Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Sunday, December 19, 2010

INILAH DIRI KU YANG HINA LAGI BANYAK DOSA ....


Aku pernah, dan tidak malu menceritakan kepada student ku, yang aku berasal dari keluarga yang miskin. Aku tidak pernah malu menceritakan kepada student aku, yang ayah ku terpaksa berhutang dengan orang-orang kaya demi menyekolahkan kami adik beradik. Aku juga tidak pernah malu menceritakan kepada student aku, yang aku ada 2 orang kakak, 2 orang abang dan seorang adik, dan kakak ku yang sulung tidak pernah bersekolah kerana kemiskinan keluarga ku.



Aku menceritakan, sejak usia ku tujuh tahun, aku bersama dua orang abang ku. Sebaik selesai solat Subuh, kami akan menjinjing dua bakul seorang di kiri dan kanan tangan. Sebuah bakul penuh berisi bungkusan nasi lemak. Sebuah bakul lagi berisi kuih-muih. Kami akan menjaja ke seluruh kampong. Setelah habis terjual, kami pulang ke rumah dan bersedia untuk ke sekolah di waktu petang.



Di rumah ku, ada dua jenis beras. Satu beras patah/beras hancur yang murah harganya. Satu lagi beras biasa yang bermutu. Beras patah/hancur adalah untuk makanan kami sekeluarga. Beras biasa adalah untuk dijadikan nasi lemak buat jualan ke seluruh kampong. Kadang-kala, bila teringin nak rasa kemanisan dan kelemakan beras biasa, kami adik beradik berpakat menyembunyikan sebungkus nasi lemak. Sebungkus nasi lemak itulah kami makan bertiga beradik. Begitulah hidup kami sewaktu kecil.



Sewaktu bersekolah, sejak darjah satu hinggalah ke tingkatan tiga, aku tak pernah beruniform lengkap ke sekolah. Sebab keluarga ku di luar kemampuan untuk menyediakan uniform tersebut. Aku tak pernah malu bercerita kepada student ku, aku berjalan kaki sejauh 3 batu pergi, 3 batu balik semata-mata untuk menimba ilmu ke sekolah. Kaki ku hanya berlapikkan selipar jepun. Kadang-kadang terpaksa berkaki ayam kerana selipar yang ku pakai putus dipertengahan jalan.



Aku juga tidak pernah malu untuk menceritakan kepada student ku, pernah sekali sewaktu berjalan kaki balik dari sekolah pada tahun 1982, aku melalui tempat pembuangan sampah. Aku terjumpa sepasang kasut yang dibuang. Kasut tersebut lalu ku kutip. Aku dapati kasut tersebut koyak dibahagian depannya. Dengan rasa gembira, kasut koyak tersebut ku bawa pulang ke rumah. Selesai solat Maghrib, aku ke belakang rumah mencari saki-baki tali jala milik ayah ku. Dengan tali jala itulah aku menjahit bahagian depan kasut yang koyak. Keesokannya, aku ke sekolah memakai kasut “baru”. Di sekolah dengan bangga, aku menayangkan kasut yang ku kutip dari tempat pembuangan sampah kepada rakan-rakan sekolah ku. Tiga atau empat hari sekali, jahitan tali jala tersebut putus, dan aku akan menjahitnya semula. Sehinggalah aku menjumpai sebatang raket badminton yang patah di tempat pembuangan yang sama. Tali raket badminton itulah yang aku gunakan untuk menjahit kasut tersebut menggantikan tali jala. Dan hasilnya, jahitan kasut tersebut bertahan lebih lama.



Selepas peperiksaan SRP, aku mendapat tawaran masuk ke tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama penuh. Barulah aku mempunyai uniform sekolah yang lengkap. Itu pun ayah ku terpaksa berhutang dengan orang untuk menyediakan kelengkapan sekolah ku.



Selepas SPM, aku menjalani kursus Matrikulasi di sebuah IPTA di utara semenanjung. Tempat yang paling jauh dari rumah yang aku pernah pergi. Kursus matrikulasi berjalan selama dua tahun. Aku masih ingat. Ibu dan bapa ku, menghantar aku ke MRSM Kulim menaiki bas Transnasional. Bertolak jam 8.00pm dan sampai ke Butterworth di waktu subuh keesokan harinya. Dari stesen bas Butterworth, kami menaiki bas henti-henti ke Kulim. Sepanjang proses pendaftaran, ayah dan mak aku tak henti-henti berpesan :



“Jaga diri baik-baik kat tempat orang.”

“Jangan gaduh-gaduh bertumbuk.”

“Belajar rajin-rajin, jangan ponteng kelas.”



Dan pesanan yang paling menyentuh hati ……….



“Kita orang miskin. Abah tak pasti boleh hantar duit untuk engkau kalau nak balik waktu cuti. Kalau abah tak dapat hantar duit, kau duduk saja asrama ya. Ulangkaji pelajaran.”



Tak dapat aku bayangkan, tatkala aku menghantar ibu dan ayah ku keluar dari pintu pagar MRSM Kulim selepas pendaftaran ku sempurna. Mereka berjalan kaki dari pintu pagar MRSM Kulim ke stesen bas yang jaraknya lebh kurang sebatu. Sayu sangat. Aku masih ingat kata-kata ayah ku sebelum dia meninggalkan aku di MRSM Kulim :



“Abah nak engkau belajar bersungguh-sungguh. Carilah ilmu banyak-banyak. Walau kita miskin harta, tapi jangan sampai kita miskin ilmu. Orang yang berilmu tak akan jadi anak tiri kepada masyarakat.“



******************************



Sebaik tamat kursus matrikulasi selama dua tahun, aku mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di bidang perubatan di Royal College of Surgeon, Dublin. Tawaran tersebut aku terima dengan hati yang amat gembira. Di kotak fikiran ku, sudah terbayang-bayang aku merawat orang sakit di hospital.




Tak sabar untuk aku maklumkan kepada kedua orang tua ku. Segala usaha ku lakukan untuk meminjam duit dari kawan-kawan. Alhamdulillah, berkat membuat muka welfare kepada sahabat-sahabat ku, aku dapat meminjam RM 80.00. Destinasi pertama ku, stesen bas Butterworth. RM 20++ aku gunakan untuk beli tiket balik ke kampong. RM 20++ aku belikan buah tangan untuk ibu dan ayah ku. RM 20++ untuk aku beli tiket untuk balik ke Butterworth. Baki duit yang ada, akan aku belikan lauk-pauk basah untuk aku menjamu ibu dan ayah ku sempena kejayaan ku mendapat tawaran dari university yang tersohor dalam bidang perubatan.



*************************************



Malam itu, aku menaiki bas dari Butterworth, untuk balik menemui ibu dan ayah ku. Sepanjang perjalanan, aku membayangkan kegembiraan yang bakal terukir di wajah ibu dan ayah tercinta. Tidak lupa juga aku berangan-angan memegang stethoscope, memeriksa pesakit, menulis laporan perubatan dan lain-lain lagi sehingga aku terlena, tenggelam oleh angan-angan ku.



Subuh …. Aku sudah pun selesai solat subuh, sebaik sampai dari Butterworth. Dari stesen bas, aku berjalan ke pasar basah yang berhampiran. Ikan cencaru, sayur bayam dan fish ball. Itulah yang ku belikan buat menjamu ibu dan ayah ku. Bagi keluarga ku, lauk sebegini memang amat “mewah”. Lantaran kemiskinan, pucuk paku, kangkung, ikan kering, telur ayam atau “ikan-ikan reject” yang menjadi hidangan asasi kami sekeluarga. Itu pun ayah ku sering mengingatkan kepada kami, seandainya kita bersyukur dengan rezeki yang ada, ALLAH akan tambahkan kita dengan rezeki yang lain.



Habis berbelanja … ku dapati duit yang berbaki hanyalah 20 sen. Maka terpaksalah aku menapak, berjalan kaki dari pekan kecil tersebut untuk balik ke rumah yang jauhnya lapan batu. Sedang aku berjalan bersendirian sambil menyambung angan-angan ku, sebuah lori kecil membawa tong ikan kosong berhenti di sebelah ku. Kamal yang mengambil upah menghantar tong ikan dari jeti ke pasar, bersama adiknya Jijoi. Kamal mempelawa aku naik lorinya untuk menghantar aku balik ke rumah.



Kepulangan ku, mengundang kejutan bercampur gembira. Mana tidaknya, sudah hampir dua tahun aku tidak balik ke kampong. Hanya sekeping warkah yang aku kirim buat penyambung kasih sayang seorang anak kepada ibu bapanya setiap bulan. Aku dipeluk dan dicium oleh ibu ku yang mulia. Juga tidak lupa di dakap oleh ayah ku yang dirahmati. Mereka gembira, excited, teruja dan entah apa-apa lagi terminology yang aku sendiri tidak tahu nak sebut di sini.



Lauk basah yang ku beli kuhulurkan kepada kakak sulung ku.



“Mie belanja makan tengahari ini” … ujar ku … semakin manis senyuman ibu ku yang penyayang. Aku sudah terbayang, wajah ibu dan ayah ku akan semakin ceria dan manis tatkala aku menunjukka surat tawaran belajar ku nanti.



Selepas sarapan, perlahan ku unjukkan surat tawaran kepada ayah ku tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hanya sekuntum senyuman.



Ayah ku membuka surat tersebut. Ibu ku mendekati ayah ku, ingin turut sama mengetahui isi kandungan surat yang ku hulurkan.



ALHAMDULILLAH. SYUKUR PADA MU YA ALLAH



Itulah yang terpancar dari mulut ibu ku. Senyumannnya semakin manis. Ku lihat air mata gembira menitis dari mata ibu ku yang ku kasihi.



Ayah ku, tersenyum dan menangis……. Speechless….. Kegembiraan tergambar di wajahnya. Perlahan dia menghampiri ku. Tubuh ku dipeluk erat.



“Doa ayah telah Allah makbulkan” … bisik ayah ku sambil dakapannya semakin erat.

“Ayah hendak engkau jadi orang berguna.”

“Biarlah kita miskin harta, jangan kita miskin ilmu.”

“Ingat pesan ayah…. Orang berilmu tak akan jadi anak tiri kepada masyarakat.” … bisiknya dengan suara yang semakin sebak dan sayu.



Aku turut menangis ………



*****************************************

Selepas mandi pagi di telaga …….



Ibu ku sedang sibuk menyiang ikan cencaru yang ku beli, sambil dibantu kakak sulung ku.

Dari tingkap rumah usang ayah ku, ku lihat … ayah ku sedang duduk termenung sendirian di dalam perahunya.



“Kenapa ayah tu mak ? Dia tak ke kilang sawmill ke ? Muka nampak sedih je. Dia tak suka ke Mie dapat tawaran belajar ke luar Negara ?”



Sambil tersenyum, ibu ku mencuci tangannya. Lengan baju yang disingsing paras siku dibetulkan. Dia berjalan kea rah ku yang sedang duduk di tingkap rumah.



“Bukan dia tak suka.” Ujar ibu ku sambil tersenyum, sambil duduk bersimpuh di sebelah ku memerhatikan suaminya tercinta.

“Ayah tengah fikir, kat mana nak cari duit untuk hantar kamu belajar.”



Tersentak hati ku.



Perasaan ku berubah sekelip mata.



Baru sebentar tadi, aku amat gembira dengan tawaran yang aku terima. Kini perasaan ku bercampur-baur. Kesedihan, kemarahan, kekecewaan …. Dan yang paling ketara …. Rasa bersalah kepada ayah dan ibu ku ………



Dari jauh ku renung kakak sulung ku yang tak pernah bersekolah. Andainya di tulis huruf “A” sebesar pokok kelapa, kakak ku itu tak kenal yang itu adalah huruf “A” kerana waku itu keluarga ku tidak mampu untuk menghantarnya ke sekolah untuk belajar. Kertas berwarna biru adalah duit seringgit. Kertas warna hijau adalah duit lima ringgit. Kertas warna merah adalah duit sepuluh ringgit. Begitulah cara kakak sulung ku mengenal nilai matawang Malaysia. Dia korbankan masa depannya untuk tidak bersekolah demi memberi peluang kepada adik-adiknya untuk memperolehi pelajaran yang lebih baik darinya.



Kakak ku yang kedua, sedang melanjutkan pelajaran di bidang kejuruteraan di Melbourne, Australia. Disusuli oleh abang ku di bidang arkitek di Newcastle, Australia. Abang ku seorang lagi belajar dibidang pendidikan disebuah IPTA. Ayah ku terpaksa berhutang dengan “boss”nya. Malah untuk menghantar aku mendaftar untuk kursus matrikulasi dulu pun, ayah ku berhutang RM 500.00.



Aku termenung …. “Sungguh besar pengorbanan ibu dan ayah ... dan aku menyusahkan orang tua ku” …. Bentak hati ku … rasa bersalah menyelubungi diri. Sedikit demi sedikit rasa sedih datang bertandang. Aku terdiam seketika. Aku terasa tangan ibu memicit-micit sebelah bahu ku. Ku renung wajah ibu.



“Mak bangga dengan anak-anak mak”



… kata ibu sambil tersenyum. Ku lihat setitis air mata mengalir di sudut matanya. Senyum ibu ku balas. Perlahan tangannya ku alihkan dari bahu ku, lalu ku kucup.



“Mak, doakan mie ya. Mie tak mahu jadi anak derhaka. Mie nak mak dan ayah gembira selalu”



Lantas aku bangun dari tempat duduk ku, meninggalkan ibu ku berseorangan.



“Mak, Mie nak ke masjid buat solat dhuha”



Di masjid, selesai solat dhuha …. Aku menangis …. menangis ….menangis …. dan menangis.

Apakah aku ini menyusahkan ibu bapa ku?

Dan aku beriktiqaf di masjid dari pagi hinggalah zohor.



***********************************



Selepas solat maghrib, aku kucup tangan ibu dan ayah ku sebelum keluar rumah untuk menaiki bas balik ke Butterworth. Pesan ayah ….



“Ayah nak engkau jadi orang berilmu. Ayah nak engkau berjaya di dunia dan akhirat. Ingat pesan ayah. Orang berilmu tak akan jadi anak tiri kepada masyarakat.”



Kamal dan Jijoi sudah menanti di dalam lori ikannya. Mereka akan menghantar aku ke stesen bas di pekan.



Malam itu, sepanjang perjalanan air mata ku mengalir.



**************************************



Monday blues … Aku tak ada mood untuk ke kelas hari ini. Bukan sebab keletihan dek perjalanan yang jauh. Tetapi disebabkan keputusan yang telah ku buat.



Di bilik hostel , aku menulis sepucuk surat. Ku tujukan kepada Pengarah Matrikulasi. Tajuk surat rasmi tersebut ….. MENOLAK TAWARAN UNTUK MELANJUTKAN PELAJARAN KE LUAR NEGARA.



Tengahari itu, aku sendiri ke Pusat Matrikulasi dan menghantar sendiri surat berkenaan.



Malam itu aku seperti biasa, memanjat bumbung Desa Gemilang dan melihat suasana malam sendirian sambil bertemankan air mata ………….



************************



Selepas solat malam …. Di kala room mate ku sedang nyenyak tidur, aku menulis sepucuk surat kepada ibu dan bapa ku. Dan aku menulis bersama linangan air mata. Surat yang memaklumkan kepada mereka, bahawa aku telah pun menolak tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Royal College of Surgeon. Alasan yang ku berikan ialah ….. DI LUAR NEGARA TIDAK ADA NASI KERABU …. Satu alasan bodoh, yang sengaja ku reka untuk menyokong keputusan ku demi mengurangkan bebanan yang di tanggung oleh ayah ku. Tak tergamak ku lihat ayah ku bersusah-payah menambah hutang demi melihat aku belajar.



Wahai student ku,



Aku yakin, tidak ada seorang pun dari kamu yang pernah melalui saat getir dan kepayahan yang pernah aku lalui. Di sini, ku lihat diri mu semua enak diulit kemewahan yang disiram oleh ibu bapa mu. Engkau datang kuliah bersama kereta yang dipandu oleh diri mu. Kancil, Iswara, City, Vios malah BMW. Tidak seperti ku yang hanya berjalan kaki dibawah terik sinar mentari.



Di kaki mu tersarung kasut berjenama. Tidak seperti ku, kasut yang pernah tersarung di kaki ku, aku kutip dari tempat pembuangan sampah. Itu pun aku terpaksa jahit menggunakan tali jala dan tali dari raket badminton yang juga ku kutip dari tempat pembuangan sampah.



Bila malam menjelang, engkau semua bepeleseran di bandar. KFC, Mc Donald, Pizza Hut malah tak lupa juga premis karaoke bersama syisha yang menjadi santapan diri mu. Jika dibandingkan diri ku sekeluarga yang menjadikan kangkung, pucuk paku, pegaga, ikan kering sebagai lauk asasi. Malah makanan ku juga bercatu sewaktu melanjutkan pengajian program Degree. Untuk meneruskan hidup di negeri orang sambil belajar, aku terpaksa membuat kerja luar. Mendaki anak-anak tangga flat dan apartment menjual akhbar. Menebas hutan belukar dan menambun tanah di lubuk, paya dan tasik untuk membuka kampong. Semata-mata untuk mendapat sekelumit upah bagi meneruskan hidup dan belajar.



Dan dalam kepayahan dan keperitan ku dulu, kini aku berdiri di depan mu. Dengan suara lantang aku memberi kuliah kepada mu. Aku menjadi guru kepada mu.



Andainya dalam keadaan serba daif dan kekurangan, aku mampu berjaya berdiri di depan mu sebagai guru mu. Hanya satu soalan dari ku untuk mu ….



MENGAPAKAH KAMU YANG DILILLIT DENGAN SEGALA KEMUDAHAN DAN KEMEWAHAN MASIH TIDAK MAMPU BERJAYA DI DALAM PELAJARAN MU ?



Tidak malukah diri mu kepada seorang yang hidup miskin papa kedana dan melarat tetapi berjaya menjadi guru kepada diri mu ?



Sepatutnya dengan nikmat kemewahan yang kau miliki, engkau mampu berjaya 10 kali ganda dari diri ku.



Sahutlah cabaran ku. Sahutlah cabaran ku. Sahutlah cabaran ku.



Untuk engkau berjaya 10 kali ganda dari kejayaan yang telah ku raih.



Sebagai guru kepada diri mu, aku ingin lihat diri mu lebih berjaya dari diri ku, bukan sahaja di dunia, malah juga berjaya di akhirat.



Dan ingatlah pesanan ku .....



ORANG YANG BERILMU, TIDAK AKAN MENJADI ANAK TIRI KEPADA MASYARAKAT





Le Petit Nice Passedat Hotel

Marseille

31 July 2010

3.15 am





5 comments:

  1. salam sir.. sayu sy bc kisah sir..
    btol kata sir, spttnya, kmi boleh mncapai kjyaan lebih dr apa yg sir prnh lalui..
    insyaallah, akan saya sahut cabaran sir tue..
    doakan kejayaan anak2 didikmu ini sir..
    terima kasih sir!!

    ReplyDelete
  2. wasalam

    ramai antara students yg datang dari jauh dan saya yakin TIDAK ADA seorang ibu bapa pun yang nak lihat anak2 mereka gagal dalam pembelajaran. Jangan hampakan harapan ibu bapa. Ingat pesan saya ... Orang yang berilmu tidak akan jadi anak tiri kepada masyarakat ;-)

    ReplyDelete
  3. sharifah nurkhathijahDecember 26, 2010 at 10:25 PM

    assalamualaikum...
    sir..saya adik shnorhazimah... die yg share dgn sye blog sir nie..
    sayu sye bce.. sye kagum dgn diri sir..btul kata sir, knpe kami,student skrg ade yg masih x ambil berat pasal pelajaran sdgkan kemudahan mcm2 ad..
    tq banyak2 kat sir sbb sir byk bri kata2 smgt kat atas.. sir, doakan kami agar dapat menyahut cabaran sir...
    syukran sir!

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah

    Kita semua dilahirkan ada tanggungjawab. Sebagai student, tanggungjawab awak ialah belajar bersungguh2. Jangan abaikan pelajaran. Sebab pelajaran yang bakal menentukan hala tuju masa depan kita. Tak rugi kita bersusah2 menimba ilu. Kerana sesudah menjadi orang yng berilmu, kita yang mencatur masa depan kita. Saya suka melihat student saya menjadi orang yg lebih berjaya dari saya. Setiap kali berdoa, saya akan kembarkan doa untuk anak2 saya bersama2 students saya. Sebagaimana saya ingin lihat anak2 saya berjaya, begitu juga saya nak lihat students saya berjaya. Semoga kita semua beroleh kejayaan di dunia lebih2 lagi di akhirat ;-)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum
    saya baru terbaca entry ni... mohon share...
    boleh dijadikan semangat untuk saya dan kawan-kawan dalam meneruskan alam pengajian...
    saya kagum dengan semangat penulis entry ni..
    sesungguhnya pelajar pada masa sekarang lebih beruntung...

    ReplyDelete