Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Saturday, September 12, 2009

Di Ambang Fajar Syawal


Ya ALLAH,
Sesungguhnya ENGAKAU Maha Pemaaf lagi Maha Mulia,
ENGKAU menyukai pemaafan,
Kerana itu berilah kemaafan kepada ku.

(Hadis riwayat AT Termizi & Ibnu Majah)



Sahabat seperjuangan sekelian.

Berlalu sudah 22 hari di bulan Ramadhan 1430H. Bermakna sudah 22 hari kita bertempur dengan hawa nafsu di bulan mujahadah ini.

Aku ingin mengajak kalian untuk bermuhasabah. Apakah kejayaan yang kita raih di bulan yang mulia ini. Atau apakah kita tertewas dengan bujukan hawa nafsu dan masih di takuk lama, masih berlazat-lazatan dengan dosa dan kemungkaran. Apakah kita benar-benar ikhlas mengharapkan rahmat ALLAH di fasa pertama Ramadhan ? Apakah kita benar-benar berusaha menggapai ampunan ALLAH yang kita dambakan di fasa kedua Ramadhan ? Fasa ketiga Ramadhan, ALLAH menjanjikan pintu-pintu neraka di tutup dan pintu syurga di buka seluas-luasnya bagi hamba-hamba NYA yang ikhlas mengharapkan kasih sayang dan cinta ALLAH.

ALLAH adalah kekasih sejati lagi abadi. Cinta-NYA tak mungkin di mungkiri. Cinta-NYA tulus suci lagi sejati. Rebutlah cinta ILAHI, kerana di dalamnya ada ketenangan dan kebahagiaan. Jadikanlah diri kita kekasih yang amat mengasihi SANG PENCIPTA CINTA, kerana DIALAH ALLAH YANG MAHA PENCINTA dan DIALAH juga yang mencipta cinta dalam hati-hati hamba-NYA. Maka rebutlah peluang di bulan Ramadhan ini untuk berdua-duaan dengan ALLAH dalam kesunyian dan kesyahduan malam.

Sahabat seperjuangan sekelian.

Ramadhan akan berangkat meninggalkan kita. Kita akan kehilangan dan merindui satu bulan yang sungguh berkat. Bulan ketika pintu rahmat dibuka seluas-luasnya. Bulan yang di dalamnya kita diberi latihan melakukan mujahadatunnafsi. Siang kita mengekang nafsu dari segala kemahuan jahat lahir dan batin. Malam kita berdiri rukuk dan sujud sebagai menyatakan ketaatan, kecintaan dan kerinduan kepada Allah SWT. Kita lakukan juga ibadah-ibadah yang lain untuk bertaqarrub dengan- NYA.


Sepanjang Ramadhan ini, kita juga ternanti-nanti dan tertanya-tanya, antara tiga puluh malam Ramadhan , malam yang manakah menjadi malam keramat buat ketibaan lailatul Qadar. Lantaran itu kita rela bersengkang mata menghidupkan kesemua malam-malam Ramadhan dengan pesta ibadah. Hajat dan harapan agar kita direzkikan Allah untuk bertemu lailatul Qadar iaitu malam yang menyamai dengan seribu bulan. Agar keutamaan dan kebesaran rahmat di Lailatul Qadar dapat kita nikmati bagi menebus dosa-dosa yang telah dan sedang kita lakukan.

Berakhirnya Ramadhan bererti berakhirnya peluang keemasan yang diperuntukan kepada kita. Pintu neraka ditutup, rahmat dan ampunan dicurahkan ke atas hamba-hamba NYA. Syaitan dibelenggu, nafsu dikekang dengan amalan puasa. Kita melawan nafsu yang terkontang-kanteng tanpa mendapat sokongan syaitan. Persoalannya, sejauhmanakah hasil dan kesannya ?

Sudah kalahkah nafsu kita ? Sudah tumpaskah nafsu kita ? Sudah terubatkah penyakit-penyakit hati yang dibawa oleh seribu macam virus mazmumah ? Kalau belum, dari sudut manakah puasa kita dinilai oleh Allah ?

Perginya Ramadhan, disusuli terbitnya fajar Syawal. Kita meraikan dan merayakan kemeriahan Idilfitri walaupun pada hakikatnya tidaklah layak kita meraikannya. Pernah terjadi di zaman salafussoleh, seorang waliyullah tidak meraikan Idilfitri kerana merasakan kegagalan dalam mujahadatunnafsi di bulan Ramadhan.

Maka aku menyeru kepada diri ku dan sahabat-sahabat seperjuangan. Tatkala terbitnya fajar syawal nanti, ucapkanlah jutaan kesyukuran di pagi mulia sambil diiringi gema takbir. Kesyukuran kerana pintu taubat masih terbuka luas buat kita meraih ampunan dan maghfirah Allah SWT. Pintu taubat yang sengaja Allah buka buat kita dan pintu taubat itu sentiasa ternanti-nanti taubat dari kita.

Sahabat-sahabat seperjuangan. Raikan dan rayakan Idilfitri nanti dengan taubat sebanyak-banyaknya. Gantikan dentuman mercun dengan gema takbir, tasbih, tahlil dan tahmid. Meriahkan suasana lebaran dengan solat tasbih dan hajat. Eratkan ukhwah dengan kunjung-mengunjung dan saling bermaafan. Ingatlah insan yang tidak seberuntung kita menyambut hari lebaran bersama linangan air mata.

Akhir kalam. Ayuh perjuangan kita masih belum bernoktah. Teruskan mujahadatunnafsi dan teruskanlah perjuangan mendidik hati untuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Semoga Allah merezkikan kita untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.


No comments:

Post a Comment