Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Tuesday, June 15, 2010

Wahai Para Penguasa, Pentadbir, Pemimpin & Imam !!!!


Sabda Rasulullah s.a.w. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin.




Khalifah. Presiden, Perdana Menteri. Menteri. Boss. Penghulu. Moderator, CEO, Imam. Hanya sebutan berbeza. Yang punya persamaan adalah kesemuanya mempunyai beban tugas yang besar sebagai seorang pemimpin. Mereka diipertanggungjawabkan ke atas setiap apa yang dilakukan, dan setiap apa yang orang bawahannya lakukan. Setiap pemimpin tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap pemimpin tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.

Jawatan pemimpin, bukanlah suatu jawatan yang boleh dibanggakan. Ianya juga bukan suatu alat untuk mengkudakan masyarakat dan rakan-rakan. Juga bukan alat untuk meminta orang ramai menghormati peribadinya. Tetapi ianya suatu jawatan yang meletakkan sebelah kaki yang memegang jawatan tersebut di dalam neraka manakala sebelah kaki lagi di dalam syurga. Begitulah ungkapan Saidina Umar Al Khattab r.a. sewaktu dilantik menjadi khalifah dunia Islam. Seandainya baik pentadbiran dan siasah sang pemimpin dalam menabur benih dan buah-buah keadilan kepada masyarakat, maka disitulah letaknya kasih sayang dan rahmat Allah. Sebaliknya, jika kezaliman dan perseteruan disebar di tengah masyarakat, maka ingatlah bahwa azab Allah di akhirat amatlah pedih.

Sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat telah membuktikan, tiada pemimpin yang bisa hidup senang dan tenteram dengan bebanan tanggungjawab yang dipikul. Kita dihamparkan oleh ulamak silam yang membentangkan didepan mata kepala kita, akan penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh orang yang bergelar pemimpin.

Abdullah Ibnu Jarrah, dilantik sebagai Gabenor di sebuah wilayah taklukan Islam. Hartanya hanyalah sebilah pedang untuk berjihad, sebutir mangkuk buat menjamah makanan dan sebuah bejana air untuk berwudhu.


Khalid Al Walid, pakar perancang ketenteraan Islam. Kehebatan dan kebijaksanaannya telah menyelamatkan batallion tentera Islam di kalahkan di Perang Yarmuk. Namun apabila jawatannya dilucutkan, dia masih mampu melafazkan “ Khalid Al Walid mulia bukan kerana pangkat darjah kebesaran, Khalid Al Walid mulia kerana Islam”.

Saidina Umar Al Farouq, sewaktu menjadi khalifah. Siang harinya sibuk mengurus siasah kenegaraan. Malam harinya disibukkan dengan tugas menjaga kebajikan rakyat. Pernah suatu malam, ketika Umar yang menyamar sebagai orang kebanyakan. Berjalan melalui lorong-lorong di Kota Madinah. Umar telah bertemu dengan seorang ibu tua yang merebus batu. Di samping ibu tua, anak-anak kecil yang menangis kelaparan. Umar bertanya “ Untuk apakah batu ini direbus ?”

“ Anak-anak ku kelaparan. Tiada makanan hendak ku berikan. Ku harap dengan merebus batu ini, anak-anak ku akan keletihan menanti batu yang tak mungkin bertukar jadi makanan. Agar dengan keletihan itu, mereka akan tidur dalam kelaparan sehingga keesokan hari. Agar dapat ku usahakan tulang yang empat kerat ini mencari rezki buat mereka.” , jawab si ibu tua tanpa menyedari, lelaki tempat diadukan masalahnya adalah Amirul Mukminin, Umar Al Farouq.

Dengan linangan air mata, Umar Al Farouq bergegas ke gudang perbendaharaan negara. Dipecahkan kunci perbendaharaan dan dipikulnya seguni gandum. Datang seorang sahabat menawarkan diri kepada Umar Al Farouq Amirul Mukminin untuk memikul guni gandum tersebut.

Jawab Umar “Andai kau ingin memikul guni gandum ini untuk ku, maka bersedialah engkau memikul dosa-dosa ku di akhirat kerana kelalaian ku menjaga kebajikan rakyat .” Kata-kata Umar telah menghentikan hajat sahabat tadi untuk membantu.

Setelah menyatakan tujuannya kepada penjaga gudang, Umar bergegas kembali ke tempat si ibu tua dengan linangan air mata sambil memikul guni gandum di belakangnya. Umar sendiri memasakkan makanan buat ibu tua sekeluarga. Umar juga yang melayan dan menyuapkan makanan kepada anak-anak yang kelaparan. Umar juga yang mendodoikan anak-anak si ibu tua hingga mereka tidur lena. Dalam kekenyangan. Dalam ketenangan. Dalam kegembiraan…….

Lantas Umar berlalu. Sebelum pergi, Umar berpesan kepada si ibu tua yang masih belum mengenali bahwa lelaki di hadapannya adalah Amirul Mukminin “ Wahai ibu. Doakanlah diri ku agar dosa-dosa ku diampuni Allah”.

Inilah Umar.Inilah peribadi mulia milik seorang pemimpin. Seorang pemimpin yang menjadi khadam kepada rakyat. Berkhidmat atas rasa tanggungjawab. Pemimpin yang menjadikan karenah rakyat sebagai alat mentarbiah diri. Pemimpin yang siang dan malam menggantungkan untung nasibnya dengan Allah. Maka tak mustahil Allah serahkan dunia ini kepada Umar Al Farouq untuk ditadbir dari sempadan India di Timur hingga ke sempadan Eropah di Sepanyol. Sebab Umar, seorang raja yang berperwatakan hamba. Walau sudah dijamin syurga, namun tidak segan silu meminta doa dari rakyatnya agar Allah ampuni segala dosanya.

Wahai para pemimpin. Wahai perdana menteri. Wahai para pentadbir. Wahai para moderator. Mampukah kita menjadi seperti Umar ? Berlaku tawaddhuk rendah diri, peka kepada masyarakat, bersifat dengan rasa kehambaan, walaupun memiliki posisi yang tinggi di kaca mata masyarakat dan punya peluang besar mengaut keuntungan peribadi. Seandainya kita tidak mampu menjadi seperti Umar dan tidak terniat menjadi seperti Umar, maka tidak hairanlah Allah tidak membantu kita dalam urusan pentadbiran kita.

Arwah datuk ku berpesan : Bila hamba berlagak hamba, raja akan sayang kepadanya. Tetapi bila Raja berlagak hamba, ALLAH akan sayang kepadanya


No comments:

Post a Comment