Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, July 9, 2011

Rejab, Syaaban dan Ramadhan .... datang lagi ........;-)


Sabda Rasulullah SAW :



"Rejab itu bulan Allah, Sya`baan itu bulan aku dan Ramadhan itu bulan umatku."



Pejam celik …. Pejam celik …. Pejam celik …. Kelip pok …. Kelip pok … kelip pok ….Rejab sudah di penghujung. Syaaban menjelang lagi. Rejab muncul sewaktu aku bersama keluarga ku di Tanah Suci melakukan ibadah umrah dan ziarah. Jadi tak banyak yang dapat ku bicarakan tentang rejab kali ini.




Setiap kali kedatangan Rejab … hadis di atas akan dibacakan. Maka ramailah umat Islam yang memilih jalan Kitab Kuning bersiap-siap untuk menambah amal ibadah dan mengistiqamahkan amalan yang sedia ada bagi menjadikan hari-hari yang dilalui akan menjadi lebih baik dan lebih soleh dari hari-hari yang sudah berlalu.



Dan tidak kurang juga generasi muda yang cintakan agama tetapi tidak menurut disiplin dan adab menuntut ilmu, akan “bising-bising” dan tidak selesa dengan hadis berkenaan. Sambil marah-marah, mereka mengatakan hadis itu DAIF….. Yang menghairankan, mereka marah apabila ada orang beramal dengan hadis daif. Sedangkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi RH tidak pula mereka amalkan. Contohnya hadis yang menyatakan Rasulullah SAW memakai serban, generasi kaum muda ini tak pula berusaha mengamalkannya. Lebih-lebih pun, mereka pakai songkok tinggi. Hakikatnya, kebanyakan dari mereka solat pun kepala tak bertutup, sedangkan Rasulullah SAW bersabda solatlah sebagaimana baginda bersolat. Pastinya Rasulullah SAW bersolat sambil memakai serban …… hmmmmm …. Apa nak jadi budak-budak zaman sekarang ?



Sebenarnya mereka-mereka ini berjuang bukan atas dasar hati yang mencintai ALLAH dan Rasulullah SAW. Sebaliknya mereka berjuang atas dasar ingin meluahkan emosi dan escapism dari permasalahan dunia. Mungkin suatu masa dulu mereka jadi mufti, tetapi kontraknya tidak diperbaharui, dia tiada kerja tetap. Lantas mencari isu untuk mencuri perhatian pihak-pihak yang mampu menyara hidupnya. Tak mustahil, sebab kalau Mufti Mesir yang alim dan warak pun dibidasnya. Mengapa tidak kan ? Semuanya kerana hendakkan perhatian hehehe.

Salahkah kita berpegang dan beramal dengan hadis daif ?

Tak salah kita beramal dengan hadis daif. Yang salah ialah beramal dengan hadis maudu’ (hadis palsu).

Hadis yang daif ialah hadis yang mempunyai sanad yang tak bersambung kepada Rasulullah SAW, sama ada mursal, mua’llaq, mudallas, munqati’ atau mu’dal, serta diriwayatkan oleh seseorang yang tidak kuat ingatannya dan mengandungi kejanggalan hingga tidak dapat dikategorikan sebagai sahih ataupun hasan. Contohnya ialah hadis di atas.

Hadis Maudu', ialah hadis rekaan sendiri yang dinyatakan KONONNYA kata-kata dari Rasulullah SAW. Ianya tiada sanad hadis, tiada lafaz hadis, lebih-lebih lagi tiada integeriti hadis berdasarkan ilmu hadis. Contoh hadis palsu seperti dibawah :



Dari Saidina Ali: Pemuda bani Tamim itu:

a. berketurunan Arab, kabilah Quraisy dari bani Tamim tetapi Arabnya telah tipis sebab bercampur dengan orang Ajam,

b. badannya tidak tinggi dan tidak rendah

c. susuk tubuhnya tidak kurus dan tidak pula gemuk.

d. Janggutnya jarang, ciri-ciri bangsa Arab sudah tidak pekat lagi.

e. Ciri-ciri pengikutnya: wanita bagai gagak-gagak hitam, lelaki berserban dan berjubah hijau.

f. Jika berjalan, kumpulan ini menutup bumi dan menggerunkan hati memandang.

g. Panji-panji hitam yang dibawanya berkibar dari Khurasan. Bendera itu akan diserahkan kepada Imam Mahdi.

h. Dia dikatakan al-Mansur (pembantu).

i. Dia membentuk sebuah jemaah yang dipimpinnya sendiri dan mempunyai pengikut yang agak ramai.

j. Giginya macam kapak (sulah).



Hadis di atas adalah palsu kerana dari seorang wanita bernama Latifah Abdul Kahar terus kepada Saidina Ali terus kepada Rasulullah SAW. Persoalan yang boleh dibangkitkan, dari Latifah Abdul Kahar kepada Saidina Ali, siapa penutur hadis tersebut ?

Tiada lafaz hadis.

Tiada sanad yang bersambung hingga kepada Rasulullah SAW, sebagaimana ditetapkan oleh disiplin ilmu hadis, seperti illustrasi sanad seperti dibawah :

Pencatat Hadis kepada Penutur 4 kepadaPenutur 3 kepada Penutur 2 (Tabiin) kepada Penutur 1 (Sahabat) kepada Rasulullah SAW.

Jadi nyatalah hadis tersebut adalah hadis maudu’ atau hadis palsu.



Sabda Rasulullah SAW :

Dari Ali bin Abu Talib RA, Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian berdusta atas namaku. Sesungguhnya barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka dia akan masuk neraka.” Dalam riwayat Bukhari, “Hendaknya dia masuk ke neraka.” (HR. Bukhari dalam Kitab al-’Ilm, dan Muslim dalam Mukaddimah Shahihnya, lihat al-Jam’u Baina ash-Shahihain, hal. 8 )



Berkenaan hadis :

Sabda Rasulullah SAW :



"Rejab itu bulan Allah, Sya`baan itu bulan aku dan Ramadhan itu bulan umatku."



Imam Sayuti RH telah memasukkan hadis tersebut dalam kitabnya Al Jamius Saghir Fi Ahadisil Basyiirin Naziir. Imam Sayuti RH menyatakan bahawa hadis berkenaan mempunyai sanad yang mursal kepada seorang tabiin iaitu Syeikh Hassan Al Basri. Kenyataan Imam Sayuti ini juga disokong oleh Imam Al Munawi yang mengarang kitab Faidhul Qadiir yang merupakan kitab syarah bagi Jamius Saghir oleh Imam Sayuti. Sementara Imam Ad Dailami dalam kitabnya Musnad Al Firdaus, meriwayatkan hadis yang sama dan bersambung kepada sahabat Rasulullah SAW iaiti Saidina Anas RA.

Jadi kepada generasi muda yang cintakan Islam tetapi tersasar landasan perjuangannya, kembalilah ke manhaj perjuangan yang sebenar.

Bulan Rejab juga menyaksikan peristiwa Isara’ dan mi’raj oleh Rasulullah SAW dari Mekah ke Baitul Maqdis dan seterusnya ke Sidratul Muntaha dalam satu malam.



Waktu aku melaksanakan umrah tempohari, dari Jeddah bertolak ke Madinah jam 2.30 am, kami sampai Madinah jam 9.00 am. Dari Madinah, bertolak jam 1.30pm, sampai Mekah jam 8.00pm. Tapi Rasulullah SAW, dari Mekah ke Masjidil Aqsa, seterusnya ke Sidratul Muntaha kemudian kembali ke Mekah, hanya berlaku dalam satu malam.



Maka orang-orang yang memusuhi iman pun berkata …. “Muhammad penipu” …. “Muhammad gila” …. “Muhammad majnun” …. Malah kesempatan ini juga diambil oleh golongan munafik di zaman kini untuk mengelirukan umat Islam. Golongan munafik ini mengatakan, Rasulullah SAW tidak isra’ dan mi’raj dengan jasad. Sebaliknya Rasulullah SAW hanya BERMIMPI di isra’ dan di mi’rajkan. Tidak kurang juga golongan yang sesat ini menukar istilah dalam peristiwa isra’ dan mi’raj. Golongan yang sesat ini menyatakan Saidina Abu Bakar TAKSUB kepada Rasulullah SAW sehingga membenarkan isra’ dan mi’rajnya Rasulullah SAW. Perkataan IMAN, diubah menjadi TAKSUB. Istilah iman dan istilah taksub itu dua istilah yang berbeda dan berlainan sifat. Iman dilandaskan ilmu. Taksub pula TIDAK berlandaskan ilmu. Jadi kepada umat Islam kini, berhti-hatilah. Terlalu banyak anasir yang cuba menyesatkan aqidah umat Islam secara halus.



Arwah atok aku bercerita … katanya WAJIB bagi setiap Muslim mempercayai dan meyakini bahawa Rasulullah SAW itu di isra’ dan di mi’rajkan dari Mekah ke Baitul Muqaddis seterusnya ke Sidratul Muntaha dan kembali ke Mekah dalam satu malam dalam keadaan jaga bersama jasad dan roh. Wajib juga kita mempercayai bahawa Saidina Abu Bakar As Siddiq menyokong dan membenarkan peristiwa Isra’ dan mi’raj kerana keimanannya yang berlandaskan ilmu hasil tarbiah Rasulullah SAW, bukan atas dasar taksub. Sebagaimana rukun iman menyatakan wajib beriman kepada Nabi dan Rasul, maka wajiblah bagi setiap umat Islam yang beraqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah meyakini bahawa wajib para Rasul dan Nabi bersifat Siddiq serta Sadiqul Masduq ( bersifat benar dan dibenarkan kata-katanya).



Walau ada segolongan manusia yang menuduh Rasulullah SAW boleh bersifat dusta dengan menjanjikan sesuatu yang tak pernah ditepati janjinya. Sesungguhnya golongan ini adalah sesat lagi menyesatkan kerana menafikan sifat Siddiq bagi Rasulullah SAW.



Arwah atok ku juga bercerita … tahun 619 Hijrah adalah tahun kesedihan bagi Rasulullah SAW. Pada tahun itu, isteri tercinta Rasulullah SAW iaitu Siti Khadijah RA dan paman baginda SAW, Abu Talib yang menjadi perisai kepada baginda atas ancaman kafir Quraisy telah meninggal dunia. Maka tentangan dan ancaman dari kafir Quraisy semakin memuncak. Pada tanggal 27 Rejab 620 Hijrah, ALLAH menjemput Rasulullah SAW dalam peristiwa isra’ dan mi’raj, untuk menerima amalan yang paling utama iaitu ibadah solat.



Dan Syaaban yang bakal menjelang, di dalamnya terkandung pesta ibadah Nisfu Syaaban juga bakal di kritik hebat oleh orang-orang yang mendakwa ingin menegakkan salaf dengan membasmi amalan hadis daif. Sedangkan orang yang sedemikian, hadis sahih pun mereka tak beramal.



Lantaran itu, aku senaraikan secara ringkas akan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sepanjang isra’ dan mi’raj Rasulullah SAW. Semoga kita mengambil iktibar dan menjadikan diri kita lebih baik dari hari-hari yang sudah berlalu.



Peristiwa Isra'



1. Orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat.Gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah

2. Rasulullah SAW mencium bau yang wangi iaitu bau tukang sikat Firaun yang beriman kepada Allah bernama Masyitah.

3. Sekumpulan manusia menghempas kepala masing-masing ke batu berulangkali hingga pecah. Gambaran orang yang berat melakukan solat fardhu.

4. Kumpulan manusia telanjang memakan rumput berduri, buah zakkum yang sangat pahit dan makan bara api Jahannam. Balasan orang yang tidak suka menderma, bersedeqah dan tidak mengeluarkan zakat.

5. Orang yang mengguntingkan lidah tidak berhenti-henti. Balasan orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkannya.

6. Sekumpulan manusia makan daging busuk sedangkan ada daging baik, balasan orang yang berzina sedangkan dirinya ada isteri yang sah.

7. Orang yang tenggelam timbul dalam lautan darah dan dilemparkan dengan batu. Balasan orang yang makan riba.

8. Kumpulan manusia mencakar-cakar muka dan dada dengan kuku yang tajam. Balasan orang yang suka mengumpat.

9. Orang yang membawa berkas kayu yang banyak tidak terangkat olehnya. Balasan oarang yang menerima amanah tetapi tidak sanggup melaksanakannya.

10. Seekor lembu keluar dari lubang kecil tetapi tidak dapat masuk semula ke dalam lubang tersebut. Gambaran orang yang suka bercakap besar.



Peristiwa Mi'raj



1. Wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

2. Wanita tergantung pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk. Balasan wanita yang tidak menutup auratnya (rambut)

3. Wanita berkepala seperti babi, badannya seperti kaldai dan menerima berbagai balasan wanita yang suka membuat fitnah, bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

4. Wanita yang mukanya hitam dan memamah isi perutnya sendiri. Balasan wanita yang mengoda dan menghairahkan lelaki.

5. Lelaki dan wanita yang ditarik kemaluannya ke depan dan ke belakang serta dilontar mukanya ke api neraka. Kemudian ditarik dan dipukul hingga keluar api dari badannya. Balasan orang yang membesarkan diri dan takabur kepada orang ramai.

6. Lelaki dan wanita dimasukkan besi pembakar daging dari duburnya, keluar hingga ke mulutnya. Balasan orang yang membuat fitnah, mengejek dan mencaci.

7. Wanita tergantung rambutnya di pohon Zakkum, api neraka membakarnya lalu kering kecut dagingnya terbakar. Balasan wanita yang minum ubat untuk membunuh janin.

8. Wanita dibelenggu dengan api neraka, mulutnya terbuka luas, keluar api dari perutnya. Balasan wanita yang menjadi penyanyi tidak sempat bertaubat.

9. Lelaki dan wanita yang masuk api ke dalam perut dari duburnya lalu keluar dari mulut. Balasan orang yang makan harta anak yatim.

10. Lelaki dan wanita kepalanya terbenam dalam api, dituang pula air panas ke badannya lalu melecur seluruh tubuhnya. Balasan orang yang berusaha ke arah pergaduhan sesama manusia.



Wassalam.

.

No comments:

Post a Comment