Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Sunday, November 14, 2010
THE ULTIMATE DESTROYER
PEMUSNAH IBADAH
1. Muqaddimah Perkara Mencacatkan Ibadah
2. Riyak
3. Ujub
4. Perkara Yang Mendorong Kepada Ujub dan Riyak
5. Kesan Sifat Riyak & Ujub Ke Atas Diri dan Masyarakat
6. Jalan Penyelesaian : Ubat Kepada Penyakit Riyak & Ujub
1. Muqaddimah Perkara Yang Mencacatkan Ibadah
Dalam menyelusuri perjalanan menghampirkan diri kepada Allah SWT, seseorang muslim yang telah berjaya melalui 5 halangan yang menagih pertempuran, terpaksa pula melalui dan menempuh halangan yang ke-6. Halangan yang ke-6 ini juga terpaksa ditempuhi dengan usaha yang gigih bagai seorang tentera bertempur di medan perang. Malah halangan yang ke-6 inilah yang menjadi titik tolak, sama ada, 5 pertempuran yang pernah di menangi sebelum ini, dapat digunakan dalam mentaati Allah SWT serta menjauhi larangan Nya. Kegagalan dan kekalahan dalam pertempuran yang ke-6 ini menyebabkan si pejuang terpaksa berundur semula ke titik permulaan. Dan mendaki semula tangga pertempuran dari awal satu per satu. Inilah kesan kekalahan dalam pertempuran yang ke-6. Halangannya tidak banyak. Hanya dua. Namun impak yang berlaku amat besar, mendalam serta merugikan individu. Maka dengan itu pertempuran yang ke-6 ini dinamakan sebagai pertempuran berhadapan dengan perkara yang mencacatkan ibadah. Ada dua perkara yang menyebabkan ibadah seseorang menjadi cacat. Yang pertama ialah riyak dan yang kedua ialah ujub.
2. RIYAK
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (Al Baqarah ayat 264)
Apakah makna riyak ? Riyak ialah ungkapan atau pekerjaan yang dilakukan dengan niat selain dari mengharapkan keredaan Allah. Membuat sesuatu kerana ingin dipuji atau takut dikeji. Setiap amal dilakukan demi mengharap penghargaan dari makhluk dan bukan Al Khaliq Yang Maha Agung. Lebih malang, sifat riyak ini sanggup menafikan kebenaran, walaupun dirinya tahu apa yang dilakukan itu suatu kemungkaran. Dan yang paling hina dan malang, bukan setakat sanggup menafikan kebenaran dan mendewakan kemungkaran, Mereka yang mempunyai sifat riyak ini kerana kerakusan sanggup menentang kebenaran walaupun dirinya tahu, kebenaran itu adalah hakiki. Inilah yang berlaku kepada Azazil.
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekamunya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Al Baqarah 34)
Rasulullah SAW juga telah bersabda: "Sesungguhnya yang paling saya takutkan pada kamu adalah syirik paling kecil" Para sahabat bertanya: "Apa yang dimaksudkan syirik paling kecil itu?" Baginda menjawab: "Riyak." Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari semua amal hamba dibalas (hari kiamat): "Datangilah orang yang dulu kamu tunjukkan amal kamu padanya di dunia, lihatlah apakah kamu mendapatkan balasan daripada mereka." (Hadis riwayat Ahmad dan Al Baghawi )
Azazil tahu bahawa Adam AS adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, dan Azazil juga tahu bahwa hanyasanya Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa, namun Azazil sanggup menjadikan dirinya Iblis laknatullah. Iblis menentang kebenaran yang sememangnya diketahui olehnya, semata-mata kerana riyak dan merasakan diri sempurna. Apa yang dilakukan oleh Iblis ialah kerana ingin mengharapkan penghargaan makhluk, kerana dulu dia merupakan Tok Guru kepada para malaikat. Mana mungkin Tok Guru kepada para Malaikat mesti tunduk menghormati seorang manusia yang dibuat dari tanah yang hina bernama Adam ? Seandainya penghargaan makhluk yang dicari, nah inilah natijahnya, kemurkaan Allah yang diperolehi. Oleh itu marilah kita berusaha untuk mengikhlaskan hati. Kerana lawan kepada sifat riyak adalah ikhlas.
3. UJUB
Rasulullah SAW bersabda :
Sekairanya kamu tidak pernah berdosa, tentulah aku takut kalau kamu ditimpa dosa yang lebih besar iaitu ujub (rasa kagum dengan diri sendiri = syok sendiri) (Riwayat Al Bukhari)
Apakah makna ujub ? Ujub ialah suatu perasaan yang menjadikan seseorang itu rasa hairan dengan dirinya. Rasa dirnya amat istimewa lain dari yang lain. Atau dalam istilah kasar Melayu, syok sendiri atau perasan. Akhirnya sifat ini akan menjadikan yang empunya diri terlalu membesar-besarkan diri hingga melupakan hak Allah SWT. Sifat ujub inilah juga yang menjadi sifat Azazil. Disebabkan diri Azazil yang menjadi Tok Guru kepada para Malaikat, maka Azazil merasakan dirnya sudah hebat. Maka dia engkar kepada kebenaran, walaupun dia tahu kebenaran itu adalah hakiki yang dating dari Allah SWT. Azazil sanggup menjadi Iblis laknatullah semata-mata kerana merasakan dirinya Maha Hebat dan Maha Pandai.
Maka wajib ke atas setiap muslim untuk mengabdikan diri kepada Allah menjauhi sifat ujub kerana :
Ujub menghalang taufik dan rahmat Allah. Apabila tiada taufik dan rahmat dari Allah, maka hinalah manusia dan binasalah hidupnya dunia dan akhirat.Ujub merosakkan amal soleh.
Sebab itu, dalam kitab-kitab kuning, ada disebut ; Ketahuilah olehmu, bahawasanya ujub itu ialah menganggap agung atas amal soleh, ilmu yang diperbuat oleh dirinya sendiri. Contohnya dengan mengatakan "Akulah yang paling soleh, tidak ada orang lain yang melebihi kesolehanku". Menurut perkiraan si hamba bahawa yang menjadi sebab berhasilnya kemuliaan amal soleh itu ialah dengan sebab adanya suatu perkara, bukan dengan pengantaraan Allah, atau dengan sebab manusia itu sendiri.
Imam Al Ghazali dalam Minhajul Abidin menyatakan. Walaupun ada factor-faktor lain yang boleh mencacatkan ibadah, tetapi pokok kepada factor-faktor yang lain adalah riyak dan ujub.
4. Perkara-perkara Yang Boleh Mendorong Kepada Sifat Ujub & Riyak
Sifat riyak dan ujub ini ada dalam diri setiap manusia. Dan kedatangannya bagai angin bayu tanpa kesedaran kita. Setiap kelebihan dan nikmat anugerah Allah yang ada dalam diri kita walaupun sedikit, mampu mencetus rasa riyak. Lebih-lebih lagi jika kelebihan dan nikmat yang menjadi milik kita bukan sedikit. Antara nikmat dan kelebihan yang boleh menjadi asbab ke arah sifat riyak ialah :
1.Darah keturunan
2.Jawatan pangkat kebesaran
3.Harta yang menggunung
4.Ilmu yang banyak
5.Wajah dan paras rupa yang indah dan cantik
6.Pengikut yang ramai
7.Kelebihan-kelebihan yang pada kebiasaan yang tidak terdapat pada orang lain
5. Kesan Ujub Dan Riyak Kepada Diri dan Masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW;
Tiga perkara yang membinasakan manusia(Pertama) Kikir yang diikuti(dan Kedua) Hawa nafsu yang diikuti yakni mengikut perbuatan yang disukai oleh nafsunya(dan Ketiga) rasa ujub seorang akan dirinya.Kesan dua sifat mazmumah ini terhadap diri pemiliknya ada dua jenis kerosakan yang akan menimpa dirinya.
Pertama ialah pembuat ujub dan riyak akan menerima 2 keaiban. Kedua ialah pembuat riyak akan menerima 2 musibah.
Dua keaiban itu ialah :Keaiban secara samar iaitu diaibkan Allah di hadapan para malaikat. Amal ibadahnya tidak diterima oleh Allah SWT. Malah Allah memerintahkan para malaikat mencampakkan amal ibadah tersebut ke muka si pembuat ujub dan riyak.Keaiban di hadapan seluruh manusia di Padang Mahsyar, dari manusia pertama yang hidup dimukabumi iaitu Nabi Adam AS, hinggalah manusia yang terakhir hidup di kala Israfil meniup semboyan sangkakala. Maka tidak hairanlah ada juga berlaku manusia yang ujub dab riyak, diaibkan Allah di dunia lagi sebelum diaibkan di akhirat.
Dua musibah ialah :Syurga haram ke atasnya, kerana pembuat ujub dan riyak menanggung akibat buruk dari perlakuannya sehingga terjerumus ke dalam kekafiran sebagaimana yang berlaku kepada Azazil. Lantas tercabutlah iman dan terjerumus ke dalam neraka.Neraka tempat perhentiannya. Inilah tempat perhentian yang sewajarnya buat manusia yang ujub dan riyak.
Seandainya hati tidak dididik dengan iman, maka kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada kita akan menjadi asbab untuk seseorang manusia berlaku riyak.
Apabila seseorang berlaku ujub dan riyak, maka wujudlah jurang perbezaan antara orang yang menerima nikmat Allah dan orang yang kurang beroleh nikmat. Yang menerima nikmat akan memandang rendah kepada yang hidup dalam kekurangan. Maka jurang perbezaan dan jurang perpecahan semakin besar. Hancurlah ukhwah, justeru itu memberi ruang kepada musuh Islam untuk menakluki umat Islam.
Hakikatnya, kelebihan dan nikmat yang dianugerahkan Allah buat kita di dunia ini, bukanlah wasilah untuk kita menunjuk-nunjuk dan berlakuujub atau pun riyak, sebaliknya adalah ujian dari Allah sama ada kita mampu mensyukuri nikmat tersebut dan berkongsi kelebihan yang kita miliki bersama-sama dengan orang yang kurang bernasib baik. Agar nantinya, berputik bunga ukhwah dan kasih sayang, serta hubungan sesama manusia saling lengkap-melengkapi.
Ingin ditegaskan, sifat ujub dan riyak ini mampu menyerang sesiapa sahaja. Orang yang tidak mempunyai sebarang kelebihan juga mampu menjadi ujub dan riyak. Tetapi malang dan bodohlah dirinya kerana berlaku ujub dan riyak dalam keadaan serba kekurangan. Bak kata pepatah melayu, menjadi seorang yang bodoh sombong. Dan sifat ujub dan riyak yang paling hina ialah apabila telah nyata akan kebenaran, maka kita memalingkan diri dari kebenaran, malah kita menentang dan memusuhi kebenaran. Di kala ini, martabat kita saling tidak tumpah sifat si iblis yang dilaknati Allah. Maka memang sewajarnyalah, manusia yang bersifat ujub dan riyak ini, dijerumuskan ke lembah penghinaan di dunia dan dibakar di neraka.
Seandainya seseorang Muslim benar-benar yakin dengan akhirat dan rukun iman yang lain, pastinya mereka tidak akan celupar untuk berlaku riyak. Kerana mereka sedar hakikat kejadian manusia adalah dari setitis air mani yang hina lalu dijadikan batang tubuh jasad manusia. Dan kejadian manusia itu sendiri adalah sebagai seorang HAMBA. Tidak lebih dari itu. Maka sewajarnyalah setiap perlakuan si Hamba, adalah untuk mendapat keredhaan dari Tuhannya dan bukan untuk hidangan hamba-hamba yang lain. Maka dengan sebab itulah, untuk mengatasi sifat riyak, hendaklah seseorang itu berlaku ikhlas.
6. Ubat Riyak dan Ujub serta Cara Membersihkan Hati Daripada Riyak dan ujub Kita telah mengetahui bahawa riyak dan ujub menghapuskan amal, mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan pembinasa yang paling besar. Kalau memang begitu keadaannya, maka sudah sepatutnya kita sungguh-sungguh mengatasinya. Untuk mencabut akar umbi riyak dan ujub, maka hendaklah seseorang muslim mempunyai sifat ikhlas. Ikhlas adalah lawan kepada sifat riyak sementara tawadduk adalah lawan kepada sifat ujub. Ada beberapa peringkat untuk memperolehi sifat ikhlas dan tawadduk.
Pertama: Memotong akar atau asal-usul datangnya penyakit ini iaitu suka dipuji, terasa amat pahit sekiranya dicela dan sangat tamak untuk dimiliki apa yang dimiliki orang lain. Tiga perkara inilah yang menggerakkan seseorang bersifat riyak dan ujub. Cara mengatasinya: Kita perlu sedar bahaya riyak dan ujub dan akibat yang ditimbulkannya seperti menghalang seseorang memperoleh hati yang baik (bersih), mendapatkan taufik di dunia, tidak mendapatkan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat nanti, balasan yang akan diterima berupa seksaan kemurkaan yang dahsyat dan kehinaan yang nampak. Bagaimanapun, jika seorang hamba memikirkan kehinaan tersebut, kemudian membandingkan apa yang didapatkannya berbanding akibat yang diperoleh, ia dengan mudah akan menghilangkan keinginan tersebut. Seperti seseorang yang mengetahui bahawa madu itu lazat, tetapi sekiranya di dalamnya terdapat racun yang boleh mendatangkan keburukan, ia akan meninggalkan madu tersebut.
Kedua: Menghilangkan pelbagai (bisikan) yang datang mengganggunya ketika melakukan ibadah. Orang yang inginkan kebaikan akan memerangi penyakit di dalarn jiwanya dengan memotong punca-punca riyak dan ujub, menghilangkan rasa tamak dan menganggap hina pujian dan celaan orang. Jika terbetik dalam benaknya bahawa orang-orang sedang melihatnya, ia akan melawannya dengan mengatakan pada dirinya: Apa keperluan mu dengan orang-orang itu, sama ada mereka tahu. atau tidak keadaan dirimu, yang pasti Allah SWT mengetahui keadaan dirimu. Apa faedahnya orang mengetahui amal kita? Jika keinginan untuk mendapatkan pujian sedang bergejolak, ingatlah akan penyakit riyak dan ujub yang ada dalam hati yang akan menyebabkan seseorang mendapatkan murka Allah SWT dan kerugian yang besar di akhirat nanti.
Oleh itu, untuk memotong akar asal usul ujub dan riyak, serta untuk menghilangkan bisikan yang datang, seseorang muslim hendaklah :
1.Memperkemaskan ilmu Fadhu Ain dan beramal dengannya. Dengan itu seseorang muslim akan sedar bahwa dirinya adalah hamba Allah yang hina. Hanya Allah tempat dipersembahkan segala amalan, bukan kepada makhluk. Hanya kepada Allah seseorang mengharapkan balasan dan bukannya mengharap anugerah pemberian makhluk.
2.Apabila menerima nikmat, segeralah mengingati Allah dan ucapkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi. Lantas segeralah beristighfar kepada Allah kerana takut nikmat yang bakal diperolehi menjadikan kita lupa bahawa nikmat itu merupakan ujian bujat diri kita. Bersegeralah mengucapkan la haula wala quwata illa billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk Allah.
3.Apabila menerima nikmat, segeralah juga kita bandingkan nikmat yang kita perolehi itu dengan nikmat orang lain yang lebih besar dan berharga. Agar kita sedar bahwa nikmat yang kita perolehi itu tidak seberapa dan bila-bila masa sahaja Allah mampu menariknya semula. Dengan itu kita mampu bersyukur.
4.Apabila ditimpa musibah, segeralah kita membandingkan musibah tersebut dengan musibah orang yang lebih teruk dari kita. Agar nantinya kita akan bersabar dan redha dengan ketentuan Allah atas kita.
5.Sentiasalah menggauli orang yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kerana ianya menjadikan kita insaf akan kedudukan kita sebagai makhluk Allah yang lemah. Maka tidak hairanlah ulamak-ulamak sufi dalam mendidik murid mereka agar tidak berlaku riyak dan ujub, anak-anak murid mereka dihina oleh mereka di khalayak ramai. Ini jelas diceritakan dalam kisah Sheikh Abu Yazid Al Bustami dan Sheikh Hassan Al Basri, mereka menghina dan mengaibkan orang-orang yang ujub dan riyak yang sedar mereka berbuat kemungkaran tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada kebenaran. Maka AL Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub menegaskan, harus mengaibkan orang yang ujub dan riyak di khalayak ramai sebagaimana harus seorang yang zalim diumpat, agar tindak tanduk mazmumahnya tidak diikuti oleh orang lain.
6.Bermujahadatunnafsi melalui tiga peringkat yang pernah dibincang dalam pertempuran yang lalu iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Bertafakur. Memikir akan kebesaran Allah SWT.Semoga syarahan yang ringkas ini mampu kita jadikan panduan untuk terus menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Salah Meninggalkan Ketaatan kerana Takut Riyak dan ujub
Ada orang yang meninggalkan amal kebajikan kerana takut riyak dan ujub. Ini satu sikap yang salah, sesuai dengan keinginan syaitan untuk mengajak manusia malas (beramal) dan meninggalkan kebaikan. Jika dorongan hati untuk beramalnya adalah benar dan sesuai dengan tuntunan syariat, maka jangan meninggalkan amal kerana ada bisikan yang takutkan jika beramal kerana riyak dan ujub. Yang baiknya, seseorang itu berusaha mengatasi bisikan tersebut dan menanamkan dalam dirinya malu terhadap Allah SWT dan mengganti harapan mendapat pujian manusia dengan harapan kerana Allah SWT, Fudhail bin Iyadl berkata: "Beramal kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak dan ujub dan ikhlas adalah ubat yang akan menyelamatkan manusia daripada kedua penyakit tersebut. "
Hukamak juga ada berkata: "Barang siapa yang meninggalkan amal kerana takut tidak ikhlas maka ia telah meninggalkan ikhlas dan amal."
Mutiara Damansara
7 Oktober 2010
4 :57 am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment