Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Tuesday, June 29, 2010
Mihrab Cinta
Dalam kedamaian dinihari, dan kedinginan sepertiga malam, setelah selesai melabuhkan tahajjud dan qiamullail, kini aku dengan tenang menatap laptop ku …. Sebagai hamba Allah yang lemah … ada kalanya disebabkan kerinduan dan cinta kepada insan yang telah kembali ke rahmat Allah … kita sering lalai dan alpa terhadap nikmat beragama ….
Wahai sahabat seperjuangan ku ........
Sama ada kita sedar atau tidak, di sebalik semua nikmat beragama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah…
Mungkin kita terlupa pada pengorbanan seorang sahabat Rasulullah SAW yang terperangkap antara dua cinta. Cinta kepada isteri tercinta ATAU cinta kepada Allah & Rasul-NYA.
Kisah sahabat itulah yang pernah arwah atok ku ceritakan kepada kami adik beradik sewaktu kami masih kecil.
Dan kisah sahabat itu juga yang pernah ku olah berdasarkan imaginasi ku untuk ku bisikkan ke telinga arwah isteri ku sewaktu malam pengantin kami … kini ku persembahkan kepada kalian agar kita sama-sama menanam niat untuk melahirkan zuriat-zuriat perjuangan yang bakal menyambung perjuangan Rasulullah SAW.....................
#########################################################
Tarikh : 18 Oktober 2008
Lokasi : Di sebuah daerah di selatan Semenanjung
Masa : Selepas Solat Isya
Maka ku bisikkan hikayat ini ke telinga insan yang bernama isteri ...............
Siang itu Kota Madinah bergema dengan selawat dan qasidah. Para pemuda dari golongan Muhajirin dan Ansar tampak bersamrah, sambil mengalunkan selawat dan doa kesyukuran. Di raudah Masjid Nabi, sepasang mempelai nampak sujud kepada Allah tanda kesyukuran. Termeterailah sudah satu ikatan. Ikatan yang menjanjikan kesatuan hati dua insan, sebagai bukti ketulusan cinta mereka.
Bersalamanlah sang mempelai. Dahi si isteri yang baru dinikahi dikucup si suami. Mengalir air mata gembira di pipi si isteri. Dengan perlahan air mata itu diusap si suami sambil membelai pipi si isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Ditatapnya wajah ayu si isteri dengan pandangan rahmat, sambil di hatinya mengucapkan kesyukuran kepada Allah kerana memberinya pasangan hidup buat menemani perjalanannya di dunia yang fana’ ini. Menjadi teman ketawa dan menangis, dalam berhadapan mehnah dan ujian tatkala melayari gelombang hidup.
Bila malam melabuhkan tirainya diatas kota Madinah yang diberkati. Bintang gemintang menebar ketenangan dan kedamaian bagi seluruh mahluk yang telah sehari penuh disibukkan dengan urusan dunia. Bintang-bintang seakan menyaksikan senandung senja, menggoyangkan pelupuk mata agar tenggelam pada nikmatnya mimpi. Malam menghadiahkan kita perasaan khusus dan seakan-akan semesta ini milik kita. Malam membebaskan roh orang orang yang beriman supaya sedikit demi sedikit menjadi jernih hingga tercurah dalam suasana diam yang mengantarkan kepada Penciptanya. Membersihkan diri dengan sujud di hadapan singgahsana Nya yang agung serta menentang segala tipu daya syaitan.
Senja berjalan seperti biasanya, akan tetapi tidak demikian bagi si suami. Hari ini ia memiliki impian yang sangat istimewa. Si suami punya janji dengan seseorang di senja ini. Hari ini adalah hari yang sudah lama dinantikan, iaitu hari bertemunya matahari dan bulan. Pada malam dimana senjanya telah menghadiahkannya kekasih yang sangat dicintainya, si isteri. Maka bersatulah dua jiwa sebagai tanda kesatuan cinta antara keduanya.
Sedang sang mempelai diulit mimpi malam pengantin. Tiba-tiba berkumandang gendang jihad. Kota Madinah dalam bahaya !!! Terjaga si suami dari lenanya. Dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang, tangan si isteri dileraikan dari dakapannya. Dia bingkas bangkit dari kehangatan ranjang lalu mengenakan pakaian sambil menuju keluar rumah.
Suami : Apakah Kota Madinah sedang diancam ? (Tanyanya kepada seorang sahabat yang ditemui diluar rumah)
Sahabat : Ya. Tentera musyrikin Mekah semakin hampir. Kita akan bertolak ke bukit Uhud malam ini. (Jawab sahabatnya sambil bergegas berlari menuju ke Masjid Nabi)
Si suami lantas berlari masuk ke dalam rumah. Perlahan dia berjalan menuju ke kamar pengantin. Di muka pintu kamar, si suami terhenti. Ternyata si isteri sudah terjaga dan sedang duduk dibirai katil. Mata si isteri tampak berkaca. Si suami merenung isterinya dengan penuh kasih sayang. Lalu sekuntum senyuman dilontarkan kepada isteri tercinta. Senyuman yang dilontar, dibalas dengan senyuman manis bersama titisan air mata.
Si suami merapati isterinya. Didakap dan dibelai isterinya dengan kasih sayang sambil membisikkan ke telinga si isteri :
Suami : Kasih ku, seruan jihad sudah memanggil ku. Aku mencintai mu, namun cinta ku kepada Allah dan Rasul-NYA mengatasi cinta ku kepada mu. Relakanlah aku pergi wahai sayang ku.
Berderaian air mata kasih mengalir dari mata yang ayu milik si isteri.
Isteri : Kasih ku, siapalah aku di sisimu jika dibandingkan Allah dan Rasulullah SAW. Rebutlah cinta Allah dan cinta Rasulullah. Redha Allah dan redha Rasulullah merupakan redha ku jua. Namun hanya satu yang ku pinta dari mu.
Suami : Apakah permintaan mu sayang ku ? InsyaAllah, andainya berupaya akan ku tunaikan demi cinta kita.
Isteri : Mahar yang ku terima belum cukup untuk mendamaikan hati ku. Andainya diri mu pergi berjuang, ku harapkan engkau membawa pulang untuk ku salah satu dari dua perkara sebagai tambahan mahar buat mendamaikan hati dan jiwa ku.
Suami : Apakah yang kau inginkan wahai sayang ku ?
Isteri : Janganlah engkau pulang melainkan engkau membawa salah satu dari dua perkara ; kemenangan atau syahid. Itulah mahar cinta untuk hati ku.
Dakapan dileraikan. Dengan tenang, si isteri menyarungkan pakaian perang ke tubuh suaminya bersama linangan air mata. Dililitkan serban untuk suaminya sambil bibirnya mengucup dahi suaminya tanda kasih dan cinta seorang isteri buat suami. Sambil menghulurkan pedang, si isteri memegang tangan suaminya dan dikucup tangan si suami dengan perasaan cinta yang mendalam. Tampak linangan air mata menitis di tangan si suami.
Sebelum berpisah, si isteri didakap oleh si suami dengan penuh kasih sayang.
Suami : Relakanlah perpisahan ini ya sayang ku. Andainya kita tidak bersua lagi, akan ku semai cinta mu di syurga.
Isteri : Aku akan merindui mu untuk tempoh yang panjang. Sehingga kita bersua lagi di akhirat sana untuk melihat pohon cinta kita tumbuh subur dari benih yang kau semai nanti. (Sambil tersenyum manis walau titisan air mata masih berlinangan di pipinya)
Suami : Sayang ku, usapilah air mata mu itu. Senyuman mu akan ku jadikan pembakar semangat dimedan jihad bahawa aku tidak akan pulang ke sisi mu melainkan membawa bersama ku, kemenangan atau pun syahid sebagai mahar cinta ku buat hati mu.Iringilah pemergian ku dengan doa mu yang tidak henti, agar Islam terus berdiri ........
Bergegaslah si suami berlari menuju ke Masjid Nabi untuk berbaris bersama-sama para pejuang yang lain. Maka berpisahlah dua jiwa yang baru sahaja melayari bahtera hidup sebagai suami isteri.
Kehadiran si suami mengundang seribu satu persoalan di kalangan para sahabat yang lain.
Sahabat : Bukankah engkau telah diizinkan oleh Rasulullah SAW untuk dikecualikan dalam peperangan ini sempena hari bahagia mu siang tadi ?
Suami : Hari bahagia ku ialah ketika tubuh ku gugur di medan jihad sebagai syuhada. Aku terlepas peluang menjadi syuhada dalam peperangan yang lalu. Semoga Allah merezekikan aku dengan syahid di Bukit Uhud ini nanti.
Sahabat : Tidak rindukah engkau akan pelukan isteri mu ? (Usik sahabatnya sambil mencuit bahu si suami)
Suami : Aku lebih rindu pelukan dan gamitan syurga. (Jawab si suami sambil tersenyum)
Maka bergeraklah tentera Islam dari Kota Madinah ke Bukit Uhud.
Di Bukit Uhud ….. berlakulah pertempuran yang hebat. Tentera musyrikin bersama dua pasukan di pimpin oleh Khalid Al Walid dan Ikrimah Bin Abu Jahal bagaikan singa-singa kelaparan menerkam mangsa lebih-lebih lagi tatkala pasukan pemanah tentera Islam meninggalkan posisi mereka. Si suami dengan gagah berani mara menghadapi musuh. Yang terbayang di fikirannya hanyalah pesanan si isteri “Janganlah engkau pulang melainkan engkau membawa salah satu dari dua perkara ; kemenangan atau syahid. Itulah mahar cinta untuk hati ku.”
Kelibat si suami menggerunkan musuhnya. Hampir-hampir benteng pertahanan musuh hancur dek libasan pedang si suami. Di telinga si suami terngiang-ngiang suara isterinya ““Janganlah engkau pulang melainkan engkau membawa salah satu dari dua perkara ; kemenangan atau syahid. Itulah mahar cinta untuk hati ku.”
Akhirnya, si suami berjaya menerobos benteng pertahanan musuh. Di hadapannya Abu Sufian Bin Harb, ketua kafir Quraisy. Terbayang-bayang syurga di depan mata si suami. Mahu sahaja di libas pedangnya kepada Abu Sufian, namun takdir mendahului kehendak makhluk yang serba daif. Dadanya ditembusi dari belakang oleh tombak Shadad Bin Al Aswad. Gugurlah si suami sebagai syuhada di Bukit Uhud……
Peperangan pun tamat. Tentera musuh kembali ke Mekah. Yang tinggal hanyalah saki baki tentera Islam yang cedera bersama-sama jasad para syuhada. Para sahabat yang masih tersisa dan bertenaga, mulai mencari sanak saudara dan ahli keluarga yang syahid. Antara yang gugur syahid ialah ….
a. Mus’ab bin Umair
b. Talhah bin Ubaidillah
c. Hamzah bin Abdul Mutalib
d. SI SUAMI .........
Tentera muslimin yang ditugaskan untuk mengumpul para syuhada untuk diuruskan, ternyata kehairanan tatkala menyentuh jasad kaku si suami. Jasad si suami yang berlumuran darah, kelihatan basah bagai disirami hujan. Di keningnya mengalir titisan-titisan air jatuh ke bumi bagaikan butiran-butiran air mata yang berkaca-kaca. Misteri keadaan jasad si suami terungkai apabila Rasulullah SAW bersabda :
” Sungguh aku melihat para malaikat memandikan jasad HANZALAH BIN ABU AMIR diantara langit dan bumi dengan air awan di dalam piring piring dari perak”
Berita gugurnya Hanzalah bin Abu Amir telah sampai ke pengetahuan isterinya, Jamilah Binti Abdullah Bin Ubai. Berita gugurnya si suami disambut dengan sujud kesyukuran. Dengan linangan air mata hiba, hatinya berkata “ Suami ku telah memperoleh cintanya, sempurnalah sudah mahar cinta hati ku. Terima kasih abang, kerana menunaikan mahar cinta kita. Ku pasti engkau sudah menyemai benih cinta kita di taman syurga nan indah”.
Setelah pulang ke Madinah, Rasulullah SAW mengirim seorang utusan untuk menemui si isteri yang saban malam bersengkang mata menanti kepulangan suaminya, Hanzalah bin Abu Amir. Jamilah binti Abdullah bin Ubai dikhabarkan bagaimana keadaan jasad Hanzalah suaminya oleh utusan Rasulullah SAW tersebut. Lalu Jamilah menceritakan bahawa suaminya ketika mahu berangkat ke medan perang tidak sempat untuk mandi junub. Kerana seruan jihad yang didengarnya telah mendorong dia untuk tidak melengah-lengah menghadirkan diri ke medan juang.Maka berkata Rasulullah SAW, kerana tidak sempat mandi junub maka para malaikta memandikan Hanzalah sambil rohnya di arak menuju syurgawi.
Sekarang tidak penting bagi Jamilah, Hanzalah dekat atau jauh. Jika matahari tengggelam diatas tepian dunia maka matahari Hanzalah menyala bersinar dibalik tulang rusuknya yang lemah untuk menyinari hatinya, mengirimkan kepadanya benang-benang emas syurgawi yang membawa kehangatan saat kerinduan yang pernah menghimpun mereka. Jamilah hanya bisa berusaha untuk menghibur kesepiannya dan menerangi malamnya yang panjang untuk mengusir dingin yang mengintai dalam dirinya semenjak pemergian Hanzalah.
Jamilah bercerita kepada para tetangganya perihal dirinya yang bermimpi menjelang hari pernikahannya. Dan mimpinya tersebut benar benar terbukti. Jamilah mengatakan bahwa ia melihat seakan akan langit telah merekah untuk Hanzalah, lalu Hanzalah masuk dan langit itupun tertutup kembali. Jamilah tidak tahu bahawa mimpi yang di risaukan ternyata adalah khabar gembira dari langit dan menganugerahkan kepadanya sebagai isteri seorang syuhada, malah penghormatan Allah terhadap Jamilah bukan sebagai isteri kepada seorang syuhada, bahkan ibu dari orang yang syahid. Satu satunya malam yang telah menghimpun Jamilah dengan Hanzalah telah melahirkan zuriat. Zuriat milik Hanzalah dan Jamilah ini kemudiannya memburu syahid. Akhirnya tercapailah syahid baru pada mihrab cinta Ilahi yaitu Abdullah bin Hanzalah bin Abi Amir. Syahid bin Syahid.
------------------------- END ---------------------------------
Ku lihat, isteri ku tersenyum bersama linangan air matanya dalam dakapan ku sebaik sahaja aku menamatkan kisah cinta dua insan di zaman Rasulullah SAW..........
############################################################
Dalam kedamaian dinihari, dan kedinginan sepertiga malam, dalam gamitan rindu atas pemergian insan tercinta. Sama ada diri ku sedar atau tidak, di sebalik semua nikmat beragama ini, tidak terhitung banyaknya telah mengalir akan air mata dan darah para kekasih Allah
Al Fatihah buat arwah isteri ku, semoga Allah menempatkan diri mu di kalangan para kekasih NYA.
############################################################
Wahai sahabat seperjuangan ku,
Kenangilah pengorbanan para kekasih Allah. Bukan sedikit air mata dan darah mereka yang menyimbah bumi.
Andainya diri mu terperangkap antara dua cinta .... letakkanlah kepentingan Allah dan Rasulullah SAW di hadapan.
Cinta perlukan pengorbanan, begitu jua dalam perjuangan ini. Andainya cinta itu hendak di raih, maka raihlah cinta dari Sang Pencipta Cinta iaitu ALLAH YANG MAHA PENCINTA, agar cinta mu berbalas dengan kasih sayang dan ampunan Allah ...............
Relakanlah perpisahan kita ini
Iringailah pemergian daku nanti
Dengan doa yang tidak berhenti
Moga Islam terus berdiri
Usapilah genang airmata kasih
Senyuamanmu penguat semangat daku
Andai kita tak jumpa lagi
Ku semai cintamu di syurga
Bepisahlah dua jiwa
Meninggalkan kuntum cinta
Mekar di istama taqwa
Menyahut panggilan Allah
Dengan nama Mu Allah yang Maha Gagah
Langkah ku atur pasrah daku berserah
Menangkanlah kaum Muslilin
Hancurkanlah kaum musyrikin
Demi Islam ditegakkan
Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya
Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi
Hening malam menyaksikan
Korban cinta dua insan
Baru diijab kabulkan
Rela menyahut seruan
Demi islam ditegakkan
Jihad menjadi pilihan
Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya
Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi
Madrasah Darus Syifa
Repah, Tampin
4.50 am
26 Jun 2010
Dari Diari Seorang Mujahidah : Pesanan Ibu
Diari Salina1968
Tarikh : Suatu ketika dulu
Lokasi : Disebuah rumah usang
Masa : Menjelang tengah malam
Sewaktu kecil ku, ibu sentiasa menceritakan kepada ku akan kisah-kisah yang terdapat dalam kitab-kitab sebelum aku memejamkan mata untuk tidur. Masih ku ingat, sebuah kitab berwarna hijau yang di muka hadapan tertera perkataan TANBIHUL GHAFILIN.
Pernah ku tanya ibu, siapakah yang menulis cerita-cerita di dalam kitab itu. Jawabnya Abu Laits As Samarqandi.
Ku bertanya lagi, siapakah dia ? Jawab ibu, dialah salah seorang yang dijadikan Allah untuk menyambung lidah Nabi (SAW).
Ku bertanya lagi, bagaimana mereka menyambung lidah Nabi ibu ? Jawab ibuku, mereka mengorbankan kesenangan dan kemewahan dunia untuk mendapat harta yang paling berharga.
Ku bertanya lagi, apakah harta yang paling berharga ?
Jawab ibu secara spontan dan ringkas, ILMU.
Aku kebingungan, Ilmu ? Ibu tersenyum sambil mengusap rambut ku. Ya, ilmulah harta yang paling berharga di dunia. Kerana ilmulah yang akan menjadi pelita buat menyuluh jalan untuk kita beramal ke arah kesempurnaan iman.
Ibu menyambung, ilmu juga harta yang tidak mampu dirompak dan dicuri. Malah ilmu juga tidak seperti harta-harta yang lain. Ilmu makin diberi kepada manusia, ilmu itu semakin bertambah tidak berkurang. Tidak seperti duit, makin diberi semakin berkurangan, ujarnya.
Ilmu juga bisa dibawa ke mana sahaja dan tidak memakan ruang berbanding dengan harta dunia yang lain.
Lalu ibu berkata lagi, bila dewasa nanti jadilah seperti mereka. Kelak hidup mu akan mendapat keberkatan di dunia serta bahagia di akhirat.
Ku bertanya, jika saya tidak mampu menjadi seperti mereka ? Ibu menjawab, maka Allah tidak akan jatuh darjat-Nya walau sedikit pun. Sebaliknya Allah akan datangkan seorang hamba-Nya yang lebih bertaqwa untuk memperjuangkan lidah kekasih-Nya. Waktu itu anak ibu akan berada di dalam kerugian.
Tapi bu, Saya tidak mahu mendapat kerugian, tapi mampukah saya menjadi seperti mereka ?
Ibu tersenyum, "Sebab itu ibu membacakan kisah-kisah mereka. Agar anak ibu dapat mempelajari bagaimana ingin menjadi seperti mereka. Ibu yang mana yang sanggup melihat puterinya dalam hayatnya digamit kerugian ? Jadi niatlah dari sekarang agar kelak di usia dewasa mu nanti, anak ibu akan menjadi seperti mereka. Memberi ilmu buat menyuluh jalan-jalan menuju kesempurnaan iman dan taqwa. Yang menjadikan diri mereka bagai bulan purnama, menerima cahaya matahari untuk keindahan diri serta menerangi manusia didunia dari kegelapan malam. Begitulah resam orang yang menimba ilmu bagai bulan purnama. Mengambil ilmu dari Yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui untuk mengindahkan diri dengan akhlak terpuji, serta menyebarkan ilmu kepada masyarakat untuk menyinari kegelapan zulumat jahiliah".
Wallahua a'lam
Kisah Cinta Rasulullah SAW
Aku terkenang, tatkala Rasulullah SAW kehilangan puteranya, Ibrahim, air matanya bergenang dan menitis sedikit di pipi baginda sebagai tanda cinta dan rindunya baginda kepada anaknya.
Sedangkan Rasulullah SAW pun menitis sedikit air mata tatkala kembalinya kaum keluarganya ke rahmat Allah, apatah lagi kita sebagai orang awam yang banyak dosa ini bila berhadapan musibah kehilangan orang tercinta.
Aku sering terbayang dan terfikirkan, bagaimanakah rasa cinta Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib SAW ?
Dan aku sering cuba berangan untuk berada di tempat ketika Rasulullah SAW melafazkan tarbiah kepada isterinya dengan kalimah-kalimah cinta nan indah, kepada anak-anaknya, kepada cucu-cucunya, kepada para sahabatnya.
Maka aku ingin coretkan sebuah kisah benar tapi diolah dan disampaikan dengan cara ku yang tersendiri, sebagaimana Saidina Jaafar Al Barzanji menyusun kisah Rasulullah SAW dengan caranya yang tersendiri, dalam bentuk puisi syair yang indah.
HIKAYAT SATU
Pernah suatu ketika, Rasulullah SAW berqiamullail. Dalam solat tahajudnya, Rasulullah SAW sujud agak lama kerana hatinya merintih memohon ampunan Allah. Saiyidatina Aishah merasa gusar. Mana tidaknya kerana sujud Rasulullah SAW kali ini amat luar biasa panjangnya. Jelas kelihatan kaki Rasulullah SAW bengkak2 disebabkan terlalu lama berdiri dalam menunaikan solat Tahajud. Kerana rasa kasih dan cintanya Aisyah kepada Rasulullah SAW, khuatir Rasulullah SAW telah wafat dalam sujudnya, Aisyah menggerak2kan tubuh Rasulullah SAW. Terbatallah solat Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersimpuh di hadapan Aisyah sambil tersenyum :
Rasulullah SAW : Untuk apa engkau mengganggu aku dalam munajat ku wahai Humaira ku sayang ?
Aisyah : Aku bimbang engkau telah pergi meninggalkan ku dan umat ini kembali ke rahmat Allah.Maka hilanglah sumber kecintaan ku dan umat ini.
Rasulullah SAW : Sayang ku, Ku dambakan kasih sayang dan cinta Ilahi. Janganlah diri mu risau akan diri ku. Aku hanya ingin mendampingi Allah SWT yang amat aku cintai.
Aisyah : Ya Rasulullah SAW, bukankah engkau seorang Rasul? Bukankah engkau paling dicintai Allah ? Mengapa harus diri mu bersusah-susah menunaikan ibadah sedangkan Allah telah jamin kedudukan mu amat mulia dan tinggi di sisi-NYA berbanding makhluk2 lain ciptaan-NYA ?
Rasulullah SAW : Wahai Humaira ku sayang. Aku hanyalah seorang HAMBA. Sebagai seorang hamba, memang sewajarnya aku mengabdikan diri ku kepada ALLAH yang amat ku cintai dalam ibadah ku. Salahkah aku menzahirkan sifat ku sebagai seorang hamba ?
####### END #######
HIKAYAT DUA
Di suatu ketika, Siti Fatimah binti Muhammad SAW melihat ayahandanya duduk keseorangan di hadapan rumahnya. Dari jauh Siti Fatimah melihat air mata ayahnya menitis dari celah kelopak mata baginda yang mulia dan mengalir halus ke pipi. Maka berjalanlah Siti Fatimah kepada ayahnya. Di dakap tubuh ayahnya sambil disandarkan kepalanya ke dada ayahnya yang amat disayangi.
Siti Fatimah : Wahai ayah ku sayang. Apakah yang menyedihkan diri mu ? Luahkanlah kepada anak mu ini agar kesedihan ayah dapat anak mu kongsi bersama.
Rasulullah SAW : Fatimah puteri ku sayang. Hati ku sayu kerana mengenangkan dosa-dosa yang aku telah lakukan kepada Allah dan mengharapkan keampunan Allah SWT.
Siti Fatimah : Ayah ku sayang, bukankah engkau seorang Rasul yang maksum yang terpelihara dari dosa ? Gembiralah hati mu kerana engkau lah yang menjadi rahmat kepada sekelian alam, dan tempat mu di sisi Allah amat mulia.
Rasulullah SAW : Puteri ku sayang, aku hanyalah seorang HAMBA. Sewajarnyalah seorang hamba sentiasa merasai diri berdosa. Sehari semalam tidak kurang aku memohon taubat kepada Allah sebanyak 70 kali.
##### END #####
Arwah datuk ku pernah berpesan : Kalau hamba berlagak hamba, raja akan sayang padanya. Tapi kalau raja berlagak hamba, ALLAH akan sayang padanya
Dan Firman Allah dalam Surah Al Fajr ayat 27 - 30 :
Wahai jiwa-jiwa yang tenang (27), kembalilah kepada Tuhanmu dengan rela dan diredhai (28), masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku (29), masuklah ke dalam syurga-Ku (30).
Dan itulah JAWATAN PALING MULIA milik manusia di sisi Allah iaitu sebagai HAMBA.
Jawatan HAMBA ALLAH saja yang menjamin hati-hati menjadi tenang.
Allah menyeru manusia yang di KASIHI sebagai HAMBA-NYA.
Allah mempersilakan HAMBA-NYA untuk memasuki syurga -NYA
Sebagai seorang HAMBA memang sewajarnya kita merasakan diri berdosa dan bersalah. Kerana dengan rasa diri berdosa dan bersalah itulah maka kita tidak akan putus-putus memohon ampunan dan bertaubat.
Kerana dengan rasa diri berdosa dan bersalah itulah maka kita tak akan berputus asa dengan rahmat dan ampunan ALLAH.
Kerana merasa diri berdosa dan bersalah itulah yang menjadi pendorong kepada kita untuk menghindarkan kemungkaran dan mendorong kita melakukan kebajikan.
Kerana merasa diri berdosa dan bersalah itulah yang menjadi benteng dan perisai untuk kita agar tidak mengulangi kesilapan silam.
Dan ingatlah .....sejauh mana kita mencintai insan lain .... namun tidak setanding cinta Rasulullah SAW ke atas umatnya.
Fikir-fikirkanlerr
Wahai seorang kekasih
Telah lama kau dirindui
Pilu sedih dalam kerinduan
Menangis pun tak berair mata
Namun hati tetap gembira
Syafaat mu menanti disana
Sungguh tabahnya hati mu
Menanggung derita yang melanda
Biarpun perit pedih tersiksa
Kerana umat, kau tempuhi jua
Wahai Rasul, kaulah segalanya
Contoh terbaik umat akhir zaman
Akhlak mu tinggi kan kami jejaki
Sifat mu sempurna pelengkap peribadi
Wahai Rasul kami merindui
Sinaran wajah mu mendamaikan jiwa
Manis senyuman mu penawar hiba
Di hati kami kaulah segalanya
Al Fatihah buat isteri tercinta , semoga ditempatkan di kalangan para muqorrabin
Madrasah Darul Syifa
Repah, Tampin
6 June
3.08am
Monday, June 21, 2010
Raihlah Syurga Dengan Kata-kata
Kata-kata adalah nutrisi dan penawar segala penyakit. Lidah adalah roda kemudi. Kerana itulah, mengapa orang yang mengalami kegundahan, kesedihan, stress atau depresi, akan menjadi lebih baik ketika mendapatkan siraman kata-kata sejuk yang menghibur. Hal ini menunjukkan betapa hebatnya fungsi ucapan yang meluncur dari lidah seseorang. Tak semua ucapan ditujukan untuk menyampaikan informasi dan membentuk pengertian.
Saat kita mengucapkan, "Selamat pagi! Apa kabar?" kita tidak bermaksud mencari keterangan. Tapi hal itu upaya agar orang lain merasa apa yang disebut oleh Teori Analisis Transaksional sebagai, 'Saya Oke-Kamu Oke'. Iaitu komunikasi yang ditujukan untuk menimbulkan kesenangan. Sebaliknya, perkataan yang buruk atau komunikasi yang gagal akan menimbulkan hubungan sosial yang tidak harmonis.
Maka dari itu, Allah swt. berfirman, "Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka." (Surah Al-Isra': 53)
Renungkanlah perumpamaan yang Allah swt. gambarkan dalam Alquran,
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, yaitu akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat." (Surah Ibrahim: 24-25)
Berinfaklah dengan perasaan Anda...
Sungguh, kita kaya dan berkuasa atas perasaan yang kita miliki. Maka sedekahkanlah kekayaan batin itu untuk keluarga dan orang-orang terdekat kita. Jangan halangi mereka dari merasakan perasaan-perasaan itu. Berkatalah pada isteri, suami atau kerabat dan orang terdekat dengan mulut yang terbuka dengan sempurna, lalu selamilah isi hati kita. Usahakanlah selalu agar mereka tidak merasa bahwa kita hambar hati, walau tangan sering bersedekah. Jangan buat mereka gersang dan haus akan kesejukan hati kita. Janganlah bakhil mencurahkan kemurahan hati kita, padahal mereka mengetahui bahwa kita memiliki kemurahan itu. Apakah air sejuk hati ini begitu dalam, sehingga tak dapat dirasakan seperti halnya air di sumur yang dalam?
Atsar berikut boleh kita renungkan. Isteri terbahagia di antara para wanita, iaitu 'Aisyah meriwayatkan dari Rasulullah saw.
"Syurga adalah tempat orang yang bermurah hati." (HR Ibnu 'Ady).
Maka bangunlah syurga dengan kedermawanan kata-kata yang baik dan lembut, pujian yang semerbak serta luapan perasaan cinta kasih. Kerana kata-kata yang baik adalah mata air kehidupan bagi hati dan jiwa, lebih-lebih hati dan jiwa wanita. Jangan bakhil terhadap sepotong kata yang baik. Kenapa harus berat mengucapkan kata-kata menyejukkan? Apakah sepotong kata yang dikeluarkan membuat harta berkurangan? Apakah sepenggal kalimat baik yang kita ucapkan membuat kita terbebani? Alangkah indahnya jika kita menjunjung syiar Islam, iaitu membahagiakan orang lain. Dan orang lain yang paling utama kita bahagiakan, adalah keluarga dan orang terdekat.
Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya amal yang paling dicintai Allah setelah amal fardhu, yaitu memberikan kegembiraan pada orang muslim." (HR Ath-Thabrany)
Kata-kata lembut antara suami-istri mengandung pesan hati serta jiwa yang begitu dalam. Dan setelahnya, Insya Allah akan lahir kebahagiaan agung yang mencairkan segala kebekuan. Sinarilah rumah tangga dengan kata-kata baik nan lembut, maka Anda sudah membangun satu tapak asas yang kukuh bagi pernikahan. Dengan ucapan yang menyejukkan hati, rumah terisi dengan cahaya saling memaafkan, cahaya toleransi dan cahaya cinta. Akhirnya, hati dan jiwa pun saling menyatu.
Kerendahan Hati Seorang Kekasih
Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.
Saidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika terdengar azan beliau cepat2 berangkat ke masjid, dan cepat2 pula kembali sesudah selesai sembahyang.
Pernah beliau pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar ketika itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Saidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, “belum ada sarapan Ya Humaira’ ?” (Humaira’ adalah panggilan mesra untuk Saidatina ‘Aisyah yang bererti Wahai Yang Kemerah2an)
‘Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa Wahai Rasullullah”
Rasullullah lantas berkata, “Jika begitu aku puasa sahaja hari ini.” Tanpa sedikit pun rasa kesal di wajahnya.
Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasullullah menegur “Mengapa kamu memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat beberapa kali tetapi dia tetap degil, jadi aku pukul dia.” . “Aku tidak bertanya alasanmu,” Sahut Nabi S.A.W “Aku menanyakan mengapa kamu memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak2mu?”
Pernah baginda bersabda, “Sebaik2 lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.”
Prihatin, sabar dan tawaduknya baginda dalam menjadi ketua keluarga lansung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.
Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendegar bunyi menggerutup seolah2 sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergesel antara satu sama lain.
Saidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu lansung bertanya setelah selesai solat. “Ya Rasullullah, kami melihat seolah2 tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah Ya Rasullullah?”
“Tidak Ya Umar. Alhamdulillah aku sihat dan segar.” Ya Rasullullah mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin tuan sedang sakit…” Desak Umar penuh cemas.
Akhirnya Rasullullah mengangkat jubahnya. Para sahabat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi haus setiap kali pergerakan tubuh baginda.
“Ya Rasullullah! Adakah apabila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?”
Lalu baginda menjawab dengan lembut “Tidak para sahabatku. Aku tahu apapun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah yang akan aku jawab di hadapan Allah nanti apabila aku sebagai pemimpin menjadi beban terhadap umatnya.”
“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi kelaparan di akhirat kelak.” Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap kasar oleh seorang Arab Badwi sehingga berbekas merah di lehernya. Dan penuh kehambaan baginda membasuh di tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita…Adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasullullah S.A.W pada hari ini? Apa-apa yang didengar sehari-hari yang didedah oleh media massa , hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka-mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar mencari manusia yang sanggup mengorbankan kepentinagn diri unyuk orang lain semata-mata takutkan Allah S.W.T…sepertimana yang dilakukan oleh Rasullullah.
Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah lansung tidak dijadikan sebab untuknya merasai lebih dari yang lain, ketika berhadapan dengan orang ramai mahupun keseorangan. Ketika pintu syurga terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi di malam hari, terus menerus beribadah sehinggakan baginda pernah terjatuh lantaran kaki baginda yang sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menahan kemahuan jiwanya yang begitu tinggi. Bila ditanya oleh saidatina ‘Aisyah, “Ya Rasullullah bukankah engkau telah dijamin syurga ? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”
Jawab baginda dengan lunak “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanya seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hambaNya yang bersyukur.”
Beginilah peribadi manusia yang paling mulia ciptaan Allah.
TIDAK CINTAKAH ENGKAU KEPADA MUHAMMAD BIN ABDULLAH SAW ?
Linangan Air Mata Kekasih Tercinta .........
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.
Pagi itu,Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah,
"Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih Nya. Maka taati dan bertaqwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama sama aku." Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh kasih sayang, menatap sahabatnya satu persatu.
Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu,hampir selesai menunaikan tugasnya didunia.
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.
Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.
Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"
"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,"kata Rasulullah,
Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.
Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.
Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Wahai Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.
"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"
"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas....Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Wahai Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh.
Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.
"Jijikkah engkau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
"Wahai Rasulullah, Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya.
"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum" "Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
"Ummatii, ummatii, ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku"
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu...................
KINI ........ MAMPUKAH KITA MENCINTAI SEPERTI BAGINDA ?
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
Wahai sahabat seperjuangan ku ....
Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Cinta Allah dan Rasulullah SAW cinta yang hakiki yang kekal abadi. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka ......
Tuesday, June 15, 2010
Wahai Para Penguasa, Pentadbir, Pemimpin & Imam !!!!
Sabda Rasulullah s.a.w. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin.
Khalifah. Presiden, Perdana Menteri. Menteri. Boss. Penghulu. Moderator, CEO, Imam. Hanya sebutan berbeza. Yang punya persamaan adalah kesemuanya mempunyai beban tugas yang besar sebagai seorang pemimpin. Mereka diipertanggungjawabkan ke atas setiap apa yang dilakukan, dan setiap apa yang orang bawahannya lakukan. Setiap pemimpin tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap pemimpin tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Jawatan pemimpin, bukanlah suatu jawatan yang boleh dibanggakan. Ianya juga bukan suatu alat untuk mengkudakan masyarakat dan rakan-rakan. Juga bukan alat untuk meminta orang ramai menghormati peribadinya. Tetapi ianya suatu jawatan yang meletakkan sebelah kaki yang memegang jawatan tersebut di dalam neraka manakala sebelah kaki lagi di dalam syurga. Begitulah ungkapan Saidina Umar Al Khattab r.a. sewaktu dilantik menjadi khalifah dunia Islam. Seandainya baik pentadbiran dan siasah sang pemimpin dalam menabur benih dan buah-buah keadilan kepada masyarakat, maka disitulah letaknya kasih sayang dan rahmat Allah. Sebaliknya, jika kezaliman dan perseteruan disebar di tengah masyarakat, maka ingatlah bahwa azab Allah di akhirat amatlah pedih.
Sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat telah membuktikan, tiada pemimpin yang bisa hidup senang dan tenteram dengan bebanan tanggungjawab yang dipikul. Kita dihamparkan oleh ulamak silam yang membentangkan didepan mata kepala kita, akan penderitaan dan kesusahan yang dilalui oleh orang yang bergelar pemimpin.
Abdullah Ibnu Jarrah, dilantik sebagai Gabenor di sebuah wilayah taklukan Islam. Hartanya hanyalah sebilah pedang untuk berjihad, sebutir mangkuk buat menjamah makanan dan sebuah bejana air untuk berwudhu.
Khalid Al Walid, pakar perancang ketenteraan Islam. Kehebatan dan kebijaksanaannya telah menyelamatkan batallion tentera Islam di kalahkan di Perang Yarmuk. Namun apabila jawatannya dilucutkan, dia masih mampu melafazkan “ Khalid Al Walid mulia bukan kerana pangkat darjah kebesaran, Khalid Al Walid mulia kerana Islam”.
Saidina Umar Al Farouq, sewaktu menjadi khalifah. Siang harinya sibuk mengurus siasah kenegaraan. Malam harinya disibukkan dengan tugas menjaga kebajikan rakyat. Pernah suatu malam, ketika Umar yang menyamar sebagai orang kebanyakan. Berjalan melalui lorong-lorong di Kota Madinah. Umar telah bertemu dengan seorang ibu tua yang merebus batu. Di samping ibu tua, anak-anak kecil yang menangis kelaparan. Umar bertanya “ Untuk apakah batu ini direbus ?”
“ Anak-anak ku kelaparan. Tiada makanan hendak ku berikan. Ku harap dengan merebus batu ini, anak-anak ku akan keletihan menanti batu yang tak mungkin bertukar jadi makanan. Agar dengan keletihan itu, mereka akan tidur dalam kelaparan sehingga keesokan hari. Agar dapat ku usahakan tulang yang empat kerat ini mencari rezki buat mereka.” , jawab si ibu tua tanpa menyedari, lelaki tempat diadukan masalahnya adalah Amirul Mukminin, Umar Al Farouq.
Dengan linangan air mata, Umar Al Farouq bergegas ke gudang perbendaharaan negara. Dipecahkan kunci perbendaharaan dan dipikulnya seguni gandum. Datang seorang sahabat menawarkan diri kepada Umar Al Farouq Amirul Mukminin untuk memikul guni gandum tersebut.
Jawab Umar “Andai kau ingin memikul guni gandum ini untuk ku, maka bersedialah engkau memikul dosa-dosa ku di akhirat kerana kelalaian ku menjaga kebajikan rakyat .” Kata-kata Umar telah menghentikan hajat sahabat tadi untuk membantu.
Setelah menyatakan tujuannya kepada penjaga gudang, Umar bergegas kembali ke tempat si ibu tua dengan linangan air mata sambil memikul guni gandum di belakangnya. Umar sendiri memasakkan makanan buat ibu tua sekeluarga. Umar juga yang melayan dan menyuapkan makanan kepada anak-anak yang kelaparan. Umar juga yang mendodoikan anak-anak si ibu tua hingga mereka tidur lena. Dalam kekenyangan. Dalam ketenangan. Dalam kegembiraan…….
Lantas Umar berlalu. Sebelum pergi, Umar berpesan kepada si ibu tua yang masih belum mengenali bahwa lelaki di hadapannya adalah Amirul Mukminin “ Wahai ibu. Doakanlah diri ku agar dosa-dosa ku diampuni Allah”.
Inilah Umar.Inilah peribadi mulia milik seorang pemimpin. Seorang pemimpin yang menjadi khadam kepada rakyat. Berkhidmat atas rasa tanggungjawab. Pemimpin yang menjadikan karenah rakyat sebagai alat mentarbiah diri. Pemimpin yang siang dan malam menggantungkan untung nasibnya dengan Allah. Maka tak mustahil Allah serahkan dunia ini kepada Umar Al Farouq untuk ditadbir dari sempadan India di Timur hingga ke sempadan Eropah di Sepanyol. Sebab Umar, seorang raja yang berperwatakan hamba. Walau sudah dijamin syurga, namun tidak segan silu meminta doa dari rakyatnya agar Allah ampuni segala dosanya.
Wahai para pemimpin. Wahai perdana menteri. Wahai para pentadbir. Wahai para moderator. Mampukah kita menjadi seperti Umar ? Berlaku tawaddhuk rendah diri, peka kepada masyarakat, bersifat dengan rasa kehambaan, walaupun memiliki posisi yang tinggi di kaca mata masyarakat dan punya peluang besar mengaut keuntungan peribadi. Seandainya kita tidak mampu menjadi seperti Umar dan tidak terniat menjadi seperti Umar, maka tidak hairanlah Allah tidak membantu kita dalam urusan pentadbiran kita.
Arwah datuk ku berpesan : Bila hamba berlagak hamba, raja akan sayang kepadanya. Tetapi bila Raja berlagak hamba, ALLAH akan sayang kepadanya
Subscribe to:
Posts (Atom)