Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, August 25, 2010

Rahsia Ukhwah (Kunci Kasih Sayang & Bantu Membantu)


Abdullah bin Mas'ud berkata: Di antara orang-orang yang termasuk dalam barisan Perang Yarmuk adalah Haris bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amar. Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang memberinya air minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang dari mereka yang bertiga orang itu, maka masing-masing mereka berkata: "Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku." Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.



Dalam riwayat yang lain pula ditambahkan: "Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata: "Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku." Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata: "Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku." Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorangpun di antara mereka yang dapat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya. Semoga Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada mereka bertiga. Amin."



Inilah sifat persaudaraan dalam Islam yang ditunjukan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Betapa terserlah kejayaan pendidikan Rasulullah SAW. Didikan yang bertunjangkan iman. Terzahir dalam amal perbuatan. Ikatan persaudaraan yang bermatlamatkan keredhaan Allah, dan merupakan anugerah Allah kepada hati-hati yang ikhlas ingin menuruti titah perintah Allah :



"Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana" (Al Anfaal ayat 63)



DEFINISI UKHWAH



Ukhwah Islamiah adalah rantaian yang menghubungkan antara satu hati dengan satu hati yang lain atas dasar ketaatan kepada Allah. Rantaian ukhwah inilah yang akan mendekatkan mereka kepada Allah. Hubungan hati sesama muslim adalah titik permulaan dalam berjemaah dan bermasyarakat. Kerana berjemaah atau bermasyarakat adalah satu tuntutan agama dan wajib dilaksanakan :



"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung. "(Ali Imran : 103-104)



"Wajib atas kamu bersama jemaah. Sesungguhnya jemaah (bersatu dan berpadu) itu adalah rahmat dan berpecah belah itu adalah azab. " (Riwayat Muslim).



"Barang siapa yang mati dalam keadaan memisahkan diri dari Jemaah Kaum Muslimin, maka sesungguhnya ia mati sebagai mati jahiliah. " (Riwayat Imam Muslim)





, dan tiada yang lebih diingini apabila berjemaah/bermasyarakat melainkan untuk :



a. Menghubungkan diri dengan Allah

b. Menghubungkan diri sesama manusia



Bersesuaian firman Allah :



"Akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang mengadakan hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan sesama manusia." (Ali Imran : 112)



Malah dalam melaksanakan perjuangan, kesatuan hati sesama muslim adalah dituntut agar setiap yang dilakukan selaras dengan syariat Islam. Kesatuan hati ini hanya akan terbina dengan kekuatan iman dalam diri. Ukhwah yang terbina dari kekuatan iman menghasilkan manusia yang bercinta dan marah kerana Allah, bukan kerana emosi atau perasaan.



"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).



KESAN YANG LAHIR DARI UKHWAH



Ikatan ukhwah ini bukanlah modal yang digunakn dalam bual bicara, sebaliknya kesannya wajib bersesuaian dan selaras dengan syariat dan akhlak Islam. Antara kesan yang wajib terhasil :



1. Ukhwah yang lahir mendorong ke arah ketaatan kepada Allah. Segala perintah Allah dilaksanakan, baik yang wajib mahu pun sunat. Segala larangan Allah ditinggalkan baik yang haram mahu pun makruh. Sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:



"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang sahabat setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (sahabatnya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".



2. Ukhwah yang lahir akan menyuburkan rasa empathy, iaitu merasai keperluan saudara seaqidah dengannya sambil berusaha memenuhi keperluan saudaranya. Sabda Rasulullah s.a.w:



"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).



3. Ukhwah yang lahir menyuburkan sifat tolong menolong, bantu membantu sesama muslim. Sabda Rasulullah s.a.w:



"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".



4. Ukhwah menuntut perlaksanaan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:



"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).



