13 Ogos 2009 ... Hari Ini Dalam Sejarah .... seorang lagi sahabat ku kembali ke rahmat ALLAH. Allahyarham Ustaz Mohd. Asri bin Ibrahim. Dalam munajat ku, aku mendoakan agar engkau tenang mkembali ke rahmat NYA. Al Fatihah buat Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim.
Pemergian sahabat ku mengundang ingatan ku kepada ahli-ahli keluarga ku yang telah pergi mengadap ALLAH. Aku terkenang arwah Ummi yang menjadi ibu susuan ku sewaktu ibu, ayah dan atok ku mengerjakan haji di tahun 1969. Umur ku belum pun setahun waktu itu.
Lantas ingatan ku mengimbas akan peristiwa silam yang berlaku hampir setahun nan lalu ......
14 April 2008.
Sebaik sampai mendarat di airport Sultan Mahmud, siang tadi, aku dijemput oleh sahabat2 ku dan terus bertolak ke rumah ibu ku. Dalam perjalanan dari airport ke Kuala Besut, aku melalui kampung Batu Rakit. Lalu aku minta sahabat yang memandu Pajero tu melencong ke rumah arwah Ummi. Sebaik sampai di hadapan rumah, aku keluar dari Pajero. Aku renung rumah usang tersebut yang sudah tidak berpenghuni. Perlahan2 aku berjalan ke arah rumah dan duduk di anjung rumah.
Aku masih ingat, ketika pakcik ku yang pergi ke laut untuk mencari rezeki yang halal buat keluarganya, tidak pulang-pulang sehinggalah ke hari ini. Di anjung itulah Ummi menghayun buaian adik sepupu perempuan ku yang sedang lena tidur, sambil menunggu suaminya tanpa jemu dengan harapan suami tercinta akan pulang ke sisi keluarga tercinta.
Dan ingatan ku mengimbas kenangan silam serta telinga ku seolah-olah mendengarkan alunan nazam .....
Muga-muga Allah, Tuhan kami, sejahterakanlah cahaya yang nyata,
Ahmad yang terpilih, penghulu sekelian pesuruh-pesuruh Allah,
Dan sejahterakanlah juga keluarga dan sahabat-sahabatnya.
Sifat yang wajib bagi Allah
wujud, sedia, kekal, berlainan dari segala yang lain,
cukup dengan sendirinya, tunggal, berkuasa,
berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar,
melihat, berkata-kata,
Dan keadaan NYA berkuasa, berkehendak,
dan keadaan NYA mengetahui, hidup, mendengar,
dan juga keadaan NYA melihat, berkata-kata.
Lawan kepada sifat tadi dua puluh jua,
Iaitu sifat-sifat kekurangan yang mustahil bagi Allah
Tiada, ada permulaan, lenyap atau hapus,
menyamai makhluk NYA ( Maha Suci Allah)
Tidak cukup dengan sendirinya, berbilangan,
Serta pula DIA lemah membuat makhluk-makhluk
Dan musthail juga DIA kena paksa, bodoh, tuli
Ataupun DIA mati, buta dan bisu
Sifat-sifat lawan NYA yang lain juga nyata
Tidak perlu diterangkan disini
Nabi-nabi pula wajib ada sifat amanah
Bercakap benar, menyampaikan dan bijaksana
Mustahil pula Nabi-nabi itu
Khianat, dusta, menyembunyikan dan bebal
Maka demikianlah sifat-sifat yang tersebut itu
Terhadap Allah dan Rasul-rasul NYA yang mulia
Nama 25 Rasul yang wajib dikenali oleh setiap muslim
Mereka itu adalah
Adam, Idris, Nuh, Hud
dan juga termasuk Saleh, Ibrahim
dan Lut, Ismail, Ishak
seterusnya Yaakub, Yusuf dan Ayub
Syua'ib, Harun, Musa dan Ilyasa'
dan juga Zulkifli, Daud dan Sulaiman
dan Ilyas, Yunus, Zakaria, Yahya dan Isa
dan akhir sekali Taha iaitu Muhammad penutup kerasulan
Muga-muga bagi mereka kesejahteraan dan keselamatan
dan bagi keluarga mereka selagi ada siang dan malam
Dan Malaikat-malaikat pula tiada ibu bapa
serta tiada ia makan atau minum atau tidur
Nama-nama sepuluh dari mereka ialah
Jibril, Mikail, Israfil, Izrail
Mungkar serta Nagkir
Raqib serta Atid
Malik dan Ridwan
Dan empat kitab-kitab dari Allah
Taurat kepada Musa
Zabur kepada Daud
Injil kepada Isa
Dan Furqan (Al Quran) kepada sebaik-baik makhluk
Muhammad Khatamun Mursalin
Selain itu ada kitab-kitab kepada lain-lain Nabi
Di dalamnya kalam Allah yang adil dan mengetahui
Begitulah antara terjemahan nazam ke dalam bahasa melayu yang sering dikumandangkan setiap kali kuliah tauhid akan bermula di madrasah pondok milik arwah datuk ku.
Nazam inilah juga yang sering disenandungkan setiap malam Isnin & malam Jumaat setelah selesai membaca mawlidur rasul buat penyubur jiwa dalam perjuangan. Dan inilah juga nazam yang selalu dilafazkan oleh Ummi sewaktu mendodoikan anak-anaknya di dalam buaian.
Aku masih ingat, kata-kata arwah datuk ku kepada ibu saudara ku itu, sewaktu ibu saudara ku berhadapan musibah, ayah saudara ku yang tidak pulang-pulang ke rumah sejak pergi ke laut.
" Kalau Allah tidak menimpakan musibah, tentu kau tak ada peluang nak dapat pahala sabar dan redha. Jangan sampai Tauhid kita dengan Allah cacat disebabkan musibah yang menjanjikan pahala sabar dan redha "
Dan nazam inilah yang dilafazkan ibu saudara ku dengan nada yang sayu sewaktu mendodoi adik sepupu ku sambil menerima ketentuan Allah dengan sabar dan redha bersama linangan air mata.
Mungkin harapan ibu saudara ku sewaktu mendodoikan anaknya sambil bernazam, muga-muga anak-anaknya akan memiliki kekuatan tauhid yang lebih hebat darinya bagi berhadapan cabaran dan rintangan hari muka.
Sebak dan sayu aku ketika berada di anjung rumah arwah.
Aku berdiri dan berjalan ke arah jeti yang tak jauh dari rumah arwah.
Terasa kelembutan hembusan angin bayu laut di situ. Terdengar desiran ombak yang menghempas tebing jeti. Kelihatan camar2 laut berterbangan sambil mengejar ikan di muka air. Sungguh mendamaikan. Tak hairanlah arwah sepupu ku menjadikan tempat itu sebagai tempat untuk bersendirian dan bertafakur.
Semakin sebak dan sayu ..... aku memang benar2 merindui mereka ...
Dan aku meneruskan perjalanan ku ke Kole Besut melalui jalan pantai .....
Sepanjang perjalanan banyak perkara yang dibualkan di dalam kenderaan, tapi aku hilang fokus. Aku lebih leka melihat ke laut dan bertanya pada diri ku .... "Mungkinkah Ummi sudah bertemu suaminya di alam sana dan mungkinkah sepupu ku sudah bertemu dengan ayahnya di alam sana ?"
Sesampai ke Kole Besut, azan asar berkumandang di masjid. Sesudah selesai menunaikan solat .... seperti rutin biasa setiap kali aku balik ke kampung, aku akan menziarahi pusara ahli-ahli keluarga ku sebelum menjejakkan kaki ke rumah. Di situlah tempat aku mengirimkan bacaan ayat Al Quran dan sekalung doa buat mereka sambil "bercakap dengan mereka" buat beberapa ketika. Sehingga kadang kala orang kampung mengatakan aku gila, sebab bercakap dengan orang yang ada di dalam kubur. Tapi lantaklah apa orang lain nak kata.
Kita dilahirkan dalam keadaan suci, bersih tanpa noda dosa dan kemungkaran. Namun dalam proses pembesaran, kita warnai hidup kita dengan daki-daki dosa dan maksiat. Andainya tidak ALLAH ketuk pintu hati kita, mana mungkin kita sedari bahawa perlakuan kita selama ini hanya mengundang murka ALLAH. Itulah kasih sayang ALLAH buat hamba NYA. Andainya kita mensyukuri nikmat iman dan Islam, kembalilah kita kepada ALLAH dalam keadaan yang diredhai-NYA. Andainya kita terus kufur, malanglah nasib kita di akhirat sana. Kematian itu pasti. Setiap insan akan merasai saat perpisahan terakhir.
Begitulah kitaran hidup manusia. Ada yang lahir ke dunia, di kala yang sama ,ada yang kembali ke rahmat ALLAH.
Perjalanan hidup manusia melalui 5 alam. Alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.
Aku teringat cerita2 arwah tok dan Ummi sewaktu aku masih kecil ... Sewaktu di alam roh, sebelum roh dimasukkan ke dalam jasad, roh memang tahu yang hanyasanya yang patut ditaati dan disembah adalah ALLAH, Tuhan Sekelian Alam. Bahkan dalam Al Quran menjadi ada menceritakan bahawa roh kita semua bersumpah dan bersaksi bahawa ALLAH saja yang selayaknya disembah dan di taati.
Lalu ALLAH memasukkan roh ke dalam jasad. Maka tinggalah insan di dalam rahim ibu selama 9 bulan. Si ibu, walau disedari bahawa nyawanya bisa melayang sewaktu melahirkan, namun masih bisa tersenyum sambil menanti kelahiran anaknya dengan rasa kasih dan sayang. Begitulah hebatnya wanita. Maka tidak hairanlah ALLAH memuliakan si ibu 3 kali ganda berbanding seorang ayah.
Setelah cukup tempoh, maka lahirlah insan tersebut ke dunia. Terpulang kepada ibu dan bapanya untuk mencorakkan si anak. Alam dunia yang menjanjikan 1001 macam ujian bagi menilai keikhlasan dan kesungguhan seseorang dalam mentaati ALLAH dan Rasul NYA. Di sebalik ujian dari ALLAH, terselit anugerah yang amat besar dan tak terkira hebatnya , iaitu pahala sabar dan redha dengan ketentuan ALLAH.
Bumi mana yang tak ditimpa hujan, begitu jugalah dalam kehidupan manusia. Manusia mana yang tidak menghadapi ujian.
Yang kaya diuji oleh ALLAH, yang miskin juga diuji oleh ALLAH.
Yang tua diuji oleh ALLAH, yang muda juga diuji oleh ALLAH.
Yang berkuasa diuji oleh ALLAH, yang lemah tiada upaya juga diuji oleh ALLAH.
Tapi dalam menghadapi ujian yang mendatang, sebagai seorang Islam dan beriman, syukurilah kedatangan ujian dari ALLAH kepada kita kerana ianya terselit sebuah peringatan kepada kita .... bahawa kita ini lemah dan kita tidak mampu melawan takdir ILAHI, maka siapakah kita di dunia ini, walau kita diulit 1001 macam nikmat duniawi, namun pada pandangan ALLAH kita tetap seorang makhluk yang lemah lagi hina.
Lihat saja orang2 yang pernah berkuasa yang kita kenali di zaman kita. Andai dulu sewaktu berkuasanya dia, kata2nya bagaikan firman mengeluarkan arahan-arahan yang tidak berdaya dibantah oleh orang lain. Kini apabila kekuasaannya tidak lagi bertakhta, kehadirannya tidak lagi diraikan dan dihormati, seperti Pak Lah. Malah orang yang sedang berkuasa dan bertakhta juga kita lihat dipersenda dan tidak dihormati seperti apa yang berlaku kepada Dato Seri Najib.
BEGINILAH UJIAN ALLAH kepada manusia agar manusia ingat bahawa segala nikmat yang mereka perolehi di alam dunia ini hanyalah bersifat SEMENTARA. Sewaktu memperolehi nikmat, maka gunakanlah nikmat tersebut untuk mentaati ALLAH dan mentaati Rasulullah SAW. Andainya nikmat tersebut tidak disyukuri, maka ALLAH datangkan UJIAN dalam bentuk bala musibah yang mengundang duka dan kesedihan. Agar kita sedar dan ingat, bahawa kita sudah terpesong jauh dari landasan ajaran Islam.
Begitu juga dengan nikmat kemewahan dan kekayaan. ALLAH limpahkan nikmat kekayaan dan kemewahan agar kita syukuri dan agih2kan nikmat tersebut kepada mereka yang kurang bernasib baik. Andainya kita bersyukur atas nikmat tersebut, ALLAH tarik nikmat tersebut dari kita agar kita sedar bahawa kita sudah terlalu kufur dengan nikmat ALLAH. Jika ALLAH boleh melimpahkan nikmatnya, bila-bila masa ALLAH boleh tarik semula nikmat tersebut dari kita.
Begitu juga dengan nikmat persahabatan dan kasih sayang. ALLAH mempertemukan kita dengan insan yang sanggup berkorban atas nama persahabatan. ALLAH mempertemukan kita dengan seorang yang sangat mencintai dan mengasihi kita. Maka syukurilah nilai persahabatan. Syukurilah nilai percintaan dan kasih sayangnya. Andainya kita tidak bersyukur, tidak mustahil ALLAH akan tarik nikmat tersebut dari kita. Wal hasilnya, kita akan tinggal dalam kesepian dan kerinduan di dunia ini.
Dan setiap ujian yang ALLAH datangkan merupakan rahmat bagi setiap insan yang beriman.
Kerana bersama ujian yang datang, di situ terkandungnya tarbiah dan pendidikan agar kita kembali ke jalan iman agar kita tidak terpesong semula ke jalan kekufuran.
Bersama ujian yang datang, di situ ada pahala redha dan sabar buat insan yang beriman, walau impak ujian meninggalkan kesan di hati yang mendalam. Bak parut dari luka akibat sebuah kesilapan. Yang akan terus berkekalan dan tak mungkin terpadam.
Begitulah tarbiah ALLAH kepada hamba-hamba NYA yang dikasihi. Agar hamba NYA sentiasa merintih dan bersedih. Mengharap kekuatan dan kasih sayang ILAHI.
Buat keluarga Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim, bersabarlah. Ku lihat diri mu bagai isteri kepada seorang syuhada. Suami mu adalah Pahlawan Nasyid yang agung yang gugur di medan jihad. Relakanlah perpisahan ini. Iringilah pemergiannya ini, dengan doa yang tidak henti. Moga syiar Islam terus berdiri. Usapilah genang air mata kasih. Senyumanmu adalah penguat semangat juang suami mu. InsyaALLAH, suami mu sudah menyemai cintamu di syurga ...........
Buat keluarga Rabbani, teruskanlah perjuangan kalian. Masih ramai masyarakat yang dahagakan tarbiah kalian. Ayuh bangkit dan sampaikan seruan jihad di bumi yang ketandusan iman.
Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu
Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran
Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya
Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya
Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya
Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu
No comments:
Post a Comment