Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Friday, November 5, 2010

Bicara Cinta 4


CINTA RASULULLAH SAW


Rasulullah SAW bersabda : Barangsiapa membenci sunnah ku, bukan dia dari kalangan umat ku. ( Muslim )

Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa menghidupkan sunnah ku, sama ertinya mencintai ku. Barangsiapa mencintai ku, di hari kiamat kelak akan bersamaku dalam syurga.




Orang yang mencintai Rasulullah SAW adalah orang yang beramal dan berpegang kepada sunnah Rasulullah SAW. Orang yang beramal dan berpegang dengan sunnah Rasulullah SAW tatkala umat sedang rosak, mereka memilih jalan yang berbeza. Di kala orang membenci dan memomok-momokkkan amalan sunnah, mereka menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai pakaian diri dan hati. Mereka memilih jalan yang berbeza. Mereka sanggup dihina dan sanggup di tertawa semata-mata mempertahankan sunnah Rasulullah SAW. Maka kepada mereka Rasulullah SAW menjanjikan 100 pahala mati syahid bagi setiap sunnah yang dihidupkan.

Tegas Rasulullah SAW : Setiap umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang tidak mahu masuk syurga.

Para sahabat bertanya : Siapakah yang tidak mahu masuk syurga wahai Rasulullah SAW ?

Rasulullah SAW menjawab : Barangsiapa mentaati ku, mereka akan masuk syurga. Barangsiapa menentang ku, bererti mereka tidakmahu masuk syurga. Setiap amalan yang dilakukan tanpa mengikut sunnah ku, itu termasuk kemaksiatan.

Junaid Al Baghdadi berkata : Tidak seorang pun dapat membawa dirinya sampai kepada ALLAH kecuali dengan mengikut ajaran ALLAH serta mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda : Bahawasangya yang terlebih aula manusia dengan diri ku (iaitu yang terlebih hampir mereka itu dengan aku dan terlebih sebenar dengan syafaat ku pada hari kiamat itu) orang yang terlebih banyak mereka itu selawat atas ku di dunia kerana membayakkan selawat.

Tanda kecintaan terhadap Rasulullah SAW yang paling kecil ialah berselawat ke atas baginda SAW.

Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa selawat atas ku sekali, maka berselawat ALLAH atasnya 10 kali.

Sahabat bertanya : Adakah dengan demikian itu hati perlu hadir (di kala berselawat) ?

Rasulullah SAW menjawab : Tiada, tetapi iaitu bagi tiap-tiap orang yang selawat atas lalai hati dan lagi diberi akan dia oleh ALLAH Ta'ala akan seumpama bukit dan malaikat meminta doa dan meminta ampun baginya.

Dan ketahuilah oleh mu, bahawasanya sekelian bagi zikir tiada diberi pahala dan tiada diterima akan dia melainkan serta hadir hati melainkan bacaan Al Quran dan selawat ke atas Rasulullah SAW, maka diterima akan keduanya dan dapat pahalanya walau tiada hadir hatinya tatkala melafazkannya.

Dalam satu riwayat dikisahkan bahwa ketika Rasulullah SAW mengimami solat berjemaah, para sahabat mendapati seolah-olah baginda SAW terasa susah sekali setiap kali berpindah rukun dan terdengar bunyi yang aneh. Seusai solat, Saidina Omar Al Khatthab bertanya, “Ya Rasulullah SAW, kami melihat seolah-olah engkau menanggung penderitaan yang amat berat. Sedang sakitkah engkau ya Rasulullah SAW?.” Rasulullah SAW terdiam sebentar. Satu persatu wajah sahabat banginda ditatap bersama pandangan kasih saying baginda yang menjanjikan rahmat dan syafaat. Sambil melontar senyumannya manis, Rasulullah SAW menjawab “Tidak wahai Omar. Alhamdulillah aku sihat dan segar.” Jawapan Rasulullah SAW tidak memuaskan hati Saidina Omar ra. “Ya Rasulullah, mengapa setiap kali engkau menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi-sendi tubuh mu saling bergeselan? Kami yakin engkau sedang sakit”. Desak Omar penuh cemas.


Akhirnya, Rasulullah SAW pun mengangkat jubahnya. Para sahabat terkejut kerana mendapati perut Rasulullah SAW yang kempis di lilit oleh sehelai kain yang berisi batu kerikil sebagai penahan rasa lapar. Ternyata, batu-batu kerikil itulah yang menimbulkan bunyi aneh setiap kali tubuh Rasulullah SAW bergerak. Para sahabat pun berkata bersama linangan air mata, “Ya Rasulullah, adakah bila engkau menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya untuk mu?.” Baginda Rasulullah SAW pun menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apapun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi, apa jawapanku nanti dihadapan ALLAH, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban bagi umatnya? Biarlah rasa lapar ini sebagai hadiah dari ALLAH buatku, agar kelak umat ku tak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih di akhirat nanti.”


Tidak cintakah engkau kepada junjungan mulia Saidina Muhammad Bin Abdullah SAW ?


Madrasah Darus Syifa
2 Oktober 2010
3.00pm

Friday, October 29, 2010

Bicara Cinta 3


MENCINTAI ALLAH YANG MAHA PENGASIH

قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬


Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Al Imran :31)



Sabda Rasulullah SAW : Di antara doa Nabi Daud AS ialah: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menghantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” Dan bila Rasulullah SAW mengingat Nabi Daud AS beliau menggelarinya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” (HR Tirmidzi 3412

Sabda Rasulullah SAW : Bila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah berseru kepada Jibril: “Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia.” Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril berseru kepada penghuni langit: ”Sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka kalian cintailah dia.” Penghuni langitpun mencintainya. Kemudian ditanamkanlah cinta penghuni bumi kepadanya.” (HR Bukhari 5580)

Cinta kepada ALLAH tidak menjanjikan kekecewaan dan kesengsaraan. Sebaliknya cinta kepada ALLAH membawa kepada ketenangan dan kedamaian, kerana cinta mu pastikan berbalas. Di balas oleh Sang Pencipta Cinta iaitu ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG. Dengan cinta-NYA kepada diri mu, maka cinta mu berbalas dengan nikmat dan pengampunan oleh NYA.

Dan ingatlah, bahawa cinta hakiki hanya tercapai setelah cinta ALLAH bertakhta di hati. Tatkala, cinta ALLAH bertakhta di hati, hilanglah kecintaan kepada dunia dan nafsu. Maka tidak hairanlah Zulaikha mengabaikan Yusof yang segak dan tampan kerana hatinya telah meraih cinta ILAHI. Tidak hairan juga mengapa Handzalah bin Abu Umair meninggalkan Jamilah binti Abdullah bin Ubai di ranjang kamar semata-mata memburu syahid agar tertunai cintanya kepada ALLAH Yang Maha Indah. Tidak hairan juga mengapa Saidina Abu Bakar As Siddiq ra mengorbankan seluruh hartanya demi perjuangan Islam sebagai mahar cintanya kepada ALLAH Yang Maha Kaya.

Demi cinta, segala-galanya dikorbankan agar apa yang dingini dan disenangi Yang Di Cinta terlaksana oleh yang mencintai.

Cinta seorang hamba kepada Raja adalah berbentuk kesetiaan dan ketaatan. Sejauh mana cinta dan kasih seorang hamba kepada Rajanya, maka di situ juga imbuhan yang bakal di terima seorang hamba daripada Raja sebagai membalas jasa-jasanya

Maka kecintaan seorang makhluk kepada Al Khaliq, lebih tulus dan mulus kerana kecintaan seorang hamba ALLAH kepada ALLAH menuntut, ketaatan dan kesetiaannya dibenarkan oleh hati, dilafazkan dengan lisan dan dizahirkan dengan amal perbuatan. Hati membenarkan dengan iman. Lisan melafazkan kata-kata yang mendapat keredhaan ALLAH dan amal peruatan dizahirkan dengan melaksanakan segala titah perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan ALLAH. Inilah bukti kecintaan seorang hamba kepada ALLAH. Itulah penjabaran cinta, di dasarkan kepada ketaatan dan kepatuhan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW

Buktikanlah kecintaan mu kepada ALLAH Yang Maha Pencinta dengan melaksanakan segala suruhan-NYA sama ada yang wajib dan sunat. Perkara yang sunat walau pun tampak remeh, tetapi di situ letaknya perhatian dan kasih sayang ALLAH Yang Maha Agung. Buktikanlah kecintaan mu kepada ALLAH Yang Maha Kuasa dengan meninggalkan segala larangan-NYA sama ada yang haram mahu pun yang makruh. Perkara makruh walau tidak mengundang dosa, tetapi di situ titik tolak lahirnya kebencian ALLAH Yang Maha Suci. Lantas berkorbanlah segala jiwa dan raga mu demi mencintai ALLAH. Tunaikanlah haq-haq beragama dalam menegakkan hablumminallah dan hablumminannas sebagai tanda engkau mencintai-NYA.

Sahl Ibnu Abdullah, seorang sufi besar berkata : Di antara tanda-tanda cinta kepada ALLAH ialah cinta kepada Al Quran. Tanda cinta kepada ALLAH dan cinta kepada Al Quran ialah cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Tanda cinta keapda Nabi Muhammad SAW ialah mencintai sunnah baginda. Tanda cinta kepada sunnah ialah mencintai akhirat. Tanda mencintai akhirat ialah membenci dunia. Tanda membenci dunia ialah tidak mengambil bahagian dunia sedikit pun kecuali untuk keperluan hidup dan saraan untuk mencapai akhirat.

Al Quran adalah warkah cinta dari KEKASIH buat kekasih. Melihatnya adalah sumber hidayah. Membacanya mendamaikan jiwa. Menghayatinya mengobarkan semarak cinta. Mengamalkan isi kandungannya adalah keselamatan dunia dan akhirat. Justeru itu perbanyakkanlah membaca, menghayati maknanya serta mengamalkan kandungan Al Quran agar usaha mu meraih cinta ALLAH di permudahkan. Dan kemuncak dalam mencintai ALLAH ialah memperjuangkan isi kandungan AL Quran ke tengah masyarakat agar masyarakat terdidik dan beroleh cinta ALLAH. Kerana cinta ALLAh tak mungkin habis dan cinta ALLAH bukan milik kita seorang. Sejauh mananya cinta ALLAh di hati, segigih itulah kita memperjuangkan warkah cinta ALLAH ke tengah masyarakat, agar masyarakat terdidik dengan titah perintah ALLAH. Tatkala cinta ALLAH bertakhta di hati masyarakat, di situlah nikmat dan pengampunan ALLAH datang bertamu. Maka wujudlah negeri yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.

Wahai diri,

Ingatlah ......

Dalam mencari cinta ... perlu berjuang ..... dan perjuangan menagih pengorbanan .... pastinya akan ada yang terkorban.

Wahai diri,

Sudahkah engkau bersedia mengorbankan nafsu dan dunia mu demi meraih cinta ALLAH ?

Pastinya hati dan nafsu mu tersiksa kerana kelazatan nafsu akan terhapus .... walau tampak perit dan menderita .... kerana nafsu dan dunia itu hanya nikmat fatamorgana yang sementara kerana disebaliknya hanya menjanjikan kekecewaan yang menyiksa ... sedangkan andainya nafsu dan dunia dikorbankan .... deritanya di dunia hanya sementara tetapi nikmat kemanisan berkekalan di syurga .....

Ayuh kita tanya diri kita, apakah aku mencintai ALLAH ? Andainya jawapan mu YA, mengapa engkau masih bermaksiat kepada ALLAH ? ...



Wahai para mujahid maralah ke hadapan
Kerahkanlah tenagamu dan jua fikiran
Korbankanlah harta mu sekalipun jiwa raga
Teguhkan keyakinan teruskanlah perjuangan

Wahai para mujahid janganlah terpengaruh
Ujian nikmat hidup duniawi
Biarpun ianya begitu indah
Namun hanya sementara

Memang berjuang itu terkorban
Kerana kita berjuang untuk berkorban

Itulah asam garam perjuangan
Syarat mendapat cinta ALLAH

Wahai para pejuang kebenaran
Suburkanlah semangat juangmu

Setiap masa sepanjang hayatmu
Dengan irama hiburan ini

Tempuhilah penderitaan
Di dalam perjuangan
Kerana itu adalah penghapus dosamu
Berjuang kerana ILAHI
Walaupun sedikit tetap kan dinilai
Sebagai amalanmu yang soleh



Madrasah Darus Syifa
30 Oktober 2010
4.45am


Bicara Cinta 2


CINTA DUNIA
Rasulullah SAW bersama para sahabat pernah melewati bangkai seekor kambing lalu berkata ;

Rasulullah SAW : Kamu lihat bangkai kambing ini tidak berharga pada pemiliknya.

Para Sahabat : Orang yang melihatnya tidak berharga pasti akan membuangnya.

Rasulullah SAW : Demi zat yang diri ku berada di dalam kekuasaan-NYA, bagi ALLAH dunia ini jauh lebih hina dari bangkai kambing di mata pemiliknya. Seandainya nilai dunia ini sama dengan sebelah sayap nyamuk bagi ALLAH, nescaya orang-orang kafir tidak beroleh kesempatan untuk meminum seteguk air pun.



Hati ku berbisik .... malangnya walau dunia ini lebih hina dari bangkai, tapi terlalu ramai yang memburunya dan mencintainya. Cinta dunia bagaikan mencintai bangkai yang busuk dan hina ......

Tegas Rasulullah SAW : Cinta dunia menjadi muqaddimah kepada segala kejahatan.

Rasulullah SAW juga pernah berpesan : Akan datang kelak selepas kewafatan ku, dunia akan memusnahkan keimanan kamu seperti api membakar kayu.

Menurut Rasulullah SAW, dunia ini adalah penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir. Dunia adalah tempat yang sementara bagi orang mukmin. Akhirat tempat yang kekal abadi. Dunia tempat melabur dan bercucuk tanam, hasilnya akan dituai di akhirat. Alangkah hairan sekali, meeka yang meyakini adanya tempat tinggal yang kekal abadi bersama lilitan nikmat yang hakiki, masih tertarik mencari tempat tingal yang sering menipu manusia iaitu dunia.

Nabi Isa AS berkata : Janganlah kamu menjadikan dunia sebagai tuhan, Akibatnya kamu akan diperhambakan. Simpanlah harta simpanan mu di sisi Zat yang tidak mensia-siakan. Kerana pemilik simpanan harta dunia diliputi ketakutan akan kebinasaannya. Orang-orang yang memiliki simpanan kekayaan di sisi ALLAH tidak diliputi ketakutan oleh datangnya bencana.

Nabi Sulaiman bin Daud AS adalah seorang nabi yang ALLAH berikan kekuasaan dan kekayaan dunia. Kerajaannya meliputi langit dan bumi, lautan dan daratan, manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan jin. Namun Nabi Sulaiman AS berkata dengan rasa tawadduk dan bersama linangan air mata kepada perhimpunan rakyat-rakyatnya : Membaca tasbih sekali di dalam catatan orang yang beriman adalah jauh lebih baik berbanding kekuasaan yang diberikan kepada putera Daud AS. Sebab kekuasaan yang diberikan kepada putera Daud AS akan mengalami masa akhir, tetapi tasbih akan tetap kekal abadi.

Suatu hari Nabi Musa AS terlihat seorang lelaki yang menagis tanpa henti-henti Lantas Nabi Musa As bertanya kepada ALLAH : Tuhan ku, apakah lelaki itu menangis tanpa henti-henti kerana takut kepad MU ? ALLAH menjawab : Hai putera Imran, seandainya otak lelaki tersebut cair dan meleleh keluar melalui matanya dan ia mengangkat tinggi kedua-dua belah tangannya sehingga jatuh kembali, nescaya AKU tidak akan mengampuninya. Orang itu terlalu mencintai dunia.

Saidina Ali karamallahu wajhah berkata : Barangsiapa memiliki enam perkara yang mengisi jiwanya, maka tidak akan dijauhkan syurga darinya dan tidak akan didekatkan neraka dengannya. Enam perkara itu adalah :

1. Barangsiapa mengenal ALLAH lalu mentaati NYA.

2. Barangsiapa mengenal syaitan lalu menentangnya.

3. Barangsiapa mengetahui kebenaran lalu mengikutinya.

4. Barangsiapa mengerti kebathilan lalu menghindarinya.

5. Barangsiapa mengenal dunia lalu meninggalkannya.

6. Barangsiapa mengenal akhirat lalu bersiap untuk kembali kepadanya.


Sewaktu Saidina Ali karamallahu wajhah menjadi khalifah, beliau pernah di tanya " Wahai amirul mukminin. Terangkan kami mengenai dunia ? Saidina Ali karamalllahu wajhah menjawab : Apa lagi ang dapat aku jelaskan kepada mu tentang dunia ? Orang yang sihat di dunia akan sakit. Orang yang selamat di dunia akan menyesal. Orang yang hidup miskin di dunia akan bersedih. Orang yang hidup senang di dunia akan dirundung fitnah. Halalnya di hisab dan haramnya di seksa. Bahagian yang meragukan akan di cela.

Inilah DUNA !!!

Cucu Rasulullah SAW, Saidina Hassan Bin Ali ra, mengatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda : Ingatlah barangsiapa yang mencintai dunia dan panjang angan-angan, maka ALLAH jadikan hatinya buta sebuta kecintaannya kepada dunia. Barangsiapa berzuhud di dunia dan memendekkan angan-angan, maka ALLAH berikannya ilmu tanpa perlu belajar (ilham) dan diberi petunjuk tanpa perlukan bimbingan (hidayah & taufik). Ingatlah kelak akan lahir satu umat sesudah kamu di mana kekuasaan tidak mampu berdiri kecuali dengan jalan peperangan dan paksaan. Tidak ada orang kaya kecuali disertai dengan kesombongan dan kebakhilan. Tidak ada kecintaan kecuali diiringi dengan hawa nafsu. Ingatlah barangsiapa yang menjumpai zaman itu lalu bersabar menerima kefakiran (kemiskinan), sedangkan dia mempunyai kesempatan untuk menjadi kaya dan sikapnya itu adalah atas dasar untuk memperoleh redha ALLAH, maka ALLAH memberinya pahala seperti pahala 50 orang sadiq.