Selain itu Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu ditunaikan dalam persaudaraan Islam:

i. Saling tolong menolong samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang bermaksud: "Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain"

ii. Menolong saudara kita untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.

iii. Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada atau tidak dan tidak mencari-cari kesalahannya.

iv. Menebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar pernah berkata: "tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua; lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan panggilan yang baik.

v. Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau melakukan dosa.

vi. Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.

vii. Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.

viii. Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya



5. Ukhwah wajib melahirkan kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:



"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:

"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:"Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair". (Hadis riwayat ).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).



6. Ukhwah menuntut lahirnya rasa cinta, kesetiaan dan bersedia berkorban demi Rasulullah s.a.w :



"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).



Baginda juga bersabda:

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).



CARA MEMBINA UKHWAH



a. IKHLAS : Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampong.



Malaikat itu bertanya, "Ke mana kamu hendak pergi?"



Jawab lelaki itu, "Aku ingin menziarahi saudaraku di kampong ini".



Malaikat itu bertanya lagi, "Adakah kamu mempunyai sebarang kepentingan di sana?"



Lelaki itu menjawab, "Tidak melainkan aku menyintainya kerana Allah."



Kemudian malaikat itupun berkata, "Sesungguhnya aku adalah utusan Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya".



b. IMAN : Ukhwah dibina atas dasar iman dan taqwa lantas mendorong berlaku selektif dalam bersahabat. Sahabat yang menjadi dambaan ialah yang mampu membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya ke jalan iman. Sabdakan Rasulullah SAW :



"Perumpamaan orang yang berkawan antara orang yang baik dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikan kepadamu atau mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin kamu akan dapat bau yang harum daripadanya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok (daripada besi tersebut)." (Muntafaq 'Alaih)



Namun, walau berlaku selektif dalam bersahabat, ianya tidak menafikan mewujudkan hubungan dengan dengan insan-insan yang kurang soleh mahu pun golongan kuffar. Dalam konteks ini kita mestilah istiqomah agar tidak terjebak atau terpengaruh dengan sebarang keburukan. Sebaliknya kita yang menguasai situasi sebagai pendakwah. Contohilah ikan yang tidak masin isinya walaupun hidup di dasar lautan.



3. Mentaati dan melaksanakan syariat Islam. Ukhwah tidak akan terbina dengan perlanggaran syariat. Contohnya; berdating dengan yang bukan muhram atas dasar ingin berukhwah. Syarat dalam apa jua urusan di dunia ialah melaksanakan syariat kerana itulah objektif berukhwah. Sabda Rasulullah SAW :



"Dan dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya".



Jika disoroti kepada perjalanan hidup para sahabat, apabila mereka bertemu mereka tidak berpisah sehinggalah salah seorang daripada mereka membaca Surah al-Asr dan mengucapkan salam sesama mereka. Ini adalah di antara contoh yang menunjukkan bahawa mereka nerkasih sayang berteraskan manhaj Islam dan di atas dasar keimanan serta amal soleh. Setiap muslim mesti menunaikan tanggung jawab sebagai seorang muslim dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan larangan NYA. Dengan melaksanakan syariat Islam, akan melahirkan rasa persamaan dan kesatuan serta perpaduan. Jika gagal melaksanakan tuntutan syariat, hilanglah persamaan, hilanglah kesatuan dan hilanglah perpaduan umat Islam. Perlaksanaan syariat merupakan sebab tercetusnya rasa persamaan dan kesatuan. Sekiranya ada anggota masyarakat yang lalai melaksanakan syariat dengan sendirinya hilang persamaan dan rasa kasih sayang terkorban, lenyaplah perpaduan.



4. Menzahirkan syiar Islam. Perlaksanaan syariat akan menzahirkan syiar Islam. Salah satu cara terbaik menzahirkan syiar ialah dengan menganjurkan program-program berunsur Islam dan meraikan hari-hari kebesaran Islam. Itu juga merupakan tugas anggota masyarakat. Sekiranya ada di antara anggota masyarakat yang lalai atau selalu tidak hadir di majlis-majlis rasmi masyarakat setempat yang telah ditetapkan, hati anggota masyarakat lain akan menjadi tawar dan dapat menimbulkan sangka buruk kepada anggota masyarakat yang lain serta akan merenggangkan persaudaraan. Oleh kerana itu anggota masyarakat yang mempunyai halangan atau uzur, hendaklah memaklumkan segera kepada pemimpin atau kepada anggota masyarakat yang lain supaya berita perkembangan peribadinya dapat diumumkan kepada anggota masyarakat lain yang hadir di majlis-majlis berkenaan bagi mengelakkan timbulnya salah sangka yang negatif.



5. Merapatkan jurang perbezaan hidup. Kedudukan anggota masyarakat hendaklah ada keseimbangan. Jangan ada diantaranya yang terlalu miskin atau sebaliknya. Keadaan anggota masyarakat hendaklah sentiasa diberi perhatian jangan sampai keperluan hidup keluarga yang tidak mencukupi. Kerana itu akan merosakkan hubungan hati serta member ruang kepada bisikan syaitan dan godaan nafsu. Demikian juga dengan anggota masyarakat yang hidupnya lumayan, mereka hendaklah tidak menampakkan kesenangan diri dan menyelesaikan sendiri keperluan keluarga hingga mengabaikan masalah sesama sahabat dalam satu masyarakat setempat. Itu akan menyentuh perasaan anggota masyarakat yang berada dalam kesempitan hidup. Bila jurang hidup berlaku, itu akan membawa keretakan hati dan tersinggung perasaan. Hendaklah wujudkan keadaan dan suasana perimbangan dalam hidup di antara setiap anggota masyarakat.



Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: "Sampaikanlah hajat orang yang tidak berdaya memenuhi hajatnya sendiri. Maka sesungguhnya orang yang menyampaikan hajat seseorang yang tidak mampu menyampaikan hajatnya kepada pemenntah, ALLAH akan menetapkan dua kakinya di atas sirat (di akhirat) pada waktu manusia tergelincir." (Hadis riwayat oleh Hindun bin Abi Halah yang diterima dari Nabi SAW).



Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Abu Nu'aim bahwa Nabi SAW bersabda :

Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka ia bukanlah dari golongan mereka."



Ibnu Umar RA berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda

"....Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, niscaya ALLAH akan menyampaikan hajat saudaranya, niscaya ALLAH akan menyampaikan hajatnya dan siapa yang melepaskan kesukaran (kesusahan) seorang muslim di dunia, niscaya ALLAH akan melepaskan kesukarannya di akhirat........." Sabda Nabi SAW:



Maksudnya : "Seorang yang berjalan kerana menolong saudaranya lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di mesjidku (mesjid Nabawi)."



Bila jurang perbezaan dapat dirapatkan, maka anggota masyarakat akan hidup susah dan senang bersama :

"Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota masyarakat tubunhnya berasa sakit, maka seluruh anggota masyarakat tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya" (Muntafaq 'Alaih)





6. Membudayakan meminta dan memberi maaf. Sebagai manusia biasa kita tidak dapat mengelakkan diri dari melakukan kesalahan. Mustahil di antara kita tidak berlaku kesalahan. Nabi SAW sendiri bersabda :



Maksudnya : "Tidak ada anak Adam, melainkan mempunyai dosa."

(Riwayat Tarmizi dari Anas)



Oleh kerana itu hendaklah jangan ada di antara kita yang berani dan sanggup mengaku tidak pernah bersalah. Hendaklah di kalangan kita semuanya senantiasa menyedari bahwa kita sentiasa tidak dapat mengelak dari bersalah. Sebab itu hendaklah bersedia mengaku salah dan meminta maaf. Bagi yang tidak bersalah pula hendaklah bersedia untuk memaafkan kesalahan orang yang memohon maaf kepadanya. Hanya dengan cara yang demikian kasih sayang akan dapat terjalin dengan erat di samping dapat mengelakkan perpecahan baik yang disebabkan oleh sesama kita atau melalui orang tengah yang mencoba hendak mengadu domba kita.



7. Saling menasihati dan tegur-menegur. Firman Allah swt di dalam Surah al-Asr:



"Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran (di atas kepahitan kebenaran)"

Apabila salah seorang anggota masyarakat melakukan kesalahan, maka ia perlu ditegur dan dinasihati. Dalam kita menegur dan menasihati mesti melalui beberapa peraturan dan adab-adabnya.



(i) Memahami kedudukan kesalahan itu; kecil atau besar, sengaja atau tidak sengaja, dengan manusia atau dengan ALLAH, dalam masyarakat atau di luar masyarakat, dan lain-lain.



(ii) Jangan segera menegur. Tunda untuk beberapa waktu. Dalam masa itu hendaklah kita mendoakan orang yang melakukan kesalahan agar ia insaf dan berusaha melakukan perubahan dengan sendirinya, sebab orang sadar dan melakukan perubahan sendiri lebih baik daripada ditegur dan dinasehati oleh orang lain secara langsung.



(iii) Kalau setelah diberi tempoh, namun tidak juga berubah, maka barulah ia dipanggil berhadapan secara empat mata (tanpa ada orang lain), menasihatinya dengan penuh kasih sayang. Akan tetapi kalau difikirkan kita tidak mampu menasihatinya atau kita bimbang nasihat kita tidak berkesan, lebih baik diserahkan kepada orang lain yang dianggap mampu dan dapat memberi kesan. Ketika itu barulah membawa kesnya kepada pemimpin masyarakat setempat. Perlu diingatkan bahwa menegur orang secara membabi buta, tanpa disiplin dan hikmah, bukan saja akan merosak hati orang yang melakukan kesalahan, bahkan akan memecahkan perpaduan dan mencacatkan kasih sayang (ukhuwah Islamiah).



8. Berhibur dan berekreasi. Itu boleh dilakukan asal mengikut peraturan syariat Islam yang membenarkan hal tersebut kerana fitrah manusia suka pada hiburan. Jiwa yang sunyi dari hiburan akan merasa jemu dan malas beribadah. Kerana itu supaya jiwa segar dan subur lebih baik jika sekali-sekali dibawa berekreasi, melihat alam Tuhan yang indah dan tenang, sambil bergaul, makan dan solat bersama.



9. Memperbanyak perjumpaan dan ziarah. Untuk mendekatkan hati, hendaklah selalu berjumpa dan berziarah. Tapi perlu diingat, bahwa ALLAH yang dapat menyatukan hati manusia. Oleh itu yakinlah bahwa kejayaan kita hanya di tangan ALLAH.





Itulah 9 perkara yang dianggap dapat membina ukhuwah. Ikutilah langkah-langkah itu dengan teliti dan hati-hati, insya ALLAH akan terbuka pintu ukhuwah untuk kita memasukinya dan mendapatkan intipatinya. Yaitu rasa persaudaraan yang membuat seseorang dapat merasakan kesusahan orang lain sebagai kesusahannya sendiri. Juga dapat merasakan kesenangan orang lain sebagai kesenangannya pula. Dengan merasakan itu sekaligus akan terhapuslah mazmumah, penyakit dan perosak jiwa manusia yang sangat berbahaya yaitu hasad dengki dan dendam kesumat. Dengan terhapusnya mazmumah itu berarti bersemailah benih perpaduan, keamanan dan keharmonian di kalangan pejuang.




Di malam 13 Ramadhan ini, marilah kita bermuhasabah diri. Apakah selama ini ukhwah telah wujud dalam diri kita ? Atau apakah selama ini kita hanya berlakon berikhwah kepada teman dan kenalan ?



Madrasah Darus Syifa

23 August 2010 / 13 Ramadhan 1431H

10.05 pm


No comments:

Post a Comment