Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Friday, August 28, 2009

Munajat Ku Di Bulan Mujahadah : 7 Ramadhan 1430H


ALLAH SWT menjanjikan melalui lidah Rasul-NYA :

Awal bulan Ramadhan adalah rahmat , pertengahannya keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari Neraka.

Hari ini genaplah 7 Ramadhan 1430H. Telah 7 hari kita lalui bersama-sama di bulan yang penuh rahmat dan maghfirah. Fasa pertama dibulan Ramadhan dijanjikan limpahan rahmat dari Allah SWT.

Wahai sahabat seperjuangan ku sekelian,

Sempena bulan Ramadhan yang merupakan bulan ibadah dan bulan mujahadah. Aku ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama bermuhasabah di Madrasah Ramadhan kali ini.



Allah menjanjikan melalui kekasihnya Rasulullah SAW, bahawa 10 hari pertama di Ramadhan yang mulia ini, Allah melimpahkan rahmat-NYA Yang Maha Agung. Ayuh, marilah kita bersama-sama melihat di dalam diri sendiri, apakah tujuh hari yang telah kita sama-sama lalui ini, telah kita gunakan untuk meraih rahmat dan kasih sayang Ilahi, Tuhan yang menjadikan diri ku, menjadikan diri mu dan juga menjadikan setiap mahkluk di alam ini.

Apakah tujuh hari yang telah kita lalui bersama-sama ini, kita pergun
akan untuk meraih kasih sayang dan kecintaan Allah SWT ? Lihatlah ke dalam diri. Terutama tatkala kita bersendirian bersama kesunyian malam, tanyailah diri kita apakah mutu ibadah kita sebelum dan setelah kedatangan Ramadhan ada menampakkan peningkatan ?

Tanyailah diri kita, apakah kita masih merasa berat dalam melaksanakan titah perintah Allah walau kita sudah melalui 7 hari di bulan Ramadhan ?

Tanyai lagi diri kita, apakah sewaktu kita merasakan kelaparan di siang hari, apakah kita terbayang wajah insan yang kurang bernasib baik dari kita, yang hidup mereka bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ?

Apakah kita mampu berlaku sabar dan menahan marah ketika kita berhadapan dengan anasir yang mencetus api kemarahan kita ?

Tanyailah diri kita, apakah kita msih berselera dan terus-terusan melakukan dosa dan kemungkaran di Ramadhan ini?

Tanyailah diri kita, apakah kita msih berhasad dengki dan menjadikan ujub dan riyak sebagai pakaian diri ?

Tanyailah diri kita apakah kita masih belum mahu taat kepada perintah Allah SWT serta menjauhi larangan-NYA ?

Dan 1001 soalan lagi yang boleh kita tanya kepada diri kita demi memuhasabah diri kita, apakah 7 hari yang telah kita tempohi bersama benar-benar meraih rahmat dari Allah. Simpanlah jawapan kepada setiap persoalan tersebut dalam diri kita dan analisalah. Analisalah diri kita berdasarkan jawapan ke atas setiap persoalan yang telah kita timbulkan. Di situ dapat dilihat dan dinilai, apakah kita semakin taatkah kepada Allah SWT atau apakah semakin durhakakah kita kepada Allah SWT.

Wahai sahabat seperjuangan yang dikasihi sekelian.

Allah menjadikan kita di mukabumi ini bukan untuk suka-suka sahaja. Dijadikan kita di muka bumi ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadi hamba-NYA yang mentaati titah perintah-NYA serta menjauhi segala larangan-NYA. Untuk itu, marilah kita tanya kepada diri kita, sejauhmanakah kita telah berusaha untuk memenuhi tanggungjawab tersebut.

Dengan limpah kurnia dan kasih sayang Allah SWT, di ciptanya Ramadhan yang penuh berkat. Bulan yang didalamnya syaitan-syaitan dirantai dan dibelenggu, pintu-pintu neraka ditutup, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, hawa nafsu dikekang, agar dapat kita selaku hamba yang lemah dan hina untuk berusaha mengabdikan diri kita kepada Allah serta memperbaiki mutu keimanan kita tanpa gangguan dari musuh-musuh Allah. Sejauhmanakah kita serius dalam mengambil kesempatan yang hanya datang sebulan dalam setahun ?

Andainya, hasil muhasabah kita selama 7 hari di bulan Ramadhan ini masih jauh dari rahmat Allah, maka masih belum terlambat untuk kita mengejar dalam perlumbaan ini. Gunakanlah dua hari yang tinggal ini untuk membuktikan bahawa kita adalah hamba Allah yang lemah dan hina, tetapi jauh di lubuk hati kita ingin menjadi hamba-NYA yang dikasihi dan mendapat kasih sayang-NYA. Jangan disia-siakan dua hari yang tinggal ini untuk meraih rahmat Allah di Ramadhan yang penuh berkat.

Wahai diri ku dan sahabat seperjuangan ku,

Aku berseru kepada diri ku dan diri mu. Semaikanlah rasa berdosa dalam hati mu, agar engkau takut untuk melakukan kemungkaran. Bajai rasa pengharapan kepada Allah agar hilang rasa putus asa mu ke atas rahmat-NYA. Rasailah kemanisan iman dalam sujud mu agar engkau sedar bahwa engkau hanyalah seorang hamba walau apa jua pangkat jawatan mu didunia. Alirkanlah air mata taubat dalam tahajud mu agar engkau tahu hanya air mata taubat itu yang mampu memadam bahang api neraka. Laungkanlah rintihan hati kehambaan dalam munajatmu agar engkau sedar bahwa kudrah dan iradah bukan milikmu. Hayatilah keindahan bahasa syurga dalam tadarus Al Quran mu agar bersemarak keinginan mu untuk beristirehat di syurga. Suburkanlah kecintaan buat junjungan mulia Saiyidina Muhammad Bin Abdullah SAW dalam selawat mu agar kamu mendampingi baginda di syurga. Usahakanlah dengan keikhlasan dan bersungguh hati agar rahmat di 10 hari pertama Ramadhan diperolehi. Kerana rahmat Allah di 10 hari pertama Ramadhan terlalu istimewa berbanding rahmat Allah di hari-hari yang lain. Semoga usaha kita itu nanti, di nilai Allah SWT sebagai amal taqwa kita buat menebus daki-daki dosa kita selama hidup di dunia ini.

Ayuh usahakanlah yang terbaik di Ramadhan ini, kerana kita tidak pernah berjanji dengan Allah SWT untuk hidup sehingga Ramadhan yang akan datang.

Wahai sahabat seperjuangan ku,

Andainya Ramadhan di kali ini merupakan Ramadhan yang terakhir buat aku dan diri mu, jadikanlah Ramadhan ini sebagai medan pertempuran yang maha hebat dan dahsyat ke atas hawa nafsu, buat meraih kasih sayang dan keampunan Allah SWT. Aku berdoa untuk diri ku dan diri mu, semoga kita akan bersama-sama menikmati sakinah dan saadah di sisi Allah dan rasul-NYA di syurga Allah yang penuh kemanisan nikmat kurniaan Ilahi. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Thursday, August 27, 2009

Perisai Ghaib Buat Para Pejuang


17hb Ogos 2009, aku bertemu dengan seorang CEO sebuah GLC di Mutiara Damansara. Perbincangan kami berkisar kajian tentang H1N1 dan vaccine H1N1.

Seusai pertemuan ku yang mengambil masa hampir 2 jam, aku ke Bandar Seri Damansara untuk bertemu dengan sahabat karib ku. Perbincangan kami banyak berkisar tentang pemergian sahabat kami yang dikasihi, Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim. Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para syuhada dan solihin.

Sahabat ku berkata ... "Kau ingat lagi tak, dulu tahun 1987-88, Pak Dolah jadi Menteri Pendidikan, dia haramkan student universiti pakai purdah. Ramai student yang nak mempertahankan purdah kena buang universiti. Kemudian langkah Pak Dollah diikut lak bahagian Perkhidmatan Awam. ramai kakitangan kerajaan kena buang kerja"

Aku menjawab .... purdah itu sunnah. Untuk memperjuangkan sunnah, bukan senang. Orang berjuang ni, menempah susah. Berjuang ini pahit, kerana didepannya syurga yang manis.

Aku teringat kata-kata arwah atok ku ....



Orang yang berjuang, banyak kesukaran dan kepayahan. Tetapi dalam kesukaran dan
kepayahan, ada keTENANGAN. Orang yang tidak berjuang, kurang kepayahan dan kesukaran serta kurang ketenangan.

Bila aku renung-renung sejenak .... memang betul. Aku lihat orang-orang yang kenal yang tidak berjuang, tidak mahu menyampaikan kalimah ALLAH melalui sabdaan
Rasulullah SAW, hidup mereka memang senang dan mewah. Tetapi mereka TIADA KETENANGAN. Sering ditimpa musibah. Bagi mereka yang berjuang, hidup mereka tidaklah sesenang dan semewah orang lain, tetapi hidup mereka dalam ketenangan dan kebahagiaan. memperoleh syurga di dunia sebelum syurga di akhirat.


Lantas aku menyambung kata-kata ku kepada sahabat ku .... 1987-88 Pak Dollah haramkan purdah. Tahun 2009 Muhyidin WAJIBkan purdah. Sekarang kalau kau pergi mana-mana, ramai orang pakai purdah. Bukan perempaun aje, lelaki pun pakai. Bukan Islam aje, Hindu, Kristian, Buddha, kominis, semua pakai purdah. Pak-pak Menteri pun pakai purdah tak kira menteri melayu, cina atau pun india, sebab takut H1N1 hehehehe


Dalam hati ku, agaknya ... tentu Pak Dollah kecik hati dengan Muhyidin sebab Muhyidin pergi wajibkan orang pakai mask (purdah). Dah ler Muhyidin yang jadi ketua dalam UMNO mendesak Pak Dollah letak jawatan hehehehe

Begitulah nasib manusia. Disilihgantikan dengan nikmat dan ujian. Ada kalanya berada di atas, ada kalanya dibawah. Beruntunglah mereka yang melakukan amal makruf tatkala berada di atas.


H1N1 .... waktu anak-anak murid ku bertanya mengapa H1
N1 diberi nama SELSEMA BABI ? Aku menjawab, disebabkan selsema itu menyebabkan banyak kematian, ramai orang menyumpah seranah. Jadi nak cover perangai buruk dalam menyumpah seranah, maka diberi nama Selsema Babi, tak lah nampak sangat kita menyumpah seranah selsema tu hehehehe

Sahabat ku ... teruklah sekarang. Penyakit pelik-pelik berlaku. Kau agak H1N1 ni konspirasi Amerika ke ?

Aku terdiam. Ku renung wajah sahabat ku yang ku kenal s
ejak tahun 1992. Lantas aku bersuara .... bukan konspirasi musuh Islam. Tapi ..... Aku terdiam.

Sahabat ku itu menanti jawapan ku dalam keadaan bersungguh.


Aku menyambung bicara ..... Bukan konspirasi musuh Islam. Tetapi konspirasi
umat Islam, terutama ahli-ahli agama. Mereka sudah tidak mahu berjuang. Tidak mahu mendidik dan mentarbiah masyarakat, sehingga kita yang jahil-jahil ini terpaksa memikul tugas mereka menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat dalam keadaan jahil. Andainya salah fahaman kita terhadap agama, maka salahlah amalan masyarakat. Nak buat macam mana. Ahli agama sudah tidak mahu berjuang. Sebab itu ALLAH datangkan bala dalam bentuk penyakit.

Sahabat ku terdiam bila mendengar keluhan ku.

Aku teringat sewaktu kecil ku. Aku menadah kitab Al jauhar Al Mauhub di depan arwah atok ku di madrasah pondoknya. Arwah atok ku bersuara .... Tatkala ahli ibadah berdiam dalam kezulumatan umat, datanglah bala bencana dan wabak sebagai peringatan.... maksudnya ... apabila umat Islam sedang mengalami kerosakan akhlak dan ahli-ahli agama tidak terjun ke medan berjihad untuk mendidik umat ke arah jalan taqwa, ALLAH akan datangkan bala bencana dan wabak penyakit sebagai peringatan bahawa seruan jihad sudah tidak disahut.

Sahabat-sahabat seperjuangan ku sekelian,

Aku adalah manusia yang jahil dan bergelumang dengan daki maksiat. Mereka yang pernah mengenali ku sejak di bangku sekolah, amat arif tentang kehidupan silam ku. tetapi dalam kejahilan ku ini, aku berusaha bangkit dengan tinta yang tercatat di blog ini menyeru agar kita terus mendidik diri kita, keluarga kita dan umat ini ke jalan iman.

Sahabat-sahabat ku,

Galaslah tanggungjawab perjuangan ini dengan rasa kehambaan.


Sabarlah dengan segala kesukaran, kepayahan dan rintangan dalam perjuangan, dan yakinlah bahawa pengorbanan yang kita lakukan ini akan dinilai ALLAH SWT sebagai amal yang bakal menyelamatkan kita dari menjadi bahan bakaran api neraka.

Susunlah langkah perjuangan mu, walau dalam serba kekurangan. Kerana hanya kita yang sedar betapa dahaga dan hausnya umat yang jahil akan nur keimanan.

Kita sudah pun melangkah ke bulan Ramadhan dan meninggalkan bulan Sya'aban.


Imam Syihaabuddin al-Qasthalaani rahimahUllah menyatakan bahawa sebahagian ulama menamakan bulan Sya'baan adalah "Syahrush Sholati 'alan Nabiy" iaitu bulan
selawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana ayat 56 surah al-Ahzaab yang memerintahkan kita berselawat ke atas Junjungan Nabi SAW diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Oleh itu marilah kita memperbanyakkan lagi selawat ke atas Junjungan Nabi SAW dalam bulan yang berkat ini. Sungguh amalan berselawat mempunyai berbagai kelebihan dan keberkatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Antara fadhilat selawat untuk kesejahteraan hidup kita di dunia ialah ianya boleh menjadi sebab bagi tertolaknya atau terhindarnya penularan wabak penyakit berjangkit sebagaimana pernyataan sebahagian ulama dan sholihin seperti Syaikh Ibnu Abi Hajlah dan Syaikh Ibnu Khathib.

Maka tidak hairan jika beberapa ulama telah mengarang shighah selawat yang mengandungi permohonan kepada Allah dengan berkat Junjungan SAW dan berkat selawat agar diberikan kesembuhan daripada penyakit dan dihindarkan segala wabak. Maka terhasi
llah shighah Selawat Syifa` dan sebagainya. Selain daripada Selawat Syifa` yang telah masyhur itu, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit) dengan berselawat dengan untaian selawat seperti berikut:-

Ya Allah, kurniakanlah selawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Selawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak).

Sahabat seperjuangan sekelian,

Selawat adalah perisai ghaib buat menangkis serangan syaitan dan nafsu. Antara fadhilatnya juga adalah buat menangkis wabak penyakit. Suburkanlah jiwa jihad mu dengan bacaan selawat. Semoga tersemai benih cinta mu kepada Rasulullah SAW, lantas akan kau orak langkah perjuangan mu dengan ikhlas mengharapkan salah satu dari dua perkara, kemenangan atau pun syahid.

Para malaikat dan segala penduduk langit telah sekian lama mengumandangkan selawat di alam ciptaan ALLAH ini. Ayuhlah kita sama-sama membumikan selawat agar kehidupan kita di dunia dan akhirat beroleh kecintaan Rasulullah SAW.

Mudah-mudahan dengan berkat Junjungan Nabi SAW, Allah SWT selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.

Akhir pesanan ku di hujung tinta ku kali ini .... Berjuanglah ..... berjuanglah .... berjuanglah ........


Tuesday, August 25, 2009

Awal Ramadhan & Surah Al Fath




Al-Imam al-'Allaamah asy-Sayyid asy-Syarif al-Muhaddits Muhammad bin 'Ali Khird al-'Alawi al-Husaini at-Tarimi rahimahumUllah dalam karya beliau "Al-Wasaailusy Syaafi`ah". Di halaman 474 dinyatakan:-



Daripada Sayyidina Ibnu 'Umar radiyAllahu `anhuma yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Telah diturunkan kepadaku semalam akan satu surah yang ianya lebih kukasihi dari segala apa yang terbit matahari atasnya (yakni dunia dan segala isinya), dan disukai agar ianya dibaca pada awal malam bulan Ramadhan, maka kamu bacakanlah ia dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu, insya-Allah mereka tidak akan menjadi papa.




Syaikh 'Abdul Rauf bin 'Ali al-Fanshuri al-Jawi rahimahUllah dalam terjemahannya bagi Tafsir al-Baidhawi menulis sebagai berikut:

Ini surah al-Fath turunnya di Madinah iaitu 29 ayat, maka tersebut di dalam Baidhawi hadits: "Barangsiapa mengaji surah al-Fath, maka adalah ia seperti keadaan orang yang hadir serta Rasulullah tatkala mengalahkan Makkah.



Almarhum Syaikh Husin Kudri Martapura rahimahUllah pula dalam karya himpunan doa-doanya "Senjata Mukmin" pada halaman 92 menulis:-



Surah al-Fath: (Khasiatnya) barangsiapa membaca akan dia 3 kali pada malam permulaan timbul bulan Ramadhan, insya-Allah terpelihara ia di dalam setahunan itu daripada marabahaya dan diluaskan rezekinya.


Aku teringat sewaktu kecil ku, tatkala masuk Ramadhan, arwah atok ku akan sibuk mengumpulkan cucu-cucunya. Seusai solat tarawikh malam pertama, arwah atok ku dengan suaranya yang lunak akan memperdengarkan bacaan surah Al Fath kepada kaum keluarganya.

Setelah arwah atok ku kembali ke rahmatullah, tradisi ini diteruskan oleh arwah ayah ku. Setiap kali 1 Ramadhan menjelma, kami adik beradik akan membawa keluarga masing-masing dan berkumpul di rumah ayah. Seperti biasa, seusai solat terawikh, ayah ku akan menghimpunkna cucu-cucunya dan memperdengarkan bacaan Surah Al Fath dengan suaranya yang lunak.

Waktu itu aku tidak tahu apakah fadhilatnya. Setelah ayah ku kembali ke rahmatullah, kami berada di ambang Ramdhan. Ibu ku yang ku kasihi bersuara dan bertanya... "Siapakah yang akan membacakan Surah Al Fath setiap kali Ramadhan menjelma ?"

Waktu itulah aku berusaha mencari akan kelebihan Surah Al Fath dan Ramadhan. Akhirnya aku temui juga.

Sepemergian ayah ku mengadap ALLAH, tanggungjawabnya digalas oleh abang ku yang pertama. Kini kami adik beradik bergilir-gilir setiap tahun membacakan surah Al Fath setiap kali Ramadhan tiba kepada anak-anak kami dalam perhimpunan malam 1 Ramadhan keluarga.

Kita sudah pun berada pada fasa pertama di madrasah Ramadhan 1430H. Ayuhlah kita bersama berusaha merebut rahmat yang dicurahkan ALLAH kepada hamba-hamba NYA di awal ramadhan. Jangan di sia-siakan peluang yang ada.

Semoga roh Ramadhan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka akan menjadi penguat fadhilat Surah Al Fath lebih lebih lagi memberi kekuatan kepada keluarga kami dalam mengamalkan intipati AL Quran dalam mencari keredhaan & keampunan ALLAH SWT.


Saturday, August 22, 2009

Selamat Datang Ke Madrasah Ramadhan 1430Hijrah


Az-Zahabi menyebutkan dalam Al-Mizan dari riwayat Hisyam bin ' Ammar dari jalan Sallam bin Sawwar dari Maslamah bin Ash-Shalti dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

Awal bulan Ramadhan adalah rahmat , pertengahannya keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari Neraka


Ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan. Sabda Baginda yang bermaksud:

Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.(Hadis riwayat Al-Baihaqi).



Syahrul azim mubarak, itulah Ramadhan yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW. Penghulu kepada segala bulan yang didalamnya penuh dengan keberkatan dan keampunan. Manusia yang cintakan dunia, menghadapi Ramadhan dengan keluh kesah kerana di bulan Ramadhan lah waktu kegembiraan pimpinan nafsu dibatas. Manusia yang cinta dan ingin menjadikan diri mereka lebih hampir kepada Allah demi meraih kasih sayang dan keampunan Allah, menanti ketibaan Ramadhan bagaikan menanti kekasih yang amat dirindu. Kerana 10 hari pertama Ramadhan menjanjikan curahan rahmat dari Allah. Sepuluh hari kedua limpahan keampunan. Sepuluh hari ketiga pembebasan dari api neraka. Amat rugilah orang yang tidak mengambil kesempatan untuk memperoleh tiga anugerah Allah buat hamba-hamba NYA.

Sejak aku dikenalkan kepada akhirat setelah sekian lama bergelumang dengan alam zulumat jahiliah. Setiap kali Ramadhan, itulah ungkapan-ungkapan yang sentiasa disebut dan diingatkan kepada diri ku, kau keluarga ku, sahabat-sahabat ku dan murid-murid ku. Kadang-kadang aku terfikir, sejauhmanakah diri aku dan kau orang ambil serius tentang ungkapan dan peringatan tersebut ? Apakah ungkapan dan peringatan tersebut benar-benar kita laksanakan tuntutannya atau hanyalah untuk menjadi penyedap bicara dan halwa telinga ?

Di bulan Ramadhan, alhamdulillah kita boleh menambah amalan sunat kita kerana tidak disibukkan dengan tugasan di rumah seperti ke pasar, memasak dan sebagainya. Lebih banyak ruang dan masa untuk kita bertadarus Al Quran, berzikir, bersolat sunat, bersedekah dan melakukan ibadah sunat yang lain. Tetapi apakah amalan sunat yang kita lakukan itu hanya bermusim di bulan Ramadhan ? Setelah berlalu Ramadhan maka ibadah sunat tersebut kita lupakan. Kita kembali ke sifat asal kita sebagai manusia yang hidup untuk bergelumang dengan maksiat.

Apakah niat kita dalam melangkah ke gerbang Madrasah Ramadhan ? Apakah kita berpuasa untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa kita juga mampu berpuasa dalam erti kata menahan diri dari lapar dan dahaga semata ? Sedangkan hati kita masih ternanti-nanti bilakah ada peluang untuk kita melayan hawa nafsu yang sememangnya berselera dan merasa nikmat dengan dosa dan kemungkaran.

Bagi mereka yang ikhlas. Ingin menjadikan Ramadhan sebagai Madrasah yang mentarbiah dirinya agar lebih merasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, insya-Allah segala niat murninya akan termakbul. Akan terasalah kemanisan dalam beribadah. Akan terasalah kelazatan hidup dalam cahaya keimanan. Bagi mereka yang melalui Ramadhan hanya sebagai syarat menunjukkan kepada manusia lain bahwa diri mereka juga berpuasa, maka itulah juga yang akan diperolehi mereka. Manusia akan kata "Ya, benar. Si Polan itu seorang Islam sebab dia berpuasa". tetapi puasanya hanya mendapat lapar dan dahaga kerana anggota tubuhnya yang lain masih melakukan kemaksiatan kepada Allah.

Mata, masih memandang yang haram. Mulut, masih membicarakan yang haram. Telinga, masih mendengar bunyian yang haram. Tangan, masih melakukan perkara yang haram. Kaki masih berjalan ke arah yang haram. HATI, masih belum mahu tunduk dan patuh kepada hukum syariat Allah.

Alangkah hipokritnya kita dengan Allah. Itu pun kita masih merasakan bahwa kitalah manusia paling baik di seluruh pelusuk dunia.

Suatu ketika dulu dalam usaha ku dan ahabat-sahabat ku memenuhi mencari calon-calon pelajar untuk memenuhkan Madrasah Tahfiz yang baru kami usahakan, aku dan sahabat-sahabat membuat XPDC di utara tanah air untuk mendekati orang yang kurang bernasib baik dari kita. Mungkin ada di antara kita yang mengaku susah dan sesak. Tapi dalam kesusahan dan kesesakan kita, kita masih mampu berinternet dan bershopping. Hasil perjalanan kami menamatkan musafir kami di sebuah rumah beratap nipah, berlantaikan tanah. Ketibaan kami disambut oleh seorang anak kecil berusia lingkungan 12 tahun.

Anak itu hanya tinggal bersama kakaknya. Ibunya telah lama meninggal. Ayahnya hanya kembali ke rumah, dua hari atau tiga hari sekali kerana masuk ke hutan mencari hasil-hasil hutan untuk dijual di pasar. Anak kecil berusia 12 tahun itu "mengambil cuti setahun dari bersekolah" kerana ayahnya tidak mampu menyekolahkannya. Lebih-lebih lagi kakaknya pula sakit.

Dalam XPDC itu juga kami temui seorang ibu tunggal bersama 7 orang anaknya yang tinggal di rumah yang dibina hasil dari "jarinya yang putus". Aku katakan demikian kerana wanita tersebut yang membesarkan 7 anaknya sendirian kerana kematian suami terpaksa bekerja di kilang papan. Telah ditakdirkan, wanita tersebut ditimpa kemalangan di tempat kerjanya. Dua jarinya putus terpotong dek bilah gergaji. PERKESO memberi pampasan. Hasil wang pampasan itulah wanita tersebut membeli bahan-bahan seperti batu block, asbestos, papan dan simen untuk membuat rumah yang pada nilaian ku hanyalah sebuah bangsal.

Di kampung Dato Keramat, aku temui seorang tua bersama isteri dan anak-anaknya yang menumpang hidup di surau Dato Keramat. Siangnya dia sekeluarga mencari nafkah dengan berjual di kaki lima pasar dan pasar malam. Setelah malam melabuhkan tirainya, tatkala jemaah surau selesai menunaikan solat isyak serta kembali ke rumah masing-masing, pak tua dan keluarganya akan datang dan menumpang tidur di belakang surau.

Begitulah antara "kenangan-kenangan manis" yang pernah aku lalui dalam usaha aku dan sahabat-sahabat ku mencari calon-calon di Madrasah Tahfiz yang kami usahakan.

Saudara-saudari sekelian.

Inilah antara wajah-wajah rakyat Malaysia yang pernah aku jumpa. Dalam kita mendabik dada bahwa Malaysia adalah negara maju. Masih ada lagi insan manusia yang seagama dan seaqidah dengan kita yang terpinggir dalam kedaifan.

Rasailah kelaparan insan yang kurang bernasib baik dari kita. Rasailah penderitaan mereka, agar kita dapat merasakan keinsafan bahwa nikmat yang Allah kurniakan buat kita terlalu banyak dan kita masih lagi kufur dengan nikmat-nikmat tersebut. Andainya kita sedar bahwa nikmat yang Allah curahkan kepada kita terlalu banyak sedangkan kesyukuran kita masih belum setimpal dengan nikmat pemberian-NYA, ayuh usahakanlah di madrasah Ramadhan ini untuk mengorak langkah perubahan dalam diri kita.

Saudara-saudari sekelian. Saban hari dan masa. Kehidupan kita dicemari dengan daki maksiat dan kemungkaran. Akibat perlakuan maksiat kita, kita dimarah, kita dicemuh, kita di hina. Kita rasa kurang selesa dengan cemuhan, kutukan dan hinaan tersebut walaupun di lubuk hati kita, kita akui bahwa apa yang kita lakukan adalah bertentangan dengan syariat. Apakah kita tidak takut penderitaan dan siksaan api neraka di akhirat nanti ? Apakah kita sangka Allah itu tidak tahu apa maksiat yang kita lakukan dalam keadaan nifaq? Apakah kita sangka kepanasan api neraka Allah itu bagaikan kepanasan puntung rokok yang saban hari menjadi nikmat bibir kita ? Andainya kita benci di caci dan dimaki akibat maksiat yang kita lakukan, mengapakah kita tidak berusaha meraih keampunan Allah dan berusaha menjadi hamba Allah yang mendapat kasih sayang dan rahmat Ilahi ? Ayuhlah kita bersama-sama berusaha meraih keampunan Allah di Ramadhan yang penuh berkat ini. Perbaikilah diri kita dengan ikhlas agar kembalinya kita nanti ke pangkuan Allah sebagai hamba yang diredhai-NYA dengan hati yang tenang. Jadikanlah Ramadhan ini sebagai titik tolak untuk kita terus meninggalkan kefasadan dan berusaha melaksanakan makrufat. Sebagai bukti bahwa kita ini seorang hamba Allah.

Akhir kata, marilah kita bersama-sama menyelusuri Ramadhan yang menjelang ini dengan rasa kehambaan. Rebutlah peluang tatkala syaitan-syaitan dibelenggu, nafsu-nafsu dikekang, pintu rahmat dan pintu keampunan dibuka, pintu-pintu neraka ditutup. Bersama iringan doa para malaikat untuk hamba Allah yang berpuasa dengan penuh keikhlasan. Jadikanlah Madrasah Ramadhan ini sebagai titik permulaan lembaran baru buat diri kita sebagai hamba Allah yang benar-benar mengharapkan keampunan dan kasih sayang Allah. Semoga tarbiyah kita kali ini membuahkan hasil yang bakal dituai dengan penuh keuntungan di akhirat.

Wassalam.


Thursday, August 20, 2009

Al Fatihah Ustaz Mohd Asri Bin Ibrahim Selepas 7 Hari Pemergiannya



Hari ini genaplah 7 hari arwah meninggalkan kita. Tiap kali aku menatap gambarnya, hati ku sayu. Tiap kali aku mendengar alunan suaranya di corong radio, detik itu juga air mata ku akan mengalir tanpa ku sedari. Bukan tidak redha dengan pemergiannya. Tetapi inilah fitrah seorang insan yang banyak dosa seperti ku, amat terasa kehilangan seorang sahabat yang selalu memberikan nasihat tatkala aku lalai dan leka mengingati-NYA.



Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim, kalau hendak ku tulis sifat-sifatnya, rasanya yang
bisa engkau baca hanyalah perkara-perkara yang baik tentang dirinya. Tidak pula aku nampak sifat dan akhlak yang jelek lahir dari sikapnya.




Seorang yang peramah, penyayang, bertanggungjawab. Dan aku rasa kaum keluarganya tentu mencemburui Arwah kerana Arwah seorang yang terlalu memuliakan tetamu dan sahabat. Beliaulah Pahlawan Nasyid yang gugur di medan jihad. Semoga ALLAH SWT menilai pemergiannya sebagai syuhada.



Tuhan
Kubisikkan kerinduan
Keinsafan
Pengharapan

Tuhan
Kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan

Bisikanku untuk-Mu
Munajatku mohon restu
Semoga cintaku bukan palsu
Pada desiran penuh syahdu
Gelombang lautan rinduku

Tuhan
Kubisikkan kerinduan
Keinsafan
Pengharapan

Tuhan
Kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan

Munajatku dalam syahdu
Merindui maghfirah-Mu
Mardhiah-Mu dalam restu
Harapan tulusnya hatiku

Kurindukan pimpinan-Mu
Keagungan-Mu dalam doaku
Kebesaran pada qudrat-Mu

Ia membina ruhaniku

Tuhan
Kubisikkan kerinduan
Keinsafan
Pengharapan

Tuhan
Kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan

Ujian kepahitan
Di dalam perjuangan
Padanya ada kemanisan
Ketenangan dan kebahagiaan
Padanya syurga idaman

Munajatku dalam syahdu
Merindui Maghfirah-Mu
Mardhiah-Mu dalam restu
Harapan tulusnya hatiku

Kurindukan pimpinan-Mu
Keagungan-Mu dalam doaku
Kebesaran pada Qudrat-Mu
Ia membina ruhaniku

Tuhan
Kubisikkan kerinduan
Keinsafan
Pengharapan

Tuhan
Kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan




Wednesday, August 19, 2009

Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak


" Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertakwa." : Surah Al Baqarah, ayat 183

Ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa'i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......."

Ramadhan menjelma lagi. Bersyukurlah dengan kehadirannya. Bulan yang penuh berkat yang dijanjikan di dalamnya rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka oleh ALLAH SWT.

Aku bukan ustaz. Apatah lagi ada tauliah untuk berceramah dan menyebarkan ilmu agama dari mana2 authority. Ilmu yang ada pada aku pun hanya bersumberkan arwah atok ku dan arwah ayah ku untuk aku amalkan sendiri. Tidak ada sijil yang dikeluarkan oleh mereka yang hanya mencurah ilmu di madrasah pondok di pinggir kampung. Tapi aku kesian kat umat sekarang yang rata2nya jahil macam aku dan mereka tidak di pimpin dan di didik ke arah mentaati ALLAH SWT. Maka tak hairanlah umat dan masyarakat semakin rosak. Namun apa kan daya mereka yang berilmu dan bertauliah enggan mendidik umat dan masyarakat dengan pelbagai alasan bodoh.

Sempena Ramadhan yang penuh berkat, aku menyeru ahli agama agar merenung sejenak tanggungjawab anda sebagai murabbi yang mendidik masyarakat dan menyampaikan ilmu. Rosaknya umat dan masyarakat adalah kerana kegagalan diri mu kerana bersembunyi didalam tempurung keegoan mu. Aku masih teringat kata-kata arwah datuk ku kepada murid2nya di madrasah pondoknya di saat hujung nafasnya.

Andainya engkau enggan turun berjuang, NANTILAH masanya ALLAH akan menggantikan diri mu dengan bangsa yang lain. Tatkala itu engkau sudah tiada lagi di hati masyarakat, lebih-lebih lagi, engkau TIADA LAGI DI HATI ALLAH.



PENGERTIAN PUASA

Puasa ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

PUASA WAJIB

Puasa bulan Ramadan, puasa kifarat dan puasa nazar.

PUASA SUNAT

1. Puasa enam hari pada bulan Syawal
2. Puasa hari Arafah
3. Puasa Hari Asyura pada 10 Muharam
4. Puasa bulan Syaaban
5. Puasa Isnin dan Khamis
6. Puasa tengah bulan iaitu 13,14,15 pada tiap-tiap bulan qamaria (tahun Hijrah)

PUASA MAKRUH

1. Puasa yang terus menerus sepanjang masa
2. Tidak termasuk dua hari raya dan hari tasyriq

PUASA HARAM

1. Puasa pada hari raya pertama Idil Fitri
2. Puasa pada hari raya pertama Haji
3. Puasa tiga hari sesudah hari raya haji atau hari tasyriq iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.

SYARAT WAJIB PUASA

1. Berakal
2. Akhir Baligh (Cukup umur)
3. Kuat atau mampu mengerjakan puasa
4. Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan Ramadhan dengan menggenapkan Sya'ban sebanyak 30 hari

SYARAT SAH PUASA

1. Islam
2. Mumayyiz (dapat membezakan yang baik dan buruk)
3. Suci daripada haid dan nifas
4. Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa. Tidak sah puasa pada hari yang diharamkan syariat.
5. Sempurna akalnya ( tidak gila, sawan ) sepanjang hari sehingga menjelang waktu berbuka.

RUKUN PUASA

1. Berniat - Pada malam selama bulan Ramadhan hendaklah berniat di dalam hati bahawa kita akan mengerjakan puasa pada hari esok.
2. Menahan diri daripada segala yang membatalkan semenjak terbit fajar sampai terbenam matahari.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

1. Murtad
2. Muntah dengan sengaja
3. Bersetubuh tanpa keluar mani pada siang hari bulan Ramadhan ( bukan sahaja membatalkan puasa, malah dikenakan kifarah ke atas lelaki, berpuasa selama 60 hari berturut-turut)
4. Keluar darah haid atau nifas
5. Gila
6. Keluar mani akibat bersetubuh dengan perempuan.
7. Memasukkan sesuatu di dalam rongga yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja. .

Tetapi keluar mani kerana bermimpi tidak membatalkan puasa.

Amalan Sunat Berkaitan Puasa Di Bulan Ramadhan

1. Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.
2. Makan sahur walaupun sedikit
3. Melambatkan sahur
4. Berbuka dengan buah kurma atau makanan yang manis
5. Memperbanyakkan bacaan Al Quran
6. Memperbanyakkan bersedeqah
7. Beri'tiqaf di siang hari
8. Menghadiri majlis ilmu
9. Menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa
10. Jangan bersugi setelah gelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari.


ORANG YANG DIIZINKAN BERBUKA ATAU TIDAK BERPUASA

1. Orang yang sakit (wajib di qadha')
2. Orang yang dalam perjalanan jarak jauh melebihi 2 marhalah atau 91km ( wajib qadha')
3. Orang tua yang sudah lemah. Wajib qadha' jika terdaya.
4. Orang yang hamil dan orang yang menyusukan anak jika takut mudharat ke atas bayi kandungannya. Wajib qadha'

Bacaan Niat Puasa :


Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta'ala

Selamat menikmati Pesta Ibadah di Madrasah Ramadhan Al Mubarak

Sunday, August 16, 2009

Sabarlah Dengan Pemergiannya : Tribute to Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim


13 Ogos 2009 ... Hari Ini Dalam Sejarah .... seorang lagi sahabat ku kembali ke rahmat ALLAH. Allahyarham Ustaz Mohd. Asri bin Ibrahim. Dalam munajat ku, aku mendoakan agar engkau tenang mkembali ke rahmat NYA. Al Fatihah buat Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim.

Pemergian sahabat ku mengundang ingatan ku kepada ahli-ahli keluarga ku yang telah pergi mengadap ALLAH. Aku terkenang arwah Ummi yang menjadi ibu susuan ku sewaktu ibu, ayah dan atok ku mengerjakan haji di tahun 1969. Umur ku belum pun setahun waktu itu.

Lantas ingatan ku mengimbas akan peristiwa silam yang berlaku hampir setahun nan lalu ......



14 April 2008.

Sebaik sampai mendarat di airport Sultan Mahmud, siang tadi, aku dijemput oleh sahabat2 ku dan terus bertolak ke rumah ibu ku. Dalam perjalanan dari airport ke Kuala Besut, aku melalui kampung Batu Rakit. Lalu aku minta sahabat yang memandu Pajero tu melencong ke rumah arwah Ummi. Sebaik sampai di hadapan rumah, aku keluar dari Pajero. Aku renung rumah usang tersebut yang sudah tidak berpenghuni. Perlahan2 aku berjalan ke arah rumah dan duduk di anjung rumah.

Aku masih ingat, ketika pakcik ku yang pergi ke laut untuk mencari rezeki yang halal buat keluarganya, tidak pulang-pulang sehinggalah ke hari ini. Di anjung itulah Ummi menghayun buaian adik sepupu perempuan ku yang sedang lena tidur, sambil menunggu suaminya tanpa jemu dengan harapan suami tercinta akan pulang ke sisi keluarga tercinta.

Dan ingatan ku mengimbas kenangan silam serta telinga ku seolah-olah mendengarkan alunan nazam .....

Muga-muga Allah, Tuhan kami, sejahterakanlah cahaya yang nyata,
Ahmad yang terpilih, penghulu sekelian pesuruh-pesuruh Allah,
Dan sejahterakanlah juga keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Sifat yang wajib bagi Allah
wujud, sedia, kekal, berlainan dari segala yang lain,
cukup dengan sendirinya, tunggal, berkuasa,
berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar,
melihat, berkata-kata,

Dan keadaan NYA berkuasa, berkehendak,
dan keadaan NYA mengetahui, hidup, mendengar,
dan juga keadaan NYA melihat, berkata-kata.

Lawan kepada sifat tadi dua puluh jua,
Iaitu sifat-sifat kekurangan yang mustahil bagi Allah

Tiada, ada permulaan, lenyap atau hapus,
menyamai makhluk NYA ( Maha Suci Allah)
Tidak cukup dengan sendirinya, berbilangan,
Serta pula DIA lemah membuat makhluk-makhluk
Dan musthail juga DIA kena paksa, bodoh, tuli
Ataupun DIA mati, buta dan bisu

Sifat-sifat lawan NYA yang lain juga nyata
Tidak perlu diterangkan disini

Nabi-nabi pula wajib ada sifat amanah
Bercakap benar, menyampaikan dan bijaksana

Mustahil pula Nabi-nabi itu
Khianat, dusta, menyembunyikan dan bebal

Maka demikianlah sifat-sifat yang tersebut itu
Terhadap Allah dan Rasul-rasul NYA yang mulia

Nama 25 Rasul yang wajib dikenali oleh setiap muslim
Mereka itu adalah
Adam, Idris, Nuh, Hud
dan juga termasuk Saleh, Ibrahim
dan Lut, Ismail, Ishak
seterusnya Yaakub, Yusuf dan Ayub
Syua'ib, Harun, Musa dan Ilyasa'
dan juga Zulkifli, Daud dan Sulaiman
dan Ilyas, Yunus, Zakaria, Yahya dan Isa
dan akhir sekali Taha iaitu Muhammad penutup kerasulan

Muga-muga bagi mereka kesejahteraan dan keselamatan
dan bagi keluarga mereka selagi ada siang dan malam

Dan Malaikat-malaikat pula tiada ibu bapa
serta tiada ia makan atau minum atau tidur

Nama-nama sepuluh dari mereka ialah
Jibril, Mikail, Israfil, Izrail
Mungkar serta Nagkir
Raqib serta Atid
Malik dan Ridwan

Dan empat kitab-kitab dari Allah
Taurat kepada Musa
Zabur kepada Daud
Injil kepada Isa
Dan Furqan (Al Quran) kepada sebaik-baik makhluk
Muhammad Khatamun Mursalin

Selain itu ada kitab-kitab kepada lain-lain Nabi
Di dalamnya kalam Allah yang adil dan mengetahui

Begitulah antara terjemahan nazam ke dalam bahasa melayu yang sering dikumandangkan setiap kali kuliah tauhid akan bermula di madrasah pondok milik arwah datuk ku.

Nazam inilah juga yang sering disenandungkan setiap malam Isnin & malam Jumaat setelah selesai membaca mawlidur rasul buat penyubur jiwa dalam perjuangan. Dan inilah juga nazam yang selalu dilafazkan oleh Ummi sewaktu mendodoikan anak-anaknya di dalam buaian.

Aku masih ingat, kata-kata arwah datuk ku kepada ibu saudara ku itu, sewaktu ibu saudara ku berhadapan musibah, ayah saudara ku yang tidak pulang-pulang ke rumah sejak pergi ke laut.

" Kalau Allah tidak menimpakan musibah, tentu kau tak ada peluang nak dapat pahala sabar dan redha. Jangan sampai Tauhid kita dengan Allah cacat disebabkan musibah yang menjanjikan pahala sabar dan redha "

Dan nazam inilah yang dilafazkan ibu saudara ku dengan nada yang sayu sewaktu mendodoi adik sepupu ku sambil menerima ketentuan Allah dengan sabar dan redha bersama linangan air mata.

Mungkin harapan ibu saudara ku sewaktu mendodoikan anaknya sambil bernazam, muga-muga anak-anaknya akan memiliki kekuatan tauhid yang lebih hebat darinya bagi berhadapan cabaran dan rintangan hari muka.

Sebak dan sayu aku ketika berada di anjung rumah arwah.

Aku berdiri dan berjalan ke arah jeti yang tak jauh dari rumah arwah.

Terasa kelembutan hembusan angin bayu laut di situ. Terdengar desiran ombak yang menghempas tebing jeti. Kelihatan camar2 laut berterbangan sambil mengejar ikan di muka air. Sungguh mendamaikan. Tak hairanlah arwah sepupu ku menjadikan tempat itu sebagai tempat untuk bersendirian dan bertafakur.

Semakin sebak dan sayu ..... aku memang benar2 merindui mereka ...

Dan aku meneruskan perjalanan ku ke Kole Besut melalui jalan pantai .....

Sepanjang perjalanan banyak perkara yang dibualkan di dalam kenderaan, tapi aku hilang fokus. Aku lebih leka melihat ke laut dan bertanya pada diri ku .... "Mungkinkah Ummi sudah bertemu suaminya di alam sana dan mungkinkah sepupu ku sudah bertemu dengan ayahnya di alam sana ?"

Sesampai ke Kole Besut, azan asar berkumandang di masjid. Sesudah selesai menunaikan solat .... seperti rutin biasa setiap kali aku balik ke kampung, aku akan menziarahi pusara ahli-ahli keluarga ku sebelum menjejakkan kaki ke rumah. Di situlah tempat aku mengirimkan bacaan ayat Al Quran dan sekalung doa buat mereka sambil "bercakap dengan mereka" buat beberapa ketika. Sehingga kadang kala orang kampung mengatakan aku gila, sebab bercakap dengan orang yang ada di dalam kubur. Tapi lantaklah apa orang lain nak kata.

Kita dilahirkan dalam keadaan suci, bersih tanpa noda dosa dan kemungkaran. Namun dalam proses pembesaran, kita warnai hidup kita dengan daki-daki dosa dan maksiat. Andainya tidak ALLAH ketuk pintu hati kita, mana mungkin kita sedari bahawa perlakuan kita selama ini hanya mengundang murka ALLAH. Itulah kasih sayang ALLAH buat hamba NYA. Andainya kita mensyukuri nikmat iman dan Islam, kembalilah kita kepada ALLAH dalam keadaan yang diredhai-NYA. Andainya kita terus kufur, malanglah nasib kita di akhirat sana. Kematian itu pasti. Setiap insan akan merasai saat perpisahan terakhir.



Begitulah kitaran hidup manusia. Ada yang lahir ke dunia, di kala yang sama ,ada yang kembali ke rahmat ALLAH.

Perjalanan hidup manusia melalui 5 alam. Alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat.

Aku teringat cerita2 arwah tok dan Ummi sewaktu aku masih kecil ... Sewaktu di alam roh, sebelum roh dimasukkan ke dalam jasad, roh memang tahu yang hanyasanya yang patut ditaati dan disembah adalah ALLAH, Tuhan Sekelian Alam. Bahkan dalam Al Quran menjadi ada menceritakan bahawa roh kita semua bersumpah dan bersaksi bahawa ALLAH saja yang selayaknya disembah dan di taati.

Lalu ALLAH memasukkan roh ke dalam jasad. Maka tinggalah insan di dalam rahim ibu selama 9 bulan. Si ibu, walau disedari bahawa nyawanya bisa melayang sewaktu melahirkan, namun masih bisa tersenyum sambil menanti kelahiran anaknya dengan rasa kasih dan sayang. Begitulah hebatnya wanita. Maka tidak hairanlah ALLAH memuliakan si ibu 3 kali ganda berbanding seorang ayah.

Setelah cukup tempoh, maka lahirlah insan tersebut ke dunia. Terpulang kepada ibu dan bapanya untuk mencorakkan si anak. Alam dunia yang menjanjikan 1001 macam ujian bagi menilai keikhlasan dan kesungguhan seseorang dalam mentaati ALLAH dan Rasul NYA. Di sebalik ujian dari ALLAH, terselit anugerah yang amat besar dan tak terkira hebatnya , iaitu pahala sabar dan redha dengan ketentuan ALLAH.

Bumi mana yang tak ditimpa hujan, begitu jugalah dalam kehidupan manusia. Manusia mana yang tidak menghadapi ujian.

Yang kaya diuji oleh ALLAH, yang miskin juga diuji oleh ALLAH.

Yang tua diuji oleh ALLAH, yang muda juga diuji oleh ALLAH.

Yang berkuasa diuji oleh ALLAH, yang lemah tiada upaya juga diuji oleh ALLAH.

Tapi dalam menghadapi ujian yang mendatang, sebagai seorang Islam dan beriman, syukurilah kedatangan ujian dari ALLAH kepada kita kerana ianya terselit sebuah peringatan kepada kita .... bahawa kita ini lemah dan kita tidak mampu melawan takdir ILAHI, maka siapakah kita di dunia ini, walau kita diulit 1001 macam nikmat duniawi, namun pada pandangan ALLAH kita tetap seorang makhluk yang lemah lagi hina.

Lihat saja orang2 yang pernah berkuasa yang kita kenali di zaman kita. Andai dulu sewaktu berkuasanya dia, kata2nya bagaikan firman mengeluarkan arahan-arahan yang tidak berdaya dibantah oleh orang lain. Kini apabila kekuasaannya tidak lagi bertakhta, kehadirannya tidak lagi diraikan dan dihormati, seperti Pak Lah. Malah orang yang sedang berkuasa dan bertakhta juga kita lihat dipersenda dan tidak dihormati seperti apa yang berlaku kepada Dato Seri Najib.



BEGINILAH UJIAN ALLAH kepada manusia agar manusia ingat bahawa segala nikmat yang mereka perolehi di alam dunia ini hanyalah bersifat SEMENTARA. Sewaktu memperolehi nikmat, maka gunakanlah nikmat tersebut untuk mentaati ALLAH dan mentaati Rasulullah SAW. Andainya nikmat tersebut tidak disyukuri, maka ALLAH datangkan UJIAN dalam bentuk bala musibah yang mengundang duka dan kesedihan. Agar kita sedar dan ingat, bahawa kita sudah terpesong jauh dari landasan ajaran Islam.

Begitu juga dengan nikmat kemewahan dan kekayaan. ALLAH limpahkan nikmat kekayaan dan kemewahan agar kita syukuri dan agih2kan nikmat tersebut kepada mereka yang kurang bernasib baik. Andainya kita bersyukur atas nikmat tersebut, ALLAH tarik nikmat tersebut dari kita agar kita sedar bahawa kita sudah terlalu kufur dengan nikmat ALLAH. Jika ALLAH boleh melimpahkan nikmatnya, bila-bila masa ALLAH boleh tarik semula nikmat tersebut dari kita.

Begitu juga dengan nikmat persahabatan dan kasih sayang. ALLAH mempertemukan kita dengan insan yang sanggup berkorban atas nama persahabatan. ALLAH mempertemukan kita dengan seorang yang sangat mencintai dan mengasihi kita. Maka syukurilah nilai persahabatan. Syukurilah nilai percintaan dan kasih sayangnya. Andainya kita tidak bersyukur, tidak mustahil ALLAH akan tarik nikmat tersebut dari kita. Wal hasilnya, kita akan tinggal dalam kesepian dan kerinduan di dunia ini.

Dan setiap ujian yang ALLAH datangkan merupakan rahmat bagi setiap insan yang beriman.

Kerana bersama ujian yang datang, di situ terkandungnya tarbiah dan pendidikan agar kita kembali ke jalan iman agar kita tidak terpesong semula ke jalan kekufuran.

Bersama ujian yang datang, di situ ada pahala redha dan sabar buat insan yang beriman, walau impak ujian meninggalkan kesan di hati yang mendalam. Bak parut dari luka akibat sebuah kesilapan. Yang akan terus berkekalan dan tak mungkin terpadam.

Begitulah tarbiah ALLAH kepada hamba-hamba NYA yang dikasihi. Agar hamba NYA sentiasa merintih dan bersedih. Mengharap kekuatan dan kasih sayang ILAHI.

Buat keluarga Allahyarham Ustaz Mohd. Asri Ibrahim, bersabarlah. Ku lihat diri mu bagai isteri kepada seorang syuhada. Suami mu adalah Pahlawan Nasyid yang agung yang gugur di medan jihad. Relakanlah perpisahan ini. Iringilah pemergiannya ini, dengan doa yang tidak henti. Moga syiar Islam terus berdiri. Usapilah genang air mata kasih. Senyumanmu adalah penguat semangat juang suami mu. InsyaALLAH, suami mu sudah menyemai cintamu di syurga ...........

Buat keluarga Rabbani, teruskanlah perjuangan kalian. Masih ramai masyarakat yang dahagakan tarbiah kalian. Ayuh bangkit dan sampaikan seruan jihad di bumi yang ketandusan iman.


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

Saturday, August 15, 2009

Perginya Seorang Sahabat : Allahyarham Ustaz Asri Bin Ibrahim Dalam Kenangan


Aku dilahirkan dalam keluarga yang miskin dan serba kekurangan. Begitulah yang telah tertulis dalam suratan takdir ku. Tidak aku nafikan, sebagai manusia yang dijadikan dengan sifat serba kekurangan, aku pernah mengeluh akan kesukaran hidup dalam kemiskinan. Tapi arwah atok aku selalu berpesan kepada ku tatkala lafaz keluhan itu sampai ke telinganya. Antara pesanan arwah tok ku yang masih ku ingat :

Biarlah menjadi miskin yang bersyukur dari menjadi kaya tetapi kufur dengan nikmat ALLAH.

Biarlah miskin, asal hidup jujur.

Apa guna jadi kaya, kalau hati tak bahagia. Apa guna jadi senang, kalau hati tidak tenang.

Dan beribu-ribu nasihat yang keluar dari mulut arwah atok ku, bila cucunya terlibat dalam pelbagai masalah di kampung.

Berkat nasihat dari seorang tua kepada cucunya, kemiskinan dalam hidup ku telah mengajar aku lebih berdikari sejak kecil lagi. Sehingga terjebak dengan gejala2 negatif.



Masih basah di kotak fikiran ku. 1984, aku diterima masuk ke MRSM Jasin. Seperti biasa, aktiviti bergaduh ku masih ku teruskan sejak dari kampung hinggalah ke asrama penuh. Aku masih teringat, dua orang cikgu yang tidak putus asa memberi nasihat kepada ku, Cikgu Yosri Abdul Ghani dan Cikgu Norziah. Kedua-duanya adalah cikgu disiplin di MRSM Jasin. Aku sering bertemu mereka disebabkan aku merupakan pelajar yang bermasalah sewaktu di MRSM. Pernah Cikgu Yosri menasihatkan aku untuk keluar bersama jemaah Tabligh waktu cuti agar aku dapat belajar usaha agama dan dapat didik diri agar berdisiplin. Cikgu Norziah pula selalu nasihatkan aku agar pergi ke Kursus Kefahaman Islam anjuran Yayasan Al Arqam di Kampung Sungai Penchala sewaktu cuti akhir tahun.

UUUUHHHHH pening kepala aku waktu itu. Aku seorang student yang bermasalah. Pantang ditegur oleh student lain, yang selalunya berakhir dengan student tersebut tersembam ke tanah, dengan kaki ku memijak kepalanya. Disebabkan selalu bermasalah, maka aku disuruh join jemaah Tabligh dan Al Arqam.

Aku pernah terbayang .... bila aku jadi orang Tabligh atau Al Arqam, dengan pakai jubah dan serban ..... aku membelasah musuh-musuh ku sampai separuh mati ..... perrrghhhh ..... brutal sungguh aku.

Cuti hujung tahun 1985 .... seminggu sebelum cuti, Cikgu Norziah memanggil aku ke bilik Lembaga Disiplin Pelajar. Aku terkejut. Apa pula yang aku dah lakukan sehingga terpaksa mengadap cikgu disiplin ? Denagn berat hati aku pergi juga mengadap cikgu Norziah. Setelah berdepan denagn Cikgu Norziah, aku dimaklumkan bahawa, dia dah daftarkan aku ke Kursus Kefahaman Islam anjuran Al Arqam cuti sekolah nanti. Dia nak aku ikuti kursus terebut sampai habis. Pesanan terakhirnya sebelum aku keluar dari bilik disiplin ..... JANGAN BERTUMBUK DENGAN ORANG AL ARQAM.

Cuti menjelang. Student lain semua dah balik kampung masing2 dari asrama. Tetapi .... aku dari asrama terus dibawa ke Sungai Penchala untuk berkursus..... HANYA AKU SEORANG SAJA ...... dalam hati aku tertanya2 .... JAHAT SANGATKAH AKU NI ?

Sesampai di perkampungan Al Arqam Sungai Penchala, adalah beberapa siri ceramah selama 4 atau 5 hari berkursus. Aku dengar sajalah. Setiap sessi ceramah akan diselang-selikan dengan nyanyian nasyid. Vokalis nasyid itu tak lain dan tidak bukan ialah ASRI BIN IBRAHIM yang kita kenali sebagai Ustaz Asri Ibrahim Kumpulan Nasyid Rabbani.

Pada malamnya, peserta kursus akan tidur bersepah di surau dan ruangan ceramah. Dari situ aku berkenalan rapat dengan Asri Bin Ibrahim dan rakannya Fadhil Hanafi. Sebabnya kami tidur dalam satu ruangan yang sama.

Selepas kursus tersebut, tidak ada apa2 perubahan pun pada aku. Aktiviti bertumbuk dan bergaduh masih lagi ku teruskan. Bezanya cuma aku ada dua kawan baru orang Al Arqam hehehe. Mereka selalu tulis surat pada aku, bagi nasihat. Kengkadang mereka datang ziarah aku.
Bila aku belajar di USM, mereka lebih kerap datang ziarah aku. Bila mereka datang ziarah di USM, aku agak cuak gak. Mana tidaknya, aku di USM rambut ikal mayang mengurai mencecah paras bahu. Pakai jeans ketat sendat bertampung. Di kenali sebagai Taiko di kalangan studnt USM sebab pantang dicabar, memang akan turun padang untuk bertumbuk. Tetapi diziarahi oleh orang yang memakai jubah dan serban.

Pernah Ustaz Asri meminta aku menguruskan tempat untuk dia dan kumpulannya iaitu Nadamurni membuat persembahan di Penang bagi mempromosikan album nasyid MUNAJAT Kumpulan Nadamurni. Dan sebagai seorang sahabat, aku uruskan dengan jaya. Siapa sangka, orang yang menguruskan persembahan nasyid Ustaz Asri dan Nadamurni di Penang pada tahun 1991 dan 1992 adalah seorang gedebey hehehehe. Terus terang aku nyatakan, orang Al Arqam ni bukannya baik sangat. Tapi Ustaz Asri Ibrahim is exceptional. Dia memang baik.


1994, Al Arqam diharamkan. Nadamurni dibubarkan. Ustaz Asri menyatakan bahawa dia sudah bertaubat dari ajaran sesat yang dibawa oleh Asaari Mohamad yang menjadi dajjal dalam jemaah Al Arqam. Aku ucap syukur atas tindakan Ustaz Asri Ibrahim. Aku maklumkan padanya, kalau dia bermasalah dengan orang Al Arqam, just inform aku. Aku boleh tolong belasah. Selepas Al Arqam di haramkan, kami masih lagi mengirim khabar berita.
1997 Ustaz Asri Ibrahim menubuhkan kumpulan Rabbani. Aku masih ingat waktu bulan Ramadhan 1998, waktu tu aku bekerja dengan Zuellig Pharma Sdn. Bhd. Aku bawa staff2 aku tak kira melayu, cina & india untuk berbuka bersama-sama di Hotel Singgahsana. Ustaz Asri & Rabbani membuat persembahan.
Sepanjang perkenalan aku dengan Ustaz Asri Ibrahim, dia seorang yang lemah lembut. Sentiasa tersenyum. Tak pernah meninggikan suaranya kepada orang lain.Berhemah dan amat menjaga disiplin dalam beribadah. Kehebatan yang amat ketara yang aku nampak, dia boleh berkawan dengan pelbagai peringkat manusia termasuklah orang yang jahat seperti aku tanpa membezakan taraf dirinya sebagai seorang yang soleh dan beragama. Sebabnya dalam dunia realiti, tak ramai orang yang nak berkawan dengan orang-orang jahat. Kalau dia mat surau, dia nak berkawan dengan mat-mat surau saja. Tapi Ustaz Asri Ibrahim is exceptional. Dia berkawan dengan semua orang, menasihati orang-orang yang jahat macam aku, agar kembali ke jalan kebenaran. Tak aku nafikan, kalau disuruh berceramah, Ustaz Asri agak skema dan kekok. Tapi dalam usaha menyampaikan dakwahnya, Ustaz Asri menggunakan saluran nasyid. Aku yakin, pasinya ada di kalangan pembaca blog aku ini menitiskan air mata sewaktu mendengar alunan zikir Ustaz Asri.



Pada tanggal 13 Ogos 2009, aku mendapat panggilan telefon dari seorang sahabat mengatakan Ustaz Asri Ibrahim telah meninggal dunia jam 11.00 pagi akibat serangan jantung. Berita itu menjadikan otak aku blank seketika. Hati ku terdetik dan berkata .... Seorang lagi sahabat ku telah kembali ke rahmat ALLAH.

Dari blog Allayarham Ustaz Asri Bin Ibrahim tercatat :

“Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku…“- Asri Ibrahim-

Ya ALLAH Ya Tuhan Ku
Kau tempatkanlah sahabat ku Asri Bin Ibrahim
di kalangan kekasih MU
KAU rahmatilah dirinya
KAU kasihilah dirinya
KAU bahagiakanlah dirinya
KAU ceriakanlah dirinya
Sebagaimana dia mengasihi,
membahagiakan
dan menceriakan
diri kami dengan alunan zikir dan nasyidnya

AL FATIHAH buat Ustaz Asri Bin Ibrahim

PERGI TAK KEMBALI


Setiap insan pastikan merasa


Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kanangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Sumber lain yang berkaitan boleh dibaca di sini :

Ketua kumpulan Rabbani, Asri meninggal dunia
Asri Rabbani jatuh dan meninnggal dunia

Asri Rabbani mati mengejut
Asri Rabbani meninggal dunia

Rahsia Sebuah Kematian

Selangkah ke Alam Batin

Wednesday, August 12, 2009

DOA MENGELAKKAN PENYAKIT BERJANGKIT



ada 9 perkara berkenaan dengan pandangan Islam terhadap penyakit berjangkit dan wabak ini seperti berikut :



1. Berlakunya jangkitan (infection) penyakit adalah diakui oleh Nabi SAW. Nabi SAW bersabda :

فر من المجزوم كما تفر من الأسد
“Larilah dari orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa.” (Hr Bukhari)

Ini adalah suruhan Nabi SAW kepada umatnya berhati-hati ketika bermuamalat dengan pesakit yang membawa penyakit yang boleh berjangkit.

2. Penularan dan merebaknya penyakit memerlukan kepada syarat-syarat yang ketat. Oleh itu Nabi SAW menafikan penularan ini :

لاَ عَدْوَى
“Tidak ada jangkitan penyakit tanpa sebab.” (Hr Bukhari)

Setiap penyakit yang berjangkit ada cara-cara tertentu, ada yang berjangkit melalui makan dan minum, ada yang melalui darah dengan suntikan, ada yang melalui hubungan jenis dan sebagainya.

Hadis menafikan jangkitan penyakit tanpa sebab dan dengan cara jangkitan yang sebenarnya.

3. Dalam keadaan yang diperlukan orang yang sihat boleh bersama pesakit dengan berserah pada Allah SWT. Jabir bin Abdullah RA telah meriwayatkan :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أخذ بيد مجذوم فأدخلها معه في القصعة ثم قال : كل بسم الله ثقة بالله وتوكلا عليه
” Sesungguhnya Rasulullah SAW mengambil tangan pesakit kusta (leprosy), lalu mengajaknya makan bersama dalam satu bekas. Nabi SAW bersabda : “Makanlah dengan nama Allah, berpegang teguh kepada Allah dan berserah padaNya.” (HR Tirmizi)

Oleh itu sesiapa yang bertanggung jawab untuk bersama pesakit yang berjangkit ini seperti pegawai dan petugas perubatan hendaklah yakin dengan Allah dan meminta perlindungan kepadaNya.

4. Pengasingan pesakit berjangkit dari orang-orang yang sihat (isolation).

Nabi saw bersabda :

لا يوردن ممرض على مصح
“Pesakit yang berjangkit tidak boleh mendatangi orang yang sihat.” (HR Bukhari)

Nabi saw bersabda:

كلم المجزوم وبينك وبينه قيد رمح أو رمحين
“Bergaullah bersama pesakit kusta dengan jarak selembing atau dua lembing.” (HR Abu Nu’aim)

Hadith-hadith ini menunjukkan bahawa perlunya pengasingan diantara orang yang sihat dengan pesakit yang berjangkit ini. Ini untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan penularannya ke dalam masyarakat.

Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menegah pesakit kusta dari bersama orang yang sihat.

5. Kuarantin (quarantine) dalam Islam.

Kuarantin adalah menghadkan pergerakan orang-orang yang sihat yang pernah bersama dengan pesakit yang berjangkit pada satu tempat dalam masa penyakit itu boleh berjangkit.

Tujuan utamanya adalah supaya dapat mengelakkan dari penyakit berjangkit itu menular ke dalam masyarakat yang sihat.

Walaupun mereka ini dilihat sihat tetapi ada kemungkinan penyakit sudah berjangkit kepada mereka dan gejala penyakit itu belum timbul kerana masih lagi diperingkat permulaan.

Nabi saw bersabda :

الطاعون أية الرجز ابتلى الله عز وجل به أناسا من عباده فإذا سمعتم به فلا تدخلوا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تفروا منه
“Taun (plague) adalah tanda kemurkaan Allah yang mana Allah menguji hamba-hambaNya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (HR Muslim)

6. Syahid kepada orang yang mati kerana penyakit wabak (epidemics).

Aisyah ra bertanya berkata :

سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الطاعون فأخبرني أنه عذاب يبعثه الله على من يشاء وأن الله جعله رحمة للمؤمنين ليس من أحد يقع الطاعون فيمكث في بلده صابرا محتسبا يعلم أنه لا يصيبه إلا ما كتب الله له إلا كان له مثل أجر الشهيد
“Aku bertanya Rasulullah saw tentang wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Allah akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran Allah dan yakin ia adalah hanya ketetapan ilahi melainkan Allah akan memberinya pahala syahid.” (HR Bukhari)

7. Islam menggalakkan umatnya berusaha mengelakkan dari penyakit. Antara usahanya adalah tidak masuk ke tempat yang ada penyakit berjangkit atau wabak.

Ini jelas apa yang berlaku kepada Saidina Umar ketika beliau hendak masuk ke dalam Syam. Apabila beliau mengetahui di syam berlakunya wabak taun, dia berpatah balik dan tidak jadi masuk ke syam. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah berkata :

أفرارا من قدر الله؟
“Adakah engkau cuba lari dari ketentuan Allah?”

Umar menjawab :

لو غيرك قالها يا أبا عبيدة نعم نفر من قدر الله إلى قدر الله

“Alangkah baik sekiranya kata-kata ini diucapkan oleh orang lain. Ya, kami lari dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah.” (HR Bukhari)

8. Doa Qunut Nazilah kerana wabak.

Mazhab Syafie dan Hanafi berpendapat sunat qunut nazilah dalam solat untuk menghindarkan taun dan penyakit wabak yang lain. Mazhab Maliki mengatakan sunat solat bukannya doa qunut.

Mazhab Hambali menyatakan bahawa tidak disyariatkan qunut untuk menghindarkan wabak kerana berlaku wabak taun pada zaman Saidina Umar dan beliau tidak qunut dan tidak menyuruh orang lain qunut.

9. Sengaja memindahkan penyakit berjangkit kepada orang lain.

Menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah perkara yang dilarang. Nabi saw bersabda:

لا ضَرَرَ وَلا ضِرَارَ
“Janganlah menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.” (Hr Ibnu Majah)

Persidangan Islam yang diadakan di Dubai pada tahun 1415 hijrah telah menyatakan bahwa sengaja memindahkan penyakit yang berjangkit seperti AIDS kepada orang lain adalah dosa besar dan berhak untuk mendapat hukuman yang berat.

Perbuatan ini dianggap pembunuhan dengan senghaja yang mewajibkan qisas jika membawa kematian mangsa.

Rujukan: Mausuah Feqhiah Tibbiah oleh Dr Ahmad Kan’an, Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar dan Jawahir Lukluiyyah oleh ad-Dimyati.



Tuesday, August 11, 2009

Imbasan Di Ambang Ramadhan 1430H


Ramadhan 1430H, bakal menjelma. Setiap kali Ramadhan muncul, setiap kali aku akan terkenang seorang chatter yang aku pernah kenal di alam chatting di internet. Walaupun perkenalan kami tak sampai setahun, namun perkenalan ini amat bermakna dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kotak fikiran aku. Perkenalan ku dengan chatter tersebut telah mendorong aku untuk menjadikan oncology sebagai priority dalam research ku.

Kisahnya .......

Pernah satu ketika di chat room, telah masuk seorang chatter baru. Sambil speaking orang putih dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang pemuda Melayu, usia sekitar belasan tahun. Berasal dari Malaysia, tetapi sejak usia 8 tahun telah mengikut ibu dan ayahnya berhijrah ke Ireland. Sejak berhijrah itulah dia terputus hubungan dengan ajaran Islam. Dia hanya tahu bahawa dia mempunyai darah Melayu dan beragama Islam. Tetapi sembahyang dia tak tahu, syahadah dia tak tahu, puasa dia tak tahu, bahasa Melayu pun dia tak tahu, malah Allah dan Rasul pun dia tak tahu.



Sewaktu dia introduce diri dia di chat room, ramai chatters yang sangsi dengan dia. Sampai yang ada menuduh dia penipu, kaki kelentong dan lain lain lagi. Tapi nasib baiklah dia tak faham bahasa Melayu, sebab kalau dia faham bahasa Melayu tentu dia terasa hati dengan kutukan dan hinaan dalam bahasa Melayu yang dilemparkan oleh "ustaz" dan "ustazah" di chat room.

Bila aku tengok dia macam tak ambil kisah chatters kutuk dia, aku pun menghantar Private Message di kotak chatting dia, dan tanya dia macamana dia boleh tersesat masuk kat chat room. Dia jawab dia nak belajar pasal Islam.

Aku tanya lagi apesal masuk chat room ? Dia tegaskan sekali lagi, bahawa dia sejak kecil tak pernah diajar pasal Islam. Dia hanyalah seorang Islam baka yang dilahirkan sebagai Melayu di Malaysia. Dia dah tak faham bahasa Melayu sebab speaking orang putih sokmo. Jadi dia masuk ke room kategori REGION, lepas tu masuk ke MALAYSIA barulah dia cari chat room yang ada bunyi2 cam Islamic sikit utk belajar tentang Islam.

Kemudia dia forwardkan kat aku PM-PM chatters yang mengutuk dia. Dia mintak aku terjemahkan PM tu dari bahsa Melayu ke bahasa orang putih sebab dia tak faham. Aku tak sampai hati nak terjemah, sebab budak tu confident jerk yang room tu Islamic, tapi dari aku tengok bahasa PM yang budak tu dapat, tak lak nampak chatters yang hantar PM tu Islamic. Budak tu introduce aje diri dia kat chat room, tak ada lak dia buat benda luar batasan syariat. Tapi PM yang dia dapat dan dia mintak aku translate, tak lak aku nampak cam chat room dan ahlinya Islamic. Jadi aku pun kata kat dia, tak yah layan PM tu. PM tu nak melawak aje dengan dia. Kalau aku translatekan pun lom tentu dia faham. Aku pun tak translatekan PM tu. Aku cakap kat dia, room yang dia masuk tu bukan room untuk belajar pasal Islam, room tu lebih kepada merapu. Tapi kalau dia nak belajar tentang Islam, aku & member2 aku boleh bantu. Dari riak tulisan dia, nampak yang dia betul2 happy dengan jawapan aku. Kendian dia ADD id aku dan aku pun ADD id dia dalam senarai rakan chatting.

Sejak hari itu, kami selalu berPM.Dia banyak cerita pasal diri dia pada aku. Dia sendiri mengaku dia tak pernah sembahyang, tak pernah puasa, tak kenal Allah dan Rasul. Masa yang sama aku susun program Fardhu Ain khususi untuk dia. Alhamdulillah dengan bantuan sahabat2 seperjuangan. Hampir setiap malam ada program Fardhu Ain untuk dia. Ajar sifat 20, taharah, bab pembahagian air, pembahagian najis, sembahyang, puasa, zakat. Siap ajar baca Fatihah guna tulisan rumi. Pasang webcam & voice chat. Tunjuk macam mana nak angkat takbir, ruku', sujud dan lain-lain lagi. Aku & sahabat2 yang lain yg mengisi program fardhu ain khususi, kalau terjumpa website yang berunsur Islam dengan penyampaian yang mudah dalam bahasa Inggeris, kami akan forwardkan kepada dia.

Satu hari dia PM aku. Dia kata kat aku "Bang Mat plz online tonite 8pm Dublin" ("Bang Mat tolong online waktu 8pm Dublin hari ni" (translation) )

Jadi aku pun online. Bila dah PM. Dia cakap kat aku.

adam : Bg Mat, plz make me a muslim (translation - Bg Mat tolong jadikan saya seorang muslim)

aku : u r a muslim ( ko kan dah jadi muslim )

adam : no i havn't. i havn't recite the syahadah (saya lom lagi Islam, saya belum ucap syahadah)

aku : ok I'm here lets do it ( oklerr aku kat sini, ko ucapler)

dia pun mengucapkan syahadah bersama terjemahannya dalm omputih

aku : alhamdulillah, now u r a true muslim ( alhamdulillah , ko seorang muslim sejati)

adam : i feel great ( saya rasa worldddddddddd )

adam : fr now on , i am ADAM ABDULLAH ( mulai dari sekrg saya ialah ADAM bin ABDULLAH )

selang beberapa minggu, sebaik selesai fardhu ain khususi. Dia PM aku lagi.

adam : Bang Mat, this ramadhan will be a masterpiece to me. This is the first ramadhan i'm gonna fast in my life. ( Bg mat, ramadahn thn ni akan menjadi sejarah kat saya sebab inilah kali pertama saya akan berpuasa dalam hidup saya )

lepas PM tu, aku lak terbusy dgn kerja. tak dpt nak online hampir 2 minggu. Sampailerr satu ari, aku dapat emel dari sahabat yg yang conduct fardhu ain khususi utk budak tu. Sahabat tu cite dah seminggu budak tu tak online. Aku terus PM dia tinggal offline mesej. Tak ada reply.

Akhirnya, setelah agak lama tak online, lepas kerja aku beres, ada masa nak online. Aku pun seperti biasa masuklah chat room. Ada sorg chatter PM aku. Dia kata ada seorang perempuan menggunakan id chat adam cari aku di chat room. Perempuan tu ibu kepadd adam. Perempuan tu tinggalkan pesan bahawa anak dia baru saja meninggal dunia sebab brain cancer. Anak dia tu dah lama kena brain cancer, dan sebelum mati dia minta ibunya utk sampaikan pesan kat aku yg dia tak sempat nak berpuasa tahun tu.

Bila aku dapat berita tu, kepala otak aku jadi blank. tak tahu nak kata amender. Biasanya aku kalau masuk chat room, memang aku lerr yg paling kuat merapu, aku lerr yang paling jahat kat chat room. Tapi hari tu, lepas dapt berita tu memang jamm otak aku.

Macam2 perasaan timbul dalam kepala otak aku. Aku terkilan sebab aku baru tahu dia tu pesakit brain cancer. Yang paling aku rasa terkilan sebab dia seorang yg benar rasa gembira dengan kedatangan Ramadhan telah pergi dan tidak berkesempatan untuk berpuasa sambil meraikan bulan yang penuh berkat. Itulah yang aku terkilan. Dia berusaha utk menyambut Ramadhan dengan hati gembira. Kerana dia ingin menjadi seorang Muslim yang sejati, dia ingin menunaikan ibadah puasa dan berzakat bagi membuktikan bahawa dirinya seorang muslim yang ingin menjadi hamba Allah, yang ingin menjadi umat kepada Rasulullah SAW.

Namun Allah lebih sayangkan dia, dan menjemput dia kembali ke sisi-NYA. Semoga Allah menempatkan dia di tempat orang yang muqarrabin.

Saudara/i sekelian. Seandainya seorang pemuda yang berusia belasan tahun. Yang hanya kenal Islam di saat kubur menggamit dirinya. Begitu berselera dan bergembira untuk menyambut Ramadhan ? Mengapakah kita yang sudah matang dan berusia ini tidak terasa akan keselamatan, keamanan dan keberkatan Ramadhan yang telah dijanjikan Allah & Rasul-NYA kepada kita ?

Seandainya seorang pemuda yang berusia belasan tahun, yang hanya pandai melafazkan Al Fatihah berdasarkan tulisan rumi yang di emelkan kepadanya, begitu bersungguh untuk membuktikan keIslamannya kepada Allah dan Rasul, mengapakah kita masih berpura-pura sebagai seorang Islam sambil enak2 melakukan dosa dan kemungkaran sedangkan Allah telah memberikan kita nikmat iman dan Islam sejak kita lahir lagi.

Seandainya seorang yang diberikan ujian kesakitan barah otak, mampu mensyukuri nikmat Allah lantas berusaha menjadikan dirinya seorang muslim yang sejati, mengapakah kita yang dililit dan disirami nikmat kemewahan hidup dan kesenangan duniawi tidak mahu mensyukuri nikmat iman dan Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita ?

Seandainya seorang yang sudah tahu, bahwa saat ajalnya hanya tinggal beberapa detik masa sahaja, dia berusaha memperkemaskan dirinya dengan amal ibadah buat bekalan di akhirat, mengapakah kita yang sihat segar bugar ini masih lalai untuk mentaati perintah Allah sedangkan ada diantara kita umur pun sudah di ufuk senja ?

Kadang-kadang aku sendiri merasa malu atas diri sendiri. Sebab perasaan dan jiwa aku sendiri masih belum segembira dan se excited Adam dalam menghadapi ketibaan Ramadhan. Dan seperti selalu, setiap kali kedatangan Ramadhan, ingatan aku kepada Adam Bin Abdullah subur kembali.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama, membuka hati dan minda dan raihlah keberkatan di bulan Ramadhan yang bakal menjelma nanti. Perbanyakkanlah ibadah fardhu & sunat. Didiklah diri untuk meninggalkan yang haram. Didiklah diri dan jiwa kita untuk benar2 memahami, menghayati dan mengamalkan titah perintah Allah. rebutlah peluang menikmati keberkatan Ramadhan yang didalamnya dijanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Rebutlah peluang keemasan ini, kerana belum tentu kita akan bertemu lagi di Ramadhan yang akan datang.

Akhir kata, salam Ramadhan buat semua. Semoga Madrasah Ramadhan tahun ini, mampu menjadikan kita hamba Allah yang lebih hampir dan dekat dengan Allah dan Rasulullah SAW.

Al Fatihah kepada Adam bin Abdullah. Semoga roh mu berada di sisi para anbiya wal mursalin, para auliya' was solihin.