Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Wednesday, August 25, 2010
Muhasabah Ku di 15 Ramadhan 1431H
Ramadhan 1431 H jatuh pada tanggal 12 Ogos 2010. Disebabkan rasa rindu, pada 14 Ogos 2010 nan lalu, aku ziarahi pusara guru tercinta, Almarhum Sheikh Muhammad Taha As Suhaimi (Al Fatihah).
Seperti biasa, rasa sebak bergetar dalam hati ku. Air mata tidak dapat ku tahan, lantas tumpahlah ia di pusara guru ku.
Ya Allah
KAU rahmatilah guru ku
KAU tingkatkan darjatnya
KAU tempatkanlah guru ku di kalangan para kekasih MU yang hampir dengan MU
Amieen Ya Rabbal A'lamieen
Dari pusara guru ku, aku bertolak ke rumah Persatuan Islam dan Pencak Silat Singapura. Dalam perjalanan, aku mengimbas pesanan-pesanan dan ilmu-ilmu yang pernah dicurahkan oleh guru ku.
Masih basah diingatan ku pesanan guru ku sewaktu kali pertama kami bertemu tatkala aku bergelumang dengan dosa dan maksiat. Dia datang dan menasihati aku. Katanya :
Setiap orang di antara kita, pasti melakukan kesilapan. Sejauhmanakah kita merasa kesal dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku ? Masa tidak boleh kembali ke belakang. Kesilapan yang telah dilakukan tidak boleh di"tidak-lakukan".
Apa yang boleh kita lakukan ialah ..... muhasabah, bertaubat dan lakukan sesuatu yang lebih baik dari hari yang telah berlalu dan tidak mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali. Dan kita jadikan hari esok hari yang lebih baik dari hari-hari yang sudah berlalu.
Arwah atok aku pernah berpesan :
Keaiban diri dan keburukan diri dikenali dengan 4 cara :
Pertama ialah teguran dari sahabat yang sejati
Kedua ialah melalui umpatan kata-kata musuh.
Ketiga ialah dengan menjadikan tingkah laku masyarakat sebagai cermin untuk melihat keburukan diri.
Keempat ialah dengan adanya guru yang mursyid yang boleh "post-mortem" hati kita.
Sewaktu di alam roh, sebelum roh dimasukkan ke dalam jasad, roh memang tahu yang hanyasanya yang patut ditaati dan disembah adalah ALLAH, Tuhan Sekelian Alam. Bahkan dalam Al Quran ada menceritakan bahawa roh kita semua bersumpah dan bersaksi bahawa ALLAH saja yang selayaknya disembah dan di taati.
Lalu ALLAH memasukkan roh ke dalam jasad. Maka tinggalah insan di dalam rahim ibu selama 9 bulan. Si ibu, walau disedari bahawa nyawanya bisa melayang sewaktu melahirkan, namun masih bisa tersenyum sambil menanti kelahiran anaknya dengan rasa kasih dan sayang. Begitulah hebatnya wanita. Maka tidak hairanlah ALLAH memuliakan si ibu 3 kali ganda berbanding seorang ayah. Sepanjang 9 bulan berada di dalam kandungan, setiap amalan si ibu dan si ayah, menjadi blue print kepada janin.
Setelah cukup tempoh, maka lahirlah insan tersebut ke dunia. Terpulang kepada ibu dan bapanya untuk mencorakkan si anak. Alam dunia yang menjanjikan 1001 macam ujian bagi menilai keikhlasan dan kesungguhan seseorang dalam mentaati ALLAH dan Rasul NYA. Alam dunia yang disifatkan sebagai alam ujian dan bala. Alam tempat setiap insan bercucuk tanam berladang yang hasilnya dituai di akhirat. Andainya baik tanamannya di dunia, baiklah hasil tuaian di akhirat. Andainya buruk tanamannya di dunia, maka buruk jugalah hasil tuaiannya di akhirat.
Di sebalik ujian dari ALLAH, terselit anugerah yang amat besar dan tak terkira hebatnya , iaitu pahala sabar dan redha dengan ketentuan ALLAH.
Bumi mana yang tak ditimpa hujan, begitu jugalah dalam kehidupan manusia. Manusia mana yang tidak menghadapi ujian.
Yang kaya diuji oleh ALLAH, yang miskin juga diuji oleh ALLAH.
Yang tua diuji oleh ALLAH, yang muda juga diuji oleh ALLAH.
Yang berkuasa diuji oleh ALLAH, yang lemah tiada upaya juga diuji oleh ALLAH.
Yang kafir diuji oleh ALLAH, yang Islam juga diuji oleh ALLAH.
Syukurilah dengan nikmat iman dan Islam anugerah Allah. Kerana tatkala kita menerima nikmat, kita bersyukur. Syukur itu menghampirkan diri kepada Allah. Dan tatkala kita menerima musibah, kita sabar dan redha. Sabar dan redha itu juga menghampirkan diri kepada Allah. Alangkah indahnya Islam .......
Tapi dalam menghadapi ujian yang mendatang, sebagai seorang Islam dan beriman, syukurilah kedatangan ujian dari ALLAH kepada kita kerana ianya terselit sebuah peringatan kepada kita .... bahawa kita ini lemah dan kita tidak mampu melawan takdir ILAHI, maka siapakah kita di dunia ini, walau kita diulit 1001 macam nikmat duniawi, namun pada pandangan ALLAH kita tetap seorang makhluk yang lemah lagi hina.
Lihat saja orang2 yang pernah berkuasa yang kita kenali di zaman kita. Andai dulu sewaktu berkuasanya dia, kata2nya bagaikan firman mengeluarkan arahan-arahan yang tidak berdaya dibantah oleh orang lain. Kini apabila kekuasaannya tidak lagi bertakhta, kehadirannya tidak lagi diraikan dan dihormati, seperti Tun Abdullah Badawi. Malah orang yang sedang berkuasa dan bertakhta juga kita lihat dipersenda dan tidak dihormati seperti apa yang berlaku kepada Dato Najib. BEGINILAH UJIAN ALLAH kepada manusia agar manusia ingat bahawa segala nikmat yang mereka perolehi di alam dunia ini hanyalah bersifat SEMENTARA. Sewaktu memperolehi nikmat, maka gunakanlah nikmat tersebut untuk mentaati ALLAH dan mentaati Rasulullah SAW. Andainya nikmat tersebut disyukuri, maka ALLAH datangkan UJIAN dalam bentuk bala musibah yang mengundang duka dan kesedihan. Agar kita sedar dan ingat, bahawa kita sudah terpesong jauh dari landasan ajaran Islam.
Begitu juga dengan nikmat kemewahan dan kekayaan. ALLAH limpahkan nikmat kekayaan dan kemewahan agar kita syukuri dan agih2kan nikmat tersebut kepada mereka yang kurang bernasib baik. Andainya kita tak bersyukur atas nikmat tersebut, ALLAH tarik nikmat tersebut dari kita agar kita sedar bahawa kita sudah terlalu kufur dengan nikmat ALLAH. Jika ALLAH boleh melimpahkan nikmatnya, bila-bila masa ALLAH boleh tarik semula nikmat tersebut dari kita.
DAN ....
Andainya kita mensyukuri nikmat ALLAH tetapi dalam keadaan bersyukur itu ALLAH tarik kembali nikmat tersebut dari kita, maka bersabarlah kerana di situ suatu petanda ALLAH ingin menaikkan darjat kita dengan pahala sabar.
Begitu juga dengan nikmat persahabatan dan kasih sayang. ALLAH mempertemukan kita dengan insan yang sanggup berkorban atas nama persahabatan. ALLAH mempertemukan kita dengan seorang yang sangat mencintai dan mengasihi kita. Maka syukurilah nilai persahabatan. Syukurilah nilai percintaan dan kasih sayangnya. Andainya kita tidak bersyukur, tidak mustahil ALLAH akan tarik nikmat tersebut dari kita. Wal hasilnya, kita akan tinggal dalam kesepian dan kerinduan di dunia ini.
Dan setiap ujian yang ALLAH datangkan merupakan rahmat bagi setiap insan yang beriman.
Kerana bersama ujian yang datang, di situ terkandungnya tarbiah dan pendidikan agar kita kembali ke jalan iman. Agar kita tidak terpesong semula ke jalan kekufuran.
Bersama ujian yang datang, di situ ada pahala redha dan sabar buat insan yang beriman, walau impak ujian meninggalkan kesan di hati yang mendalam. Bak parut dari luka akibat sebuah kesilapan. Yang akan terus berkekalan dan tak mungkin terpadam.
Begitulah tarbiah ALLAH kepada hamba-hamba NYA yang dikasihi. Agar hamba NYA sentiasa merintih dan bersedih. Mengharap kekuatan dan kasih sayang ILAHI.
Sama2lah kita fikir-fikirkan bersama .................
Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu
Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran
Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya
Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikanAllah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya
Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya
Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu
Madrasah Darus Syifa
15 Ramadhan 1431H / 25 Ogos 2010
5.12am
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment