Coretan perjalanan hidup ku menuju titik noktah di dunia ini sebelum menanti di barzakh menuju ke alam akhirat untuk diperhitung segala amalan .....
Firman ALLAH SWT
Sabda Rasulullah SAW
Kalam Tinta Dari Ku
Tuesday, May 4, 2010
Sayang Menyayang &
Suatu ketika Rasulullah SAW sedang memimpin solat jemaah. Tidak seperti biasa, kali ini sujudnya panjang sekali. Para sahabat yang berada dibelakangnya mulai resah, terfikir oleh mereka pasti ada sesuatu yang menimpa Rasulullah SAW. Ketika solat selesai, mereka bertanya tentang hal tersebut. Nabi menjelaskan bahwa ketika ia sedang bersujud, tiba-tiba Hasan dan Husain cucunya naik ke atas punggungnya. Ia tak segera berdiri hinggalah sang cucu turun sendiri. Ia khuwatir bila ia paksakan berdiri sang cucu akan terjatuh ke lantai.
Di lain waktu Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Di tengah khutbahnya tiba-tiba sang cucu berlari menuju ke mimbar. Rasulullah SAW turun dari mimbarnya dan menyambut kedatangan cucunya sembari memberi isyarat agar sang cucu kembali tenang. Tak lama kemudian Rasulullah SAW melanjutkan khutbahnya.
Kasih sayang tersebut tidak hanya terkhusus bagi kerabat beliau saja, bahkan beliau curahkan juga bagi segenap anak-anak kaum muslimin. Asma’ binti ‘Umeis rha –isteri Ja’far bin Abi Thalib menceritakan : “Rasulullah SAWdatang menjengukku, beliau memanggil putera-puteri Ja’far. Aku melihat beliau mencium mereka hingga menitis air mata beliau. Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah telah sampai kepadamu berita tentang Ja’far?” beliau menjawab: “Sudah, dia telah gugur syahid pada hari ini!” Mendengar berita itu kami pun menangis. Kemudian beliau pergi sambil berkata: “Buatkanlah makanan bagi keluarga Ja’far, kerana telah datang berita musibah yang memberatkan mereka.” (HR: Ibnu Sa’ad, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Ketika air mata Rasulullah SAW menitis menangisi gugurnya para syuhada’ tersebut, Sa’ad bin ‘Ubadah ra bertanya: “Wahai Rasulullah, Anda menangis?” Rasulullah SAW menjawab: “Ini adalah rasa kasih sayang yang Allah Ta’ala letakkan di hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya hamba-hamba yang dikasihi Allah Ta’ala hanyalah hamba yang memiliki rasa kasih sayang.” (HR: Al-Bukhari)
Rasulullah SAW adalah manusia yang dipilih Allah dengan sifat yang penuh dengan kasih sayang. Sifat kasihnya tidak terbatas hanya untuk anggota keluarganya, tapi melingkupi seluruh manusia.
Suatu ketika ada seorang ibu sedang mengendong anaknya. Tiba-tiba Rasulullah SAW menghampiri sang ibu tadi dan ingin memangku anaknya. Maka beralihlah sang anak dari pangkuan ibu kepada pangkuan Rasulullah SAW. Tak disangka-sangka sang anak itu kencing hingga membasahi jubah Rasulullah SAW. Melihat kejadian itu sang ibu langsung merenggut sang anak dari tangan Rasulullah SAW. Sambil memarahi, sang ibu memukul punggung sang anak. Rasulullah SAW mencegahnya, tapi sang ibu tetap memukul dan memarahi anaknya. Atas kejadian tersebut Rasulullah SAW mengingatkan bahwa kotornya jubah boleh dicuci di rumah, tapi kemarahan ibu tetap akan memberi bekas dalam hati sang anak sampai ia menginjak dewasa, dapatkah ibu membersihkannya?
Begitulah peribadi manusia yang bernama Muhammad bin Abdullah SAW. Beliau tak ingin seorangpun yang terluka hatinya, kecewa, sedih, marah, dan benci kepada sesamanya. Beliau ingin memberikan yang terbaik kepada orang lain, dengan sekuat daya dan kemampuannya. Menyayangi keluarga, isteri, anak atau cucu, itu hal biasa. Binatang buas sekalipun memberikan kasih sayangnya kepada anggota keluarganya. Harimau tetap menyusui anaknya, demikian pula binatang buas lainnya. Tetapi untuk memberikan kasih sayang sehingga manusia yang jahil dan jahat boleh berubah menjadi hamba Allah yang takutkan neraka sambil merindui syurga, kuncinya adalah kasih sayang yang lahir dari kesucian iman yang hakiki.
Untuk itu Rasulullah SAW bersabda:
Tidak sempurna iman kalian sehingga engkau saling berkasih sayang. Para sahabat berkata: Kami sudah saling kasih sayang. Nabi bersabda: "Bahwa sayang yang dimaksud di sini bukan saja sayang sekadar kepada salah seorang temannya, dalam ruang lingkup terbatas, tetapi sayang (yang dimaksud) adalah sayang yang bersifat menyeluruh. (HR. Ath-Thabrani)
Kerananya Rasulullah SAW mendidik manusia untuk bersikap lembut dan kasih sayang kepada semua yang melata di muka bumi. Beliau bersabda:
Sayangilah orang-orang yang ada di bumi, nescaya kamu disayangi oleh orang yang di langit (yakni para malaikat). (HR. Thabrani)
Bukankah hidup kita di dunia ini atas kasih sayang Allah? Tanpa kasih sayang-Nya tak mungkin kita boleh hidup dan menikmati kehidupan seperti saat ini. Udara disiapkan secara percuma, tanpa ada bill perkhidmatan dari Allah. Air disediakan melimpah untuk siapa saja. Matahari, bulan, bintang, dan bumi yang kita pijak ini adalah berkat rahmat Allah swt. Sedikit saja rahmat Allah dicabut, hidup kita sangat sengsara. Saluran nafas kita diberi sumbatan sedikit saja sudah haru biru hidup kita. Belum lagi jika denyut jantung kita dihentikan sejenak, maka matilah kita.
Suatu ketika 'Aisyah menceritakan kepada Rasulullah SAW saw sebuah peristiwa yang baru saja dilihatnya. Ia melihat seorang ibu dengan dua orang anaknya yang sedang kelaparan. Dalam keadaan seperti itu datanglah seseorang memberikan tiga potong roti. Dua potong roti diberikan kepada anaknya sedangkan yang sepotong disimpan untuk dirinya. Kerana kelaparan sang anak langsung melahap dan menghabiskan kedua-dua potong roti mereka. Tersentuh hati si ibu melihat kelaparan kedua anaknya tersebut, sepotong roti miliknya dipotong dua dan diberikan kepada kedua orang anaknya. Sang ibu rela kelaparan demi anak-anaknya. Setelah mendengar cerita tersebut, beliau bersabda: Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya melebihi kasih sayang ibu yang baru anda ceritakan tadi. Sang ibu yang dikisahkan oleh 'Aisyah itu benar-benar telah menghayati nilai kasih sayang. Ia telah meresapi nilai kasih sayang Allah, yang dizahirkan kepada anak-anaknya. Namun demikian, kasih sayang Allah jauh melebihi kasih sayang ibu tersebut. Atas kasih sayang-Nya kita hidup, dengan kasih sayang-Nya pula kita dapat menikmati kehidupan dunia, dan insya-Allah akan menikmati pula kehidupan akhirat, suatu kehidupan yang pasti. Rasulullah SAW membenci orang-orang yang bersifat kasar, tak berperasaan. Beliau bersabda:
Bahwasanya sejauh-jauh manusia dengan Allah ialah orang-orang yang keras hatinya. (HR. At-Tirmidzi)
Diperingkat awal Rasulullah SAW menyampaikan seruan Islam, beliau tentu saja menghadapi tentangan dan permusuhan yang sangat berat. Caki maki, hinaan, siksaan mental dan fizikal, serta penzaliman musuh, serta ancaman pembunuhan selalu menyertai kehidupannya. Akan tetapi dalam menghadapi mereka, Rasululah diperintahkan untuk tetap bersikap lemah lembut. Beliau berpantang untuk bersikap keras. Allah berfirman:
"Maka disebabkan rahmat Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka." (QS. Ali Imraan: 159)
Itulah sebanya, ketika beliau berniat hijrah ke Thaif, disambut hujan batu dan pengusiran yang sangat kejam, beliau tetap bersikap lemah lembut. Tak sedikitpun kemarahan nampak pada wajahnya. Ketika Malaikat Jibril datang menawarkan bantuan untuk menghancurkan bani Thaif dengan batu-batu gunung, beliau menjawab:
"Allahummahdii qaumii fainnahum laa ya'lamuun, Ya Allah, berilah kaumku petunjuk, sebab mereka belum mengerti."
Bani Thaif ketika itu belumlah menjadi kaumnya, bahkan mereka saat itu adalah musuhnya. Akan tetapi dalam do'anya, beliau menyebut mereka sebagai kaumnya. Itulah bentuk kasih sayang Rasulullah SAW yang besar kepada ummat manusia.
Dari acuan Rasulullah SAW, maka lahirlah para sahabat yang mewarisi sifat kasih sayang manusia yang amat mulia dan terpuji ini. Demi kasih sayang terhadap saudara se-Islam mereka, mereka sanggup mengorbankan harta benda, masa, tenaga malah nyawa mereka sebagai bukti betapa kasih dan sayangnya mereka terhadap saudara mereka.
Sewaktu peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan Abd Rahman bin Auf yang berhijrah sehelai sepinggang bersama Saad bin Rabi’. Saad Bin Rabi’ pernah menawarkan kepada Abd Rahman Bin Auf ra dengan berkata :
"Saudara, ketahuilah bahawa saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan kiranya saudara sudi ambillah separuh dari kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan kiranya Saudara sudi mana satu antaranya, saya sedia menceraikannya supaya boleh saudara mengahwininya.
Mendengarkan kata-kata sahabatnya itu Abdul Rahman Bin Auf seraya menjawab,
“Saudaraku, semoga Allah akan memberikan berkat terhadap keluarga dan hartabenda saudara. Janganlah disusahkan tentang diri saya ini, yang penting bagi saya ialah kiranya saudara sudi menunjukkan saya jalan menuju ke pasar.”
Abd Rahman Bin Auf pun memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli perniagaan di Madinah sejak saat itu.
Begitulah kasih sayang Bilal Bin Rabi’ yang bersedia mengorbankan harta dan haknya demi seorang sahabat yang memerlukan. Inilah tarbiah Rasulullah SAW. Malah ada di kalangan para sahabat, kerana nilai kasih sayang yang diterapkan oleh Rasulullah SAW ke dalam diri mereka, mereka sanggup mengorbankan saat-saat indah bersama isteri tercinta demi sebuah perjuangan.
Bekas tangan didikan Rasulullah SAW telah melahirkan manusia yang amat mengasihi dan menyayangi saudaranya melebihi dirinya. Mereka sanggup terkorban demi saudaranya.
“Tidak dikatakan seseorang itu beriman selagi dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Di dalam Peperangan Yarmuk, tentera Islam pimpinan Khalid Al Walid seramai 30,000 orang terpkasa berhadapan dengan 100,000 orang tentera Romawi. Di saat genting peperangan, Khalid Al Walid telah berjaya mengIslamkan seorang panglima tentera Rom bernama Georgius Theodore. Akhirnya Georgius Theodore mati syahid dalam peperangan tersebut.
Dikisahkan, selepas peperangan Yarmuk tamat, seorang sahabat bernama Abu Jahim bin Huzaifah mencari sepupunya yang sama-sama berjuang berhadapan dengan tentera Rom. Saya bawa bersama-sama sedikit air agar dapat memberi faedah buat dirinya. Tatkala Abu Jahim Bin Huzaifah menjumpai sepupunya sedang terbaring berlumuran darah. Dia mengerang kesakitan dan harapan untuknya hidup sangat tipis sekali. Melihat keadaannya itu Abu Jahim Bin Huzaifah lantas berkejar kepadanya untuk memberikan air. Tetapi ketika hampir Abu Jahim Bin Huzaifah memberikannya air itu Abu Jahim Bin Huzaifah terdengar seorang lagi pejuang Islam sedang berteriak: “Berikanlah saya air! air!” Mendengar suaranya itu saudara sepupu Abu Jahim Bin Huzaifah lantas memberi isyarat agar Abu Jahim Bin Huzaifah pergi melayani orang itu lebih dahulu dan memberikannya air itu. Maka Abu Jahim Bin Huzaifah pun tanpa lengah lagi terus pergi mendapatkan orang itu. Pejuang itu amat Abu Jahim Bin Huzaifah kenali, tidak lain adalah Hasyim Bin Abilas.
Tetapi sebelum sempat Abu Jahim Bin Huzaifah memberikan air kepada Hasyim, Abu Jahim Bin Huzaifah terdengar suara orang mengerang di sebelahnya pula, juga meminta air. Hasyim pula kali ini mengisyaratkan Abu Jahim Bin Huzaifah supaya memberikan air itu lebih dahulu kepada orang yang mengerang dekatnya. Bagaimanapun sebelum sempat Abu Jahim Bin Huzaifah kepada pejuang yang ketiga itu ia pun telah mati syahid. Lalu Abu Jahim Bin Huzaifah pun bergegas semula kepada Hasyim tetapi sedihnya ia juga telah mati syahid. Tanpa lengah lagi Abu Jahim Bin Huzaifah terus pergi mendapatkan saudara sepupunya. Sungguh tidak tahan rasa di hati Abu Jahim Bin Huzaifah kerana sepupunya juga telah mati syahid.
Demikianlah satu contoh keluhuran budi yang tidak ada bandingnya yang diperlihatkan oleh para sahabat Rasulullah SAW.
DI ZAMAN KITA ................
Suatu ketika dulu, ada seorang pemuda yang berkecimpung dalam sebuah jemaah yang kononnya gerakan dakwah. Dalam usahanya membuat kerja dakwah, pelbagai lapisan masyarakat yang telah dia temui dan dekati, dari lapisan Pak-pak Menteri sehinggalah golongan pertengahan dan pengemis. Maka tidak hairanlah dia sering di cari oleh masyarakat andainya ada program/aktiviti dakwah yang hendak diadakan oleh masyarakat setempat. Namun perhatian masyarakat kepadanya telah mengundang rasa iri hati di kalangan orang atasan jemaahnya. Lalu pemuda tersebut dipanggil oleh pihak atasan jemaah, di marahi dan dibuang dari jemaah. Tindakan orang atasan jemaah tidak terhenti setakat itu sahaja. Demi menamatkan karier dan nama baik pemuda tersebut, tohmahan dan fitnah dilontar ; kaki disco, kaki perempuan, minum arak, samseng dan lain-lain lagi. Namun pemuda tersebut hanya berserah kepada Allah sambil mengucap syukur kerana telah di keluarkan dari jemaah kebathilan.
DI MANAKAH RASA KASIH SAYANG YANG DITUNJUKKAN ? Apakah yang ingin dicari dalam perjuangan sebegini ? Glamour ? Kekuasaan ? Hormat dari orang ramai ? Nak suruh orang kata engkau alim banyak ilmu ? Kekayaan ? Perempuan ? ....... atau keredhaan Allah ?
Pada masa yang sama, di suatu daerah, telah datang seorang pemuda kepada seorang tua, dengan rasa keluh-kesah dan gelisah. Di wajahnya tampak rasa penyesalan. Lantas bersuaralah si pemuda kepada Pak Tua dengan suara nan sebak penuh penyesalan :
Pemuda .......... Ustaz, saya hampir-hampir hendak berzina .....
Namun yang terpancar dari mulut Pak Tua ..............ALHAMDULILLAH ... Syukur kepada Allah, awak tidak berzina.
Begitulah akhlak seorang insan yang mulia yang pernah ku kenal. Yang dirinya tidak pernah merasa walau sedikit beban untuk mendidik manusia-manusia yang jahat macam muka-muka kita. Keluhan si pemuda, dibalas dengan tahmid kesyukuran, penuh kasih sayang, kerana ada insan yang berdosa mendatangi dirinya minta dididik dan dibimbing untuk menghampiri Allah. Lantas dengan kudrat yang ada anugerah Allah, Pak Tua mendidik insan-insan kerdil yang jahat ini untuk mengenal Allah dan menghampiri Allah.
Masih basah diingatan ku pesan arwah datuk ku,:
"Tahap kerohanian yang agung bukanlah boleh terbang tinggi di udara mahu pun berjalan di atas air. Kerana dengan terbang tinggi di udara engkau hanya menjadikan diri mu bagaikan burung dan berjalan di atas air engkau menjadikan diri mu bagaikan ikan. Tetapi tahap kerohanian yang agung ialah apabila engkau boleh mendidik manusia yang jahat, menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa, kerana inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW"
Ku renung sejenak .........
Saidina Omar , sebelum Islamnya pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup.
Ikrimah Bin Abu Jahal, namanya pernah tersenarai dalam senarai kafir Quraisy yang halal dibunuh.
Amru Al As, dia merupakan salah seorang algojo yang menyiksa pemuda-pemuda yang memeluk Islam dan membantu perjuangan Rasulullah SAW.
Wahsyi yang menombak mati Saidina Hamzah ra, akhirnya diamenjadi salah seorang pembunuh Nabi Palsu selepas kewafatan Rasulullah SAW sebagai penebus dosanya.
Dan banyak lagi jiwa-jiwa yang jahat dan kotor, tetapi berjaya menjadi hamba Allah yang beriman dan bertaqwa dengan hasil didikan Rasulullah SAW.
INILAH TAHAP KEROHANIAN TERHEBAT.
Kerana apabila berjaya mendidik manusia ke arah keimanan dan ketaqwaan, terselamatlah mereka dari menjadi bahan bakaran api neraka.
Saudara sahabat seperjuangan ku sekelian,
Tolong-menolong dan sayang-menyayang.
Inilah yang selalu dan sering kita lafazkan dalam majlis-majlis kita. Ayuh kita merenung sejenak, memuhasabah diri. Sejauh manakah kedua-dua sifat ini telah kita amalkan dalam diri kita ?
Andainya kita mampu merasakan keperitan dan kepayahan saudara kita, lantas kita sanggup mengorbankan sedikit kepentingan kita demi membantu saudara kita yang kurang bernasib baik. Itu sudah memadai dan amat bermakna buat saudara kita.
Andainya sifat tolong-menolong dan sayang menyayang tersemai dalam diri kita dan disuburkan, akan leburlah akhlak-akhlak terkeji di dalam diri. Hancur dan musnah sifat bangga diri, menagih penghormatan, mengadu domba, fitnah memfitnah. Kerana dengan adanya rasa sayang menyayang, maka akan terzahirlah tolong menolong ke arah keimanan dan ketaqwaan.
Akan lahir sifat tegur-menegur atas kesalahan yang berlaku dengan kasih-sayang. Orang yang ditegur pula, menerima teguran dengan hati terbuka kerana mengharapkan keredhaan Allah.
Akan lahir pemimpin yang tawadduk dan mendidik ke arah keimanan dan ketaqwaan dengan penuh kasih sayang. Orang yang dididik pula merasa kasih sayang seorang ayah terpancar dari diri pemimpin.
Sesungguhnya sifat kasih sayang itu ada dalam jiwa setiap manusia. Besar kecilnya tergantung kepada setiap individu untuk menumbuhkan dan menyuburkannya. Ada orang-orang yang berhasil membesarkannya, tapi banyak yang gagal sehingga kasih sayangnya tertutupi oleh rasa benci, sombong, dan egonya Sebagaimana sifat-sifat yang lain, sifat kasih sayang hendaknya juga dilatih.
Pertama, dengan mengasah kepekaan sosial. Tumbuhkan rasa simpati dan empati kepada sesama manusia.
Kedua, hulurkan tangan, berikanlah bantuan kepada orang-orang yang lemah dan memerlukan bantuan.
Ketiga, hiasi penampilan dengan seyum yang manis, perangai yang halus, dan perilaku yang menyenangkan.
Keempat, jaga lisan dari kata-kata kasar, kotor, dan menyakitkan perasaan. Lebih baik diam jika tidak boleh berkata manis dan menyenangkan. Dengan empat langkah di atas, insya-Allah kita tampil menawan, penuh pesona dan wibawa.
Alfatihah kepada Almarhum Ustaz Muhammad Taha As Suhaimi. Semoga ilmu yang disalurkan kepada kita, menjadi jariah buat dirinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment