Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Thursday, August 27, 2009

Perisai Ghaib Buat Para Pejuang


17hb Ogos 2009, aku bertemu dengan seorang CEO sebuah GLC di Mutiara Damansara. Perbincangan kami berkisar kajian tentang H1N1 dan vaccine H1N1.

Seusai pertemuan ku yang mengambil masa hampir 2 jam, aku ke Bandar Seri Damansara untuk bertemu dengan sahabat karib ku. Perbincangan kami banyak berkisar tentang pemergian sahabat kami yang dikasihi, Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para syuhada dan solihin.

Sahabat ku berkata ... "Kau ingat lagi tak, dulu tahun 1987-88, Pak Dolah jadi Menteri Pendidikan, dia haramkan student universiti pakai purdah. Ramai student yang nak mempertahankan purdah kena buang universiti. Kemudian langkah Pak Dollah diikut lak bahagian Perkhidmatan Awam. ramai kakitangan kerajaan kena buang kerja"

Aku menjawab .... purdah itu sunnah. Untuk memperjuangkan sunnah, bukan senang. Orang berjuang ni, menempah susah. Berjuang ini pahit, kerana didepannya syurga yang manis.

Aku teringat kata-kata arwah atok ku ....



Orang yang berjuang, banyak kesukaran dan kepayahan. Tetapi dalam kesukaran dan
kepayahan, ada keTENANGAN. Orang yang tidak berjuang, kurang kepayahan dan kesukaran serta kurang ketenangan.

Bila aku renung-renung sejenak .... memang betul. Aku lihat orang-orang yang kenal yang tidak berjuang, tidak mahu menyampaikan kalimah ALLAH melalui sabdaan
Rasulullah SAW, hidup mereka memang senang dan mewah. Tetapi mereka TIADA KETENANGAN. Sering ditimpa musibah. Bagi mereka yang berjuang, hidup mereka tidaklah sesenang dan semewah orang lain, tetapi hidup mereka dalam ketenangan dan kebahagiaan. memperoleh syurga di dunia sebelum syurga di akhirat.


Lantas aku menyambung kata-kata ku kepada sahabat ku .... 1987-88 Pak Dollah haramkan purdah. Tahun 2009 Muhyidin WAJIBkan purdah. Sekarang kalau kau pergi mana-mana, ramai orang pakai purdah. Bukan perempaun aje, lelaki pun pakai. Bukan Islam aje, Hindu, Kristian, Buddha, kominis, semua pakai purdah. Pak-pak Menteri pun pakai purdah tak kira menteri melayu, cina atau pun india, sebab takut H1N1 hehehehe


Dalam hati ku, agaknya ... tentu Pak Dollah kecik hati dengan Muhyidin sebab Muhyidin pergi wajibkan orang pakai mask (purdah). Dah ler Muhyidin yang jadi ketua dalam UMNO mendesak Pak Dollah letak jawatan hehehehe

Begitulah nasib manusia. Disilihgantikan dengan nikmat dan ujian. Ada kalanya berada di atas, ada kalanya dibawah. Beruntunglah mereka yang melakukan amal makruf tatkala berada di atas.


H1N1 .... waktu anak-anak murid ku bertanya mengapa H1
N1 diberi nama SELSEMA BABI ? Aku menjawab, disebabkan selsema itu menyebabkan banyak kematian, ramai orang menyumpah seranah. Jadi nak cover perangai buruk dalam menyumpah seranah, maka diberi nama Selsema Babi, tak lah nampak sangat kita menyumpah seranah selsema tu hehehehe

Sahabat ku ... teruklah sekarang. Penyakit pelik-pelik berlaku. Kau agak H1N1 ni konspirasi Amerika ke ?

Aku terdiam. Ku renung wajah sahabat ku yang ku kenal s
ejak tahun 1992. Lantas aku bersuara .... bukan konspirasi musuh Islam. Tapi ..... Aku terdiam.

Sahabat ku itu menanti jawapan ku dalam keadaan bersungguh.


Aku menyambung bicara ..... Bukan konspirasi musuh Islam. Tetapi konspirasi
umat Islam, terutama ahli-ahli agama. Mereka sudah tidak mahu berjuang. Tidak mahu mendidik dan mentarbiah masyarakat, sehingga kita yang jahil-jahil ini terpaksa memikul tugas mereka menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat dalam keadaan jahil. Andainya salah fahaman kita terhadap agama, maka salahlah amalan masyarakat. Nak buat macam mana. Ahli agama sudah tidak mahu berjuang. Sebab itu ALLAH datangkan bala dalam bentuk penyakit.

Sahabat ku terdiam bila mendengar keluhan ku.

Aku teringat sewaktu kecil ku. Aku menadah kitab Al jauhar Al Mauhub di depan arwah atok ku di madrasah pondoknya. Arwah atok ku bersuara .... Tatkala ahli ibadah berdiam dalam kezulumatan umat, datanglah bala bencana dan wabak sebagai peringatan.... maksudnya ... apabila umat Islam sedang mengalami kerosakan akhlak dan ahli-ahli agama tidak terjun ke medan berjihad untuk mendidik umat ke arah jalan taqwa, ALLAH akan datangkan bala bencana dan wabak penyakit sebagai peringatan bahawa seruan jihad sudah tidak disahut.

Sahabat-sahabat seperjuangan ku sekelian,

Aku adalah manusia yang jahil dan bergelumang dengan daki maksiat. Mereka yang pernah mengenali ku sejak di bangku sekolah, amat arif tentang kehidupan silam ku. tetapi dalam kejahilan ku ini, aku berusaha bangkit dengan tinta yang tercatat di blog ini menyeru agar kita terus mendidik diri kita, keluarga kita dan umat ini ke jalan iman.

Sahabat-sahabat ku,

Galaslah tanggungjawab perjuangan ini dengan rasa kehambaan.


Sabarlah dengan segala kesukaran, kepayahan dan rintangan dalam perjuangan, dan yakinlah bahawa pengorbanan yang kita lakukan ini akan dinilai ALLAH SWT sebagai amal yang bakal menyelamatkan kita dari menjadi bahan bakaran api neraka.

Susunlah langkah perjuangan mu, walau dalam serba kekurangan. Kerana hanya kita yang sedar betapa dahaga dan hausnya umat yang jahil akan nur keimanan.

Kita sudah pun melangkah ke bulan Ramadhan dan meninggalkan bulan Sya'aban.


Imam Syihaabuddin al-Qasthalaani rahimahUllah menyatakan bahawa sebahagian ulama menamakan bulan Sya'baan adalah "Syahrush Sholati 'alan Nabiy" iaitu bulan
selawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana ayat 56 surah al-Ahzaab yang memerintahkan kita berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Oleh itu marilah kita memperbanyakkan lagi selawat ke atas Junjungan Nabi SAW dalam bulan yang berkat ini. Sungguh amalan berselawat mempunyai berbagai kelebihan dan keberkatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Antara fadhilat selawat untuk kesejahteraan hidup kita di dunia ialah ianya boleh menjadi sebab bagi tertolaknya atau terhindarnya penularan wabak penyakit berjangkit sebagaimana pernyataan sebahagian ulama dan sholihin seperti Syaikh Ibnu Abi Hajlah dan Syaikh Ibnu Khathib.

Maka tidak hairan jika beberapa ulama telah mengarang shighah selawat yang mengandungi permohonan kepada Allah dengan berkat Junjungan SAW dan berkat selawat agar diberikan kesembuhan daripada penyakit dan dihindarkan segala wabak. Maka terhasi
llah shighah Selawat Syifa` dan sebagainya. Selain daripada Selawat Syifa` yang telah masyhur itu, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit) dengan berselawat dengan untaian selawat seperti berikut:-

Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Selawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak).

Sahabat seperjuangan sekelian,

Selawat adalah perisai ghaib buat menangkis serangan syaitan dan nafsu. Antara fadhilatnya juga adalah buat menangkis wabak penyakit. Suburkanlah jiwa jihad mu dengan bacaan selawat. Semoga tersemai benih cinta mu kepada Rasulullah SAW, lantas akan kau orak langkah perjuangan mu dengan ikhlas mengharapkan salah satu dari dua perkara, kemenangan atau pun syahid.

Para malaikat dan segala penduduk langit telah sekian lama mengumandangkan selawat di alam ciptaan ALLAH ini. Ayuhlah kita sama-sama membumikan selawat agar kehidupan kita di dunia dan akhirat beroleh kecintaan Rasulullah SAW.

Mudah-mudahan dengan berkat Junjungan Nabi SAW, Allah SWT selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.

Akhir pesanan ku di hujung tinta ku kali ini .... Berjuanglah ..... berjuanglah .... berjuanglah ........


1 comment:

  1. abg, apa syarikat GLC di Mutiara Damansara. Nk tau company apa boleh?

    ReplyDelete