Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Sunday, May 8, 2011

XPDC Wonosobo : Menyingkap Tabir Qalbu ... Part 2


2011 ... sekali lagi ku jejakkan kaki ku di Wilayah Istimewa Yogjakarta .... tempat kelahiran arwah datuk ku .... sejak tiba ... tidak putus SMS dari kaum keluarga ku di situ yang menjemput ke rumah mereka di Bata Ganting, daerah Kraton.... maaf ahlil bait ... aku ada urusan lain ... insyaALLAH aku akan ke sana bulan hadapan ....



Pelabuhan Selatan, Yogjakarta .... disitulah tempat mendaratnya Sayyid Umar Abd Rahim Sutodrono As Syaibani sekitar tahun 1770-an dari Hadramaut .... dari situ musafirnya terhenti di Wonosobo yang mengambil masa perjalanan 10 jam dengan bas, merentasi banjaran gunung dan lereng curam .... Bagaimana agaknya tahun 1770-an ? Dulu tidak ada pengangkutan modern dan jalan tar ... mungkin juga daerah Wonosobo merupakan hutan belantara ... Hanya orang yang benar-benar mempunyai tekad dan misi yang bisa menerobos jalan dan membina penempatan di daerah ini.

Aku sempat meninjau tapak rumah tempat kelahiran Syeikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi di Sudagaran, Wonosobo. Sebuah masjid gagah berdiri di bekas tapak rumahnya. Di situlah bermula perjuangannya.

Dari Sudagaran ke Kaligantung .... dari lembah permai ke kemuncak banjaran yang damai .... Lokasi yang strategik bagi membina kubu pertahanan ... dan menjadi tempat yang cukup tenang untuk beruzlah ... Di era 2011 juga terasa betapa mencabar melalui jalan di lereng banjaran untuk ke Kaliguntung .... apatah lagi di tahun 1770-an yang segala-galanya serba kuno .... HANYA YANG BENAR-BENAR MEMPUNYAI CITA-CITA yang bisa bertapak di situ .....

Sayid Umar Abdul Rahim As Syaibani .... merantau dari Hadramaut ke Yogjakarta, Pulau Jawa ... bersama satu misi .... MENEGAKKAN HUKUM SYARIAT ALLAH di muka bumi ini .... Sekitar tahun 1825 hingga 1830 ... berlaku Perang Jawa atau Perang Deponogoro. Perang yang mengorbankan 200,000 jiwa demi mempertahankan Islam dari dinoda oleh kekufuran Belanda .... Syeikh Umar Abdul Rahim As Syaibani berdiri di sisi Pangeran Deponogoro sebagai senapati (disebut Dewa Perang oleh tentera Hindu yang bersekongkol dengan Belanda) yang tak pernah gentar berdepan dengan Belanda. Malah namanya adalah sebaris senapati (Panglima Besar) kepada Pangeran Deponogoro yang lain seperti Kiai Maja dan Sentot Alibasyar. Bedanya cuma, nama Sayid Umar Abdul Rahim As Syaibani tidak tercatat sebagai senapati yang menyerah diri kepada Belanda setelah Perang Deponogoro berpihak kepada Belanda. Kerana jasanya dalam jihad Deponogoro, Sayid Umar As Syaibani di anugerahkan gelaran SUTODRONO.

Hanya orang yang mempunyai IMAN yang teguh saja yang mampu mengharungi segala kepayahan demi melihat kalimah ALLAH tertegak di muka bumi.

Dan fikiran ku melayang lagi .... satu persatu kata-kata pesanan arwah datuk ku datang bertamu .... intipatinya pernah ku coretkan dalam notes ku di link Rahsia Iman ... Kunci Cinta Sejati (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/rahsia-iman-kunci-cinta-sejati.html)

Tentang IMAN .....

*****************************

Ketahuilah oleh mu bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain. Dan tiadalah yang lebih berharga melainkan memberi manfaat iman dan Islam. kerana iman itu harta yang paling berharga, kerana iman yang sebesar zarah mampu menyelamatkan diri dari menjadi bahan bakar api neraka.

Sesungguhnya orang yang sebenar-benar beriman ialah seperti disebut oleh ALLAH di dalam Al Quran (Al Anfal : 2) :

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Al Anfal : 2)

Andainya diri dan hati mu masih tidak terkesan dan gementar tatkala kalimah ALLAH dilafazkan, sedarilah bawa diri mu masih jauh dari iman yang haq dan pastinya lebih jauh dari sifat TAQWA, kerana iman yang haq itu adalah sesuatu yang dibenarkan oleh hati, diiqrarkan dengan lisan dan di amalkan dengan perbuatan. Inilah takrifan iman.

************************************

Itulah antara ungkapan muqaddimah arwah datuk ku sebelum mensyarahkan persoalan iman dari Kitab Al Jauhar Al Mauhub di madrasah usangnya yang hanya menempatkan anak-anak fakir miskin dan yatim .....

Sedikit sebanyak, cara-cara mendapatkan iman dan menguatkan iman demi kebahagaiaan dan ketenangan hati, pernah ku tulis dalam notes ku berdasarkan syarahan arwah datuk ku. Sahabat-sahabat sekelian boleh membaca semula di link berkenaan (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/jalan-iman.html)

Iman adalah syarat untuk mencapai maqam taqwa ... Taqwa itu penting kerana ......

*************************************

Dan ingatlah, bahawasanya nilai manusia di sisi ALLAH itu bukanlah disebabkan oleh pangkat dan nasab keturunan. Tidak juga kerana ilmu yang menggunung. Lebih-lebih lagi bukan harta yang terkumpul.

Seseorang yang kuat berjuang, gelaran selayaknya hanyalah mujahid.

Seseorang yang luas lautan ilmunya, gelaran selayaknya hanyalah alim.

Seseorang yang banyak ibadahnya, gelaran selayaknya hanyalah a'bid.

Seorang yang banyak bersedekah, gelaran selayaknya hanyalah munfiq.

Seorang yang gigih berdakwah, gelaran selayaknya hanyalah da'ie.

Kesemuanya belum tentu layak beroleh gelaran muttaqin (yang betaqwa) di sisi ALLAH, kerana mereka belum tentu selamat dari ujub dan riya'.

Ada pun, taqwa itu adalah melakukan segala apa yang ALLAH suruh dan meninggalkan segala apa yang ALLAH tegah.

Andainya engkau mahu dicintai ALLAH, rebutlah maqam taqwa. Kerana taqwa menjanjikan ketenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat ....

********************************************

Taqwa, nilai manusia disisi ALLAH ... sejauh mana usaha kita untuk mencapai maqam taqwa ? Aku pernah menulisnya dalam notes ku di link berikut. http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/10/taqwa-nilai-manusia-di-sisi-allah.html

Sebagaimana tidak jemu Khatib memberi pesanan taqwa di atas mimbar setiap Jumaat. Begitu jugalah arwah datuk ku yang tidak lepas memberi pesanan taqwa. Kerana hanya taqwa yang menjadi nilaian di sisi ALLAH. Bukan pangkat dan nasab keturunan, harta yang bertimbun dan . Ini hakikatnya ....

Masih basah diingatan ku ...intipati khutbah Jumaat oleh arwah datuk ku seminggu sebelum dia kembali ke rahmat ALLAH ....

************************

Wahai para hartawan .... ingatlah .... timbunan harta mu tidak bernilai di sisi ALLAH tanpa sifat taqwa. Andainya engkau bermegah-megah dengan kemewahan mu di kala jiran mu kebuluran, bersedialah menghadapi hisab yang amat berat di mahsyar. Hanya sifat taqwa yang bisa menyelamatkan mu dan mendidik diri mu menjadi bayangan Saidina Abdul Rahman Bin Auf.


Wahai para umarak ... ingatlah .... kekuasaan mu hanyalah bagai segelas air di tengah padang pasir. Di kala engkau kehausan, takhta, kekuasaan dan kebesaran sudah luput dari hati sanubari mu. Yang engkau dambakan hanyalah segelas air di tengah padang pasir. Begitulah bidalan kerajaan milik mu yang TIDAK SETARA kerajaan milik ALLAH kerana nilaian ALLAH hanyalah taqwa. Sejauh mana engkau mampu melaksanakan yang wajib dan sejauh mana engkau mampu menjauhi yang haram dan menghiasi hidup mu dengan amalan sunat, sejauh itulah nilaian ALLAH atas amal taqwa mu. Malah kerajaan dan rakyat milik mu menjadi bebanan buat diri mu atas kemungkaran dan maksiat yang mereka lakukan. Sedarlah bahawa sebelah kaki mu di dalam syurga dan sebelah lagi di dalam neraka. Maka perbanyakkanlah taubat agar subur rasa kehambaan dalam diri mu. Lantas engkau tidak akan berpaling dari kebenaran sebagaimana Umar Abdul Aziz yang meratai keadilan kepada rakyatnya hingga serigala bisa duduk sekandang bersama kambing gembalaan.


Wahai para ulamak .... ingatlah .... lautan ilmu mu tidak berguna andainya engkau tidak terjun ke tengah masyarakat untuk mendidik mereka ke jalan iman dan taqwa. Andainya diri mu lalai dan berpaling dari menjadi murabbi, nescaya malanglah nasib mu di akhirat sana. Ilmu mu itu sendiri yang akan mencampakkan diri mu ke lembah azab sengsara. Maka suburkanlah sifat taqwa dalam diri mu agar ilmu mu menjadi jariah buat mu di akhirat sana. Ketahuilah, bahawa iman dan Islam itu tidak mengenal batas sempadan negara dan bangsa. Selagi kudrat mu masih bernyawa, sampaikanlah ilmu dan didiklah umat sebagaimana Abu Hassan Al Asy'ari, Muhammad Bin Idris As Syafie dan Abu Hamid Mohamad Al Ghazali, agar umat ini kenal Tuhan yang selayaknya di sembah dan kenal akan hukum syariat ALLAH SWT.

Wahai para bangsawan .... ingatlah .... bahawa iman dan taqwa itu bukan warisan. Sejauh mana engkau mentaati perintah ALLAH dan sejauh mana engkau menjauhi larangan ALLAH, sejauh itulah kasih sayang ALLAH bersama diri mu. Andainya diri mu masih berlazat-lazatan dengan dosa dan kemungkaran, tiada erti nilai kebesaran dan keagungan darah nasab keturunan. Kerana yang di nilai oleh ALLAH di akhirat kelak HANYALAH TAQWA. Walau setinggi mana mulia nasab keturunan mu, apakah sama dengan amalan Mus'ab Bin Umair ? Walau lahirnya sebagai bangsawan, hidupnya bagaikan fakir miskin dan matinya sebagai syuhadak. Ketahuilah oleh mu bahawa medan Uhud menjadi saksi bahawa jasad syuahadak Mus'ab Bin Umair hanya ditutupi oleh pelepah tamar kerana kefakirannya diluar kemampuan untuk memiliki kain yang mencukupi. Andainya amalan mu tidak setara Mus'ab Bin Umair, sedarilah bahawa diri mu masih jauh dari sifat taqwa dan masih jauh untuk di nilai oleh ALLAH sebagai muttaqin.


Wahai para da'ie .... ingatlah .... segigih mana usaha mu menyeru ke arah ma'aruf dan mencegah kemungkaran, tak kan sama pengorbanan para sahabat Rasulullah SAW di jalan ALLAH, lebih-lebih lagi takkan sama pengorbanan Rasulullah SAW yang menggadaikan keseluruhan hidupnya untuk iman dan Islam. Tanyailah diri mu, apakah kemahsyuran yang kau dambakan dalam berdakwah atau apakah nikmat iman dan Islam menjadi milik umat manusia yang ingin kau wariskan ? Apakah setara usaha dakwah mu dengan Muaz Bin Jabal yang berjalan kaki dari Madinah ke bumi Yaman semata-mata menyampaikan seruan Islam tanpa meminta upah walau setitis air mahu pun sebutir gandum ? Ketahuilah, sesungguhnya jalan menuju ALLAH itu penuh onak, ranjau dan kepahitan ... kerana di hujung perjalanan itu adalah syurga yang manis. Maka berlemah lembutlah, berlemah lembutlah, lantas berani kerana benar !!! Kerana ini adalah salah satu sifat taqwa.


Wahai para sufi .... ingatlah .... tanggungjawab mu bukan sekadar berwirid zikir, tetapi lebih kepada menghampirkan diri kepada ALLAH. Sayugianya orang yang hampir kepada ALLAH menjadi juara dalam mendidik masyarakat ke arah iman dan taqwa. Kerana dengan hampirnya diri mu kepada ALLAH, maka tersingkap segala rintangan dan dipermudah segala urusan berkat kasih sayang dan rahmat ALLAH kepada mu. Anugerah sufi tidak sepatutnya menjadikan diri mu jumud dan berselindung di sebalik tasbih dan suluk untuk tidak berjuang. Sebaliknya engkaulah yang sepatutnya memimpin umat ke arah melaksanakan titah perintah ALLAH dan menghindari larangan ALLAH sebagaimana Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi.

Wahai para muslimin ... ingatlah .... sebanyak mana dan segigih mana engkau beribadah .... jangan sesekali hati mu berjinak-jinak dengan rasa ujub dan riya'. Ketahuilah, bahawa ujub dan riya' itulah pemusnah segala amalan. Sedekah para hartawan tiada nilai di sisi ALLAH kerananya. Khidmat para penguasa dan umarak tiada nilai di sisi ALLAH kerananya. Ilmu para alim ulamak tidak menjadi jariah kerananya. Kemuliaan nasab keturunan menjadi hina kerananya. Pengorbanan para da'ie menjadi debu bererbangan kerananya. Zikir, wirid dan alam kerohanian para sufi menjadi tipu daya semata kerananya. Dan hakikatnya adalah, Azazil menjadi Iblis kerananya.

Ketahuilah oleh mu bahawa jalan ujub dan riya' bukan dari jalan tariqat dan bukan dari jalan menuju ALLAH. Andainya rasa ujub dan riya' itu yang engkau pilih, sama sekali binasalah hidup mu di dunia dan azab sengsaralah diri mu di akhirat.

*************************


Lamunan ku terhenti .... aku sudah sampai di Kaliguntung untuk menziarahi Yang Umar Sutodrono .... semoga ALLAH mengharumkan pusara mu dengan haruman yang semerbak dan sejahtera ............


7 May 2011
5.15 am



.

No comments:

Post a Comment