Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Wednesday, March 23, 2011
For The Rest of My Life ... Loving You Ya Rasulullah SAW
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. [Surah Al-Ahzaab: 56].
Rabiul Awwal menjelang lagi. Maka para pencinta Rasulullah SAW semakin menyemarakkan cinta mereka kepada Rasulullah SAW. Setelah sekian lama para penghuni langit mengumandangkan rasa cinta mereka kepada junjungan besar Rasulullah SAW. Maka sayugianyalah kita sebagai penghuni bumi menyemarakkan lagi rasa kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.
Sempena 1 Rabiul Awwal 1432H ini ... ku garap dari hadis sahih riwayatan Bukhari ... lantas ku coretkan kisah percintaan agung, makhluk termulia ciptaan ALLAH SWT. Tidak ada makhluk yang setara dengan Rasulullah. Kerana penciptaan Saidina Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib adalah rahmat buat seluruh alam.
Hikayat 1
Sewaktu berlaku peristiwa penaklukan Kota Mekah. Berbondong-bondonglah orang Quraisy mendatangi Rasulullah Rasulullah SAW untuk memohon maaf dan menisytiharkan keimanan mereka. Hinggalah satu ketika, dalam keramaian orang yang mendatangi Rasulullah... Rasulullah terpandang akan seorang nenek yang sangat tua cuba menghampiri Rasulullah. Tetapi terhalang oleh sosok tubuh orang-orang Quraisy yang lain. Lantas Rasulullah SAW bingkas bangun dari tempat duduk Rasulullah. Bersama senyuman terukir dan bersopan, Rasulullah SAW berjalan ke arah nenek tua dan menyambutnya. Hadirin yang mengerumuninya diminta untuk memberi laluan buat nenek tua ke tempat duduk Rasulullah SAW. Rasulullah SAW menghamparkan alas duduknya kepada si nenek dan menjemputnya duduk. Rasulullah SAW sendiri duduk bersimpuh di atas tanah mengadap si nenek. Berlakulah perbualan yang akrab dan mesra antara Rasululalh SAW dan si nenek.
Aisyah ra yang sejak awal melihat peri laku Rasulullah SAW dan si nenek terdetik untuk bertanya.
Aisyah ra : Wahai Rasulullah SAW. Siapakah gerangan perempuan tua itu sehingga ku lihat diri mu meluangkan masa yang lama dalam perbulan dan kemesraan dengannya ?
Rasulullah SAW : Nenek ini adalah sahabat kepada isteri ku Khadijah.
Aisyah ra : Apakah yang engkau perbualkan wahai Rasulullah SAW ?
Rasulullah SAW : kami berbual tentang saat-saat indah kami bersama Khadijah.
Timbul rasa cemburu di hati Aisyah ra.
Aisyah ra : Apakah engkau masih teringat-ingat orang yang sudah tua dan sudah menjadi tanah itu. Bukankah ALLAH menggantikan untuk engkau dengan yang lebih baik?
Rasulullah Rasulullah SAW sedar akan sifat cemburu Aisyah ra. Sambil tersenyum manja, Rasulullah mengusap kepala Aisyah ra dan berkata dengan nada yang sedih pilu.
Rasulullah SAW : Demi ALLAH. ALLAH tidak pernah menggantikannya (Khadijah) dengan seorang perempuan yang lebih baik darinya. Dia banyak memberikan sokongan semangat dan harta kepada ku. Ketika penduduk Mekah mengusir ku, dia melindungi ku. Ketika manusia mendustakan aku, dia membenarkan aku. Bagaimana mungkin aku melupakannya ?
Kelihatan titis air mata bergenang di mata Rasulullah. Tanda kerinduan Rasulullah kepada kekasih yang berkorban segala-galanya demi perjuangan Rasulullah.
Hikayat 2
Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman ALLAH mengenai Nabi Ibrahim as:
Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)
Kemudian Rasulullah SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Rasulullah SAW mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis:
Ya ALLAH ! Umatku ! Umatku !
Lalu ALLAH berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya ALLAH lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.”
Maka Jibril as menemui Rasulullah SAW, lalu bertanya kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya adalah kerisauan Rasulullah SAW ke atas untung nasib umatnya.
Maka ALLAH berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa ALLAH berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau redha pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.
Rasulullah SAW bersabda: Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Maka setiap nabi bersegera memanfaat doa itu. Tetapi aku menyimpankan doa itu sebagai penolong untuk umatku pada Hari Kiamat.
Begitulah keprihatinan Rasulullah SAW kepada umat baginda.
Rasulullah menghulur cinta bukan untuk dibalas tetapi untuk diteladani. Meneladani cinta Rasulullah SAW membawa bahagia hingga ke syurga. Orang yang berakal dan mempunyai hati yang sejahtera, menghargai pemberian dan kasih sayang yang diberikan kepadanya dengan sebaik mungkin dan membalas kasih sayang dengan kasih sayang serta ketaatan yang tidak berbelah bahagi.
Para sahabat adalah orang yang paling hebat kecintaannya terhadap Rasulullah SAW, maka mereka adalah orang yang paling sempurna ikutannya terhadap sunnah Rasulullah. Bagi mereka melaksanakan perintah Rasulullah SAW merupakan suatu kebahagiaan yang tidak mengenal erti jemu, lemah dan malas.
Cinta Rasulullah SAW juga unggul kerana ia merentasi tempat dan zaman hingga meliputi umatnya yang tidak pernah bersua dengannya mahupun keluarganya atau sahabatnya.
Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah bersabda yang maksudnya, “Bertuahlah sesiapa yang melihatku dan beriman padaku.”
Kemudian Rasulullah menyambung lagi sabdanya dengan bersemangat, “Bertuahlah, dan bertuahlah, dan bertuahlah, sesiapa yang tidak melihatku dan beriman padaku.”
Sabda Rasulullah SAW lagi :
“Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].
****************************
****************************
Begitulah mendalamnya cinta Rasulullah SAW kepada umat baginda SAW.
Apakah kita yang hidup di penghujung zaman ini layak menerima cinta baginda ?
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Library USIM
2 February 2011
2.55pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment