Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, August 19, 2009

Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak


" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa." : Surah Al Baqarah, ayat 183

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Ramadhan menjelma lagi. Bersyukurlah dengan kehadirannya. Bulan yang penuh berkat yang dijanjikan di dalamnya rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka oleh ALLAH SWT.

Aku bukan ustaz. Apatah lagi ada tauliah untuk berceramah dan menyebarkan ilmu agama dari mana2 authority. Ilmu yang ada pada aku pun hanya bersumberkan arwah atok ku dan arwah ayah ku untuk aku amalkan sendiri. Tidak ada sijil yang dikeluarkan oleh mereka yang hanya mencurah ilmu di madrasah pondok di pinggir kampung. Tapi aku kesian kat umat sekarang yang rata2nya jahil macam aku dan mereka tidak di pimpin dan di didik ke arah mentaati ALLAH SWT. Maka tak hairanlah umat dan masyarakat semakin rosak. Namun apa kan daya mereka yang berilmu dan bertauliah enggan mendidik umat dan masyarakat dengan pelbagai alasan bodoh.

Sempena Ramadhan yang penuh berkat, aku menyeru ahli agama agar merenung sejenak tanggungjawab anda sebagai murabbi yang mendidik masyarakat dan menyampaikan ilmu. Rosaknya umat dan masyarakat adalah kerana kegagalan diri mu kerana bersembunyi didalam tempurung keegoan mu. Aku masih teringat kata-kata arwah datuk ku kepada murid2nya di madrasah pondoknya di saat hujung nafasnya.

Andainya engkau enggan turun berjuang, NANTILAH masanya ALLAH akan menggantikan diri mu dengan bangsa yang lain. Tatkala itu engkau sudah tiada lagi di hati masyarakat, lebih-lebih lagi, engkau TIADA LAGI DI HATI ALLAH.



PENGERTIAN PUASA

Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

PUASA WAJIB

Puasa bulan Ramadan, puasa kifarat dan puasa nazar.

PUASA SUNAT

1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
2. Puasa hari Arafah
3. Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam
4. Puasa bulan Syaaban
5. Puasa Isnin dan Khamis
6. Puasa tengah bulan iaitu 13,14,15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah)

PUASA MAKRUH

1. Puasa yang terus menerus sepanjang masa
2. Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq

PUASA HARAM

1. Puasa pada hari raya pertama Idil Fitri
2. Puasa pada hari raya pertama Haji
3. Puasa tiga hari sesudah hari raya haji atau hari tasyriq iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.

SYARAT WAJIB PUASA

1. Berakal
2. Akhir Baligh (Cukup umur)
3. Kuat atau mampu mengerjakan puasa
4. Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan Ramadhan dengan menggenapkan Sya'ban sebanyak 30 hari

SYARAT SAH PUASA

1. Islam
2. Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
3. Suci daripada haid dan nifas
4. Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa. Tidak sah puasa pada hari yang diharamkan syariat.
5. Sempurna akalnya ( tidak gila, sawan ) sepanjang hari sehingga menjelang waktu berbuka.

RUKUN PUASA

1. Berniat - Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
2. Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

1. Murtad
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan ( bukan sahaja membatalkan puasa, malah dikenakan kifarah ke atas lelaki, berpuasa selama 60 hari berturut-turut)
4. Keluar darah haid atau nifas
5. Gila
6. Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan.
7. Memasukkan sesuatu di dalam rongga yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja. .

Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.

Amalan Sunat Berkaitan Puasa Di Bulan Ramadhan

1. Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
2. Makan sahur walaupun sedikit
3. Melambatkan sahur
4. Berbuka dengan buah kurma atau makanan yang manis
5. Memperbanyakkan bacaan Al Quran
6. Memperbanyakkan bersedeqah
7. Beri'tiqaf di siang hari
8. Menghadiri majlis ilmu
9. Menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa
10. Jangan bersugi setelah gelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari.


ORANG YANG DIIZINKAN BERBUKA ATAU TIDAK BERPUASA

1. Orang yang sakit (wajib di qadha')
2. Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 2 marhalah atau 91km ( wajib qadha')
3. Orang tua yang sudah lemah. Wajib qadha' jika terdaya.
4. Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak jika takut mudharat ke atas bayi kandungannya. Wajib qadha'

Bacaan Niat Puasa :


Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala

Selamat menikmati Pesta Ibadah di Madrasah Ramadhan Al Mubarak

No comments:

Post a Comment