Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Sunday, November 14, 2010

Tipah ... Tipah ... Tipah TERTIPU


GHURUR: TERPEDAYA ATAU TERTIPU

Kitab Siyarus Salikin juz3 oleh Syeikh Abdus Samad Al-Jawi Al-Palembani

Hakikat Ghurur: iaitu seseorang menyangka baik sesuatu yang kelihatan baik, sedangkan pada hakikatnya bertentangan dengan sangkaannya.

Firman Allah:“Janganlah kehidupan dunia itu memperdayakan kamu dan janganlah perasaan ghurur itu memperdayakan kamu terhadap Allah Taala.” -Surah Luqman ayat 33.

Barangsiapa yang beriktiqad dirinya beroleh kebajikan bererti ia telah terpedaya. Yang lebih terpedaya lagi ialah orang kafir, orang yang melakukan maksiat dan orang fasik kerana menyangka diri mereka berada di dalam kebajikan dan mereka lupa akan kejahatan diri mereka.




Orang yang terpedaya dengan Ghurur itu banyak dan terdiri daripada empat golongan:


1. PARA ULAMA

Kata imam Malik r.a:“Barangsiapa menuntut ilmu Feqah yang Zahir dan tidak menuntut ilmu Tasawuf yang batin maka sesungguhnya ia menjadi Fasik.”

Imam Ghazali rahimahullahu taala telah menyebut secara terperinci mengenai ulama yang terpedaya di dalam Kitab Ihya Ulumuddin di dalam bab ini.

Barangsiapa yang tidak mengetahui akan Ilmu yang mengetahui tentang keaiban dirinya iaitulah Ilmu Tasawuf yang batin atau mengetahui akan keaiban diri tetapi tidak pula bersungguh-sungguh menghapuskan keaiban diri yang di dalam batin, maka ia adalah seorang yang terpedaya.

Notes : Sedutan dari Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub

Sabda Rasulullah SAW : Seorang yang alim faqih yang memberati dengan wara', terlebih payah atas syaitan menipudayanya dari seribu abid yang bersungguh-sungguh pada yang jahil lagi wara'.

Orang yang wara' tetapi alim itu lebih baik dari seorang ahli ibadah tetapi jahil. Pengertian wara' dalam qamus cthnya aqrabul Mawarid Warak bermaksud meninggalkan sebarang bentuk maksiat dan perkara syubhat kerana Allah swt, ataupun meninggalkan perkara2 yg dianggap biasa kerana takut ia dinilai sebagai dosa, ini termasuk kata2 yg tidak berfaedah 2/1444.

Ulama bertanggungjawab beramal dengan ilmunya serta menyampaikan ilmu kepada masyarakat justeru mendidik mereka ke jalan iman. Agar masyarakat akan kembali kepada ALLAH dalam keadaan hati yang tenang sejahtera.

Golongan ulama terjerumus ke lembah tipu daya apabila mereka tidak menjadikan manfaat atas ilmu yang mereka miliki. Ilmunya tidak bermanfaat kepada diri. Ilmunya tidak bermanfaat kepada keluarga. Ilmunya tidak bermanfaat kepada masyarakat.

Lantaran ilmu tidak dimanfaati oleh dirinya, maka ilmu miliknya digunakan untuk menyuburkan mazmumah. Ilmu yang ada digunakan untuk melahirkan rasa sombong, takabbur, riyak dan ujub. Tidak kurang juga ilmu yang ada dijual dengan harga yang mahal kepada masyarakat. Hasilnya terbina benteng antara ilmu dan masyarakat. Lantas rosaklah masyarakat kerana kegagalan memiliki ilmu. Paling malang, ilmu yang ada digunakan bagi mempertikaikan isu-isu remeh di tengah masyarakat agar orang ramai melihatnya bagai seorang alim yang mampu membicarakan hal-hal khilafiah. Hasilnya, bukan masyarakat semakin terdidik dengan iman, sebaliknya semakin berpecah dan bergaduh.

Sabda Rasulullah SAW : Bahawasanya manusia yang sangat terseksa pada hari qiamat ialah orang alim yang tidak memberi manfaat dia akan ilmunya. ( Thabarani & Baihaqi )



2. GOLONGAN YANG BERIBADAT

Berbuat ibadat yang zahir seperti solat, puasa, berzakat, bersedeqah, menunaikan haji, membaca quran dan sebagainya sedangkan ia tidak membersihkan hatinya daripada maksiat-maksiat yang batin seperti riya’, ujub, sum’ah, kibir, hasad dengki, dan lain-lain lagi, maka ia telah terpedaya kerana ibadat yang zahir itu sahnya bergantung kepada pemulihan hati daripada sifat-sifat jahat yang ada di dalamnya.

Diantara orang yang terpedaya di dalam ibadat ialah orang-orang yang mensia-sia ibadat-ibadat yang difardhukan ke atasnya tetapi bersungguh-sungguh membanyakkan perkara-perkara sunat dan syarat-syaratnya. Melakukan solat tahajud malam, tetapi solat subuh diabaikan.

Manusia diciptakan bersama roh dan jasad. Ibadah juga ada ibadah yang zahir dan ibadah yang bathin (rohani). Orang yang hanya mengutamakan ibadah yang zahir tetapi mengabaikan ibadah yang bathin , adalah orang yang terpedaya.Banyak solat, banyak puasa, banyak baca Al Quran, banyak zikir tetapi sombong, ujub, riya', mengadu domba, iri hati dan lain-lain sifat mazmumah bertapak di hati.

Termasuk juga ahli ibadah yang terpedaya ialah abid yang mempersempitkan ibadah sekitar amalan-amalan sunat di masjid sehingga mengabaikan pembangunan perkara fardhu kifayah seperti pendidikan Islam, ekonomi Islam, siasah Islam, perubatan Islam dan lain-lain lagi. Sibuk berwirid zikir, tetapi lupakan dakwah. Sibuk berceramah di masjid tetapi tidak berdakwah kepada masyarakat yang rosak. Sibuk puasa sunat tetapi tidak menutup aurat. Dan lain-lain lagi.



3. AHLI-AHLI SUFI DAN ORANG-ORANG YANG BELAJAR ILMU TASAWUF.(As-Sufiyah wal-Mutasawwifah)


Antara sufi yang terpedaya itu lagi ialah orang yang belajar ilmu Hakikat seperti martabat tujuh dan segala yang ada kaitan dengannya tetapi tidak mempelajari Ilmu Syariat iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Feqah, seperti mana kata Imam Malik r.a:


“Barangsiapa yang mempelajari ilmu Tasawuf (yang membicarakan mengenai ilmu Hakikat) dan tidak mempelajari ilmu Feqah dan ilmu Ushuluddin, maka sesungguhnya ia menjadi Zindiq.”


Ahli-ahli sufi yang mengabaikan ilmu Usuluddin dan ilmu Feqah semata-mata mengejar makrifat, mereka sebenarnya tidak memahami tuntutan dalam menjalani hidup sebagai seorang muslim. Mereka tidak tahu matlamat hidup di dunia, mereka tidak tahu apa itu ibadah kepada ALLAH. Kebanyakan yang berlaku, orang yang terpedaya adalah orang yang hanya mementingkan hal-hal pelik kerohanian, hal-hala karomah, hal-hal khawariqul addah tanpa berpandukan ilmu syariat. Bagi golongan ini, perkara pelik dan aneh itulah kebenaran.


Bukanlah karomah yang hebat itu adalah keupayaan terbang diudara seperti burung atau berjalan di atas air seperti ikan. Tetapi karomah yang hebat dan mulia itu ialah apabila boleh mendidik orang-orang jahil dan jahat untuk menjadi orang yang beriman bertaqwa. Kerana mendidik orang dari zulumat ke arah nur iman, menyelamatkannya dari api neraka.


Akibat orang yang mengaku sufi tetapi enggan mempelajari ilmu syariat dan mengamalkannya, maka tidak hairanlah jemaah sufi yang haq difitnah oleh manusia-manusia yang jahil.

Sementara orang yang mempelajari ilmu Syariat yang zahir iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Feqah beserta dengan mempelajari ilmu Tasawuf dan bersungguh-sungguh mengikutinya iaitu bersungguh-sungguh mengamalkannya, ia memperolehi ilmu Hakikat iaitu ilmu Makrifatullahi Taala dengan sebenar-benar makrifat. Orang seperti ini tidak terpedaya, seperti mana kata imam Malik r.a:

“Barangsiapa menghimpunkan kedua-dua ilmu Feqah dan ilmu Tasawuf dengan mempelajari kedua-duanya maka sesungguhnya ia telah memperolehi ilmu Hakikat (iaitu ilmu Makrifatullahi Taala secara yakin dan muktamad.”


Maulana As-Saiyid Abdullah Al-’Aidarus r.a berkata:“Hendaklah kamu wahai saudara-saudaraku,mengikuti Al-Kitab iaitu Al-Quran dan mengikuti As-Sunnah atau Hadits nabi s.a.w iaitu Ilmu Syariat yang disyarahkan dalam kitab-kitab Imam Ghazali terutama yang terdapat dalam Kitabut Zikril-Maut, Kitabil-Faqri, Kitabut-Taubati dan Kitabu Riyadhatin-Nafsi, yang mana semuanya itu tersebut di dalam kitab Ihya Ulumiddin.”

“Kitab Ihya Ulumiddin di dalamnya terdapat rahsia ilmu Syariat dan ilmu Tariqat. Kitab Bidayatul Hidayah di dalamnya terdapat ilmu Taqwa iaitu ilmu yang membawa kepada ketaqwaan terhadap Allah Taala. Kitab Al-Arba’in Fi Usuluddin di dalamnya terdapat keterangan mengenai jalan yang lurus. Kitab Minhajul Abidin di dalamnya terdapat jalan yang menyampaikan kepada Allah dan Kitab Al-Khulashah Fil-Fiqhi di dalamnya terdapat ilmu dan amalan yang menerangi hati.”



4. MEREKA YANG PUNYAI HARTA DAN MEMBELANJAKANNYA


Mereka yang mempunyai harta dan membelanjakannya dalam kerja-kerja kebajikan dengan disertai Riya’ (menunjuk-nunjuk) atau Ujub’ (berbangga diri) atau Sum’ah atau kerana mahukan kemegahan atau mencari kemashuran dan supaya manusia menyebutnya sebagai pemurah hati yang mahukan pujian.



Diantaranya:


a. menyumbangkan harta untuk kerja kebajikan dari harta diperolehi secara haram seperti merampas atau menganiaya atau menipu harta orang sedangkan ia tamakkan mendapat pahalanya atau tamakkan dosanya diampuni.

b. Jika kerja-kerja kebajikan itu tanpa dituliskan nama mereka sebagai pihak yang mengeluarkan belanja nescaya enggan menyumbangkan harta itu.-ini riya’ atau sum’ah.

c. memberi harta untuk dibelanja menghiasi masjid atau madrasah daripada dibelanja untuk faqir miskin atau selainnya yang memerlukan kepada perbelanjaan untuk hidup di kawasannya.

d. Hiasan-hisan di masjid atau di madrasah itu mengganggu hati orang-orang yang solat.


Nota:Maksud Syariat yang zahir ialah ilmu Usuluddin dan ilmu Feqah.Maksud ilmu Syariat yang batin iailah ilmu Tasawuf.Ilmu Tasawuf iaitu ilmu Tariqat dan ilmu Hakikat.


Orang yang mengikuti jalan ilmu Tasawuf yang mengandungi ilmu Syariat yang zahir dan ilmu Syariat yang batin dinamakan Sufi yang Muhaqqiq.


10 November 2010
4.45am

No comments:

Post a Comment