Luqman Al Hakim berpesan kepada anaknya : Anakku, dunia ini bagaikan sebuah lautan yang luas lagi dalam. Sudah ramai orang yang tewas dan tenggelam ke dasarnya. Maka jadikanlah ketaqwaan kepada ALLAH sebagai bahtera mu dan isikanlah bahtera mu itu dengan keimanan kepada ALLAH, dan jalannya bertawakal kepada ALLAH supaya kamu selamat. Ingatlah, engkau jangan sesekali menyangka engkau boleh selamat dari godaan dunia.

Wahai diri ku.

Cinta dunia hanya menjanjikan kesengsaraan di dunia yang berpanjangan. Lahir sifat tamak, sombong, rakus dan takbur. Zuhud lah diri mu dengan dunia atau kelak diri mu akan binasa di akhirat sana ............

Madrasah Darus Syifa
28 Oktober 2010
4.22am


Tuesday, October 26, 2010

Bicara Cinta




At Taharum ( Kasih Sayang )


Rasulullah SAW bersabda : Tidak akan masuk syurga kecuali rahim (orang yang memiliki sifat kasih sayang). Para sahabat berkata, Kami semua orang yang memiliki sifat kasih sayang. Baginda SAW menerangkan : Yang disebut Al Rahim (orang yang memiliki sifat kasih sayang)itu bukan rahmatuhu linafsihi (orang yang menyayangi diri sendiri) semata-mata, tetapi yang rahmatuhu linafsihi (menyayangi diri sendiri) dan juga rahmatuhu lighainihi (menyayangi orang lain).




Makna rahmatuhu linafsihi (menyayangi diri sendiri) adalah menyayangi diri dari seksaan ALLAH. Caranya ialah dengan meninggalkan kemaksiatan dan bertaubat. Selari dengan itu, dia melakukan dan melakukan amal-amal ketaatan dengan ikhlas. Makna rahmatuhu lighainihi (menyayangi orang lain) adalah tidak melakukan sesuatu tindakan yang dapat menyakiti Muslim yang lain serta mengajak mereka meninggalkan maksiat dan mungkar serta membimbing mereka untuk berlaku taat kepada perintah ALLAH.



Rasulullah SAW bersabda : Orang-orang yang sayang-menyayangi, mereka akan dikasihi oleh ALLAH. Berkasih sayanglah kamu dengan orang-orang yang ada di bumi, nescaya kamu akan di kasih sayangi oleh para malaikat.



Malik Bin Anas berkata , Rasulullah SAW bersabda : Empat perkara yang wajib kamu laksanakan sebagai hak seroang muslim ialah : membantu mereka menjadi baik, memohonkan keampunan atas kesalahan dan dosa mereka, menziarahi orang yang sakit di kalangan mereka dan mencintai orang yang bertaubat di antara mereka.



Tatkala Nabi Musa AS berkata-kata kepada ALLAH, Musa AS bertanya : Wahai Tuhan, dengan alasan apa ENGKAU mengambil aku menjadi orang yang terpilih ? Lalu ALLAH menjawab : Kerana engkau berkasih sayang sesama makhluk.



Rasulullah SAW pernah menegaskan : Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, saling mengasihani dan saling menjalin hubungan, tiada bezanya seperti satu jasad. Apabila salah satu bahagian anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh anggota bahagian tubuh yang lain turut merasa sakit dan sukar untuk tidur.



###########################


Al Mahabbah ( Cinta )


Rasulullah SAW bersabda : Membaca selawat kepada ku menjadi asbab terbinanya cahaya di atas titian sirat. Barangsiapa membaca selawat kepada ku sebanyak 80 kali, maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya selama 80 tahun.



Ketika Rasulullah SAW berdakwah kepada Ka'ab Al Asyraf dan para pengkutnya untuk memeluk Islam, Ka'ab dan pengikutnya menjawab : Kami ini sudah mempunyai kedudukan bagaikan anak-anak ALLAH. Sudah pasti kami mencintai ALLAH"



Atas kata-kata sindiran Ka'ab dan pengikutnya, maka ALLAH mengutuskan firman-NYA kepada Rasulullah SAW :



Katakanlah (wahai Muhammmad ) ; Kalau kamu benar-benar mencintai ALLAH, maka ikutlah aku. Nescaya ALLAH akan mencintai mu dan mengampuni dosa-dosa mu. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran : 31)



Bukti kecintaan seorang mukmin kepada ALLAH ialah dengan mentaati perintah-perintah NYA, mendahulukan ketaatan dan mencari keredhaan-NYA.



Imam Ghazali pernah berkata : Barangsiapa mengaku berada dalam empat perkara, tetapi tidak berada padanya, jelas ia telah berdusta.



1. Orang yang mengaku mencintai syurga, tetapi nyata dia tidak menjalani ketaatan kepada ALLAH.



2. Orang yang mengaku cintakan Rasulullah SAW tetapi nyata tidak mencintai ulamak dan orang-orang miskin.



3. Orang yang mengaku takut kepada neraka ALLAH tetapi masih suka melakukan kemaksiatan.



Antara tanda-tanda orang yang mencintai adalah mengikuti apa yang menjadi kecintaannya dan menjauhi apa yang tidak berkenan di hatinya. Lantas mampukah engkau meninggalkan kehendak nafsu dan bujukan syaitan kerana menuruti rasa cinta kepada ALLAH & Rasulullah SAW ?



Saidina Ali karamallahuwajhah berkata : Barangsiapa merindui syurga maka ia mencurahkan perbuatannya kepada kebajikan. Barangsiapa takut akan neraka, maka nafsunya di kekang. Barangsiapa meyakini datangnya kematian, maka tidak keberatan ia meninggalkan segala jenis kelazatan dunia.



#################################


Al Asyq ( Asyik Masyuk )


Lantaran kecintaan Zulaikha yang amat mendalam terhadap Yusuf AS, Zulaikha sanggup menghabiskan segala kekayaan dan harta benda serta kecantikan miliknya. Andainya ada orang yang berkata kepada Zulaikha "Hari ini aku melihat Yusof." .. pasti orang tersebut menerima hadiah yang mahal dari Zulaikha. Setiap barang milik Zulaikha, akan diukir nama Yusof di atasnya. Kesemua barang yang berharga tersebut dilupakan oleh Zulaikha kerana ingatan dan asyik masyuknya hanya dengan Yusof. Cinta Zulaikha terhadap Yusof begitu mendalam hinggakan setiap kali ia mengangkat kepala ke langit, seolah-olah bintang-bintang nan indah mengukir nama Yusof dai langit malam. Namun akibat tidak dididik dengan iman, Zulaikha menurut nafsu ammarah. Maruah diri dan nama baiknya tercemar. Sesalan tak sudah.



Sebaliknya, setelah Zulaikha menjadi isteri kepada Yusof. Ia sering menyendiri dan menyepi keseorangan untuk beribadah kepada ALLAH. Apabila Yusof mengajak untuk bersama di waktu siang, Zulaikha minta agar mereka menunda ke waktu malam. Tatkala malam menjelma, Zulaikha meminta untuk masa mereka bersama ditunda ke waktu siang. Begitulah kisah cinta Zulaikha dan Yusof AS yang dinukilkan dalam Al Quran.



Suatu ketika Zulaikha berbicara kepada Yusof : Wahai suami ku Yusof. Kecintaan ku kepada mu suatu ketika dulu telah meragut maruah dan kehormatan ku sendiri kerana ketika itu aku belum mengenal ALLAH. Tetapi setelah aku mengenal ALLAH, tidak ada kecintaan lain yang tersisa melainkan untuk mencintai-NYA. Aku tidak ingin menggantikan cinta ku pada yang lain. Maafkan aku kerana ALLAH lebih ku cinta berbanding diri mu."



Kebenaran dan kemuliaan cinta (mahabbah) terletak dala tiga keadaan.



1. Pertama, memilih bicara dengan kekasihnya daripada berbicara dengan yang lain.

2. Kedua memilih bermesra dengan kekasihnya daripada duduk dengan yang lain.

3. Ketiga memilih redha terhadap kekasihnya daripaada meredhai yang lain.



Al Asyq (cinta yang amat mendalam) ialah terkoyaknya penutup dan tersingkapnya rahsia. Al Wajdu pula ialah lemahnya roh menanggung kerinduan yang begitu mendalam, tatkala terbentuk kemanisan berzikir. Hingga sekiranya ada sebahagian anggota tubuh dipotong, ianya tidak terasa.



Barangsiapa mengakui terhadap tiga perkara tetapi tidak suci dari tiga perkara, jelas dirinya telah terpedaya.



1. Orang yang mengaku kemanisan zikrullah sedangkan dirinya mencintai dunia.



2. Orang yang mengaku ikhlas beramal, tetapi sebenarnya suka disanjung oleh manusia.



3. Orang yang mengaku cinta kepada Pencipta-nya, tetapi tidak disertai dengan tawaddhuk.



Rasulullah SAW bersabda : Akan datang suatu masa kepada umat ku, meeka mencintai lima perkara dan melupakan lima perkara yang lain.



1. Mereka mencintai dunia dan melupakan akhirat.



2. Mereka mencintai harta dan melupakan zakat.



3. Mereka mencintai makhluk dan melupakan Al Khaliq.



4. Mereka mencintai dosa dan melupakan taubat.



5. Mereka mencintai bangunan-bangunan dan melupakan kubur.



Oleh itu dalam mencintai ALLAH dan Asyq dengan kecintaan-NYA hendaklah dilazimkan bertaubat kerana firman ALLAH :



Pada hari ini tidak ada kemanfaatan bagi harta, anak-anak, kecuali mereka yang datang kepada ALLAH dengan membawa hati yang tunduk. ( Asy Syuaraa : 88 - 89 )



Madrasah Darus Syifa

26 Oktober 2010

1.45 pm


Monday, October 25, 2010

Kemiskinan Itu Hiburan Ku


December 2004 …. Aku membawa keluarga ku berpindah dari Kota Tinggi ke suatu daerah asing buat kami. Bersempadan dengan Melaka dan Negeri Sembilan. Tiada sanak saudara. Tiada handai taulan.



Dua bulan sebelum kami berpindah, aku sudah mula merisik-risik kawasan di daerah tersebut. Pada 9 November 2004, aku bertolak dari Nilai jam 6.00 pm menuju ke Kota Tinggi. Dalam perjalanan aku singgah ke daerah tersebut untuk mendapatkan alamat rumah yang bakal aku dan keluarga ku duduki.



Kehidupan di sebuah daerah yang lengang … terpencil …. sunyi …. Tak ramai golongan remaja dan belia. Malah di kawasan rumah yang kami beli, keluarga ku dikelilingi oleh cikgu pencen, DO pencen, doctor pencen, magistrate pencen, Ketua Polis pencen, Pegawai Kerajaan pencen, pegawai tentera pencen dan segala-galanya adalah orang yang sudah pencen.



Kehadiran ku di daerah ini perlu dimaklumkan masyarakat setempat. Kena ada ada lokasi yang sesuai. Tempat sasaran ku …. Masjid … tapi amat kurang orang ke masjid. Yang ada cuma … orang-orang yang pencen yang sudah uzur. Itu pun boleh dikira dengan jari. Hari pertama kami mendiami kawasan itu, aku bersama dua orang anak lelaki yang berumur 5 dan 7 tahun ke masjid untuk bersolat Maghrib. Seusai solat maghrib, para jemaah yang boleh di kira dengan jari bertebaran pulang. Mungkin mereka mengejar Berita Jam 8 … itulah bisik hati ku. Yang tinggal dua atau tiga orang warga emas yang sibuk bersolat sunat dan membaca Al Quran. Tidak sempat aku hendak berkenalan dan bermesra dengan mereka. Lalu aku duduk sendirian di ruang solat membaca wirid aurad sambil ditemani dua anak-anak di kiri dan kanan ku, menanti solat Isya menjelang.



Hari kedua …. Rutin yang sama aku ke masjid. Dan juga rutin yang sama oleh ahli jemaah masjid. Dan rutin yang sama juga aku membaca wirid aurad sambil ditemani anak-anak ku. Hari ketiga rutin yang sama. Begitulah di hari-hari seterusnya.



Hari keenam … sedang aku membaca wirid aurad, tiba-tiba aku di sapa seorang tua berjanggut putih yang kemas di trim. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Cikgu Ahmad. Dia duduk hampir dengan ku. Lantas di peluk dan dicium anak-anak ku sambil memuji ketampanan dan kekemasan anak-anak ku berserban.Hati nakal ku berkata "Mengapa situa ini hanya memuji anak2 ku tampan berserban dan tidak memuji si ayah yng juga tampan berserban ? hehehehe" ..... Dia bertanya aku, wirid apa yang aku baca ? Aku menjawab Aurad Muhammadiah. Dia tersenyum. “Saya amal tareqat Ahmadiah, ijazah dari Sheikh Mustaza” ujarnya. Dari situ kami mula berkenalan dan bermesra. Saling bertukar-tukar pandangan. Malah terlalu banyak persoalan yang ditimbulkan berkenaan Aurad Muhammadiah, yaqazah, Imam Mahdi, Arqam dan aku bersyukur jawapan yang aku berikan boleh di terimanya.




Biodata Cikgu Ahmad adalah bekas pengetua sebuah sekolah berasrama penuh. Sudah pencen sejak 8 tahun yang lalu. Anak-anaknya semua sudah berjaya dan menjawat jawatan tingi kerajaan. Sejak perkenalan dengan Cikgu Ahmad, rutin hidup ku berubah. Andainya dulu seusai solat Isya, aku akan menghabiskan wirid di atas sejadah. Kini aku terpaksa melayan sahabat-sahabat baru dari kelompok warga emas. Restoran mamak berhampiran masjid itulah menjadi port kami berkumpul dan melepak selepas solat Isya. Secara tak langsung, tertubuh kelab warga emas di kawasan kediaman ku yang di taiko-kan oleh diri ku hehehe. Yang paling aku kagum, ahli-ahli kelab itu semua "berisi". Ada yang berisi Naqsyabandiah, Samaniah, Rifai'ah, Ahmadiah Idrisiah dan lain-lain. Dan kami sering berbual dan berbincang akan peranan ahli-ahli zikir dalam mendidik masyarakat dan memperbaiki mutu keimanan sambil membendung gejala sosial.







Sehingga suatu masa Cikgu Ahmad bersuara. Dia mempunyai sebidang tanah dan ingin di waqafkan untuk buat projek amal jariah, buat tanah kubur atau pusat jagaan warga tua. Secara spontan aku menjawab sambil membuat usul, “BOLEH ! Dan kalau hendak lebih berbaloi pahala, kita buat sekolah tahfiz untuk anak yatim piatu dan fakir miskin. ” Ujar ku.Terkebil-kebil mata ahli kelab warga emas mendengar saranan ku ....






Pak Bad bertanya : Apasal nak buat untuk anak yatim piatu ? Susah nak cari anak yatim piatu.









Aku menjawab : Kita buka sekolah untuk anak yatim piatu, nanti kalau kita dera mereka sampai ada yang patah tangan dan kaki, mak bapak dia orang tak leh nak marah sebab dah mati. (Jawab ku dalam mode merapu)




HAHAHAHAHAHAHA …. Suara ahli kelab warga emas tergelak dengan jawapan merapu ku.



Kemudian aku bilas jawapan merapu ku dengan jawapan yang lebih serius.



Aku : Anak yatim ini, mereka sudah tak ada ibu dan ayah. Mereka sudah tidak ada tempat hendak bergantung dan berkasih sayang. Mereka dah tak ada siapa untuk mereka mengadu. Maka tempat mereka bergantung dan berkasih sayang hanyalah pada ALLAH. Mereka mengadu juga kepada ALLAH. Jadi bila kita buka sekolah tahfiz anak yatim piatu, mereka bukan menumpang berteduh di tanah dan bangunan kita. TETAPI kita yang menumpang berteduh atas rahmat dan kasih sayang ALLAH pada mereka. Dan mereka akan mengadu kepada ALLAH akan kebajikan yang kita lakukan ke atas mereka. Mana tahu di akhirat nanti ALLAH akan menjaga kebajikan kita di akhirat berkat usaha murni kita menjaga kebajikan mereka.






Terhangguk-hangguk kepala ahli kelab warga emas mendengar jawapan ku.



Pak Syaiful : Dah tu fakir miskin lak, apa kelebihannya ?



Aku menjawab dengan mode merapu : Cikgu Ahmad waqafkan tanah saja. Duit, wang ringgit dia tak waqaf. Kita kena cari sendiri. Kalau kita ambil anak-anak fakir miskin, mereka dah biasa hidup susah. Nanti kalau kita tak ada duit nak bagi mereka makan, mereka tak banyak songel komplen sana-komplen sini. Panggil Karam Singh Walia berpantun depan sekolah tahfiz. Tak macam budak sekolah MRSM atau budak sekolah Sains.



HAHAHAHAHAHAHA …. Sekali lagi ahli kelab warga emas tergelak sambil menepuk-nepuk meja.



Aku bilas semula jawapan ku dengan jawapan yang lebih serius.



Aku : Rasulullah SAW pernah berdoa, agar dihidupkan dalam keadaan miskin, dimatikan dalam keadaan miskin, dibangkitkan di akhirat bersama-sama orang miskin. Begitulah darjat orang miskin di kaca mata Rasulullah SAW. Inilah jejak langkah Rasulullah SAW. Maka sekolah tahfiz yang bakal dibangunkan ini adalah untuk kita didik fakir miskin untuk sabar dan redha dengan kemiskinan mereka malah berhibur dengan kemiskinan. Dan kita menuruti sunnah Rasulullah SAW kerana menjaga dan mencintai fakir miskin.



Terhangguk-hangguk lagi kepala ahli kelab warga emas.



Masyuarat tidak rasmi malam itu menjadi titik tolak tertubuhnya madrasah tahfiz yang menjadi tempat menumpang kasih anak-anak yatim dan fakir miskin. Sejak dibangunkan, tidak sedikit air mata kami yang tumpah. Bukan dek kerana kepayahan dan kesukaran mebangunkannya, tetapi kerana hancur luluh bila berhadapan dengan anak-anak yang tidak punya ibu dan ayah bagi menumpang kasih.



Aku masih teringat, kumpulan pertama seramai 14 orang. Kami bersama-sama mereka tidur di dalam bangunan separa batu simen separa papan. Bertilamkan lantai simen yang dihampar dengan permaidani lama masjid yang disedekahkan oleh pihak masjid. Dalam kedinginan malam kerana hujan lebat. Sekitar jam 3 am, salah seorang anak tersebut mengigau, memanggil-manggil nama ayahnya sambil memeluk tubuh ku yang berbaring di sebelahnya. Hancur luluh hati ku berdepan dengan anak yang kerinduan ibu bapa yang tersayang.



Pernah suatau ketika setelah selesai solat Maghrib, aku didatangi seorang anak yatim sambil menangis dan bertanya kepada ku, bagaimana dia hendak tebus dosa ibu dan ayahnya yang sudah kembali ke rahmat ALLAH ? Agar ibu dan ayahnya dapat jaminan syurga.



Dan kalau hendak ku sebut satu persatu, ada 1001 kisah yang pastinya mengundang linangan dan deraian air mata.



Alhamdulillah, madrasah itu telah berjaya menghantar para pelajarnya ke Yaman, Mesir, Jordan dan Afrika Selatan untuk menimba lebih banyak ilmu dan menyebarkan dakwah.





Pernah juga aku dan ahli kelab warga emas ditanya oleh penduduk setempat dalam satu majlis di masjid, mengapa dibangunkan madrasah tahfiz untuk anak-anak yatim dan fakir miskin bukannya bangunan komersil yang menjanjikan pulangan lumayan ?





Lalu aku menjawab : Setiap dari kita adalah pendosa dan ahli maksiat. Setiap dari kita akan masuk ke neraka melainkan mendapat ampunan ALLAH.Lantaran istighfar yang kita lafazkan terlalu sedikit berbanding dosa dan mungkar yang kita lakukan, maka kita amat mengharap kepada ampunan ALLAH atas setiap dosa-dosa yang kita lakukan. Kita tidak tahu sama ada amal ibadah kita dan istighfar kita serta taubat kita diterima ALLAH. Namun Rasulullah SAW ada mengajar kita untuk mempunyai rasa khauf dan raja'. Rasa takut dan rasa harap. Maka kami bina sekolah tahfiz untuk anak-anak yatim ini bagi meringankan seksaan kami di akhirat sebagai tanda kami tidak berputus asa dari rahmat ALLAH dan mengharapkan ampunan dan kasih sayang NYA. Andainya mereka berjaya menjadi hafiz Al Quran, di akhirat nanti dapat kami menumpang syafaat mereka. Mudah-mudahan kami selamat menjadi bahan bakaran api neraka.




Jawpan ku tidak mengundang gelak ketawa hadirin seperti biasa. Sebaliknya ramai yang menangis di majlis masjid berkenaan.





#############




Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub Al Muqarrabu Ilaa Allamul Ghuyub ada memuatkan hadis-hadis berikut :




Sabda Rasulullah SAW : Anak yatim apabila dipukul maka asrasy Ar Rahman bergoncang kerana tangisan mereka. Allah SWT berkata kepada para malaikat “Wahai malaikat ku, siapa yang membuat anak yang sudah kematian ayah ini menangis?”



Sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa menanggung makan dan minum anak yatim, Allah menjamin dirinya masuk syurga.



Rasulullah SAW bersabda : Segala sesuatu ada kuncinya. Kunci syurga, salah satunya ialah mencintai kaum miskin dan fakir lantaran kesabaran mereka. Mereka itulah orang-orang yang dekat dengan Allah pada hari kiamat.



Semua orang takut miskin kerana kemiskinan hanya menjanjikan penderitaan dan mungkin juga ia sesuatu yang memalukan. Lantaran itu, berlumba-lumbalah orang mengejar harta dan kekayaan di dunia. Tidak kurang juga yang mengejar kekayaan duniawi golongan ulamak, para ustaz dam ilmuan Islam.





Hampir semua manusia, termasuk para ulamak yang ada kini, mendefinisikan kemiskinan sebagai kekurangan harta benda, rumah yang kecil dan sempit, pendapatan yang rendah dan keperluan fizikal yang tidak mencukupi. Lantas berlumba-lumbalah manusia membina kekayaan duniawi. Paling malang batasan syariat halal dan haram dilangkau dan diketepikan. Rasuah, pecah amanah, menipu dan pelbagai perkara yang nyata bertentangan dengan syariat dilakukan demi memenuhkan kocek dan akaun bank dengan wang ringgit dan harta benda. Seolah-olah syurga dan kemanisan nikmatnya boleh dibeli dengan wang ringgit.





Tetapi dari kaca mata Islam, kemiskinan bukanlah didefinisikan sebagai kekurangan harta dan wang ringgit, tetapi didefinisikan sebagai rasa hati yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kerana manusia yang tidak merasa puas dengan apa yang ada, akan sentiasa merasai tidak pernah cukup. Ingin lebih banyak lagi, dan lagi dan lagi dan lagi. Walaupun dia sudah punya banglo mewah, sudah punya kereta mewah berderet, sudah punya wang berjuta. Jiwa dna hatinya menderita dan tidak tenang kerana tidak merasa puas dengan apa yang sudah di miliki dan takut pula kehilangan barang yang sudah dimiliki.




Sheikh Ali bin Abdul Rahman Al Kelantani dalam kitabnya Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat AL Qulub menukilkan sebuah kisah .....





Rasulullah SAW berkata di dalam doanya :




Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadan miskin, dan matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan himpunkanlah aku di mahsyar bersama-sama orang yang miskin.



Lantas Aisyah rha bertanya : Mengapa engkau meminta begitu ya Rasulullah SAW ?



Rasulullah SAW menjawab : Kerana mereka itu masuk ke syurga 40 tahun lebih dahulu dari orang yang kaya. Wahai Aisyah, jangan engkau nafikan dan tolak permintaan orang yang miskin. Bersedekahlah kepda mereka walau dengan sebelah tamar sekalipun. Wahai Aisyah, kasihlah oleh mu akan segala orang miskin dan hampirkanlah diri mu akan mereka, nescaya ALLAH akan hampir dengan mu di hari qiamat.







Islam tidak menghalang umatnya menjadi kaya. Tetapi tanggung jawab umat yang kaya tidak terhenti disitu sahaja, sebaliknya dalam kekayaan ada tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Firman ALLAH SWT :



Rebutlah dari apa yang Allah untukkan sebagai habuan mu di akhirat tapi jangan lupa nasib mu di dunia. ( Al Qasas : 77)



ALLAH suruh umat Islam berusaha mencari bekalan di akhirat tetapi tidak menafikan usaha untuk mendapat kesenangan di dunia. Tak salah menjadi kaya, tetapi tunaikanlah tanggung jawab sebagai seorang muslim dalam memenuhi hablumminallah dan hablumminannas. Jangan sampai kekayaan dan keglamouran yang diperolehi di muka bumi ALLAH ini menjadikan kita lalai dalam menunaikan perintah ALLAH sebagaimana firman ALLAH :



Bermegah-megah (dengan harta dan anak) telah menjadikan kamu lalai hingga kamu masuk kubur. (At Takasur : 1- 2)




Kemewahan inilah yang membelenggu hidup seseorang sehingga mereka menjadi buta akan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan. Islam sama sekali tidak menghalang umatnya untuk hidup mewah dan menjadi kaya. Tetapi Islam mengajar umatnya bahawa ramai orang yang tertewas dan menjadi lalai dengan ujian ALLAH dalam bentuk nikmat berbanding ujian ALLAH dalam bentuk kesusahan. Telah ramai orang-orang yang awalnya di dalam kesusahan, bermunajat dan merintih kepada ALLAh memohon keringanan dalam menghadapi musibah dan kepayahan, lalu ALLAh angkat kepayahan dan kesusahan dari mereka dan ALLAH uji mereka dengan nikmat kemewahan dan kekayaan. Akhirnya mereka tersungkur dek kelalaian kerana merasai kelazatan nikmat dunia yang sementara. Lupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Lupa untuk berjuang dan berkorban. Lupa untuk mendidik anak, isteri, masyarakat. Lupa untuk berdakwah. Hati semakin mencintai dunia. Akhirnya sifat mazmumah yang lama terpendam menjadi subur di hati. Matlamat hati berubah qiblatnya. Dan apabila cinta dunia menguasai hati, ALLAh jauhkan dunia dari dirnya kerana ALLAH tidak mahu dunia ditadbir oleh manusia-manusia yang tidak mencintai ALLAH. Makin dikejar dunia, makin jauh dunia lari darinya. Makin di kejar dunia, makin jauh. Lantas hati menjadi semakin haus, dahaga, rakus dan tamakkan dunia. Hilang kedamaian dan ketenangan jiwa. Andainya tidak dibendung, bukan sahaja memusnahkan diri, malah akan memusnahkan hubungan kekeluargaan, hubungan persahabatan dan perpecahan masyarakat.



ALLAH akan hanya menganugerahkan dunia kepada hamba-hamba NYA yang bersifat zuhud dengan dunia dan hatinya bebas dari mencintai dunia. Kerana dengan itu sahaja dunia ini akan ditadbir oleh hamba ALLAH bertaraf khalifah. Dunia akan ditadbir berdasarkan hukum-hakam syariat yang telah ALLAH firmankan di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.




Islam juga tidak menghina orang yang kemiskinan harta sekalipun ianya bukan priority untuk hidup sebagai seorang muslim. Tetapi Islam sama sekali menolak dan menghalang umatnya dari mengalami kemiskinan jiwa. Miskin jiwa kerana iman yang lemah. Miskin jiwa kerana nafsu tidak terdidik. Kedua-duanya berlaku kerana tiada bimbingan ilmu dan tiada bimbingan untuk beramal dengan ilmu yang disalurkan. Oleh itu perlulah ada sahabat dan jemaah yang sama-sama ingin mendidik jiwa dan hati. Didiklah jiwa dengan menguatkan iman dan mujahadah melawan nafsu. Tuntutlah ilmu dan amalkannya seikhlas hati. InsyaAllah akan lahir jiwa-jiwa yang kaya dengan iman. Bersifat cukup dengan apa yang ada, berasa sabar dan redha dengan kekurangan harta, malah rasa terhibur dengan janji Allah di akhirat sana.



Kemuliaan hidup ini bukan terletak kepada sebanyak mana harta yang telah engkau himpunkan. Juga bukan terletak kepada sejauh mana nama mu di sanjung dan di puja dalam dunia yang penuh glamour. Tidak juga kepada tinggi dan besarnya jawatan yang engkau sandang. Tetapi kemuliaan hidup mu di dunia terletak sejauh mana engkau berjuang dalam melaksanakan titah perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan ALLAH.



Semoga Tuan-tuan dan puan-puan, dan saya dipimpin ALLAH untuk menjadi kaya jiwa walau dalam kemiskinan harta.



Madrasah Darus Syifa

23 October 2010

6.45pm