Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Monday, January 10, 2011
Wahai Gadis Ku ...........
Segala pujian ku panjatkan kepada Yang Maha Kuasa dan dengan nama-NYA ku mulai surat ku ini. Selawat dan salam ku hulurkan kepada junjungan besar baginda Rasulullah SAW, keluarga dan sahabatnya. Dan dengan panduannya ku atur risalah ini... khas untuk mu wahai gadis!.....
Sesungguhnya aku tidak tahu benar tentang dirimu wahai gadis ku. Aku sedar, ilmu ku tentang tubuh lahir mu tidak lebih daripada pakaian pembalut tubuh mu. Jauh, jauh sekali untuk aku memahami tubuh batin mu yang berupa emosi, fitrah akal dan jiwa halus mu. Ku akur kekurangan ku tentang mu, maka di awal surat ku ini ku susun sepuluh jari meminta maaf dari mu, kalau-kalau pena ku terlanjur melukai hati mu, atau mencemarkan kesucian fitrah mu, atau meleset daripada hakikat diri mu.
Aku tahu sewajarnya orang yang sehormon dengan mu yang menulis tentang diri mu. Bukan aku! Orang yang berlainan hormon. Biar pun demikian, aku gagahi jua jari-jari ku untuk mencoretkan secebis bingkisan buat mu, kerana aku pun tahu yang engkau begitu kepingin menatap coretan ku. Sementelahan pula aku bukan menyingkap tabir jasad mu, bukan mencungkil rahsia diri mu, apalagi mengkoreksi lahir batin mu. Apalah salah ku, kalau aku aturkan kata-kata ku di sini untuk memaparkan cetusan perasaan dan pendapat ku yang sering timbul tenggelam dalam benak ku. Dan, kalau sesekali aku tersinggung tenang diri mu berdasarkan nas Tuhan ku dan Tuhan mu, atau nabi ku dan nabi mu, kau tentu menerima bukan?
Wahai Gadisku.....................
Ketika aku mengingati kalimat berikut ini..... (wahai sekalian manusia, takutilah kamu akan Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari tubuh yang satu) An-Nisa’ ayat 1. Atau... ..(sesungguhnya wanita itu saudara seibu sebapa kaum lelaki) Wanita: Dr. Mustafa Assiba’iy m/s 15, riwayat Ahmad. Sering kali aku merungut tentang kejahatan sebahagian lelaki. Mereka tak ubah seperti binatang atau lebih sesat. Aku tertanya-tanya ke mana perginya perasaan mereka terhadap saudara sendiri? Apakah mereka lupa bahawa orang yang tidak bersimpati itu tidak akan dikasihi? Apakah mereka ketandusan sifat kemanusiaan mereka, atau memang mereka kehilangan sifat itu?... Ah, aku cukup jengkel tentang mereka!
Ada kalanya aku juga terfikir kenapa perempuan sering kali menjadi mangsa lelaki? Dan bukan lelaki yang menjadi mangsa perempuan? Atau .... lelaki juga menjadi mangsa?!!! Mangsa runtuhan nafsu! Mangsa pengongkolan adat! Mangsa penyakit sosial! Mangsa perempuan jalang! Dan mangsa penipuan dan godaan syaitan! Ah, aku kesal.
Wahai Gadisku............
Aku turut bimbang, kau yang ku cintai juga menerima angka giliran pemangsa-pemangsa itu. Umpama ramai gadis-gadis kini yang mula berjinak-jinak dengan jerat pemangsa, akhirnya mereka menjadi mangsa! Paling tidaknya mangsa cinta! Peringkat awalnya hanya mahu main-main cinta kononnya mahu mengecap nikmat cinta! Sesudah sekian lama, cinta itu menjadi barah yang tidak mampu dirawat lagi. Akhirnya ia terlantar di wad ‘pesakit cinta’. Aku teringat ungkapan bapak HAMKA dalam sebuah bukunya.... “cinta itu suatu penyakit. Tetapi orang yang ditimpanya tidak mahu lagi sembuh! Ganjil bukan?”
Bukan juga kalimat itu. Orang yang diserang demam cinta, atau dijangkiti penyakit cinta jangan diusik-usik. Tak usah dirawa-rawat. Nanti orang yang merawat menjadi mangsa korban orang yang sakit cinta. Kenapa? Kenapa orang yang ditimpa penyakit cinta merasa segar dengan lamunan cintanya, nikmat dengan khayalan cintanya! Apabila kesegaran dan kenikmatannya dicerobohi, tentu saja ia akan bangkit mempertahankannya. “Mempertahankan hak peribadi”, katanya. Padahal kalau dihitung masa bercintanya yang menelan usia bertahun-tahun, atau mungkin puluhan tahun, tentu kita insaf betapa banyaknya umur muda yang kaya dengan kekuatan minda dan tenaga akan lenyap dalam api yang membakar. Kesiannya! Kesiannya orang itu! Dia terpaksa memasuki alam dewasa dengan kekayaan api cinta tetapi kehilangan erti dewasa. Dia hidup dengan bara-bara cinta bersama kekosongan ilmu di dada!
Inilah yang aku takut! Inilah yang aku bimbang!
Jangan-jangan kita juga menjadi mangsa cinta!
Apatah lagi apabila aku terkenangkan peringatan Tuhan kita Yang Maha Agung di dalam surah Az-Zukhruf (perhiasan) ayat 67 yang bermaksud: “Teman-teman akrab pada hari itu, sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa.” .......... jangan-jangan dikau yang ku cintai di alam ini tanpa restu Tuhan, menjadi musuh di akhirat kelak. Dan aku yang kau senangi di dunia ini menjadi kejahatan mu di hari kiamat nanti. Oh! Alangkah ruginya jika, bercinta sementara merana selama-lamanya!
Dan kepahitan yang lebih awal daripada itu ialah keterlanjuran yang tak mampu dikawal iaitu ketika nafsu berkuasa. Saat itu, akal akan kalah dan terpinggir. Aku takut, aku bimbang kalau-kalau gadis ku rebah dalam pelariannya lalu disambar helang kelaparan..... maka ia akan kalah dan gugur di atas kelemahannya sebagai perempuan, atau di atas kesilapannya membuka gawang!
Sekali ia kalah dan gugur itu mengandungi tiga kali kalah dan gugur. Kekalahan dirinya sendiri sebagai wanita bermaruah buat selama-lamanya, kekalahan ayah ibunya yang melahirkan dan membesarkannya dengan keringat dan darah, dan kekalahan zuriatnya untuk menjadi penyambung generasi yang berhemah.
Aku takut cinta bisa memusnahkan harga dirimu dan nilai keperempuananmu di dunia sebelum memusnahkan jasadmu dan jiwamu di akhirat.
Wahai Gadisku.........
Biarlah kita bercinta tanpa berkenalan dan tanpa bertemu, semoga kita menjadi dua sejoli di syurga Allah. Biarlah aku tidak pernah mengenali dan melihatmu untuk menghidupkan cinta kita, asal saja kita boleh bersama di bawah payung Allah di saat tiada lagi payung selain payungNya.
Bukankah kau juga mahukan nikmat cinta yang abadi? Nikmat sejati? Semoga nikmat cinta kita yang tidak kesampaian hari ini menjadi kenyataan di hari akhirat nanti.
Biarlah aku mencintaimu tanpa mengetahui namamu siapa. Biarlah aku menyayangimu tanpa mengenali rupa wajahmu. Dan biarlah kau juga seumpamaku.....
Dalam pada itu, aku amat senang mencipta namamu dan melukiskan rangka rupa parasmu. Aku amat senang menamakan kau Fatimah Az-Zahra’ atau Maryam Al-Butuul, atau Nasibah, atau Rabi’ah Adawiyyah, atau Zainab Al-Ghazali atau Hamidah Qutb dan seumpamanya. Nama-nama seperti ini cukup indah padaku seindah ‘rupa paras’nya yang menawan.
Biar kupetik secebis ‘rupa paras’ mereka untuk modelmu.
Nama Rabi’ah Adawiyyah sesungguhnya amat cucuk dengan ‘rupa paras’ berikut ini: ‘Suatu hari Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya bertandang ke rumah Rabi’ah Adawiyyah dengan tujuan meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Rabi’ah Adawiyah menyambut hasrat mereka itu dengan baik, tetapi dengan syarat mereka mestilah dapat menjawab soalan yang dikemukakan olehnya. Rabi’ah bertanya: “Berapa banyakkah nafsu lelaki dan berapa pula nafsu perempuan?” Lantas Hasan Basri menjawab: “Nafsu lelaki hanya satu, manakala nafsu perempuan sebanyak sembilan nafsu.” Lalu Rabi’ah pun menyambut jawapan itu dengan katanya: “Jika benar demikian, kenapa kamu yang bernafsu satu tidak mampu menahannya sedangkan aku yang mempunyai sembilan nafsu sanggup berbuat demikian?” Mendengar jawapan paku buah keras itu, Hasan Basri pun berlalu pergi bersama sahabatnya sambil menangis sehingga membasahi janggut mereka.
Wahai Gadisku..........
Rupa paras Rabi’ah Adawiyyah yang menarik ialah dua bibirnya yang cukup manis dengan hiasan warna kekuatan kalimah dan maksudnya.
Tentulah kau tahu, bahawa kekurangan nafsu itu mampu dipertahankan oleh seorang gadis sepertimu dengan sifat ‘malu’........ satu-satunya sifat yang ada untuk membelenggu nafsu dalam penjaranya. Malulah yang menjadi benteng pertama dan terakhir untuk menjaga maruahmu, maruah keluargamu dan maruah zuriatmu. Malu itulah yang menjadi kata hikmah para nabi dahulu seperti sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Apabila kau tidak malu, buatlah apa yang kau mahu.” Dengan kata lain, apabila kau kehilangan sifat malumu, kau boleh melakukan apa saja yang kau mahu sekalipun kerja itu seberat-berat kerja dan sejahat-jahat perbuatan.
Bila kau tidak malu, kau boleh membuang seluruh pakaianmu!
Bila kau tidak malu, kau boleh menyebut secemar-cemar bahasa!
Bila kau tidak malu, kau boleh melacurkan seluruh hidupmu, keluargamu bahkan zuriatmu! Wal’iaazubillah! Sebenarnya kau amat sedar tentang akibat orang yang kehilangan sifat malumu. Kesian dia! Di dunia dihina, di akhirat merana.
Wahai Gadisku..................
Bukankah namamu Rabi’ah Adawiyyah yang berupa paras seperti kupaparkan itu? Kalau demikian, kaulah gadis pilihanku itu.
Cukuplah dulu, secarit rupa parasmu yang menawan hatiku ini. *****a di sini, aku ingin benar menukilkan beberapa bentuk rupa parasmu yang perlu kau ukirkan,dan sedikit resepi yang penting untuk menjaga badan dan ‘diet’ jiwamu agar menjadi gadis yang paling cantik di duniaku:
Pertama: Jadilah permata bukan kaca, atau emas bukan loyang, atau sutera bukan benang.
Diet yang pertama ini memerlukan bahan-bahan mentah yang asli, bukan tiruan. Tentulah bahan-bahan asli terdiri daripada perkara-perkara berikut:
a) Ikhlas hati kepada Allah
b) Bersikap benar dalam segala keadaan.
c) Tetap pendirian dalam perjuangan.
d) Menurut jejak langkah Rasulullah s.a.w. atau hidup dalam lingkungan syara’.
e) Sentiasa redha dengan qada’ Allah.
f) Gigih berikhtiar sebelum bertawakal/berserah diri.
g) Meninggalkan jauh segala sifat-sifat nifak atau kepura-puraan.
Apabila bahan-bahan itu diadun baik, pastinya kau kelihatan sebagai sebutir permata di tengah-tengah pepasir, bukan kaca yang bakal cair mengalir. Biarlah pakaianmu ditenun dengan taqwa. Biarlah make-upmu dicampur dengan senyum mesra. Dan biarlah gerak langkahmu disulam dengan rendah diri sentiasa.
Kedua: Jadilah ubat bukan penyakit, atau mawar bukan racun. Ramuan ubat tentulah bahan-bahan yang kebanyakannya pahit. Atau sekuntum mawar tidak mudah dipetik. Namun ia amat berguna. Ramuan ubat hendaklah disatukan daripada bahan-bahan berikut:
a) Sabar yang indah dalam menempuh tribulasi/mihnah/ujian. Tahan senafas!
b) Bersedia ditegur dan dikritik kerana orang yang berlapang dada itulah yang akan meningkat tinggi. Wau yang tinggi ialah wau yang sanggup menempuh angin bukan menurut angin!
c) Banyak memberi bukan menerima. Sudah tentu sebelum memberi perlu memiliki, sebab orang yang tidak punya sesuatu tidak mampu memberi sesuatu Berkhidmat dulu, hasil menyusul kemudian.
d) Sentiasa berfikiran besar dan mengatur persekitaran menjadi kelas pertama.
e) Bertindak mencari kejayaan dan mencipta peluang, bukan bersedia memberi alasan untuk sebuah kegagalan.
f) Membuang segala sifat orang-orang kecil sejauh mungkin, iaitu membuang masa, banyak menguruskan hal-hal kecil dan suka bertengkar dan berdebat.
Semua ramuan di atas berupa sabar, lapang dada, berkhidmat, berfikiran besar, bertindak dan membuang sifat orang-orang kecil merupakan ubat dan mawar kehidupan cemerlang.
Ketiga: Jadilah penyuluh bukan pembunuh.
Nama resepi ini sudah cukup menggambarkan betapa menariknya kuah hidangan. Jernih, tetapi berkilauan apabila tersentuh sedikit cahaya. Pantulan cahayanya kuat, mudah menerima sinar dan tembus oleh sinar itu. Antara bahan yang diperlukan ialah:
a) Ibadah syakhsiyyah.
b) Nasihat dan kata hikmat.
c) Budi pekerti dan adab sopan berharga.
d) Panduan sirah dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
e) Petunjuk Allah yang utama iaitu Al-Quran yang mulia.
Adunan bahan-bahan itu menjadikan tenaga dinama yang berkualiti, cas yang sentiasa hidup, sesiapa yang berada dalam kegelapan tentu memerlukan sinar cahaya, maka inilah sinarnya untuk menyuluh jalan hidup; Al-Quran, Al-Hadis, Akhlak, Nasihat dan Ibadah.
Cubalah, kau akan jadi penyuluh. Kalau bukan penyuluh maka yang lainnya tidak ada lagi selain pembunuh.
Keempat: Beberapa peringatan.
Senjata lidah ialah bahasa.
Jadilah orang yang pandai berbahasa, kau akan hidup aman bahagia.
Jadilah orang yang berakal minda, kau akan meraih kejayaan dan banyak harta.
Lidah yang petah memerlukan perbendaharaan kata yang banyak, latihan yang berterusan dan berani membuktikan identiti mendalam dan pengalaman hidup sendiri.
Dengan ini aku kira cukuplah ‘diet’ atau penjagaan diri yang kau perlukan untuk menjadi gadis yang rupawan dan ratu pilihan hatiku. Berusahalah ke arah itu, sesungguhnya serbat yang kukumpulkan itu bisa menjadikan wajah hidupmu bersinar bagaikan bulan purnama, berkedip bagaikan bintang surayya. Indahnya kau menjadi sebutir permata di tengah-tengah serpihan batu yang bertaburan.
Wahai Gadisku..................
Buat akhirnya, jutaan kemaafan kupinta seandainya surat ini mengganggu ketenteraman. Jutaan kemaafan juga kupinta seandainya terdapat di dalam suratku ini kesiapan yang tidak dapat kutemui. Besarlah harapanku daripadamu wahai gadis, agar kau bersedia menjadi seorang kekasih untuk kekasihnya, seorang sahabat dalam perjuangan dan seorang ibu kepada anak-anak yang baik.
Dan....ingatlah bahawa:
“laki-laki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang mukmin.” (An-Nur: 3)
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji(pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yangbaik(pula).....” (An-Nur: 26)
Sekian, buatmu wahai gadis...........................
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Salam Buat Musafir Seorang Hamba. Bahagianya jika memiliki seorang gadis seperti yang diimpikan sekiranya akan hidup bersama di alam nyata dan membawa cinta hingga ke syurga:
ReplyDeleteSabda Nabi S.A.W., Maksudnya:
"Apabila seseorang perempuan itu telah melakukan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara maruah (kehormatan)dan mentaati suaminya, nescaya diserukan kepadanya; "silalah masuk mengikut mana-mana pintu syurga yang kamu suka,".
ALLAH mencipta wanita sebagai insan berperwatakan lembut dan secara fizikal mereka lemah. Mempunyai 9 nafsu 1 akal.
Firman Allah S.W.T.;
Ertinya: "Kaum lelaki itu pemimpin bagi wanita. Oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki)atas sebahagian yang lain (wanita)".
Semoga Musafir seorang hamba akan memiliki gadis yang diimpikan hidup di alam nyata hingga ke syurga.
ReplyDeleteSabda Nabi S.A.W., maksudnya:
'Apabila seseorang perempuan itu telah melakukan sembahyang lima waktu,berpuasa bulan Ramadhan, memelihara maruah(kehormatan) dan mentaati suaminya, nescaya diserukan kepadanya; "silalah masuk mengikut mana-mana pintu syurga yang kamu suka."
Hakikatnya fizikal wanita itu lemah, jiwanya emosional dan Allah jadikan wanita mempunyai nisbah 9 nafsu 1 akal.
Firman Allah S.W.T.;
Ertinya: "Kaum lelaki itu pemimpin bagi wanita. Oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita)."
(An Nisa': 34).