Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Thursday, June 18, 2009

Taharah : WUDUK (Menyucikan diri dari hadas kecil)


Menyuci badan daripada hadas kecil:
Iaitu menyuci badan daripada hadas kecil dengan berwuduk atau bertayamum. Orang-orang yang berhadas kecil diharamkan mengerjakan solat dan menyentuh Al-Quran.

Wuduk adalah salah satu cara bersuci dari hadas kecil sebelum mengerjakan ibadah solat atau membaca Al-Qur'an. Perintah wajib wuduk ini turun bersama dengan perintah wajib solat. Firman Allah SWT, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu, kedua tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu serta basuhlah kedua kakimu sampai mata kaki."(Al-Maidah : 6). Sabda Rasulullah saw: "Allah SWT tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (H.R. Abu Daud).


Syarat Wuduk ada lima:
1. Islam
2. Baligh
3. Tidak berhadas besar
4. Memakai air yang mutlak (suci dan menyucikan)
5. Tidak ada yang menghalangi kulit

Rukun Wuduk ada enam:
1. Niat dengan bacaan: "Aku niat berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah."
2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu, dan dari batas telinga kanan sampai batas telinga kiri.
3. Membasuh dua tangan serta dua siku.
4. Mengusap sebahagian kepala dengan air.
5. Membasuh dua kaki serta dua mata kaki (buku lali).
6. Tertib (berturutan).

Sunat Wuduk ada 12:
1. Diawali dengan membaca Bismillah dalam hati.
2. Membasuh telapak tangan sampai pergelangan.
3. Berkumur.
4. Menggosok gigi (bersiwak).
5. Membersihkan hidung dengan air.
6. Mengusap seluruh kepala dengan air.
7. Membasuh kedua cuping telinga.
8. Menyeliti jemari tangan dan jemari kaki.
9. Tidak berbicara.
10. Mendahulukan basuhan anggota kanan.
11. Membasuh anggota wuduk sampai tiga kali.
12. Membaca doa sesudah berwuduk:
""Saya bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, tidak ada sekutu bagiNya. Dan saya bersaksi bahwa Muhamad adalah hamba dan pesuruhNya. Wahai Allah jadikanlah saya termasuk orangorang yang bertaubat dan jadikanlah saya termasuk orang-orang yang suci.Maha suci Allah saya memuji kepada Mu. Saya bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, sata meminta ampun dan bertaubat kepada Mu "

Perkara yang dapat membatalkan Wuduk ada lima:
1. Keluar sesuatu dari qubul dan dubur.
2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan ataupun mabuk.
3. Bersentuhan kulit laki-laki dengan kulit perempuan kecuali mereka itu masih muhrim.
4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri maupun milik orang lain, dewasa maupun anak-anak.
5. Tidur, kecuali apabila tidurnya dengan duduk dan masih dalam keadaan semula (tidak berubah kedudukannya).

nota:
penulis mendapati bahawa ada kekeliruan tentang sama ada batal wuduk apabila tersentuh yang bukan muhrim. Menurut mazhab Syafi'i, hukum wuduk batal secara mutlak (tanpa syarat) bila tersentuh bukan muhrim termasuk dengan isteri/suami sendiri ("bukan muhrim" ertinya tidak haram dinikahi). Menurut Mazhab Maliki pula, menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk lelaki jika dengan tujuan `talazzuz' (berlazat-lazat), ataupun merasai keghairahan ketika bersentuhan. Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan.


Taharah : Qada Hajat ( Buang Air)


Hukum Qada Hajat

Qada Hajat atau Buang Air terbahagi kepada tiga hukum:
1. Cara yang haram.
2. Cara yang makruh.
3. Cara yang sunat.


Cara Qada Hajat yang diharamkan.
1. Membawa bersama sesuatu yang bertulis ayat-ayat quran, hadis atau nama-nama para rasul ketika qada hajat.
2. Menghadap atau membelakangkan kiblat ketika qada hajat di tempat lapang. Sekiranya qada hajat di tempat yang berdinding maka tidaklah diharamkan.
3. Membuang air besar atau kecil dalam lubang yang diketahui di dalamnya ada haiwan.
4. Qada hajat di atas kubur.
5. Membuang air di tempat ibadah seperti di surau, masjid, musalla dan sebagainya.
6. Membuang air di atas kitab-kitab agama .
7. Membuang air di atas makanan.
8. Membuang air di tempat perhentian orang ramai atau di jalan raya.

Cara Qada Hajat Yang Dimakruhkan.
1. Membuang air sambil berdiri kecuali dengan keuzuran atau darurat yang tidak membolehkan seseorang itu duduk seperti disebabkan sakit.
2. Bercakap-cakap ketika buang air pada perkara yang tidak penting, kecuali dalam keadaan darurat.
3. Membuang air di dalam lubang yang tidak diketahui di dalamnya ada binatang atau tidak.
4. Membuang air di bawah pokok buah-buahan
5. Membuang air dalam air tenang yang tidak mengalir.
6. Membuang air berhampiran dengan kawasan perkuburan.

Cara-cara Qada Hajat Yang disunatkan.
1. Membuang air di tempat terselindung dari orang ramai seperti di dalam tandas atau di sebalik satu.
2. Memulakan masuk ke dalam taandas dengan menggunakan kaki kiri.
3. Ketika hendak masuk, baca doa ini:
Ertinya : "wahai tuhanku, aku berlindung padaMu dari kejahatan syaitan jantan dan betina."
4. Memakai alas kaki seperti selipar dan kasut ketika masuk tandas.
5. Memakai penutup kepala seperti tudung, semutar dan sebagainya ketika qada hajat.
6. Beristibak, iaitu berdehem-dehem supaya najis habis keluar.
7. Ketika keluar dari tandas, mulai langkah kaki kanan dahulu.
8. Ketika keluar dari tandas, membaca doa ini.
Ertinya: "aku meminta ampun kepada Mu."

Hal-hal yang harus dilakukan sebelum buang air.
1. Hendaklah mencari tempat sunyi dan jauh daripandangan orang (kiranya tidak menggunakan tandas).
2. Jangan memasuki tandas atau tempat buang air dengan membawa sesuatu yang ada kalimah Allah.
3. Jangan membuka pakaian sebelum berada dekat tempat buang air, ini adalah bagi mempastikan agar aurat tetap terjaga sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh hokum syariat.
4. Mendahulukan kaki kiri waktu masuk ke tandas dan disunatkan berdoa:
5. Janganlah buang air dengan menghadap ke arah kiblat atau membelakanginya jika sekiranya di tempat-tempat yang tidak berdinding..
6. Jangan membuang air besar atau air kecil (berak atau kencing) di tempat orang biasa berteduh, di jalan-jalan, di tempat mandian atau di bawah pokok yang berbuah.
7. Janganlah bercakap-cakap sewaktu buang air.

Adab buang air
1. Sunat mendahulukan kaki kiri ketika masuk ke tandas, dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.
2. Jangan membawa sesuatu kalimat Al-Quran, atau hadis atau zikrullah ke dalam tandas.
3. Hendak memakai sepatu atau terompah atau seumpamanya.
4. hendaklah jauh dari orang sehingga bau kotoran tidak sampai kepadanya.
5. Janganlah berkata-kata selama dalam tandas itu, kecuali apabila ada keperluan yang sangat penting yang tidak dapat ditangguhkan.
6. Jangan buang air di air yang tenang, kecuali jika air tenang itu terbentang luas seperti tasik yang luas atau laut.
7. Jangan buang air di lubang tanah, kerana kemungkinan ada binatang yang mendapat kesakitan di dalam lubang itu.
8. Jangan membuang air di atas kubur.
9. Jangan membuang air besar atau kecil di tempat-tempat beribadat seperti masjid, surau dan sebagainya (Kecuali di tandas-tandas yang telah disediakan di tempat-tempat ibadat tersebut).
10. Jangan membuang air di atas kitab-kitab agama atau di atas makanan.
11. jangan buang air di mana-mana tempat perhentian


Wednesday, June 17, 2009

Asas-asas Fardhu Ain : Taharah : ISTINJAK



Istinjak

Istinjak Ialah menghilangkan najis kecil atau besar dari tempat keluarnya dengan sesuatu yang bersih seperti air, batu, kertas dan sebagainya sehingga kesan najis itu dibersihkan. Apabila keluar kotoran dari salah satu, iaitu dari qubur atau dubur, wajib istinjak dengan menggunakan air atau dengan tiga ketul batu.



Hukum Istinjak

Beristinjak adalah hukumnya wajib berdasarkan Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
Bahawa Nabi (s.a.w) melalui dua buah kubur, ketika itu baginda berkata; 'kedua-dua orang ini (yang ada dalam kubur itu) diseksa oleh Allah . Yang seorang diseksa kerana mengumpat orang dan yang seorang lagi diseksa kerana tidak beristinjak selepas buang air kecil.
(Hadis Riwayat; Bukhari dan Muslim)

Syarat Istinjak

1. Menghilangkan rasanya.
2. Menghilangkan baunya.
3. Menghilangkan warnanya.

Rukun Istinjak.

1. Seorang Islam.
2. Alat untuk istinjak.Dengan menggunakan air, batu, kertas atau seumpamanya.
3. Tempat yang diistinja iaitu qubul dan dubur.
4. Yang diistinjakkan itu sesuatu yang keluar daripada dua jalan iaitu qubur atau dubur.

Cara mengerjakan Istinjak.


1. Istinjak itu 3 kali dan kalau masih belum suci, boleh diulang lagi sehingga suci.
2. Alat dibuat istinjak itu mestilah melingkupi tempat yang disapu itu.
3. Beristinjak itu mestilah dapat membersihkan tempat najis yang keluar.


Cara beristinjak dengan Air (Air Mutlak).
1. Tuangkan air dengan menggunakan tangan kanan di atas tempat najis.
2. Gosok tempat najis dengan menggunakan jari tengah tangan kiri.
3. Makruh memasukkan jari ke dalam dubur.
4. Bagi perempuan yang dara semasa beristinjak hendaklah membasuh benda yang zahir pada farajnya ketika ia duduk mencangkung dengan memasukkan sedikit ruas jarinya.*
5. Mendahulukan istinjak pada qubul daripada dubur supaya tidak terpercik najis padanya ketika membasuh dubur.
6. Sunat selepas intinjak menggosak tangan ke tanah sebelum membasuh tangan.
7. Sunat ketika intinjak membaca doa :
Ertinya ; "Ya Allah, sucikanlah hatiku daripada sifat nifak dan peliharakanlah kemaluan aku daripada kejahatan."
8. Tidak sunat mencium tangan selepas istinjak.
9. Hendaklah hilang ain najis, warna dan rasanya (rasa di tangan). Jika sukar
menghilangkan baunya atau warnanya selepas digosak dan dibasuh beberapa kali maka ianya dimaafkan. Bagi memastikan najis telah suci memadai bila merasai kesat pada kulit dubur lelaki dan licin bagi perempuan.*

Cara yang baik dilakukan istinjak ialah dengan menggunakan air, tetapi harus juga dilakukan dengan benda-benda kesat yang suci dengan syarat.

1. Benda itu mesti kering sama ada kayu, batu, daun dan lain-lain. Kalau ia basah, maka tidak boleh digunakan.
2. Benda itu mesti kesat. Kalau kering tetapi licin maka tidak sah untuk istinjak seperti kertas atau plastik atau belakang buluh.
3. Benda itu bukan benda yang dihormati seperti makanan, pakaian, tulang atau
seumpamanya.
4. Bukan benda-benda yang bertulis dengan ayat-ayat al-quran, hadis dan seumpamanya. Sekiranya ada , berdosa menggunakannya.
5. Najis yang keluar tidak melecer ke tempat lain. Sekiranya ia melecer ke tempat lain maka air diperlukan untuk beristinjak.
6. Hendaklah dihilangkan najis itu sekurang-kurangnya dengan tiga ketul batu ataupun dengan sebiji batu tiga persegi. kiranya masih tidak suci, hendaklah ditambah batu sehingga suci.


Cara Beristinjak dengan menggunakan batu pada dubur.
1. Sunat dimulai dengan menyapu yang pertama pada bahagian hadapan papan punggung yang kanan lalu diedarkan pada tempat permulaan sapuan.
2. Kemudian mulakan sapuan yang kedua pada bahagian hadapan papan punggung kiri lalu diedarkan kepada tempat permulaan yang disapu.
3. Sapuan yang ketiga pada hujung dubur atau qubur.
4. Sunat ketika menyapu dimulai pada tempat yang suci ke tempat yang ada najis secara perlahan-lahan.
5. Sunat istinjak dengan batu, dahulukan istinjak pada dubur kerana najis pada dubur lebih dahulu kering daripada qubur. Jika najis telah kering, wajib menggunakan air.

Cara Istinjak Dengan Batu Pada Qubul ( Zakar atau Faraj).
Disapu di tiga tempat pada batu besar atau tiga ketul batu. Jika diulang-ulang di tempat yang sama dengan satu batu, maka wajib beristinjak dengan menggunakan air.

Hal-hal yang perlu diperhatikan ketika istinjak

1. Jangan bersuci dengan tulang, makanan atau tahi kering.
2. Jangan bersuci dengan menggunakan tangan kanan atau memegang zakar dengan tangan kanan.
3. Hendaklah bersuci dengan batu dalam bilangan ganjil, seperti tiga ketul batu, lima ketul batu dan sebagainya..
4. Bila bersuci dengan air dan batu, hendaklah menggunakan batu terlebih dahulu, kemudian dengan air, bila memilih salah satu, pilihlah air kerana air lebih baik digunakan untuk bersuci.

Tuesday, June 16, 2009

Fardhu Ain : Taharah ; HADAS & NAJIS


Jenis-Jenis bersuci.

1. Menyuci badan daripada hadas kecil:
2. Menyuci badan daripada hadas besar.
3. Istinjak.
4. Menyucikan pakaian, alatan dapur (pinggan , mangkuk) dan masjid.


Jenis-Jenis bersuci.

1. Menyuci badan daripada hadas kecil:

Iaitu menyuci badan daripada hadas kecil dengan berwuduk atau bertayamum. Orang-orang yang berhadas kecil diharamkan mengerjakan solat dan menyentuh Al-Quran.

2. Menyuci badan daripada hadas besar.

Orang yang berjunub atau berhadas besar hendaklah membersihkan dirinya dengan mandi.Orang yang berhadas besar diharamkan mengerjakan solat, mengerjakan haji, wuduk di dalam masjid, menyentuh dan membaca Al-quran.

3. Istinjak.

Iaitu bersuci selepas keluarnya kotoran daripada dua jalan iaitu air kencing atau tahi.

4. Menyucikan pakaian, alatan dapur (pinggan , mangkuk) dan masjid.

Pakaian hendaklah dibersihkan daripada segala najis. antara Syarat sah solat ialah pakaian dan tempat solat mestilah bersih daripada najis.

Najis dan jenis-jenisnya

Agama Islam amat mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian. Sehubungan itu,setiap manusia wajib membersihkan diri, pakaian dan tempat daripada najis. Bersih dan suci daripada najis merupakan salah satu syarat untuk menunaikan ibadah serta mengabdikan diri kepada Allah. Najis adalah benda-benda yang kotor dan boleh membatalkan sembahyang. Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa berada dalam keadaan suci dan bersih kerana ia mencerminkan keperibadian seseorang. Bagaimanapun benda yang jijik tapi pada syariat tidak membatalkan solat seperti kahak, hingus dan lain-lain tidak dikira sebagai najis. Menurut hukum aslinya sesuatu benda itu adalah suci selama tak ada dalil yang menunjukkan bahawa benda itu najis.

Terdapat tiga bahagian najis iaitu:
1. Najis mukhaffafah (najis ringan).
2. Najis mutawassitah (najis pertengahan).
3. Najis mughallazah (najis berat)

1. Najis Mukhaffafah. (Ringan). seperti kencing kanak-kanak lelaki yang belum makan makanan selain daripada susu ibu. Untuk mensuci benda yang terkena najis ini, memadai dengan memercikkan air atas benda itu meskipun tidak mengalir. Adapun kencing kanak-kanak perempuan yang belum makan selain susu hendaklah dibasuh sampai mengalir air di atas benda yang kena najis itu dan hilang zat dan sifat-sifat nya sebagaimana mensuci kencing orang dewasa.

Cara menyucikan najis mukhaffafah:
- Hilangkan ainnya (fizikal najis)
- Basuh bahagian yang terkena najis dan lap.
- Percikkan air di tempat yang terkena najis.
- Lap dengan kain bersih sehingga kering.

2. Najis Mutawassitah. (Pertengahan) - Najis ini terdiri dari segala najis kecuali najis yang tergolong kepada najis berat. Yakni Najis Mughaladzah. . Najis pertengahan ini terbahagi kepada dua bahagian.

2.1 Najis Hukmiah. - iaitu najis yang diyakini adanya tetapi tidak nyata zatnya, baunya , rasanya serta warnanya. seperti kencing yang sudah lama kering, sehingga sifat-sifatnya sudah hilang. cara mensuci najis ini cukup dengan mengalirkan air di atas benda yang kena itu kemudian dilap hingga kering.

2.2 Najis Ainiah. Najis yang nampak dan kelihatan najisnya yang ada rupa, rasa dan baunya seperti tahi, darah dan lain-lain. Membersihkan najis ini ialah dengan membasuhnya sehingga hilang segala sifat sifat nya.

3. Najis Mughallazah. (berat) iaitu anjing dan babi. Benda yang terkena najis ini hendaklah dibasuh tujuh kali, sekali daripadanya hendaklah dicampur dengan tanah.

Cara menyucikan Najis Mukhaffafah (ringan).
Memadai dengan merenjiskan air pada benda atau tempat yang terkena najis sehingga rata.

Cara menyucikan Najis Mutawasitah (Pertengahan).
1. Najis Ainiyah.
i. Buangkan najis itu terlebih dahulu.
ii. Basuh bekas itu sehingga hilang bau, warna dan rasa dengan air mutlak.

2. Najis Hukmiyah.
i. Memadai dengan mengalirkan (Menjirus) air mutlak pada tempat yang terkena najis.

Cara Menyuci Najis Mughallazah (Najis Berat)
* Anjing dan babi serta keturunan salah satu daripadanya. - termasuk dagingnya,lemak, tulang,darah, liur, tahi, kulit serta bulunya serta seluruh bahagian badannya.

Peringatan.
1. Tersentuh anjing yang kering dengan tangan yang kering tidaklah dikirakan najis. Sekiranya salah satu di antara keduanya basah atau kedua-duanya basah, maka dikira najis dan ianya wajib disamak.
2. Menyentuh babi yang kering ataupun basah adalah dikira najis (Wajib disamak).

Cara Menyucinya.
Hilangkan najis itu terlebih dahulu kiranya najis haiwan itu yang tersentuh. Basuhan pertama menggunakan air lumpur (Selut). Kemudian dijirus dengan enam kali air mutlak. Basuhan ini hendaklah menghilangkan bau, rasa dan ainnya.

Cara Menyucikan Kulit Bangkai
Binatang yang mati tidak disembelih adalah bangkai. Kulit bangkai kecuali binatang laut dan sungai tidak boleh dipergunakan sebelum disuci. Cara menyucinya ialah dengan dibersihkan menggunakan air bercampur daun bidara atau juga biasa disebut samak. Sebelum disamak kulit bangkai itu adalah najis.

Cara menyucikan cairan yang memabukkan.

Kiranya minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda cair, maka buanglah semuanya.Tetapi jika minuman yang memabukkan jatuh pada benda-benda beku, cukuplah dibuang bahagian yang terkena dan kawasan sekelilingnya.

Perkara yang tidak dikira sebagai najis.
Bagi haiwan yang mati tanpa disembelih hukumnya bangkai yang bernajis kecuali yang berikut di bawah:
1. Mayat manusia sama ada Islam atau kafir.
2. Ikan sama ada besar atau kecil halal dimakan.
3. Belalang.
4. Ulat dalam buah-buahan atau seumpamanya yang ada dalam makanan. Kalau diketahui ada ulat dalam buah-buahan dan dimakannya bersama , maka hukumnya makruh.
5. Semua binatang yang darahnya tidak bersifat mengalir, maka air tidak menjadi najis jika binatang berkenaan jatuh ke dalamnya. Tetapi memakannya tetap dilarang.

Hukum Peluh dan air liur manusia dan binatang.
1. Air liur, kahak yang keluar daripada dada atau otak, air hidung, air mata, peluh mani, susu jika ia keluar dari:
i. Anjing dan babi atau keturunannya adalah haram kerana ianya adalah najis.
ii. Keluar daripada binatang atau manusia adalah suci semuanya. tapi benda itu adalah
dianggap jijik dan haram dimakan.
2. Tidak najis air liur kucing, jika pasti semasa itu ia tidak memakan benda najis seperti cicak, tikus dan seumpamanya.
i. Selepas makan tikus lalu kucing itu menjilat air minuman, maka air yang dijilati itu menjadi najis.
ii. Jika selepas makan tikus atau sebagainya, kesan darah di mulut kucing itu telah hilang, kemudian kucing itu menjilat minuman. Air minuman itu tidak najis.

Air Liur Basi
Air yang keluar daripada mulut ketika seseorang tidur.
1. Jika air itu berwarna kuning atau busuk, maka iar liur basi itu najis kerana ia keluar dari perut.
2. Jika air liur itu tidak berwarna dan tidak berbau busuk, maka iar liur itu tidak najis kerana bukan keluar dari perut.

Hukum Madu
1. Halal meminum madu kerana madu keluar daripada mulut lebah.
2. Haram memakan anak lebah sekalipun belum bernyawa.
3. Tidak makruh meminum madu daripada lebah yang memakan najis.

Rujukan : Kitab Matla’al Badraian – Syeikh Daud Fattani

Asas-asas Fardhu Ain : TAHARAH & PEMBAHAGIAN AIR


Ada tiga ilmu yang menjadi asas dan panduan bagi setiap muslim dalam menjalani perjalanan hidup di dunia menuju ke negara akhirat yang kekal abadi.

Ilmu tersebut adalah :

1. Ilmu Tauhid
2. Ilmu Feqah
3. Ilmu Tasauf

ketiga-tiga ilmu ini dipanggil ilmu Fardhu Ain.

makna Fardhu Ain ialah setiap umat Islam yang sudah baligh, berakal, WAJIB mempelajarinya, memahaminya dan mengamalkannya sebagai memenuhi tuntutan sebagai seorang muslim.

Posting ku kali ini ingin menyentuh hal ehwal asas-asas fardhu ain dibidang Feqah.



Ilmu feqah terbahagi kepada 4 juzuk, iaitu :
1. Ibadah
2. Muamalah
3. Munakahat
4. Jenayah

Perkara pertama yang dititikberatkan dalam beribadah ialah kesucian dan kebersihan.

Dalam ilmu Feqah, bersuci adalah TAHARAH.

Taharah adalah bersuci.

Pengertian taharah/bersuci dari segi bahasa adalah membersihkan diri atau sesuatu daripada sebarang kekotoran. Sama ada benda itu najis ataupun tidak. Benda-benda yang najis seperti darah, bangkai, tahi dan sebagainya. Benda-benda yang kotor tetapi tidak najis seperti air ludah, hingus dan lain-Iain.

Pengertian taharah/bersuci dari segi syarak pula adalah menghilangkan halangan beribadat kerana ada hadas atau najis atau menghilangkan halangan memakan sesuatu benda dengan sebab terkena najis.

Syarat wajib taharah ialah :

* Islam
* Berakal
* Baligh
* Masuk waktu ( Untuk mendirikan solat fardhu ).
* Tidak lupa
* Tidak dipaksa
* Berhenti darah haid dan nifas
* Ada air atau debu tanah yang suci.
* Berdaya melakukannya mengikut kemampuan

ALAT-ALAT UNTUK BERSUCI

a. Air mutlak

b. Tanah yang suci

c. Batu yang suci

Hukum bersuci

Ulamak telah sepakat bahawa bersuci daripada najis dan hadas adalah wajib.

JOM KITA BERKENALAN DENGAN AIR YANG MENJADI SALAH SATU SUMBER KITA BERTAHARAH


Air pada dasarnya terbahagi kepada :

1. Air yang suci lagi menyucikan dan tidak makruh menggunakannya. Ini dinamakan air mutlak.

2. Air yang suci lagi menyucikan, tetapi makruh menggunakannya. Ini dinamakan air musyammas, iaitu air yang berada dalam bekas yang diperbuat daripada logam yang bukan emas atau perak, yang terjemur di bawah panas matahari di tempat (kawasan, negeri, atau negara) yang panas.

Air ini makruh digunakan pada tubuh badan sahaja kerana mendatangkan mudarat. Akan tetapi jika digunakan untuk membasuh pakaian dan lain-lain, atau telah sejuk sewaktu kita menggunakannya, maka tidak makruh menggunakannya

3. Air yang suci tetapi tidak menyucikan. Air ini dibahagi pula kepada 3 jenis iaitu:

a. Air musta’mal, iaitu air yang kurang dari 2 kolah, yang telah digunakan untuk mengangkat hadas pada basuhan pertama wudhuk yang wajib dan mandi yang wajib, atau air yang telah digunakan untuk menghilangkan najis dan air itu tidak berubah dari segi kuantiti isipadunya.

b. Air mutaghayyir, iaitu air yang berubah salah satu daripada rasa, warna, atau bau, dengan sebab bercampur sesuatu yang suci seperti gula, milo, kopi, teh, dakwat, dan sebagainya hingga berubah nama air mutlaknya. Tetapi jika berubah kerana lama bertakung, kerana lumpur dan tanah, atau kerana jatuh daun kayu ke dalamnya, maka air itu dihukumkan air yang suci lagi menyucikan.

c. Air muqayyad, iaitu air yang dikaitkan dengan nama asalnya seperti air tebu, air kelapa dan sebagainya.

4. Air yang tidak suci lagi tidak menyucikan. Air ini ialah air mutanajjis. Ia dikira bernajis apabila terjadi 2 keadaan, iaitu (1) termasuk najis dalam kuantiti air yang tidak sampai 2 kolah, atau (2) berubah salah satu sifat air itu samada berubah rasa, bau dan warna, disebabkan termasuk najis tersebut.


1. Air mutlak

Air mutlak (ﻤﻄﻠﻖ) adalah air yang suci dan boleh menyucikan. Air tersebut dikatakan mutlak disebabkan air itu adalah dalam bentuk keasliannya. Air tersebut masih dikatakan air mutlak walaupun ia sudah berubah disebabkan sudah lama terbiar, dimasuki tanah, lumut dan bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang.

Disenaraikan berikut adalah tujuh jenis air mutlak:

* air hujan
* air laut
* air sungai
* air telaga atau perigi
* air mata air
* air yang dicairkan dari salji
* air embun

Apabila cukup sukatan atau timbangan air sebanyak dua kolah, maka air tersebut tidak dikira najis yang disebabkan oleh benda lain melainkan beubah dari segi warna, bau dan rasa. Air yang kurang dari sukatan tersebut akan dikira najis apabila jatuh najis ke dalamnya tidak kira berubah sama ada bau, warna ataupun rasa.

Ukuran Dua Kolah

* Beratnya anggaran 230 liter atau 52 gelen.
* Lebih kurang sebanyak 13 tin minyak tanah.
* Bekas Empat Segi ialah 23 inci lebar dan 23 inci dalam
* Bekas yang bulat lebarnya 23 inci dalam 46 inci. (1 hasta diameter dan dalamnya 2 hasta) 1 hasta = 23 inci


2. Air musta'mal


Air musta'mal (ﻣﺴﺘﻌﻤﻞ) adalah air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan yang lain. Boleh dikatakan juga air ini boleh diminum tetapi tidak sah untuk menyucikan sesuatu.

Air musta'amal yang diperolehi dari mengangkatkan hadas adalah air basuhan kali yang pertama pada mandi atau wudhu' yang wajib dan sudah jatuh dari anggota badan. Air musta'amal dari konsep najis pula ialah jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah. Air tumbuhan dan buah-buahan seperti pucuk kelapa yang dibuat nira atau akar-akar kayu, air dari batang tebu dan yang dihasilkan dari buahan seperti kopi dan koko.

Air yang berubah dan bercampur

Air yang berubah dalam konsep tidak boleh menyucikan ialah yang berubah disebabkan oleh benda asing yang suci yang bercampur ke dalam air seperti kayu gahara sehingga tidak berubah sehingga jelas digelar "air gahara".

Berikut adalah cara air yang berubah:

* Berubah dengan Taqdiri - Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.
* Berubah dengan Hissi - Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.

Contoh cara menentukan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.

* pada bau hendaklah ditentukan dengan bau gahara.
* pada rasa hendaklah ditentukan dengan rasa delima.
* pada warna hendaklah ditentukan dengan warna anggur.

Jika berubah dengan cara ini, maka hukumnya air musta'amal dan jika tidak, hukumnya adalah air mutlak.

Bagi air yang bercampur pula, terdapat dua cara air bercampur iaitu:

* Majawir - cara Mujawir ialah apabila air yang berubah disebabkan termasuk ke dalamnya suatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya air yang dimasuki sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu adalah air mutlak.
* Mukhalit - cara Mukhalit pula ialah apabila suatu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan, contohnya air dimasuki nila, maka dihukumnya air Musta'amal.

3. Air muqayyad

Air muqayyad (ﻣﻘﻴﺪ) pula ialah air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya sama ada dari segi warna, bau atau rasa yang menyebabkan air tersebut tidak dipanggil air mutlak lagi.

Walau bagaimanapun, qayyad pada air terbahagi dua:

* Qayyad Lazim - iaitu qayyad yang tidak bercerai sehingga menjadikannya berbeza langsung dari air mutlak seperti air kopi, air madu, air mawar.
* Qayyad Musfaq - iaitu qayyad yang bercerai iaitu yang tidak lazim bagi air sepert air hujan, air perigi. Maka, ia masih lagi hukumnya air mutlak.

4. Air musyammas

Air musyammas (ﻣﺸﻤﺲ) adalah air yang terjemur di bawah panas matahari bagi negeri-negeri beriklim panas. Hukum air tersebut hanya pada air yang diisi ke dalam bekas yang bukan emas dan perak.

Air tersebut hanya makruh ketika panas untuk digunakan pada badan dan makanan serta minuman. Walau bagaimanapun, air yang masih panas tersebut boleh digunakan untuk membasuh pakaian. Air yang sudah menyejuk tidak lagi makruh digunakan.

5. Air mutanajjis

Air mutanajjis (ﻣﺘﻨﺠﺲ) adalah air yang telah terjatuh najis ke dalamnya sehingga berubah warna, bau atau rasa walaupun jika dicampur hingga kadar dua kolah. Air tersebut tetap dikira mutanajjis sekiranya air tidak berubah sifat bau, warna atau rasa tetapi tidak mencukupi dua kolah.

Air tersebut tidak dikira bernajis apabila jatuh ke dalamnya haiwan ataupun bangkai haiwan yang memang tidak berdarah seperti semut.

Contoh berikut tidak termasuk Air Mutanajis

1. Termasuk bangkai (lihat perkara di bawah) najis yang dimaafkan dengan syarat tidak sengaja dicampakkan.
2. Air atau bahan cecair yang lain termasuk najis yang halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar melampau daripada najis mughalazah.
3. Air yang lebih daripada dua kolah dengan syarat tidak berubah sifat air itu.

Contoh bangkai binatang yang Najis tetapi dimaafkan

1. Lalat
2. Kumbang
3. Kala
4. Lipas
5. Cicak
6. Binatang-binatang yang tidak mengalir darahnya jika dibelah atau dikoyakkannya.


Air Qaid Lazim

Air yang ada kaitan dengan jenama-jenama lain untuk memperkenalkannya. Kalau tidak disebut orang tidak akan faham.

* Contohnya:

a. Air Kelapa

b. Air Tebu

c. Air Mawar

d. Air Kopi

Hukum Air Qaid Lazim


Suci hanya pada dirinya sahaja tetapi tidak sah digunakan untuk menyucikan yang lain.

Beberapa permasalahan :

Air tidak dikira bernajis apabila dengan tidak sengaja, terjatuh bangkai yang tidak mengeluarkan darah ketika dibunuh seperti lalat, lipas, semut, cicak, dengan syarat bangkai itu tidak mengubah sifat air.

Air juga tidak dikira bernajis jika terjatuh ke dalamnya keadaan seperti berikut:

1. najis yang dimaafkan seperti debu-debu najis yang berterbangan yang sukar dijaga;
2. najis-najis yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti najis yang berada pada kaki lalat dan percikan air kencing yang tidak dapat dilihat;
3. bulu-bulu najis yang sedikit yang tidak melebihi 3 helai;
4. binatang yang buntutnya bernajis kemudian dia terjatuh ke dalam air;
5. bekas mulut kucing atau kanak-kanak yang makan benda najis lalu dia menghilangkan diri tanpa diketahui mulutnya sudah dibasuh atau tidak, kemudian dia meminum air, maka air baki minuman itu dikira tidak bernajis.



Rujukan : Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani