Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, August 25, 2010

Muhasabah Ku di 15 Ramadhan 1431H


Ramadhan 1431 H jatuh pada tanggal 12 Ogos 2010. Disebabkan rasa rindu, pada 14 Ogos 2010 nan lalu, aku ziarahi pusara guru tercinta, Almarhum Sheikh Muhammad Taha As Suhaimi (Al Fatihah).

Seperti biasa, rasa sebak bergetar dalam hati ku. Air mata tidak dapat ku tahan, lantas tumpahlah ia di pusara guru ku.

Ya Allah
KAU rahmatilah guru ku
KAU tingkatkan darjatnya
KAU tempatkanlah guru ku di kalangan para kekasih MU yang hampir dengan MU
Amieen Ya Rabbal A'lamieen



Dari pusara guru ku, aku bertolak ke rumah Persatuan Islam dan Pencak Silat Singapura. Dalam perjalanan, aku mengimbas pesanan-pesanan dan ilmu-ilmu yang pernah dicurahkan oleh guru ku.



Masih basah diingatan ku pesanan guru ku sewaktu kali pertama kami bertemu tatkala aku bergelumang dengan dosa dan maksiat. Dia datang dan menasihati aku. Katanya :



Setiap orang di antara kita, pasti melakukan kesilapan. Sejauhmanakah kita merasa kesal dan berusaha untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku ? Masa tidak boleh kembali ke belakang. Kesilapan yang telah dilakukan tidak boleh di"tidak-lakukan".



Apa yang boleh kita lakukan ialah ..... muhasabah, bertaubat dan lakukan sesuatu yang lebih baik dari hari yang telah berlalu dan tidak mengulangi kesalahan yang sama berkali-kali. Dan kita jadikan hari esok hari yang lebih baik dari hari-hari yang sudah berlalu.



Arwah atok aku pernah berpesan :



Keaiban diri dan keburukan diri dikenali dengan 4 cara :



Pertama ialah teguran dari sahabat yang sejati



Kedua ialah melalui umpatan kata-kata musuh.



Ketiga ialah dengan menjadikan tingkah laku masyarakat sebagai cermin untuk melihat keburukan diri.



Keempat ialah dengan adanya guru yang mursyid yang boleh "post-mortem" hati kita.



Sewaktu di alam roh, sebelum roh dimasukkan ke dalam jasad, roh memang tahu yang hanyasanya yang patut ditaati dan disembah adalah ALLAH, Tuhan Sekelian Alam. Bahkan dalam Al Quran ada menceritakan bahawa roh kita semua bersumpah dan bersaksi bahawa ALLAH saja yang selayaknya disembah dan di taati.



Lalu ALLAH memasukkan roh ke dalam jasad. Maka tinggalah insan di dalam rahim ibu selama 9 bulan. Si ibu, walau disedari bahawa nyawanya bisa melayang sewaktu melahirkan, namun masih bisa tersenyum sambil menanti kelahiran anaknya dengan rasa kasih dan sayang. Begitulah hebatnya wanita. Maka tidak hairanlah ALLAH memuliakan si ibu 3 kali ganda berbanding seorang ayah. Sepanjang 9 bulan berada di dalam kandungan, setiap amalan si ibu dan si ayah, menjadi blue print kepada janin.



Setelah cukup tempoh, maka lahirlah insan tersebut ke dunia. Terpulang kepada ibu dan bapanya untuk mencorakkan si anak. Alam dunia yang menjanjikan 1001 macam ujian bagi menilai keikhlasan dan kesungguhan seseorang dalam mentaati ALLAH dan Rasul NYA. Alam dunia yang disifatkan sebagai alam ujian dan bala. Alam tempat setiap insan bercucuk tanam berladang yang hasilnya dituai di akhirat. Andainya baik tanamannya di dunia, baiklah hasil tuaian di akhirat. Andainya buruk tanamannya di dunia, maka buruk jugalah hasil tuaiannya di akhirat.



Di sebalik ujian dari ALLAH, terselit anugerah yang amat besar dan tak terkira hebatnya , iaitu pahala sabar dan redha dengan ketentuan ALLAH.



Bumi mana yang tak ditimpa hujan, begitu jugalah dalam kehidupan manusia. Manusia mana yang tidak menghadapi ujian.



Yang kaya diuji oleh ALLAH, yang miskin juga diuji oleh ALLAH.



Yang tua diuji oleh ALLAH, yang muda juga diuji oleh ALLAH.



Yang berkuasa diuji oleh ALLAH, yang lemah tiada upaya juga diuji oleh ALLAH.



Yang kafir diuji oleh ALLAH, yang Islam juga diuji oleh ALLAH.



Syukurilah dengan nikmat iman dan Islam anugerah Allah. Kerana tatkala kita menerima nikmat, kita bersyukur. Syukur itu menghampirkan diri kepada Allah. Dan tatkala kita menerima musibah, kita sabar dan redha. Sabar dan redha itu juga menghampirkan diri kepada Allah. Alangkah indahnya Islam .......



Tapi dalam menghadapi ujian yang mendatang, sebagai seorang Islam dan beriman, syukurilah kedatangan ujian dari ALLAH kepada kita kerana ianya terselit sebuah peringatan kepada kita .... bahawa kita ini lemah dan kita tidak mampu melawan takdir ILAHI, maka siapakah kita di dunia ini, walau kita diulit 1001 macam nikmat duniawi, namun pada pandangan ALLAH kita tetap seorang makhluk yang lemah lagi hina.



Lihat saja orang2 yang pernah berkuasa yang kita kenali di zaman kita. Andai dulu sewaktu berkuasanya dia, kata2nya bagaikan firman mengeluarkan arahan-arahan yang tidak berdaya dibantah oleh orang lain. Kini apabila kekuasaannya tidak lagi bertakhta, kehadirannya tidak lagi diraikan dan dihormati, seperti Tun Abdullah Badawi. Malah orang yang sedang berkuasa dan bertakhta juga kita lihat dipersenda dan tidak dihormati seperti apa yang berlaku kepada Dato Najib. BEGINILAH UJIAN ALLAH kepada manusia agar manusia ingat bahawa segala nikmat yang mereka perolehi di alam dunia ini hanyalah bersifat SEMENTARA. Sewaktu memperolehi nikmat, maka gunakanlah nikmat tersebut untuk mentaati ALLAH dan mentaati Rasulullah SAW. Andainya nikmat tersebut disyukuri, maka ALLAH datangkan UJIAN dalam bentuk bala musibah yang mengundang duka dan kesedihan. Agar kita sedar dan ingat, bahawa kita sudah terpesong jauh dari landasan ajaran Islam.



Begitu juga dengan nikmat kemewahan dan kekayaan. ALLAH limpahkan nikmat kekayaan dan kemewahan agar kita syukuri dan agih2kan nikmat tersebut kepada mereka yang kurang bernasib baik. Andainya kita tak bersyukur atas nikmat tersebut, ALLAH tarik nikmat tersebut dari kita agar kita sedar bahawa kita sudah terlalu kufur dengan nikmat ALLAH. Jika ALLAH boleh melimpahkan nikmatnya, bila-bila masa ALLAH boleh tarik semula nikmat tersebut dari kita.



DAN ....



Andainya kita mensyukuri nikmat ALLAH tetapi dalam keadaan bersyukur itu ALLAH tarik kembali nikmat tersebut dari kita, maka bersabarlah kerana di situ suatu petanda ALLAH ingin menaikkan darjat kita dengan pahala sabar.



Begitu juga dengan nikmat persahabatan dan kasih sayang. ALLAH mempertemukan kita dengan insan yang sanggup berkorban atas nama persahabatan. ALLAH mempertemukan kita dengan seorang yang sangat mencintai dan mengasihi kita. Maka syukurilah nilai persahabatan. Syukurilah nilai percintaan dan kasih sayangnya. Andainya kita tidak bersyukur, tidak mustahil ALLAH akan tarik nikmat tersebut dari kita. Wal hasilnya, kita akan tinggal dalam kesepian dan kerinduan di dunia ini.



Dan setiap ujian yang ALLAH datangkan merupakan rahmat bagi setiap insan yang beriman.



Kerana bersama ujian yang datang, di situ terkandungnya tarbiah dan pendidikan agar kita kembali ke jalan iman. Agar kita tidak terpesong semula ke jalan kekufuran.



Bersama ujian yang datang, di situ ada pahala redha dan sabar buat insan yang beriman, walau impak ujian meninggalkan kesan di hati yang mendalam. Bak parut dari luka akibat sebuah kesilapan. Yang akan terus berkekalan dan tak mungkin terpadam.



Begitulah tarbiah ALLAH kepada hamba-hamba NYA yang dikasihi. Agar hamba NYA sentiasa merintih dan bersedih. Mengharap kekuatan dan kasih sayang ILAHI.



Sama2lah kita fikir-fikirkan bersama .................



Dalam derita ada bahagia

Dalam gembira mungkin terselit duka

Tak siapa tahu

Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar

Tapi hatilah yang remuk menderita

Insan memandang

Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir

Terimalah dengan hati yang terbuka

Walau terseksa ada hikmahnya

Harus ada rasa bersyukur

Di setiap kali ujian menjelma

Itu jelasnya membuktikanAllah mengasihimu setiap masa

Diuji tahap keimanan

Sedangkan ramai terbiar dilalaikan

Hanya yang terpilih sahaja

Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan

Rintihanmu berpanjangan

Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala takdir

Terimalah dengan hati yang terbuka

Walau terseksa ada hikmahnya

Allah rindu mendengarkan

Rintihanmu berpanjangan

Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala ujian diberi

Maka bersyukurlah selalu



Madrasah Darus Syifa

15 Ramadhan 1431H / 25 Ogos 2010

5.12am




Permata Pemberian Yang Indah


Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub... maknanya Permata Pemberian Yang Indah Dan Menjaga Segala Hati Yang Lalai.... begitulah judul sebuah kitab kuning lama yang ku temui dalam almari buruk milik arwah datuk ku.

Untuk mendapatkan sebutir permata, bukanlah suatu usaha yang mudah. Lautan dalam perlu diselami. Jerung buas perlu dihadapi. Barulah sebutir permata dapat diperolehi. Permata yang diperolehi itu pula hanya tampak indah setelah dicanai dan ditempah oleh sang jauhari. Di jadikan batu cincin atau pun loket rantai. Barulah tampak indah dan menawan.



Begitu juga dengan ilmu Al Quran. Rahsia dan khasiatnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Hanya orang yang benar2 ikhlas dan dibantu oleh Allah yang mampu mengupas intipati dan kelebihannya. Maka tersuratlah rahsia dan khasiatnya dalam sebuah kitab tua berjudul Lubab Hadis oleh Imam As Sayuti dan di permudahkan oleh Sheikh Ali Bin Abd Rahman Al Kalantani di dalam Kitab Al Jauhar Al Mauhub. Rahsia dan khasiat dari amalan salafussoleh inilah yang dikiaskan sebagai permata. Tersuratnya ilmu rahsia ini dalam kitab ini pula kiasan permata yang telah dicanai indah. Pembentangan ilmu ini kepada umat Islam merupakan pemberian permata yang indah sebagai hadiah kepada kita. Mudah-mudahan ilmu yang mereka suratkan di atas lembaran kertas ini, dapat kita manfaatkan buat diri kita dan masyarakat.



NCI Cancer Hospital (formerly known as Nilai Cancer Institute) .... hospital yang merawat kanser.... dan aku pernah bekerja di situ

Kanser .... penyakit yang sukar untuk dirawat.



Sifat2nya ... bahagian yang kena kanser ni membengkak, bernanah, sakit ... boleh merebak dan membawa maut.



Rawatan kanser ... secara umumnya ada tiga cara :

1. Surgeri

2. Radioterapi

3. Chemotherapy

dan kadang kala ketiga-tiga corak rawatan itu di kombinasikan.



Nanti ada orang tanya .... Dalam Islam tak ada ke cara nak rawat kanser ? Kan ke ada satu hadis yang menyatakan setiap penyakit ada ubatnya kecuali TUA & MATI .....



Maka aku jawab ... ADA ... dalam kitab tak ada sebut perkataan KANSER tetapi ada menyebut tentang penyakit yang menyebabkan anggota tubuh manusia bengkak, berdarah dan bernanah serta sakit dalam satu masa dan penyakit itu boleh merebak ke anggota lain dan akhirnya membawa maut ... maka aku buat kesimpulan yang sakit berciri tersebut adalah kanser .... cara rawatannya berdasarkan apa yang tertulis dalam kitab ialah .....



1. Minum air yang dibacakan Al-Quran.

2. Mandi dengan menggunakan air yang dibacakan Al-Quran.

3. Mendengar bacaan Ayat2 Al-Quran.4. Menyapu ke tempat bengkak dengan minyak zaitun yang dibacakan Ayat2 Al-Quran.



Adapun Ayat2 yang dibacakan ialah dengan Surah Al-Fatihah tawasul kepada Rasulullah SAW dan diakhiri dengan Surah An-Nas, iaitu mengikut susunan berikut:



1. Surah Al-Fatihah.

2. Lima Ayat permulaan Surah Al-Baqarah.

3. Ayat 163, 164 dan 165 Al-Baqarah.

4. Ayat Al-Kursiy: 255 Al-Baqarah.

5. Ayat 256 Al-Baqarah.

6. Ayat 257 Al-Baqarah.

7. Akhiran Al-Baqarah: Ayat 284, 285 dan286.

8. Lima Ayat permulaan Surah Al-Imran.

9. Ayat 18 Al-Imran.

10. Ayat 26 dan 27 Al-Imran.

11. Ayat 54, 55 dan 56 Al-A'raaf.

12. Ayat 117, 118 dan 119 Al-A'raaf.

13. Ayat 80, 81 dan 82 Yunus.

14. Ayat 65, 66, 67, 68 dan 69 Taha.

15. Ayat 115, 116, 117 dan 118 Al-Mu'minun.

16. Ayat 21, 22, 23 dan 24 Al-Hasyr.

17. Lima Belas Ayat permulaan Ash-Shaafaat.

18. Ayat 31, 32, 33 dan 34 Ar-Rahman.

19. Ayat 3 dan 4 surah Al Mulk

20. Ayat 51 dan 52 Al-Qalam.

21. Ayat 3 Al-Jinn.

22. Surah Al-Kafirun, Al-Falaq dan An-Nas.



Kemudian dibacakan doa2 berikut dan ditiupkan ke atas air dan minyak, iaitu:




"Hilangkanlah kesakitan, wahai Tuhan bagi seluruh manusia dan sembuhkanlah wahai Engkau, Tuhan yang menyembuh, tiadalah sembuh melainkan dengan kesembuhan engkau, sebagai kesembuhan yang tiada dikhianati oleh kesakitan." (At-Tirmidzi)




Maka dengan izin Allah, penyakit itu akan sembuh.



Ingin dinyatakan, sebaik2 air untuk digunakan ialah Air Zam Zam. Kalau tak kedapatan air zam zam, maka gunakanlah air mutlak yang suci lagi menyucikan.



Pastikan bacaan Al Quran itu menuruti makhraj dan tajwid. Sebaik2nya bertaranum kerana keindahan lagu taranum akan membantu menjiwai ayat2 Al Quran.



Hebat dan beruntungkan menjadi umat Islam ... sehingga dalam hal ehwal merawat penyakit yang sukar disembuhkan, AL Quran memberi pedoman kaedah merawat.



Terpulang kepada keimanan umat Islam untuk mempercayai dan meyakininya.



Madrasah Darus Syifa

20 Ogos 2010

11.25pm


Rahsia Ukhwah (Kunci Kasih Sayang & Bantu Membantu)


Abdullah bin Mas'ud berkata: Di antara orang-orang yang termasuk dalam barisan Perang Yarmuk adalah Haris bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amar. Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang memberinya air minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang dari mereka yang bertiga orang itu, maka masing-masing mereka berkata: "Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku." Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.



Dalam riwayat yang lain pula ditambahkan: "Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata: "Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku." Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata: "Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku." Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorangpun di antara mereka yang dapat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya. Semoga Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada mereka bertiga. Amin."



Inilah sifat persaudaraan dalam Islam yang ditunjukan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Betapa terserlah kejayaan pendidikan Rasulullah SAW. Didikan yang bertunjangkan iman. Terzahir dalam amal perbuatan. Ikatan persaudaraan yang bermatlamatkan keredhaan Allah, dan merupakan anugerah Allah kepada hati-hati yang ikhlas ingin menuruti titah perintah Allah :



"Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana" (Al Anfaal ayat 63)



DEFINISI UKHWAH



Ukhwah Islamiah adalah rantaian yang menghubungkan antara satu hati dengan satu hati yang lain atas dasar ketaatan kepada Allah. Rantaian ukhwah inilah yang akan mendekatkan mereka kepada Allah. Hubungan hati sesama muslim adalah titik permulaan dalam berjemaah dan bermasyarakat. Kerana berjemaah atau bermasyarakat adalah satu tuntutan agama dan wajib dilaksanakan :



"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung. "(Ali Imran : 103-104)



"Wajib atas kamu bersama jemaah. Sesungguhnya jemaah (bersatu dan berpadu) itu adalah rahmat dan berpecah belah itu adalah azab. " (Riwayat Muslim).



"Barang siapa yang mati dalam keadaan memisahkan diri dari Jemaah Kaum Muslimin, maka sesungguhnya ia mati sebagai mati jahiliah. " (Riwayat Imam Muslim)





, dan tiada yang lebih diingini apabila berjemaah/bermasyarakat melainkan untuk :



a. Menghubungkan diri dengan Allah

b. Menghubungkan diri sesama manusia



Bersesuaian firman Allah :



"Akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang mengadakan hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan sesama manusia." (Ali Imran : 112)



Malah dalam melaksanakan perjuangan, kesatuan hati sesama muslim adalah dituntut agar setiap yang dilakukan selaras dengan syariat Islam. Kesatuan hati ini hanya akan terbina dengan kekuatan iman dalam diri. Ukhwah yang terbina dari kekuatan iman menghasilkan manusia yang bercinta dan marah kerana Allah, bukan kerana emosi atau perasaan.



"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).



KESAN YANG LAHIR DARI UKHWAH



Ikatan ukhwah ini bukanlah modal yang digunakn dalam bual bicara, sebaliknya kesannya wajib bersesuaian dan selaras dengan syariat dan akhlak Islam. Antara kesan yang wajib terhasil :



1. Ukhwah yang lahir mendorong ke arah ketaatan kepada Allah. Segala perintah Allah dilaksanakan, baik yang wajib mahu pun sunat. Segala larangan Allah ditinggalkan baik yang haram mahu pun makruh. Sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:



"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang sahabat setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (sahabatnya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".



2. Ukhwah yang lahir akan menyuburkan rasa empathy, iaitu merasai keperluan saudara seaqidah dengannya sambil berusaha memenuhi keperluan saudaranya. Sabda Rasulullah s.a.w:



"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).



3. Ukhwah yang lahir menyuburkan sifat tolong menolong, bantu membantu sesama muslim. Sabda Rasulullah s.a.w:



"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".



4. Ukhwah menuntut perlaksanaan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:



"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).



Selain itu Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu ditunaikan dalam persaudaraan Islam:

i. Saling tolong menolong samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang bermaksud: "Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain"

ii. Menolong saudara kita untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.

iii. Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada atau tidak dan tidak mencari-cari kesalahannya.

iv. Menebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar pernah berkata: "tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua; lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan panggilan yang baik.

v. Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau melakukan dosa.

vi. Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.

vii. Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.

viii. Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya



5. Ukhwah wajib melahirkan kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:



"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:

"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:"Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair". (Hadis riwayat ).



Rasulullah s.a.w juga bersabda:"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).



6. Ukhwah menuntut lahirnya rasa cinta, kesetiaan dan bersedia berkorban demi Rasulullah s.a.w :



"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).



Baginda juga bersabda:

"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).



CARA MEMBINA UKHWAH



a. IKHLAS : Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis di dalam sahihnya yang menceritakan soalan malaikat kepada seorang lelaki yang ingin menziarahi saudaranya di sebuah kampong.



Malaikat itu bertanya, "Ke mana kamu hendak pergi?"



Jawab lelaki itu, "Aku ingin menziarahi saudaraku di kampong ini".



Malaikat itu bertanya lagi, "Adakah kamu mempunyai sebarang kepentingan di sana?"



Lelaki itu menjawab, "Tidak melainkan aku menyintainya kerana Allah."



Kemudian malaikat itupun berkata, "Sesungguhnya aku adalah utusan Alah yang diutuskan oleh Allah kepadamu untuk menyatakan bahawa Allah menyintaimu sebagaimana sahabatmu keranaNya".



b. IMAN : Ukhwah dibina atas dasar iman dan taqwa lantas mendorong berlaku selektif dalam bersahabat. Sahabat yang menjadi dambaan ialah yang mampu membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada dirinya ke jalan iman. Sabdakan Rasulullah SAW :



"Perumpamaan orang yang berkawan antara orang yang baik dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikan kepadamu atau mungkin kamu akan membeli daripadanya dan mungkin kamu akan dapat bau yang harum daripadanya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok (daripada besi tersebut)." (Muntafaq 'Alaih)



Namun, walau berlaku selektif dalam bersahabat, ianya tidak menafikan mewujudkan hubungan dengan dengan insan-insan yang kurang soleh mahu pun golongan kuffar. Dalam konteks ini kita mestilah istiqomah agar tidak terjebak atau terpengaruh dengan sebarang keburukan. Sebaliknya kita yang menguasai situasi sebagai pendakwah. Contohilah ikan yang tidak masin isinya walaupun hidup di dasar lautan.



3. Mentaati dan melaksanakan syariat Islam. Ukhwah tidak akan terbina dengan perlanggaran syariat. Contohnya; berdating dengan yang bukan muhram atas dasar ingin berukhwah. Syarat dalam apa jua urusan di dunia ialah melaksanakan syariat kerana itulah objektif berukhwah. Sabda Rasulullah SAW :



"Dan dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, berkumpul keranaNya dan berpisah keranaNya".



Jika disoroti kepada perjalanan hidup para sahabat, apabila mereka bertemu mereka tidak berpisah sehinggalah salah seorang daripada mereka membaca Surah al-Asr dan mengucapkan salam sesama mereka. Ini adalah di antara contoh yang menunjukkan bahawa mereka nerkasih sayang berteraskan manhaj Islam dan di atas dasar keimanan serta amal soleh. Setiap muslim mesti menunaikan tanggung jawab sebagai seorang muslim dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan larangan NYA. Dengan melaksanakan syariat Islam, akan melahirkan rasa persamaan dan kesatuan serta perpaduan. Jika gagal melaksanakan tuntutan syariat, hilanglah persamaan, hilanglah kesatuan dan hilanglah perpaduan umat Islam. Perlaksanaan syariat merupakan sebab tercetusnya rasa persamaan dan kesatuan. Sekiranya ada anggota masyarakat yang lalai melaksanakan syariat dengan sendirinya hilang persamaan dan rasa kasih sayang terkorban, lenyaplah perpaduan.



4. Menzahirkan syiar Islam. Perlaksanaan syariat akan menzahirkan syiar Islam. Salah satu cara terbaik menzahirkan syiar ialah dengan menganjurkan program-program berunsur Islam dan meraikan hari-hari kebesaran Islam. Itu juga merupakan tugas anggota masyarakat. Sekiranya ada di antara anggota masyarakat yang lalai atau selalu tidak hadir di majlis-majlis rasmi masyarakat setempat yang telah ditetapkan, hati anggota masyarakat lain akan menjadi tawar dan dapat menimbulkan sangka buruk kepada anggota masyarakat yang lain serta akan merenggangkan persaudaraan. Oleh kerana itu anggota masyarakat yang mempunyai halangan atau uzur, hendaklah memaklumkan segera kepada pemimpin atau kepada anggota masyarakat yang lain supaya berita perkembangan peribadinya dapat diumumkan kepada anggota masyarakat lain yang hadir di majlis-majlis berkenaan bagi mengelakkan timbulnya salah sangka yang negatif.



5. Merapatkan jurang perbezaan hidup. Kedudukan anggota masyarakat hendaklah ada keseimbangan. Jangan ada diantaranya yang terlalu miskin atau sebaliknya. Keadaan anggota masyarakat hendaklah sentiasa diberi perhatian jangan sampai keperluan hidup keluarga yang tidak mencukupi. Kerana itu akan merosakkan hubungan hati serta member ruang kepada bisikan syaitan dan godaan nafsu. Demikian juga dengan anggota masyarakat yang hidupnya lumayan, mereka hendaklah tidak menampakkan kesenangan diri dan menyelesaikan sendiri keperluan keluarga hingga mengabaikan masalah sesama sahabat dalam satu masyarakat setempat. Itu akan menyentuh perasaan anggota masyarakat yang berada dalam kesempitan hidup. Bila jurang hidup berlaku, itu akan membawa keretakan hati dan tersinggung perasaan. Hendaklah wujudkan keadaan dan suasana perimbangan dalam hidup di antara setiap anggota masyarakat.



Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: "Sampaikanlah hajat orang yang tidak berdaya memenuhi hajatnya sendiri. Maka sesungguhnya orang yang menyampaikan hajat seseorang yang tidak mampu menyampaikan hajatnya kepada pemenntah, ALLAH akan menetapkan dua kakinya di atas sirat (di akhirat) pada waktu manusia tergelincir." (Hadis riwayat oleh Hindun bin Abi Halah yang diterima dari Nabi SAW).



Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Abu Nu'aim bahwa Nabi SAW bersabda :

Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka ia bukanlah dari golongan mereka."



Ibnu Umar RA berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda

"....Siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, niscaya ALLAH akan menyampaikan hajat saudaranya, niscaya ALLAH akan menyampaikan hajatnya dan siapa yang melepaskan kesukaran (kesusahan) seorang muslim di dunia, niscaya ALLAH akan melepaskan kesukarannya di akhirat........." Sabda Nabi SAW:



Maksudnya : "Seorang yang berjalan kerana menolong saudaranya lebih baik daripada beriktikaf selama sebulan di mesjidku (mesjid Nabawi)."



Bila jurang perbezaan dapat dirapatkan, maka anggota masyarakat akan hidup susah dan senang bersama :

"Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota masyarakat tubunhnya berasa sakit, maka seluruh anggota masyarakat tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya" (Muntafaq 'Alaih)





6. Membudayakan meminta dan memberi maaf. Sebagai manusia biasa kita tidak dapat mengelakkan diri dari melakukan kesalahan. Mustahil di antara kita tidak berlaku kesalahan. Nabi SAW sendiri bersabda :



Maksudnya : "Tidak ada anak Adam, melainkan mempunyai dosa."

(Riwayat Tarmizi dari Anas)



Oleh kerana itu hendaklah jangan ada di antara kita yang berani dan sanggup mengaku tidak pernah bersalah. Hendaklah di kalangan kita semuanya senantiasa menyedari bahwa kita sentiasa tidak dapat mengelak dari bersalah. Sebab itu hendaklah bersedia mengaku salah dan meminta maaf. Bagi yang tidak bersalah pula hendaklah bersedia untuk memaafkan kesalahan orang yang memohon maaf kepadanya. Hanya dengan cara yang demikian kasih sayang akan dapat terjalin dengan erat di samping dapat mengelakkan perpecahan baik yang disebabkan oleh sesama kita atau melalui orang tengah yang mencoba hendak mengadu domba kita.



7. Saling menasihati dan tegur-menegur. Firman Allah swt di dalam Surah al-Asr:



"Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran (di atas kepahitan kebenaran)"

Apabila salah seorang anggota masyarakat melakukan kesalahan, maka ia perlu ditegur dan dinasihati. Dalam kita menegur dan menasihati mesti melalui beberapa peraturan dan adab-adabnya.



(i) Memahami kedudukan kesalahan itu; kecil atau besar, sengaja atau tidak sengaja, dengan manusia atau dengan ALLAH, dalam masyarakat atau di luar masyarakat, dan lain-lain.



(ii) Jangan segera menegur. Tunda untuk beberapa waktu. Dalam masa itu hendaklah kita mendoakan orang yang melakukan kesalahan agar ia insaf dan berusaha melakukan perubahan dengan sendirinya, sebab orang sadar dan melakukan perubahan sendiri lebih baik daripada ditegur dan dinasehati oleh orang lain secara langsung.



(iii) Kalau setelah diberi tempoh, namun tidak juga berubah, maka barulah ia dipanggil berhadapan secara empat mata (tanpa ada orang lain), menasihatinya dengan penuh kasih sayang. Akan tetapi kalau difikirkan kita tidak mampu menasihatinya atau kita bimbang nasihat kita tidak berkesan, lebih baik diserahkan kepada orang lain yang dianggap mampu dan dapat memberi kesan. Ketika itu barulah membawa kesnya kepada pemimpin masyarakat setempat. Perlu diingatkan bahwa menegur orang secara membabi buta, tanpa disiplin dan hikmah, bukan saja akan merosak hati orang yang melakukan kesalahan, bahkan akan memecahkan perpaduan dan mencacatkan kasih sayang (ukhuwah Islamiah).



8. Berhibur dan berekreasi. Itu boleh dilakukan asal mengikut peraturan syariat Islam yang membenarkan hal tersebut kerana fitrah manusia suka pada hiburan. Jiwa yang sunyi dari hiburan akan merasa jemu dan malas beribadah. Kerana itu supaya jiwa segar dan subur lebih baik jika sekali-sekali dibawa berekreasi, melihat alam Tuhan yang indah dan tenang, sambil bergaul, makan dan solat bersama.



9. Memperbanyak perjumpaan dan ziarah. Untuk mendekatkan hati, hendaklah selalu berjumpa dan berziarah. Tapi perlu diingat, bahwa ALLAH yang dapat menyatukan hati manusia. Oleh itu yakinlah bahwa kejayaan kita hanya di tangan ALLAH.





Itulah 9 perkara yang dianggap dapat membina ukhuwah. Ikutilah langkah-langkah itu dengan teliti dan hati-hati, insya ALLAH akan terbuka pintu ukhuwah untuk kita memasukinya dan mendapatkan intipatinya. Yaitu rasa persaudaraan yang membuat seseorang dapat merasakan kesusahan orang lain sebagai kesusahannya sendiri. Juga dapat merasakan kesenangan orang lain sebagai kesenangannya pula. Dengan merasakan itu sekaligus akan terhapuslah mazmumah, penyakit dan perosak jiwa manusia yang sangat berbahaya yaitu hasad dengki dan dendam kesumat. Dengan terhapusnya mazmumah itu berarti bersemailah benih perpaduan, keamanan dan keharmonian di kalangan pejuang.




Di malam 13 Ramadhan ini, marilah kita bermuhasabah diri. Apakah selama ini ukhwah telah wujud dalam diri kita ? Atau apakah selama ini kita hanya berlakon berikhwah kepada teman dan kenalan ?



Madrasah Darus Syifa

23 August 2010 / 13 Ramadhan 1431H

10.05 pm


Tuesday, August 17, 2010

Dari DIari Seorang Mujahidah : Ibu & 10 Ramadhan


Sayang,

Hari ini genaplah 100 hari diri mu meninggalkan abang. Hari ini hari ke 6 abang berpuasa di Ramadhan 1431H ini bersendirian tanpa diri mu di sisi. Terasa sunyi dan sepi. Kadang-kadang menitis air mata abang bila terkenang saat yang pernah kita lalui di bulan Ramadhan yang lalu.




Tatkala rindu pada mu menggamit, yang menjadi peneman kesunyian ini hanyalah diari kesayangan mu.



Perlahan diari mu abang singkap.



Ku tatap tulisan dari jari jemari mu. Akan kehidupan yang kau lalui.



Setiap coretan mu menggambarkan kerinduan mu ...... kecintaan mu ..... pahit manis kehidupan mu .... ketabahan mu ...... dan ..... pengorbanan mu........

Coretan mu itu abang gubah, lalu abang abadikan di notes Facebook abang buat tatapan rakan-rakan seperjuangan kita. Agar mereka kenal dan selami isi hati mu. Semoga ianya menjadi jariah buat mu......



########################



Diari Salina

Tarikh : 10 Ramadhan 1430H

Lokasi : Marseille, France

Masa : Menjelang tengah malam



Hari ini genaplah 10 hari kami berpuasa. Berakhirlah fasa pertama dari tiga fasa di Ramadhan yang penuh keberkatan. Masih ku ingat lagi pesanan Sheikh Hisham Kabbani sewaktu mengulas sepotong hadis Rasulullah SAW di Michigan.



Sepuluh hari pertama di Bulan Ramadan adalah Rahmat. Kalian harus mempersiapkan diri kalian menerima rahmat itu. Rahmat itu ada di sana. Allah mengirim kannya dan kalian cuma tinggal menerimanya. Jika kalian mengambilnya dan menaruhnya dalam kalbu kalian, kalbu kalian akan bersinar dan berkilau.



Kemudian dalam 10 hari kedua adalah maghfirah, ampunan. Dan jika Allah SWT memberi sesuatu, seuatu itu akan benar-benar diberikan. Allah Ta'ala.

Sepuluh hari terakhir adalah itqun minan-naar, kebebasan dari api neraka, maka itu benar-benar bermakna seperti itu: kebebasan dari api neraka.



Terus ingatan ku mengimbas kembali zaman kecil ku...............



"Puteri ibu, bangun nak. Ayah sedang menunggu kita untuk bersahur." Itulah ayat yang sering ku dengari yang terlafaz dari mulut ibu ku setiap Ramadhan yang kami tempohi bersama.



Dalam kemamaian terjaga dari tidur yang lena dan kesamaran lampu tidur, masih ku mampu lihat jelas wajah ibu yang mengorak senyum melihat puteri kesayangan bangkit dari tidur. Seperti biasa, ku lihat bekas air mengalir di sudut mata ibu. Juga telekong yang masih dipakai ibu masih terdapat kesan basah.



Ku bertanya kepada ibu, "Ibu menangis lagi ?"



Ibu tidak menjawab. Hanya tersenyum sambil mengusap rambut ku.



" Kenapa ibu selalu menangis ? Ibu sakit ? Adakah puasa ini menjadikan ibu sakit ?"



"Tidak sayang ku. Ibu tidak sakit"



"Jadi mengapa ibu sering menangis ?



" Kita makhluk yang lemah. Memang patut kita menangis selalu"



"Mengapa ibu berkata begitu ?"



" Sebab nasib kita belum tahu"



"Apa maksud ibu ?"



" Kita diciptakan Allah untuk beribadah kepada-Nya. Allah kurniakan kepada kita nikmat yang terbesar yang tidak diberikan kepada manusia yang lain yang hidup lebih awal dari kita iaitu nikmat Iman dan Islam. Tetapi apakah kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan ?"



" Apa kaitannya dengan tangisan ibu ?"



"Andainya kita tidak mensyukuri nikmat Iman dan Islam anugerah Ilahi. Tidak mustahil Allah akan tarik semula nikmat tersebut. Berakhirlah hayat kita sebagai makhluk yang tidak beriman dan tidak Islam. Kerana itulah ibu menangis.Menangis sambil menadah tangan kepada Allah agar ibu sekeluarga dan zuriat keturunan ibu dijadikan Allah manusia yang mensyukuri nikmat Iman dan Islam. Yang bakal kembali ke pangkuan Allah sebagai hamba-Nya yang dikasihi dan diampuni.".................



Ya Allah

Begitulah kasih ibu

Tak lekang matanya melihat masa depan zuriatnya

Tak henti mendoakan keselamatan anak-anaknya di dunia dan akhirat

Tak sunyi lidahnya melafazkan munajat keampunan buat anak-anaknya



Ya Allah

Itulah kasih ibu

Mengorbankan masa tidurnya

Menadah tangan kepada Mu

Bersama linangan dan deraian air mata

Demi melihat anak-anaknya menjadi hamba yang mentaati Mu



Ya Allah

Kau kabulkanlah doa ibu

Kau ampunilah dosa ibu

Kasihilah ibu sebagaimana dia mengasihi ku sejak kecil ku

Tanpa didikan ibu, mungkin aku tidak mengenali Mu

Tanpa tunjuk ajar ibu, mungkin aku lupa bahawa aku adalah hamba Mu yang berdosa



Ya Allah

Ku tahu akan rahmat dan ampunan Mu

Namun aku masih lalai untuk memohon kepada Mu

Istighfar yang ku ucap terlalu sedikit berbanding dosa yang telah ku lakukan

Andainya Ramadhan yang hadir

bersama rahmat, keampunan dan kemerdekaan dari api neraka

Aku masih lalai untuk menerimanya

Maka wajarlah aku menjadi bahan bakaran neraka Mu



Ya Allah

Aku tidak layak untuk syurga Mu

Namun tidak pula aku sanggup ke Neraka Mu

Oleh itu kurniakanlah, ampunan kepada ku

Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar



Al Fatihah buat Ibu dan ayah.



Puteri Salina

Marseille

10 Ramadhan 1430H



#############END#################



Sayangnya, Ramadhan 1430H adalah Ramadhan terakhir buat mu ............



Madrasah Darus Syifa

16 August 2010



4.40am


Jalan Iman


Imam Al Ghazali menulis dalam kitabnya MINHAJUL ABIDIN (Jalan Ahli Ibadah), dalam merintis jalan mencari keredhaan dan ampunan Allah SWT, terdapat tujuh peringkat atau tujuh a'qabah yang perlu dihadapi oleh seseorang muslim. Di nisbahkan kepada pertempuran, adalah kerana dalam menempuh ketujuh-tujuh peringkat atau a'qabah, merupakan sesuatu yang harus dilakukan dengan kesungguhan, teliti dan menuntut pengorbanan sama ada pengorbanan masa, harta dan sebagainya. Ketujuh-tujuh peringkat atau a'qabah atau pertempuran itu adalah :



1. A'qabatul Ilmi (Peringkat Ilmu)

2. A'qabatut Taubah (Peringkat Taubat)

3. A'qbatul A'wai'q (Peringkat Menghadapi Perkara Yang Menghalang Ibadah)

4. A'qabatul A'warid (Peringkat Menghadapi Perkara Yang Memesongkan Ibadah)

5. A'qabatul Bawai'th (Peringkat Berhdapan Dengan Perkara Yang Mendorong Ibadah)

6. A'qabatul Qawadih (Peringkat Berhadapan Dengan Perkara Yang Mencacatkan Ibadah)

7. A'qabatul Hamdi Wa Syukri (Peringkat Mengucap Puji dan Syukur)



PERTAMA : A'qabatul Ilmi (Peringkat Ilmu) kita disedarkan pentingnya Ilmu Fardhu Ain untuk difahami, diyakini dan diamalkan.



Ilmu fardhu Ain yang dituntut kita pelajari dan amalkan ialah :



Ilmu Tauhid - Merangkumi persoalan rukun Iman dan kalimah syahadah. Dalam perosalan beriman kepada Allah SWT. Sekurang-kurangnya seseorang muslim mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli kepada 20 sifat yang wajib bagi Allah SWT, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah SWT. Seorang muslim wajib mampu mendatangkan dalil aqli dan dalil naqli walaupun secara ijmali.



Dalam persoalan beriman dengan Rasul dn Nabi, seorang muslim wajiblah mempelajari, memahami, meyakini akan Nabi & Rasul. Seorang muslim wajib mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli walaupun secara ijmali (ringkas) akan 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi, 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi dan satu sifat yang harus bagi Rasul/Nabi. Ada 25 Rasul yang wajib diketahui oleh seseorang muslim. Dari Nabi Adam AS hinggalah Nabi Muhammad SAW. Di antara 25 orang Rasul yang wajib diketahui itu, ada pula 5 orang Nabi yang ulul azmi iaitu Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Yang dimaksudkan dengan ulul azmi ialah mempunyai keinginan yang teguh dan kesabaran yang tinggi dalam mengejar cita-cita dan matlamat yang telah diberikan oleh Allah SWT.



Dalam persoalan beriman dengan Malaikat, ada 10 malaikat yang wajib dipelajari, difahami dan diyakini oleh setiap Muslim.

Dalam persoalan beriman dengan Kitab, ada 4 kitab yang wajib diyakini oleh seseorang Muslim. Kitab Taurat diturunkan kepad Nabi Musa AS. Kitab Zabur kepada Nabi Daud AS, Kitab Injil kepada Nabi Isa AS dan Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, penutup segala nabi.



Dalam persoalan beriman dengan hari kiamat, wajiblah seseorang muslim yakin akan hari pembalasan, syurga dan neraka, mizan, titian sirat, mahsyar dan sebagainya.



Dalam persoalan beriman dengan qadha dan qadar, wajiblah seseorang muslim yakin dengan ketentuan yang baik dan buruk ke atas dirinya. Walaupun hanya Allah yang memberi bekas, tetapi usaha dan ikhtiar adalah wajib bersesuaian dengan sunnatullah dan hukum adat.



Ilmu Fekah pula di dalamnya terkandung hal ehwal ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah. Melalui ilmu ini, seseorang Muslim diajar bagaimana beribadah kepada Allah SWT. Diajar akan rukun dalam setiap ibadah. Juga ditunjukkan syarat sah dan batal sesuatu ibadah dengan jelas, sama ada ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ianya juga menunjukkan jalan bagaimana menjalani hidup sebagai hamba Allah dan bagaimana hidup sebagai sebuah masyarakat Islam, sama ada dari segi kekeluargaan, dari segi hubungan kemasyarakatan dan dari segi menjaga hal ehwal keamanan fitrah yang telah Allah kurniakan kepada setiap insan yang bernama manusia.



Ilmu Tasauf adalah untuk menyuluh hal ehwal kerohanian atau hati kita, agar tetap lurus mentaati Allah dan Rasul Nya tanpa di pesongkan oleh bisikan yang sering mengajak ke arah kemungkaran. Oleh itu setiap muslim perlu mempelajari, memahami, meyakini 10 jenis sifat mahmudah (sifat terpuji) dan 10 jenis sifat mazmumah (terkeji).



Ketiga-tiga cabang ilmu inilah yang dituntut untuk kita pelajari, fahami, yakini dan diamalkan serta diperjuangkan.







KEDUA : A'qabatut Taubah (Peringkat Taubat). Peringkat ini seseorang wajiblah membersihkan dirinya dari dosa zahir dan batin.



Taubat diwajibkan agar :



a. Kita mendapat keringanan dalam beribadah dan tiada kegusaran dan keresahan dalm hidup.b. Ibadah kita diterima Allah SWT.



Ada dua jenis dosa yang dilakukan oleh seseorang muslim iaitu :

a. Dosa kepada Allah (melakukan larangan Nya atau meninggallkan suruhan Nya)b. Dosa sesama manusia ( adalah yang berhubung dengan diri peribadi seseorang atau berkaitan dengan hartanya atau berkaitan dengan keluarganya atau berkaitan dengan agamanya)



Syarat taubat atas dosa kepada Allah SWT ada 3 :

1. Menyesal atas dosa

2. Meninggalkan perkara yang mengundang dosa

3. Berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan yang mengundang dosa



Syarat taubat atas dosa sesama manusia ada 4 :

1. Menyesal atas dosa

2. Meninggalkan perkara yang mengundang dosa

3. Berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan yang mengundang dosa

4. Memohon maaf dan kifarah kepada orang yang dilakukan dosa





KETIGA : A'qabatul A'waiq (Peringkat Berhadapan Dengan Penghalang Untuk Beribadah). Ada 4 perkara yang menghalang seseorang muslim untuk beribadah.



1. Dunia

2. Manusia (Fasiq, Munafiq, Kafir Harbi)

3. Syaitan

4. Nafsu (Nafsu Ammarah, Lauwamah, Mulhamah)



Untuk berhadapan dengan godaan duniawi. Hendaklah seseorang muslim itu bersifat zuhud.



Dalam menghadapi halangan yang ditimbulkan oleh manusia yang fasiq, munafik dan kafir harbi, maka hendaklah seseorang Muslim :



1. Bersabar dengan kesusahan dan kesukaran yang ditimbulkan oleh mereka.

2. Melengkapkan diri dengan ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah

3.Beramal dengan ilmu Fardhu AIn dan Fardhu Kifayah

4. Berdakwah kepada mereka

5. Berhadapan dengan mereka sebagaimana mereka menyerang kita. Jika diserang dengan ekonomi kuffar, kita perangi dengan ekonomi Islam berlandaskan syariat.etc

6. Berdoa kepada Allah



Untuk berhadapan dengan halangan yang dilahirkan oleh syaitan ini, maka hendaklah kita :

1. Melengkapkan diri dengan ilmu Fardhu Ain.

2. Gunakan ilmu Tauhid dan Feqah untuk mengenal halal dan haram.

3. Gunakanlah ilmu tasauf untuk menyuluh sifat mazmumah yang terkandung di dalam diri kita dan kikislah sifat tersebut dengan menggantinya dengan sifat mahmudah.

4. Sentiasa berlapar

5. Memohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam




MUJAHADATUNNAFSI



Bagi berhadapan dengan nafsu yang buruk iaitu Ammarah, Lauwamah dan mulhamah serta mempertingkatkan quality nafsu ke tingkatan yang lebih tinggi, maka seseorang itu hendaklah bermujahadatunnafsi melalui proses mujahadatunnafsi. Proses mujahadatunnafsi ini melibatkan 3 perkara.




Yang pertama takhalli, iaitu mengikis/membuang sifat mazmumah(sifat terkeji) dalam diri.



Kedua ialah tahalli, iaitu mengisi/menggantikan sifat mazmumah dengan sifat mahmudah (sifat terpuji).



Dan yang ketiga tajalli, setelah seseorang telah berusaha mengungkai sifat mazmumah dan bersabar mengisi hatinya dengan sifat mahmudah, maka kemanisan dalam beribadah akan hadir, inilah yang dinamakan tajalli.



Contohnya ; tatkala nafsu hendak menzahirkan rasa bangga diri, maka bertakhallilah. Iaitu lawan perasaan tersebut, jangan sampai sifat bangga diri terzahir. Masa yang sama kita bertahalli iaitu kita gantikan sifat bangga diri dengan sifat tawaddhuk, rendah diri. Paksa hati untuk menjadi tawadduk/rendah diri. Ingatkan tentang siksaan neraka ke atas orang yang bangga diri. Ingatkan kisah Azazil yang terlaknat kerana rasa bangga diri kerana dicipta oleh api. Amalkan dan latih hati.Lama-kelamaan, akan lahir tajalli iaitu rasa indah kerana bersifat rendah diri.



Untuk melalui ketiga-tiga proses mujahadatunnafsi ini, maka seseorang itu hendaklah :

1. Melengkapkan dengan ilmu Fardhu Ain dan beramal dengannya

2. Mengekang sifat mazmumah dan memaksa diri menerima sifat-sifat mahmudah dengan sabar.

3. Kekang bisikan hati, tindakan perbuatan dan percakapan dengan sifat taqwa.

4. Berdoa kepada Allah.



KEEMPAT : A'qabatul A'warid (Peringkat Menghadapi Perkara Yang Memesongkan Ibadah). Andainya perkara yang menghalang seseorang muslim untuk beribadah berjaya di atasi, namun masih ada lagi perkara yang memesongkan dan melalaikan seseorang muslim untuk beribadah iaitu :



1. Rezeki - kerana kesibukan mencari rezeki, maka ibadah telah terlalai. Solat di ta'akhirkan, zikir wirid disingkatkan, bacaan Al Quran diabaikan.

2. Khuatir - kebimbangan yang melanda apabila melakukan ibadah.

3. Musibah

4. Qadha & Qadar



Jalan penyelesaian kepada keempat-empat masalah di atas :



1. Hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT setelah kita berusaha dan berikhtiar.

2. Berserah diri kepada Allah SWT kerana sebagai Yang Maha Pencipta, Allah lebih tahu akan masa depan kita. Allah yang Maha Mengathui masa depan kita dan Allah yang mentadbir kehidupan kita.

3. Hendaklah bersabar dengan musibah yang melanda. Kuatkan pautan hati dengan Allah, dan ingatkan diri bahwa sebagai makhluk yang lemah tidak ada daya upaya kita untuk mengelakkannya melainkan dengan kudrah dan iradah Allah SWT. Sabar itu ada 3 macam, Pertama, sabar dalam berhadapan dengan musibah, kedua sabar dalam meninggalkan yang haram dan ketiga sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.

4. Sentiasalah mengucapkan Innalillahi wainna ilai hirajiun (Dari Allah aku datang dan kepada Allah aku kembali"

5. Sentiasa mengucapkan La haula wala quwwata illah billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk.

6. Anggaplah musibah yang melanda sebagai kifarah dosa kita didunia dan sebagai ujian dari Allah untuk meningkatkan darjat kita disisi Allah SWT.

7. Apabila ketentuan Allah datang berbentuk nikmat, ucapkanlah istighfar dan alhamdulillah. Syukurilah nikmat Allah dan ingatkan diri sendiri, seandainya nikmat yang hadir gagal ditadbir dengan hukum Allah, hakikatnya kita telah kufur nikmat.

8. Bersabar dan redha dengan ketentuan Allah yang tidak kita ingini. Ingatkan diri bahwa kita adalah makhluk yang lemah dan Allah saja yang menjamin keselamatan di dunia dan di akhirat.



KELIMA : A'qabatul Bawai'th (Peringkat Berhdapan Dengan Perkara Yang Mendorong Ibadah). Dalam menyelusuri jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, Allah bekalkan buat hamba-hamba NYA 2 sifat yang mendorong untuk beribadah iaitu :

a. Khauf ( rasa takut atas ancaman Allah )b. Raja' ( rasa harap atas ampunan dan rahmat Allah )



Kedua-dua sifat ini hyendaklah seimbang. Tidak boleh salah satu lebih dominan yang satu lagi. Jika khauf lebih diberati, ditakuti akan lahir manusia yang mudah berputus asa. Jika raja' yang lebih diberati, maka akan lahir manusia yang terlalu yakin dengan amalannya, dan merasa diri sudah dijamin syurga. Namun tatkala sampai sakaratul maut, hendaklah seseorang muslim itu meletakkan 100% rasa raja' atas rahmat Allah. Berbaik sangka dengan Allah. Untuk mendapatkan dan menguruskan 2 perkara yang mendorong ibadah, maka hendaklah :



1. Sentiasa mengingatkan diri dengan Akhirat. Ingatkan diri tentang azab siksaan Allah. Ingatkan diri tentang kenikmatan syurga Allah.

2. Sentiasa ingatkan diri bahawa Allah Maha Hebat dan Allah Maha Pengampun.

3. Sentiasa berzikir

4. Membaca kisah para Nabi, Rasul, Para Sahabat dan orang di zaman salafussoleh.



KEENAM : A'qabatul Qawadih (Peringkat Berhadapan Dengan Perkara Yang Mencacatkan Ibadah). Ada dua sifat yang menjadi pokok kepada segala perkara-perkara yang mencacatkan ibadah iaitu :



a. Ujub - merasa hairan dengan diri sendiri, merasa dirinya amat istimewa, lain dari yang lain.

b. Riyak - melakukan sesuatu untuk mendapat anugerah dari makhluk dan bukan dari Allah SWT.



Faktor yang boleh menjadi sebab untuk berlaku ujub dan riyak ialah :



1. Darah keturunan2. Jawatan pangkat kebesaran3. Harta yang menggunung4. Ilmu yang banyak5. Wajah dan paras rupa yang indah dan cantik6. Pengikut yang ramai7. Kelebihan-kelebihan yang pada kebiasaan yang tidak terdapat pada orang lain

Manusia yang bersifat ujub dan riyak ini akan mendapat 2 keaiban dan 2 musibah iaitu :

a. Aib di hadapan malaikat dan aib di hadapan umat manusia di Padang Mahsyar.b. Musibah kerana tidak beroleh syurga dan musibah dimasukkan ke neraka.



Ubat Riyak dan Ujub serta Cara Membersihkan Hati Daripada Riyak dan ujub

1. Memperkemaskan ilmu Fadhu Ain dan beramal dengannya. Dengan itu seseorang muslim akan sedar bahwa dirinya adalah hamba Allah yang hina. Hanya Allah tempat dipersembahkan segala amalan, bukan kepada makhluk. Hanya kepada Allah seseorang mengharapkan balasan dan bukannya mengharap anugerah pemberian makhluk.

2. Apabila menerima nikmat, segeralah mengingati Allah dan ucapkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi. Lantas segeralah beristighfar kepada Allah kerana takut nikmat yang bakal diperolehi menjadikan kita lupa bahawa nikmat itu merupakan ujian bujat diri kita. Bersegeralah mengucapkan la haula wala quwata illa billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk Allah.

3. Apabila menerima nikmat, segeralah juga kita bandingkan nikmat yang kita perolehi itu dengan nikmat orang lain yang lebih besar dan berharga. Agar kita sedar bahwa nikmat yang kita perolehi itu tidak seberapa dan bila-bila masa sahaja Allah mampu menariknya semula. Dengan itu kita mampu bersyukur.

4. Apabila ditimpa musibah, segeralah kita membandingkan musibah tersebut dengan musibah orang yang lebih teruk dari kita. Agar nantinya kita akan bersabar dan redha dengan ketentuan Allah atas kita.

5. Sentiasalah menggauli orang yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kerana ianya menjadikan kita insaf akan kedudukan kita sebagai makhluk Allah yang lemah. Maka tidak hairanlah ulamak-ulamak sufi dalam mendidik murid mereka agar tidak berlaku riyak dan ujub, anak-anak murid mereka dihina oleh mereka di khalayak ramai. Ini jelas diceritakan dalam kisah Sheikh Abu Yazid Al Bustami dan Sheikh Hassan Al Basri, mereka menghina dan mengaibkan orang-orang yang ujub dan riyak yang sedar mereka berbuat kemungkaran tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada kebenaran. Maka AL Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub menegaskan, harus mengaibkan orang yang ujub dan riyak di khalayak ramai sebagaimana harus seorang yang zalim diumpat, agar tindak tanduk mazmumahnya tidak diikuti oleh orang lain.



6. Bermujahadatunnafsi melalui tiga peringkat yang pernah dibincang dalam pertempuran yang lalu iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli.



7. Bertafakur. Memikir akan kebesaran Allah SWT.



Semoga syarahan yang ringkas ini mampu kita jadikan panduan untuk terus menghampirkan diri kepada Allah SWT.





KETUJUH : Aqabatul Hamdi Wa Syukri ( Mengucapkan Puji & Syukur )



Adalah menjadi kewajiban ke atas setiap muslim menyatakan kesyukuran ke atas nikmat yang diperolehi atas dua sebab, iaitu :

a. Agar nikmat yang diperolehi dikekalkan Allah ke atasnya.b. Agar Allah SWT mengurniakan nikmat-nikmat yang lain yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT lebih mudah.



Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah nikmat ke atasmu. Seandainya kamu syukur, sesungguhnya azab KAMI amat pedih. (Surah Ibrahim : 7)



Nikmat Allah SWT ke atas hamba NYA ada 2 iaitu :



a. Nikmat dunia yang terkandung di dalamnya :

i. Nikmat berbentuk manfaat1. Perawakan yang sempurna ( sihat tubuh badan, sempurna sifat )2. Mengecapi pelbagai kesenangan fizikal seperti makan, minum, pakaian.



ii. Nikmat berbentuk perlindungan dari mudarat.1. Allah memberi perlindungan dari wabak dan bala2. Allah meindungi dari anasir-anasir yang mengundang kemudaratan



b. Nikmat berbentuk agama

i. Nikmat mendapat taufik dari Allah SWTii. Nikmat pemeliharaan dari Allah yang mengancam dari segi dunia dan akhirat.



Inilah antara nikmat-nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Maka sayugialah hendaklah kita mengucapkan puji dan syukur atas nikmat NYA dan jangan sesekali kita mengengkari dan kufur atas nikmat NYA.



Timbul pula persoalan; Bagaimanakah hendak disyukuri nikmat yang telah diperolehi ?



Mudah sahaja, gunakanlah nikmat yang diperolehi untuk mentaati Allah dan menjauhi larangan NYA. Jangan sesekali menggunakan nikmat yang sedikit ini untuk melakukan perkara-perkara yang mengundang dosa.



Semoga panduan ringkas ini dapat menjadi penyuluh buat kita dalam menuju ke arah keredhaan, kecintaan dan keampunan dari Allah SWT.



Selamat mencari cinta



Madrasah Darus Syifa
14 Ogos 2010
4.40am


Rahsia Nafsu


Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu) sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". Surah Yusuf : Ayat 23



Firman ALLAH SWT dalam Al Quran, surah Yusuf ... diceritakan bahawa Nabi Yusuf AS yang menjadi hamba Perdana Menteri, digoda oleh Zulaikha yang menjadi isteri Perdana Menteri.



Zulaikha seorang yang jelita rupawan, suaminya pula seorang yang kacak dan tampan lagi berharta serta orang kenamaan ... TETAPI .... bila syaitan dan nafsu dah menguasai hati yang sunyi dari iman ... Zulaikha lupa siapa dirinya , lupa kedudukan dirinya, lupa kedudukan suaminya. Lantas tindakannya menurut nafsu dan tidak masuk akal. Walau sudah bersuami, dia masih mengharapkan cintanya terhadap Nabi Yusuf AS berbalas. Yang akhirnya memalukan dirinya sendiri.



Jika Syaitan dan Nafsu sudah mencampuri dalam urusan kehidupan kita, iman dan akal akan diketepikan. Rosaklah hidup kita sebab kita akan lalai mentaati Allah. Nafsu diperkuatkan dengan hasutan syaitan akan memusnahkan insan. Musuh nafsu dan syaitan adalah akal dan iman. Akal yang diperkuatkan dengan imanlah yang bakal membenteng dan menjadi perisai kepada manusia dari ancaman nafsu dan syaitan.



Nafsu kena ada dalam diri kita. Kalau tak ada nafsu, kita tak jadi manusia. Allah jadikan makhluk yang ada akal tetapi tak ada nafsu bernama MALAIKAT. Allah jadikan makhluk yang tak ada akal tetapi ada nafsu, bernama HAIWAN. Dan Allah jadikan makhluk yang ADA akal & ADA nafsu bernama manusia.



Oleh itu nafsu yang ada dalam diri kita hendaklah dididik agar mendengar nasihat akal yang dibimbing dengan iman.

Nafsu ada berperingkat-peringkat. Tersebut dalam kitab Minhajul Abidin oleh Imam Al Ghazali rahmatullah a'laihi.

1. Ammarah

2. Lauwamah

3. Mulhamah

4. Mutmainnah

5. Radhiah

6. Mardhiah

7. Kamilah



Tingkatan yang terendah dan terhina ialah Ammarah. Dan tingkatan yang termulia ialah Kamilah.



CIRI-CIRI NAFSU




Nafsu Ammarah
ialah nafsu yang paling hina, paling buruk dan paling jahat. Orang yang bersifat dengan nafsu Ammarah, dia akan rasa bangga bila buat dosa. Kalau dia boleh togok arak, dia akan canang kat orang yang dia tu "power giler" sebab minum 5 tin Carlsberg masih tak mabuk. Dia rasa gembira dan kelazatan yang amat sangat bila ada peluang buat dosa. Bukan setakat tu sahaja, orang nafsu Ammarah ni, dia akan ajak orang lain buat dosa juga. Andainya, ada usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran, mereka-mereka inilah yang menjadi manusia-manusia durjana yang menghalang kepada usaha menyeru yang makruf dan mencegah kemungkaran. Andainya ada orang yang menegur kemungkaran dan maksiat yang dilakukannya, orang yang menegur itu dimusuhi. Orang yang bernafsu Ammarah inilah yang sentiasa jadi batu api, melaga-lagakan orang demi kepentingan diri mereka. Mereka jugalah agen kepada kesesatan yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Tak hairanlah kalau mereka boleh dilabel sebagai hamba nafsu atau pun hamba syaitan. Orang yang bernafsu Ammarah, tempatnya tidak lain dan tidak bukan ialah di neraka. Muktamad, kalau dia mati akan ke neraka. Orang yang berada di peringkat nafsu Ammarah tak peduli dengan Akhirat. Mudah kecewa tidak tahan bila diuji. Allah panjangkan umur mereka, agar puas dengan maksiat, bila mati dengan mudah Allah akan lemparkan ke dalam api Neraka. Orang yang mempunyai nafsu Ammarah adalah nafsu ahli Neraka. Dan dosa-dosa orang yang menyahut seruannya untuk melakukan maksiat juga, dia akan dapat saham darinya. Jadi cuba kita muhasabah diri kita. Ada tak sifat orang nafsu ammarah dalam diri kita ?Kalau ada, bersiap sedialah untuk dibakar di neraka.



Tingkatan kedua nafsu ialah Lawwamah. Orang bernafsu Lawwamah ialah orang yang sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Dia sedar bahawa diri dia sering terlibat dengan dosa, dan dia sering mengkritik diri dia bila terlibat dengan dosa. Mereka sentiasa melakukan dosa. Waktu melakukan dosa, mereka tak fikir apa-apa pun. Tak ingat kat Allah, tak ingat kat syurga dan neraka. Yang dia ingat hanyalah nikmat ketika berbuat dosa yang hakikatnya adalah nikmat yang sementara. Sebaik saja habis buat dosa, baru dia sedar yang dia telah terlanjur. Dia menyesal dan mengkritik diri dia sendiri di atas keterlanjurannya. Waktu dia berzina, dia tak ingat langsung yang zina tu berdosa, tapi bila dah shoot, dah lesu, baru sedar diri yang dibuat tu dosa. Tapi setelah masa berlalu, dia buat balik dosa yang jadi favourite dia. Orang bernafsu Lawwamah ini , bila berjaya buat kebaikan, maka senanglah timbul riyak dan ujub dalam dirinya. Dirasakan dialah yang paling arif dalam bab-bab benda kebaikan ni. Syok sendiri. Perasan. Dirasakan dialah yang paling mulia dan suci. Perasan dan syok sendiri. Inilah antara ciri-ciri yang ada pada orang yang bernafsu Lawwamah.



Beza antara orang nafsu Ammarah dan Lawwamah, orang di nafsu Lawwamah tak rasa bangga bila buat dosa, dia tak pula ajak orang lain turut sama membuat dosa dengannya dan dia tak pula menghalang usaha-usaha mencegah kemungkaran. Tapi dia sering terjebak dengan dosa, sebab tak mampu meninggalkan nikmat dunia ketika membuat dosa. Contohnya, dia sudah merasa kelazatan zina, maka dia terus melakukan zina walau dia tahu ianya berdosa. Tingkatan nafsu Lawwamah lebih tinggi sedikit dari nafsu Ammarah, tetapi nafsunya masih belum terdidik dan rakus. Masih bersarang dengan sifat mazmumah. Cuma diri orang yang bernafsu Lawwamah ini sudah mudah ditegur dan hatinya mudah didorong ke arah ibadah dan kebaikan. Nafsunya masih belum dididik sepenuhnya. Syurga untuk orang di nafsu Lawwamah masih jauh panggang dari api. Nafsu yang begini masih belum dapat menyelamatkan yang empunya diri dari api neraka.



Tingakatan yang ketiga ialah nafsu Mulhamah. Orang bernafsu Mulhamah apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di Syurga. Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Cuma tidak boleh lawan. Dia mencuba beribadah dengan sabar. Orang yang bernafsu Mulhamah, bila dia sedar dia buat dosa, dia rasa menyesal dan mengkritik diri sendiri. Tetapi usahanya tidak henti di situ, dia usahakan untuk perbaiki diri. Dia akan berusaha menghisab diri dan berusaha memperbaiki diri. Dia mempelajari ilmu Fardhu Ain dan mula mengamalkannya. Berdasarkan ilmu tasawwuf yang dia pelajari, dia berusaha menyucikan hatinya. Inilah beza antara orang bernafsu Mulhamah dengan orang bernafsu Lawwamah. Orang yang bernafsu Mulhamah, dia masih terlibat dengan dosa. Tetapi dosa yang dilakukannya tidak sebanyak dosa yang dilakukan oleh orang di tingkatan nafsu Lawwamah. Namun dosa, walau sekecil mana pun, balasannya di akhirat tetap ke neraka.



Andainya orang nafsu Lawwamah, terjebak kepada dosa kerana inginkan kelazatan nikmat kemungkaran yang sementara, orang bernafsu Mulhamah melakukan dosa kerana tidak sengaja. Bukan dia suka-suka cari. Andainya orang di tingkatan nafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, baru dia sedar akan kejinya perbuatannya itu. Orang bernafsu Mulhamah sewaktu buat dosa, sedang dia buat dosa, dia dah terasa betapa kejinya perlakuan maksiat yang sedang dia lakukan. Andainya orang bernafsu Lawwamah setelah melakukan dosa, dia mengkritik diri dia. Orang yang bernafsu Mulhamah bukan setakat kritik diri dia, malahan dia mencari kaedah untuk tidak melakukan dosa dan menghindarkan dari jalan-jalan yang mengundang dosa . Namun orang di tingkatan Mulhamah ini, masih belum sunyi dari melakukan dosa. Hati dia pedih bila melakukan dosa, walau pun tidak sengaja. Namun usaha dilakukan untuk tidak mengulangi perlakuan dosa itu lagi.



Tingkatan yang keempat ialah nafsu Mutmainnah. Orang yang bernafsu Mulhamah, hasil usahanya mencari jalan keluar dari melakukan dosa yang istiqamah dan sungguh-sungguh, maka Allah akan tingkatkan nafsunya ke tingkatan Mutmainnah. Orang yang telah mencapai ke tingkatan ini, hatinya sudah suci dan tenang. Hatinya puas jika dapat beribadah kepada Allah. Selalu rindu dengan kebaikan dan amal soleh. Datanglah 1001 macam ujian musibah melanda, hatinya tidak tergugat. Dia sabar dan redha dengan segala ketentuan yang datang dari Allah. Dia sujud dan syukur di atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya. Ujian musibah yang melanda dianggap sebagai kifarah dosa di dunia dan wasilah untuk menghampirkan diri kepada Allah. Nikmat yang diberikan oleh Allah kepadanya dikongsi bersama dengan saudara semuslim dengannya agar nikmat itu dapat diedarkan ke seluruh pelusuk alam. Orang yang bernafsu Mutmainnah inilah yang dikatakan orang-orang bertaqwa. Orang yang mampu melaksanakan segala titah perintah Allah dan mampu meninggalkan segala larangan Allah. Mereka inilah yang dijamin akan selamat dari siksaan neraka Allah di akhirat. Mereka inilah juga yang bakal menjadikan syurga yang penuh dengan kemanisan nikmat yang berkekalan sebagai tempat rehatnya nanti di akhirat.



Nafsu Radiah. Nafsu inilah yang tingkatannya menjadikan pemilik nafsu ini bukan sekadar dapat mencapai tingkatan ketenangan, ketenteraman dan kesucian, malah meredhai akan setiap musibah bala bencana yang diturunkan Allah ke atasnya. Bagi mereka ujian dan musibah dari Allah itu adalah sesuatu yang dinantikan. Ujian bagaikan sesuatu alat untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah yang amat dikasihi dan sebagai salah satu wadah untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada NYA. Mereka menlaksanakan yang wajib sepenuh hati dan meninggalkan yang haram juga sepenuh hati. Orang bernafsu Radhiah akan menjaga amal ibadahanya sunguh-sungguh. Perkara yang sunat dianggap wajib lalu diamalkan sungguh-sungguh, kerana disitulah letaknya cinta Allah kepadanya. Perkara yang makruh dianggap haram, lalu ditinggal sungguh-sungguh kerana di situ letaknya kebencian Allah. Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari Allah, di antaranya firasat yang Allah berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah pimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasehat-nasehatnya tepat, bila mereka dihalau dari masyarakat, tunggulah bala Allah akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya Allah akan terjadi.



Nafsu Mardiah. Nafsu inilah yang tingkatannya menjadikan pemilik nafsu ini berada kategori para wali Allah. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: "Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan." Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.



Nafsu Kamilah. Nafsu inilah yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul.



Ayuh kita muhasabah diri kita.



Di tingkatan mana nafsu kita ?



Andainya di tingkatan rendah, ayuh kita usahakan melalui mujahadatanunafsi agar nafsu kita terdidik.



Madrasah Darus Syifa
13 Ogos 2010
10.22am


Rahsia Iman .... Kunci Cinta Sejati


Dalam kedamaian sahur, dan kedinginan sepertiga malam, setelah selesai melabuhkan tahajjud dan kini tenang menjamah makanan ..., di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah....


Mungkin kita terlupa pada pengorbanan Abu Talib, pamannya kepada baginda Rasulullah SAW. Tatkala datang kafir Quraisy hendak membunuh Rasulullah SAW, berdirilah Abu Talib antara mereka menghalang.... "Andainya engkau menyentuh tubuh anak saudara ku, akan ku isytiharkan perang dengan kalian dan zuriat kalian. Seluruh Bani Hasyim akan akan memerangi diri kalian." .... ujarnya. Tatkala kafir Quraisy memulaukan Rasulullah SAW, Abu Talib membuka gudang kekayaan miliknya untuk dicurahkan kepada Rasululah SAW. Walau banyak pengorbanannya untuk nabi kita, namun Allah tidak merezkikannya dengan nikmat iman dan Islam. Maka matilah dirinya dalam keadaan yang tidak beriman kepada Allah.

Dalam kedamaian sahur, dan kedinginan sepertiga malam, setelah selesai melabuhkan tahajjud dan kini tenang menjamah makanan ..., di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah....

Mungkin juga kita terlupa akan kisah sejarah Saidina Umar Al Khattab. Sebelum beriman, arak menjadi togokkan. Membunuh bagaikan mainan. Anak gadisnya ditanam hidup-hidup di tengah padang pasir walau pun anaknya itu membantu mengesat peluhnya tatkala sedang menggali lubang. Hidupnya ketika itu hanya bercita-cita untuk membunuh Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib, pemuda yang membawa ajaran yang bertentangan dengan agama nenek moyangnya. Namun dalam kejelikan akhlak dan keganasan peribadi, Allah rezkikannya dengan iman dan Islam. Surah Taha yang dibaca adik perempuannya mengundang hidayah. Maka berimanlah Saidina Umar Al Khattab di tangan Rasulullah SAW. Sejak itu peribadinya berubah. Dari pembengis kepada penyantun. Lantas jadilah dia salah seorang sahabat Rasulullah SAW yg utama. Inilah kekuatan nikmat iman dan Islam anugerah ILAHI.

Dalam kedamaian sahur, dan kedinginan sepertiga malam, setelah selesai melabuhkan tahajjud dan kini tenang menjamah makanan ..., di sebalik semua nikmat berugama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah....

Mungkin juga kita terlupa akan kisah sejarah Saidina Hamzah Bin Abd Mutalib. Seorang yang menyendiri. Yang tika matanya tercelik di pagi hari, urusannya hanya di padang pasir yang gersang. Berbekalkan sebilah pedang dan sebusur panah, dia memburu singa di adang pasir sebagai mata pencarian. Sekembalinya ke kota Mekah, sesudah menjual hasil buruannya di pasar, dia kembali ke rumah untuk beristirehat. Dia tidak ambil peduli tentang perjuangan dan seruan tauhid anak saudaranya. Dia juga tidak ambil pusing akan ancaman dan tekanan kafir Quraisy Mekah terhadap anak saudaranya. Dunianya hanyalah memburu singa, menjual hasil buruan di pasar, balik ke rumah, dan istirehat seblum rutin yang sama berulang keesokan harinya. Namun Allah telah merezkikannya dengan iman dan Islam. Hanya disebabkan menerima khabaran, Rasulullah SAW dicela dan dipukul di depan Kaabah oleh Abu Jahal, Saidina Hamzah yang baru kembali dari perburuan telah menerima Islam. Berimanlah Saidina Hamzah dan menjadi barisan hadapan pejuang Islam di sisi Rasulullah SAW. Lantas ALLAH muliakannya sebagai penghulu para syuhada.

Begitulah bukti Maha Kudrat dan Maha Iradat nya ALLAH. DIA memberikan nikmat iman dan Islam kepada hamba-hamba NYA yang terpilih. Maka syukurilah nikmat iman dan Islam ini. Agar nikmat iman dan Islam ini akan ALLAH tambah dengan nikmat-nikmat yang lain. Jangan pula kita kufur, kerana kekukufuran menjadi penyebab nikmat iman dan Islam ditarik kembali. Andainya nikmat iman dan Islam ini ditarik, maka rugilah kita di dunia dan akhirat.

Aku sering menasihati student ku .... antara ungkapan-ungkapan nasihat ku :

Iman adalah harta yang paling berharga ... iman walau sebesar zarah mampu menyelamatkan dari api neraka ... begitulah nilai iman ..

JANGANLAH kita gadaikan iman & islam kita hanya semata2 nak kaya....

Sebab majoriti kita bercinta atas dasar nafsu ... bila bercinta atas dasar nafsu , bukan atas dasar iman ... maka berlakulah krisis demi krisis .. akhirnya mengakibatkan perpecahan, perbalahan dan perseteruan ... Cinta atas dasar nafsu hanya melihat wajah fizikal yang bersifat sementara. Sedangkan cinta berdasarkan iman akan menilai sejauh mana quality seseorang sehingga mampu membawa orang lain untuk hampir kepada Allah.

Orang yang bercinta atas dasar iman ... dia akan mencintai seseorang kerana orang yang dicintainya itu mencintai Allah & Rasul-Nya. Dia tidak akan mencintai seseorang atas dasar pangkat, harta, kehenseman, kejelitaan. Kerana cinta berlandaskan iman ini akan menjamin kebahagiaan & ketenangan di dunia dan di akhirat. Inilah yang terjadi dalam kehidupan Handzalah sahabat Rasulullah SAW.

Kita beruntung menjadi orang Islam yang beriman, sebab bila kita menerima nikmat kita akan bersyukur. Bersyukur itu menghampirkan diri kita kepada Allah. Sebagai orang Islam yang beriman kita juga beruntung kerana apabila kita ditimpa musibah, kita sabar dan redha. Sabar dan redha itu juga menghampirkan diri kepada Allah.

Biarlah yg cacat itu anggota tubuh badan. Asalkan yang cacat itu bukan keimanan. Kalau cacat anggota tubuh badan, ko hanya tak dapat bergerak. Tapi kalau cacat keimanan, hilanglah kebahagiaan & ketenangan di dunia & akhirat.


Begitulah antara pesanan-pesanan yang pernah aku sampaikan kepada student ku.

Begitulah nilai iman .... Ianya harta yang amat berharga

Kerana IMAN ... si miskin boleh sabar dan redha dengan kemiskinannya

Kerana IMAN ... si kaya menjadi dermawan

Kerana IMAN ... hati menjadi aman, bahagia dan tenang bila ditimpa musibah

Tanpa IMAN ... si kaya jadi tidak bahagia ... lebih malang kalau dirinya papa ... dua kali malang ... malang didunia kerana kepapaan, malang di akhirat kerana diazab

Tanpa IMAN ... orang yang hidup senang, tapi hatinya tidak tenang .... takut kesenangan yang datang dirampas orang

Tanpa IMAN ... celebrity ramai yang jadi susah hati ....SEBAB APA ? ... sebab inginkan perhatian manusia BUKAN perhatian dari Allah ... maka Allah berlepas tangan darinya

IMAN ... perkataan yang ringkas ... TETAPI ... memberi kesan yang besar pada kehidupan manusia.

Soalan : Mengapa orang yang sudah beristeri/bersuami sanggup berzina ?

Jawapannya : Kerana tak ada iman.


Soalan : Mengapa orang yang kaya, diberi nikmat dunia berlagak sombong dan angkuh ?

Jawapannya : Kerana tak ada iman.


Soalan : Mengapa orang sanggup menjadikan kawannya sebagai pelacur ?

Jawapannya : Kerana tak ada iman


Soalan : Mengapa orang sanggup menjual maruah dan harga diri dengan nilai yang murah ?

Jawapannya : Kerana tak ada iman


Soalan : Mengapa si papa kedana, malas berusaha sebaliknya berjudi sambil berangan menjadi kaya ?

Jawapannya : Kerana tak ada iman.


Soalan : Mengapa si kaya masih rakus nak kaut harta dunia sampai melakukan rasuah ?

Jawapannya : Kerana tak ada iman.


Dan ajukanlah 1001 soalan tentang masalah dan kerosakan yang timbul di dunia ini .... jika diikut salur galur SUMBER MASALAH ... akhirnya jawapannya tetap sama ... KERANA TAK ADA IMAN.

Saidina Ali Karamallahuwajhah berkata :

Iman itu adalah dibenarkan dengan hati, dilafazkan dengan lidah dan diamalkan dengan perbuatan.

Hati kita meyakini dan membenarkan.

Lidah kita melafazkan apa yang kita yakin.

Amal perbuatan dan tindakan kita menzahirkan apa yang kita yakin di hati dan dilafazkan oleh lidah.

Kita yakin Allah itu ujud ... WALAU .... Allah tu tak kelihatan ... Lantas kita melafazkan syahadah .. mensaksikan bahawa Allah adalah Tuhan yang selayaknya disembah dan tiada tuhan selain Allah .... dan amal perbuatan kita hendaklah selaras dengan hukum syariat, kita laksanakan apa yang Allah perintahkan dan kita hindari dan tinggalkan apa yang Allah larang...... Inilah contoh termudah dari kata-kata Saidina Ali berkenaan iman.


Dan iman itu ada lima bahagian/peringkat



1. Iman taqlid ... orang yang mengaku percaya Allah tu ujud tapi tak ada dalil. Iman ikut-ikutan, prinsip islam nya, juga rukun imanya tidak kuat dan kukuh. iman yang selalu tertewas dengan nafsu. juga iman ini juga ia tidak tahu kenapa ia bersolat, ia tidak tahu dan mengerti kenapa ia beribadah dan yang lain-lain rukun itu ia tidak tahu, tidak tahu bila di tanya tentang dalil Allah itu ada dan lain-lain ia tidak tahu. Dia ikut cakap orang membuta tuli. Taqlid buta. Kalau orang kata Allah tu ujud, dia kata Allah tu ujud. Kalau orang kata Allah tu tak ujud, dia pun kata Allah tu tak ujud. Ciri-ciri orang yang beriman taqlid, macam lalang. Dia akan mengikut saja arah tiupan angin. Kalau dia beribadah, ibadahnya tak ikhlas. Ibadah yang dilakukan hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang. Jika dia bersendirian, dia tak solat, dia minum arak. Dia boleh tunjuk pada orang ramai dia orang baik, bila dia bersendirian, dia buat dosa2 besar. Kalau dia berada di kalangan orang Islam, dia akan kata dia juga Islam. Tapi jika berada di kalangan orang kafir, dia akan melakukan perkara2 yang dilakukan oleh orang kafir. Orang yang beriman taqlid, hidupnya penuh dengan lakonan dan kepura-puraan. TETAPI ... ramai juga yang terpedaya dengan lakonan mereka. Orang yang beriman Taqlid, ialah imannya tak sah. Hakikatnya dia kafir.



2. Iman Ilmu ... orang yang beriman dengan tingkatan iman ilmu, dia sudah mempelajari tentang dalil-dalil perkara-perkara yang wajib diimani. Dia dah belajar sifat yang wajib bagi Allah (20sifat), sifat yang mustahil bagi Allah (20 sifat), sifat yang harus bagi Allah (satu sifat), sifat yang wajib bagi Nabi/Rasul (4 sifat), sifat yang mustahil bagi Nabi/Rasul (4 sifat) dan sifat yang harus bagi Nabi/Rasul (satu sifat) beserta dalil akal dan dalil dari Al Quran. Dia faham dan dia yakin akan perkara2 yang wajib diimani. Dia sudah mampu mendatangkan hujjah dan dalil. TETAPI keimanannya hanya bertunjang di otak bukan di hati. Iman yang bertunjangkan pada ilmu semata-mata.yang mana segala ilmu agama itu mereka tahu dan megerti dan kenal dan belajar secara rasmi tentang Allah dan rukun iman yang lain. Mereka juga tahu selok belok agama dengan baik dan sehingga sampai ke taraf ph.D, M.A. dan BA dalam agama. namun keyakinannya berasas kuat pada fikirannya sahaja. imannya belum berada dalam hati, segala yang dia yakini itu hanya dalam bentuk pengetahuan dan belum dalam bentuk kejiwaan. Hatinya belum ada hubungan dengan Allah dan belum lagi terpaut dengan Allah, hatinya belum merasai kebesaran Allah. kerna itu ia tidak kasih dan rindu pada Allah, andai ingat pun di waktu paksa-paksa dan di waktu di timpa kesakitan. Iman ini masih berani darhaka pada Allah dengan buat segala larangannya. walapun ia tahu dan sedar dosa yang dilakukan namun, kekuatan iman ilmu yang dimiliki belum mampu melawan nafsu dan syaitan yang merajai hati dan jiwa mereka. Iman yang ada tidak sekuat nafsu yang menggila, kerna itu sering tewas dalam kelemahan dosa. Iman ini tidak sabar ketika berdepan dengan ujian, tidak reda dengan ketentuan ketika ujian yang Allah beri dengan kesusahan dan kerumitan hidup itu buat mereka resah,cemas, gelisah juga hilang pertimbangan dan bertindak di luar syariat. Sebaliknya bila Allah uji dengan kesenangan dan keseronokan hidup mereka akan lupa daratan juga hilang pertimbangan serta hilang pertimbangan serta mudah terjebak dalam tipuan nafsu dan syaitan.Sebab itu ramai orang boleh cerita dan syarah bab agama, tetapi masih lagi bergelumang dengan dosa ... sebab ... imannya pada ilmu ... bukannya pada amal .... lebih kepada teori, kurang di segi praktikal.



Ciri-ciri Orang yang beriman pada tahap ilmu ini, WALAU pada zahirnya nampak dia orang yang beragama, tapi jika ditimpa musibah dan masalah atau kesedihan, mereka akan lalai dan melakukan perkara-perkara yang negatif. Mereka tidak sabar dengan musibah yang melanda. Mereka lupa untuk sandarkan masalah mereka pada Allah dengan muhasabah diri dan munajat. Bila mereka menerima nikmat pula, mereka berasa sombong dan angkuh. Ini jelas kita boleh saksikan dalam hidup kita seharian. Baru Allah beri rupa paras lebih sikit dari orang lain, kita dah perasan kitalah yang terhensem atau tercantik, lalu kita mempamerkan aurat kita. Baru diberi gaji lebih sikit dari orang lain, kita dah berlagak sombong, tayangkan cek yang enam angka kat orang lain dengan rasa bangga. Orang yang beriman Ilmu ini, walaupun mereka berilmu, tetapi mereka masih tidak mampu berhadapan dengan godaan nafsu dan syaitan. Mereka masih BELUM SELAMAT dari neraka. Mereka masih belum benar2 rasa takut kepada Allah. Mereka masih buat dosa dan mereka masih belum rasa berdosa bila buat dosa. Mereka buat fitnah, mereka ubah istilah fitnah kepada "gossip" agar kurang sikit rasa berdosa. Padahal sama aje besar dosanya. Inilah sifat orang iman ilmu. Iman orang beriman ilmu sah di sisi Islam, tetapi masih belum dapat menyelamatkan dari api neraka.



3. Iman 'iyaan ... orang yang beriman ilmu, jika dia berusaha sungguh2 memperbaiki diri, banyak tafakur, banyak mujahadah melawan nafsu, banyak ibadah, banyak berdoa munajat pada Allah .... dia akan merasa kebesaran Allah dalam hatinya. Ilmu yang dipelajarinya bukan saja ada di akal, tetapi sudah meresap ke dalam hati dan jiwa. Mereka sentiasa merasai kebesaran Allah dan mereka sentiasa ingat kepada Allah. Waktu itu, mereka tak ada masa dah nak buat gossip, tak ada masa dah nak melaga2kan orang, tak ada masa dah nak perasan jadi orang besar, orang berkuasa, orang selebriti, orang hebat.... SEBAB .... mereka tahu yang selayaknya mempunyai kuasa, kehebatan dan keselebritian adalah Allah. Iman ini keyakinannya bertempat di hati, dengan selalu memikirkan kebesaran Allah iman mula meresap dalam hatinya, mula merasai akan kewujudan Allah dalam hatinya, punyai hubungan hati dengan Allah dan sentiasa mengingati Allah. Setiap kali iman ini merenung segala kejadian bumi juga ciptaan Allah hatinya kagum dan memuji-muji kebijaksanaan Allah lalu terasa lah gagah akan Allah dan menjadikan mereka sedar yang mereka itu hanya hamba yang lemah dan berbisiklah hati mereka dengan mengajak diri menyembah, menyerah dan mengabdikan diri pada Allah tanpa syak dan ragu lagi. Iman ini taat segala perintah Allah sama ada kecil atau besar semua larangan itu ditinggalkan dengan penuh rela. di iman ini terasa berbuat sedikit dosa itu terasa seperti gunung yang besar hendak menimpa mereka. Di iman ini ia mula rasa takut dengan Allah. Golongan ini golongan orang-orang soleh, abrar, muflihuun, al –faizuun, ashabul yamiin. Golongan ini sangat berhati-hati dalam buat dosa. walupun ada kala mereka terlalai dan terbuat dosa kecil tapi mereka segera menyesal dan bertaubah memohon ampun.Orang yang beriman 'iyaan ini, akan mujahadah menahan nafsu dan perasaan dalam meninggalkan dosa. Dia tau kalau dia dedah aurat, dia nampak cantik, TAPI ... disebabkan dia tahu dedah aurat tu berdosa, dia kawal nafsu dia untuk tidak mendedahkan aurat. Orang byang beriman 'iyaan ni, kalau dia buat dosa, dia rasakan bagai gunung hempap diri dia. Dia rasa resah dan gelisah bila wat dosa. TAK MACAM KITA ... kita buat macam2 dosa besar pun boleh perasan kita baik. Kita togok arak kat ZOUQ sambil joget tergedik-gedik dengan betina pun kita rasa kita orang baik.



Ciri-ciri orang beriman 'iyaan. Orang yang beriman dengan tingkatan 'iyaan, akan meletakkan dirinya sebagai seorang hamba walau di dunia dia memiliki pangkat dan jawatan yang tinggi pada kaca mata manusia. Hatinya sentiasa ingat pada Allah. Ketika bersendirian, dia mampu mengalirkan air mata kerana ingat kepada Allah. Ibadahnya khusyuk, tak leka dalam solat. Hati mereka sensitif dengan Allah. Mereka akan bersifat zuhud. Mereka mampu mendidik diri, ahli keluarga dan masyarakat untuk mengamalkan Islam. Mereka sentiasa dibantu oleh Allah jika berdepan dengan masalah. Jika berlaku musibah dia bersabar dan redha. Jika diberi nikmat, dia bersyukur dan tidak sombong. Mereka sentiasa merasakan diri mereka hina dan berdosa sambil terus memohon dan bermunajat pada Allah tanpa rasa putus asa. Jika berlaku masalah atau ditimpa musibah, dia akan muhasabah diri untuk menilai kejahatan diri sendiri. Jika dia melakukan dosa, dia akan segera bertaubat tanpa lengah. Mereka inilah yang DIPERMUDAHKAN hitungan amal mereka di akhirat dan dipermudahkan bagi mereka untuk memasuki syurga Allah.



4. Iman hak ialah ialah tingkatan iman yang dimiliki oleh wali-wali Allah. Orang yang berada pada tingkatan iman hak, setiap lontaran pandangannya akan melihat kebesaran dan keagungan Allah. Kerana setiap makhluk adalah ciptaan Allah. Maka penglihatannya hanya menampakkan kebesaran dan kekuasaan Allah. Hatinya tak lekang dari mengingati Allah. Tak macam kita, kita dalam solat yang sepatutnya wajib ingat kat Allah pun, kita boleh fikir nak makan apa malam ni. Kengkadang dalam solat, sambil baca fatihah, kita boleh plan lepas solat nak gi tengok wayang. Lagi malang ada di antara kita yang solat hanya untuk ditontonkan kat orang. Kat khalayak ramai, dia tunjuk kat orang ramai dia bersolat. TAPI ... Kat rumah tak solat langsung. Kalau solat subuh tu, rasanya gajah pun solat awal lagi dari dia. Ciri-ciri Orang yang berada pada tingkatan iman ini, sentiasa tenang, gembira dan bahagia di dunia. Sebab dia yakin setiap yang berlaku adalah percaturan dari Allah. Dia zuhud, warak, tawadduk, mampu melaksanakan APA YANG ALLAH SURUH dan mampu menghindarkan APA YANG ALLAH LARANG. Hati mereka tidak berbunga bila dipuji. Juga hati mereka tidak merasa hina bila dicaci. Bagi mereka kebahagiaan hati lebih diutamakan dari kemewahan duniawi. Hati mereka dihiasi oleh sifat2 terpuji seperti ikhlas, tawadduk.Malah hati mereka tidak terjejas oleh sebarang perubahan emosi dan suasana sekeliling. tetap tenang, aman, damai dan sejahtera. Mereka lebih mencintai akhirat berbanding mencintai dunia yang fana ini.



5. Iman hakikat ... ialah tingkatan iman milik para Nabi dan Rasul. Orang yang memiliki tingkatan iman ini akan mewarisi sifat Siddiq, Tabligh, Amanah dan Fatanah. Inilah iman kemuncak dalam kehidupan yang mungkin di capai oleh manusia ia iman yang teragung dan tertinggi. Iman yang paling sempurna ini milik rasul-rasul, nabi-nabi, khulafa-ur rashidin dan wali-wali besar. Iman yang akan Allah tempatkan mereka di syurga tertinggi tanpa melalui sebarang hisab atau perkiraan. Kehidupan seharian mereka iman ini mereka tenggelam dalam kerinduan, asyik dan mabuk dengan Allah. 24 jam mereka isi sepenuhnya dengan kerinduan dan kecintaan pada Allah. Hati mereka kekal dengan Allah dalam tidur atau jaga. Gerak geri mereka, tutur kata, makan minum, senyum tawa dan seluruh perbuatan mereka semuanya dalam ibadah dan bakti kepada Allah. Budi mereka dan akhlak mereka adalah terbaik dan termulia, budi bicara dan pergaulan mereka dengan orang ramai sangatlah menjadi contoh ikutan ramai bicara dan pergaulan mereka dengan orang ramai sangatlah menjadi contoh ikutan ramai. Kewaraqkan mereka juga ibadah mereka sehingga bengkak-bengkak kaki kerana lamanya berdiri, makannya sedikit, kehidupanya sederhana. Iman ini menjadikan mereka betul-betul mabuk dengan Allah. Hati yang penuh rindu dan cintakan Allah menjadikan mereka lupa diri, lupa makan minum dan tidak pedulikan orang lain selain Allah. Kadang-kadang mereka di lebel gila dan sebagainya dan kerna tidak tahan menanggung rindu itu sampai mereka mati, maka bertemulah dengan Allah kekasih yang dirinduinya. Di akhirat, Allah tempatkan orang ini di syurga tertinggi. Merekalah "super scale"akhirat. Hidup dalam syurga yang maha indah dan maha lazat. Allah kurniakan Sebagai membalas cinta dan pengorbanan mereka yang sungguh besar.



Cuba kita bermuhasabah diri masing-masing .... antara ciri-ciri yang disebutkan berdasarkan kitab Jauhar Al Mauhub ni ... apakah tingkatan iman kita?



Kalau iman Taqlid... cepat-cepatlah bertaubat dan berusaha mempelajari ilmu tentang iman agar aqidah dan iman kita sah disisi Allah dan kita tak mati sebagai kafir.



Kalau iman Ilmu .. banyak-banyaklah ibadah, muhasabah, mujahadah lawan kehendak nafsu dan berdoa kepada Allah agar ditingkatkan iman kita ke tingkatan yang lebih tinggi dan lebih kuat.



Kalau iman 'iyaan ... banyak-banyaklah bersyukur kepada Allah kerana mendamaikan kita didunia dengan kasih sayang-NYA sehingga kita merasakan kita ini HAMBA walau kita seorang yang merdeka dan berjawatan tinggi.



Nanti orang tanya lak .... BAGAIMANA NAK TINGKATKAN IMAN ? Kalau nak upgred iman bagaimana ? Nak naikkan darjat dari iman taqlid ke iman ilmu. Dari iman ilmu ke iman 'iyaan. Darti iman 'iyaan ke iman hak. Dari iman hak ke iman hakikat ....



Bagaimana nak dapatkan iman ... atau bagimana nak kuatkan iman .... atau bagaimana nak tingkatkan iman ?



Untuk meningkatkan iman .... ialah dengan melaksanakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang. Allah suruh kita solat, kita tunaikan solat walau pun kengkadang waktu solat tu laa kita nak ke pasar malam, kita nak gi tengok wayang, kita nak gi sukan etc. Allah suruh kita bayar zakat, kita bayar zakat. Allah larang kita dedah aurat, kita tak dedah aurat. Allah larang kita berzina, kita tak zina. Dan lain-lain lagi.



Dan kena ingat ... iman ni boleh meningkat dan menurun. Adalah penting kita kita mempastikan iman kita tidak menurun sebab andainya iman kita menurun, bila-bila masa aje amal kebajikan yang kita lakukan boleh musnah dan rosak. Dan kita terpaksa memulakan semula amal ibadah kita bagi meraih kasih sayang Allah. Iman yang dibina masih boleh diruntuhkan. Musuh-musuh Islam khasnya syaitan dan nafsu akan berusaha agar iman yang dibina roboh dan musnah. Oleh itu amatlah perlu iman yang dibaja, dipupuk dan dibina dilindungi, dibenteng dan dan diperisai dari segala ancaman yang boleh memusnahkannya. Cara untuk melindungi iman dari musnah ialah :



1. Beramal dengan ilmu Fardhu Ain yang dimiliki. Setiap muslim wajib mempelajari ilmu fardhu ain iaitu ilmu Tauhid, ilmu Feqah dan ilmu Tasauf. Ilmu yang diplejari hendaklah diamalkan.

2. Banyakkan ibadah sunat

3. Banyakkan zikir dan doa munajat kepada Allah

4. Banyakkan bertafakur tentang kebesaran Allah melalui makhluk ciptaan Allah

5. Bermujahadah melawan nafsu. Nafsu ajak buat maksiat, kita lawan perasaan untuk tidak membuat maksiat. Dan sebagainya.



Setelah kekuatan iman dimiliki dan terbina, maka Allah akan permudahkan segala urusan kita dunia dan akhirat. Allah akan hilangkan rasa sedih dan gantikan dengan ketenangan. Dan di akhirat Allah akan menilai segala usaha dilakukan untuk membina iman dengan pandangan-NYA yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Akhirnya, Allah menjadikan syurga sebagai tempat rehat kita.



Waktu itulah barulah kita akan temui cinta sejati kita iaitu Allah SWT.



Sepi benar senja ini
Bayunya semilir, menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar
Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik, pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan


Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan
Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan

Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar
Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi

PadaMu Tuhan
Kan kuserahkan cinta kepadaMu
Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan

Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan
Harapanku moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora



Madrasah Darus Syifa
Tampin
4.52am
12 Ogos 2010