Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Sunday, May 8, 2011
XPDC Wonosobo : Menyingkap Tabir Qalbu Part 1
Sepanjang perjalanan ku ke Wonosobo, aku lebih banyak berdiam diri. Duduk sendirian. Tidak sepetah dan tidak semesra biasa seperti waktu aku bersama student-student ku di kolej. Bukan kerana sombong. Tetapi entah mengapa .... suasana di bumi Keraton tempat asal datuk ku menjemput memori bersama arwah datuk ku bertamu ..... Pesanan-pesanan arwah datuk ku datang menerjah satu persatu di minda ku. Antara pesanannya yang datang bartandang ............
Matlamat manusia dijadikan ALLAH dimuka bumi dan tuntutan agama
*************************
Ketahuilah oleh mu, bahawa agama itu terdiri dari dua perkara :
Pertama : Meninggalkan maksiat
Kedua : Mengerjakan taat
Meninggalkan maksiat itu adalah lebih berat dari mengerjakan ketaatan kerana mengerjakan ketaatan adalah mudah bagi setiap orang tetapi meninggalkan maksiat yang disukai oleh syahwat dan nafsu hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin.
Sesungguhnya, matlamat manusia dijadikan ALLAH di dunia ialah untuk menjadi hamba NYA. Sebagai seorang hamba sayugialah hendaknya, segala manusia patuh dan taat kepada hukum syariat yang telah ALLAH sediakan melalui firman-NYA di dalam Al Quran serta melalui sunnah Rasulullah SAW.
Ada pun hukum syariat itu terbahagi lima :
1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri.
Hendaklah diri mu melaksanakan perintah suruh dari ALLAH iaitu yang wajib dan sunat. Hendaklah juga diri mu melaksanakan perintah tegah dari ALLAH iaitu yang haram dan yang makruh. Maka usahakanlah perkara yang harus menjadi ibadah.
Inilah matlamat hidup mu di dunia dan inilah juga matlamat perjuangan mu dalam menuju ke negara akhirat, negara yang kekal abadi. Sama ada engkau bersendirian, mahu pun engkau berjemaah.
Inilah yang dinamakan SYARIAT .....
**********************************
Aku termanggu ..... masih basah diingatan ku kata-katanya walau sudah lebih 20 tahun kalimahnya terlafaz. Nasihat berharga yang menjadi warisan turun temurun. Nasihat-nasihat itu juga yang sering ku sampaikan kepada ahli keluarga ku, anak-anak ku dan para pelajar ku.
Akal ku semakin teruja menggali khazanah kata-kata arwah datuk ku yang tersimpan di kotak fikiran ku ........
Setiap sesuatu bermula dengan ILMU.
*********************************
Dan setiap sesuatu itu hendaklah bermula dengan ILMU. Andai diri mu ingin melakukan kejahatan, hendaklah dengan ilmu. Lebih-lebih lagi jika diri mu hendak melakukan kebajikan dan ketaatan, juga hendaklah bermula dengan ilmu. Maka sewajarnya seorang yang ingin menjadi hamba kepada ALLAH mempunyai ilmu agar kasih sayang, rahmat dan keampunan ALLAH dapat diraih sebagaimana yang dikehendaki oleh ALLAH.
Dan ilmu yang pertama dan utama adalah ILMU TAUHID, ilmu yang mengenalkan diri mu dengan ALLAH Yang Maha Agung Lagi Maha Kaya. Ilmu yang bersangkut paut dengan persoalan aqidah dan kepercayaan, merangkumi persoalan rukun iman dan kalimah syahadah.
Dan ilmu yang kedua ialah ILMU FEQAH, terkandung hal ehwal ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah. Ilmu yang mengajar diri mu kaedah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH.
Dan ilmu yang ketiga ialah ILMU TASAUF, menyuluh hal ehwal kerohanian atau hati kita, agar tetap lurus mentaati ALLAH dan Rasul NYA tanpa di pesongkan oleh bisikan musuh-musuh ALLAH yang sering mengajak ke arah kemungkaran.
Ketiga-tiga ilmu inilah dinamakan ilmu syariat. Hukum mempelajarinya adalah FARDHU AIN. Wajib dipelajari dan wajib diamalkan.
Setelah diri mu mengamalkan syariat , barulah diri mu sudah bersedia melangkah ke jalan TARIQAT.
Dan orang yang bersungguh-sungguh mengamalkan syariat, mereka melaksanakan segala yang wajib dan berusaha melaksanakan segala yang sunat. Mereka meninggalkan segala yang haram dan berusaha meninggalkan segala yang makruh. Mereka menjadikan perkara yang harus berpahala. Mereka itulah orang yang sebenar-benarnya bertariqat.
