Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Friday, March 20, 2009

Rahsia Segelas Air


Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu
Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Bilakah diri ini 'kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi kuingat petang kualpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku,
Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba CintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu
Ku sering berjanji di depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau pengasih
Kau penyayang
Kau pengampun
Kepada hamba-hambaMu

Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau padaku

Tuhan,
Diri ini tidak layak ke surgaMu
Tapi tidak pula aku sanggup ke nerakaMu

Kutakut kepadaMu
Ku mengharap jua padaMu
Mogaku 'kan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat
Seperti rasul dan sahabat

Atok aku pernah berpesan .......

Orang yang melakukan dosa dan merasa diri berdosa lalu bertaubat, itu LEBIH MULIA dari orang yang TAK BUAT DOSA dan TAK pernah rasa diri berdosa..... SEBAB ... merasa diri berdosa itu adalah sifat kehambaan.


Scenario pertama .... ada orang ... dia buat dosa .... lepas tu dia rasa diri dia berdosa .... dia minta ampun kat Allah ... taubat sungguh2 ... contohnya Wahsyi. Wahsyi adalah pembunuh kepada Saidina Hamzah ra (pak sedara Rasulullah SAW). Wahsyi menombak Saidina Hamzah hingga mati. Sewaktu Rasulullah SAW berjaya menakluk Mekah, Wahsyi datang mengadap Rasulullah SAW utk moho maaf kerana membunuh Hamzah, dan Rasulullah SAW kata, "Aku maafkan engkau. Tapi engkau pergilah dari sini aku tak mahu tengok muka engkau lagi" ... Kemudian Allah turunkan beberapa siri wahyu ayat Quran dari Allah khusus membicarakan tentang Wahsyi. Akhirnya, tidak lama selepas peristiwa Futuhul Makkah, Wahsyi memeluk Islam dan dialah yang menjadi TUKANG BUNUH Nabi-nabi palsu selepas kewafatan Rasulllah SAW. Allah muliakan Wahsyi dengan bakat yg ada padanya, iaitu membunuh.


Scenario kedua .... ada orang ... dia tak buat dosa ... lepas tu dia tak lak rasa diri berdosa ... dia tak minta ampun kat Allah ... Ni perangai Azazil. Azazil ni TOK GURU kepada para malaikat. Pernah para malaikat minak Azazil ni mendoakan untuk mereka keselematan, Azazil doakan, TAPI Azazil tak doakan untuk diri dia sendiri. Azazil konfiden jerk dia selamat dunia & akhirat. LAST sekali, Azazil jadi makhluk Allah yang paling derhaka. Lalu nama kat kad pengenalan Azazil diubah kepada IBLIS. Jadi kat orang yang perasan best, perasan baik, sampai tak sembahyang, sampai boleh zina, ni semua perangai Iblis.


Scenario ketiga ..... ada orang .... dia buat dosa ... lepas tu dia tak lak rasa diri berdosa ... dia tak minta ampun kat Allah..... dia dengan konfiden rasa diri dia dah dijamin syurga ... Ni berlambak contoh kita leh tengok kat sekeliling kita . Kita tak sembahyang, selamba aje kita kutuk & caci orang sembahyang. Kita main judi, selamba aje kita fitnah orang yang tak main judi. Kita buat skandal, selamba aje kita fitnah orang lain murahan. BANYAKlah contoh kat dalam dunia ni.


Scenario keempat .... ada orang ... dia tak buat dosa ... TAPI .... dia rasa diri dia berdosa .... dia minta ampun kat Allah ... taubat sungguh2 ... contoh ni dah tak ada zaman ni, sebab cuma Nabi & Rasul aje buat cam ni.


Agak2 kau orang lerrr .... antara 4 scenario ni.... yang mana satu sifat kau orang erk ?Aku pernah tanya kat member2 aku waktu kita orang nak start balik ke pangkal jalan .... adalah salah seorang tu jawab pertanyaan aku ...Kalau boleh aku nak berada pada scenario keempat, sebab scenario keempat tu aje sifat Nabi dan Rasul .......Dan aku yakin .... majority tak mahu berada pada scenario ketiga ... tapi kita ni bukan malaikat ... bukan nabi ... bukan rasul ... maka kita telah, sedang dan akan buat dosa setiap hari dalam hidup kita ...


#################################


Hikayat SATU


Ketika saat ajal Rasulullah SAW datang menggamit, maka Rasulullah SAW meminta Bilal untuk melaungkan azan memanggil para sahabat untuk berkumpul. Setelah kaum Muhajirin dan Ansar berkumpul, naiklah Rasulullah SAW ke atas mimbar. Dengan linangan air mata, maka berkhutbah Rasulullah SAW :


Sesungguhnya aku ini Nabi mu. Yang menyeru mu ke arah jalan Allah. Anggaplah diri ku sebagai saudara mu. Anggaplah diri ku sebagai bapa mu. Andainya ada di kalangan kamu yang merasa teraniaya oleh ku, bangkitlah diri mu sekarang untuk menuntut qisas kepada ku, sebelum aku dituntut qisas di akhirat.


Tiada di kalangan para sahabat yang berdiri.


Baginda mengulangi ayatnya untuk kali kedua.


Masih tidak ada seorang pun yang berdiri untuk menuntut qisas dari Rasulullah SAW.


Lalu baginda mengulangi lagi ayatnya untuk kali ketiga.


Maka berdirilah seorang pemuda, Akasyah bin Muhsin. Dia berjalan dan berdiri betul2 di depan Rasulullah SAW lalu berkata :


Demi Allah, ayah dan ibu ku menjadi tebusan mu Ya Rasulullah. Andainya tidak engkau ulangi kata2 mu sebanyak 3 kali, takkan mungkin aku berani menuntut hak ku terhadap diri mu.Ya RasulullahIngatkah kau sewaktu peperangan Badar, unta ku & unta mu bergerak beriringan ? Pernah ketika aku turun dari unta ku untuk mencium peha mu, engkau telah terpukul bahagian rusuk ku dengan cambuk pemukul unta. Aku tidak tahu apakah kau sengaja memukul diri ku atau kau tidak sengaja. Namun aku harap hak ku menuntut qisas diterima oleh mu.Maka aku menuntut qisas dari mu untuk memukul rusuk mu dengan cambuk pemukul unta.


Terkejut seluruh para sahabat atas permintaan Akasyah. Mereka menyifatkan tindakan Akasyah itu di luar batas sopan serta mengaibkan Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAw dengan tenang, akur dengan permintaan Akasyah.


Maka Rasulullah SAW meminta Bilal ke rumah Fatimah untuk mengambil cambuk pemukul untanya. Setelah diambil, cambuk tersebut diserahkan kepada Rasulullah SAW. Lantas Rasulullah SAW menghulurkan cambuk tersebut kepada Akasyah.


Perlakuan Akasyah diperhatikan oleh Abu Bakar dan Umar. Maka tampillah mereka berdua berdiri antara Rasulullah SAW & Akasyah seraya berkata :


Wahai Akasyah. Kami ini sahabat rapat Rasulullah SAW. Pukullah kami berdua sepuas hati mu. Bebaskanlah Rasulullah SAW dari qisas mu.


Tapi kata2 Abu Bakar dibidas oleh Rasulullah SAW :


Duduklah kamu berdua wahai Abu Bakar & Umar. Allah tahu kedudukan kamu berdua di akhirat. Biarlah aku menanggung akibat dari perbuatan ku sendiri.


Lantas Saidina Ali bangkit dari duduknya dan berdiri didepan Akasyah seraya berkata :


Wahai Akasyah, andainya pada fikir mu Abu Bakar & Umar bukan di kalangan keluarga Rasulullah, maka aku sebagai menantu Rasulullah berdiri didepan mu.Pukullah aku sepuas hati mu. Pukullah aku dengan tangan mu. Deralah diri ku sepuas hati mu.Tapi jangan kau pukul Rasulullah.


Berkata Rasulullah SAW :


Hai Ali, mundurlah kau dari Akasyah. Allah tahu kedudukan mu di sisi ku. Biarlah ku tanggung akibat perbuatan ku. Kerana aku takut qisas di akhirat yang lagi dahsyat.


Kemudian tampil pula dua beradik, Hassan & Hussein. Cucu kesayangan Rasulullah SAW. Mereka berkata :


Wahai Akasyah, bukankah sudah kau tahu bahawa kami ini cucu kandung kepada Rasulullah. Qisaslah kami, bererti engkau telah mengqisas Rasulullah. Bebaskanlah Rasulullah dan ambillah kami sebagi pengganti.


Berkata Rasulullah SAW kepada cucu2 baginda :


Wahai cucu penyejuk mata ku. Duduklah kalian berdua. Ini bukannya sesuatu yang boleh diwariskan kepada mu. Biar ku tanggung hasil perbuatan ku.


Kemudian Rasulullah SAW memalingkan mukanya dan bersemuka dengan Akasyah, lalu baginda berkata :


Wahai Akasyah, pukullah aku jika kau berhasrat menuntut qisas.


Berkata Akasyah :


Wahai Rasulullah, sewaktu engkau memukulku, aku dalam keadaan tidak berbaju.


Dengan tenang, Rasulullah menanggalkan kancing bajunya dan meleraikan bajunya ke lantai masjid. Bercucuranlah air mata para sahabat melihat begitu daif Rasulullah diperlakukan oleh Akasyah.


Apabila terlihat oleh Akasyah akan tubuh putih Rasulullah SAW, perlahan2 dihampirinya, diusap perlahan dan dicium belakang Rasulullah SAW. Tubuh Rasulullah SAW didakap erat dengan penuh kasih sayang dengan linangan air mata sambil berkata :


Wahai Rasulullah. Roh ku menjadi tebusan buat diri mu. Siapakah aku yang tergamak mengqisas kekasih Allah. Aku bukanlah sahabat mu yg hampir, tetapi sahabat mu yang jauh. Hidup ku dipinggir kota. Sabdaan mu hanya ku dengar dihujung lidah para sahabat bukan terus dari lidah mu. Aku sengaja memohon mengqisas diri mu agar dapat ku pertemukan kulit tubuh ku dengan kulit tubuh mu yang mulia agar dengannya nanti Allah akan memelihara diri ku dari menjadi bahan bakaran api neraka.


Rasulullah SAW membalas dakapan Akasyah dan berkata :


Ketahuilah wahai para sahabat. Barangsiapa ingin melihat penghuni syurga, lihatlah pada peribadi pemuda ini.


Seluruh umat Islam di Kota Madinah bersorak melaungkan takbir menyambut berita gembira.


Walaupun di awal suasana penuh emosi, namun ianya ditakdirkan merupakan berita gembira buat Akasyah kerana Rasulullah SAW telah mengisyaratkan bahawa dirinya adalah penghuni syurga.


Begitulah pengorbanan para sahabat kepada Rasulullah SAW. Apakah pengorbanan kita kepada sahabat kita sudah setimpal dengan pengorbanan sahabat Rasulullah SAW ?


@@@@@@@@END@@@@@@@@@@@


Begitulah mulianya kehidupan seorang hamba yang Allah ciptakan di dunia ini. Walau dirinya hamba, namun Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib SAW itulah semulia-mlia manusia yang pernah hidup di muka bumi ini ....


TIDAK CINTAKAH ENGKAU KEPADANYA ?


Rasulullah SAW, walau dirinya maksum, masih dia menuntut qisas (hukum) dari orang yang dia TIDAK PERNAH ZALIMI.


Kita ... ??? Berapa ramai di antara kita yang berani mengaku kesalahan dan kesilapan lalu menuntut maaf dan qisas ?


Seharian berribu dosa yang kita lakukan sama ada dosa dengan makhluk mahu pun dengan Allah .... kita masih lagi merasakan diri kita ini sudah aman dan selamat dari api neraka.Lebih malang ... kita SEDAR yang kita lakukan itu maksiat dan kemungkaran ... tapi kita sengaja memfitnah orang lain agar maksiat yang kita lakukan itu tertutup dari kaca mata masyarakat.


Tidak takutkah kita dengan azab neraka Allah ?


Inilah wajah-wajah kita yang sebenar.


Hikayat DUA


Dalam Kitab Mukasyafatul Qulub karangan Imam Al Ghazali ada diceritakan sebuah hadis qudsi tentang kebangkitan semula setelah Israfil meniup sangkakala kedua.Tatkala Israil meniup sangkakala kedua, maka bangkitlah sekelian umat manusia dari Nabi Adam AS sehinggalah manusia yang terakhir hidup di muka bumi.


Sewaktu Rasulullah SAW bangkit, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mencari umat baginda.


Diriwayatkan, Rasulullah SAW telah bertemu dengan umat baginda. Maka dipeluk dan diciumnya seluruh umatnya dengan kasih sayang kerinduan bagaikan seorang ayah yang baru bertemu dengan anaknya kerana terpisah lama.


Tetapi ada satu kelompok dari umat baginda yang terpisah dari Rasulullah SAW oleh satu benteng api.


Datang Jibrail menemui Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibrail :


Rasulullah SAW : Mengapa aku dihalang oleh benteng api ini dari menemui umat ku ?


Jibrail : Mereka adalah umat mu yang engkar kepada titah perintah Allah. Mereka melakukan maksiat dan kemungkaran sepanjang kehidupan mereka. Maka Allah jadikan benteng api ini sebagai pemisah antara diri mu dan mereka.


Maka Rasulullah SAW berdoa kepada Allah agar dipadamkan benteng api tersebut. Malangnya benteng api tersebut semakin marak dan berkobar2. Rasulullah SAW berdoa dengan berwasilahkan keberkatan solat agar dipadamkan benteng api, namun apinya semakin marak. Rasulullah SAW berdoa pula dengan berwasilahkan keberkatan puasa, namun usaha baginda masih gagal. Lantas Rasulullah SAW terus berdoa dengan berwasilahkan keberkatan Al Quran, Zakat, sedekah, zikir dan lain-lain amal ibadah yang dilakukan umatnya. Namun hasil usaha baginda masih gagal.


Maka datanglah Jibrail membawa segelas air, lalu berkata kepada Rasulullah SAW :


Jibrail : Wahai Rasulullah, gunakanlah segelas air ini untuk memadamkan benteng api tersebut.


Rasulullah SAW : Wahai Jibrail, mana mungkin segelas air mampu memadamkan benteng api yang marak dan berkobar2.


Jibrail : Gunakanlah segelas air ni wahai Rasulullah, kerana ini adalah perintah Tuhan mu yang juga Tuhan kepada sekelian alam.


Setelah mendengar kata2 Jibrail, Rasulullah SAW terus mencapai air tersebut dan menyiramkannya kepada api yang marak. Sekelip mata, benteng api tersebut terpadam. Tiada lagi rintangan yang menghalang Rasulullah SAW bertemu dengan umatnya. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibrail :


Rasulullah SAW : Wahai Jibrail, air apakah ini ? Begitu hebat kerana ia mampu memadamkan benteng api yang marak ?


Jibrail : Wahai Rasulullah, itulah air mata taubat umat mu. HANYA air mata taubat yang mampu memadamkan api neraka.


@@@@@@@@@@ END @@@@@@@@@@@@


Begitulah kehebatan air mata taubat.Tidak ternilai air mata dengan permata. Tidak setanding 7 lautan madu dengan setitis air mata taubat. Kerana air mata taubat mampu memadamkan api neraka.Maka menangislah selalu. Jangan dibazirkan air mata mu kerana menangisi nasib malang mu di dunia. Kerana memang Allah akan mengsilihgantikan antara kegembiraan dan kesedihan dalam kehidupan hamba-hamba NYA. Agar manis senyum kesyukuran dapat diimbangkan dengan air mata taubat. Tangisilah diri mu yang penuh dosa dan alpa. Agar air mata taubat mu nanti menjadi pemadam api neraka.Menangislah selaluKerana nasib kita belum tahuApakah kesudahan yang baik yang bakal kita kecapiAtau kesudahan yang jelek yang menjanjikan azab sengsaraOleh itu menangislah selaluAgar tangisan mu itu menjadi penyelamat diri muDari api neraka

Tuhan ku

Aku tidak layak untuk syurga Mu
Namun tak pula aku sanggup untuk ke neraka MU
Oleh itu kurniakanlah ampunan kepada ku
Ampunilah diri ku
Sesungguhnya ENGKAU lah pengampun dosa-dosa besar


Inilah rahsia segelas air mata.


Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan Qahar-Mu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksa-Mu
Hamba-Mu rasa berputus asaS
iapakah dapat bersihkan diri
Dari segala dosa yang memburu
Setiap hari setiap ketika
Tika mengenang Ghafar-Mu
Putus asa tiada lagi
Semangatku pulih semula
Harapanku subur kembali
Ujian menimpa menekan di jiwa
Tak sanggup meneruskan perjuanganku
Mehnah-Mu itu penghapus dosaku
Mengganti hukuman-Mu di akhirat
Di waktu mengenang rahma-tMu
Terasa diri kurang bersyukur
Pada-Mu harusku memohon
Moga syukurku bertambah
Alangkah susahnya
Mendidik nafsuku
Yang tidak mengenal kebenaran-Mu
Ya Alloh
Tuhanku
Bantulah hamba-Mu
Dalam mendidik jiwaku ini
Wahai Tuhan ku Yang Esa
Bila kenangkan Qahar-Mu
Rasa gerun di hatiku
Kerana takutkan seksa-Mu

Thursday, March 12, 2009

Rukun Iman Ketiga : Percaya Kepada Malaikat

Rukun iman yang ketiga ialah percaya kepada Malaikat.


Setiap muslim yang mengucap syahadah wajib mempercayai adanya malaikat. Malaikat juga adalah makhluk Allah yang diciptakan dari cahaya. Zat malaikat adalah halus, tidak nampak oleh mata kasar manusia biasa tetapi mampu dilihat oleh manusia yang luar biasa seperti Nabi dan Rasul. Rupa malaikat yang sebenar hanya Allah sahaja yang tahu. Namun berdasarkan hadis, malaikat mampu menjelma dalam pelbagai rupa manusia dan bentuk makhluk yang lain. Ia berakal, boleh berkata-kata dan boleh bergerak ke suatu jarak yang jauh dalam masa yang singkat. Keadaan malaikat semata-mata adalah untuk taat dan menjalankan titah perintah Allah. Malaikat itu tidak makan dan tidak minum, tidak mengantuk dan tidak tidak tidur, tidak juga ia berasa penat dan letih.

Malaikat sangat banyak bilangannya dan Allah sahaja yang tahu bilangan sebenarnya. Dalam ilmu Tauhid, umat Islam diwajibkan mengenal 10 malaikat dan tugasan mereka. Iaitu :

Jibrail : Tugasnya membawa wahyu dari Allah Ta’ala kepada Rasul-rasul dan Nabi-nabi, juga menguruskan bala seperti gempa bumi, air bah, ribut dan lain-lain lagi.
Mikail : Tugasnya membawa rezeki dengan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, membiakkan haiwan, mengeluarkan hasil galian bumi.
Israfil : Tugasnya untuk meniup “sangkakala” ketika sampai masa kiamat iaitu bumi akan hancur dab sekali lagi ia meniup sangkakala itu ketika sampai masa manusia hidup semula dan keluar dari kubur untuk perhitungan di akhirat.
Izrail : Tugasnya ialah mengambil nyawa, iaitu mematikan apabila sudah sampai ajal, dan tugasnya mengambil nyawa tidak akan cepat sesaat dan tidak akan lewat sesaat.
Mungkar : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
Nakir : Tugasnya menyoal orang mati di alam kubur.
Raqib : Tugasnya ialah menulis pahala bagi orang yang membuat kebaikan.
‘Atid : Tugasnya adalah untuk menulis dosa bagi orang yang membuat mungkar dan kejahatan.
Ridhwan : Tugasnya menjaga syurga.
Malik : Tugasnya menjaga neraka.


Frman Allah Ta’ala Surah At Tahrim ayat 66:

Malaikat itu tidak menderhaka kepada Allah mengenai apa yang DIA perintah kepada mereka, dan mereka membuat apa jua perintah oleh-NYA.

Malaikat dijadikan Allah untuk menjalankan tugas-tugas yang tertentu dan berlainan. Setiap tugasan yang diberikan Allah kepada Malaikat, akan dilakukan oleh Malaikat tanpa kompromi.

Zaman sekarang, sudah ada orang yang mendakwa mampu menghalang tugas Malaikat. Ada yang mendakwa boleh “slow talk” dengan 'Izrail untuk tidak mencabut nyawa seseorang. Sedangkan ‘Izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa, apabila sudah sampai ajal seseorang sebagaimana yang tertulis di Lauh Mahfuz, 'Izrail akan menjalankan perintah yang Allah arahkan dengan mencabut ajal makhluk tersebut, tidak cepat sesaat dan tidak lewat sesaat. Begitulah yang diperjelaskan dalam ilmu Tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah. Jelas menunjukkan dakwaan ahli bidaah ini bertentangan dengan Al Quran Surah At Tahrim ayat ke 66. Sekaligus kenyataan dan dakwaan mereka telah membatalkan keIslaman dan keimanan mereka.

Begitu juga dakwaan sesetengah pihak dan ahli bidaah, bahwa Tok Guru mereka akan menjawabkan soalan Mungkar dan Nakir di alam kubur. Allah memerintahkan Mungkar dan Nakir menyoal yang empunya diri bukan menyoal orang lain bagi pihak orang lain. Kalau Si A, Mungkar dan Nakir akan menyoal Si A. Malaikat Mungkar dan Nakir tidak akan menyoal Si B bagi pihak Si A. Kerana malaikat akan menurut titah perintah Allah dan bukannya titah perintah makhluk.

Andainya ada pihak yang mempercayai dan meyakini bahwa Tok Guru mereka mampu menjawabkan soalan Mungkar dan Nakir untuk mereka, nyata sekali kejahilan yang melampau tentang aqidah dan rukun iman. Rosak binasalah keimanan dan keislaman mereka kerana kejahilan. Sedangkan Allah SWT jelas menyatakan di dalam Al Quran bahawa para malaikat adalah makhluk-NYA yang taat hanya kepada-NYA, bukan kepada manusia.

Apa yang terjadi di akhir zaman ini telah membuktikan bahwa betapa hebatnya ulamak muktabar di zaman salafussoleh khususnya Imam Al Asy’ari dan Imam Al Maturidi dalam menyusun ilmu Tauhid untuk menjadi panduan umat Islam sepanjang zaman. Mereka mampu merasakan umat Islam di akhir zaman akan ditipu oleh ahli bidaah yang menjadi kuncu-kuncu Dajjal laknatullah. Maka disusun ilmu Tauhid akan sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi Allah. Mereka susun sifat yang wajib, mustahil dan harus bagi para Nabi dan Rasul. Imam-imam yang dirahmati Allah itu menysusun nama-nama Malaikat dan tugasan para malaikat. Kesemuanya disusun dengan teratur bersama dalil aqli dan naqlinya. Agar umat Islam yang terkemudian dan jahil-jahil macam kita ini terselamat dari fitnah dajjal dan ahli bidaah.


Jadi saudara-saudari sekelian. Perbetulkanlah fahaman kita. Sempena bulan Rabiul Awwal atau bulan Mawlidur Rasul, bersama-samalah kita memperkemaskan kefahaman tentang ilmu Fardhu Ain yang wajib kita pelajari, fahami, hayati dan amalkan. Di samping menambah amalan sunat di bulan yang penuh berkat, jangan sampai diabaikan pengajian Fardhu Ain yang sememangnya diwajibkan ke atas kita, demi menyuluh perjalanan menuju ke negara yang kekal abadi.

Rahsia Tangisan & Harapan




Arwah tok aku pernah berpesan :

Allah mensilihgantikan antara kegembiraan dan kesedihan dalam kehidupan hamba-hamba NYA. Agar manisnya senyuman kesyukuran tika menerima nikmat di imbangi oleh linangan air mata taubat. Begitulah resam hidup hamba yang dikasihi Allah.

Kenalkah engkau dengan AZAZIL ?



@@@@@@@@

Kisah

Azazil adalah Tok Guru kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.

Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan berkenaan : Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat.

Maka menangislah Israfil kerana khuatir, makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang untung nasib mereka.

Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi tok guru kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :

Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)

Malangnya, kerana ego dan sombong, serta merasakan dirinya sudah selamat, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan :

Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat.


Berkatalah Azazil kepada Allah dalam keadaan tak sedar, hamba yang dimaksudkan itu adalah dirinya. Kata Azazil : Ya Rabbi ! Izinkanlah aku melaknat hamba mu itu.

Dan Azazil melaknat dirinya tanpa disedarinya selama 1000 tahun.

Dan tatkala Allah menciptakan Adam dari segumpal tanah, lalu Allah memerintahkan seluruh makhluk untuk tunduk menghormati Adam, maka tunduklah segala makhluk menuruti perintah Allah KECUALI Azazil. Azazil rasa maruahnya tercabar kerana dirinya yang dicipta dari api sangkaannya lebih mulia dari Adam yang dicipta dari tanah. Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis.

Apabila Iblis diturunkan ke bumi, berkata Iblis kepada Allah :

Iblis : Demi kemuliaaItalicn Engkau dan kebesaran Engkau Ya Allah, akan aku sesatkan seluruh anak Adam selagi ada roh di jasad mereka.

Dan Allah berfirman : Demi kemuliaan Ku dan Kebesaran Ku, tidak aku halang mereka yang engkau sesatkan dari melakukan taubat selagi tiada nafasnya di ghargharah (suara orang ketika nazak) iaitu tiada nyawanya di halkum.

@@@@@ END @@@@@

Rasa takut dan rasa harap. Dalam bahasa kitabnya ialah khauf & raja'.

Khauf ialah takut.

Raja' ialah harap.

Rasa takut yang menjadikan diri seseorang sentiasa mengawasi segala amal perbuatan agar tidak terlibat dengan dosa dan kemungkaran.

Rasa harap yang menjadikan diri seseorang sentiasa berusaha melaksanakan ibadah tanpa rasa putus asa atas kesalahan2 silam yang pernah dilakukannya.

Rasa takut perlu ada dalam diri manusia atas dua sebab :

1. Agar dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar yang mengundang dosa. Kerana takutnya kepada Allah. Kerana takutnya kepada azab Allah.

2. Agar tidak ujub dengan amal kebajikan dan ibadah yang dilakukannya. Nanti ko orang tanya, ujub ni apa ? Ujub ialah perasaan syok sendiri. Ujub ni rasa diri hebat dengan kelebihan dan yang ada pada diri.

Rasa harap pula perlu ada dalam diri manusia atas dua sebab :

1.Agar bersemangat dalam melakukan ketaatan kepada Allah.Sebab jalan menuju ke syurga itu penuh kepayahan dan kesukaran, penuh ranjau onak dan duri, kerana dihujung perjalanan itu adalah syurga yang manis.

2. Agar merasa ringan apabila menanggung kesulitan dan kesukaran. Kalau seseorang menyukai sesuatu, pastinya dia sanggup memikul beban sebagai syarat untuk memiliki apa yang dihajatinya. Contohnya, seorang pencari madu lebah tahu, madu yang diingininya sungguh berharga, maka dia sanggup berdepan dengan sengatan lebah bagi memperolehi madu.

Kedua-dua sifat takut dan harap ini perlu di imbangi. Tidak boleh takut saja.Nanti akan menjadikan insan yang jumud dan putus asa. Tidak boleh harap saja, kerana akan menghasilkan manusia yang over-confident, ujub dan riak. Azazil diubah menjadi Iblis kerana tidak ada rasa takut dan terlalu over-confident dengan amal perbuatannya.

Bagaimana nak dapat sifat khauf ?

1. Selalu mengingati dosa2 yang pernah dilakukan.
2. Selalu mengingati azab siksa dari Allah.
3. Selalu ingat yang diri kita terlalu lemah untuk menerima siksa di akhirat.
4. Selalu ingat yang Allah Maha Berkuasa dan mampu melakukan apa saja kepada kita.

Pernah tak kita buat keempat2 perkara di atas ?

Aku rasa kalau kita ada buat perkara kat atas, tak ada masa dah kita nak skandal. tak ada masa dah kita nak menggosip. Tak ada masa kita nak buat fitnah.

Aku rasa surau akan sentiasa penuh bila masuk waktu solat.

Untuk memiliki sifat raja' lakukanlah :

1. Ingatlah nikmat2 Allah yang telah dan sedang kita kecapi. Terlalu banyak nikmat Allah. Walau gaji kita sedikit, tak ada increment yang banyak, tapi kita masih mampu membina dan menyara hidup keluarga.
2. Mengingati janji Allah akan anugerah pahala dan manisnya syurga.
3.Mengingati kurniaan Allah yang kita terima watu tak disangka. Mungkin kita pernah ditimpa musibah dan masalah, tetapi dengan takdir Allah, kita ditemukan jalan untuk menyelesaikannya atau meringankannya tanpa kita sangka. Ingatilah ia sebagai kaedah memiliki rasa harap.
4. Mengingati betapa luasnya rahmat Allah untuk hamba NYA kerana pintu taubat sentiasa dibuka selagi nyawa belum sampai ke ghargharah.

Jadi imbangilah rasa takut dan harap dalam diri mu sebagaimana engkau mengimbangi manisnya senyuman ketika beroleh nikmat dengan linangan air mata taubat.

Tanyalah diri kita ... Apakah kedua-dua sifat takut dan harap ini ada dalam diri kita ?

Andainya ada sifat takut kepada Allah, mengapa kita masih melakukan perbuatan yang berdosa ?
Andainya ada sifat takut kepada neraka Allah, mengapa kita masih tidak menunaikan solat ?
Andainya ada sifat takut kepada azab siksaan Allah, mengapa kita masih berzina ?

Andainya ada sifat harap kepada ampunan Allah, mengapa kita tidak bertaubat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah ?
Andainya ada sifat harap kepada rahmat Allah, mengapa kita berusaha dan berikhtiar bagi memperbaiki mutu kehidupan dan mutu ibadah kita ?
Andainya ada sifat harap kepada kasih sayang Allah, mengapa kita boleh berputus asa dalam hidup ini ?

Di bumi Inggeris ini, aku lihat umat Islam pelbagai warna kulit sujud di atas jalanraya menunaikan solat Jumaat pada jam 11.50am tadi dan sementara menanti Asar pada jam 1.38pm aku ambil kesempatan ini mencoretkan pengalaman musafir ku sambil ditemani kitab Al Jauhar Al Mauhub milik almarhum Makcik ku.

Di bumi Inggeris ini juga aku lihat, umat Islam begitu prihatin status halal makanan yang mereka makan.

Di bumi Inggeris ini juga aku lihat, wanita2 Islam sanggup dibaling dengan tomato, telur sambil dicaci semata-mata wanita tersebut bertudung dan menutup aurat.

Di Al Ansar Foundation London, aku lihat anak-anak gadis Islam yang dihalang ke sekolah kerajaan kerana bertudung, datang belajar bersama-sama saudara Islamnya yang lain dalam keadaan gembira.

Di bumi Inggeris inilah juga, aku sekeluarga ditahan oleh pihak Immigration Heathrow Airport kerana disyaki pengganas Al Qaeeda kerana aku & anak lelaki ku berserban manakala isteri ku berpurdah dan anak perempuan bertudung.

Tetapi dalam kepayahan hidup di bumi Inggeris, umat Islam di sana masih mampu mempertahankan solat, mempertahankan aurat, mempertahankan syariat.

Mengapakah kita yang hidup aman damai di bumi Malaysia masih buat endah tak endah dengan amal ibadah ?

Apakah kita sudah over-confident kerana hidup dibumi majority umatnya mengaku Islam ? Lantas kita sudah mampu mengubah hukum Allah dengan tidak bersolat dan melakukan pelbagai dosa dan kemungkaran ?

Atau

Rasa takut sudah pudar dari jiwa kita ?

Fikir-fikirkanlerr

Ehsan Ostrich (UK) Private Ltd
226 Coldharbour La,London, Brixton SW9 8SD,
UNITED KINGDOM
Tel 1 : 020 - 8144 - 9574
Tel 2 : 020 -7326 - 0500
Fax : 020 - 8144 - 9575
2.02pm, 30 November 2007

Wednesday, March 11, 2009

Rukun Iman Kedua : Percaya Kepada Nabi & Rasul

Rukun iman yang kedua ialah mempercayakan Rasul-rasul dan Nabi-nabi..

Wajib atas setiap muslim mempercayai bahawa Allah AWT telah mengutuskan kepada manusia banyak Rasul-rasul dan Nabi-nabi di masa yang lalu sejak manusia tercipta iaitu Adam ( dan ia juga Rasul yang pertama) hinggalah Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada kenabian. Selepas Nabi Muhammad SAW, tidak akan ada lagi Nabi atau pun Rasul walaupun ada sesetengah orang yang mempunyai pengikut yang ramai, yang berjaya menjadikan Islam sebagai topeng menyembunyikan kemungkaran yang mereka lakukan bercita-cita menjadi Rasul.

Apa erti Rasul ?



Rasul dalam pengertian ilmu Tauhid ialah seorang lelaki ( BUKAN wanita) yang dipilih oleh Allah untuk menerima arahan, ajaran, berita dan amaran yang dinamakan WAHYU dari Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Rasul ini juga diperintahkan untuk menyampaikan wahyu kepada kaumnya dan kepada umat manusia sebagaimana di firmankan Allah dalam surah Saba' ayat 28 :
"Kami (ALLAH) telah mengutuskan engkau, hai Muhammad, kepada sekelian manusia..."

Apa erti Nabi ?

Nabi ialah seorang lelaki yang dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu melalui Jibrail, tetapi Nabi TIDAK diperintahkan untuk untuk menyampaikan wahyu kepada manusia. Kewajipan nabi itu ialah untuk menerangkan dan menyokong wahyu-wahyu yang telah didatangkan kepada Rasul-rasul yang terdahulu dari Nabi tersebut atau semasa Nabi tersebut.

Rasul dan Nabi adalah manusia. Maka harus Rasul & Nabi bersifat dengan sifat manusia. Tetapi pangkat Rasul & Nabi bukanlah diperolehi dengan hasil usaha manusia itu. Sebaliknya ianya adalah pilihan Allah.

Sebab itu selepas penutup kenabian oleh baginda Rasulullah SAW. Tokoh-tokoh ajaran sesat akan menggunakan istilah-istilah yang menunjukkan dirinya sebagai orang pilihan Allah. Agar para pengikutnya menjadi taksub kepadanya dan mengengkari ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW. Ini jelas apabila ada jemaah di Malaya, tok gurunya mengatakan dia adalah orang pilihan Allah untuk umat akhir zaman. Di tolaknya Al Quran dan hadis atas alasan kedua-duanya tidak relevan dengan masa sekarang. Sebaliknya "minda" yang diperolehi adalah direct dari Allah dan sepatutnya digunapakai sebagai sumber hukum dalam kehidupan. Semoga Allah melaknat Nabi Palsu akhir zaman yang menjadi dajjal kepada umat ini.

Apakah hikmah atau faedah diadakan Rasul & Nabi ?

Antara faedahnya ialah Allah mahu diri NYA dikenali. Rasul & Nabi diutus kepada umat manusia agar umat manusia kenal Allah sebagai Tuhan yang menciptakan alam ini. Dengan adanya Rasul & Nabi, manusia akan kenal dengan tepat dan siapa Tuhan yang sebenar, serta faham pula kewajipan-kewajipan yang perlu ditunaikan sebagai seorang makhluk yang diciptakan Allah SWT. Jika seseorang yang diptakan Allah tidak kenal siapa Tuhannya yang sebenar dan tidak mengakui keagungannya dengan jalan yang sebenar, nescaya sesatlah dirinya dan segala amal kebajikan yang dilaksanakannya tiada nilai disisi Allah.

Bagaikan seorang pekerja yang tidak kenal siapa BOSSnya. Dia buat kerja, disangkakan kerja yang dibuat untuk BOSSnya, sebaliknya dia membuat kerja untuk orang lain. BOSSnya tak nampak hasil usaha pekerja tersebut sebab apa yang BOSS suruh buat, dia tak buat. Sebab tu gak zaman sekarang, kita boleh lihat, orang buat sesuatu sebab Tok Guru yang sesat lagi menyesatkan yang suruh bukan Allah yang suruh. Ada gak orang buat atas dasar member-member sehidup semati seneraka atau pemimpin group atau jemaah punya pengaruh, bukan pengaruh keimanan kepada Allah. Kenapa jadi cenggini ? Sebab tak kenal Allah. Kenapa tak kenal Allah ? Sebab tak ikut ajaran Rasul/Nabi. Hakikatnya keimanan kepada rukun iman percaya kepada Nabi & Rasul telah cacat. Maka sebab itulah diutuskan Rasul & Nabi agar umat manusia KENAL siapa Tuhan yang patut disembah.

Hikmat kedua diutus Rasul & Nabi ialah agar manusia dapat membezakan antara kebenaran dan kebathilan. Walaupun manusia mempunyai akal, namun kebergantungan kepada akal semata tidak mampu menilai sejauhmana kebenaran sesuatu perkara dan sejauhmana kebathilan sesuatu perkara. Kerana akal semata bukanlah alat piawai dalam menimbang kebenaran. Sebab ramai kita lihat di zaman ini, mengaku berakal, mengaku pandai, mengaku professional dan mengaku high profile, namun menggunakan kepala otak sendiri dalam mentafsir kebenaran. Hasilnya kebenaran yang ditafsir dengan akalnya, bercanggah dengan syariat Islam yang disampaikan oleh Rasul & Nabi. Lebih malang tafsiran yang dibuat menjurus kepada pembatalan syahadah.

Akal semata belum tentu menjamin nilaian yang dibuat selaras dengan syariat. Akal tempat pertempuran antara iman dan nafsu. Andainya akal dikuasai nafsu, mana mungkin nilaian yang dibuat tanpa panduan dari seruan Rasul & Nabi merupakan kebenaran ? Sebab itu kita boleh lihat di dunia sekarang, manusia yang mengaku pandai dan professional suka-suka buat fatwa sendiri. Suka-suka buat ajaran sendiri, demi menghalalkan perkara haram yang bersesuaian dengan nafsu serakah mereka. Sebab itu kita boleh lihat, ramai orng terang-terangan membuat maksiat disokong sementara orang yang menegur perlakuan maksiat disanggah dan dihina.

Inilah dunia akhir zaman.

Sifat-sifat Rasul & Nabi

Ada 4 sifat yang Wajib bagi Rasul/Nabi. Ada 4 sifat yang Mustahil bagi Rasul/Nabi. Ada satu sifat yang Harus bagi Rasul/Nabi.

1. Siddiq maknanya Benar. Apa yang disabdakan oleh Rasul/Nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Siddiq dan sadiqul masduq. Rasul/Nabi tidak berkata-kata melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KIZZIB (Dusta ). Mustahil Rasul/Nabi mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui dan tidak diwahyukan Allah kepadanya. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia (Rasulullah SAW) mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Jadi jika ada orang yang mendakwa "Rasulullah berjanji saya akan menjadi Perdana Menteri lagi 3 bulan".tetapi setelah lebih 3 bulan dia masih tak jadi PM, hakikatnya dia telah pun mengatakan Rasul/Nabi seorang pendusta dan menafikan bahawa Rasul/Nabi itu bukan seorang yang sadiq dan bukan sadiqul masduq (kata-katanya adalah palsu dan tidak diwahyukan ). Fahaman begini adalah sesat lagi menyesatkan serta merosakkan aqidah. Tidak ada alasan yang boleh menafikan sifat Siddiq dan sifat sadiqul masduq Rasul/Nabi walaupun menggunakan alasan “pengikut belum bersedia”.

2. Sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi adalah AMANAH. Amanah ialah Rasul/Nabi akan melakukan sesuatu serta melaksanakan hukum-hukum Allah dengan benar dan tepat sebagaimana yang diwahyukan Allah SWT. Dan juga Rasul/Nabi tidak memungkiri janji. Maknanya, kalau Rasul/Nabi berjanji “lagi 3 bulan Ashaari akan jadi Perdana Menteri”, maka WAJIB Ashaari akan jadi Perdana Menteri. Jika tidak berlaku juga, maka Ashaari telah pun berdusta atas nama Rasul/Nabi.

“Barangsiapa yang berdusta atas nama ku, siapkanlah tempatnya di dalam api neraka “ (Bukhari, Muslim )

Maka mustahil Rasul/Nabi bersifat KHIANAT iaitu tidak amanah dan mungkir janji.


3. Wajib bagi Rasul/Nabi bersifat dengan sifat TABLIGH iaitu menyampaikan. Rasul/Nabi menyampaikan kepada umatnya apa yang Allah wahyukan kepadanya. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KITMAN iaitu menyembunyikan.

4. Wajib bagi Rasul/Nabi bersifat dengan sifat FATANAH iaitu bijaksana. Rasul/Nabi mampu memahami perintah-perintah Allah dengan betul & tepat. Mampu pula berhadapan dengan penentang-penentangnya dengan bijaksana dengan bukti-bukti yang kukuh . Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat Jahlun iaitu bebal.

Dan satu sifat yang jaiz atau sifat yang harus bagi Rasul/Nabi ialah Aradhul Basyariyah iatu untuk bersifat dengan sifat-sifat yang dipunyai oleh manusia-manusia biasa. Seperti ingin makan, berkahwin, mempunyai zuriat dan sebagainya.

Rukun Iman Pertama : Percaya Kepada ALLAH

Rukun Iman Yang Pertama : Wajib Percayakan Allah

Arwah datuk ku ada berpesan, " Perkara pertama bagi setiap muslim ialah wajib beriman dengan Allah "

Allah ialah nama bagi Tuhan yang sebenar. Allah yang mencipta seluruh alam dan isinya. Allah yang mengatur dan menjaganya. Allah tidak boleh dilihat, tetapi bukti-bukti sangat banyak untuk menunjukkan pada akal yang waras dan adil bahawa Allah itu wajib ada. Bukan sekadar kita wajib mempercayai bahawa Allah itu ada, bahkan wajib pula kita menyembah NYA.

Untuk hendak mempercayai Allah dan menyembah NYA, manusia wajib mengenal Allah dengan betul. Dan untuk hendak mengenali Allah dengan betul, manusia mestilah mencari dan mengkaji dalil-dalil dari Al Quran, Hadis dan Akal. Jika kita tidak mengenal Allah dengan betul, nescaya akan sesat dan kafirlah kita.

Agama Islam adalah agama yang suci. Tidak seperti penganut Kristian yang mengatakan Tuhan mereka mempunyai anak bernama Jesus yang boleh dibunuh dan disalib oleh makhluk yang dicipta oleh Tuhan. Teringat aku dalam suatu majlis dialog ringkas bersama salah seorang pesakit ku yang juga menjadi ahli Majlis Gereja

Soalan Ahli Majlis Gereja : Islam mengatakan Muhammad kekasih Tuhan (Allah). Tetapi mengapa Tuhan membiarkan kekasih Nya dibaling batu hingga berdarah ?

Jawapan aku : Saya tak hairan kalau setakat kekasih dibaling batu sampai berdarah. Yang saya tidak faham tentang Kristian, mengapa Tuhan Ruhul Qudus Kristian membiarkan anaknya (Jesus) dipaku sampai mati ? Lagi teruk dari membiarkan kekasih dibaling batu sampai berdarah. Bolehkah Tuhan dibunuh oleh makhluk ciptaannya ? Jika Jesus anak Tuhan boleh dibunuh oleh makhluk ciptaan Tuhan, ini bermakna makhluk yang dicipta lebih kuat dari Pencipta. Masuk akalkah ? Contohnya, awak membuat sebuah kerusi. Bolehkah kerusi yang awak buat, bergerak sendiri membunuh awak ? Oleh itu, Tuhan menciptakan manusia, bolehkah manusia membunuh Tuhan ? Tak masuk akal.

Agama Islam tidak juga seperti agama Buddha yang menyembah berhala yang mereka dakwa menjadi perantaraan kepada tuhan yang sebenar. Bila ditanya kepada mereka, siapa Tuhan yang sebenar ? Sami mereka sendiri tidak berupaya menjawabnya.

Agama Islam tidak juga seperti agama Hindu yang mempunyai tuhan yang berbilang-bilang, ada yang berkepala Gajah, ada yang bertangan lapan, ada yang berperut boroi, ada juga yang berupa lembu. Apakah "tuhan" itu lemah sehingga perlu berjemaah dengan "tuhan-tuhan" yang lain ? Apakah tuhan itu berbentuk-bentuk ? Apakah tuhan itu diukir dan dibuat oleh makhluk ? Lagilah tak masuk akal yang waras.

Sebab itulah, setiap muslim wajib mengenal Allah dengan betul. Nanti timbul pula soalan, "Sedangkan Allah tidak boleh dilihat, bagaimana pula hendak mengenal Allah dengan betul ?" Walaupun zat Allah tidak boleh dilihat, kita mampu mengenal Allah dengan kadar mengenali sifat-sifat NYA. Juga kita mengenal Allah dengan kadar mengenali nama-nama NYA.

Apa itu zat ? Apa itu sifat ?

Senang saja. Apabila kita kata : DINOSAUR BESAR, maka "Dinosaur" itu ialah sesuatu yang ada, yang wujud. Sesuatu yang seperti itu dinamakan ZAT. Dinosaur adalah ZAT.

"Besar" pula menyatakan rupa atau keadaan sesuatu zat (dinosaur). Maka "besar" itu dinamakan SIFAT. Ertinya, SIFAT adalah menyatakan rupa atau keadaan sesuatu ZAT. Dan sifat bersandar kepada zat. Maksud bersandar di sini ialah sifat memerlukan zat. Kalau tak ada zat, sifat tak wujud. Sifat ini hanya ada difikiran dan tidak boleh disentuh.

Contoh 1 (Zat yang boleh dilihat, disentuh, dirasa) : Biji saga merah. Biji saga adalah zat. Merah adalah sifat. Kalau tak ada biji saga, tak adalah tempat untuk sifat bersandar. Maka tak adalah merah. Adanya merah kerana adanya biji saga. Merah hanya tafsiran di akal, kita tidak boleh memegang merah.

Contoh 2 (Zat yang tidak boleh dilihat, disentuh, dirasa) : Fikiran jumud. Fikiran adalah zat. Jumud adalah sifat. Kalau tak ada fikiran, tak ada tempat untuk sifat jumud bersandar. Adanya jumud sebab adanya fikiran.

Begitulah antara caranya untuk mengenal Allah SWT dengan betul, melalui mengenal sifat-sifat NYA. Kerana kewujudan Allah SWT mempunyai segala sifat-sifat kesempurnaan Yang Maha Terpuji dan Maha Agung.

Bagaimana kita boleh mengetahui dan mengenal sifat-sifat Allah SWT ?

Kita boleh mengetahuinya dari Al Quran dan Hadis Rasulullah SAW, serta bantuan akal.

Ulamak ilmu Tauhid Ahlus Sunnah Wal Jamaah telah sepakat bahawa setiap muslim wajib mempercayai secara ringkas (ijmali) bahawa Allah SWT memiliki segala sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi NYA. Aku sengaja memasukkan susunan kata "yang layak bagi NYA", kerana ada sifat-sifat yang "sempurna" pada sisi makhluk tetapi tidak sempurna pada sisi Allah SWT. Contohnya sifat "merendah diri". Sifat ini memang baik dan "sempurna" bagi manusia, tetapi sifat "merendah diri" tidak sempurna dan tidak layak bagi Allah SWT yang menjadi Tuhan kepada sekelian alam.

Andainya adalah manusia kat dunia ini yang berkata " Aku alim " atau " Aku mulia ", ini bermakna orang itu membesarkan dirinya dan berbohong, kerana sifat-sifat itu bukan berasal dari dirinya tetapi datang dari Allah SWT. Anytime, Allah boleh hilangkan sifat tersebut darinya.

Kadang-kadang ada suara-suara sumbang yang mempersendakan "Buat apa buang masa mempelajari sifat-sifat Allah? "

Jawapannya mudah aja. Para ulamak mujtahidin, mereka berpandangan jauh. Fikiran mereka global. Ada orang mengaku global, tetapi batas fikiran setakat dalam chat room saja. Tak lebih dari itu. Tetapi ulamak mujtahidin, walau mereka tidak mengaku global, walaupun mereka tak main internet dan berchatting kat yahoo group, tetapi pemikiran mereka yang jauh dan luas mampu melihat juzuk dan ruang yang boleh menyebabkan seseorang Muslim tersesat pegangannya. Maka ulamak mujtahidin seperti Imam Abu Hassan Al Asyaari rahmatullah a'laih dan Imam Mansur Al Maturidi rahmatullah alaih menyusun ilmu tauhid yang orang Melayu kita sekarang kenali sebagai Ilmu Sifat 20 (orang Melayu kita ni cukup kreatif dalam memberi nickname), kerana sifat-sifat bagi Allah inilah yang sering digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menyesatkan aqidah umat Islam.

Sebagai contoh, Asaari Mohamad, Pengerusi Rufaqa yang dulunya dikenali sebagai Jemaah Al Arqam. Rakaman dialog antara Asaari dan "Rasulullah" yang direka sendiri oleh Asaari Mohamad yang pernah disiarkan oleh TV3. Antara dialog tersebut ialah : Nabi menjanjikan Asaari Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 3 bulan dari tarikh dialog tersebut.

Orang yang mempelajari dan memahami ilmu Sifat Dua Puluh akan nampak, kesesatan Asaari Mohamad disitu. Walaupun cuma satu ayat dari dialog tersebut, mereka yang mempelajari ilmu Tauhid akan sedar betapa lemahnya, betapa jahilnya, betapa tiada kudrah dan iradahnya Allah SWT digambarkan di dalam dialog tersebut. Mustahil Allah dari memiliki sifat-sifat kekurangan. Kerana setelah lebih 3 bulan dari tarikh dialog tersebut, Asaari Mohamad masih menjadi seorang penjenayah. Adakah Allah SWT itu jahil kerana tidak tahu Asaari Mohamad tidak mungkin akan menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 3 bulan sehingga mewahyukan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan berita kepada Asaari Mohamad yang dia akan jadi PM lagi 3 bulan ? Adakah Allah SWT itu dinafikan sifat kudrah dan sifat iradahnya kerana tertakluk kepada faktor masa 3 bulan ? Maha Suci Allah dari sifat-sifat kekurangan dan kelemahan.

Begitu juga gambaran bahawa Rasulullah seorang yang jahil dan khianat. Rasulullah SAW menjanjikan Asaari Mohamad menjadi PM lagi 3 bulan dari tarikh dialog. Lebih 3 bulan, Asaari Mohamad masih seorang penjenayah. Adakah Rasulullah SAW berkata dusta ? Maha Suci Allah. Rasulullah SAW bersifat dengan sifat Siddiq. Mustahil Rasulullah SAW berdusta. Dan setiap apa yang diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah yang diwahyukan oleh Allah SWT. Apakah wahyu Allah itu merupakan pembohongan ? Maha Suci Allah dari sifat jelek itu.

Inilah antara bukti, wajibnya dan pentingnya setiap Muslim mendalami ilmu Tauhid dan mengenal Allah SWT dengan kaedah yang betul. Agar terhindar dari kesesatan. Dan para Imam Ahlus Sunnal Wal Jamaah iaitu Imam Abu Hasan Al Asya'ari dan Imam Mansur Al Maturidi telah nampak bahwa akan ada pihak yang akan mengelirukan umat Islam tentang sifat-sifat Allah & Rasul sebagaimana yang dilakukan oleh Asaari Mohamad, maka mereka susun ilmu Tauhid Sifat 20, agar umat Islam yang mempelajari ilmu ini nampak kesesatan yang dibawa oleh ahli-ahli bida'ah seperti Asaari Mohamad dan Rufaqa.

Ini juga adalah bukti, walau sudah 1400 tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita, fahaman Mu'tazilah modern masih berleluasa di tahun 2009. Kaum Mu'tazilah modern ini senang-senang mengeluarkan fatwa berdasarkan hawa nafsu mereka. Maka tidak hairanlah golongan Mu'tazilah modern ini benci kepada manusia yang cuba menegakkan makrufat. Malah mereka juga menggalakkan penutupan aurat muslimah dengan hanya memakai kebaya nyonya.

Cukup disini dulu.

Cernakan dulu. InsyaAllah kita akan teruskan dengan membahaskan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi Allah SWT di masa akan datang.

Wallahu a'lam