Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Tuesday, March 30, 2010

Ibadah Menurut Islam Part 1


Dalam coretan terdahulu, telah dibahaskan tentang matlamat hidup manusia dijadikan Allah SWT, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadi hamba kepada NYA yang sentiasa beribadah kepada NYA. Bersesuaian dengan firman Allah :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ


Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada KU (Adz Dzariyat : 56)




Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, maka memang sewajarnyalah setiap saat, setiap turun dan naiknya nafas kita dalam beribadah kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT :



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu di dalam agama Islam semuanya sekali. ” - Al Baqarah: 208

Apakah ini bermakna, hidup sebagai seorang muslim hanyalah tunduk rukuk dan sujud 24 jam sehari dalam solat demi menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah ? Allah tidak sekejam itu ke atas makhluknya dan tidak sesempit itu ibadah di dalam Islam.
Dalam mengutus manusia di muka bumi ini, Allah telah memberi panduan untuk beribadah dalam segala aspek kehidupan, agar setiap tindak-tanduk manusia itu akan terarah dalam menghasilkan pahala-pahala ibadah. Ibadah kepada Allah tidak terbatas kepada solat, puasa, zakat, zikir, baca Al Quran dan lain-lain sahaja. Malah aspek ibadah menurut Islam ini terlalu luas dan terlalu mudah untuk digapai oleh insan yang benar-benar ingin mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT : Surah Ibrahim ayat ke 24 hingga 25 yang bermaksud :

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ ﴿14:24﴾
تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ ﴿14:25﴾

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana ALLAH telah membuat perumpamaan kalimat yang baik (kalimah Tauhid) seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. ALLAH membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Ayat di atas telah membuat suatu perumpamaan bahawa Islam ini bagaikan sebatang pokok yang sempurna. Pokok yang sempurna yang akar tunjangnya kuat mencengkam ke bumi yang takkan rebah bila ditiup badai. Mempunyai batang yang kuat bagi menyokong dahan-dahan, ranting-ranting dan daun-daun. Mempunyai dahan-dahan dan ranting-ranting buat daun-daun tumbuh. Mempunyai daun-daun yang rimbun agar orang yang bermusafir boleh tumpang berteduh. Mempunyai bunga yang harum dan buah yang lazat dan ranum.

Begitulah ibadah di dalam Islam. Ianya pasti sesempurna sebatang pokok yang sempurna yang memberi manfaat kepada orang yang beramal ibadah.

Sebenarnya ibadah mencakup seluruh aspek kehidupan manusia sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Itulah yang kita amalkan dalam hidup kita sehari-hari asalkan tidak bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah. ALLAH menginginkan segala yang kita lakukan dalam hidup menjadi ibadah, yaitu cara kita berpakaian, cara kita mengatur rumah tangga, bentuk perjuangan kita, pergaulan kita, percakapan dan perbincangan kita, semuanya menjadi ibadah, sekalipun kita berdiam diri juga dapat berbentuk ibadah. Di samping itu aspek-aspek lain seperti pendidikan dan pelajaran, perekonomian dan cara-cara menjalankan ekonomi, soal-soal kenegaraan dan perhubungan antar bangsa pun, semua itu mesti menjadi ibadah kita kepada ALLAH. Itulah yang dikatakan ibadah dalam seluruh aspek kehidupan kita baik yang lahir maupun yang batin.

Ibadah-ibadah ini dapat dihuraikan menjadi tiga peringkat ibadah yang mencakup seluruh aspek kehidupan manusia, yaitu : Ibadah asas, Ibadah cabang-cabang dan ibadah yang lebih umum

lbadah yang asas merangkumi soal-soal aqidah dan keyakinan kita kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab,Rasul-Rasul, hari pembalasan dan untung baik untung jahat. lnilah apa yang kita namakan rukun iman yang enam. Termasuk juga dalam huraian ibadah yang asas ini ialah rukun Islam yang lima iaitu syahadat, sembahyang lima waktu, puasa, zakat fitrah dan rukun haji (bagi mereka yang berkemampuan). Kedua bentuk ibadah yang asas ini iaitu rukun iman dan rukun Islam adalah wajib ain atau fardhu ain bagi setiap mukallaf. Bererti bahawa sebelum kita dapat melaksanakan ibadah-ibadah yang lain, kedua perkara ini perlu ada pada diri kita yang mana telah dapat kita tanamkan dalam jiwa kita.

lbadah yang menjadi cabang-cabang kepada asas tadi iaitu yang bertalian rapat dengan ibadah asas meliputi perkara mentajhizkan mayat, menegakkan jihad, membangunkan pendidikan dan pelajaran, mewujudkan perancangan ekonomi Islam seperti perusahaan-perusahaan asas yang menjadi keperluan setiap umat Islam. Ini termasuklah perusahaan yang boleh menghasilkan makanan wajib seperti gula, tepung, garam, kicap dan perusahaan minuman seperti susu, kopi, teh dan lain-lain bentuk minuman ringan. Selain dari itu di bidang ini termasuk juga penggalakan usaha-usaha pertanian dan perikanan yang mana ini akan menghasilkan beberapa makanan asas bagi umat Islam seperti beras, gandum, ubi dan sebagainya, manakala perikanan pula boleh menghasilkan kita makanan ikan basah atau ikan kering. Lantas umat Islam tidak perlu bergantung hidup dengan orang kafir.

Kalau kita tilik dari satu sudut, pasti kita akan merasakan bahawa ini juga merupakan soal asas dalam perjuangan kita menegakkan ibadah kepada Allah. Tentulah kita tidak mahu darah daging kita di selirat dengan zat yang bertentangan dengan syariat Allah yang pasti mungkin boleh merosakkan ibadah asas kita. Dalam menegakkan bentuk pendidikan dan pelajaran, kita semestinya menitik-beratkan hasil mutlak dari acuan pendidikan kita iaitu rupa jiwa kanak-kanak yang di acu dari peringkat tadika, menengah dan universiti. Apakah hasil yang keluar itu nanti dapat menyambung perjuangan menegakkan lagi syariat Allah. Selain dari itu tergolong dalam ibadah yang menjadicabang-cabang ini ialah soal-soal membangunkan klinik dan hospital-hospital Islam, soal-soal siasah dan pembentukandan penubuhan sistem pentadbiran dalam negara Islam.

Perkara-perkara yang bertakrif dalam jenis ibadah yang kedua ini adalah perkara-perkara yang kita namakan fardhu kifayah. Kita tentu lebih maklum akan apa sebenarnya fardhu kifayah ini iaitu fardhu yang menitik-beratkan soal kemasyarakatan Islam yang mana juga merupakan urat saraf dan nadi penghubung antara sesama Islam. Perkara ini amat besar ertinya kepada seluruh individu Islam kerana tanpa perlaksanaan secara total dari satu-satu pihak maka seluruh masyarakat itu akan menerima bebanan dosa dari Allah. Namun seandainya terdapat satu pihak melaksanakan tuntutan fardhu ini, maka pihak itu telah melepaskan tanggungan dosa bagi seluruh masyarakat Islam. Kerana itulah fardhu kifayah merupakan salur nadi penghubung antara sesama Islam cuma peranan fardhu ini saja yang tidak did fahami benar oleh masyarakat Islam kini dan kerana itu hubungan ukhwah lslamiah tidak begitu menonjol di zaman ini.
Seandainya hal ini dapat memberi makna, sudah pasti kita dapat merasakan kesyukurannya sekiranya ada di kalangan pihak kita yang telah melepaskan tanggungan dosa umum dan sudah pasti sokongan kuat diberikan kepadanya. Maka tidak adalah mereka-mereka yang gagal dalam melaksanakan fardhu ini. Sebagaimana firman Allah :
ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَ
بْلٍ مِنَ النَّاسِ وَبَاءُو بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ الْأَنْبِيَاءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ذَلِكَ بِمَا عَصَواْ وَكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿3:112﴾

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya hubungan dengan Allah dan adanya hubungan dengan manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah ,dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur dan ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

Kecil pertimbangannya tetapi besar maknanya. Ini ialah apa yang dinamakan sunat ain. Tergolong dalam kategori ibadah kedua ini ialah perkara-perkara sunat rawatib, sembahyang witir, sembahyang tahajud, sembahyang dhuha, puasa syawal, puasa lsnin dan Khamis, bersedekah dan membaca Al,Quran. Perlaksanaan ibadah ini mendatangkan pahala manakala jika tidak di lakukan tidak pula mendatangkan dosa. Namun kerana urusan ini memberikan manfaat maka ada lebih baik jika ia di kerjakan.

Dan ibadah ketiga iaitu peringkat ibadah yang lebih umum iaitu perkara-perkara yang merupakan perlaksanaan harus tetapi boleh menjadi ibadah dan mendatangkan pahala. Amalan seperti ini dapat menambahkan lagi bakti kita kepada Allah agar setiap perlakuan hidup kita ini tidak menjadi sia-sia. Tergolong dalam amalan- amalan ini ialah seperti makan, minum, tidur, baring, berjalan-jalan rehat-rehat dan sebagainya.

Semua kegiatan-kegiatan tersebut dapat bernilai ibadah asal memenuhi 5 syarat berikut :

1. Niat yang benar
2. Pelaksanaannya benar, tidak melanggar syariat atau peraturan Tuhan
3. Perkara (subyek) kegiatan tersebut dibenarkan oleh syariat dan mendapat keredhaan ALLAH, misalnya berdagang makanan, minuman dsb.
4. Natijah (Hasil) mesti baik kerana merupakan pemberian ALLAH ataupun nikmat-Nya kepada hamba-Nya. Dan setelah itu, hamba-hamba yang dikaruniakan rahmat itu wajib bersyukur kepada ALLAH. Bagaimanakah seseorang itu menunjukkan tanda bersyukur kepada ALLAH? Di antaranya dengan berzakat, melakukan korban, serta
membuat amal bakti seperti bersedekah dan sebagainya
5. Tidak meninggalkan atau melalaikan ibadah-ibadah asas.

To be continue .........



No comments:

Post a Comment