************************************
Kitab Tauhid - Risalah Tauhid & Faridatul Faraid
Kitab Feqah - Matla'al Badrin, Sabilal Muhtadin, Furu' Masail
Kitab Tasauf - Bidayatul Hidayah, Minhajul Abidin, Al Jauhar Al Mauhub, Al Qatrul Ghaisiyah.
Itulah antara kitab-kitab yang sempat ku tadah, bertalaqqi bersama arwah datuk ku dan arwah ayah ku.
Tariqat ... kata dasarnya adalah tariq, iaitu jalan. Tariqat adalah jalan yang dilalui oleh Rasulullah dan jemaah para sahabat. Tariqat Ahlus Sunnah wal Jamaah. Iaitu jalan yang ditempuh oleh Rasulullah SAW dan jemaah para sahabat dari segi tauhid, feqah dan tasauf.
Pesan datuk ku tentang matlamat bertariqat dan syarat bertariqat.
*************************************
Hendaklah diri mu sempurna dalam menuntut ilmu syariat yang fardhu ain dan hendaklah diri mu istiqamah beramal dengan syariat. Maka tertegaklah hukum dan kalimah ALLAH di dalam diri mu. Itulah syarat utama dalam menyelusuri ilmu tariqat yang memperteguhkan hati ke jalan iman.
Tiada yang lain dalam bertariqat melainkan untuk lebih mudah menghampirkan diri kepada ALLAH agar diri mu dapat mengabdikan diri kepada NYA dengan pengabdian yang ikhlas penuh rasa kehambaan. Lantas akan terzahir keindahan dan kemanisan dalam beribadah. Kerana amal tariqat mendidik hati untuk hanya taat dan patuh serta mencintai kepada ALLAH Yang Maha Esa.
Dan tidaklah dinamakan bertariqat seandainya diri mu masih jahil tentang ilmu syariat. Dan tidaklah juga dinamakan bertariqat seandainya diri mu tidak beramal dengan syariat walau ianya (ilmu syariat) itu di dalam pengetahuan mu. Kerana tertegak jalan tariqat bersandarkan syariat yang terangkum di dalamnya Tauhid, Feqah dan Tasauf.
Tariqat adalah satu jalan menuju kasih sayang ALLAH. Syariat adalah cahaya penyuluh di atas jalan yang zulumat dan penuh godaan. Jalan tariqat dihiasi godaan dan bujukan dunia, nafsu dan syaitan. Hanya syariat yang mampu membezakan antara seruan iman dan godaan dari musuh-musuh yang ingin menyesatkan. Dan ingatlah, sesungguhnya jalan kebenaran itu pahit dan penuh derita kerana di depannya syurga yang manis. Maka tempohilah jalan tariqat ini berbekalkan ilmu dan amal syariat bersama sifat khauf dan raja’. Agar terhindar dan aman hati mu dari riya’ dan ujub yang memusnahkan amal ibadah mu. Lebih-lebih lagi terhindar diri mu dari tertipu oleh dunia, nafsu dan syaitan yang menyebabkan diri mu terjerumus ke lembah kehinaan di dunia dan di akhirat.
Ingatlah !!!
Tiada tariqat tanpa syariat. Tariqat ahli tasauf hanyalah suatu jalan pilihan yang tidak wajib tetapi amat bermanfaat dan bermakna. Hanya layak bagi mereka yang sudah kemas ilmu dan amal syariatnya. Tariqat yang wajib adalah melaksanakan hukum syariat.
*******************************
Perlahan ku susun mutiara ilmu arwah datuk ku, agar tekad untuk beramal kembali subur dalam diri ku.
******************************
Carilah oleh mu guru yang mursyid, yang mampu membimbing mu dalam beramal syariat dan beramal tariqat. Guru yang mursyid bukan hanya alim di bidang syariat, malah juga mampu membimbing diri mu beramal dengan syariat. Sifat seorang guru yang mursyid adalah :
1.Seorang yang berpaling dari mencintai dunia dan berpaling dari mencintai darjat pangkat.
2.Dirinya berguru dengan guru yang mursyid. Gurunya pula berguru dengan guru yang mursyid. Guru kepada gurunya berguru pula dengan guru yang mursyid dan begitulah rantaian perguruan sehinggalah si guru bersambung perguruannya dengan para sahabat dan Rasulullah SAW.
3.Seorang yang mampu melaksanakan amal perkara yang wajib dan sunat serta mampu meninggalkan amal perkara yang haram dan makruh. Peribadi dan hidupnya dihiasi dengan amal ibadah. Banyak puasanya, sedikit percakapannya melainkan yang terlafaz hanyalah tarbiah dan dakwah.
4.Seorang yang indah akhlaknya di mata dan terkesan di hati. Sehingga tiada ruang untuk diri mu mencari cela dirinya.
Apabila engkau temui guru seperti ini, berbaiahlah kepadanya dan pintalah ijazah daripadanya. Nescaya hidup mu terpimpin dan terdidik oleh sang murabbi. Kerana dirinya terserlah nur dari anwar Rasulullah SAW yang layak untuk diikuti. Kerana bukan mudah untuk umat manusia temui guru yang mursyid sebagaimana sukarnya menemui belerang yang merah.
Andainya engkau masih belum temui guru yang mursyid, maka dekatilah guru bersifat murabbi sambil diri mu berusaha mencari syeikhul mursyid. Dan ingatlah bahawa bahawa tugas sebagai seorang murabbi menuntutnya untuk memikul tanggungjawab yang berat.
Tanggungjawab tersebut adalah :
Pertama : Dirinya harus mencintai muridnya seperti mencintai anaknya sendiri.
Kedua : Dirinya mengikuti teladan dan contoh Rasulullah SAW dalam erti tidak boleh mengharapkan imbalan dan upah dari pekerjaannya selain mendekatkan diri kepada Allah.
Ketiga : Dirinya harus mengingatkan muridnya bahwa tujuan pendidikan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan untuk kekuasaan dan kebanggan diri.
Keempat : Dirinya harus mencegah muridnya dari memiliki watak dan perilaku jahat.
Kelima : Dirinya tidak boleh merendahkan ilmu lain di hadapan muridnya
Keenam : Dirinya mengajar murid-muridnya hingga batas kemampuan pemahaman mereka.
Ketujuh : Dirinya harus mengajarkan kepada murid yang terbelakang dengan jelas dan sesuai dengan tingkat pemahamannya yang terbatas.
Kedelapan : Dirinya harus melakukan terlebih dahulu apa yang diajarkannya dan tidak boleh berbohong dengan apa yang disampaikannya.
Inilah sifat dan syarat seorang guru mursyid yang bakal menjamin kejayaan dalam membimbing murid meniti di jalan tariqat berpandukan syariat.
******************************
Datuk ku pernah berpesan tentang jalan duniawi yang penuh godaan yang menipu daya. Datuk ku juga pernah berpesan tentang jalan tariqat yang juga penuh godaan yang menipu daya tetapi punya jalan keselamatan.
****************************
Dan ingatlah, bahawa telah ramai salik (orang yang ingin menghampirkan diri kepada ALLAH) yang tertewas di jalan menuju ALLAH. Kerana ghurur (tertipu) dek kerana menyahut godaan dunia, nafsu dan syaitan. Kesemuanya musnah kerana berjinak-jinak dengan sifat ujub dan riya’.
Telah ramai para salik dan ahli kerohanian yang tertipu dengan amalannya kerana UJUB dan RIYA'.
Syariat adalah penyuluh jalan tariqat. Tariqat adalah jalan yang menuju destinasi cinta hakiki. Bukannya matlamat. Matlamat dalam bersyariat dan tariqat adalah menjadi hamba yang sebenar-benar hamba yang mengabdikan diri hanyasanya kepada ALLAH. Tanda kasih saying dan ampunan ALLAH dicapai ialah rasa HAKIKAT.
Maka telah ramai salik yang terpedaya dengan tipuan dunia, nafsu dan syaitan.
Rasa-rasa hati, pengalaman kerohanian ciptaan syaitan, menyebabkan para salik tertewas dan tersungkur jatuh di saat akhir perjuangan.
Ingatlah !!!
Ada empat perkara seseorang dianugerahkan pengalaman kerohanian.
1.Pertama : Kerana dirinya dicipta dan dilahirkan untuk mendapat kasih saying ALLAH. Mereka inilah para Rasul dan para Nabi.
2.Kedua : Kerana dirinya berusaha menuntut ilmu syariat dan beramal dengan ikhlas lalu ALLAH sayangkan dirinya lalu ALLAH rezekikan dengan pengalaman kerohanian.
3.Ketiga : Kerana menumpang berkat orang yang soleh.
4.Keempat : Kerana dirinya banyak melakukan dosa dan mungkar tetapi masih mampu mengalami pengalaman kerohanian. Maka tidak lain ianya adalah istidraj. Agar behagiannya di akhirat nanti hanyalah azab siksaan.
Oleh itu wahai salik, andai diri mu beroleh pengalaman kerohanian, sayugia rujuklah ianya kepada mursyid mu agar diri mu tahu antara empat sumber, sumber yang manakah pengalaman kerohanian itu bermula.
To be continue ..............
Mutiara Damansara
6 May 2011
4.48am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment