Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, July 9, 2011

Salam Atas Mu Wahai Nabi ALLAH. Salam Atas Mu Ya Kekasih ALLAH. Salam Atas Mu Ya Rasulullah SAW Part 2



Pintu ke Maqam Rasulullah SAW. Satu lubang besar di kiri itu lurus ke arah kepala Rasulullah SAW> Lubang kedua kecil lurus ke arah Saidina Abu Bakar ra dan lubang kedua kecil lurus ke arah Saidina Umar ra


Maqam Rasulullah SAW ... di situlah suatu ketika dahulu rumah kediaman Rasulullah SAW dan isterinya Aisyah RA. Rumah kediaman Rasulullah SAW yang bersambung dengan Masjid Nabawi. Keluasan asal Masjid Nabawi adalah sekitar 70 X 60 kaki. Aku rasa ukuran rumah baginda sekitar 20 X 20 kaki atau mungkin besar sedikit. Rumah Imam Masjid Negara pun aku rasa lebih besar dari rumah Rasulullah SAW. Malah aku rasa rumah tok bilal masjid di kampung ku juga lebih besar dari rumah baginda.





Terletak di dalam kawasan Masjid Nabawi dan bersambung dengan Raudah, rumah baginda Rasulullah SAW juga menempatkan rumah Siti Fatimah Az Zahra RA dibelakang rumah baginda. Di rumah itulah Siti Fatimah RA dan Saidina Ali ra membesarkan anak-anak mereka Saidina Hassan ra dan Saidina Hussain ra. Di ruangan tengah rumah Siti Fatimah Az Zahra RA terdapat sebuah mihrab yang digunakan oleh Rasulullah SAW untuk bertahajjud seorang diri. Sementara di belakang rumah Siti Fatimah terdapatnya sebuah pentas yang dikenali sehingga kini sebagai dewan ahli suffah.


Diceritakan oleh arwah datuk ku, tatkala di zaman Rasulullah SAW dewan ahlu suffah itu menempatkan 300 orang ahli suffah dan mereka bertahajjud bersama-sama Rasulullah SAW. Dan setiap kali semboyan jihad berkumandang, para ahlu suffah inilah merupakan kumpulan pertama yang memenuhi barisan hadapan dalam peperangan jihad fi sabilillah. Arwah datuk ku menceritakan, para ahlu suffah diketuai oleh Abu Huraitah ra. Setelah kewafatan Abu Hurairah ra, dewan ahlu suffah itu diletakkan dibawah penjagaan/pengurusan keturunan Saidina Bilal Bin Rabah ra sehinggalah ke hari ini.


Bersebelahan dewan ahlu suffah (sebelah kiri) adalah Pintu Jibrail. Dari pintu itulah Malaikat Jibrail AS memasuki Masjid Nabi dan mendatangi Rasulullah SAW untuk menyampaikan wahyu daripada ALLAH SWT. Dari pintu Jibrail, malaikat Jibrail AS akan bergerak ke ruangan sebelah bilik Aisyah RA di dalam rumah Rasulullah SAW. Untuk menyampaikan wahyu (Sila rujuk rajah floor plan Maqam rasulullah SAW di posting note terdahulu).


Ada sebuah riwayat dari Aisyah RA, “Ketika Nabi SAW pulang dari perang Khandaq (Ahzab), dan meletakkan senjata kemudian mandi, Jibrail AS telah datang menemui Rasulullah SAW (melalui pintu jibrail dan berdiri di ruangan Jibrail) seraya berkata, ‘Engkau meletakkan senjatamu?, demi Allah kita belum aman dari meletakkan senjata, pergilah menuju mereka’, Rasulullah SAW bertanya, ‘kemanakah?’, Jibrail AS menjawab, ‘ke sini’, dia menunjuk ke perkampungan Bani Quraizzah. Maka Nabi SAW keluar menuju perkampungan Bani Quraizah. Ada riwayat menceritakan Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat, "Jangan kamu solat asar pada hari ini melainkan di perkampungan Bani Quraizah"... Ini sebagai tanda agar tentera Islam segera ke perkampungan Bani Quraizah yang telah membeloti perjanjian di dalam Perang Ahzab (Khandaq). Menjurus kepada perlantikan Abu Lubabah sebagai jurucakap Rasulullah SAW. Yahudi Bani Quraizah di kepung selama 25 hari. Malah melalui pintu Jibrail itu juga Izrail AS datang bertamu untuk menjemput Rasulullah SAW kembali bertemu ALLAH SWT.


Andainya engkau menziarahi Rasulullah SAW, jangan engkau lepaskan peluang menziarahi dewan ahlu suffah dan bertemu dengan nasab Saidina Bilal Ibnu Rabah RA. InsyaALLAH engkau akan berpeluang bertahajjud di bekas mihrab tempat Rasulullah SAW bertahajjud. Untuk makluman, dewan ahlu suffah ini tidak termasuk dalam kawasan Raudhah.


Ada orang kata gambar di bawah adalah gambar Maqam Rasulullah SAW.



Ada juga yang kata gambar di bawah ini juga gambar Maqam Rasulullah SAW.






Tapi percayalah .... bahawa kedua-duanya BUKAN Maqam Rasulullah SAW hehehe


Alasan ku mudah saja .... kamera fungsinya adalah untuk menangkap perbedaan cahaya, lantas menghasilkan potret di atas kertas. Cuba halakan kamera anda ke matahari dan cuba snap gambar matahari ... ermmm anda takut dilabel sewel ?.... atau jika anda takut dilabel sebagai orang sewel yang cuba memotret gambar matahari .... anda boleh cuba snap sebuah spotlight yang sedang menyala secara terus/langsung. Pastinya yang akan anda perolehi adalah gambar yang putihhhhhh saja. Tiada imej.


Rasulullah SAW adalah cahaya di atas cahaya. Tidak akan ada siapa pun mampu memotret gambar baginda walaupun maqam baginda. Maqam baginda dijaga dan diuruskan oleh keturunan Zaid Bin Harithah RA sehingga kini. Jika anda beroleh rezki bertemu dengan nasab Zaid Bin Harithah yang menjaga maqam tersebut, mohon izinlah darinya untuk membantu dalam membersihkan Maqam Rasulullah SAW. InsyaALLAH anda akan berkesempatan memasuki ke dalam maqam tersebut dan melihat sendiri maqam Rasulullah SAW.



Kisah kewafatan Rasulullah SAW pernah aku coretkan di bawah tajuk note LINANGAN AIR MATA KEKASIH TERCINTA (DI LINK http://www.facebook.com/note.php?note_id=421456120768 )


Siapakah yang menjadi IMAM bagi solat jenazah baginda Rasulullah SAW ?

Jawapannya : TIADA .... keseluruhan para sahabat merasakan diri mereka tidak layak menjadi Imam dalam solat jenazah Rasulullah SAW. Lantas keseluruhan para sahabat yang berjumlah 124,000 orang itu solat jenazah secara tidak berjemaah. Diberitakan, para sahabat di kalangan lelaki mengambil masa 4 hari 4 malam untuk kesemuanya selesai mensolat jenazahkan baginda Rasulullah SAW.


Maka izinkan aku mencoret kisah kewafatan Abu Bakar As Siddiq RA.


Ada pendapat mengatakan Saidina Abu Bakar wafat akibat diracun musuh. Sebelum baginda wafat, Saidina Abu Bakar RA berpesan kepada Saiidina Umar Al Khattab akan satu wasiat agar jangan menghiraukan jenazahnya nanti bila beliau kembali ke rahmatullah, melainkan haruslah Saidina Umar RA segera mengirim bala tentera ke Iraq untuk membantu Al Muthanna yang sedang bertempur di Iraq. Saiidina Abu Bakar RA tidak lupa mengingatkan Saidina Umar RA apa yang pernah dilakukan tatkala Rasulullah SAW wafat dan bagaimana cintanya kepada Rasulullah SAW dan perhatiannya kepada jenazah baginda yang suci itu tidak mengabaikannya dari melaksanakan kewajipan biar pun yang demikian itu amat berat bagi jiwanya. Antara pesanannya kepada Saidina Umar Al Khattab RA :


“Dengarlah wahai Umar! Apa yang akan ku katakan ini dan laksanakanlah. Aku mengharap akan kembali ke hadrat ALLAH hari ini sebab itu sebelum matahari terbit pada keesokan hari engkau hendaklah telah mengirim bala tentera bantuan kepada Al Muthanna. Janganlah hendaknya sesuatu bencana bagaimana pun besarnya dapat melupakan kamu dan urusan agama dan wasiat Tuhan. Engkau telah melihat apa yang telah ku lakukan tatkala Rasulullah wafat sedang wafatnya Rasulullah itu adalah satu bencana yang belum pernah manusia ditimpa bencana yang sebesar itu. Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan Rasul-NYA, tentu kita telah jatuh dan mendapat siksaan Allah, dan pasti pula kota Madinah ini telah menjadi lautan api."


Dalam masa pemerintahannya yang singkat Saidina Abu Bakar Al-Siddiq yang memerintah hanya dalam masa dua tahun sahaja itu telah meletakkan asas pembangunan sebuah pemenintahan Islam yang teguh dan kuat setelah berjaya mengatasi berbagai macam masalah dalam negeri dengan segala kebijaksanaan dan kewibawaannya. Baginda telah memenuhi segenap janji-janjinya dan dalam masa dua tahun pemerintahannya itu telah terbentuk rantai sejarah Islam yang merupakan lembaran-lembaran yang abadi.


Turut bersemadi bersama Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As Siddiq RA adalah Saidina Umar Al Khattab RA.

Saidina Umar bin Khattab RA adalah salah seorang pecinta Rasulullah SAW. Sejak memeluk Islam, beliau tak ingin berpisah dengan Rasulullah SAW walaupun di saat beliau berhadapan dengan sakaratulmaut.


Sewaktu menjadi imam dalam solat, telah tampil seorang munafik dan menikam Saidina Umar RA. Serangan dari munafik itu telah merobek perutnya dengan luka yang sangat lebar. Jasad utuhnya tersungkur roboh. Dalam menahan kesakitan beliau berkata : "Berikan aku susu" ... Saat susu dibawa kepadanya, dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Saidina Umar RA meneguk sedikit demi sedikit sus berkenaan. Saat susu itu diminum, saat itu juga susu itu keluar mengalir dari luka di perutnya, bercampur darah. Maka fahamlah Saidina Umar Al Khattab RA bahawa dia sudah di ambang sakaratulmaut.

Lantas wajahnya dipalingkan kepada puteranya, Abdullah Bin Umar RA seraya berkata, "Pergilah kepada ummulmukminin, katakan padanya aku berkirim salam hormat padanya, dan kalau diizinkan aku ingin dimakamkan disebelah Maqam Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA", maka ketika Ummulmukminin telah mengizinkannya maka berkatalah Umar RA : "Tidak ada yang lebih ku pentingkan daripada mendapat tempat di pembaringan itu (dimaqamkan disamping maqam Rasulllah SAW), maka bila aku wafat, usunglah aku ke sana, dan ucapkan lagi salam, dan mohonkan izin lagi pada Ummulmukminin, bila beliau mengizinkan maka kuburkan aku, kalau beliau menolak maka tolaklah aku ke pekuburan muslimin" (Sahih Bukhari hadis no.1328).


Mustahil Umar RA meminta berkali-kali untuk diizinkan dimaqamkan di sebelah maqam Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA, melainkan ianya menjadi bukti bahawa Maqam Rasulullah SAW mempunyai kemuliaan, demikian pula Maqam Abu Bakar As Siddiq RA. Kerana kepentingan itulah maka Umar RA dalam sakaratulmautnya masih sempat mengucapkan kalimat bahwa tak ada yang lebih diperdulikannya selain pembaringan disebelah mereka.


Demikianlah Mahabbah (cinta) kepada Rasulullah SAW, dan setelah Rasulullah SAW wafat, diriwayatkan bahawa peninggalan-peninggalan pakaian Rasulullah SAW disimpan oleh para sahabat, sebagaimana cincin baginda yang dipakai oleh Anas bin Malik RA, lalu berpindah ke tangan Abu Bakar RA, lalu pindah ke tangan Umar bin Khattab RA, lalu pindah ketangan Usman bin Affan RA, lalu terjatuh ke telaga Aris, dan berkata Anas bin Malik RA: Aku mencarinya bersama Usman bin Affan selama 3 hari dan kami tak juga menemukannya (Sahih Bukhari hadis no.5540). Betapa mereka menjaga barang barang peninggalan Rasulullah SAW. Seandainya cincin itu tak ada nilai mahabbah, maka tak perlulah Usman bin Affan mencarinya hingga 3 hari, ini menunjukkan barang peninggalan Rasulullah SAW dimuliakan dan dicintai oleh para sahabat besar, radhiyallahu 'anhum.


Rasulullah SAW bersabda : "Orang yang dahsyat Cintanya padaku di umat ini, adalah mereka yang hidup setelah aku wafat, namun hati mereka lebih condong untuk melihatku lebih daripada harta dan keluarga mereka" (Sahih Muslim hadis no.2832)


Wahai diri yang sudi bersahabat dengan diri ku yang hina lagi banyak dosa ini,

Tidak cintakah engkau kepada Rasulullah SAW ?

Di akhir kalam baginda, hanya melafazkan UMAT KU, UMAT KU, UMAT KU

Hatta baginda amat merindui umat baginda di akhir zaman. Umat yang berjuang dan berkorban demi mendaulatkan Islam. Walau sosok tubuh dan wajah baginda tidak pernah di lihat mereka.

Apakah kita yang dicintai dan dirindui oleh Rasulullah SAW ?


Genentech Ltd

28 June 2011





No comments:

Post a Comment