Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Monday, September 12, 2011

Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah Part 1



Aku mengambil kesempatan di hari Jumaat yang mulia ini untuk membahaskan secara ringkas akan hal ehwal Ilmu Tauhid berdasarkan tiga buah kitab Ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Persoalan aqidah/ tauhid adalah persoalan yang TIDAK BOLEH diqias, TIDAK BOLEH dikhilaf. Kerana ianya adalah suatu pegangan yang qati'e lagi jazam.



Kitab yang menjadi rujukan ku adalah :

1. Risalah At Tauhid oleh Ustaz Abdul Ghani Yahya dan Ustaz Omar Bin Yusuf
2. Faridah Al Faraid oleh Syeikh Ahmad Al Fathoni Rahimahumullah
3. Nuruz Zulam oleh Syeikh Nawawi Al Bantani Rahimahumullah

Ketiga-tiga kitab tersebut boleh diperolehi di Syarikat Jaafar Rawwas, Jalan Dato Pati, Kota Baru, kelantan Darul Naim dengan harga RM 1.50 untuk Risalah At Tauhid, RM 2.00 untuk Faridah Al Faraid dan RM 3.00 untuk Nuruz Zulam.

Andainya ada kebaikan dari imu ini, semoga ia menjadi amal jariah sebagai ilmu yang bermanfaat buat guru ku Almarhum Ustaz Muhammad Taha Suhaimi Bin Muhamamd Fadlullah As Suhaimi, buat arwah datuk ku Almarhum Embah Kassan (Haji Ehsan Bin Haji Harun) juga buat arwah ayah ku Almarhum Haji Ali Bin Haji Ehsan.

Ilmu Tauhid adalah ilmu yang menerangkan perkara berkaitan persoalan tauhid/aqidah.

Tauhid ertinya meng-ESA-kan ALLAH serta mengiktiqadkan dengan penuh keyakinan bahawa ALLAH SWT adalah Tuhan yang menciptakan alam ini beserta bukti-bukti dan dalil-dalil yang jelas.

Ilmu Tauhid ialah satu ilmu Ketuhanan untuk mengenal ALLAH dengan sifat-sifat-NYA yang wajib, mustahil dan harus.

Selain itu Ilmu Tauhid juga satu ilmu yang membahaskan segala rukun-rukun Iman yang menjadi keyakinan seluruh umat Islam.

Kepentingan Mendalami Ilmu Tauhid

Ilmu Tauhid perlu dipelajari sedalam-dalamnya bertujuan, antaranya :

1. Membetulkan kepercayaan dan keyakinan terhadap ZAT PENCIPTA, iaitu ALLAH.
2. Menjauhkan sebarang keyakinan selain dari ALLAH SWT.
3. Menjauhkan sebarang penyembahan selain dari ALLAH SWT.
4. Memberi panduan bagaimana untuk mengabdikan diri kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya.

Perbezaan Iman, Islam, Murtad, Kafir, Munafik dan Syirik

A. Pengertian Iman : Iman ertinya percaya dengan penuh keyakinan tentang adanya Tuhan yang menciptakan alam dan membenarkan Nabi Muhammad SAW, sebagai nabi yang diutuskan oleh ALLAH serta juga mempercayai kesemua rukun-rukun Iman yang enam.

Saidina Ali Karamallahu wajhah mejelaskan pengertian iman ini dengan makna mengakui dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan mengamalkan dengan perbuatan segala-gala rukun-rukun iman.


B. Pengertian Islam : Islam ertinya tunduk dan patuh menurut apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan menunaikan kewajipan, iaitu melaksanakan dengan perbuatan lahir. Selain dari Islam, adalah kafir termasuklah orang yang tidak ada agama adalah kafir.

Perbezaan antara Iman dan Islam adalah dijelaskan dalam Al Quran, surah Al Hujurat ayat ke-14.

Orang Badwi itu berkata : Kami telah beriman. Katakanlah( wahai Muhamad) kepada mereka : Kamu belum beriman, tetapi katalah kami telah tunduk (Islam), kerana iman itu belum masuk ke hati kamu.

C. Pengertian Murtad : Murtad ialah keluar dari agama Islam. Tidak setia kepada Islam atau menjadi Kafir setelah Islam. Firman ALLAH, Surah Al Baqarah ayat ke -217 :

Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya (Islam) kemudian dia mati di jalan kekafirannya itu maka gugurlah segala amalan mereka di dunia dan di akhirat. Mereka akan menjadi penunggu neraka dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

Di antara sebab seseorang itu menjadi murtad ialah :

Sujud kepada selain ALLAH tanpa dipaksa oleh sesiapa atau membesarkan agama lain sekaligus memperkecilkan Islam atau redha makhluk lain sujud kepada selain ALLAH. Contohnya sujud ke kubur. Malah orang yang redha atau bangga, orang lain sujud ke kubur juga jatuh hokum Murtad.

Mengiktiqadkan bahawa alam ini tidak ada penciptanya ataupun pencipta alam ini iaitu ALLAH tidak berkuasa. Contohnya bila mengatakan ALLAH wajib jadikan aku ahli syurga, seolah-olah ALLAH itu lemah kerana terpaksa mengikut kata-kata makhluk.
Mengharamkan sesuatu yang dihalalkan ALLAH. Contoh : ALLAH menghalalkan jual beli tetapi ada pihak mengatakan jual beli adalah haram.

Menghalalkan sesuatu yang diharamkan ALLAH. Contoh : ALLAH mengharamkan isteri berlaku nusyuz, tetapi ada pihak menghalalkannya atas alasan yang tiada sandaran dalil Al Quran dan Hadis. ALLAH mengharamkan memakan harta anak yatim, tetapi ada pihak menghalalkannya dengan mentakrifkan anak yatim tanpa menurut takrifan syarak.
Memandang remeh akan hukum syariat. Contoh mengatakan tak wajib belajar ilmu Fardhu Ain.

Dan lain-lain lagi.


D. Pengertian Kafir : Selain dari Islam adalah kafir. Kafir ialah orang yang mengingkari tentang ketuhanan ALLAH dan ke-esaan-NYA dan JAHIL mengenai kerasulan Nabi Muhamamd SAW. Seseorang yang kafir boleh di-Islamkan dengan mengucap dua kalimah syahadah serta mengetahui syarat-syarat sahnya.


E. Pengertian Munafik : Munafik ialah orang yang menzahirkan dirinya beragama Islam tetapi sebenarnya mereka tidak beriman. Atau dengan kata-kata lain, mereka ini berpura-pura Islam tetapi hakikatnya menentang sama ada secara zahir atau sembunyi. Mereka mengaku mereka pejuang Islam, tetapi mereka lakukan perkara yang haram di sisi syariat ALLAH. Allah berfirman dalam Surah At Taubah ayat ke-68 :


ALLAH SWT telah menjanjikan orang-orang Munafik lelaki dan perempuan, begitu juga orang-orang kafir akan dimasukkan ke dalam api neraka jahanam, kekal mereka di dalamnya. Itu cukup untuk mereka. ALLAH mengutuk mereka dan bagi mereka itu diberikan siksa yang kekal.

F. Pengertian Syirik : Syirik ialah menyamakan ALLAH dengan sesuatu atau menyamakan sesuatu dengan ALLAH baik pada sifat, perbuatan atau perkataan.

Contoh Syirik :

Sujud kepada selain ALLAH seperti sujud kepada kubur, sujud kepada manusia. Malah jika ada manusia yang redha atau bangga dengan perbuatan makhluk lain sujud kepada selain ALLAH, orang yang redha/bangga itu jatuh murtad. Terbatal syahadahnya. Hakikatnya dia telah menjadi KAFIR.

Mendewakan makhluk bagaikan Tuhan. Segala-galanya adalah dari makhluk bukan dari ALLAH. Mahu taubat, mohon pada makhluk bukan pada ALLAH. Mahu berdoa, berdoa pada makhluk bukan pada ALLAH. (Sayugia diingatkan : bahawa konsep tawasul tidak sama sekali menghalalkan berdoa kepada makhluk).

ALLAH berfirman dalam Al Quran surah An Nisa’ ayat ke-36

Sembahlah ALLAH dan janganlah kamu syirikkan dengan-NYA sesuatu.


To be continue

KLIA
22 Julai 2011
12 20 tghri

No comments:

Post a Comment