Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Tuesday, June 29, 2010

Mihrab Cinta


Dalam kedamaian dinihari, dan kedinginan sepertiga malam, setelah selesai melabuhkan tahajjud dan qiamullail, kini aku dengan tenang menatap laptop ku …. Sebagai hamba Allah yang lemah … ada kalanya disebabkan kerinduan dan cinta kepada insan yang telah kembali ke rahmat Allah … kita sering lalai dan alpa terhadap nikmat beragama ….

Wahai sahabat seperjuangan ku ........

Sama ada kita sedar atau tidak, di sebalik semua nikmat beragama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…




Mungkin kita terlupa pada pengorbanan seorang sahabat Rasulullah SAW yang terperangkap antara dua cinta. Cinta kepada isteri tercinta ATAU cinta kepada Allah & Rasul-NYA.

Kisah sahabat itulah yang pernah arwah atok ku ceritakan kepada kami adik beradik sewaktu kami masih kecil.

Dan kisah sahabat itu juga yang pernah ku olah berdasarkan imaginasi ku untuk ku bisikkan ke telinga arwah isteri ku sewaktu malam pengantin kami … kini ku persembahkan kepada kalian agar kita sama-sama menanam niat untuk melahirkan zuriat-zuriat perjuangan yang bakal menyambung perjuangan Rasulullah SAW.....................

#########################################################

Tarikh : 18 Oktober 2008
Lokasi : Di sebuah daerah di selatan Semenanjung
Masa : Selepas Solat Isya

Maka ku bisikkan hikayat ini ke telinga insan yang bernama isteri ...............

Siang itu Kota Madinah bergema dengan selawat dan qasidah. Para pemuda dari golongan Muhajirin dan Ansar tampak bersamrah, sambil mengalunkan selawat dan doa kesyukuran. Di raudah Masjid Nabi, sepasang mempelai nampak sujud kepada Allah tanda kesyukuran. Termeterailah sudah satu ikatan. Ikatan yang menjanjikan kesatuan hati dua insan, sebagai bukti ketulusan cinta mereka.

Bersalamanlah sang mempelai. Dahi si isteri yang baru dinikahi dikucup si suami. Mengalir air mata gembira di pipi si isteri. Dengan perlahan air mata itu diusap si suami sambil membelai pipi si isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Ditatapnya wajah ayu si isteri dengan pandangan rahmat, sambil di hatinya mengucapkan kesyukuran kepada Allah kerana memberinya pasangan hidup buat menemani perjalanannya di dunia yang fana’ ini. Menjadi teman ketawa dan menangis, dalam berhadapan mehnah dan ujian tatkala melayari gelombang hidup.

Bila malam melabuhkan tirainya diatas kota Madinah yang diberkati. Bintang gemintang menebar ketenangan dan kedamaian bagi seluruh mahluk yang telah sehari penuh disibukkan dengan urusan dunia. Bintang-bintang seakan menyaksikan senandung senja, menggoyangkan pelupuk mata agar tenggelam pada nikmatnya mimpi. Malam menghadiahkan kita perasaan khusus dan seakan-akan semesta ini milik kita. Malam membebaskan roh orang orang yang beriman supaya sedikit demi sedikit menjadi jernih hingga tercurah dalam suasana diam yang mengantarkan kepada Penciptanya. Membersihkan diri dengan sujud di hadapan singgahsana Nya yang agung serta menentang segala tipu daya syaitan.

Senja berjalan seperti biasanya, akan tetapi tidak demikian bagi si suami. Hari ini ia memiliki impian yang sangat istimewa. Si suami punya janji dengan seseorang di senja ini. Hari ini adalah hari yang sudah lama dinantikan, iaitu hari bertemunya matahari dan bulan. Pada malam dimana senjanya telah menghadiahkannya kekasih yang sangat dicintainya, si isteri. Maka bersatulah dua jiwa sebagai tanda kesatuan cinta antara keduanya.

Sedang sang mempelai diulit mimpi malam pengantin. Tiba-tiba berkumandang gendang jihad. Kota Madinah dalam bahaya !!! Terjaga si suami dari lenanya. Dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang, tangan si isteri dileraikan dari dakapannya. Dia bingkas bangkit dari kehangatan ranjang lalu mengenakan pakaian sambil menuju keluar rumah.

Suami : Apakah Kota Madinah sedang diancam ? (Tanyanya kepada seorang sahabat yang ditemui diluar rumah)

Sahabat : Ya. Tentera musyrikin Mekah semakin hampir. Kita akan bertolak ke bukit Uhud malam ini. (Jawab sahabatnya sambil bergegas berlari menuju ke Masjid Nabi)

Si suami lantas berlari masuk ke dalam rumah. Perlahan dia berjalan menuju ke kamar pengantin. Di muka pintu kamar, si suami terhenti. Ternyata si isteri sudah terjaga dan sedang duduk dibirai katil. Mata si isteri tampak berkaca. Si suami merenung isterinya dengan penuh kasih sayang. Lalu sekuntum senyuman dilontarkan kepada isteri tercinta. Senyuman yang dilontar, dibalas dengan senyuman manis bersama titisan air mata.

Si suami merapati isterinya. Didakap dan dibelai isterinya dengan kasih sayang sambil membisikkan ke telinga si isteri :

Suami : Kasih ku, seruan jihad sudah memanggil ku. Aku mencintai mu, namun cinta ku kepada Allah dan Rasul-NYA mengatasi cinta ku kepada mu. Relakanlah aku pergi wahai sayang ku.

Berderaian air mata kasih mengalir dari mata yang ayu milik si isteri.

Isteri : Kasih ku, siapalah aku di sisimu jika dibandingkan Allah dan Rasulullah SAW. Rebutlah cinta Allah dan cinta Rasulullah. Redha Allah dan redha Rasulullah merupakan redha ku jua. Namun hanya satu yang ku pinta dari mu.

Suami : Apakah permintaan mu sayang ku ? InsyaAllah, andainya berupaya akan ku tunaikan demi cinta kita.

Isteri : Mahar yang ku terima belum cukup untuk mendamaikan hati ku. Andainya diri mu pergi berjuang, ku harapkan engkau membawa pulang untuk ku salah satu dari dua perkara sebagai tambahan mahar buat mendamaikan hati dan jiwa ku.

Suami : Apakah yang kau inginkan wahai sayang ku ?

Isteri : Janganlah engkau pulang melainkan engkau membawa salah satu dari dua perkara ; kemenangan atau syahid. Itulah mahar cinta untuk hati ku.

Dakapan dileraikan. Dengan tenang, si isteri menyarungkan pakaian perang ke tubuh suaminya bersama linangan air mata. Dililitkan serban untuk suaminya sambil bibirnya mengucup dahi suaminya tanda kasih dan cinta seorang isteri buat suami. Sambil menghulurkan pedang, si isteri memegang tangan suaminya dan dikucup tangan si suami dengan perasaan cinta yang mendalam. Tampak linangan air mata menitis di tangan si suami.

Sebelum berpisah, si isteri didakap oleh si suami dengan penuh kasih sayang.

Suami : Relakanlah perpisahan ini ya sayang ku. Andainya kita tidak bersua lagi, akan ku semai cinta mu di syurga.

Isteri : Aku akan merindui mu untuk tempoh yang panjang. Sehingga kita bersua lagi di akhirat sana untuk melihat pohon cinta kita tumbuh subur dari benih yang kau semai nanti. (Sambil tersenyum manis walau titisan air mata masih berlinangan di pipinya)

Suami : Sayang ku, usapilah air mata mu itu. Senyuman mu akan ku jadikan pembakar semangat dimedan jihad bahawa aku tidak akan pulang ke sisi mu melainkan membawa bersama ku, kemenangan atau pun syahid sebagai mahar cinta ku buat hati mu.Iringilah pemergian ku dengan doa mu yang tidak henti, agar Islam terus berdiri ........

Bergegaslah si suami berlari menuju ke Masjid Nabi untuk berbaris bersama-sama para pejuang yang lain. Maka berpisahlah dua jiwa yang baru sahaja melayari bahtera hidup sebagai suami isteri.

Kehadiran si suami mengundang seribu satu persoalan di kalangan para sahabat yang lain.

Sahabat : Bukankah engkau telah diizinkan oleh Rasulullah SAW untuk dikecualikan dalam peperangan ini sempena hari bahagia mu siang tadi ?

Suami : Hari bahagia ku ialah ketika tubuh ku gugur di medan jihad sebagai syuhada. Aku terlepas peluang menjadi syuhada dalam peperangan yang lalu. Semoga Allah merezekikan aku dengan syahid di Bukit Uhud ini nanti.

Sahabat : Tidak rindukah engkau akan pelukan isteri mu ? (Usik sahabatnya sambil mencuit bahu si suami)

Suami : Aku lebih rindu pelukan dan gamitan syurga. (Jawab si suami sambil tersenyum)

Maka bergeraklah tentera Islam dari Kota Madinah ke Bukit Uhud.

Di Bukit Uhud ….. berlakulah pertempuran yang hebat. Tentera musyrikin bersama dua pasukan di pimpin oleh Khalid Al Walid dan Ikrimah Bin Abu Jahal bagaikan singa-singa kelaparan menerkam mangsa lebih-lebih lagi tatkala pasukan pemanah tentera Islam meninggalkan posisi mereka. Si suami dengan gagah berani mara menghadapi musuh. Yang terbayang di fikirannya hanyalah pesanan si isteri “Janganlah engkau pulang melainkan engkau membawa salah satu dari dua perkara ; kemenangan atau syahid. Itulah mahar cinta untuk hati ku.”

Kelibat si suami menggerunkan musuhnya. Hampir-hampir benteng pertahanan musuh hancur dek libasan pedang si suami. Di telinga si suami terngiang-ngiang suara isterinya ““Janganlah engkau pulang melainkan engkau membawa salah satu dari dua perkara ; kemenangan atau syahid. Itulah mahar cinta untuk hati ku.”

Akhirnya, si suami berjaya menerobos benteng pertahanan musuh. Di hadapannya Abu Sufian Bin Harb, ketua kafir Quraisy. Terbayang-bayang syurga di depan mata si suami. Mahu sahaja di libas pedangnya kepada Abu Sufian, namun takdir mendahului kehendak makhluk yang serba daif. Dadanya ditembusi dari belakang oleh tombak Shadad Bin Al Aswad. Gugurlah si suami sebagai syuhada di Bukit Uhud……

Peperangan pun tamat. Tentera musuh kembali ke Mekah. Yang tinggal hanyalah saki baki tentera Islam yang cedera bersama-sama jasad para syuhada. Para sahabat yang masih tersisa dan bertenaga, mulai mencari sanak saudara dan ahli keluarga yang syahid. Antara yang gugur syahid ialah ….

a. Mus’ab bin Umair
b. Talhah bin Ubaidillah
c. Hamzah bin Abdul Mutalib
d. SI SUAMI .........

Tentera muslimin yang ditugaskan untuk mengumpul para syuhada untuk diuruskan, ternyata kehairanan tatkala menyentuh jasad kaku si suami. Jasad si suami yang berlumuran darah, kelihatan basah bagai disirami hujan. Di keningnya mengalir titisan-titisan air jatuh ke bumi bagaikan butiran-butiran air mata yang berkaca-kaca. Misteri keadaan jasad si suami terungkai apabila Rasulullah SAW bersabda :

” Sungguh aku melihat para malaikat memandikan jasad HANZALAH BIN ABU AMIR diantara langit dan bumi dengan air awan di dalam piring piring dari perak”

Berita gugurnya Hanzalah bin Abu Amir telah sampai ke pengetahuan isterinya, Jamilah Binti Abdullah Bin Ubai. Berita gugurnya si suami disambut dengan sujud kesyukuran. Dengan linangan air mata hiba, hatinya berkata “ Suami ku telah memperoleh cintanya, sempurnalah sudah mahar cinta hati ku. Terima kasih abang, kerana menunaikan mahar cinta kita. Ku pasti engkau sudah menyemai benih cinta kita di taman syurga nan indah”.

Setelah pulang ke Madinah, Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk menemui si isteri yang saban malam bersengkang mata menanti kepulangan suaminya, Hanzalah bin Abu Amir. Jamilah binti Abdullah bin Ubai dikhabarkan bagaimana keadaan jasad Hanzalah suaminya oleh utusan Rasulullah SAW tersebut. Lalu Jamilah menceritakan bahawa suaminya ketika mahu berangkat ke medan perang tidak sempat untuk mandi junub. Kerana seruan jihad yang didengarnya telah mendorong dia untuk tidak melengah-lengah menghadirkan diri ke medan juang.Maka berkata Rasulullah SAW, kerana tidak sempat mandi junub maka para malaikta memandikan Hanzalah sambil rohnya di arak menuju syurgawi.

Sekarang tidak penting bagi Jamilah, Hanzalah dekat atau jauh. Jika matahari tengggelam diatas tepian dunia maka matahari Hanzalah menyala bersinar dibalik tulang rusuknya yang lemah untuk menyinari hatinya, mengirimkan kepadanya benang-benang emas syurgawi yang membawa kehangatan saat kerinduan yang pernah menghimpun mereka. Jamilah hanya bisa berusaha untuk menghibur kesepiannya dan menerangi malamnya yang panjang untuk mengusir dingin yang mengintai dalam dirinya semenjak pemergian Hanzalah.

Jamilah bercerita kepada para tetangganya perihal dirinya yang bermimpi menjelang hari pernikahannya. Dan mimpinya tersebut benar benar terbukti. Jamilah mengatakan bahwa ia melihat seakan akan langit telah merekah untuk Hanzalah, lalu Hanzalah masuk dan langit itupun tertutup kembali. Jamilah tidak tahu bahawa mimpi yang di risaukan ternyata adalah khabar gembira dari langit dan menganugerahkan kepadanya sebagai isteri seorang syuhada, malah penghormatan Allah terhadap Jamilah bukan sebagai isteri kepada seorang syuhada, bahkan ibu dari orang yang syahid. Satu satunya malam yang telah menghimpun Jamilah dengan Hanzalah telah melahirkan zuriat. Zuriat milik Hanzalah dan Jamilah ini kemudiannya memburu syahid. Akhirnya tercapailah syahid baru pada mihrab cinta Ilahi yaitu Abdullah bin Hanzalah bin Abi Amir. Syahid bin Syahid.

------------------------- END ---------------------------------

Ku lihat, isteri ku tersenyum bersama linangan air matanya dalam dakapan ku sebaik sahaja aku menamatkan kisah cinta dua insan di zaman Rasulullah SAW..........

############################################################

Dalam kedamaian dinihari, dan kedinginan sepertiga malam, dalam gamitan rindu atas pemergian insan tercinta. Sama ada diri ku sedar atau tidak, di sebalik semua nikmat beragama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah

Al Fatihah buat arwah isteri ku, semoga Allah menempatkan diri mu di kalangan para kekasih NYA.

############################################################

Wahai sahabat seperjuangan ku,

Kenangilah pengorbanan para kekasih Allah. Bukan sedikit air mata dan darah mereka yang menyimbah bumi.

Andainya diri mu terperangkap antara dua cinta .... letakkanlah kepentingan Allah dan Rasulullah SAW di hadapan.

Cinta perlukan pengorbanan, begitu jua dalam perjuangan ini. Andainya cinta itu hendak di raih, maka raihlah cinta dari Sang Pencipta Cinta iaitu ALLAH YANG MAHA PENCINTA, agar cinta mu berbalas dengan kasih sayang dan ampunan Allah ...............

Relakanlah perpisahan kita ini
Iringailah pemergian daku nanti
Dengan doa yang tidak berhenti
Moga Islam terus berdiri

Usapilah genang airmata kasih
Senyuamanmu penguat semangat daku
Andai kita tak jumpa lagi
Ku semai cintamu di syurga

Bepisahlah dua jiwa
Meninggalkan kuntum cinta
Mekar di istama taqwa
Menyahut panggilan Allah

Dengan nama Mu Allah yang Maha Gagah
Langkah ku atur pasrah daku berserah
Menangkanlah kaum Muslilin
Hancurkanlah kaum musyrikin

Demi Islam ditegakkan

Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi

Hening malam menyaksikan
Korban cinta dua insan
Baru diijab kabulkan
Rela menyahut seruan
Demi islam ditegakkan
Jihad menjadi pilihan

Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi

Madrasah Darus Syifa
Repah, Tampin
4.50 am
26 Jun 2010


No comments:

Post a Comment