Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Monday, May 23, 2011

Sir ... ni macam budak kecik, tengok kartun !!!


Sir ... ni macam budak kecik, tengok kartun !!!


Begitulah yang diluahkan oleh salah seorang student ku bila dilihat aku sedang menonton movie KUNG FU PANDA di komputer ku.


Aku : Jom join. Kita tengok sama-sama. Tapi ....


Sam : Tapi apa sir ?


Aku : Kena tengok dengan mata hati. Ada cerita, mengapa saya nak tengok cerita ni.


Aku pun memulakan semula movie tersebut, sambil membetulkan monitor pc agar dapat ditonton oleh students ku.


KUNG FU PANDA


Kisah berkisar sebuah perguruan, yang diasaskan oleh Master Oogway (Penyu). Perguruan itu diwariskan kepada muridnya yang paling TAAT dan setia iaitu Master Shifu (Tikus)



Master Shifu ada beberapa murid yang RAPAT. Antaranya , Tigress (Harimau Belang), Monkey (monyet), Mantis (Mentadak), Viper (Ular), Crane (Bangau) dan TAI LUNG (Harimau Bengal).



Antara students Master Shifu, TAI LUNG adalah yang teristimewa. Tai Lung adalah ANAK ANGKAT Master Shifu. Tai Lung dipelihara sejak dari kecil hinggalah dewasa. Tidak ada ilmu yan tidak diajar oleh Master Shifu kepadaTai Lung. Pendekata, Tai Lung mempunyai segala pengetahuan tentang ilmu yang diajar diperguruan Master Oogway. Dia tahu A to Z. Cara nak beramal. Cara nak bertempur. Cara nak mengajar. Dan lain-lain lagi. Ditambah, Tai Lung adalah pelajar yang rajin berlatih dan keadaan fizikal yang gagah.



Malangnya, Tai Lung adalah seorang yang bermasalah. Walau secara zahirnya, Tai Lung adalah murid yang layak mewarisi perguruan tersebut, TETAPI Master Oogway dapat melihat apa yang tersirat berdasarkan perwatakan lahiriah Tai Lung. Lantas Master Oogway menolak cadangan Master Shifu untuk melantik Tai Lung menjadi pewaris perguruan. Keputusan Master Oogway akhirnya mendedahkan sifat dan sikap sebenar Tai Lung.



Apabila Tai Lung mengganas di kala itu tidak ada sesiapa pun mampu menyekat kemaraan Tai Lung. Muncullah Poo (Panda). Poo mempunyai sifat IKHLAS. Tidak ada terpalit walau sedikit pun niat sampingan melainkan INGIN MENUNTUT ILMU DAN MEMBANTU MASYARAKAT.



Sewaktu Master Oogway menunjuk Poo sebagai Dragon Warrior, Poo cuba mengelak. Poo cuba mengelak menjadi pewaris perguruan kerana dirinya sedar bahawa dirinya secara fizikal tidak segagah pendekar-pendekar di sekolah tersebut. Poo juga sedar, dia tidak ada ilmu persilatan perguruan tersebut. Poo juga sedar dia walau pun dia adalah calon yang dipilih oleh Master Oogway, dia TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG ILMU. Poo juga sedar dia hanya ada CITA-CITA dan KEIKHLASAN.



Berbekalkan cita-cita dan keikhlasan, Poo menjadi murid yang taat kepada Master Shifu untuk dididik.



Setelah keGHAIBAN Master Oogway, tanggunjawab melatih dan mendidik Poo diserahkan kepada Master Shifu.



Master Shifu juga menggunakan kebijaksanaannya dalam mendidik Poo. Tidak seperti mendidik Tai Lung. Andainya Tai Lung diberikan segala ilmu dan rahsia perguruan oleh Master Shifu, Poo pula dididik oleh Master Shi Fu Poo berdasarkan bakat dan kepakaran yang ada pada Poo.



Hasilnya … Poo Berjaya menewaskan Tai Lung.





#########################



Kisah Kung Fu Panda ... ceritanya ditulis oleh Michael Lachance, seorang yang tidak beriman. Ianya menjadi BUKTI bahawa orang yang tidak beriman dan tidak Islam juga membenci sifat UJUB, RIYA' dan TAKBUR. Jadi sebagai seorang muslim yang beriman, memang sewajarnya kita juga membenci dan memusuhi ketiga-tiga sifat mazmumah ini dan kita singkir akan dia dari diri kita.



Ujub ialah sifat mazmumah yang menjadikan seseorang merasa dirinya terlalu hebat. Ianya menjadi pendorong kepada sifat riya'. Riya' ialah sifat mazmumah yang mendorong seseorang menzahirkan segala perbuatan, perkataan semata-mata untuk mendapat pujian selain ALLAH. Bila ujub tercetus, dan riya' terzahir maka takbur menjadi subur. Takbur adalah sifat mazmumah yang menjadikan seseorang menghina manusia lain atas ketidak beradaan manusia lain atas nikmat yang dia miliki.



Dalam Ihya Ulumiddin, Imam Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini.



a. Ilmu yang banyak serta mempunyai kelebihan yang pada kebiasaan yang tidak terdapat pada orang lain

b. Banyak amal ibadah

c. Nasab keturunan

d. Wajah dan paras rupa yang indah dan cantik

e. Harta yang menggunung

f. Kegagahan/ kekuatan diri serta jawatan yang tinggi

g. Ramainya pengikut



Pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya.



Orang sombong seumpama ini, menghendaki dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)



Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.



Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud: "Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya."



Jika kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak bersembahyang atau apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan kepala dan terdetik di dalam hati, "Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa tidak alim dan warak seperti aku," maka kita adalah dalam kategori orang yang berpenyakit sombong. Oleh itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak.



Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat.



Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi tuhan.



Mereka rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah kerana keegoan menganggap orang lain tidak semulia mereka. Seandainya kita zalim, bangga dengan status keturunan, maka kesombongan itu sama dengan kesombongan kaum Bani Israel yang dilaknat tuhan.



Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.



Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.



Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi.



Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.



Justeru, hendaklah KITA memeriksa diri sama ada tujuh perkara yang membawa kepada penyakit sombong ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong hanya akan memakan diri.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah." (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)



Pesan arwah datuk ku : Ketahuilah oleh mu bahawa riya` menghapuskan amal, menjadi penyebab kepada kemurkaan Allah dan merupakan pembinasa yang paling besar. Kalau memang begini sifatnya maka sudah sepantasnya untuk kita berusaha secara sungguh-sungguh menghilangkannya.



Ada pun untuk menghindari dari sifat mazmumah ini dan merawat hati yang rosak kerananya. Ada duaa tingkatan yang perlu ditempuh.



Pertama : Memotong akar dan asal usulnya dari lahirnya rasa ujub. Tiada lain ianya melainkan kesenangan dengan pujian, menghindari pahitnya dicela dan sangat tamak terhadap yang dimiliki manusia. Tiga hal inilah yang menggerakan orang untuk ujub, riya` dan takabbur. Cara memotong akar dan usul benih-benih mazmumah ini ialah dengan menyedari bahaya riya’ dan akibat buruk yang terhasil kerana tmbuhnya mazmumah ini.



Ada pun kesan di dunia, mazmumah ini akan menyebabkan hati tidak bersih, menghalang cahaya hidayah dan taufiq, menjauhkan diri dari mendapat tempat di sisi ALLAH. Ada pula kesan di akhirat, mazmumah ini menjadi penyebab, balasan yang akan diterima berupa seksaan, kemurkaan yang dahsyat dan kehinaan yang tampak. Bagaimanapun, jika seorang hamba memikirkan kehinaan tersebut, kemudian membandingkan apa yang didapatkannya dari menampakkan keindahan (perkataan, amal dll) dihadapan manusia di dunia dengan apa yang tidak mampu ia raih di akhirat dan pahala yang terhapus, ia akan dengan mudah menghilangkan keinginan tersebut. Seperti orang yang mengetahui bahwa madu itu enak tetapi kalau ternyata di dalamnya ada racun yang akan berakibat buruk baginya, ia akan tinggalkan madu tersebut.



Bagi mereka yang masih berdegil untuk terus-terusan berdamping dengan ujub, riya’ dan takabbur, ALLAH telah menciptakan satu makhluk RIHUL AHMAR untuk menyeksa diri manusia yang berdamping dengan sifat mazmumah yang tercela ini.



Kedua : Menghilangkan berbagai godaan (bisikan) yang sempat mengganggunya ketika melakukan ibadah. Ini juga perlu dipelajari. Orang yang berjuang memerangi (penyakit) jiwanya dengan memotong akar-akar riya`, menghilangkan rasa tamak dan menganggap hina pujian dan celaan orang, kadang-kadang syaitan tidak membiarkannya pada saat menjalankan ibadah, tetapi membisikkan riya`. Jika terdetik di hatinya bahawa orang-orang sedang melihatnya, melawannya dengan mengatakan pada dirinya “ Apa urusanmu dengan orang-orang itu, mereka tahu atau tidak, ALLAH mengetahui keadaanmu. Apa faedahnya orang mengetahui (amal kita) ? Jika keinginan untuk mendapatkan pujian sedang bergejolak, ingat dengan penyakit riya` yang ada dalam hatinya yang menyebabkannya mendapatkan murka dari ALLAH dan menjanjikan kerugian ukhrawi kepada diri yang malang.


Oleh itu, untuk memotong akar asal usul ujub dan riya’, serta untuk menghilangkan bisikan yang datang, seseorang muslim hendaklah :


Memperkemaskan ilmu Fadhu Ain dan beramal dengannya. Dengan itu seseorang muslim akan sedar bahwa dirinya adalah hamba Allah yang hina. Hanya Allah tempat dipersembahkan segala amalan, bukan kepada makhluk. Hanya kepada Allah seseorang mengharapkan balasan dan bukannya mengharap anugerah pemberian makhluk.


Apabila menerima nikmat, segeralah mengingati Allah dan ucapkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi. Lantas segeralah beristighfar kepada Allah kerana takut nikmat yang bakal diperolehi menjadikan kita lupa bahawa nikmat itu merupakan ujian bujat diri kita.


Bersegeralah mengucapkan la haula wala quwata illa billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk Allah.


Apabila menerima nikmat, segeralah juga kita bandingkan nikmat yang kita perolehi itu dengan nikmat orang lain yang lebih besar dan berharga. Agar kita sedar bahwa nikmat yang kita perolehi itu tidak seberapa dan bila-bila masa sahaja Allah mampu menariknya semula. Dengan itu kita mampu bersyukur.


Apabila ditimpa musibah, segeralah kita membandingkan musibah tersebut dengan musibah orang yang lebih teruk dari kita. Agar nantinya kita akan bersabar dan redha dengan ketentuan Allah atas kita.


Sentiasalah menggauli orang yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kerana ianya menjadikan kita insaf akan kedudukan kita sebagai makhluk Allah yang lemah. Maka tidak hairanlah ulamak-ulamak sufi dalam mendidik murid mereka agar tidak berlaku riya’ dan ujub, anak-anak murid mereka dihina oleh mereka di khalayak ramai. Ini jelas diceritakan dalam kisah Sheikh Abu Yazid Al Bustami dan Sheikh Hassan Al Basri, mereka menghina dan mengaibkan orang-orang yang ujub dan riya’ yang sedar mereka berbuat kemungkaran tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada kebenaran. Maka AL Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub menegaskan, harus mengaibkan orang yang ujub dan riya’ di khalayak ramai sebagaimana harus seorang yang zalim diumpat, agar tindak tanduk mazmumahnya tidak diikuti oleh orang lain.


Bermujahadatunnafsi melalui tiga peringkat yang pernah dibincang dalam pertempuran yang lalu iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Bertafakur. Memikir akan kebesaran Allah SWT.Semoga syarahan yang ringkas ini mampu kita jadikan panduan untuk terus menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Madrasah Darus Syifa
23 may 2011
4.15am

Selamat Hari Guru .....


16 May 2011 .... Sedunia meraikan Hari Guru ... hari untuk warga pendidik .... ermmm ... dari mana asal usulnya Hari Guru ni ? ... Halalkah meraikan hari Guru ni ? ... ermmm .... banyak nak kena study ni .... Tapi tak salah nak menghargai guru-guru ... sebaik-baik penghargaan ialah menyerlahkan prestasi atas ilmu yang telah dicurahkan ... Terima kasih cikgu .....



Hari Valentine ... pelbagai versi asal usul kelahiran hari Valentine diceritakan ... ada yang mengatakan peristiwa meraikan pembunuhan umat Islam beramai-ramai hasil tipu daya Padri Valentino .... Ada yg mengatakan pengorbanan Paderi Valentino atas dasar cinta mengahwinkan pasangan suami isteri walau dihalang Raja. .... Ada juga yg mengatakan meraikan kisah cinta Valentino dengan seorang Sharifah sehingga berjaya memurtadkan nasab keturunan Rasulullah SAW, lalu diberi nama Kristian ISABELLA .... apa pun jua cerita yang tertulis, kesan dan hasil Hari Valentine ini amat negatif dan menyukarkan kerja-kerja doktor, polis serta mak bapak kerana pada hari itulah berlakunya banyak perzinaan.



Begitu juga dengan Mothers Day ... ada yg kata hukumnya haram kerana berasal dari sambutan meraikan IBU KEPADA DEWA-DEWA ....



Bagaimana pula Hari Jururawat yang meraikan seorang jururawat bernama Florence Nightingale ? ..... Kasihan dengan tokoh Rufaidah Binti Saad rha ... jururawat di zaman Rasulullah SAW. Tugasnya bukan sekadar merawat luka-luka ditubuh badan para mujahid, malah tugasnya juga merawat jiwa dan hati para manusia dan membakar semangat para mujahid untuk terus berjihad dan merebut taraf syuhada. Para bidadari malu kepada Rufaidah kerana Rufaidah berani mencabar para mujahid untuk memilih mati syahid yang didalamnya terkandung nikmat memperisterikan Ainul Mardhiah, bidadari yang tercantik, sedangkan disebalik bayangan Ainul Mardhiah terukir disebalik cadur yang menutupi wajah Rufaidah. …. Agak-agaknya … berapa ramaikah jururawat muslim di dunia ini yang membuat tahlil dan mensedekahkan Al Fatihah atau Yaasin untuk Rufaidah Binti Saad rha ?



Kini kita menyambut Hari Guru ... hari warga pendidik ... Apakah sambutan ini hanya untuk guru di sekolah ? Sama ada sekolah menengah atau sekolah rendah saja ? Atau apakah ianya juga merangkumi para pensyarah di kolej dan universiti ? Atau apakah juga terangkum guru memasak atau guru memandu atau guru menjahit ? ...... Yang pastinya ianya tidak pernah disambut oleh para murabbi mahu pun guru mursyid ....

Kepada warga pendidik ... tak kiralah sama ada engkau guru sekolah akademik, guru sekolah agama, guru sekolah memandu dan sebagainya ... maka, eloklah sebagai guru dan pendidik mempunyai persediaan mental, emosi dan rohani yang terbaik bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.



Kitab Bidayatul Hidayah yang dibeli semasa tingkatan 3 pada tahun 1983 dulu, karangan Imam Al-Ghazali (505H). Beliau ada memberi peringatan dan nasihat kepada para guru dan pendidik tentang ‘Adab-adab Seorang Guru’. Semoga bermanfaat untuk muhasabah diri.



Berkata Imam Al-Ghazali:



“Jika engkau seorang guru maka hendaklah engkau jaga adab-adab ini:

1- Ihtimal (banyak sabar menanggung kesusahan).

2- Lambat marah.

3- Duduk dengan hebat atas kelakuan yang tetap serta menundukkan kepala.

4- Meninggalkan takabbur atas sekelian hamba Allah Taala kecuali terhadap orang yang zalim kerana menegahkan daripada kezalimannya.

5- Memilih tawadhuk yakni merendahkan diri pada perhimpunan orang ramai dan pada majlis orang ramai.

6- Meninggalkan bergurau-gurau dan bermain-main.

7- Kasih sayang dengan murid dan lemah lembut dengan yang kurang pandai.

8- Membimbing murid yang bebal.

9- Tidak memarahi murid yang bodoh.

10- Tidak malu daripada berkata ‘Aku tidak tahu’ (bagi masalah yang tidak diketahuinya).

11- Memberikan perhatian kepada murid yang bertanya dan cuba memahami soalannya dengan baik.

12- Menerima hujah atau dalil yang dihadapkan kepadanya.

13- Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya ketika ia tersalah.

14- Melarang murid daripada ilmu yang boleh memudaratkan.

15- Melarang murid daripada menghendaki yang lain daripada Allah dengan ilmunya.

16- Melarang murid daripada menuntut ilmu yang fardhu kifayah sebelum selesai daripada menuntut ilmu yang fardhu ain, dan ilmu yang fardhu ain itu ialah ilmu yang berkenaan dengan membaikkan zahir dan batinnya dengan taqwa.

17- Memperbaiki diri sendiri dengan taqwa sebelum ia menyuruh orang lain, supaya muridnya dapat mencontohi amalannya dan mengambil manfaat daripada percakapannya (ilmunya).



Kepada para salik dan murid …. Apakah hadiah yang ingin engkau sampaikan kepada guru mursyid mu ? …. Yang pastinya …. Seorang guru mursyid tidak pernah meraikan Hari Guru dan tidak pernah menerima hadiah pada 16 May setiap tahun … sebab .... bagi seorang mursyid dan murabbi Hari Guru bagi mereka hanyalah di akhirat tatkala melihat anak-anak didikan sedang beristirehat di dalam syurga sambil menikmati ketenangan dan kebahagiaan abadi .... Apakah kita sudah mampu memberikan "hadiah" ini kepada para guru kita khususnya para murabbi dan mursyid ?



Kepada guru-guru ku, para pensyarah ku, sama ada yang masih hidup mahu pun yang sudah kembali ke rahmat ALLAH, terima kasih tak terhingga ku ucapkan kepada mu ... Hanya ALLAH saja yang mampu membalas jasa-jasa mu. Halalkan segala ilmu yang dicurahkan kepada ku sehingga aku mampu menjadi seperti yang ada ini .... DOAKANLAH KEJAYAAN DIRI KU DI DUNIA & AKHIRAT ... Buat guru-guru ku yang telah kembali ke rahmat ALLAH, khususnya buat Almarhum Ustaz Mohammad Taha Suhaimi bin Muhammad Fadlullah As Suhaimi … AL FATIHAH

Monday, May 9, 2011

XPDC Wonosobo : Menyingkap Tabir Qalbu ... Part 4



Perjalanan di Alas Ketonggo diteruskan … merentasi denai dan belukar. Mengharungi arus jeram. Sambil fikiran ku masih melayang dan mengelamun akan pesanan-pesanan arwah datuk ku …

Apakah perasaan mu tatkala kamu berada di dalam istana sebagai seorang tetamu yang amat dihormati oleh ahli istana ?

Apa pula perasaan mu tatkala ketibaan mu di sambut penuh meriah bersama pukulan kompang, sambil direnjis air mawar dan kamu berjalan di atas permaidani merah yang dihamparkan buat mu oleh ahli-ahli istana ?

Apa pula perasaan mu tatkala kamu dihidangkan dengan juadah hidangan yang lazat dan diri mu bersantap bersama barisan orang kenamaan di dalam istana ?



Pasti ianya suatu pengalaman yang tak kan luput dari ingatan mu .....

Apakah perasaan mu tatkala kamu bertamu ke tempat guru mu sedangkan guru mu amat merindui untuk bertemu dengan mu ?

Apakah perasaan mu pula pabila ketibaan mu disambut oleh guru mu dengan tasbih dan tahmid sambil haruman ambar kasturi yang semerbak harum sejahtera menyelubungi diri mu ?

Apakah pula perasaan mu bila diri mu disajikan dengan santapan rohani penguat iman agar diri mu terus kekal atas kalimah tauhid agar diri mu terus menjadi hamba ALLAH yang mengabdikan diri kepada ALLAH sebagaimana diajar oleh guru mu ?

Pastinya ia merupakan satu rezki buat hati nurani mu. Rezki berkat yang mengundang rahmat dan maghfirah ALLAH SWT ......

Arwah datuk ku pernah berpesan ........


********************************************

Ketahuilah oleh mu ... bahawa karomah yang agung itu bukanlah seperti karomah Barsyisa yang mampu berjalan di udara. Bukan juga karomah yang agung itu seperti karomah Rijalul Ma' yang sujud kepada ALLAH bertahun-tahun di dasar lautan. Bukan juga karomah yang agung itu seperti karomah Imam Taqiyudiin yang mampu berjalan dan bersolat di atas air. Bukan juga karomah yang agung itu seperti karomah Ibrahim Adham yang mampu berbicara dengan pepohon dan haiwan.

Tetapi ... karomah yang agung itu adalah bila engkau mampu mendidik orang-orang jahat yang fasiq untuk menjadi orang yang beriman iyyan, kerana ianya mampu menyelamatkan umat manusia dari menjadi bahan bakaran api neraka ........

Oleh itu janganlah engkau terpesona dan tertipu dengan keajaiban atau pun keanehan. Lebih-lebih lagi yang terjadi dari golongan mutaakhirin yang peribadi mereka masih jauh dari peribadi salafussoleh. Kerana sesungguhnya nilai manusia di sisi ALLAH ialah sejauh mana manusia itu mampu melaksanakan yang wajib dan sunat serta meninggalkan yang haram dan makruh. Oleh itu tetaplah diri mu atas jalan iman, menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai panduan. Semoga engkau terhindar dari terjerumus ke lembah ghurur (tertipu) yang hina.


*********************************

Alam kerohanian merupakan alam yang luas. Ramai para salik yang tertewas akibat persiapan ilmu dan amal syariat yang tidak sempurna. Sebagai panduan dan jalan keselamatan, Imam Al Ghazali menulis dalam kitabnya Minhajul Abidin akan panduan yang perlu ditempuh oleh seseorang salik untuk menuju kepada ALLAH. Ringkasan intipati Minhajul Abidin adalah dihidangkan di notes JALAN IMAN (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/jalan-iman.html)

Antara sebab musabab kegagalan seseorang dalam menuju kepada ALLAH adalah disebabkan NIAT. Ramai yang beramal, tetapi niatnya semata-mata bukan untuk ALLAH, tetapi mempunyai cabang-cabang niat yang lain. Ada yang ingin mendapatkan pengalaman kerohanian. Ada yang ingin mendapatkan kemahsyuran. Ada yang ingin mendapatkan pangkat dan pujian. Ada yang memasang niat untuk beroleh keajaiban (karomah). Malah tidak kurang juga yang menyimpan niat untuk bersifat ujub dan riya’.

Sifat ujub dan riya’ pernah dihuraikan berdasarkan Kitab Siiras Salikin oleh Sheikh Abdus Samad Al Falembani di notes The Ultimate Destroyer (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/11/ultimate-destroyer.html)

Hakikatnya, keajaiban, kekeramatan, kemahsyuran, kekayaan, pangkat, pujian, kemuliaan nasab keturunan dan sebagainya bukanlah kayu ukuran sebenar dalam urusan mentaati ALLAH. Sebaliknya kesemua itu adalah ujian dari ALLAH, sama ada kita mampu menjadi hamba-NYA yang bersyukur. Seandainya kita mampu bersyukur, pastinya ALLAH akan menambahkan nikmat yang ada pada kita dengan nikmat-nikmat yang lain. Dan nikmat ALLAH yang terbesar yang pernah ALLAH anugerahkan kepada makhluk ciptaan-NYA adalah nikmat iman dan Islam. Iman mempunyai pelbagai tingkatan. Tingkatan yang mula menjamin keselamatan adalah tingkatan Iman ‘Iyyan.

Orang yang beriman dengan tingkatan 'iyaan, akan meletakkan dirinya sebagai seorang hamba walau di dunia dia memiliki pangkat dan jawatan yang tinggi pada kaca mata manusia. Hatinya sentiasa ingat pada Allah. Ketika bersendirian, dia mampu mengalirkan air mata kerana ingat kepada Allah. Ibadahnya khusyuk, tak leka dalam solat. Hati mereka sensitif dengan Allah. Mereka akan bersifat zuhud. Mereka mampu mendidik diri, ahli keluarga dan masyarakat untuk mengamalkan Islam. Mereka sentiasa dibantu oleh Allah jika berdepan dengan masalah. Jika berlaku musibah dia bersabar dan redha. Jika diberi nikmat, dia bersyukur dan tidak sombong. Mereka sentiasa merasakan diri mereka hina dan berdosa sambil terus memohon dan bermunajat pada Allah tanpa rasa putus asa. Jika berlaku masalah atau ditimpa musibah, dia akan muhasabah diri untuk menilai kejahatan diri sendiri. Jika dia melakukan dosa, dia akan segera bertaubat tanpa lengah. Mereka inilah yang DIPERMUDAHKAN hitungan amal mereka di akhirat dan dipermudahkan bagi mereka untuk memasuki syurga Allah.

Huraian lanjut berkenaan persoalan iman ini saya pernah bahaskan berdasarkan Kitab Al Jauhar Al Mauhub Wa Munabbihat Al Qulub oleh Sheikh Ali Bin Abdul Rahman Al Kelantani dalam notes Rahsia Iman … Kunci Cinta Sejati (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/rahsia-iman-kunci-cinta-sejati.html)

Maka sebab itu ALLAH hanya akan menilai sejauh mana kasih dan sayangnya ALLAH kepada seseorang insan adalah berdasarkan sejauh mana taqwanya kepada ALLAH. Dan sesungguhnya taqwa itu adalah melaksanakan apa yang ALLAH suruh sama ada yang wajib dan sunat serta meninggalkan segala yang ALLAH larang sama ada yang haram mahu pun yang makruh. Huraian atas nilai taqwa saya pernah bincangkan berdasarkan Kitab Faridatul Faraid oleh Sheikh Ahmad Ibnu Muhammad Al Fatani di notes TAQWA : Nilai Manusia Di Sisi ALLAH (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/10/taqwa-nilai-manusia-di-sisi-allah.html)

Ayuhlah kita bersama-sama berusaha atas iman dan taqwa, kerana sebaik-baik bekalan untuk kita kembali ke rahmat ALLAH di akhirat kelak adalah bekalan iman dan taqwa. Dan ingatlah .... Lembah yang rendah yang mampu menakung curahan air hujan yang banyak berbanding kolam air di puncak gunung. Begitu jugalah ilmu ALLAH yang dianugerahkan kepada hamba-hamba NYA. Hanya hati yang merendah diri dengan rasa tawadduk penuh kehambaan yang mampu menakung curahan ilmu menjadi lautan, bukan hati yang sombong dan takabbur ....

9 May 2011
5.25 am


XPDC Wonosobo : Menyingkap Tabir Qalbu ... Part 3


Perjalanan menuju ke Alas Ketonggo bermula ...

Fikiran ku kembali melayang .... teringat kisah para auliya yang sering diceritakan oleh arwah datuk ku kepada kami adik beradik setiap kali menjelang larut malam.

Bertemankan lampu karbaid, atok akan duduk bersila di sebelah tempat pembaringan kami adik beradik sambil mata tuanya menatap Kitab Tazkiratul Auliya' oleh Sheikh Fariduddin Attar.


Wajahnya yang semakin di mamah usia, tekun membaca kitab kuning tersebut dan melafazkan kisah-kisah para kekasih ALLAH. Gaya bahasa dan cara olahan ceritanya bagaikan atok berada dan melihat sendiri kisah-kisah mereka.

Kakak ku gemar mendengar kisah Rabiatul Adawiyah .... Abang ku menggilai Yazid Bustami ..... Abang ku yang seorang lagi tersentuh kisah Malik Bin Dinar .... Adik ku meminati kisah sementara Hassan Al Basri .... sementara aku pula meminati kisah Uwwais Al Qarni ....

Abang : Loratlah kau ni ... balik-balik Uwwais Al Qarni. Ada banyak lagi cerita wali laaaa ... (herdik abang ku yang mungkin jemu atas pintaan ku kepada atok ku)

Kakak : Dah ulang berapa kali cerita tu. Kita dengar cerita yang lain pulaklaaa .... (kakak ku mengomel, mungkin kerana dia ingin mendengar kisah Rabiatul Adawiah)

Adik : Cerita Uwwais Al Qarni tak banyak keramatlaaa …………

Antara kisah-kisah para wali ALLAH, kisah kekeramatan yang aneh dan pelik, kekeramatan Uwwais Al Qarni yang jarang diceritakan. Sesuai dengan tarafnya sebagai seorang YANG TIDAK TERKENAL DI BUMI tetapi amat terkenal di langit.

Dan aku teringat cerita arwah atok ku berkenaan TINGKATAN PARA WALI

*********************

1. AQTAB (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Juga disebut Al Ghaits (Penolong). Bilangannya hanya ada seorang pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Ia adalah pemimpin bagi satu golongan (Qutub) pada zamannya, dan ia mempunyai kekuatan jasmani dan rohani yang tinggi. Pendekata ia adalah pemimpin yang amat berkuasa. Terkumpul dalam dirinya semua hal dan maqam. Dirinya menjadi penyelesai kepada semua masalah baik yang zahir mahu pun yang tersembunyi.

2. AIMMAH (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Memberi makna “para pemimpin”. Bilangannya hanya ada dua pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Aqtab bertindak sebagai penguasa (raja) maka Aimmah bertindak sebagai para menterinya. Bila Aqtab meninggal dunia, tempatnya akan digantikan oleh salah seorang Aimmah. Seorang mengetahui tentang alam malakut (alam ghaib rohani) dan seorang lagi mengetahui alam mulk (alam dunia jasmani).

3. AUTAD (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya empat pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Seorang di daerah Utara. Seorang di daerah Selatan. Seorang di daerah timur. Dan seorang di daerah barat. Arahnya boleh dilihat dari Kaabah. Gelaran-gelaran mereka ialah Abdul Hayyi, Abdul A’lim, Abdul Qadir dan Abdul Murid.

4. ABDAL (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Abdal adalah sebutan jamak, sementara Badal adalah sebutan tunggal. Bilangannya hanya tujuh pada setiap zaman. Tidak berlebih dan tidak berkurang. Bertugas menjaga tujuh wilayah. Seorang mengikut jejak Nabi Ibrahim AS. Seorang mengikut jejak Nabi Musa AS. Seorang mengikut jejak Nabi Harun AS. Seorang mengiut jejak Nabi Idris AS. Seorang mengikut jejak Nabi Yusuf AS. Seorang mengikut jejak Nabi Isa AS. Seorang mengikut jejak Nabi Adam AS. Tugasnya menjaga kemaslahatan di sesuatu wilayah. Bila Badal ingin meninggalkan wilayahnya untuk menyelesaikan permaslahan sejagat atau untuk bertaqarrub kepada ALLAH atau untuk menghadiri Majlis Para Wali, Badal itu akan meninggalkan seseorang yang mirip dengan dirinya untuk mengawasi wilayah yang ditinggalkannya. Untuk mencapai maqam ini, hendaklah banyak berlapar, bangun malam, diam dan uzlah.

5. NUQABA (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya 12 pada setiap zaman. Tidak berlebihan dan tidak berkurangannya. Bilangannya sama dengan bilangan bulan hijrah, dan menyamai dengan bilangan gugusan bintang (galaksi) dan tata suryanya. Setiap Naqib (nama tunggal bagi Nuqaba) mengetahui khasiat dan hal ehwal bagi setiap gugusan bintang. Sangat alim akan SYARIAT, mampu menyingkap isi hati setiap insan dan mengetahui segala yang tersembunyi baik tipu daya nafsu, godaan syaitan, hatta amat mengetahui tentang Iblis itu.

6. NUJABA (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya lapan pada setiap zaman. Tidak berlebihan dan tidak berkurangan. Mempunyai kekuatan kerohanian yang tinggi walau mereka tidak mengusahakannya. Tidak siapa yang mengenal mereka melainkan orang yang maqamnya lebih tinggi dari mereka. Tetapi pada dirinya terserlah tanda-tanda kekeramatannya.

7. HAWARIYYUN (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya satu pada setiap zaman. Tidak berlebihan dan tidak berkurangan. Tugasnya adalah untuk membela agama, sama ada bersenjatakan pedang mahu pun bersenjatakan hujjah. Ia dikurniakan ALLAH ilmu, ketekunan beribadah, hujjah, kemahiran berpedang, keberanian, dan keteguhan. Maqamnya adalah mempertahankan kebenaran agama sebagaimana yang di SYARIATkan.

8. RAJABIYYUN (Semoga rdha ALLAH atas mereka) : Bilangannya empat puluh pada setiap zaman. Tidak kurang dan tidak lebih. Tugas mereka hanya untuk mengagungkan Allah.Terlalu sedikit orang yang mengetahui dan mengenal mereka. Mereka tersebar di beberapa tempat, tetapi mereka saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Dinamakan Rajabiyyun kerana kekuatan kerohaniannya berada ditahap paling tinggi di bulan Rejab. Di hari pertama bulan Rejab, seorang Rajab merasa sangat berat seperti sedang memikul beberapa lapis langit, sehingga tidak mampu mengerdipkan mata dan menggerakkan anggota badan. Ia hanya mampu berbaring dan sama sekali tidak mampu bergerak, berdiri, duduk, menggerakkan tangan dan kaki, atau mengerdipkan mata. Keadaan tersebut berkurang sedikit demi sedikit pada hari kedua dan ketiga bulan Rejab. Lalu ia mengalami mukasyafah, tajaliyyat, dan mampu mengetahui hal-hal ghaib. Akan tetapi ia masih tetap dalam keadaan berbaring. Setelah dua atau tiga hari, ia baru mampu berbicara sampai akhir bulan. Apabila bulan Rejab telah habis dan masuk bulan Syaaban, barulah ia mampu berdiri seperti terlepas dari jeratan. Keadaan para Rajab ini aneh dan tidak diketahui sebabnya dan hanya terjadi di bulan Rejab.

9. KHATMU (Semoga redha ALLAH atas mereka) : Bilangannya hanya ada satu sepanjang zaman, hanya ada satu di dunia. ALLAH menutup kewalian umat Muhammad SAW dengan kemunculannya. Tidak ada wali dari kalangan umat Muhammad SAW yang lebih besar daripada dia. Dia adalah penutup (khatm) terakhir yang dengannya ALLAH menutup kewalian yang ada dalam seluruh umat sejak Adam sampai wali yang terakhir. Dia adalah Nabi Isa AS.

To be continue .....


8 May 2011
4.15am


Sunday, May 8, 2011

XPDC Wonosobo : Menyingkap Tabir Qalbu ... Part 2


2011 ... sekali lagi ku jejakkan kaki ku di Wilayah Istimewa Yogjakarta .... tempat kelahiran arwah datuk ku .... sejak tiba ... tidak putus SMS dari kaum keluarga ku di situ yang menjemput ke rumah mereka di Bata Ganting, daerah Kraton.... maaf ahlil bait ... aku ada urusan lain ... insyaALLAH aku akan ke sana bulan hadapan ....



Pelabuhan Selatan, Yogjakarta .... disitulah tempat mendaratnya Sayyid Umar Abd Rahim Sutodrono As Syaibani sekitar tahun 1770-an dari Hadramaut .... dari situ musafirnya terhenti di Wonosobo yang mengambil masa perjalanan 10 jam dengan bas, merentasi banjaran gunung dan lereng curam .... Bagaimana agaknya tahun 1770-an ? Dulu tidak ada pengangkutan modern dan jalan tar ... mungkin juga daerah Wonosobo merupakan hutan belantara ... Hanya orang yang benar-benar mempunyai tekad dan misi yang bisa menerobos jalan dan membina penempatan di daerah ini.

Aku sempat meninjau tapak rumah tempat kelahiran Syeikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi di Sudagaran, Wonosobo. Sebuah masjid gagah berdiri di bekas tapak rumahnya. Di situlah bermula perjuangannya.

Dari Sudagaran ke Kaligantung .... dari lembah permai ke kemuncak banjaran yang damai .... Lokasi yang strategik bagi membina kubu pertahanan ... dan menjadi tempat yang cukup tenang untuk beruzlah ... Di era 2011 juga terasa betapa mencabar melalui jalan di lereng banjaran untuk ke Kaliguntung .... apatah lagi di tahun 1770-an yang segala-galanya serba kuno .... HANYA YANG BENAR-BENAR MEMPUNYAI CITA-CITA yang bisa bertapak di situ .....

Sayid Umar Abdul Rahim As Syaibani .... merantau dari Hadramaut ke Yogjakarta, Pulau Jawa ... bersama satu misi .... MENEGAKKAN HUKUM SYARIAT ALLAH di muka bumi ini .... Sekitar tahun 1825 hingga 1830 ... berlaku Perang Jawa atau Perang Deponogoro. Perang yang mengorbankan 200,000 jiwa demi mempertahankan Islam dari dinoda oleh kekufuran Belanda .... Syeikh Umar Abdul Rahim As Syaibani berdiri di sisi Pangeran Deponogoro sebagai senapati (disebut Dewa Perang oleh tentera Hindu yang bersekongkol dengan Belanda) yang tak pernah gentar berdepan dengan Belanda. Malah namanya adalah sebaris senapati (Panglima Besar) kepada Pangeran Deponogoro yang lain seperti Kiai Maja dan Sentot Alibasyar. Bedanya cuma, nama Sayid Umar Abdul Rahim As Syaibani tidak tercatat sebagai senapati yang menyerah diri kepada Belanda setelah Perang Deponogoro berpihak kepada Belanda. Kerana jasanya dalam jihad Deponogoro, Sayid Umar As Syaibani di anugerahkan gelaran SUTODRONO.

Hanya orang yang mempunyai IMAN yang teguh saja yang mampu mengharungi segala kepayahan demi melihat kalimah ALLAH tertegak di muka bumi.

Dan fikiran ku melayang lagi .... satu persatu kata-kata pesanan arwah datuk ku datang bertamu .... intipatinya pernah ku coretkan dalam notes ku di link Rahsia Iman ... Kunci Cinta Sejati (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/rahsia-iman-kunci-cinta-sejati.html)

Tentang IMAN .....

*****************************

Ketahuilah oleh mu bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain. Dan tiadalah yang lebih berharga melainkan memberi manfaat iman dan Islam. kerana iman itu harta yang paling berharga, kerana iman yang sebesar zarah mampu menyelamatkan diri dari menjadi bahan bakar api neraka.

Sesungguhnya orang yang sebenar-benar beriman ialah seperti disebut oleh ALLAH di dalam Al Quran (Al Anfal : 2) :

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Al Anfal : 2)

Andainya diri dan hati mu masih tidak terkesan dan gementar tatkala kalimah ALLAH dilafazkan, sedarilah bawa diri mu masih jauh dari iman yang haq dan pastinya lebih jauh dari sifat TAQWA, kerana iman yang haq itu adalah sesuatu yang dibenarkan oleh hati, diiqrarkan dengan lisan dan di amalkan dengan perbuatan. Inilah takrifan iman.

************************************

Itulah antara ungkapan muqaddimah arwah datuk ku sebelum mensyarahkan persoalan iman dari Kitab Al Jauhar Al Mauhub di madrasah usangnya yang hanya menempatkan anak-anak fakir miskin dan yatim .....

Sedikit sebanyak, cara-cara mendapatkan iman dan menguatkan iman demi kebahagaiaan dan ketenangan hati, pernah ku tulis dalam notes ku berdasarkan syarahan arwah datuk ku. Sahabat-sahabat sekelian boleh membaca semula di link berkenaan (http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/08/jalan-iman.html)

Iman adalah syarat untuk mencapai maqam taqwa ... Taqwa itu penting kerana ......

*************************************

Dan ingatlah, bahawasanya nilai manusia di sisi ALLAH itu bukanlah disebabkan oleh pangkat dan nasab keturunan. Tidak juga kerana ilmu yang menggunung. Lebih-lebih lagi bukan harta yang terkumpul.

Seseorang yang kuat berjuang, gelaran selayaknya hanyalah mujahid.

Seseorang yang luas lautan ilmunya, gelaran selayaknya hanyalah alim.

Seseorang yang banyak ibadahnya, gelaran selayaknya hanyalah a'bid.

Seorang yang banyak bersedekah, gelaran selayaknya hanyalah munfiq.

Seorang yang gigih berdakwah, gelaran selayaknya hanyalah da'ie.

Kesemuanya belum tentu layak beroleh gelaran muttaqin (yang betaqwa) di sisi ALLAH, kerana mereka belum tentu selamat dari ujub dan riya'.

Ada pun, taqwa itu adalah melakukan segala apa yang ALLAH suruh dan meninggalkan segala apa yang ALLAH tegah.

Andainya engkau mahu dicintai ALLAH, rebutlah maqam taqwa. Kerana taqwa menjanjikan ketenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat ....

********************************************

Taqwa, nilai manusia disisi ALLAH ... sejauh mana usaha kita untuk mencapai maqam taqwa ? Aku pernah menulisnya dalam notes ku di link berikut. http://musafirseoranghamba.blogspot.com/2010/10/taqwa-nilai-manusia-di-sisi-allah.html

Sebagaimana tidak jemu Khatib memberi pesanan taqwa di atas mimbar setiap Jumaat. Begitu jugalah arwah datuk ku yang tidak lepas memberi pesanan taqwa. Kerana hanya taqwa yang menjadi nilaian di sisi ALLAH. Bukan pangkat dan nasab keturunan, harta yang bertimbun dan . Ini hakikatnya ....

Masih basah diingatan ku ...intipati khutbah Jumaat oleh arwah datuk ku seminggu sebelum dia kembali ke rahmat ALLAH ....

************************

Wahai para hartawan .... ingatlah .... timbunan harta mu tidak bernilai di sisi ALLAH tanpa sifat taqwa. Andainya engkau bermegah-megah dengan kemewahan mu di kala jiran mu kebuluran, bersedialah menghadapi hisab yang amat berat di mahsyar. Hanya sifat taqwa yang bisa menyelamatkan mu dan mendidik diri mu menjadi bayangan Saidina Abdul Rahman Bin Auf.


Wahai para umarak ... ingatlah .... kekuasaan mu hanyalah bagai segelas air di tengah padang pasir. Di kala engkau kehausan, takhta, kekuasaan dan kebesaran sudah luput dari hati sanubari mu. Yang engkau dambakan hanyalah segelas air di tengah padang pasir. Begitulah bidalan kerajaan milik mu yang TIDAK SETARA kerajaan milik ALLAH kerana nilaian ALLAH hanyalah taqwa. Sejauh mana engkau mampu melaksanakan yang wajib dan sejauh mana engkau mampu menjauhi yang haram dan menghiasi hidup mu dengan amalan sunat, sejauh itulah nilaian ALLAH atas amal taqwa mu. Malah kerajaan dan rakyat milik mu menjadi bebanan buat diri mu atas kemungkaran dan maksiat yang mereka lakukan. Sedarlah bahawa sebelah kaki mu di dalam syurga dan sebelah lagi di dalam neraka. Maka perbanyakkanlah taubat agar subur rasa kehambaan dalam diri mu. Lantas engkau tidak akan berpaling dari kebenaran sebagaimana Umar Abdul Aziz yang meratai keadilan kepada rakyatnya hingga serigala bisa duduk sekandang bersama kambing gembalaan.


Wahai para ulamak .... ingatlah .... lautan ilmu mu tidak berguna andainya engkau tidak terjun ke tengah masyarakat untuk mendidik mereka ke jalan iman dan taqwa. Andainya diri mu lalai dan berpaling dari menjadi murabbi, nescaya malanglah nasib mu di akhirat sana. Ilmu mu itu sendiri yang akan mencampakkan diri mu ke lembah azab sengsara. Maka suburkanlah sifat taqwa dalam diri mu agar ilmu mu menjadi jariah buat mu di akhirat sana. Ketahuilah, bahawa iman dan Islam itu tidak mengenal batas sempadan negara dan bangsa. Selagi kudrat mu masih bernyawa, sampaikanlah ilmu dan didiklah umat sebagaimana Abu Hassan Al Asy'ari, Muhammad Bin Idris As Syafie dan Abu Hamid Mohamad Al Ghazali, agar umat ini kenal Tuhan yang selayaknya di sembah dan kenal akan hukum syariat ALLAH SWT.

Wahai para bangsawan .... ingatlah .... bahawa iman dan taqwa itu bukan warisan. Sejauh mana engkau mentaati perintah ALLAH dan sejauh mana engkau menjauhi larangan ALLAH, sejauh itulah kasih sayang ALLAH bersama diri mu. Andainya diri mu masih berlazat-lazatan dengan dosa dan kemungkaran, tiada erti nilai kebesaran dan keagungan darah nasab keturunan. Kerana yang di nilai oleh ALLAH di akhirat kelak HANYALAH TAQWA. Walau setinggi mana mulia nasab keturunan mu, apakah sama dengan amalan Mus'ab Bin Umair ? Walau lahirnya sebagai bangsawan, hidupnya bagaikan fakir miskin dan matinya sebagai syuhadak. Ketahuilah oleh mu bahawa medan Uhud menjadi saksi bahawa jasad syuahadak Mus'ab Bin Umair hanya ditutupi oleh pelepah tamar kerana kefakirannya diluar kemampuan untuk memiliki kain yang mencukupi. Andainya amalan mu tidak setara Mus'ab Bin Umair, sedarilah bahawa diri mu masih jauh dari sifat taqwa dan masih jauh untuk di nilai oleh ALLAH sebagai muttaqin.


Wahai para da'ie .... ingatlah .... segigih mana usaha mu menyeru ke arah ma'aruf dan mencegah kemungkaran, tak kan sama pengorbanan para sahabat Rasulullah SAW di jalan ALLAH, lebih-lebih lagi takkan sama pengorbanan Rasulullah SAW yang menggadaikan keseluruhan hidupnya untuk iman dan Islam. Tanyailah diri mu, apakah kemahsyuran yang kau dambakan dalam berdakwah atau apakah nikmat iman dan Islam menjadi milik umat manusia yang ingin kau wariskan ? Apakah setara usaha dakwah mu dengan Muaz Bin Jabal yang berjalan kaki dari Madinah ke bumi Yaman semata-mata menyampaikan seruan Islam tanpa meminta upah walau setitis air mahu pun sebutir gandum ? Ketahuilah, sesungguhnya jalan menuju ALLAH itu penuh onak, ranjau dan kepahitan ... kerana di hujung perjalanan itu adalah syurga yang manis. Maka berlemah lembutlah, berlemah lembutlah, lantas berani kerana benar !!! Kerana ini adalah salah satu sifat taqwa.


Wahai para sufi .... ingatlah .... tanggungjawab mu bukan sekadar berwirid zikir, tetapi lebih kepada menghampirkan diri kepada ALLAH. Sayugianya orang yang hampir kepada ALLAH menjadi juara dalam mendidik masyarakat ke arah iman dan taqwa. Kerana dengan hampirnya diri mu kepada ALLAH, maka tersingkap segala rintangan dan dipermudah segala urusan berkat kasih sayang dan rahmat ALLAH kepada mu. Anugerah sufi tidak sepatutnya menjadikan diri mu jumud dan berselindung di sebalik tasbih dan suluk untuk tidak berjuang. Sebaliknya engkaulah yang sepatutnya memimpin umat ke arah melaksanakan titah perintah ALLAH dan menghindari larangan ALLAH sebagaimana Muhammad Al Fateh dan Salahuddin Al Ayyubi.

Wahai para muslimin ... ingatlah .... sebanyak mana dan segigih mana engkau beribadah .... jangan sesekali hati mu berjinak-jinak dengan rasa ujub dan riya'. Ketahuilah, bahawa ujub dan riya' itulah pemusnah segala amalan. Sedekah para hartawan tiada nilai di sisi ALLAH kerananya. Khidmat para penguasa dan umarak tiada nilai di sisi ALLAH kerananya. Ilmu para alim ulamak tidak menjadi jariah kerananya. Kemuliaan nasab keturunan menjadi hina kerananya. Pengorbanan para da'ie menjadi debu bererbangan kerananya. Zikir, wirid dan alam kerohanian para sufi menjadi tipu daya semata kerananya. Dan hakikatnya adalah, Azazil menjadi Iblis kerananya.

Ketahuilah oleh mu bahawa jalan ujub dan riya' bukan dari jalan tariqat dan bukan dari jalan menuju ALLAH. Andainya rasa ujub dan riya' itu yang engkau pilih, sama sekali binasalah hidup mu di dunia dan azab sengsaralah diri mu di akhirat.

*************************


Lamunan ku terhenti .... aku sudah sampai di Kaliguntung untuk menziarahi Yang Umar Sutodrono .... semoga ALLAH mengharumkan pusara mu dengan haruman yang semerbak dan sejahtera ............


7 May 2011
5.15 am



.