastinya, kita lihat pelbagai perisiwa yang memilukan hati. Bumi Palestine, Kashmir, Afghanistan, Iraq dan negara Islam yang lain diinjak-injak oleh musuh Islam. Mereka merintih dan menjerit memohon bantuan, namun teriakan dan rintihan mereka tenggelam dek kecintaan dunia yang menghijab hati umat Islam. Tiada lagi rasa ukhwah dan kasih sayang sesama Islam. Malah akibat cinta dunia, orang yang mengaku sufi sudah pandai berebut pengikut dan minta dirinya dihormat.
Maka aku mengambil kesempatan di musim Haji yang bakal menjelma untuk mencoret sebuah nota akan garispanduan untuk umat Islam bersatu. Agar kesatuan yang terbina, bagaikan Tsunami yang melanda dunia fasad dan mungkar.
Konsep bersatu dalam Islam telah ditetapkan bentuknya. Dalam Al Quran ALLAH berfirman:
Maksudnya: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah-belah.” (Ali Imran : 103)
Tali ALLAH yang dimaksudkan oleh ALLAH dalam ayat ini ialah hukum syariat yang telah difirmankan ALLAH di dalam Al Quran dan disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sunnah baginda. Andainya semua umat Islam tak kira dari jemaah jenama apa atau dari tariqat aliran apa, mereka akan tetap bersatu dalam mebangunkan hablumminallah dan hablumminannas berdasarkan hokum syariat yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah.
Dalam menepati kesatuan yang telah digariskan syariat, secara dasarnya untuk bersatu perlulah umat Islam meneliti dan menitikberatkan dalam lima perkara yang menjadi rukun dalam membentuk kesatuan.
1. Bersatu Akidah
Rasulullah SAW pernah bersabda, umat baginda di akhir zaman akan berpecah kepada 73 puak. Hanya satu puak sahaja yang akan memasuki syurga iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Sementara 72 puak lagi akan ke neraka.
Oleh itu dari segi aqidah, hanya Ahlus Sunnah Wal Jamaah sahaja yang kita terima. Selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah, baik Syiah, Jabariah, Qadariah, Muktazilah, Wahabiah dan lain-lain iktiqad selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah hendaklah ditolak.
Keyakinan dan pegangan kita mesti tepat sebagaimana yang dikehendaki dalam iktikad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, yaitu meyakini keenam rukun Iman dengan sebenarnya. Yakin kepada ALLAH dan semua sifat-sifat-Nya yang wajib, mustahil serta yang jaiz bagi ALLAH. Yakin kepada 10 malaikat serta tugas-tugas para malaikat sebagaimana yang diceritakan dalam Al Quran. Yakin kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Yakin kepada 25 Rasul yang disebutkan dalam Al Quran. Yakin kepada hari akhirat dan yakin kepada qada' dan qadar (untung baik dan untung jahat) semuanya datang dari ALLAH Taala. Keyakinan kita hendaklah berdalil dan bukan bertaqlid.
2. Bersatu syariat
Bersatu syariat itu ialah bersatu dalam menerima lima hukum ALLAH. Adapun hukum syariat itu terbahagi kepada lima. Setiap tindak tanduk, amal perbuatan dan percakapan dalam kehidupan sehari-harian kita tidak terlepas dari 5 hukum syariat ini. Kelima-lima hukum dalam syariat itu adalah seperti berikut :
1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri tempoh 5 syarat ibadah , beroleh pahala.
Lima syarat tersebut ialah :
a) Niat mesti betul
b) Perlaksanaan mesti selaras dengan syariat
c) Natijah mesti betul tidak bertentangan syariat
d) Perkara yang dibuat dan dilaksanakan dibenarkan oleh syariat
e) Tidak meninggalkan ibadah yang asas
Bersatu dalam syariat bermakna kita wajib menerima segala ketetapan dari kelima-lima hokum syariat sama ada kita sukai atau tidak. Menerima di sini membawa maksud :
a. mempelajarinya
b. memahaminya
c. mengamalkannya
d. memperjuangkannya
Maksudnya yang lebih jelas ialah perbuatan yang wajib dan sunat itu hendaklah difahami, diyakini, diamalkan dan diperjuangkan. Semua perbuatan yang haram dan makruh hendaklah difahami, diyakini dan ditinggalkan serta diperjuangkan untuk menghapuskannya. Dan selanjutnya semua perbuatan yang harus atau mubah, difahami, diusahakan serta digalakkan supaya menjadi ibadah selepas menempuh lima syarat dalam ibadah.
Supaya lebih jelas lagi, perhatikan contoh berikut ini: Hal-hal yang berhubungan dengan akidah, ibadah, akhlak, jihad, tarbiah, siasah (politik) dan lain-lain adalah perbuatan wajib, maka umat Islam harus menerimanya sebagai hukum wajib serta berusaha memahami, mengamalkan dan memperjuangkannya supaya ditegakkan secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.
Sebaliknya, hal-hal yang berhubungan dengan arak, zina, rasuah, judi, buka aurat, pergaulan bebas, riba, fitnah, ujub, riya’ dan lain-lain adalah perbuatan haram, maka seluruh umat Islam harus bersama-sama meyakininya sebagai hukum haram dan berusaha meninggalkannya serta memperjuangkannya supaya tidak diamalkan oleh masyarakat dan berusaha menghapuskannya secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.
3. Bersatu akhlak
Bersama-sama berusaha memiliki akhlak yang baik. Mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam segala hal, seperti cara makan, pakaian, sifat sabarnya, ikhlasnya, tawadhuknya, zuhudnya, dermawannya, pemaafnya, bicaranya, bergaulnya, kebersihannya, ibadahnya dan lain-lain yang menjadi sunnah hidupnya.
Di samping itu hendaklah kita bersama-sama berusaha membuang semua akhlak yang buruk dan keji seperti sombong, bakhil, penakut, cinta dunia, pemarah, hasad dengki, keluh-kesah dan mazmumah lain yang bersarang dalam hati manusia.
Oleh itu sewajarnyaa setiap umat Islam mempelajari sekurang-kurang 10 jenis sifat mahmudah dan 10 jenis sifat mazmumah agar mereka tahu dan faham bagaimana mengikir sifat mazmumah dalam diri dan menggantikan dengan sifat mahmudah.
4. Bersatu dalam Perkara-perkara Khilafiah
Bersikap terbuka dan lapang dada dalam masalah khilafiah. Hendaklah kita fahami bahwa Islam memperbolehkan dan membenarkan adanya perbezaan pendapat dalam masalah furu'iyah tanpa mengganggu atau merosak persoalan asas (pokok) Islam itu sendiri. Nabi SAW pernah bersabda:
Maksudnya: “Perbezaan pendapat di antara umatku adalah mendatangkan rahmat. “(Riwayat A1 Baihaqi)
Dalam hadits yang lain dari Ibnu Abbas berbunyi:
Maksudnya: “Perbedaan di antara sahabatku bagi kamu adalah suatu rahmat. “ (Ehya’).
Kerana itu sikap kita terhadap hal-hal khilafiah hendaklah sama-sama kita terima dan jangan dijadikan isu sensitif dan sebab persengketaan.
Kena diingat, persoalan khilaf tidak akan ada titik pertemuan. Maka musuh-musuh Islam amat gemar menggunakan persoalan khilafiah dalam melaga-lagakan sesama umat Islam agar kesatuan umat Islam terlerai dan hancur musnah. Lantas musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan untuk membina kebathilan di atas keruntuhan kesatuan umat Islam. Oleh itu awaslah wahai sahabat perjuangan ku. Jangan sampai tertipu dengan percaturan musuh Islam.
5. Bersatu Dalam Menilai Kawan Dan Lawan
Islam telah menetapkan siapakah kawan dan lawan, sahabat dan musuh. Maka hendaklah kita sama-sama dapat mengenali nya. Yang menjadi musuh sama-sama kita jadikan sebagai musuh dan menolaknya tanpa ada kekeliruan sedikitpun. Kawan dan sahabat hendaklah kita jadikan sebagai sahabat dan sama-sama menerima sebagai sahabat, bergaul dengannya, mempertautkan kasih sayang dengannya serta bermuafakat dalam urusan agama. Sekiranya ada pihak yang cuba untuk menghancurkannya, harus kita pertahankan. Dalam Al Quran ALLAH menjelaskan kepada kita siapa musuh dan siapa sahabat atau saudara kita sebagai orang mukmin. Firman ALLAH tentang musuh:
Maksudnya: “Dan tidak akan redha oleh orang-orang Yabudi dan Nasrani itu selama-lamanya kepada kamu hingga kamu mengikuti millah (cara hidup) mereka. “ (Al Baqarah : 120)
Firman ALLAH tentang sahabat dan saudara:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara satu sama lain, oleh karena itu berusahalah mendamaikan kedua saudaramu yang bertikai dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat.“ (A1 Hujuraat : 10)
Demikianlah pengertian dan konsep bersatu dalam lslam. Dengan konsep itu Islam memanggil dan menyeru seluruh bani insan bernaung di bawahnya tanpa melihat bangsa, warna kulit, bahasa, keturunan, daerah, negara dan perbezaan lahiriah lain yang palsu, yang direka oleh manusia untuk mempertahankan statusnya yang bersifat sementara itu. Walaupun pada lahirnya ada perbezaan bangsa, bahasa dan warna kulit di antara manusia itu, tapi apa yang ALLAH jadikan itu semata-mata mempunyai hikmah yang amat besar untak manusia itu sendiri, yaitu untuk tujuan saling kenal-mengenal dan berinteraksi.
Firman ALLAH:
Maksudnya: “Hai manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal dan mengadakan hubungan." (Al Hujuraat : 13)
Islam menyatukan seluruh manusia sedunia di bawah namanya dengan lima ikatan yang kukuh dan sejati sambil membebaskan mereka dari segala kongkongan keduniaan yang sempit dan pura-pura. Kalau semua umat Islam menerima konsep itu serta mengamalkannya, maka itulah kekuatan hakiki yang menjamin kejayaan perjuangan yang sedang kita usahakan dan lalui ini. Sudahkah Umat Islam hari ini bersatu. Sebagian orang hari ini menyifatkan individu-individu Islam yang bernaung dan menjadi anggota sebuah organisasi atau badan itu telah bersatu dan berpadu. sebenarnya belum bersatu. Untuk lebih memahami erti dan maksud bersatu, marilah kita renungkan sekali lagi ayat Al Quran Surah Ali Imran ayat 103 :
Firman ALLAH itu berbunyi:
Maksudnya :“Berpegang teguhlah kamu dengan Tali ALLAH dan janganlah kamu berpecah belah. “(Ali Imran : 103)
Bersatu yang dimaksudkan di sini ialah bersama-sama dalam menerima hukum-hukum ALLAH. Itu bererti kalaupun berada dalam satu organisasi atau persatuan kalau masih berbeza atau tidak sama-sama menerima hukum-hukum ALLAH yang wajib dan sunat serta menolak yang haram dan makruh, maka hakikatnya belum bersatu.
Contohnya menutup aurat hukumnya wajib. Kalau dalam satu persatuan itu ada anggotanya yang tidak menutup aurat dan yang lain menutup aurat, maka di antara anggota-anggotanya masih dianggap belum bersatu. Riba hukumnya haram. Kalau masih ada anggotanya makan riba atau pun mendukung institusi riba dengan memberikan riba, sementara yang lainnya tidak makan riba atau menentang riba, maka anggota-anggotanya masih dianggap belum bersatu. Demikian juga dengan persoalan-persoalan yang lain.
Berdasarkan contoh di atas, jelaslah kepada kita bahwa umat Islam yang ada hari ini belum lagi bersatu termasuk anggota atau mereka yang menjadi anggota organisasi atau badan baik politik, kebajikan sampai badan dakwah sekalipun masih belum bersatu.
Kita dapat melihat sekarang ini mereka sama-sama tidak solat, masih memfitnah, tidak menutup aurat, terlibat dengan sistem ekonomi riba, terlibat dengan perzinaan, arak, judi, pergaulan bebas dan segala macam maksiat. Secara tidak langsung mereka itu menentang ALLAH walaupun kadang-kadang lidahnya berbicara tentang Islam. Sesama Islam mereka juga bermusuhan, sebaliknya dengan musuh mereka saling menolong dan bersahabat baik. Musuh dianggap kawan dan kawan dianggap musuh. Kebaikan dianggap kejahatan dan kejahatan dianggap baik.
Kalau pun kelihatan mereka itu bersatu tetapi mereka itu bersatu adalah sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH dalam Al Quran:
Maksudnya : "........... mereka itu sebagian di antara sebagian yang lain saling membantu menyuruh membuat kemungkaran dan melarang dari berbuat ma'ruf......" (At Taubah : 67)
Ataupun bersatu seperti yang digambarkan oleh ayat Al Quran :
Ertinya : "Kamu lihat mereka itu bersatu padu, tetapi hati mereka berpecah belah". (Al Hasyr : 14)
Itulah hakikatnya yang terjadi sekarang ini, bahwa sesungguhnya umat Islam belum lagi bersatu secara total. Apa yang terjadi ialah perpecahan di segala aspek hingga timbul peperangan dan pertumpahan darah.
Library USIM
17 Oktober 2010
3.17 pm
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment